-Bayar Hutang-

June 30, 2009

Bikash kata... jangan hutang lama-lama sangat. Jadi... kali ni aku ambik keputusan tak nak hutang lama sangat, takut lupa sebab hutang tag aku dah banyak sangat dan aku dah lupa pun (maaf pada yang berkenaan). Dan, inilah hasilnya... inilah dia penghuni beg tangan yang aku heret ke sana ke sini setiap hari, kecuali Sabtu dan Ahad.

Ya... itulah dia teman setia aku dan kesimpulannya, pen, tiket wayang dan segala macam ubat yang paling bermakna melebihi benda lain dalam hidup aku sebab kuantiti yang banyak dalam beg tangan aku. Rasanya, Bikash dah puas hati. Tapi... aku tak nak tag sesiapa sebab tak ada sesiapa dalam bayangan aku setakat ni. Kawan-kawan yang lain rasanya semua dah pernah jawab tag ni.

-Indahnya Kenangan-

June 19, 2009

Pergi Zoo Negara? Soalan tu berputar-putar dalam kepala aku sebaik aje tau plan yang dah disusun. Mulanya aku agak keberatan juga, bukan sebab tak suka nak pergi zoo, tapi sebab Sabtu dah keluar dan malam tu pulak duduk rumah Kak Hani sampai pukul 11.00 malam, jadi Ahad... tentunya masa melepak kat rumah. Tapi sebab kenangan Fatin yang datang dari Terengganu dan bukannya selalu dapat jumpa dengan dia pun, aku gagah juga bangun pagi. Cuti... bila-bila boleh cuti, cuti hujung minggu kan selalu ada.

Seperti yang dijanjikan, 10.30 kami berlapan (aku, Bikash, Shanika, Fatin, Fieda, Airul, Fauzi dan Achik) bergerak dengan dua kereta. Dah sampai sana... macam orang lain jugalah, mula membuat lawatan sambil belajar, sambil menyakat, sambil mengutuk, sambil mengejek sesama sendiri dan macam-macam lagi. Terasa macam budak sekolah pun ada juga sebab rasanya dah lama benar tak pergi zoo, apalagi Zoo Negara. Kali terakhir aku pergi Zoo Melaka entah berapa tahun lepas. Zoo Johor... dah berbelas-belas tahun tak pergi. Tapi... apa pun, aku memang seronok sangat masa pergi tu. Bukan sebab dapat tengok segala macam haiwan yang ada, tapi sebab dapat jumpa kawan-kawan. Cumanya... sampai ke hari ni kalau terfikir, aku mesti senyum sendiri. Macam manalah idea nak pergi Zoo Negara ni boleh ada kat kepala Bikash?

Fatin, aku, Bikash dan Shanika... agaknya kalau digabungkan kami empat orang, sama tak dengan beratnya seekor zirafah kat belakang tu? Kalau diukur tinggi pula, rasanya... aku memanglah tak menang...

Gambar ni aku ambik sebab kat kampung aku tak ada kambing. Asalnya nak bergambar dengan kambing putih... tapi tak sempat snap, kambing tu dah lari. Macam tau-tau je aku nak masukkan gambar dia kt sini.

Punyalah luas Zoo Negara, dan punyalah banyak hari, tarikh lain dan manusia di Malaysia ni, boleh pulak kami terjumpa dengan Kak Lina dan keluarganya. Dan seperti biasa, kalau dah berbual, memang selalu lupakan orang lain, walaupun hari sebelumnya dan jumpa dah.

Bukannya nak bergambar sangat dengan gajah ni, tapi aku tangkap juga sebab nak tunjukkan pada anak-anak buah aku seramai 5 orang tu. Biar dia orang jealous. Kata kawan-kawan aku, niat aku jahat...

Mana lagi cantik... kita orang atau pun kawan-kawan Fieda yang kat belakang tu? Tapi... pandai juga haiwan-haiwan kat zoo ni bergambar, ada macam-macam gaya.

Bikash, Fieda, aku, Fatin dan Shanika... Sebenarnya tak pernah sangka pun akan pergi melawat Zoo Negara dengan dia orang ni.















-Manisnya Sebuah Pertemuan-

June 17, 2009

13 Jun 2009, bertempat di De Palma Hotel, Shah Alam, Pertemuan Penulis Alaf 21 diadakan. Rasanya lepas tahun 2006, inilah pertemuan beramai-ramai (hampir seluruh penulis dan warga kerja Alaf 21) yang dianjurkan oleh Alaf 21 yang dapat aku hadiri. Sebelum ini ada juga, tapi aku tak berkesempatan untuk turut sama. Selepas tiga tahun, rasanya bilangan penulis Alaf 21 dah bertambah dengan agak pesat juga. Tapi antara mereka, ada yang dah biasa aku jumpa walaupun tidaklah begitu kerap, ada juga yang baru pertama kali. Bila tengok muka kejap rasa macam kenal, kejap pulak rasa macam tak kenal sebab hanya tengok kat blog semata-mata selama ni. Nak tegur pun ada rasa gusar, takut pulak kalau-kalau terpanggil nama orang lain, tapi... kata orang, tak kenal kan maka tak cinta. Kalau bukan dalam pertemuan seperti ni, bila pula masanya nak berkenalan?

Apa pun, rasanya pertemuan kali ni lebih meriah berbanding dulu tu. Mungkin sebab jumlah yang ramai, atau mungkin juga sebab sebahagian besar dah saling kenal di pesta buku, jamuan raya, program-program lain atau di Alaf 21 sendiri. Dan aku harap, persahabatan atau ikatan yang ada antara kami... biarlah berpanjangan sebab dunia penulisan di Malaysia tak besar mana, pusing ikut mana pun... akhirnya akan bertemu juga pada paksi yang sama.
























-Selamat Hari Lahir, Mak...-

June 15, 2009

SELAMAT HARI LAHIR untuk...
insan yang paling baik dalam hidup aku selama ni,
insan yang telah membawa aku dalam kandungan dengan begitu susah payah,
insan yang membawa aku ke dunia yang berseri ni dengan selamat,
insan yang selalu membangunkan aku setiap kali aku jatuh terduduk,
insan yang menjadi tempat aku berpaling setiap kali aku hilang haluan,
insan yang sering makan hati berulam jantung kerana tingkah aku,
insan yang tak pernah kenal putus asa dalam mendidik anak-anak,
insan yang sanggup menolak kepentingan sendiri demi anak-anak,
insan yang tak pernah membebankan aku,
insan yang tak pernah meminta apa-apa,
insan yang kalau tak ada dia, mungkin aku bukan lagi bergelar penulis,
insan yang tentu saja mengatakan dirinya peminat aku nombor satu,
insan yang... aku dah kehilangan diksi bagi menterjemahkan apa yang ada dalam hati sekarang ini. Terlalu banyak yang nak diluahkan terlalu sedikit yang dapat aku lepaskan.

Dan sebagai anak kepada Mahani Dahli... Hanya DIA Tahu betapa sayangnya aku pada insan bergelar ibu ini. Betapa tingginya jasa dan pengorbanan yang dah mak buat untuk aku dan adik-beradik yang lain tak mungkin dapat aku balas walaupun aku terasa nak membalas. Hanya pada ALLAH, aku berharap semoga mak dipanjangkan umur, dimurahkan rezeki dan selalu ada dalam rahmat ALLAH. Sungguh... Ami sayang sangat kat mak, SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-55 TAHUN, mak...

-Hanya DIA Tahu, Lagi...-

June 9, 2009

Hari ni genap 48 hari Novel Hanya DIA Tahu ada di pasaran. Perasaan aku? Tentu saja lega bercampur dengan tak ada perasaan. Lega sebab setakat ini, masih tidak ada komen-komen yang teruk (sikit-sikit tu memang ada, tapi itukan adat) dan novel tu masih diterima seperti novel-novel yang lain. Harapnya, novel-novel akan datang pun akan diterima juga hendaknya sebab tak ada penerimaan dan sokongan daripada pembaca, bidang penulisan aku pun tak boleh ke mana-mana. Tak ada perasaan pula... mungkin sebab dah 48 hari, rasa ghairah dan excited tu dah semakin kurang dibandingkan dengan selepas beberapa hari novel tu ada di pasaran. Cepat benar rupa-rupanya, perasaan manusia berubah.

Hari ni juga aku dapat satu email lagi. Orang bertanya sama ada aku penulis asal novel tu atau bukan dengan alasan, pernah baca novel tu dalam bentuk e-novel. Kata diaorang, jalan cerita sama, watak sama kecuali watak hero (Zahin ditukar kepada Zaen) dan tajuknya (Bidadari Cinta ditukar kepada Hanya DIA Tahu) dan ada alasan-alasan lain dengan tujuan untuk tahu cerita sebenar daripada aku. Apa jawapan aku? Hem... ya, aku penulis sebenar cerita tu. Cerita tu cerita aku, tajuk tu tajuk aku, blog tu blog aku dan semuanya milik aku dan hanya aku semata-mata, jauh sekali kongsi dengan orang lain. Tak ada niat nak ciplak, apalagi nak aniaya orang lain dan tak ada sebab nak buat macam tu. Bagi aku, menulis tu satu kerja yang keseronokan dan kepuasannya tak tahu macam mana nak jelaskan. Kat mana letak seronok dan rasa puas tu kalau hanya mencedok hak orang? Lagipun aku minat bidang penulisan, aku tak akan cemari benda-benda atau perkara-perkara yang aku suka.

Cuma... mungkin silap aku bila cerita dalam blog tu hanya ada suku daripada sebuah buku. Macam mana nak jelaskan ya? Masa buat e-novel tu, aku hanya sekadar suka-suka. Kononnya, sengaja nak menguji di mana letaknya kekuatan dan kebolehan diri. Sayangnya, aku tak hebat macam kebanyakan penulis e-novel yang lain sebab aku tak mampu bertahan. Dalam erti kata lain, aku tak pandai menguruskan masa dengan baik. Jarak antara bab ke bab terlalu lama tempohnya hingga orang tertanya-tanya dan ada juga yang dah naik marah sebab aku buat orang tertunggu-tunggu. Aku rasa serba salah dan bersalah. Sudahnya, aku hentikan cerita tu begitu saja dan aku tutup blog tu walaupun aku tahu ada yang tertunggu-tunggu. Kebetulan juga tahun lepas, mood penulisan aku agak buruk. Hanya DIA Tahu tu aku mula awal tahun (hanya siap suku) dan (selebihnya) aku hanya dapat sudahkan hujung tahun (pertengahan Oktober-awal Disember).

Rasanya, penerangan ni dah cukup kan? Jadi... lepas ni, harap tak ada yang ragu-ragu lagi kat aku gara-gara Hanya DIA Tahu tu ye.

- Ulu Tembeling, Kosong... -

June 5, 2009

“Ada orang rindu kat awak...”

Itu kata Lin masa aku dan dia berjalan melepasi Petronas menuju ke kereta masing-masing, meninggalkan mak, Jaja dan yang lain-lain di belakang. Terus serta-merta langkah kaki yang perlahan terhenti, pantas mata pandang muka sepupu yang pernah jatuh dan bangun bersama aku dan Jaja satu ketika dulu. “Siapa?” Aku ketawa perlahan. Kelakar, siapa pula yang nak rindukan aku kat Johor Bahru tu.

“Dia...”
“Siapa?”
“Azie kata...”

Aku ketawa lagi. Azie? Tak payah Lin jelaskan lebih lanjut, aku dah dapat tangkap siapa orang yang Lin maksudkan. Hampir 10 tahun masa berlalu, baru kali ni aku dengar cerita tentang dia. Sebenarnya, aku pun dah semakin hilang ingatan kat dia. Dia pula, tentu saja aku kira aku dah semakin luput dari minda. Masing-masing dah memilih kehidupan sendiri, pilihan yang tentu saja terbaik. “Dia rindu?” Aku terus juga ketawa sebab aku rasa memang kelakar sangat. Pertama kali dengar lepas segala-galanya dah makin jauh di belakang. Dan kalau diberi pilihan sekali lagi, tetap juga aku pilih untuk ada di landasan yang aku lalui sekarang ini, bukan landasan 10 tahun lepas.

“Kenapa?”
“Dia baca novel awak. Malam tu dia mimpikan awak. Mimpi bagi hadiah kat awak...”

Ketawa aku bersambung lagi. Takkanlah sampai macam tu sekali penangan novel aku? Kalau dulu, silap-silap ada yang menangis sampai bengkak mata dengar apa yang Lin cakap sebab terharulah kononnya. Sekarang tak lagi dan tak akan lagi. Tapi dalam pada ketawa, aku akui memang ada rasa terharu juga sebab dia masih sudi baca karya aku walaupun aku tak pernah jumpa dia lagi, walaupun aku dan dia sama kampung dan aku harap tak akan jumpa dia lagi sebab cerita kanak-kanak ribena aku dan dia dah lama tamat.

“Sabariah kata... telefonlah kalau rindu. Minta nombor pada sesiapa, mesti ada yang simpan nombor dia...”

Dia yang Lin maksudkan tentu saja aku. Alahai, kenapalah sampai macam tu sekali? Dah 10 tahun dan aku tak ada rasa apa-apa pun lagi, jauh sekali nak berpaling ke belakang sebab aku dah cukup selesa dengan apa yang aku ada sekarang ni. Dia pun takkanlah tak bahagia dengan keluarga yang dia dah bina. Tak perlu bersapa, tak perlu bertelefon, tak perlu diungkit dan tak perlu segala-galanya. Dia... cuma sebahagian warna yang mencorakkan diari hidup aku, walaupun dulu... aku pernah rasa yang aku tak boleh hidup kalau dia tak ada. Jiwa remaja, selalu tak pernah nak fikir jauh. Dan betullah kata orang, kita tak akan tahu kita mampu buat sesuatu yang lain daripada apa yang kita fikirkan selagi kita tak hadapi benda atau perkara tu. Buktinya, aku tetap juga dapat menjalani hidup, malah lebih gembira dan bahagia dibandingkan dulu.

Tapi satu perkara yang sampai hari ni aku tak faham dan aku nak faham kalau boleh... kenapa sepanjang 10 tahun kebelakangan ni, dia selalu datang dalam mimpi aku walaupun tak berjemput? Padahal, aku tak ingat pun kat dia lagi. Kalau Lin tak ingatkan hari tu, mungkin hari ni pun aku tak akan ingat aku pernah kenal dia. Ada hutang ke aku? Atau, ada yang berhutang pada aku? Anehnya hidup, aneh lagi kehidupan sebab masa mak suruh pergi sekolah, aku main mata, masa mak izinkan aku main bola jaring atau badminton, aku main cinta pula. Alahai harunya anak mak nama Marwati Wahab @ Aleya Aneesa ni...

-Ulu Tembeling, Sebuah Deja Vu-

June 4, 2009

Cecah aje kaki ke lantai bot, abah cakap ‘Pakai jaket keselamatan tu’. Aku terus duduk sambil tangan capai life-jacket yang abah hulur. Kat sebelah abah, aku tengok mak tengah terkial-kial pasang life-jacket ke badan. Lama aku termenung kat sebelah mak andak dan Hamzah walaupun mata terfokus ke depan, arah kaum kerabat aku yang lain, yang masing-masing sibuk memilih tempat duduk kat dalam bot yang tidak begitu besar dan dah pun disempitkan oleh kami dan barang-barang yang hendak dibawa ke Ulu Tembeling. Jaja dan Aman lalu sebelah pun aku macam tak nampak, sedar-sedar aje dua sepupu aku tu dah ada kat belakang tempat duduk abah. Entah bila diaorang melintasi aku, aku sendiri tak perasan.

Sebenarnya, sesiapa pun tak tahu kata-kata spontan abah mengingatkan aku pada peristiwa 13 tahun lepas. Kata-kata yang sama aku pernah dengar dari mulut abang ngah dan abang chik. Seingat aku, hari tu hari Sabtu, hujan turun lebat sangat dan rasa-rasanya tempat berteduh di Pantai Lido macam dah tak sesuai nak tampung kapasiti orang yang berteduh di bawahnya. Apalagi, masa tu waktu kerja dah lama habis. Aku dan beberapa kawan-kawan yang masih bersekolah, termasuk adik aku turut menyibuk di situ walaupun sepatutnya kami tak ada. Ya, kami (yang masih bersekolah) memang ada di situ tapi destinasi kami tak sama, adik aku pun aku tak tahu kenapa boleh ada kat situ. Aku pula, entah angin apa melanda, aku keluar hari tu sebab nak ke rumah kawan yang terletak di Tampoi Indah.

Lama menunggu, akhirnya dalam hujan lebat bot penambang yang memang bertugas bawa balik dan hantar penduduk kampung aku yang bekerja di bandar sampai juga. ‘Terus nak jalan ni’, kata orang yang bawa bot tu. Sebab dah tak ada pilihan, kami pun bergerak menuju ke bot. Masa nak bergerak ke belakang, aku baru perasan ada abang ngah dan abang chik, diaorang dah duduk di belakang. Aku pulak, terus duduk selang tiga baris dari depan dan adik aku agak jauh dari aku. Tak nak duduk sekali dengan diaorang tu sebab dulu aku tak berapa suka kat diaorang sebab masa tu aku agak tak berapa bijak. Bila orang marah dan bila orang tegur, aku anggap aku dikongkong dan orang tak suka aku. Jiwa remaja... entah kenapa selalu saja suka memberontak. Lebih dari itu, aku bimbang kalau-kalau dalam keadaan orang ramai dan cuaca yang huru-hara, aku kena marah atau tegur macam pesalah.

Tapi... belum pun lama aku duduk, tiba-tiba bahu aku dicuit, aku pandang belakang. Sudah, aku ni nak kena marah ke? ‘Pergi belakang,’ kata abang chik dengan suara perlahan, tapi bagi aku yang memang dah selalu kena marah, itu arahan mandatori. Bila abang chik bergerak ke arah adik aku, aku bingkas ke belakang dengan muka macam asam keping dan muka macam asam keping aku berubah jadi asam kecut bila abang ngah dah tunjuk kat tempat kosong sebelah dia. Duduk sebelah dia, malasnya... tapi aku duduk juga sebab imej abang ngah di mata aku, tentu saja seorang yang garang walaupun aku selalu jelir lidah kat belakang dia. Sebelum aku dapat malu lebih baik aku ikut. Dan adik aku pun kena pergi belakang, duduk kat sebelah abang chik, depan aku dan abang ngah.

Sebelum bot bergerak, hujan masih lagi menggila. ‘Pakai life-jacket ni,’ kata abang ngah sambil hulurkan dua life-jacket, satu untuk aku dan satu lagi untuk adik aku. Rasa-rasanya, dalam bot tu cuma dua ajelah life-jacket yang ada. ‘Buat apa?’ Bukan aku namanya kalau tak menjawab. ‘Lagipun Ami pandai berenanglah’. Sudahlah menjawab, memprotes pulak aku. ‘Pakai ajelah.’ Abang Chik dah marah tapi aku masih juga tak nak pakai sebab bagi kami yang hari-hari pergi sekolah naik bot, pakai jaket keselamatan tu satu perbuatan yang sangat memalukan. ‘Ramai lagi orang lain dalam bot ni, bukan semua pun pandai berenang. Kalau Ami pakai, diaorang macam mana?’. Siap dengan alasan lagi aku hari tu semata-mata tak nak pakai jaket keselamatan. ‘Itu, orang lain punya fasal. Sekarang ambik dan pakai life-jacket ni.’ Abang chik tentu saja tak akan beralah walau keras macam batu pun kepala aku dan sudahnya aku dan adik aku jadi orang pelik hari tu.

Memang agak dahsyat keadaan masa tu dan aku agak cuak sebab silap-silap memang karam sebab kat depan langsung tak nampak apa dan ombak Selat Tebrau saling hempas-menghempas, walaupun perjalanan ke kampung mungkin hanya ambil masa 15-20 minit. Tapi kata orang, dalam tempoh tu macam-macam boleh berlaku. Dan memang pun kami hampir-hampir karam. Rasanya, kalau karam entah siapa yang bakal hidup. Aku dan adik aku yang ada life-jacket? Orang kampung yang pandai berenang? Orang yang tak pandai berenang? Abang ngah dan abang Chik?

Sekarang masa dah berbelas-belas tahun berlalu dan hubungan aku dan dua orang abang aku dah jadi sangat akrab. Tapi setiap kali kenangkan peristiwa tu, mata aku mesti bergenang dengan air. Betul kata orang, bukannya semua orang tahu bagaimana caranya mempamerkan kasih sayang. Dulu, aku selalu merasakan abang ngah dan abang chik kejam. Semua yang aku buat tak pernah kena kat mata diaorang. Aku asyik kena marah dan aku selalu merasakan aku tak patut dimarahi kerana aku tak rasa apa yang aku buat tu salah, walaupun mungkin aku bersalah. Tapi peristiwa tu buat aku sedar... abang ngah dan abang chik sebenarnya sangat sayangkan aku dan adik-adik, hanya mereka bukan jenis yang mengungkapkan apa yang ada di hati. Buktinya, diaorang tak pedulikan diri sendiri walaupun diaorang boleh aje gunakan life-jacket yang ada tanpa peduli pada aku dan adik aku. Bukankah nyawa sendiri lebih penting daripada nyawa orang lain, termasuk adik sendiri? Tapi... abang ngah dan abang chik dah buktikan yang diaorang lebih sayangkan adik-adik melebihi diri sendiri.

Dan aku sebagai adik? Sampai bila nak merungut dan merasakan aku tak diadili dengan betul? Sampai bila nak menyimpan dendam dan sakit hati yang tak ada sudahnya, hanya gara-gara merasakan aku dikongkong? Dan kasih sayang... kadangkala memang tak perlu diungkapkan kerana apa yang diungkapkan itu belum tentu ada kebenaran. Sebaliknya, tanyalah pada hari, renunglah dengan sedalam-dalamnya kerana jawapan yang dicari pasti ada di dalam sana. Untuk abang ngah dan abang chik, terima kasih sangat... aku bangga punya abang seperti kalian.