- Tahniah -

August 28, 2008

Cuaca di luar nampaknya agak mendung. Harap-harap petang ni tak hujan lebat macam semalam. Bukannya tak suka hujan, tapi kalau boleh hujan sikit-sikit pun dah okey kot. Tapi itu di luar, di dalam sini? Hem... tak kira kat luar mendung ke, cerah ke, aku kat dalam ni sentiasa aje terasa macam tengah duduk dalam peti ais besar yang ada 30 tingkat dan aku ada di tingkat 11. Cuma peti ais ni tak boleh membekukan orang, cuma boleh membuatkan aku dan kawan-kawan menggigil sebab sejuk sangat. Dan, rasa-rasanya, sejak hari kedua kerja kat DBP sampai sekarang ni, aku tak pernah berenggang dengan 2 kawan baik aku. Siapa dia? Tentu sekali sweater dan stoking. Kalau sejuk sangat, stoking tu akan jadi dua lapis atau tiga lapis dan pernah beberapa kali, sweater aku gunakan dua lapis dalam satu masa. Betul-betul tak tahan sebenarnya, lama-lama memang boleh dapat penyakit rasanya. Dan yang paling best, tiap kali air cond problem, aku akan bersorak sebab aku rasa akulah orang paling bahagia dan gembira. Tapi biasanya sekejap-sekejap aje.

Huargh... sebenarnya tu cuma mukadimah jer. Tak ada kaitan langsung dengan apa yang nak aku conteng hari ni. Yang aku nak ceritakan ialah fasal Hari Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Perkhidmatan DBP yang berlangsung semalam. Eh, pun sebenarnya bukan aku nak bercerita fasal tu. Aku cuma nak ucapkan tahniah kat Diana yang dapat Anugerah Perkhidmatan Cemerlang. Hem... rezeki anak yang bakal lahir akhir bulan September ni. Tapi puas jugalah aku menyakat dia sebab anugerah tu.

Tahniah juga kat Kak Lah yang dapat Anugerah Perkhidmatan sebab dah kerja di DBP selama 30 tahun. 30 tahun? Huh... lama gila Kak Lah dah kerja kat DBP. Aku belum lahir lagi pun Kak Lah dah mula kerja kat sini. Tapi walaupun dah 30 tahun kerja dan tentu sekali umur Kak Lah dah semakin ke depan atau dengan kata lain semakin matang mungkin tapi bukan tua tau. Ke depan? Matang? Hehehe... jangan marah Kak Lah, nanti kena jual timbang kilo. Tapi... macam mana pun Kak Lah tetap maintain macam selalu. Tak percaya? Aku pun sebenarnya macam tak percaya juga masa tau umur dia pertama kali, tapi memang itulah kenyataannya. Kak Lah nampak muda, lebih-lebih lagi dengan baju merah semalam. Bukan baju merah kat tepi ni, baju lain, hehehe...

Sayangnya, tak ada gambar yang dapat aku ambil. Lagipun aku keluar awal sebab ada hal yang nak diuruskan. Tak sempat pun tengok Diana naik pentas, cuma dapat tengok Kak Lah dan sempatlah bertepuk tangan untuk Kak Lah. Apa pun tahniah sekali lagi pada mereka berdua dari aku.

- Memaafkan & Melupakan -

August 18, 2008

Memaafkan ya, tapi melupakan tidak. Betul ke macam tu? Aku tak tahu pandangan orang lain dan apa yang orang lain rasa. Tapi selama ini aku rasa memang kata-kata tu ada kebenarannya. Memang ada banyak perkara dalam dunia ni yang tak boleh kita lupakan semudah kita memadamkan kesan contengan pensel di kertas lukisan. Kalau pun kita cuba untuk lupa, ada masa-masanya sesekali apa yang berlaku melayang-layang juga di mata dan minda yang tak pernah berhenti daripada bekerja.

Dan, bila kenyataan terbentang depan mata hari Jumaat lepas. Aku tanya kembali pada diri, benarkan memaafkan begitu mudah? Tak semudah melupakan? Jawapan aku hari ini, TIDAK! Padahal aku sangka aku sudah pun memaafkan. Rupa-rupanya, memaafkan juga tidak semudah yang aku kira. Selama ini aku selalu kata, tak apa... aku dah maafkan segala-galanya, aku dah lupakan semuanya. Tapi bila panggilan yang tak dijangka, daripada orang yang tak diduga sampai... ya, aku masih belum memaafkan dan melupakan. Sekurang-kurangnya tidak dalam jangka masa terdekat ini. Masa akan datang aku tak pasti sebab bukan ada di tangan aku. Kalau dibalikkan hati aku, mungkin saja aku boleh berubah 360 darjah dalam sekelip mata. Tapi sekurang-kurangnya bukan hari ini.

Entahlah. Kalau setahun 6 bulan dulu, kata maaf itu diucapkan, mungkin aku dengan rela hati memaafkan. Mungkin aku masih boleh menerima alasan demi alasan yang diberikan walaupun entahkan betul entahkan tidak apa yang dikata. Tapi rasa-rasanya tempoh setahun lebih itu agak lama untuk mencipta alasan. Sekarang ni aku pun dah tak nak dengar apa-apa sebab aku dah tak nak tahu apa-apa lagi. Bagi aku, yang dah berlaku biarkan saja berlaku dan berjalan seperti mana adanya.

Kejam ke? Yup, memang agak kejam tapi... dalam hidup ini, ada benda yang kadang-kadang agak mudah untuk diterima atau difahami dan ada perkara yang tidak boleh dianggap enteng walaupun kita merasakannya begitu. Jadi, aku memutuskan hati untuk membiarkan segala-galanya berjalan seperti biasa. Cukuplah dalam hati aku tak ada rasa marah, atau barangkali aku memang dah memaafkan dia tanpa aku sedar. Cumanya, untuk bersikap seperti biasa, tak mungkin. Bukannya aku tak mahu, tapi aku memangnya tak boleh. Aku cuba juga untuk meramahkan mulut, malangnya, hanya sepatah... sepatah... kata yang keluar. Aku betul-betul dah tak boleh. Jadi, biarkanlah semuanya begitu-begitu saja...

- Ujian & Kesakitan -

August 11, 2008

Tiap kali ujian dan dugaan dalam hidup datang, tiap kali itu jugalah aku atau manusia di luar sana rasa ‘sakit’ sangat-sangat. Rasa macam dunia dah berhenti berputar pada paksi yang sepatutnya. Yang ada cuma kosong, gelap dan entah apa-apa lagi yang tak dapat digambarkan dengan perkataan dan perasaan. Cuma diri sendiri aje yang tahu. Dan yang pasti, ada masa-masanya manusia memang selalu ketawa dalam tangisan. Aku pun dah lama tahu, ketawa tak bererti kita seronok dan senyum pun bukan bermakna gembira.

Tapi hari ini, aku belajar sesuatu yang baru lagi dan ia benar-benar menginsafkan diri aku yang ada masa-masanya terlupa dengan nikmat yang diberikan ALLAH. Siapa sangka dan aku pun benar-benar tak sangka, hari ini aku dapat email daripada seorang teman lama yang kini sudah pun menetap di Iran. Aku kenal dengan dia 8 ke 9 tahun lepas, masa tu aku kerja kilang lepas habis sekolah dan lepas itu masing-masing bawa haluan sendiri. Hanya 4 tahun lepas tu aku dapat SMS daripada dia yang bertanyakan tentang dunia penulisan aku. 2 tahun lepas tu, sekali lagi aku dapat SMS dia. Dia minat pertolongan aku tentang satu perkara. Masa tu aku hanya tawakal, bagi aku untung sabut timbul, tapi kalau sebaliknya aku hanya anggap bukan rezeki aku. Kemudian segala-galanya senyap dan sunyi.

Beberapa bulan lalu, aku pula yang galak mencari-cari dia sebab ada benda yang perlu aku tanyakan. Ada alasan yang aku perlu tahu. Bingo! Pencarian dan persoalan yang selalu berlegar-legar dalam kepala terjawab. Dia rupa-rupanya ada di Iran. Dan, nyata dia memang menepati janji, cumanya... dia tersilap mempercayai orang hingga menyebabkan aku tertanya-tanya sendiri dan menyalahkan kebodohan diri sendiri.

Dalam pencarian aku tu, aku kenal dengan seorang remaja yang begitu baik. Dan, tahu rentetan hidup kawan aku tu yang benar-benar berliku. Rasa sedih, kasihan, terkilan dan macam-macam bergumpal dalam hati aku ni. Tak sangka campur dengan tak percaya. Kisah yang aku selalu tengok dalam TV dan baca dalam novel, rupa-rupanya terbentang depan mata, berlaku dalam hidup kawan sendiri. Sadis sangat.

Dan sekarang, lepas baca email kawan aku tu, aku makin faham satu hakikat yang jarang-jarang aku pedulikan walaupun aku tahu. ‘Kalau aku rasa diri aku ‘sakit’ dengan ujian yang datang sejak beberapa tahun kebelakangan ni, rupa-rupanya masih ada orang yang lebih ‘sakit’ lagi. Jadi, aku kena muhasabah diri, kena selalu beringat yang aku selalu beruntung dalam banyak perkara. Dan untuk kawan aku tu, moga mendung yang melanda cepat berakhir.

- Hikmah -

August 6, 2008

‘ALLAH ambil sesuatu tapi DIA pasti akan gantikan sesuatu itu dengan yang lebih baik’. Kata-kata itu selalu sangat aku dengar beberapa tahun kebelakangan ini dan mungkin kini dah jadi sebati dalam diri. Aku percaya dan sampai bila-bila pun aku akan percaya.

Bila baru-baru ni aku membuat satu keputusan yang besar, (besar bagi aku tapi mungkin juga kecil bagi orang lain) aku agak waswas. Terasa hati begitu berat walaupun kata putus sudah pun diberikan. Tapi sebab suka dengar kata hati, aku turutkan juga walaupun tak berbincang dengan keluarga dan rasa-rasanya tak pun berfikir panjang. Cuma jauh kat sudut hati, aku bisik ‘Ya ALLAH... kalau keputusan yang aku ambil ni tak baik atau salah untukku, maka... tutupkanlah segala ruang dan peluang yang ada. Kalau baik, mudahkanlah segala-galanya’. Bila pagi tu aku diberitahu sesuatu yang agak mendukacitakan, aku ternyata langsung tak terkilan. Malah aku boleh senyum lebar, jiwa tiba-tiba aje rasa tenang dan bebas. Anehnya rasa, tapi memang itulah perasaan aku masa tu. Entah kenapa ye? Tapi aku tahu, semua yang berlaku tentu ada hikmahnya.

Semalam, bila aku diberitahu satu berita, aku dah boleh senyum sebab mungkin inilah hikmahnya. Aku dapat barang yang sama dengan harga yang jauh lebih murah. Takkah itu hikmah namanya? Apa pun syukur sangat walaupun semuanya masih belum pasti. Sekurang-kurangnya itu satu berita baik untuk masa ini. Dan hari ni, bila seorang kawan di sini menghadapi hal yang sama seperti aku beberapa hari lalu. Aku cuma boleh cakap, tentu ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Tentu ada yang lebih baik akan datang nanti. Nampaknya dia bersetuju walaupun aku dapat tengok rasa terkilan terpamer di muka dia. Harap-harap dia betul-betul akan dapat yang lebih baik nanti.

Rasanya hari ni sampai sini dulu sebab tak ada apa yang menarik lagi untuk diceritakan di sini. Menulis ni pun aku anggap, sekadar mahu mengasah kembali bakat dan minat yang dah semakin tumpul sejak beberapa bulan lalu. Harap-harap tak lama hendaknya tajamlah semula. Apa pun, salam manis buat yang sudi menjengah.

-Alahai Kawanku Seorang-

August 5, 2008

Beberapa hari lepas, seorang kawan bertandang ke rumah. Dia bertanya pada aku dengan wajah tanpa perasaan, ‘apa rasanya bila ditinggalkan?’. Aku yang masa tu tengah tengok TV berpaling, cuma senyum sekejap, tak tahu nak jawab apa dan tak tahu apa tujuan dia tiba-tiba bertanya soalan yang langsung tak dijangka. Tapi aku akui agak terperanjat juga dengan soalan cepumas tu. Tapi saja aje pura-pura tak hairan. Dalam hati berkata, ‘mungkin dia dah kena tinggal dengan seseorang agaknya’. Tapi tak juga aku bertanya, kalau dia nak bercerita aku tetap akan dengar.

Mungkin sebab tak ada respons, dia bertanya lagi, ‘apa rasanya ditinggalkan oleh orang yang hidup dengan orang yang dah meninggal?’. Kali ni tumpuan aku terus hilang, pantas pandang wajah dia kembali. Rasa tersentap sekejap. Apa sebenarnya yang dia cuba sampaikan padaku? Tahukah dia? Tapi rasa-rasanya aku tak pernah bercerita apa-apa dengannya walaupun agak rapat satu ketika dulu. Bagiku, yang berlalu biarkan saja berlalu begitu saja. Dah tak ada apa-apa yang perlu diceritakan lagi sebab semuanya dah jadi sejarah.

‘Mana lagi perit, kau rasa?’ Dia terus menyambung kata tanpa perasan apa yang bermain dalam hati dan kepala aku. Yup, ada sesuatu sedang melintas. ‘Mungkin ditinggalkan oleh orang yang dah meninggal?’, kata dia terus. Aku tak perasan macam mana riak muka aku masa tu, tapi muka kawan aku tu, terus juga aku pandang agak lama. ‘Kenapa? Kau pernah kena tinggal seseorang ke? Orang tu meninggal?’ Itu soalan dia kemudiannya. Hem... rasa tiba-tiba nak tercekik dengan andaian dia tu.

Malas melayan, aku tengok TV semula. ‘Apa bezanya, Yatie? Dua-dua tu sama aje sebab ‘ditinggalkan’, tak kiralah sebab apa pun. Rasanya tetap juga sama kan?’. Masa tu, dia pula yang terkelip-kelip mata tengok aku. Ada rasa nak ketawa tapi anehnya tak ada pula ketawa yang keluar. Memang agak pelik situasi masa tu, mungkin sebab aku dan dia dah lama tak jumpa. ‘Mana sama’, dia nyata tak setuju dengan apa yang aku cakap. ‘Kena tinggal sebab meninggal, dah tak boleh jumpa lagi’. Ya betul tak akan jumpa sampai bila-bila, tapi tu cuma main di kepala aku, tak tercakap pada kawan aku tu sebab....

‘Tak kisahlah kena tinggal sebab apa dan macam mana, yang pasti masa tentu boleh jadi penawar paling mujarab untuk penyakit hati.’ Itulah kata-kata akhir aku pada dia dan dia pun tak bertanya apa-apa lepas tu, macam tau aje. Sampai dia balik, aku pula yang tertanya-tanya sendiri, ‘tahukah dia?’. Hem... sampai hari ni pun aku tak dapat jawapan, tapi sampai sekarang juga masih tertanya-tanya, benarkah tak ada bezanya?. Pun tak ada jawapan, tapi soal masa yang menjadi penawar, itu memang ada kebenarannya walaupun sebenarnya taklah begitu mudah. Jadi... siapa kata masa selalu cemburu pada manusia? Hehehe... sabar ajelah...

-Salam Ceria-

August 1, 2008

Salam ceria buat sesiapa yang masih sudi menjengah ke rumah yang dah semakin usang ni. Harap tak serik datang walaupun tuan punya rumah selalu saja tak ada. Entahkan sibuk, entahkan buat-buat sibuk dengan kerja-kerja yang tak pernah habis, aku sendiri tak tahu.

Sebenarnya, sekarang ni pun aku masih tak tahu nak menulis apa hari ni, cuma mood dan kerajinan aje yang ada. Bukannya apa, sebab rasa-rasanya tak ada apa-apa yang menarik berlaku akhir-akhir ni. Semuanya masih rutin yang sama. Kalau pun ada yang menarik, tak tahu pula nak dimulakan cerita dari mana. Sebab itulah asyik senyap dan sunyi memanjang.

Tapi yang pasti, pagi tadi aku kena marah dengan ‘seseorang’ gara-gara buat aduan fasal PC. Cumanya, aku hanya menggeleng sendiri, mana taknya... aku tengah elok-elok bercerita, aku stop sebab aku tak dengar apa-apa balasan daripada pihak sebelah sana, ingatkan talian dah terputus, jadi aku pun asyiklah terhello, hello... Sedangkan rupa-rupanya dia tengah dengar, aku aje yang tak tahu. Dan, selepas itu, kesudahannya aku senyum sendiri pula walaupun aku rasa aku tak patut ditegur hanya kerana sebab yang seremeh tu. Kalau bercakap di telefon, memanglah begitu sebab kita tak boleh nampak pihak satu lagi. Itu bukan satu kesalahan. Lainlah kalau aku bercakap dalam nada yang tinggi melangit. Dan yang pasti, rasanya aku tak buat salah. Lawaknyer!

Tapi nak buat macam mana, bukannya semua manusia dalam dunia ni sama. Jadi aku beranggapan, ‘seseorang’ itu sedang mengalami tension yang luar biasa. Masalahnya, pagi-pagi lagi dah tension ke? Sebelum ni pun macam tu juga, jadi masalahnya di mana sebenarnya ye? Entah, aku tak tahu dan rasanya aku pun malas nak ambil tahu. Anggap aje... hari ni adalah masa-masa sukar ‘seseorang’ tu. Tak kisahlah, tak luak mana pun kena marah... lainlah kalau kena pukul.

Lagi satu yang agak kelakar juga, tadi pergi tengok-tengok baju. Sementara tunggu Kak Fatin cuba baju, aku pun pegang-peganglah baju yang tergantung. Sudahnya, dua orang tanya aku berapa harga baju yang dijual. Naik malu aku dibuatnya. Diana yang melihat, gelakkan aku dan suruh aku duduk kalau tak nak kena tanya. Agaknya muka aku ni ada macam jurujual kot. Ataupun kat dahi aku ada tulis kot. Hehehe...

Hem... rasanya cukup sampai sini aje hari ni, dah kering idea nak menulis. Apa pun, terima kasih kepada yang setia di sini. Aku menghargai kedatangan kalian itu.