-Hadiahkan Al-Fatihah-

July 31, 2009

Salam hari Jumaat buat sesiapa yang masih berkunjung. Hari ni, aku rasa penat yang amat. Bukan malam tadi kerja angkat balak, atau susun batu buat bangunan. Tapi... berjam-jam menggolek-golekkan diri atas tilam, sudahnya aku cuma dapat tidur 30 minit terakhir. Entah apa melanda, tapi memang banyak yang berlegar-legar dalam kepala aku. Berita sedih yang Bikash sampaikan, meeting yang buat aku rasa semacam dan banyak lagi. Semuanya macam tak nak tinggalkan aku. Atau, kesan nescafe yang aku minum masa sarapan?

Cuma yang pasti, hujung mimpi, aku ingat lagi ayat aku, “Tolong berikan saya borang nak masuk tingkatan enam.” Betul-betul kelakar ayat tu, sebab berapa kali dalam seumur hidup aku nak masuk tingkatan enam. Tapi... yang buat aku gembira sikit, dalam samar-samar, aku nampak sekolah yang dah lama aku tak pijak. Aku nampak adik aku yang sama-sama satu sekolah dengan aku. Tapi anehnya, bila pulak adik aku bawa kereta pergi sekolah? Mimpi... namanya pun mimpi, macam-macam boleh jadi asal saja nama mimpi.

Sebenarnya, semalam dan hari ni aku rasa sedih. Sedih bila Bikash kata, anak Bad (kawan Bikash dan Shanika) dah kembali pada yang abadi. Aku tak kenal sangat dengan Bad, tapi aku pernah jumpa dia beberapa kali dan berbual-bual dengan dia. Aku tak pernah tengok anak dia, tapi baru minggu lepas aku tengok gambar dia dalam hp Shanika. Comel... dah besar pun. Tapi... kalau memang sampai situ hayatnya, siapa manusia nak mempersoalkan apa yang dah ditetapkan? Aku tak ada anak, tapi aku dapat rasakan apa yang Bad rasa, walaupun... yang melihat tentu aje tak sama dengan bahu Bad dan Zack yang memikul. Aku harap, aku berdoa... semoga pasangan itu akan terus tabah. Dugaan memang didatangkan pada setiap hamba-NYA, hanya bagaimana bentuk ujian itu didatangkan... tak ada sesiapa pun yang tahu, sama seperti kita tak tahu rahsia yang ada di alam ini.

Spontan juga aku teringat pada anak Wanie (kawan baik aku di U). Aku ingat lagi dalam tangisan Wani mengadu pada aku yang anak dia tak mungkin akan hidup lama. Aku pun rasa macam tu juga sebab Adam lahir dengan berat 585 gram. Susah nak percaya kalau Adam dapat bertahan dalam keadaan macam tu. 600 gram pun tak sampai. Doktor pun dah ramalkan yang bukan-bukan. Berbulan-bulan Wanie berulang-alik ke HUKM. Tapi alhamdulillah... ALLAH MAHA BERKUASA. Sekarang ni Adam dah dua tahun lebih, Adam dah besar dan aku harap Adam akan terus bertahan sampai bila-bila. Untuk Bad, tak tahu kata apa yang boleh aku beri melainkan sabar... sabar... dan sabar...

-Hadiah daripada Rania-

July 30, 2009






Awards kat atas tu daripada Rania Firdaus. Aku gagahkan juga buat pagi ni walaupun kejap lagi ada meeting. Sebabnya, kalau tak buat sekarang, alamatnya entah bila baru aku buat. Apa pun, terima kasih ya cik adik sebab bagi akak awards tu. Rasa bangga gitu... hehehe...

1. Nyatakan 6 fakta menarik tentang pemberi awards:

* comel
* novelis novel cinta dua jiwa
* mungkin tengah siapkan novel kedua
* seorang student
* suka baca buku
* moody

2. Nyatakan 9 fakta tentang diri sendiri:

* suka makan fast-food
* suka makan tomyam
* suka ambik breakfast berat (nasi kerabu, nasi dagang dsb)
* suka nescafe dan milo
* tak berapa suka nasi lemak
* tak suka meeting
* tak suka baca pruf
* jarang makan tengah hari
* selalu mimpi hantu akhir-akhir ni (malam tadi pun mimpi lagi)

3. Pilih 10 penerima seterusnya bersama description:

* Bikash Nur Idris – dalam mimpi berangan nak jadi optimus prime
* Fatin Nabila – duduk di Terengganu dan aku rindu dia
* Hani Fazuha – masakan dia sedap (bila nak ajak datang rumah lagi)
* Shanika Latisya – kecil-kecil cili padi
* Diana – selalu kena paksa dengar aku nyanyi lagu kanak-kanak (semalam lagu jalur gemilang)
* Kak Azie – kakak yang sangat baik hati
* Kak Fatin – masih dalam pantang.
* Rehal Nuharis – adik yang selalu kena dengar celoteh aku
* hafirda Afiela – adik yang sangat memahami (aku sayang dia)
* Huda – adik yang dah lama menghilang. (rindu sangat kat huda)

*** Dengan ini, selesai sudah jawab tag Rania... ***

-Hadiah Dalam Bentuk Sakit-

July 29, 2009

Kat luar, hujan yang menggila sejak pagi tadi rasanya macam dah teduh. Mood nak bekerja pulak terasa lesap ke mana-mana. Tapi sempat juga beberapa helai cerpen aku edit dalam keadaan yang tak menentu. Mengantuk! Cuma tu aje yang aku rasa sekarang ni. Nak kata tak cukup tidur, tak juga sebab dalam beberapa hari ni, aku rasa macam dah terlebih tidur. Mungkin bahana ubat selesema yang aku makan. Ikutkan hati tak nak makan sebab memang aku rasa mengantuk luar biasa sekarang ni. Hampir-hampir aje muka tersembam atas meja. Tapi kalau tak makan, aku pulak yang rasa tak selesa. Asyik nak bekerjasama dengan tisu aje. Lagipun, malu dengan kawan kiri kanan kalau dengar aku hembus ingus.

Sebenarnya, aku cuak juga bila hidung mula dah berair dan bersin berkali-kali, ditambah dengan deman, sakit tekak, batuk dan pening kepala sejak hari Khamis lepas. H1N1 ke ni? Otak dah mula fikirkan yang bukan-bukan yang semuanya berpihak pada fikiran negatif. Sebabnya, minggu lepas dan minggu sebelumnya aku asyik pergi ke tempat-tempat yang sarat dengan umat manusia. Kemungkinan untuk dijangkiti ada, tapi Ya ALLAH... janganlah sampai fikiran buruk aku ni jadi kenyataan. Dan, alhamdulillah... bila jumpa doktor, doktor tak kata apa-apa pulak.

Tapi aku dibekalkan dengan banyak ubat. Ubat lagi... rasa-rasanya, bulan Julai ni aku dah terlalu banyak makan ubat. Awal bulan hari tu, seminggu diserang gastrik. 4 kali pergi klinik dan entah berapa biji ubat yang aku makan masa tu. Tapi banyak-banyak ubat, ubat selesema yang paling aku tak tahan sebab mengantuk. Dan gara-gara ubat tu, entah berapa kali aku mimpi hantu. Tak kira tidur pagi, tengah hari, petang atau malam, pantang celik mata, hati aku mesti berdetik, ‘mimpi hantu lagi’. Kalau tak mimpi hantu pun, mesti mimpi seram dan mimpi yang semuanya duduk dalam kategori mimpi yang tak best dan menakutkan.

Harap-harap lepas ni semuanya akan pulih dan aku tak sakit lagi walaupun sekarang ni terasa macam antibodi aku dah tak kuat sangat. Tersilap sentuh sikit, esok mula badan rasa tak menentu. Atau... mungkin juga aku dapat sakit sebab ALLAH nak uji aku. Mahu aku bermuhasabah diri dan menginsafkan diri selepas buat silap sama ada aku sedar mahupun tak sedar. Jadi... sebagai hamba-NYA, aku tahu aku tak patut merungut walaupun seluruh badan terasa sakit. Bukankah ujian itu diturunkan kepada orang-orang yang mampu memikulnya. Aku tahu itu, tapi kenapa hati jahat ada masa-masanya, masih mahu mempersoalkan apa yang diturunkan pada aku?

-Hadiah Selepas Ujian-

July 28, 2009

‘Salam, rumah Ct kat Langkawi terbakar semalam.’

Kosong sekejap otak aku masa baca SMS daripada Net. Tak tahu nak buat apa untuk masa beberapa detik. Pertama kali dapat berita macam ni, rasa terkejut sangat. Selalunya berita rumah terbakar aku cuma dapat tengok dan dengar di TV ataupun radio. Bila jadi pada kawan baik sendiri, walaupun dah lama tak jumpa, rasa macam tak percaya. Betul ke?

‘Macam mana boleh jadi macam tu?’ Lepas dah hilang rasa gelabah, aku SMS Net balik.

‘Aku tak tahu sangat. Cuba kau call dia, dia ada kat Langkawi sekarang ni.’

Terus aku tanya Ct apa sebenarnya yang terjadi. Ct kata punca sebenar pun dia tak tahu, mungkin juga sebab elektrik. Rasa sedih sangat bila Ct kata, habis satu rumah terbakar, tak ada apa yang dapat diselamatkan. Tersentap sekejap aku. Tak ada apa pun yang tinggal? Ya ALLAH... rasanya, bukan mudah nak terima kenyataan macam tu. Tapi yang buat aku lagi terasa, bila Ct kata, ‘Insya-ALLAH, aku dan family aku akan tabah hadapi dugaan ini. Nak buat macam mana, dah ALLAH tentukan macam ni’.

Sungguh... ketabahan Ct buat aku terasa diri kecil. Ya, aku tahu Ct sangat bersyukur sebab di sebalik kebakaran yang meranapkan semua milik mereka, seluruh ahli keluarganya terselamat. Bukankah itu lebih penting dibandingkan harta benda yang ada? Dalam diam, aku akui hakikat tu, walaupun mata yang memandang tak mungkin sama dengan pundak yang memikul.

Ct... ya, selepas enam tahun masa berlalu, Ct benar-benar dah matang. Kerjaya sebagai guru, atau tugas sebagai seorang ibu kepada dua orang anak yang buat dia begitu, aku tak pasti. Tapi yang pasti, aku dan kawan-kawan di UPM dulu dah buat silap bila kami seperti tak merestui perkahwinan Ct masa tu. Bukan kaki sibuk, tapi ada banyak alasan yang buat kami minta Ct fikir masak-masak. Lebih dari itu, sebagai kawan, sampai bila kami nak tengok Ct berendam air mata?

Tapi sekarang ni, alhamdulillah... selepas dilanda ribut besar, Ct dah buktikan yang dia mampu mencari bahagia untuk diri sendiri dengan saiz tubuh dan ketinggian yang agak kecil (ketinggian Ct mungkin bawah bahu aku). Untuk Ct dan keluarga, moga sabar dan tabah menjalani ujian sehebat ini. Mungkin sekarang Ct rasa semacam, tapi aku percaya... ALLAH tak akan datangkan ujian kepada hamba-Nya yang tak mampu. Dan aku tahu, bila ujian datang, pasti ada hadiah yang lebih bermakna dijanjikan untuk Ct dan keluarga.

-Hadiah Pembakar Semangat-

July 27, 2009

Nashreha Talib
Shah Alam, Selangor

Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Alaf 21 kerana menghargai setiap peminatnya. Aku adalah antara ribuan peminat Alaf 21. Terima kasih Alaf 21 kerana menghadiahkan aku sebuah novel melalui peraduan ‘Aku dan Bukuku’. Walaupun ia hanya sebuah novel tapi aku amat berbangga kerana dihargai sebagai peminat Alaf 21.

Aku menerima novel ‘Hanya Dia Tahu’ hasil nukilan Aleya Aneesa. Sudah banyak karyanya yang menjadi tatapan mataku. Aku dapati karyanya berbeza setiap kali diterbitkan. Kali ini Aleya Aneesa mengetengahkan kisah persahabatan yang akrab di antara Nasuhah dan Ariana yang masing-masing ingin berkorban demi menjaga hati dan perasaan antara satu sama lain. Tapi mereka terlupa, dalam menjaga hati masing-masing ada hati yang terluka. Pun begitu kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi TUHAN lebih tahu. ‘Hanya Dia tahu’, di sebalik apa yang terjadi ada hikmahnya. Semoga Aleya Aneesa menghasilkan nukilan yang lebih mantap lagi.

Pada petang 26 Jun 2009 iaitu pada hari pertama pesta buku di Shah Alam, aku mengajak suamiku ke sana untuk membeli senaskhah atau dua naskhah buku tetapi suamiku keberatan. Aku merasa sedikit kecewa tapi aku tenangkan hati. Pada malam itu, sambil berehat aku membuka laman web Alaf 21 untuk melihat maklumat terkini yang disiarkan. Tanganku terus sahaja menekan ruangan e-mel minggu ini. Aku membaca dan terpegun!

Eh, ini macam e-mel yang pernah kutaip bulan lepas. Aku melihat nama pengirimnya. Oh, memang aku rupanya. Hatiku berbunga riang, terubat jugakekecewaanku siang tadi. Aku rasa seperti ingin melompat kegirangan kerana terlalu gembira. Aku memanggil suamiku untuk melihat apa yang kulihat. Dia datang kepadaku untuk melihat apa yang menarik hatiku. Dia membacanya sambil tersenyum, aku apatah lagi rasanya senyumku dah sampai ke telinga.

Terima kasih Alaf 21 kerana menghargai pandangan peminatnya. Selepas itu setiap hari aku rasa seperti tidak sabar menanti apakah novel yang akan dihadiahkan oleh Alaf 21 kepadaku. Aku berdoa biarlah novel yang akan kuterima itu nanti adalah yang belum ada dalam simpananku.

Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba, aku menerima sebuah novel ‘Kau Untukku’ karya Aisya Sofea. Betapa bangga dan bersyukurnya aku kerana doaku sebelum ini termakbul jua. Walaupun aku sudah membacanya dua kali melalui buku adikku tapi aku bangga kerana aku mendapat cetakan baru dengan kulit buku yang menarik dan indah, tak jemu mata memandang seindah percintaan Fuad dan Maira. Dalam sesuatu perhubungan itu mestilah ada kejujuran dan harus berterus terang untuk mengelakkan salah faham. Apa pun yang terjadi, kita sebagai makhluk yang lemah harus tahu setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya.

Syabas dan tahniah buat Aisya Sofea kerana novel anda telah mencapai cetakan yang ke-14. Semoga karya anda di masa hadapan lebih menarik dan lebih mantap lagi. Tidak lupa juga kepada Alaf 21 yang sentiasa menerbitkan novel-novel yang boleh memberi pengalaman dan pengajaran buat peminat-peminatnya.Terima kasih, Alaf 21!

*** Copy dari web Alaf 21 ***

-Hadiah dari ALLAH Lagi-

July 23, 2009

Semalam yang hangat. Bolehlah dikatakan semalam adalah hari yang melelahkan walaupun bukan aku yang bawa kereta. Sampai ke hari ini pun penat dan lenguh-lenguh badan masih terasa. Shanika pula macam mana agaknya ya? Mesti penat kawan aku tu jadi berlipat kali ganda. Sorry mek, tapi terima kasih sangat ye. Terima kasih juga pada Bikash, Fieda dan Airul. Mungkin Harry Potter kali ni tak begitu mengujakan hati, tak sabar nak tunggu yang last lepas dengan cerita Bikash, mungkin tahun depan. Tapi aku tetap terhibur dan terasa penat sepanjang hari seperti berbaloi dengan hanya tengok muka korang dan dengar celoteh korang yang dah menceriakan malam aku, walaupun masa tu terasa mata nak tertutup.

Untuk Faizal, photographer Karangkraf, Baien, Fiza, Dodie, Hairi dan Dila, terima kasih juga sebab dah bersusah payah untuk manusia keras kaku macam aku ni. Kalau tak ada korang, entah apa agaknya yang akan jadi dengan aku. Tapi... lain kali, berilah aku tugas apa pun... tapi janganlah suruh aku beraksi depan kamera dan video kamera macam semalam. Aku memang malu yang amat, tak reti, tak tahu dan banyak lagi. Terasa macam nak jadi halimunan masa tu juga. Kalau ada pilihan, mesti awal-awal lagi aku dah cabut lari. Dan untuk Auen yang baik hati, editor semua novel-novel aku, editor yang dah lima tahun kerja dengan aku, terima kasih sebab dah banyak berusaha selama ni. Harap pada masa akan datang, Auen tetap akan jadi editor saya dan akan terus membantu saya meningkatkan mutu penulisan. Tengok Auen betul-betul datang semalam, rasa agak terharu. Terima kasih sangat...


-Hadiahkah Ini?-

July 20, 2009

Hadiah… kali ni rasanya tak ada hadiah yang aku dapat daripada sesiapa dan apa-apa, kecuali aku beli hadiah dan beri hadiah kepada diri sendiri. Ya... aku beli tiga pasang baju dan 1 beg tangan pada tengah-tengah bulan yang sepatutnya memerlukan aku berjimat cermat. Sekali-skala, tak salahkan? Dan kenapa bulan Julai ni aku nak bubuh tajuk n3 dengan perkataan ‘hadiah’ aku sendiri tak pasti. Cumanya, terasa diri dah lama tak memberi hadiah pada orang sebab kelemahan diri sendiri. Tak pernah tahu nak beri hadiah apa pada orang sebab aku tak pernah tahu apa yang orang suka.

Sebenarnya, bukan soal ini yang membuatkan aku ringan tangan menaip keyboard saat ini. Tapi soal hati! Ya, soal hati yang tiba-tiba saja jadi sayu. Habis perhimpunan bulanan tadi, walaupun separuh daripada perhimpunan itu aku tertidur, tengok internet sekejap. Entah apa melanda, yang terbayang-bayang dalam kepala aku hanya Fatin Nabila dan Kak Dhiya Zafira. Ada sesuatu bergolak dalam diri. Ya, aku rindukan mereka berdua dan hampir-hampir aje air mata aku menitis ketika cuba membayangkan wajah mereka berdua.

Ada apa dengan aku sebenarnya? Kenapa sentimental sangat sekarang ni? Punyalah ramai kawan-kawan lain, kenapa mereka berdua yang aku nampak? Aku tak tahu dan aku memang tak ada sebarang jawapan yang pasti. Masa berSMS dengan Fatin tadi, mata aku bergenang dengan air. Terasa nak memeluk dia. Sejujurnya, aku terasa diri bertuah sebab dikurniakan dengan kawan-kawan yang baik selama ini. Cumanya aku terfikir lagi, sebanyak mana kawan aku selama ini? Seberapa ramai kawan yang sebenar-benar kawan? Dan lebih penting lagi, sebanyak mana aku menghargai mereka? Sebanyak mana juga aku menyakiti mereka?

Tak tahu! Hanya itu jawapan yang dapat aku berikan. Banyak yang berlaku akhir-akhir ni dan sebanyak itu juga aku berfikir tentang hidup dan kehidupan yang hanya sementara ini. Dugaan datang satu demi satu. Kecil barangkali, tapi kehadirannya memang terasa sangat dalam hidup aku dan kalau tak sabar, mungkin akan mengubah seluruh sejarah hidup aku. Cuma, entah kekuatan datang dari mana, aku masih tenang menghadapi apa yang datang. Rasa nak marah dan merajuk sangat, tapi masih juga aku mampu tersenyum dan bersabar. Tetap juga melayan seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Kemudian dalam masa beberapa hari, hati berbisik, ‘Ya ALLAH, aku maafkan dia. Biar hati sangat terasa, aku maafkan dia, Ya ALLAH. Dia pasti tak sengaja melakukannya. Aku maafkan dia dan aku mengharapkan keredaan-Mu Ya ALLAH’.

Alhamdulillah... memang aku patut berbuat begitu. Tak rugi. Meminta maaf dan memaafkan rasa-rasanya tidak ada salahnya sebab manusia tak pernah dapat lari daripada melakukan kesalahan. Aku tentu saja tak terkecuali kerana aku manusia yang banyak kurang daripada lebih. Untuk itu, kepada sesiapa saja yang pernah aku sakiti hati dan perasaan mereka, sama ada sengaja atau tak, maaf... maaf sangat-sangat sebab aku selalu tak sedar apa yang dah aku buat. Moga ALLAH memberikan semua rahmat dan kasih sayang-NYA pada aku dan semua umat ISLAM di dunia ini. Amin!

-Hadiah Tak Ternilai-

July 16, 2009

Kursus Penyediaan Indeks… Yang ni boleh dipanggil sebagai hadiah ke? Tapi sebab ada ilmu yang aku dapat, jadi aku anggap ia sebagai hadiah. Ya... hadiah yang tak ternilai sebab selama ni aku tak pernah tahu macam mana nak buat indeks. Aku cuma tahu di halaman belakang buku, kecuali buku kreatif biasanya memang ada perkataan bergelar indeks. Tapi aku tak pernah guna dan tak berapa tahu untuk apa indeks tu. Aku cuma tahu baca bahan teks dan selebihnya, kecuali karya kreatif, aku jarang sekali membaca.

Hari ni hari ketiga kursus, bermakna hari terakhir. Mungkin tak semua aku tahu dan tak ada orang boleh jadi pandai dalam masa sesingkat ini sebab nak buat indeks tak semudah mengira 1, 2, 3, 4, 5 dan seterusnya. Kemahiran membuat indeks perlukan masa dan kekerapan. Semakin kerap kita buat, semakin kita dapat menguasai. Itu kata cikgu yang mengajar aku dan kawan-kawan. Dan... kata-kata tu aku akui sebab sepanjang tiga hari ni, aku dapat rasakan betapa susahnya nak buat indeks. Sukarnya mencari perkataan yang penting dalam teks, dan lebih daripada itu... aku jadi jemu bila yang dicari terasa macam tak jumpa walaupun ada.

Tapi berbanding kursus-kursus lain, aku rasa inilah kursus yang paling aku suka sepanjang kerja di Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebabnya, praktikal lebih banyak berbanding teori. Bukan tak suka teori sebab teori sama penting dengan praktikal. Cumanya... yang bermasalah diri aku sendiri. Semakin banyak orang di hadapan bercakap (cikgu, pensyarah, penceramah dsb) semakin mata aku mudah tertutup, tak payah tunggu sampai 10 minit. Memang dari zaman sekolah sampai sekarang ni, aku mudah mengantuk bila mendengar orang bercakap sesuatu di hadapan (kelas atau pentas). Pernah satu ketika, cikgu Bahasa Melayu cakap kepala aku dah masuk virus sebab aku dah hanyut entah ke mana-mana.

Apa pun, aku harap ilmu yang aku dapat sepanjang kursus ni akan kekal dan bermanfaat untuk aku. Kalau pun bukan hari ni, mungkin pada masa akan datang. Siapa tahu kan? Sebabnya... dalam dunia ni, tak ada siapa pun tahu apa yang akan berlaku walaupun dah merancang macam-macam.

-Hadiah dari Bikash Lagi-

July 15, 2009


1. Sila copy paste award ini di blog anda:
Selesai sudah...

2. Sila copy paste award ini di side bar blog anda:
Alamak... tak sempat, nanti-nantilah kalau ingat...

3. Passkan kepada 5 rakan anda:
Rehal Nuharis
Hafirda Afiela
Diana
Kak Fatin
Ida

-Hadiah dari Bikash-

July 14, 2009


1. Copy badge untuk diletakkan diblog anda -
Selesai sudah...

2. Link @ ceritakan siapa yang memberi award ini -
Bikash yang baik hati & selalu ajak tengok wayang...

3. Setiap blogger mesti menyatakan 10 fakta diri sendiri sebelum memilih penerima award seterusnya (anda ditag) -
i. suka tidur
ii. susah tidur
iii. tak lemah lembut
iv. suka ketawa
Iv. suka bercakap
vi. suka makan
vii. suka baca novel
viii. suka menulis tapi dah lama tak menulis
ix. tak suka edit drama
x. suka membazir akhir-akhir ni...

4. Pilih 6 orang penerima award seterusnya & nyatakan nama mereka -
Yang ni tak tahu sebab semua kawan-kawan rasanya dah dapat award ni...

-Hadiah dari ALLAH-

July 8, 2009

3 Julai 2009 bersamaan Jumaat yang damai, alhamdulillah... dengan izin ALLAH, keluarga kecil aku bertambah lagi ahlinya bila kak ipar aku selamat melahirkan anak keduanya. Kali ni aku dapat anak buah perempuan dan ini bermakna, mak dan abah dah ada tiga cucu perempuan dan tiga cucu lelaki. Abang aku dah ada sepasang anak, Danish Hakim dah ada adik dan aku dah ada enam orang anak buah (hem... ramainya).

Nama yang diberi Arrisa Izzayani. Aku tak tahu entah atas dasar apa, abang dan kakak ipar aku tak pilih nama untuk anak perempuan. Hanya nama lelaki yang diaorang sediakan. Bila tiba-tiba dapat anak perempuan, diaorang macam kalut mencari nama. Subuh tu... kakak ipar aku tanya aku nak letak nama apa kat anak dia. Aku pun kalut juga sebab aku pun tak tahu nak letak nama apa. Memang asalnya kalau anak perempuan, diaorang nak aku beri nama. Aku pun memang teruja nak beri nama, cumanya... makin masa berlalu aku anggap permintaan diaorang macam angin. Aku lupa dan melupakan...

Bila tiga hari lepas tu ditanya sekali lagi... aku berusaha mencari beberapa nama yang agak elok dan maknanya pun tidak dilarang dalam agama sebab diaorang nampaknya memang serius berharap pada aku yang bukannya boleh diharap sangat. Dalam pencarian beberapa jam, aku jumpa beberapa nama dan aku serahkan semuanya pada abang aku. Aku dah pilih nama-nama tu, tanggungjawab aku atas janji yang aku buat beberapa bulan lepas dah selesai dan untuk berlaku adil, aku biarkan abang dan kakak ipar aku pilih mana yang diaorang suka berdasarkan nama yang aku senaraikan. Sekurang-kurangnya, biar diaorang pilih untuk puaskan hati sendiri sebagai orang tua.

Apa pun, seperti anak-anak buah aku yang lain, Kakak, Adik, Danish, Aqif dan Zakuan... aku berharap dan berdoa, moga Arrisa Izzayani pun akan menjadi anak baik. Anak yang mampu menjadi penyeri dan penyejuk di hati orang tua...

-Hadiah Bermakna-

July 7, 2009

ESQ! Aku tak tahu bagaimana nak terangkan tentang ESQ ni dan tentang perasaan aku sekarang ni. Jangankan terangkan secara terperinci... terang secara kasar pun belum tentu aku mampu. Cuma yang dapat aku katanya, ada pelbagai rasa bergolak dalam diri masa tu, masa ni dan mungkin sampai bila-bila rasa ni tak akan hilang. Hendaknya... pengalaman dan pengajaran yang aku dapat sepanjang ESQ training tu dapat dijadikan panduan buat penyuluh hidup aku yang adakalanya tak menentu. Dalam terang pun ada masa-masanya aku terasa gelap, apalagi dalam gelap-gelita yang langsung tak bercahaya.

Buat Karangkraf dan Alaf 21... tak ada kata lain yang dapat aku ucapkan selain daripada terima kasih, terima kasih sangat kerana memberi peluang pada aku dan kawan-kawan yang lain. Hendaknya, biarlah kita sama-sama diberkati ALLAH. Amin!




-Hadiah dari Hati-

July 1, 2009

Dia kata aku garang sebab suka marah-marah bila dia main pondok-pondok guna segala macam mangkuk, pinggan, sudu dan cawan kat rak. Tak cukup dengan tu, dia bawa tikar dan bentangkan bawah pokok rambutan depan rumah. Tanpa rasa bersalah, dia ajak semua dua pupu dan mak cik yang dia ada.

Dia kata aku jahat sebab aku selalu naik angin bila dia buli mak aku, nenek dia. Pernah tengah-tengah malam gara-gara nak makan telur goreng sedangkan memang tak ada telur kat rumah dan kedai pun dah tutup masa tu. Dia nangis macam langit nak runtuh, sambil tu... mata dia hampir keluar gara-gara pandang mak aku yang memang lemah kalau dengan cucu yang satu ni, yang banyak kerenah berbanding yang lain. Sudahnya, aku kata aku akan korek mata dia dengan garpu dan bagi anjing makan kalau dia terus pandang macam tu. Mungkin takut tak bermata, atau takut dengan suara aku yang dah tinggi, tangisan dia terhenti. Mata yang besar jadi kecil perlahan-lahan.

Dia kata aku kedekut hanya semata-mata pukul 2.00 pagi, dia ketuk bilik aku mintak jajan. Mana aku nak cari jajan dalam masa macam tu. Kalau dia cakap siang, mahunya sebakul aku belikan dia jajan. Biar dia tak larat makan. Masa tu dia kata, tekak dia macam dah terbayang-bayang jajan dalam mulut dia. "Ya ALLAH... macam mana ni, adik dah tak tahan lagi. Adik betul-betul nak jajan, mak tam. Kempunanlah adik macam ni." Dialog terakhir dia sampai bila-bila aku tak akan lupa. Adik bongsu aku yang selalu muka serius, dah tergolek-golek ketawa. Dia tu 5 tahun ke 10 tahun? Mujur juga aku teringat ada sekeping coklat kit kat dalam beg.

Dia juga yang kata, "Jangan... kita semua jangan naik kereta yang mak tam bawa. Bahaya...". TUHAN aje yang tahu betapa aku terasa nak meramas mulut kecik yang berbisa tu. Anehnya, bila aku suruh turun dia tak mahu. Yang kelakarnya, kerajaan belum pun wajibkan pakai tali pinggang keledar kat belakang, dia dah amalkan tiga tahun lepas. Pun macam tu, sepanjang jalan mulut dia tak henti-henti membebel. Patut ke dia cakap, "kita ni macam dah sesat". Ya ALLAH... sabar ajelah budak ni, takkanlah aku tak tahu jalan kat kampung aku sendiri? Takkanlah aku lupa jalan ke sekolah yang dah banyak berjasa pada aku? Mujur anak sedara aku, kalau anak orang lain memang ada yang kena campak keluar lalu tingkap kereta.

Tapi dia... dia tak tahu aku hampir-hampir menitiskan air mata bila isi sampul sebesar A4 yang dia beri, aku tatap, baca dan lihat. Inikah dia... manusia bernama Nurul Hannah? Manusia yang aku panggil adik? Macam tak sama dengan budak kecik yang ada dalam bayangan aku selama ini. Mungkin cuma kertas nipis yang tak ada makna, gambar yang barangkali diambil dari album gambar aku, tulisan buruk guna pensel, lukisan gambar aku dan dia yang langsung tak lawa dan bunga plastik yang dirembat dari pasu ibu dia. Tapi bagi aku, hadiah-hadiah kecil itu terlalu bermakna dan tentunya aku akan simpan sampai bila-bila. Sungguh... aku terharu...