- DIA PANGGIL AKU MAK CIK? HEI! -

June 23, 2012

“Mahu atau tidak, suka atau tidak... sampai masa gelaran kita pasti akan berubah seiring dengan putaran waktu”

Mendengar perbualan daripada beberapa orang di dalam lift, saya kulum senyum sendiri. Terasa lucu dengan apa yang diperbualkan mereka yang rata-ratanya saya kenal pada wajah tapi tidak pada muka. Ya, saya memang agak teruk. Saya hanya kenal orang-orang yang berlegar-legar di sekitar saya, yang rapat dengan saya dan pernah berurusan dengan saya. Bukan bermaksud saya sombong, hanya mungkin keadaan dan masa yang tak mengizinkan. Tak mungkin kan, saya yang tak pernah berbual-bual dengan mereka tiba-tiba aje menyampuk perbualan mereka. Macam kepoh benar pun ya juga.

Makanya, jadilah saya pendengar setia di tengah-tengah keriuhan mereka. Bukan juga sengaja mencuri dengar atau suka menjaga tepi kain orang. Tidak, sebab saya ada banyak lagi benda lain yang boleh dibuat. Tapi dalam ruang empat segi yang sempit dan bercakap pula dalam nada suara yang kuat, orang yang daya pendengarannya kurang pun tentu akan dengar. Lainlah kalau hanya berbisik-bisik sesama sendiri. Tapi kalau berbisik-bisik di tengah-tengah orang ramai, nampak pula macam sedang mengata salah seorang daripada yang ada di dalam lift itu. Mungkin saya, mungkin juga orang lain sebab manusia memang tak lari daripada berprasangka pada orang lain, apa lagi bila tingkah kita menjurus ke arah itu. Confirm akan dicap tak sopan!

Antara kata-kata mereka yang saya masih ingat, kalau pun tak tepat hampir-hampir tepat;

Kata Si A,“Hari tu Si **** mengamuk.”

“Kenapa?” Si B bertanya, ingin tahu.

Kata Si A lagi sebagai menjawab pertanyaan Si B, “Pengawal keselamatan panggil dia mak cik.”

“Apa Si **** kata pada pengawal keselamatan tu?” Si C juga ingin tahu.

Saya yang berdiri di sudut pun terasa nak tahu juga. Kisah orang mengamuk, nampak macam menarik. Apa lagi bila Si A bercerita beria-ia dan yang mendengar pun nampak teruja nak tahu.

“Si **** kata kat pengawal keselamatan tu, awak panggil saya mak cik? Saya dulu pegawai kat sini tau!”

Okey, kisah di dalam lift tu cukup sampai di situ saja sebab saya kira dah tak ada point penting nak dikisahkan lagi kerana isinya dah saya keluarkan. Tapi apa yang nak saya katakan, seiring dengan putaran waktu segala-galanya berubah. Suatu ketika dulu, kita pasti pernah digelar bayi, kemudian kanak-kanak, remaja, dewasa dan akhirnya tua sebelum kita dijemput pulang pada YANG ABADI.

Ketika kita muda remaja, tentu kita pernah dipanggil adik oleh orang yang tak kita kenali kerana tak mungkin semua orang tahu siapa kita dan nama kita. Bila sampai masa kita akan dipanggil kakak oleh yang lebih mudah, kemudian mak cik oleh yang lebih-lebih muda, nenek oleh yang selayaknya memanggil kita nenek dan tentu pangkatnya cucu kepada kita dan kalau panjang umur tentu moyang oleh cicit kita atau cicit sedara atau yang sewaktu dengannya.

Suatu ketika, kita memanggil orang kakak atau mak cik atau nenek atau moyang. Tapi bila masa berlalu, kita pun akan mendapat gelaran-gelaran sebegitu kerana sememangnya lumrah hidup begitu, macam putaran roda juga. Kita panggil orang kakak, kita akan dipanggil kakak, kita panggil orang mak cik, kita akan dipanggil mak cik, nenek atau moyang bila sampai masanya.

Saya tak tahu apa perasaan saya berpuluh-puluh tahun akan datang bila menghadapi situasi yang sama seperi Si ****. Apakah saya akan mengamuk macam Si **** bila dipanggil mak cik, atau saya akan terima aje panggilan yang datang dengan tangan terbuka kerana saya sedar diri. Dah tua tu buatlah cara tua. Itu saya benar-benar tak tahu sebab masa tu masih terlalu jauh. Mungkin umur saya panjang, mungkin juga umur saya pendek. Tapi setakat hari ni, saya selamba aje panggil orang adik kalau di kedai-kedai sebab saya malas nak banyak bunyi, walaupun kadang-kadang... saya fikir orang yang saya panggil sebagai adik itu jauh lebih berusia daripada saya. Tak kisahlah, saya anggap saya sedang menyukakan hati orang tu. Dengan anak kawan-kawan saya pun, saya selamba aje bahasakan diri saya mak cik.

Bagi saya, tak jadi kudis walaupun nampak sangatlah kekampungan. Biarlah, apa ada pada gelaran? Yang penting, orang tak panggil saya dengan panggilan, ‘hoi’ atau ‘hei’. Dan sebenarnya, kalau pun kita tak suka dipanggil mak cik dengan alasan ‘saya pegawai kat sini dulu’, tak perlulah nak mengamuk atau marah-marah. Tegurlah dengan cara berhemah kerana makin kita marah makinlah orang galak hendak memanggil kita mak cik kerana marahkan kita yang marah-marah. Mungkin orang tak panggil masa tu, akan datang boleh jadi aje. Lagipun, apa yang kita cakap, apa yang kita buat, itulah cerminan diri kita yang sebenar, ;-)

P/S : BUKAN SEMUA ORANG KENAL KITA, JADINYA... KITA TAK BOLEH HARAP KITA DIRAIKAN OLEH SEMUA ORANG. DAN PALING PENTING, TEGURLAH DENGAN CARA BERHEMAH KERANA CARA ITU AKAN MEMBUATKAN KITA DIPANDANG LEBIH TINGGI SELAIN DARIPADA PANGKAT YANG MUNGKIN PERNAH KITA SANDANG SATU KETIKA DULU.

No comments:

Post a Comment