PREORDER NOVEL MENANGISLAH CINTA

September 1, 2016

Bismillah! Dan... inilah cinta hati saya yang terbaru, yang merupakan terbitan ketiga daripada PORENGKERTAS PUBLICATION. Untuk makluman, novel ni tak ada di pasaran, cuma jual secara online dan jumlah cetak juga tak banyak. Untuk maklumat bayaran, mohon email ke aleyaaneesa18@gmail.com atau PM saya di FB. Preorder dibuka hingga 15 September 2016. Tq, ;-)


BLURB MENANGISLAH CINTA
Cantik! Itu kata Harraz pertama kali. Namun tak sempat mendekat, si dia sudah menaikkan batu, membina sempadan, melebarkan jarak. Jangankan tersenyum manis, melihat mukanya pun Dahlia tak sudi.

Sedangkan bagi Dahlia, dia bernafas dengan dendam, bernadi dengan kebencian, berdiri tanpa hati. Sungguh, lorong hidupnya tak seindah nama digalas. Banyak liku, banyak simpang. Dia walang, dia walah. Tahannya dia, kerana uminya walau rebah tak henti datang.

Awak tahu… tak pernah pun dalam sehari saya lupa doakan kehancuran awak!

Itu doa Dahlia. Tanpa jemu, tanpa lelah. Yang dinantikan, detik kehancuran Harraz kerana hari itu akan jadi hari kemenangannya.

Dan Harraz, terus tak mengerti tingkah dan hati seorang Dahlia. “Salah apa aku pada dia sampaikan mahu dibunuh?

Namun Dahlia terus beku dan membenarkan kata-kata sesetengah orang, Diam itu ada masa-masanya mampu menjadi bayang-bayang yang sangat menakutkan!


KAMI DAH KAHWIN!

April 8, 2016

Tak ada kata yang lebih tepat untuk menggambarkan perasaan saya sekarang ni, melainkan alhamdulillah, syukur pada ALLAH yang telah menjadikan langit dan bumi juga seluruh isi alam, termasuk hati dan perasaan anak-anak Adam.

Dengan rendah hati, saya nak maklumkan di sini pada 18 Mac 2016, saya dan dia yang bernama Eskandar bin Ab Rashid dah sah bergelar suami isteri. Ya... betullah tu, saya memang tak tipu! Saya kini dah tidak boleh dipanggil cik lagi sebab tetiba dah jadi tak sesuai. Saya dah jadi puan ke? Uwaaa! Hahaha... propa aje tu! Hakikatnya, saya tak dipaksa kahwin sebab kami kahwin atas keinginan sendiri. Tak ada kaitan dengan yang hidup mahupun yang dah meninggal dunia. Ini realiti hidup seorang Marwati Wahab aka Aleya Aneesa. Bukan watak-watak dalam setiap novel yang digarap jari-jemari gumuks saya ni.

Ok... itu aje untuk kali ini! Next time saya sambung lagi. Hendaknya, jika ada yang sudi, mohon doakan rumah tangga kami kekalnya bukan setakat di dunia tapi biarlah bersambung hingga ke Jannah.

MAKIN HAMPIR DEH!

March 3, 2016

15 hari! Lebih kurang 2 minggu aje lagi. Perasaan? Hem… takat ni biasa-biasa aje. Debaran tu tetap ada sebenarnya. Cumanya bukan sebab tak sabar nak bertukar status. Saya tak gelojoh dan lagipun untuk orang tua macam saya ni, tak payahlah nak buat-buat bersikap macam anak remaja yang excited dalam banyak hal, sebab sangatlah tak sesuai dan memanglah tak kena dengan saya ni.

Yang saya bimbangkan, takut kalau-kalau ada kekurangan sepanjang  majlis yang bakal berlangsung tu walaupun persiapan dan perancangan telah dibuat rapi. Maklumlah, kenduri kahwin bukannya macam kenduri cukur jambul. Ada banyak persiapan perlu dibuat, ada banyak diperhatikan dan ada ramai juga orang yang perlu dijemput dan lebih daripada itu, saya tak mengharapkan selepas rumah siap dibina dengan jayanya macam yang saya dan LID nak, pahat tetap juga tak mahu berhenti berbunyi. Ya... yang itulah yang nak saya elakkan sangat-sangat.

Jujurnya, kalau nak diikutkan saya, saya nak buat majlis kecil dan yang wajib aje. Maksudnya, akad nikah! Yalah, saya bukannya muda lagi, saya dah hampir-hampir tua bongkok tiga. Saya malu jadi tontonan orang walaupun bukannya tak biasa orang tengok saya masa sesi tandatangan novel. Dah selalu sangat dan mungkin dah ada pun pembaca yang nak termuntah tengok muka saya. Tapi itu lain dan kali ni sangatlah lain. Cumanya, bila tengok keluarga saya beria-ia berharap supaya diadakan majlis yang sedikit meriah, saya akhirnya akur juga. Bukan setahun dua agaknya mak abah saya tunggu saat-saat ni dan selama ni saya tahu betapa risau dan gusarnya mereka melepaskan saya hidup sendiri di KL ni. Hanya, disebabkan di sini rezeki saya, mereka biarkan juga dan tentunya dengan doa supaya dalam setiap langkah yang saya ambil, ALLAH akan selalu menjaga saya. Dan alhamdulillah, 10 tahun di sini, saya selalu dilindungi.

Bohong kalau saya kata, saya sentiasa ok di sini. Tidak! Ada masa-masanya, saya rebah juga. Bukan sekali, bukan dua kali dan mungkin bukan berpuluh-puluh kali. Kalau dihitung agaknya mungkin dah ratusan kali. Setiap kali rebah, saya mungkin nangis dan mungkin juga tak, tapi kemudian perlahan-lahan saya bangkit. Cuba mencari jalan penyelesaian walaupun sukar dan selepas itu, perlahan-lahan juga saya mampu senyum dan ketawa kembali. Meneruskan rutin harian. Ada masanya masalah saya dapat diselesaikan tapi ada juga ketika tak dapat diselesaikan. Bukan tak pernah mempersoalkan apa yang didatangkan pada saya. Pernah dan juga berkali-kali. Tapi kemudian tersedar kembali, siapa saya nak mempersoalkan setiap ujian yang didatangkan pada saya? Hakikatnya, saya hanya hamba ALLAH yang dijadikan bukan tanpa tujuan.  

Dan kerana kepercayaan yang diberikan mak dan abah pada saya di sini, saya mahu menggembirakan dan membahagiakan hati mereka. Saya mahu melihat mereka tersenyum dengan nafas yang lega kerana In Shaa ALLAH selepas ini, akan ada yang menjaga saya di sini, di tempat yang bagi mereka sangat jauh daripada rumah yang telah memayungi saya sejak lahir. Tak apalah jika majlis saya nanti sedikit meriah. Saya akan senyum dan terus senyum walaupun mungkin nanti muka saya terasa tebal berinci-inci. Paling penting hati keluarga saya puas.

Alamak! Masa rehat dah habis. Tak habis lagi cerita saya. Tapi tak apalah... nanti saya sambung lagi kalau ada masa dan kesempatan. Baibai... ;-)

RUMAH USANG!!!

February 25, 2016

Wah… gila dahsyat kan tajuk N3? Tapi janganlah terkejut sangat ya. Tajuk aje gempak tapi isinya, hampeh! Maklumlah, orang yang lama tak bersiaran memanglah cenderung gilakan perhatian. Macam yang saya tengah buat sekarang ni. Padahal, saya sendiri pun tak tahu perhatian siapa yang nak saya tarik. Hanya terasa jari-jemari gumuks ni nak menari-nari di atas keyboard. Sungguh... saya gian nak menulis weh! Cumanya masa dan keadaan masih belum sesuai.

Hanya yang jelas, ini N3 pertama pada tahun 2016 ini. 2016? Aduh! Cepat benar masa berlalu. Lagi 3 bulan, sambut hari jadi sekali lagilah saya, kalau panjang umur dan dengan status yang baru (acehceceh, gatai!). Oh... saya dah benar-benar tua bongkok tiga. Sedih? Taklah! Tak ada apa yang nak disedihkan sebab proses hidup memang macam tu. Ada kitaran yang tak dapat dielak walaupun kita buat bedah plastik sana dan sini demi nak tutup usia sebenar. Tegangkan mana yang kendur. Kecilkan mana yang besar atau besarkan mana yang kecil. Sedang hakikat sebenar, prosesnya... lahir, jadi kanak-kanak, membesar jadi remaja, bergerak ke usia dewasa dan kemudian perlahan-lahan menua seiring dengan putaran masa yang tak pernah berhenti bergerak sebelum pergi menghadap ALLAH untuk selama-lamanya. Tapi ini tidaklah termasuk yang perginya lebih awal. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.

Dan dalam dua bulan menempuh tahun baru ini, macam selalu tak ada apa sangat yang berubah bagi saya. Rutin tetap berjalan seperti biasa dan masih juga buat perkara-perkara yang biasa. Apa itu, tak perlulah diperincinkan sebab semua orang pun rasanya melalui perkara yang sama dan hari-hari yang sama walaupun mungkin tidaklah 100%. Jika saya masih tulis, nampak sangat yang saya sengaja undang rasa menyampah orang. Cukup-cukuplah saya bikin orang muntah dengan N3 merapu saya sebelum ini.

Lagi saya nak tulis apa ya? Tetiba macam kering idea walaupun jari masih belum puas menjalankan tugas tak berbayar. Aduhai Aleya Aneesa, kau dah makin parah! Tapi sebenarnya, lately ni saya memang agak busy. Uruskan diri, kerja dan persiapan majlis yang dah tak lama lagi. Salahnya saya! Terlalu gemar buat kerja last minute. Kursus aje baru pergi bulan Januari dan urusan borang hanya benar-benar selesai minggu lepas. Bila kadi merangkap ustaz yang pernah mengajar di sekolah agama kat kampung saya selesai cap dan sign, barulah saya dapat tarik nafas lega.  Ya ALLAH... syukur! Hanya itu yang mampu saya lafazkan dalam hati dan selebihnya hanya ALLAH juga yang tahu betapa cubaan dan dugaan untuk setiap orang itu berbeza-beza di atas muka bumi ini. Dan kerana ini ujian saya, maka saya berbahagia menerima ujian itu dengan berlapang dada. Saya percaya, ALLAH tak menimpakan sesuatu kepada hamba-NYA jika bukan dengan tujuan untuk mengangkat darjat ke aras yang lebih tinggi. Makanya, saya redha dengan doa, permudahkanlah segala-galanya, sampai ke syurga kelak. Untuk saya, dia dan untuk kami kelak.

Okey... saya dah masuk mood sendu, jadinya sebelum saya melalut lebih-lebih, saya stop dulu. Padahal... saya dah tak tahu nak tulis apa lagi. Hanya saya berharap, apa yang dirancang akan berjalan seadanya dan semoga ada barakah ALLAH dalam setiap apa yang sedang dan bakal dilakukan.

Untuk yang sudi membaca N3 ini, terima kasih. Walau siapa pun korang, moga korang selalu dijaga ALLAH dalam apa pun keadaan. Jumpa lagi!