- LaIn KaLi PaNgGiL lAgI tAu! -

September 25, 2011

Lama juga rasanya tak menjejakkan kaki ke rumah Shanika Latisha, entah berapa bulan, saya pun dah lupa. Bukannya tak diajak, selalu aje Shanika ajak, tapi saya aje yang selalu berhalangan. Jadinya bila dipelawa semalam saya okey aje, terlanjur petang tu saya memang tak ada apa-apa aktiviti. Orang nak bagi makan, bukannya nak ajak gaduh pun kan? Kan orang kata, rezeki jangan ditolak dan musuh pun jangan sesekali dicari.

Saya orang pertama sampai, tolak dengan Des & Gee [kawan Shanika yang dah jadi kawan saya], yang memang dah ada. Orang pertama di sini merujuk kepada kawan-kawan penulis yang turut dijemput Shanika. Lepas tak sampai 10 minit saya sampai, Damya, Kak Anis, Kak Meen dan Kak Aisya pun sampai. Lepas tu Bikash dan orang terakhir adalah Kak Hezzy.

Bila dah berkumpul, memang agenda cakap tak berhenti-henti pun bermula. Macam-macam topik yang dibualkan sampai ada masanya tak tahu siapa yang bercakap dan nak dengar siapa yang bercakap sebab kami beramai-ramai cakap serentak. Tak cukup dengan tu, sambil bercakap sambil ketawa sakan. Agak kelakar dan kalau ada yang memandang mesti rasa pelik. Tapi sebab kami dah biasa, kami pun dah jadi tak pelik. Rasa-rasanya macam dah lama sangat tak berkumpul macam tu. Dan kalau ada Kak Eka, Kak Lynn, Kak Dhiya, Fatin dan kawan-kawan yang lain, suasana pasti jadi lebih meriah. Tapi nak buat macam mana, masing-masing ada hal yang tak dapat dielakkan, kecuali Kak Dhiya dan Fatin yang duduk agak jauh. Jauh di mata… tapi pasti aje dekat di hati.

Lama juga saya lepak kat rumah Shanika. Bila yang lain-lain dah balik, saya tak jadi balik sebab Kak Hezzy baru sampai. Jadi sesi bercakap pun diteruskan dengan ahlinya saya, Kak Hezzy, Bikash dan Shanika sendiri. Lama lepas tu, kami pun minta diri. Saya tak ada ambil sekeping pun gambar walaupun saya ada bawa kamera. Dua keping gambar di bawah adalah gambar yang diambil oleh kamera Kak Meen Zulaikha. “Jangan marah ya Kak Meen sebab kita cilok gambar Kak Meen”. Untuk Shanika, terima kasih daun keladi yang jemput datang rumah, LAIN KALI PANGGIL LAGI TAU!


- TERENGGANU nAnTi SaYa DaTaNg LaGi TaU! -

September 23, 2011

Saya dah pun masuk dalam kategori bongkok tiga, tapi saya belum pernah pergi ke Terengganu dalam erti kata yang sebenar. Rasa nak tergelakkan bila tahu ANAK MALAYSIA yang cintakan tanah air, tapi masih belum pergi ke salah sebuah negeri yang ada dalam MALAYSIA? Kalau ada yang nak gelak, gelak ajelah kawan! Sebab hari ni mood saya sangat baik dan saya kalau boleh tak nak marah-marah. Ada majlis Hari Raya Aidilfitri Jabatan Penerbitan hari ni, dapat makan banyak, tentulah kena senyum dan ketawa. Betul tak? Sebenarnya selain dari Terengganu, satu-satunya negeri yang belum saya jejakkan kaki dalam erti kata yang sebenar, Sarawak. Bertahun-tahun merancang mahu ke sana, tapi sampai ke saat ini tetap juga belum sampai. Balik-balik, langkah saya hanya tersekat setakat Sabah semata-mata. Tapi... flight yang saya naik pernah landing kat Lapangan Terbang Miri sebab cuaca buruk. Kalau macam tu, saya dah dikira sampai ke Sarawak atau tak walaupun kaki saya tak cecah tanah Sarawak? Kalau tak kira, saya pergi bila ada rezeki dan umur ajelah nanti. Saya percaya, kalau ada rezeki tentu tak akan ke mana.

Saya katakan saya belum pergi ke Terengganu dalam erti kata sebenar sebab saya bukanlah tak pernah jejakkan kaki langsung ke tanah Terengganu tu. Pernah sekali berhenti semata-mata beli keropok lekor dalam perjalanan balik daripada Kelantan ke Johor Bahru. Sekali lagi masa saya outstation ke Cherating. Saya dan dua lagi kawan masuk border Terengganu semata-mata nak makan keropok lekor, otak-otak dan sata. Hujan yang sangat lebat kami redah semata-mata nak tunaikan hajat makan makanan yang popular di Terengganu tu, selain daripada menunaikan permintaan seorang kawan yang mengandung ketika tu.

Tapi minggu lepas [16-18 September 2011], saya betul-betul sampai ke Terengganu. Bukan lagi sekadar lalu, berhenti atau makan keropok lekor. Kali ni siap berjalan-jalan dan menginap selama dua malam. Terima kasih pada Iza dan keluarga yang sudi menerima kedatangan saya dan Fida. Mereka bukan sekadar menerima, siap kata supaya lain kali datang lagi. Malah menyuruh kami anggap mereka keluarga memandangkan kami berdua memang tak ada kaum kerabat di Terengganu. Kalau bukan sebab mereka anak-beranak mungkin saya tak ke sana hujung minggu lepas. Bukan juga bermakna saya tak boleh pergi sendiri, tentu aje boleh kalau saya mahu. Cumanya, bila tak ada dorongan, rasa nak pergi tu tak begitu tinggi peratusannya.

Saya tak tahu nak bercerita banyak tentang jalan-jalan cuci mata saya di sana. Mungkin saya boleh bercerita melalui gambar-gambar yang sempat saya tangkap di bawah nanti. Tapi saya tetap juga nak mengimbas sedikit sebanyak pengalaman kat sana. Saya dan Fida ke sana menaiki bas dengan alasan tak mahu penat memandu. Hanya, jika ada rezeki dan umur sampai ke sana lagi, kami tentu datang dengan kereta kerana lebih mudah dan boleh humban apa saja di dalam kereta tanpa perlu berfikir membawa baju sesedikit mungkin.

Seawal pagi Jumaat tu, kami sampai di Dungun dalam pukul 4.30 pagi dan diambil Iza dan adik dia. Awalnya saya mengaku yang saya rasa sangat segan sebab saya cuma pernah jumpa Iza, keluarga yang lain langsung saya tak kenal. Saya jadi lebih segan bila diajak ke rumah terbuka mak cik Iza. Tapi bila makin masa berlalu, saya makin selesa dan ya... saya sukakan keluarga Iza yang baik hati. Moga mereka semua selalu dalam rahmat ALLAH.

Kat kawasan rumah Iza yang terletak di Bukit Besi tu ada sebuah tasik yang cantik. Malangnya, saya tak sempat tangkap gambar. Mungkin pergi sekali lagi baru saya dapat tangkap gambar tasik yang cantik tu agaknya. Kami sempat juga singgah di Pantai Teluk Gadung, ambil dan hantar adik Iza yang belajar kat UITM sana. Cantik tempat tu! Pun tak ambil gambar sebab, entah... saya pun tak tahu kenapa saya tak bergambar. Kesimpulannya, kami sebenarnya banyak jalan-jalan cuci mata di Kuala Terengganu. Kami pergi Pantai Batu Buruk, Taman Tamadun Islam, Masjid Terapung, Masjid Kristal, Taman Warisan dan beberapa tempat lain.

Selain tu sebagai bonus, saya dapat jumpa Fatin Nabila, Mar Liana, Yuyu dan Ayu [adik Mar]. Sekejap aje kami semua berjumpa dan saya sebenarnya belum puas berborak dengan dia orang. Tapi... biarlah sekejap daripada tak ada peluang langsung. Bonus lagi bila Iza bawa kami ke rumah kawan dia yang dipanggil Kak Na yang rupa-rupanya membaca karya-karya saya. Muka terkejut Kak Na bila tau saya Aleya Aneesa, sampai ke hari ni masih mampu mengundang senyum kat bibir saya. Yang kelakarnya, banyak betul saya makan tapai di rumah Kak Na yang baik hati tu. Kenyang sampai ke petang. Dan lagi, saya sangat suka makan ikan bakar kat Taman Syahbandar. Sangat sedap!

Saya tak tahu lagi nak berkisah tentang apa, hanya boleh katakan yang saya seronok ke Terengganu. Bila ada umur dan rezeki saya pasti akan datang lagi. Untuk Iza sekeluarga, Kak Na dan kawan-kawan yang saya jumpa di sana, jangan serik dengan kedatangan saya. Kalau saya datang lagi, sambut tau! Apa pun, terima kasih sangat-sangat atas layanan baik kalian, saya hargai!








- HaRi SEMUSIM RINDU -

September 20, 2011

Wah... bunyinya macam gempakkan? Macam saya dilamun rindu aje sekarang ni kan? Tapi... tak adalah! Tajuk tu merujuk pada novel pertama saya bersama Alaf 21 [ya ke pertama?]. Saya mahu berkisah tentang novel Semusim Rindu [SR] hari ni sebab saya percaya, di luar sana pasti ada yang tidak pernah kenal novel ini. Kalau kenal pun, mungkin sekadar memandang tapi tak pernah ada rasa untuk membaca. Atau mungkin juga, SR dah pun ada di tangan, hanya hati tak pernah tergerak mahu menyelak lembaran hidup HAJAR ADIRA & IKHMAN AJMAL. Boleh jadi juga pernah memegang SR di kedai-kedai buku, tapi kemudian meletakkan kembali sebab hati rasa berbelah-bahagi. Mana tahu, [mana tahu tau], bila ada aje yang membaca catatan ini tiba-tiba aje boleh tergerak rasa nak mencari SR. Mana tahu juga yang pernah baca, tiba-tiba aje terasa nak mengulang baca.

Dan ini... saya anggap salah satu daripada promosi untuk karya sendiri sebab kalau bukan saya sebagai penulis yang memperkenalkan karya sendiri, siapa lagi yang nak melakukannya kan? Tak juga bermaksud saya kata penerbit tak buat promosi, dah tentu ada. Hanya saya sebagai penulis harus berusaha lebih keras disebabkan di luar sana terdapat begitu banyak persaingan. Jadi, saya mahu memastikan yang saya juga boleh berdiri dan duduk sama-sama dengan penulis yang lain tanpa ada rasa rendah diri sebab saya percaya setiap penulis ada kelebihan dan keistimewaan tersendiri. Betul tak kawan-kawan? Saya juga masih berharap dan akan terus berharap dapat terus memeriahkan dunia penulisan di Malaysia tercinta ini. Lepas ni akan ada HARI KASIH ANTARA KITA, HARI JANJIKU BERSAMAMU, HARI SEGALNYA UNTUKMU, HARI HANYA DIA TAHU, HARI AKU MAHU KAMU, HARI TANPAMU AKU RINDU, HARI KASIH BENAR KASIH, HARI BERTAKHTA DI HATI, HARI UNTUKMU SAYANG, HARI SUDI JADI CINTAKU, HARI CUBIT KANAN, CUBIT KIRI dan insya-ALLAH untuk karya-karya akan datang juga. Tapi tak akan ada hari untuk ATIRAH sebab novel kanak-kanak tersebut dah tak ada pun di pasaran. Harap-harap tak akan ada yang muntah pelangi bila membaca tentang HARI SEMUSIM RINDU ni ya?

SR ni terbit tahun 2005 dan setakat hari ni, SR dah pun berumur 6 tahun. Kalau SR tu manusia, saya membayangkan SR sekarang ni tengah belajar kat sekolah tadika. Mungkin baru masuk ke kelas, belajar entah apa-apa, bercakap-cakap juga yang entah apa-apa yang mungkin hanya boleh difahami kelompok dia. Atau... boleh jadi juga SR tengah tarik tocang kawan perempuan dia yang sangat comel, yang tengah duduk kat depan dia, juga tengah bercakap-cakap macam murai tercabut ekor. Tapi bila saya menulis begitu, apakah itu bermakna saya membayangkan kalau SR itu manusia, SR akan menjadi kanak-kanak lelaki? Oh... tidak! Saya nampaknya sangat berat sebelah sedangkan watak dan cerita dalam SR lebih memberat kepada kisah seorang perempuan bernama HAJAR ADIRA.

Ya... HAJAR ADIRA yang hidupnya saya lukiskan agak malang. Anak yatim piatu yang kaya-raya tapi akhirnya menjadi anak terbuang gara-gara sikap tamak MAK LONG sendiri. Lumrah dunia kan, bila kita tak punya orang tua kita akan jadi terumbang-ambing. Sebenarnya tak ada yang buang dia pun, hanya dia merasakan dah tak sanggup terus diseksa darah daging sendiri. Mujur dalam pelarian tu dia bertemu dengan sepasang suami isteri baik hati. Sejak itu, tinggallah dia dengan keluarga bahagia tu. Bila musibah datang dalam keluarga kecil mereka pun, dia tetap tabah berjuang untuk mereka. Sanggup buat dua kerja dalam satu hari untuk memastikan mereka anak-beranak dapat terus hidup.

Bila IKHMAL AJMAL muncul, hidup HAJAR yang memang agak kelam-kabut kerana keadaan keluarga mereka yang dah tak senang jadi makin bertambah huru-hara. Tapi kemunculan IKHMAN jugalah yang menyebabkan banyak persoalan terjawab dan lebih penting daripada itu, pencarian yang dibuat bertemu dengan titik akhir. Siapa yang mencari HAJAR, rasa-rasanya ramai yang dah tahu sebab SR bukannya sebuah novel baru dan bagi yang belum membaca, itulah yang harus kawan-kawan tahu dan untuk tahu, pastilah kena telusuri SR sampai ke titik akhir. Kalau tak, kawan-kawan tak akan tahu. Kalau ada yang bercerita pun, rasanya tentu aje tak sama macam kita menghadamkan SR dengan mata dan hati kita sendiri. Ceh... ayat promote kan? Tapi itulah kenyataannya sebab saya bukan hanya seorang penulis, tapi saya juga pembaca novel yang tegar. Hanya saya tak pandai nak jadi pengulas, kalau pun saya mahu mengulas saya harus berfikir sampai mata lebam sebab tak mudah bagi seorang penulis nak mengulas karya orang lain. Ada risiko yang sangat besar menanti kalau langkah diteruskan!

Untuk itu, bagi yang masih belum menjadi kawan pada SR, mari kita berkenal-kenalan dengan teraju utama dalam SR. Mana tahu, kawan-kawan akan jatuh cinta. Bagi yang dah jadi kawan SR, kawan-kawan juga dialu-alukan untuk lebih dekat dengan mereka. Tapi... tak banyak yang boleh saya kongsikan sebab ingatkan saya pun dah makin pudar sebab lama sangat tak menyelak lembaran SR ni. Atau pun, sebab saya dah terlalu banyak makan jus semut atau sup semut. Jadi, saya hanya singkap apa yang berlaku pada HAJAR & IKHMAN aje. Itu pun hanya sikit tau!

HAJAR ADIRA – Ya, aku cukup terseksa dengan apa yang dah MAK LONG dan anak-anak dia buat pada aku, kecuali AZIM. Aku rasa sakit bukan cuma kat badan tapi kat hati lebih-lebih lagi. Jadi aku tekad larikan diri ke Johor Bahru dengan bantuan Azim sebab aku dah tak tahan. Aku nak cari MAK NGAH lepas PAK USU tinggalkan aku pergi Jepun. Tapi aku berjumpa pula dengan sepasang suami isteri yang akhirnya jadikan aku anak angkat mereka. Terus aku padamkan niat nak cari MAK NGAH. Memang dia orang tak kaya, tapi aku tak pernah diseksa mereka. Aku tetap jadi kesayangan mereka walaupun mereka dah ada anak-anak sendiri. Lepas ibu meninggal dan ayah lumpuh, aku bertanggungjawab sara keluarga sebab aku anak sulung. Memang berat tapi aku anggap ini peluang untuk aku balas jasa mereka.

Dan IKHMAN, aku tak minta pun IKHMAN datang dalam hidup aku. Bagi aku, dia seorang yang sangat mengganggu. Malah, sangat jahat! Ada ke patut, dia culik aku lepas balik kerja. Dia juga pernah malukan aku dan yang paling aku tak boleh terima, dia paksa aku minum susu masa gastrik sedangkan aku memang sangat tak sukakan susu. Tapi sebab takut dengan ugutan dia yang melampau, aku telan juga segelas susu. Lepas tu, boleh pula dia kata macam ni, “Tak mati pun minum susu?” Jahatkan dia? Memanglah tak mati tapi seksanya nak menghabiskan segelas susu, TUHAN aje yang tahu. Tapi bukan setakat itu aje yang IKHMAN buat pada aku, dia paksa aku kerja dengan dia dan dera aku macam-macam masa jadi setiausaha dia. Sampailah aku jadi isteri dia, aku usaha untuk suka dia dan bila aku dah sukakan dia, dia pijak hati aku. Aku sedih sangat. Sungguh... IKHMAN memang jahat!

IKHMAN AJMAL – Aku memang banyak koleksi teman wanita dan aku tak pernah dimalukan perempuan. HAJAR, perempuan pertama yang malukan aku. Ada ke patut, dia tampar muka aku! Ego aku tercalar dan aku tekad nak balas dendam. Bukan nak balas dendam tapi dah balas dendam pun. Aku tipu dia, aku kata masa dia tidur aku dah buat macam-macam kat dia sedangkan aku tak buat apa pun. Sejak hari tu, aku macam bayang-bayang dalam hidup dia. Ke mana aje dia pergi, aku akan ikut. Dia tak akan mungkin dapat lari daripada aku. Tapi... hati aku tersentuh sangat bila tahu betapa dia menolak kepentingan sendiri demi keluarga tersayang. Kalau aku kat tempat dia, mungkin aku pun tak sekuat dia. Dapat kahwin dengan dia, terasa macam dapat bulan jatuh ke riba. Cumanya, aku buat-buat macam tak ada perasaan pada dia sedangkan aku tahu aku dah jatuh cinta pada dia. Kehadiran AZIM buat aku rasa tercabar dan sudahnya... aku buat salah. Maaf, HAJAR...

Okey, itu aje yang dapat saya conteng tentang HAJAR & IKHMAN. Kalau nak tahu lebih, kawan-kawan harus mendapatkan sendiri SR tu. Apa pun, saya syukur pada ALLAH atas kelahiran SEMUSIM RINDU ni. Terima kasih tak terhingga pada yang sudah membeli, begitu juga yang bakal membeli... ;-)

DI SEBALIK senyumannya... ada tangisan yang panjang. Keperitan hidup menjadi anak buangan membuatkan Hajar Adira begitu berhati-hati. 15 tahun dia cuba membalut luka tetapi sehingga kini luka itu masih berdarah. Selagi parut itu masih ada, kemaafan untuk mereka mungkin tiada. Dulu Hajar pernah mengemis kasih sayang saudara sendiri, kini kasih itu tidak diperlukan lagi. Cukuplah jiwanya menderita dan zahirnya terseksa...

Benarlah... perasaan itu sememangnya sesuatu yang hidup. Hari ini tiada tapi esok mungkin ada. Hari ini ada, mungkin esok tiada. Tapi Hajar tahu perasaannya pada Ikhman tidak akan sirna sampai bila-bila. Bukan senang untuk dia jatuh cinta! Bila sekali perasaan itu bertapak, tiada apa yang mampu menghilangkan rasa cinta walaupun perasaan dendam pernah berapi di dadanya. Sesungguhnya kemaafan adalah dendam yang terindah...

Sungguh... Hajar rindu pada Ikhman. Tapi dia terlalu takut dilukai hingga tanpa sedar dia sebenarnya melukai hati dan perasaannya sendiri. Mungkin ini suratan yang tertulis dalam lipatan hidupnya. Di saat dia baru belajar bertatih untuk menerima dan memberi Ikhman kasih sayang yang tidak berbelah bahagi, dia dibiarkan terkapai-kapai seorang diri. Dan... yang paling perit dia dituduh menduakan suami sendiri! Inikah balasan ALLAH pada dirinya yang ingkar?

Akhirnya... kata putus harus diambil. Biarpun kasihnya digantung tidak bertali, status sebagai isteri tidak akan sesekali dicemari. Jika perpisahan menjanjikan penyatuan dua hati, dia rela berlari dan terus berlari demi mencari kebahagiaan sendiri. Yang pasti dia tidak mahu menjadi seperti bunga, dihirup madunya kemudian ditinggalkan begitu saja. Apakah Ikhman tahu maksudnya?

- SaYa & MaNuSkRiP! -

September 15, 2011

Salam 17 Syawal kawan-kawan yang baik hati! Nampaknya, saya semakin hari semakin malas mencoret di sini. Bukannya saya terlalu banyak makan lemang, nasi impit atau ketupat ya sampai jari-jemari tak runcing saya makin malas membuat kerja-kerja. Tidak sama sekali! Tapi akhir-akhir ni, diakui yang mood menulis N3 di sini memang tak ada. Bukannya tak ada cerita, ada! Mestilah ada sebab saya manusia yang penuh dengan cerita sebabnya, cerita yang tak penting pun bagi saya tetap juga punya makna. Dan ikutkan hati memang nak berkisah di sini tentang apa saja yang dah saya lalui. Cumanya... Encik Mood tak mahu kawan dengan saya! Jahat kan? Jadi... hari ni, saya nak menulis apa saja yang saya suka sebab hari ni saya tiba-tiba aje terasa nak menulis sesuatu. Tak apa kan kalaupun saya nak membebel? Sebabnya, saya memang suka membebel apa yang saya rasa sesuai untuk dibebelkan.

KASIH BENAR KASIH... setakat hari ini setelah dikira-kira, novel terbaru saya tu dah pun mencecah usia 3 bulan. Alhamdulillah, syukur sangat! Dan saya lebih bersyukur bila KBK dah pun diulang cetak dan saya melihat cetakkan tersebut di kedai buku bulan Ogos hari tu dengan bibir penuh dengan senyuman. Syukur jadi berlipat kali ganda. Tak siapa tahu, jauh kat sudut hati saya saat KBK dah pun ada kulitnya, saya rasa gusar sendiri. Gusar saya muncul bila saya tahu kisah yang saya bawa dalam KBK adalah kisah yang terlalu biasa dan dianggap klise oleh pembaca kita. Takut juga kalau pembaca kata saya ‘berundur ke belakang’. Yalah... setelah 8 tahun masuk dalam dunia penulisan, saya sangat tak harap orang kata penulisan saya makin lama makin teruk. Rasanya, semua penulis pun berfikiran sama macam saya. Betul tak? Tapi mujur juga pembaca masih dapat menerima KBK dengan hati terbuka. Kurang dan lebih sesebuah novel tu perkara biasa, jadi... sebagai penulis saya tak mahu jadi penulis yang hanya mengharapkan kata-kata pujian semata-mata. Mana ada karya yang perfect kan? Apalagi bagi penulis macam saya yang sentiasa mahu memperbaiki mutu penulisan.

BUKAN MEMUJA BULAN @ TERUS CINTAI AKU... manuskrip tu sekarang ni dah pun saya serahkan pada yang sepatutnya dan selayaknya. Tapi... jangan ditanya bila tarikh sebenar BMB akan terbit sebab saya sendiri tak ada jawapan. Yang penting bagi saya, BMB lepas penilaian untuk diterbitkan tanpa ada sebarang masalah. Tajuknya pulak, saya ajukan tajuk BMB atau TCA. Mana tajuk yang sesuai tak juga dapat saya putuskan sebab masih terlalu awal dan boleh jadi tajuknya lain kalau ditakdirkan ada rezeki untuk terbit. Tapi tak kisahlah apa pun tajuknya, yang penting dapat terbit. Harap kawan-kawan dapat doakan saya okey!

BOLEH SAYA SAYANG AWAK?... ini kisah tentang Najid dan Najihah yang agak gila! Bukan gila kerana mereka sakit, tapi gila kerana tindakan yang dah mereka buat. Mereka fikir bila buat begini, mungkin akan begitu. Tapi mereka lupa kalau mereka hanya manusia biasa yang memang boleh merancang. Cuma, mereka lupa kalau ada PERANCANG yang lebih sempurna. Kalau DIA mahu, sekelip mata saja hati manusia boleh dibalikkan. Suka boleh jadi tak suka dan tak suka boleh aje jadi suka dan rasa suka tu datang biasanya tanpa ada sebab. Datangnya begitu-begitu aje dan tahu-tahu aje memang sudah ada. Dan mereka... tak bertemu dalam pergaduhan ya kawan-kawan sebab mereka adalah dua sahabat sejak dilahirkan lagi. Sahabat yang sangat baik! Lebih daripada itu, mereka ada "ILHAM @ ABANG" yang sangat memahami.

TAK MAHU KAU HILANG... ini kisah tentang Ghazi dan Qaisara. Cerita mereka cerita biasa dan apa yang berlaku pada mereka memang selalu berlaku dalam masyarakat hari ini. Hanya mungkin penyelesaian bagi setiap orang tak sama. Ada orang, tindakannya begini dan ada orang tindakannya begitu. Bahkan mungkin ada juga yang bertindak seperti apa watak-watak dalam TMKH. Tapi apa pun, saya berharap seperti karya-karya yang lain, TMKH ni bila sudah jadi novel yang entah bila tahunnya, akan dapat diterima pembaca dengan hati yang terbuka dan hati yang besar. Dan selebihnya, kita sama-sama mengutip pengajaran di sebalik apa yang telah saya garapkan.

KAU KATA CINTA... dan ini, kisah tentang Anasha dan Aliff. Anasha yang kasihan dan Aliff yang tak mengerti. Agak lama KKC ni berada dalam simpanan saya, bertahun-tahun rasanya. Dan yang jelas... ada banyak yang berlegar-legar di kepala saya tentang dua watak ini. Bagaikan dah ada penyelesaian untuk semua konflik dan watak-watak tapi ada banyak yang saya perlu lakukan untuk memurnikan manuskrip ini. Hanya saya masih berfikir-fikir saya nak bermula daripada mana. Kalau dilihat dengan mata kasar, macam dah tak banyak mana nak buat tapi bila diteliti semua ternyata saya memerlukan masa yang agak banyak. Tapi apa pun jadi saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan KKC ini jadi sebuah novel. Bila masanya, jangan ditanya ya.

Wah, kalau dilihat pada angka macam banyak ya manuskrip yang saya ada jika ditolak dengan KASIH BENAR KASIH? Sangat rajin saya menulis ya? Tapi... semua tu perlu dipolish sebaik mungkin. Ada yang perlu ditambah, ada juga yang perlu dikurangkan. Pendek kata, saya harus bekerja keras. Saya juga harus memastikan kesemuanya mampu buat saya tersenyum terlebih dulu. Kalau saya sendiri tak puas hati, tak mungkin saya dapat memuaskan hati pembaca. Saya tak dapat janjikan kisah yang hebat, tapi saya akan pastikan semua kisah di atas akan dijadikan sebuah buku. Malah saya akan pastikan pembaca dapat mengutip sedikit pengajaran daripada air tangan saya ni. Pendek kata, yang buruk itu datang daripada saya sendiri dan yang baik itu tentu saja datang daripada DIA YANG MAHA TAHU.

- 11 SyAwAl! -

September 9, 2011

Salam Aidilfitri buat kawan-kawan! Ya... ya... saya tahu memang agak terlambat ucapan tu sebab sekarang ni dah pun menginjak ke angka 11 yang bermakna bulan Syawal dah pun kita lalui selama 11 hari dan Hari Raya Aidilfitri pun sudah masuk hari ke-11. Tapi... baru 11 hari aje kan? 11 hanya angka semata-mata. Sedangkan bulan Syawal ada sebulan dan itu bermakna ucapan Salam Aidilfitri saya masih lagi boleh diterima pakai. Kalau ada yang tak mahu menerima, mungkin kawan-kawan harus menunggu ucapan Salam Aidilfitri saya tahun hadapan kalau ditakdirkan saya panjang umur nanti.


Bukannya saya terlupa mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri awal-awal macam tahun-tahun yang lepas, hanya... mungkin terlalu sibuk akhir-akhir Ramadan buat saya terlupa yang saya ada rumah yang cantik di sini [perah santan] yang perlu diberi perhatian. Untuk yang datang beraya di sini sepanjang saya tak ada, minta maaf tapi percayalah yang kedatangan kawan-kawan sangat dialu-alukan. Harap perasaan serik melihat rumah bersawang ni tak wujud langsung dalam hati ya...


Dan raya saya tahun ni sama aje macam raya tahun-tahun saya yang lepas. Cumanya... ketiadaan abang kedua saya pagi raya sebab dia beraya di rumah mentua dia di Negeri Sembilan buat saya rasa sedikit pincang. Opsss... bukan hanya saya yang rasa keadaan tu tapi seisi keluarga. Kata adik ipar saya yang pertama, “Tahun ni tak best sebab pagi-pagi raya tak dengar Chik menyakat Danish sampai nangis. Tak ada suara Chik menyakat Kak Long.” Ya... betul! Abang saya memang sangat suka menyakat anak sulung dia sampai nangis, dan menyakat satu-satunya kakak yang dia ada tu. Adik ipar saya yang bongsu kata, “Nak bergambar pun rasa tak ada mood.” Kakak ipar saya yang pertama yang masih dalam pantang pula kata, “Raya tahun ni macam tak tentu arah. Tak macam tahun lepas.” Mungkin itu yang dia lihat sebab tahun ni adalah tahun kedua dia beraya di rumah saya.

Ya... memang suasananya agak lain pagi raya tu. Malam raya pun dah rasa sebenarnya sebab dah 5 tahun berturut-turut keluarga saya sambut raya dengan bilangan ahli keluarga yang lengkap. Kak Long dah tak ada ibu dan ayah mentua. Angah pula keluarga mentuanya di Sabah. Adik saya yang pertama, dekat aje keluarga mentuanya. Jalan kaki pun dah sampai. Adik saya yang bongsu, setiap kali raya mama mentuanya balik ke Melaka. Chik saya pulak bukannya tak mahu bergilir, tapi kalau beraya di kampung saya dulu, dia orang akan beraya lama di Negeri Sembilan. Kalau di Negeri Sembilan dulu, sikitlah hari dia orang di sana. Jadi... kakak ipar saya pilih beraya di kampung saya dulu. Hanya tahun ni aje ada masalah yang tak dapat dielakkan sampai mereka terpaksa menukar rancangan yang dah pun dibuat.


Setelah ditambah dan ditolak sesedap rasa, tahun ni jumlah rumah yang saya kunjungi jadi makin sikit. Cuma 6 buah rumah! Tak tahulah, tapi memang makin lama saya rasa budaya kunjung-mengunjungi di kampung saya memang dah makin tak ada, termasuk saya sendiri. Saya cuma beraya di rumah sebelah-menyebelah. Rumah kawan-kawan langsung saya tak pergi dan saya sebenarnya tertanya-tanya juga, “Masihkah saya ada kawan-kawan di kampung?” Sebabnya, sepanjang menjadi ‘Hantu Bonceng” [sebab saya dah berbelas tahun tak bawa motor dan saya dah tak berani pun bawa motor] dalam masa seminggu di kampung, satu batang hidup kawan-kawan yang pernah jadi kawan baik saya, langsung saya tak nampak. Mereka ada di kampung atau tak, saya tak tahu dan tak pula bertanya.

Tapi tak apalah... yang penting, raya pertama hingga raya ke-10 dah pun berlalu. Lebih penting lagi, segala-galanya berlalu dengan jayanya tanpa ada apa-apa masalah yang besar. Dan di bawah ni ada beberapa keping gambar raya kami sekeluarga. Bolehlah tengok kalau sudi...