- Kelabu, Inilah Warna Hidup -

February 25, 2009

Hari ni… pagi ni... ketika ni... rasa letih sangat. Kalau boleh tak nak buat apa-apa, hanya nak baring atas katil, selubung dalam selimut dan pejam mata... pejam, pejam dan terus pejam walaupun malam tadi aku tidur pukul 9.00 malam. Blurb yang aku janjikan pada editor langsung tak bersentuh. Tapi, sudahnya aku bangun juga walaupun macam dah tak ada hati dan sekarang dah pun ada di opis, di tempat duduk aku dan depan PC. Masih juga meneruskan rutin harian yang ada kalanya seronok dan ada kalanya rasa macam tak nak buat apa-apa. Macam putaran roda juga. Dan, mungkin sekarang ni adalah masa ‘tak nak buat apa-apa’ sebab ada yang berbuku di hati dan tak dapat nak diluahkan atas banyak sebab, rasanya sakit sekali. Siapa aku kan?

Ah... pergilah, pergilah semuanya sebab aku dah malas nak ingat lagi. Apa pun hari ni, aku nak berpantun, mana tau lepas ni dah okey, ceh! Tapi bukan pantun aku, pantun Kalam Hamidi dalam drama bertajuk Anak Nazar Tujuh Keramat. Pantun yang agak mencuit hati aku walaupun bahasanya mungkin tidaklah sepuitis mana. Sebabnya, watak dalam drama tu, dalam pada bergaduh, masih sempat lagi berpantun. Kelakar...

Orang menyabung di Tanjung Keling,
Ayam borek tempang sebelah;
Salam burung kepada ranting,
Bolehkah hamba menumpang singgah.

Ya, selamat datang si burung pungguk,
Selamat datang pengantin baru;
Pengantin baru tidak mengantuk,
Bukankah malam ini malam pertama bulan madu?

Berlari-lari bukannya rusa,
Terbang ketitir di dahan buluh;
Usahlah menyindir lagi panglima,
Dalam air badan berpeluh!

Ceh! Kau berpeluh di dalam air,
Aku berpeluh di dalam api;
Kasih cinta kau hanya di hujung bibir,
Pukul gong pukul gendang bila mendengar aku mati!

Ya, Allah banyak orang menjerang pulut,
Hamba seorang menjerang ubi;
Panglima bercakap sedap di mulut,
Saya mendengar sakitnya hati.

Kau sakit hati, aku sakit jantung,
Aku yang rugi, kau yang untung;
Kau dapat laki aku dapat bohong!
Siakap, senohong, gelama ikan duri,
Anak dara pembohong, memang mudah dapat laki.

- Sabarlah Hati -

February 24, 2009

Hem… harap-harap dapat apa yang aku minta. Moga ALLAH perkenankan dan permudahkan segala-galanya, walaupun baru pertama kali mencuba nasib sepanjang beberapa tahun kebelakangan ni. Agak tak tahan sebenarnya... rasa macam anak tiri pun ada. Tapi... nasiblah, siapa aku kan? Hehehe... (ketawa dalam tangisan). Tulah... dulu mak kata belajar rajin-rajin, biar dapat jadi 'burung geroda', tapi aku pulak sibuk 'berchentah', kan dah jadi 'burung pipit' sekarang ni. Tapi... soalnya, aku nak jadi 'burung merpati @ burung camar'. Makkkk...

- Aku, Dia & Kamu -

February 23, 2009

Percaya tak bila aku kata, hidup manusia macam roda? Kejap di atas, kejap atau lama selepas itu, akan ada di bawah pula. Tak percaya? Hem... kena percaya juga sebab memang itulah lumrah hidup. Bukan bercakap auta, tapi ni memang fakta.

Bertahun-tahun dulu, ketika pertama kali jadi warga UPM, aku dapat assignment pertama. Assignment, bila sebut tentang itu, tentu kena cari bahan di mana-mana, lepas tu taip di PC, binding elok-elok sebelum dihantar pada lecturer. Rasanya sesiapa pun tahu tentang tu. PC? Masa tu, bila sebut pasal PC, rasanya aku berpeluh satu badan sebab sepanjang umur 20 tahun tu, aku tak pernah langsung sentuh mouse, jauh sekali keyboard walaupun pernahlah tengok PC tu. Kelakar kan? Tapi memang tulah kenyataannya. Seorang budak kampung yang serba kurang, bersekolah di bandar tapi masih juga bersikap kampungan. Sebabnya, bukan tak ada kursus-kursus yang dianjurkan pihak sekolah masa tu, aku aje yang tak mahu keluar dari kepompong.

Dan bila dapat assignment tu, rasa nak menangis sebab takut nak gunakan PC yang tak bernyawa tu. Macam mana kalau yang aku taip hilang? Macam mana kalau aku tak tahu nak save? Dan macam-macam lagi soalan yang tak masuk akal keluar. Dalam kepala tertanya-tanya, macam mana ni? Tapi aku kumpul juga bahan-bahan, sambil tu buat guna tangan dari A sampai Z. Bila dah siap, aku pos ke rumah Kak Long, minta dia taipkan semuanya. Hasilnya, memang Kak Long buat dan taip, siap binding lagi cantik-cantik. Tapi... mungkin ALLAH nak uji aku, assignment yang Kak Long buat ada kesilapan sebab aku yang salah bagi bahan. Masa tu rasa macam nak balik kampung aje tanam jagung. Mujur juga Net (kawan sejak aku sekolah menengah) pujuk aku dan ajar aku. Kata Net, jangan takut, PC ni tak mungkin meletup dengan mudah. Sudahnya, sejak tu aku tak pernah susahkan Kak Long lagi. Tahun berikutnya, aku dah mampu pakai PC sendiri. Sekarang pula, kecuali bedah PC, yang lain-lain, insya-ALLAH...

Hari ni, lepas bertahun-tahun masa berlalu, aku dapat SMS daripada Kak Long. Bunyinya begini, ‘Boleh tolong buat analisis mengenai...’, sampai situ aje sebab takut ada masalah lain yang timbul pula, nanti Kak Long pula yang susah. Lepas beberapa minit, dapat lagi satu SMS, ‘Nanti akak belanja makan sebab akak tak ada * * * * * atau * * * * *. Kalau boleh nak cepat sikit tau’.

Masa tu, nak ketawa dan nangis sama banyak. Nak nangis sebab aku dah lebih 5 tahun tak buat assignment dan aku memang tak suka nak buat pun. Nak ketawa sebab Kak Long main umpan-umpan aku dengan makananlah pula. Padahal, dia tak nampak ke aku yang dah makin kembang ni? Tapi soalnya, aku ada pilihan lain lagi ke? Tergamak ke aku buat tak tau aje dalam keadaan Kak Long yang belum habis pantang? Dan, kalau pun ada pilihan lain, aku tetap pilih ‘ya’ sebagai jawapan, dengan tambahan ‘Ami kumpul bahan aje tau, susun sendiri jadikan ayat’. Tapi dalam hati bertanya juga, aku nak mulakan dari mana ni?

Hasilnya, tiga hari masa aku dicuri ‘dia’ (merujuk pada assignment). Sehari mengumpul bahan, termasuk meminjam buku-buku di bahagian dan majalah kawan-kawan. Satu hari mula menyusun ayat dan satu hari lagi menaip dari A sampai Z, dapatlah 36 halaman, tak tergamak tengok Kak Long terkial-kial menyusun dan menaip dalam keadaan baru 20 hari pantang. Mujur kakak aku, kalau kakak orang lain memang aku tak sanggup buat macam tu, letih gila. Tapi sebenarnya, apa yang Kak Long suruh buat tu macam dah ada dalam kocek aku, memang aku agak mahir tentang itu walaupun taklah seluruhnya sebab masa kat U pun pernah buat, hanya skill dah agak tumpul dan perlukan masa untuk diasah biar tajam. Dan, terima kasih pada ‘kamu’ (merujuk pada j.co donuts yang Kak Fatin belanja aku) yang jadi kawan aku hari ni. 5 biji aku makan semata-mata nak siapkan kerja Kak Long ni. Tak cukup dengan tu sepinggan mi dan semangkuk char kuetiau. Aduh... memanglah melampau betul. Konon-kononnya, nak lepas tension, huh!

- Orang Baru -

February 16, 2009

Nak mula dari mana ya? Mana-mana pun bolehlah, asalkan blog tak usang. Hem... baru berapa hari tak menulis di sini, tapi rasanya macam dah lama benar aje. Dua minggu kebelakangan ni, kerja di opis tak begitu banyak, tapi tetap sibuk dengan majlis amal pada 6 Febuari 2009. Lega rasanya sebab majlis tu berjalan dengan lancar walaupun hajat nak bertahan sampai malam tak kesampaian gara-gara berita yang disampaikan kakak ipar aku.

‘Kak long dan selamat melahirkan anak lelaki dengan berat 3 kg...”

Aku ingat lagi, SMS tu aku dapat dalam pukul 8.30 pagi dan aku tengah tunggu di muka pintu auditorium sebab nak pungut tiket sempena tayangan filem wayang yang bahagian aku anjurkan. Senyuman masa tu rasa lebar sampai ke telinga, gembira sangat sebab akhirnya kak long dapat juga anak lelaki lepas 7 tahun tunggu. Lepas tu aku telefon sebab nak tanya lebih lanjut. Tapi khabar yang aku terima buat aku rasa sedih sangat, kak long masuk ICU sebab komplikasi darah lepas operate. Syaitan mula ambil tempat bila macam-macam benda buruk main kat kepala aku, takut sangat-sangat. Dan... aku akhirnya banjir juga terperanjat kot, walaupun tak pernah cakap sayang kat kak long, aku sayang sangat kat satu-satu kakak yang aku ada tu. Malah tanpa pengetahuan sesiapa... dalam gelap kat auditorium sambil tengok filem wayang tu, air mata aku memang keluar. Dalam bas pun sama masa kak ipar aku telefon aku dah sampai mana.

Selesai cabutan bertuah lepas tayangan filem wayang, aku isi kad dan terus berkejar balik rumah sewa dalam panas yang terik. Terkilan juga sebab aku hanya dapat tengok gerai-gerai yang ada sekejap aje. Tapi dalam masa yang sama, alam hati tak putus-putus berdoa, adalah hendaknya tiket balik JB. Alhamdulillah... dapat juga tiket pukul 1.30 tengah hari.

Sekarang... dah 11 hari usia Mohamad Naqib Zakuan (lahir 5 Feb. 2009). Geram tengok pipi dia yang montel tu. Dan macam kelahiran Muhammad Aqqif Najmi setahun dulu... buah hati keluarga aku yang paling bongsu ni (setakat ni) sekali lagi buat keluarga kecil aku tu huru-hara. Masing-masing dah sibuk mencari nama. Tapi yang paling kelakar nama yang abang chik aku nak panggil. Berkerut 18 muka kak long masa dengar dan aku pula, awal-awal lagi tak setuju dengan nama yang langsung tak best tu. Macamlah dah tak ada nama lain. Sudahnya, aku putuskan nak panggil si kecil tu Zakuan sebab nak panggil Naqib... rasanya terlalu hampir dengan Aqqif. Yang lain-lain? Aku tak tahu panggil apa. Tengok Zakuan, teringat apa yang kakak Zakuan yang keluarga aku panggil ‘adik’ kata, ‘Nak panggil adik kak ngah ke? Eiii... adik gelilah.’ Pecah ketawa aku masa tu juga. ‘Adik’... biarlah banyak macam mana pun adik-adik yang ‘adik’ ada, bagi aku... dia tetap adik di hati aku sebab dia anak buah aku yang lain daripada yang lain. Mulut dia, perangai dia, telatah dia, cara dia memaksa, cara dia memprotes dan semua yang ada pada dia memang lain macam sikit. Apa pun, aku sayang dia sama macam aku sayangkan anak-anak buah aku yang lain, semua ada perangai masing-masing.





















@@@ Untuk kakak @ Nurul Husna dan pak anjang dia @ Hasrul @ adik aku – SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-9 TAHUN dan 25 TAHUN. SEMOGA DIPANJANGKAN UMUR, DIMURAHKAN REZEKI DAN SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH HENDAKNYA. AMIN! @@@

- Tinggal Sejarah -

February 4, 2009

4 Februari… datang lagi. Setiap tahun berlalu… tarikh tu tetap datang juga seperti tahun-tahun sebelumnya. Aneh bercampur kelakar, bila dikenang dan diingat-ingat. Aku dah lama lupa dan melupakan kerana semalam itu cuma satu sejarah bagi setiap manusia, walaupun aku akui, semalam itu tetap hangat dengan kenangan tersendiri. Tapi sungguh, kadang-kadang memang tak teringat langsung walau sesekali datang juga dalam mimpi. Tapi seenteng mana aku bangun dari tidur, seenteng itu juga aku melupakan jelmaan yang langsung dah tak berbekas di hati. Yang lepas.. dah lama aku lepaskan sebab kalau tak lepaskan, tak mungkin aku jadi seperti hari ini. Mungkin sekarang ni, masih ada di takuk yang lama juga.

Syukur pada ALLAH... perancangan-NYA memang tak pernah silap. Cuma aku yang khilaf ni... pernah bertanya ‘kenapa aku?’, ‘kenapa tak orang lain?’, ‘teruk benarkah aku?’, ‘apa salah aku?’, dan macam-macam lagi pertanyaan yang tak sepatutnya ada hingga akhirnya terbit pula kata ‘kalau’. Kalau begini, pasti tak jadi begitu, kalau buat begitu, pasti tak jadi begini. Terukkan? Ya, masa tu aku terlalu hingusan untuk mentafsir makna sebuah kehidupan. Hanya tahu memberontak dan menyalahkan orang lain, lupa kalau aku bukan manusia sempurna.

Sekarang ni 10 tahun dah berlalu, sarat dengan cerita yang tersendiri. Ada cerita suka, ada cerita duka, ada tawa, ada air mata, ada jatuh, ada bangun. Tapi semua tu hanya mematangkan fikiran seorang manusia bernama Marwati Wahab @ Aleya Aneesa. Kalau pun bangun aje dari tidur tadi, hati berkata ‘hari ni hari lahir dia’, aku sudah boleh ketawa dan tersenyum tanpa ada rasa, tak sama macam 9, 8, 7, 6 atau 5 tahun lepas. Tapi betullah... rupa-rupanya, semua tu hanya tinggal sejarah semata-mata. Hanya sejarah yang tak mungkin akan terulang walaupun sejarah memang cenderung untuk berulang, dan kalau pun diberi pilihan, aku lebih memilih untuk tak mengulanginya sekali lagi. Cukuplah sekali. Mana ada manusia yang mahu jatuh di tempat yang sama kan?