- TeMpAt JaTuH lAgI dIkEnAnG... -

May 31, 2010

Khamis, 27 Mei 2010 akhirnya penantian selama setahun dari tempoh booking hingga siap, berakhir sudah. Rela campur tak, aku terpaksa juga ucapkan selamat tinggal pada rumah sewa yang dah memayungi aku selama hampir 4 tahun sejak aku mula jadi warga DBP.

Rumah tu mungkin hanya rumah flat, tapi... rumah flat tulah yang jadi tempat aku berlindung dari panas dan hujan. Memang bukan rumah baru, tapi... aku selesa, sangat selesa tinggal di situ. Penghuninya silih berganti, ada Tina, ada Ika, ada Biha, ada Ros & ada Kak Zie, tapi aku tetap setia di situ, menjalani hidup seiring dengan penghuninya yang hanya sama pada rambut, tapi pasti lain di hati.

Di bilik kecil itulah, aku menjalani rutin harian. Di situ, aku tidur, aku membaca & paling penting, itu jugalah tempat aku menulis hampir setiap hari bila mood ada di tengah-tengah kesibukan yang melanda. SEGALANYA UNTUKMU, HANYA DIA TAHU, AKU MAHU KAMU, SUDI JADI CINTAKU... semuanya lahir di bilik yang sama.

Dan di bilik yang sama, ada tawa, ada tangis, ada suka & ada duka. Bahkan pernah jadi saksi bertapa aku pernah baring & berharap aku akan terus tertidur selama 3 hari. Anehkan? Tapi aku hanya manusia biasa yang ada masa-masanya rebah dengan ujian yang datang, lalu berharap pada sesuatu yang tak sepatutnya jadi nyata. Tapi syukur... sampai ke hari ini aku masih bernafas dengan selesa. 3 hari yang aku harapkan masa jiwa kacau, tak pernah muncul & aku harap tak akan pernah muncul.

Apa pun, aku harap... di tempat baru ni, hidup yang bakal aku jalani akan lebih bermakna. Jatuh & bangun, lumrah hidup... tapi kalau pun memang jatuh, aku harap aku akan bangun, bangun & terus bangun sebab kenyataannya, hidup tetap perlu diteruskan selagi masih bernyawa.

- AkU, kAk EmI & nOvEl -

May 26, 2010

Aku tak kenal dia siapa & dia tentu juga tak kenal aku dengan baik sebab selama ni kami hanya berbalas senyum, aku cakap aku nak makan apa dan dia macam biasa tetap setia dengan pen dan kertas di tangan dengan soalan, “Adik nak makan apa hari ni?”. Tapi yang aku pasti, namanya Emi sebab aku dengar orang panggil dia dengan panggilan itu, jadi sejak detik itu, aku kenali dia dengan panggilan Kak Emi. Lagi yang aku jelas, dia salah seorang daripada warga Indonesia yang ramai di Malaysia, datang dengan niat mahu membantu keluarga di kampung.

Semalam, macam biasa aku datang ke kedai makan yang sama. Memang niat nak berjumpa dia. “Novel apa ni?” Dia tanya pada aku & aku balas, “Ambillah... saya bagi Kak Emi”. Riak wajah dia nampak terkejut, tapi dia tersenyum. “Banyaknya! Nak bagi Kak Emi ke?” Aku senyum, “Ambillah... novel-novel ni saya tulis sendiri. Esok saya dah tak duduk sini lagi.” Dia capai tiga buah novel yang aku hulur, aku tengok mata dia berkaca. Entahkan terharu, entahkan sedih aku tak pasti, tapi berkali-kali juga tangan dia mengelap mata. Hanya yang aku tahu, aku selalu nampak dia dengan senaskhah novel di tangan. Katanya masa aku tanya dulu, dia suka baca novel & masa tu aku cuma senyum tanpa mengulas apa-apa. Tapi diam-diam aku tekad, kalau aku tak duduk lagi di situ, aku akan bagi dia novel sebab selama beberapa tahun tinggal di situ dan makan di kedai yang sama, layanan dia pada aku tak pernah kurang, tetap juga melayan pesanan aku dengan senyuman walaupun riak penat jelas tertera di wajah.

Sekarang, salah satu niat yang dah aku simpan lama, dah tertunai. Mungkin itu hanya pemberian kecil yang tentu saja tak akan memberi makna apa-apa, tapi sekurang-kurangnya pemberian kecil tu dah buat dia tersenyum lebar masa aku tinggalkan kedai tu dengan sebungkus mi hailam di tangan. Pesan dia pada aku, “Nanti kalau terserempak dengan Kak Emi, adik tegur-tegurlah ya?” Aku tetap juga tersenyum, selama ni dia memang tak pernah tahu pun nama aku, jauh sekali tahu yang aku penulis. Tapi sebab lepas ni dia mungkin tak akan jumpa aku lagi, aku tebalkan muka juga (walaupun rasa malu sangat) bagi tahu supaya dia tak pelik bila aku beri tiga buah novel yang ditulis oleh penulis yang sama.

- LeTiH & nAtuRaL b CoMpLeX –

May 21, 2010

Anehnya rasa bila kita tak buat apa-apa yang berat, tapi kita rasa letih. Itulah yang jadi pada aku akhir-akhir ni. Aku bukan jenis yang malas bangun pagi, maksudnya... tak ada istilah lepak-lepak atas katil 2 atau 3 minit sebelum bangun mandi. Tak ada juga istilah, “Kejaplah, tunggulah”. Jauh sekali minta masa selama 5 minit. Sebab biasanya, sebelum jam bunyi, aku dah tersedar sendiri. Bangun, buka lampu, matikan kipas, capai tuala dan terus ke bilik air.

Tapi sejak kebelakangan ni & sejak aku sibuk menguruskan soal rumah, hidup mula jadi tak tentu arah, hujung minggu dah tak ada, rutin dah berubah & aku jadi lain daripada biasanya. Setiap hari akhir-akhir ni, aku akan bangun bila jam bunyi, lepas tu aku duduk atas katil beberapa minit, buka lampu, tutup kipas, duduk lagi, lepas tu baru capai tuala dan pergi bilik air. Semuanya sebab aku rasa letih & lesu bila bangun tidur. Ikut hati tak nak bangun, nak tidur terus sampai mata dah tak larat nak pejam. Setiap pagi aku impikan benda yang sama sebab badan aku rasa macam dah lembik macam bubur.

Nak kata kerja banyak, tak juga... mungkin otak penat sebab terlalu banyak berfikir, maka badan pun dah tak boleh bertahan. Mujur juga sampai ke hari ni aku masih sihat walaupun memang sangat-sangat letih dan terasa nak bercuti panjang... panjang & panjang. Jadi... hari ni, aku buat keputusan untuk ambil balik vitamin Natural B Complex yang dah lama tak sentuh. Aku memang perlukan sesuatu untuk menyokong badan ni sebab ada lagi yang tak selesai, walaupun memang dah hampir selesai. Cuma aku harap, sebelum habis bulan ni semuanya siap seperti yang aku nak sebab selagi tak selesai, letih aku tak mungkin akan hilang. Harap juga yang vitamin ni akan membantu aku kali ni.

- KeJuTaN mEnGgUgUr JaNtUnG -

May 18, 2010

‘Kak, Along ajak pergi rumah Kak Ika malam ni. Kak Ika ada nak minta tolong apa tah’. Itu SMS Fida pada aku semalam. Aku yang awal-awal lagi dah plan nak tidur awal terasa impian macam berkecai. Bukanlah rasa terpaksa, cuma aku memang penat sangat, sangat, sangat... ingat nak rehat lama sikit sebab memang rasa macam dah tak ada daya lagi nak terus berjalan. Dalam hati terdetik, “Kalau ditakdirkan umur aku panjang, aku cuma nak pindah sekali aje lagi dalam seumur hidup sebab aku rasa pindah-randah ni sangat meletihkan”. Dan macam mana agaknya orang yang terpaksa pindah-randah selama ni? Mesti penat diaorang berlipat kali ganda.

Dekat-dekat pukul 8.00 malam, dapat SMS Fida & aku balas, ‘Along kata pukul 8.15. Naik sape? Akak cm x larat sangat, hehe...’. Betul, aku memang tak larat sangat malam tadi, badan penat & mata mengantuk yang amat. Tapi duduk aje dalam kereta, letih terasa hilang sikit, mungkin berkat tengok muka kawan-kawan. Dalam kereta sempat lagi aku tanya, “Kenapa Ika tak minta tolong Syafik aje?”. Dalam kepala aku hanya terbayang adik Ika yang kurus & tinggi kalau nak dibandingkan kami bertiga. Bikash siap kata, Ika nak gantung benda, itu bermakna Fida kena jadi orang yang paling bawah sebab Bikash nak berdiri atas bahu dia, aku atas bahu Bikash & Ika atas bahu aku. Sempat lagi aku melawak, yang aku tak nak Ika pijak bahu aku sebab Ika walaupun kecil belum tentu lagi ringan.

Masuk-masuk rumah aku dah pelik tapi hanya tanya dalam hati, ‘Kenapa Airul ada kat rumah Ika?”. “Dah pasang dah dengan Syafik”. Bila Airul jawab macam tu, persoalan dalam hati aku reda, tapi persoalan lain timbul, ‘Kalau Airul dan pasang, buat apa pula kami bertiga datang? Apa fungsinya?” Tapi sebab semua letih, otak pun tak boleh nak proses apa-apa. Mata aje yang tengok Bikash & Ika berlalu dalam bilik tanpa ajak aku. Mungkin ada benda yang nak dipasang lagi, otak aku berjalan lagi. Tapi bila lama juga diaorang hilang & tak mahu pula dikata malas, aku bangun, malangnya... bilik tu berkunci. Hati berdetik lagi, ‘Mungkin ada sesuatu yang Ika nak luahkan pada Bikash’. Airul siap cakap aku mengintai tapi aku buat muka selamba dan duduk balik di tempat asal sambil tangan mula godek-godek hp, rasanya inbox aku dah banyak benar dengan SMS.

Tapi bila aku angkat muka, Ya ALLAH... cantiknya kek coklat depan mata aku dengan lilin 3 batang tapi dah terpadam. Terkejut & tak sangka bergaul jadi satu & sudahnya hanya perkataan yang tak patut disebut yang keluar dari mulut aku, tapi bukan itu makna sebenar sebab masa tu aku betul-betul terkejut & panik. Otak aku memang tak jangka yang diaorang akan buat kejutan macam tu, betul-betul aku ingat Ika perlukan bantuan kami, apalagi bila kenangkan adik dia yang nak kahwin. Dalam kepala aku fikir juga yang Ika nak suruh kita orang buat bunga telur, walaupun dah terang lagi bersuluh yang tangan kami tak seni dalam bab-bab macam tu. Huh... kenapalah aku tiba-tiba boleh jadi lurus bendul? Kalau tau, mesti aku dah pakai cantik-cantik (hahahaha). Melampau! Tapi betul, keletihan aku bagaikan dah dicabut keluar masa tu sebab terlalu terkejut.

Aku tak tahu antara Bikash, Fida, Shanika, Airul & Syafik... siapa yang punya idea nak buat kejutan ni. Hanya yang aku tahu, aku terkejut & kejutan diaorang memang menjadi sangat-sangat sampai air mata aku rasa nak menitis, cuma mujur juga aku tak jadi ratu air mata walaupun memang dah sebak sangat masa tu. Tak sangka, diaorang sudi sambut birthday aku dengan kek kegemaran aku, chocolate banana cake dari secret recipe.

Untuk diaorang berlima, ‘Tak tahu kata apa yang patut aku gunakan untuk korang berlima, tapi sungguh... terima kasih sangat atas kejutan yang memang tak ada dalam kepala aku. Korang buat aku rasa sangat gembira. Moga apa yang korang buat untuk aku, akan dibalas dengan kebaikan oleh DIA Yang Lebih Tahu. Aku sayang korang & harap persahabatan kita kekal sampai bila-bila’.

- SeLaMaT hArI lAhIr... -

May 16, 2010

Ya, Happy Birthday Marwati @ Aleya Aneesa. Kalau tahun lepas aku menyambut detik 12.00 malam, 16 Mei 2009 dalam panggung wayang di Mid Valley dengan Bikash, Fida, Ika, Airul, Fauzi dan Syafik sambil ditemani cerita X-Man Wolverine, tahun ni detik yang sama aku sambut dalam kereta. Kali ni hanya ada Fida sebab masing-masing ada hal sendiri. Lepas Fida wish, adik aku call, mak, Aqqif, Kakak, Ina dan Ila bergilir-gilir bercakap sambil merapu yang bukan-bukan dengan ditemani suara Kak Long, tapi mampu membuatkan aku senyum sampai ke telinga. Kemudian dapat SMS daripada ika (isteri adik bongsu aku), Angah, Kak Azie, Bikash, Huda, Diana, Dewi, Chik Anom, Jaja, kawan-kawan penulis, kawan-kawan kat universiti, kawan-kawan sekolah dan mereka yang kenal aku, juga wish perkara yang sama. Sungguh, aku bahagia walaupun hanya dengan secebis kata-kata yang mendoakan kebaikan untuk aku. Hendaknya, mereka juga selalu ada dalam lindungan ALLAH.

Memang kalau nak diikutkan, masa ni aku dah balik kampung. Tapi mengenangkan banyak perkara yang menuntut aku ada di KL, jadi aku terpaksa batalkan niat asal yang aku tahu buat diaorang hampa. Bukan cara aku macam tu, tapi aku betul-betul terpaksa, kalau tak bila masanya kerja angkut-mengangkut tu akan selesai.

Dan dalam banyak-banyak ucapan yang aku dapat, air mata aku bergenang bila dapat MMS aksi anak-anak kak azie yang bersusun 4 orang sambil menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Lahir’ untuk aku. “Terima kasih tak terhingga pada Along (yang ambil gambar), Bab, Zihah, Amat & Mira yang comel bila melentuk ke kanan dan ke kiri macam lalang kena tiup angin, Kak Mar doakan kalian selalu dalam rahmat ALLAH.

Kepada yang wish birthday kat aku, terima kasih sangat-sangat. Kalian sudah menceriakan hariku, terima kasih sekali lagi.

- MeRaH! -

May 14, 2010

Salam Jumaat buat yang sudi berkunjung. Harap kita semua ceria di hari yang nampak tenang dan sangat damai ni. Kali ni sengaja aku pilih tajuk merah, tapi yang pasti merah ni tak ada kaitan dengan sesiapa, baik yang hidup mahupun yang dah pergi. Merah di sini merujuk kepada warna merah semata-mata, tak ada kiasan, tak ada ibarat. Sebenarnya aku bukanlah jenis orang yang terlalu kisah dengan warna. Selama ni kalau beli baju, aku akan fikir warna apa dah ada dan warna apa yang tak ada, yang tak ada tulah yang akan dicapai. Kalau ditanya warna kesukaan aku pun, aku pasti tak dapat menjawab dengan cepat kerana otak bergerak memikirkan apa sebenarnya warna yang aku gemar. Kadang putih, kadang hitam, kadang merah, kadang hijau, kadang coklat & macam-macam lagi. Hanya dalam macam-macam warna tu, aku sangat dekat dengan warna hitam dan putih. Atas alasan apa, aku tak tahu, mungkin senang nak matchkan dengan tudung, agaknyalah.

Dan merah, merah pun bukanlah warna yang aku suka & tak suka, sedang-sedang aje. Tapi aku lebih pilih warna merah dibandingkan warna lain. Merah untuk kitchen cabinet, merah untuk sofa, merah untuk kamera & dinding pink (anak cucu merah), bahkan TV juga aku cari warna merah walaupun akhirnya terpaksa akur dengan hitam atas sebab-sebab tertentu. Entah kenapa aku pilih warna merah, aku tak tahu. Cuma yang aku tahu, mata terpukau, hati terpaut, minda mula membuat keputusan & tangan menghulur dengan peluh yang menitis di dahi, ‘Duit aku terbang lagi’.

Sungguh... kali ni aku puas hati dengan pilihan sendiri. Kalau orang lain nak komen atau tak berapa gemar, aku dengar tapi aku akan ke sisikan sebab dibandingkan orang lain, rasanya aku lebih memilih untuk memuaskan hati sendiri dalam soal yang satu ini sebab dah selalu sangat memuaskan hati orang. Apalah salahnya kalau sekali-sekala memanjakan diri sendiri setelah berhempas pulas bekerja selama ni. Bukannya selalu pun.

Hanya aku berharap, warna merah yang aku pilih tak akan buat aku pening atau gelisah tak menentu sama seperti setiap kali aku tengok seat tempat duduk kereta. Aneh, tapi memang pelik bila aku macam tak boleh nak tengok atau duduk kat seat kereta warna merah. Kalau merah sikit, tak apa, tapi kalau semua merah, kalau dah terpaksa aku akan duduk juga, tapi hati aku ALLAH saja yang tahu. Kalau boleh nak terjun ke luar aje. Selain daripada seat kereta, rasanya aku masih belum ada masalah dengan warna merah.

Dan merah... moga aku akan bertemu damai bersama-samanya (jiwang karat).

- SeLaMaT hArI LaHiR, sAyAnG -

May 12, 2010


Untuk anak buah aku nombor tiga, anak buah paling besar badannya, tapi di mata aku, masih punya senyuman yang semanis gula. Semasa kecilnya, punya ragam yang sangat memeningkan kepala sebab dengan semua orang tak mahu. Dan sekarang, masih juga memeningkan kepala bila dia gatal minta digaru sambil merengek-rengek macam tak dapat barang mainan. Danish Hakim yang baik, SELAMAT HARI LAHIR KE-5 TAHUN. Semoga Danish panjang umur, murah rezeki, selalu ada dalam rahmat ALLAH dan tetap jadi anak yang mampu menjadi penyeri di hati dan penyejuk di mata mama, papa, Arissa dan semua yang ada di sekeliling Danish...

- AkHiR-aKhIr InI... -

May 11, 2010

Memang akhir-akhir ni ada begitu banyak yang nak dibuat, sampai-sampai badan terasa letih & lesu sangat. Dan kalau ikutkan hati terasa macam nak tidur dalam jangka masa yang agak panjang untuk buang segala rasa letih dan lesu yang ada. Tapi bila mengenangkan ada banyak lagi perkara yang tak selesai, terpaksa juga buat-buat tak letih & lesu. Kalau bukan aku, siapa lagi yang nak buat? Lainlah kalau ada keluarga yang duduk dekat-dekat sini dan dalam keadaan macam ni baru selalu terfikir, alangkah bagusnya kalau ada adik-beradik yang tinggal sama tempat dengan aku.

Dalam pada kesibukan yang macam tak ada penyudah, kadang-kadang, tangan terasa gatal nak menaip manuskrip baru yang drafnya dah lama selesai. Ada masa-masanya pula, hati bagaikan digaru-garu nak menyelak novel baru yang ada berpuluh-puluh dalam simpanan sebab aku boleh dikategorikan sebagai manusia yang suka membeli novel baru daripada penulis baru juga. Tapi setiap kali rasa itu datang, cepat-cepat urut dada sambil hati berbisik ‘sabar’. Takkan lari gunung dikejar kata orang dulu-dulu.

Dan dalam masa sibuk membeli itu dan ini demi melengkapkan apa yang tak lengkap dan sepatutnya dilengkapkan, beberapa kali timbul rasa kesal dan tak puas hati dengan diri sendiri atau lebih tepat lagi pilihan sendiri. Sudahnya, malam tak dapat tidur lena sebab asyik terkenang-kenang dan terbayang-bayang. Kelakar dan aneh, tapi itulah aku yang sebenarnya. Keputusan atau pilihan yang dibuat, cepat saja berubah. Seperti kata cikgu BM aku masa form 1 dulu, “Tengok tulisan awak, saya tau awak jenis yang tak tetap pendirian”. Dulu rasa macam tak nak percaya, tapi sekarang aku terpaksa akui walaupun tak rela.

Tapi biar apa pun, aku rasa bukannya nak buat perkara yang sama banyak kali dalam seumur hidup, jadi apalah salahnya kalau kali ni aku berhabis sedikit asalkan aku puas hati. Tak kisahlah kalau tak cantik atau menarik di mata orang, yang penting sedap di hati dan mata sendiri kerana itu hak aku. Lagipun... bukankah cantik dan menarik itu sesuatu yang subjektif? Cantik di mata seseorang, belum tentu cantik juga di mata 10 orang yang lain.

- SeLaMat HaRi IbU... -

May 10, 2010

Mungkin... air muka dia nampak garang & serius. Bahkan, dia mungkin tak tahu bercakap lemah-lembut dan bermulut manis macam orang lain. Tapi aku tahu, adik-beradik aku tahu & kami tahu betapa dia yang nampak garang dan tak pandai bermulut manis itu punya sifat penyayang yang tentu saja tak ada tandingannya. Punya jiwa yang selembut kapas dan sanggup berbuat apa saja demi insan-insan bergelar ‘anak’. Malahan, sanggup menolak ke tepi kepentingan diri demi kami adik-beradik. Dan sungguh... aku menghargai setiap pengorbanannya walau bibir tak pernah mengungkapkan kalimah keramat itu.

Untuk insan yang paling aku sayang dalam dunia ini, Mahani Dahli. Tak ada kata apa yang sesuai untuk dicoretkan untuk menggambarkan apa yang ada di sudut hati, melainkan perkataan, “Ami terlalu sayangkan mak”. Moga setiap titis pengorbanan mak pada kami adik-beradik akan dibalas dengan selaut rahmat daripada ALLAH. Selamat Hari Ibu, mak... Semoga Semua Kebahagiaan dan kegembiraan akan jadi milik mak.

Selamat Hari Ibu juga untuk ibu-ibu yang ada di dunia ni, moga rahmat ALLAH selalu ada di sisi kalian.

- HaMpIr SeTeNgAh TaHuN -

Cepatnya masa berlalu, sedar-sedar dah sampai bulan Mei dan bulan depan, Jun. Itu bererti tahun 2010 sudah ada dipertengahan, sudah setengah tahun juga kita melalui tahun yang tentunya ada cerita dan makna tersendiri dalam hidup setiap manusia yang masih mampu menghirup segarnya bumi ALLAH.

Bagi manusia bernama aku pula, ada beberapa impian yang nak aku capai dalam hidup sudah pun tercapai, walaupun ada yang langsung tidak disangka. Belum pun sampai akhir tahun, aku sudah mampu menarik nafas lega, mampu tersenyum syukur dengan semua kurniaan yang ALLAH beri pada aku.

Tapi dalam banyak impian yang aku simpan, salah satunya nak tengok Angah punya hidup sendiri. Dan hati aku betul-betul tersentuh, bila Angah akhirnya selamat mengakhiri zaman bujang. Walaupun terus terang aku kata, hujung tahun lalu, kami anak-beranak tak pernah fikir yang hari ini Angah sudah pun menjadi suami orang pada 1 Mei 2010. Tapi kalau dah itu kehendak DIA, begitu jugalah jadinya. Sekurang-kurangnya rasa bersalah aku pada Angah dah lupus sebab aku tahu Angah pasti bahagia hari ni dan sebagai bonusnya, abah & emaklah yang lebih gembira.

Pun begitu, tak juga sepanjang 5 bulan kebelakangan ni, aku cuma senyum & ketawa, gembira & bahagia semata-mata sebab bukan hidup namanya kalau hanya berjalan di atas garis lurus saja. Ada masa-masanya, kaki terasa lesu nak terus menapak, hati terasa goyah nak terus bertahan sebab aku hanya manusia biasa yang ada kurang & lebih sama macam orang lain. Tapi bila mengimbas banyak perkara dalam dunia ini, rasanya aku tak layak untuk mempersoalkan apa yang berlaku. Kalau aku rasa perit, aku tahu ada yang lebih perit lagi. Apa pun, semoga semua manusia dalam dunia ni ada dalam lindungan ALLAH.

- AlAhAi AbAh... -

May 7, 2010

Rasa syukur sangat bila mak kata abah dah okey dibandingkan beberapa hari lepas. TUHAN aje yang tahu masa baca SMS adik ipar aku, rasa macam nak terbang pulang masa tu juga. Ya, aku tau sangat abah ada gout, tapi selalunya tak pernah serius. Kali ni sampai perlu dipapah & lebih mengharukan darah tinggi abah naik mendadak. Dan aku hampir-hampir meradang (ya, mak kata aku memang cepat meradang) bila mak kata abah jatuh masa buang air yang memenuhi bot (air hujan). Kenapalah sampai seteruk itu? Dengan keadaan badan abah yang besar, aku tak tahu macam mana rasanya sakit abah bila jatuh. Kalau aku ada, aku tak sanggup nak tengok, sama macam abah yang tentu saja tak sanggup tengok anak-anak dia jatuh masa kecil.

Kesian abah! Tapi soalnya dah berapa kali aku adik-beradik kata yang abah dah tak perlu pergi laut lagi sebab dah seluruh hidup abah tumpahkan ke laut tu selama ni semata-mata nak besarkan aku adik-beradik. Tapi susahnya nak menasihati orang tua, sama seperti susahnya nak mendapat jawapan positif daripada abah bila dikatakan abah tak boleh makan ini, abah tak boleh makan itu kalau tak nak gout abah datang.

Benar kata orang, memberi nasihat pada anak kecil lebih mudah daripada orang dewasa kerana orang dewasa asasnya lebih banyak makan garam daripada orang muda. Bukti ada depan mata, aku tentu saja tak akan menyangkal. Tapi di sisi yang lain pula, kalau bukan masa ini, bila lagi abah boleh menikmati semua makanan yang mungkin satu ketika dulu tak pernah pun dia rasa. Inilah masanya! Cumanya... makan salah, tak beri makan pula macam tak kena.

Gout... entah apa sebenarnya ubat bagi penyakit ini? Dah puas abah berubat, macam-macam cara digunakan bagi memastikan gout tu nyah dari hidup abah, tapi gout tu dah jadi macam bayang-bayang bagi abah, macam gula-gula getah yang melekat pada kaki seluar pun ya juga. Pantang tersilap makan sikit, datanglah gamaknya. Apa pun, aku harap lepas ni abah akan sihat, sihat... dan sihat terus. Memang kedengarannya mustahil kan, tapi aku hanya berharap dan selebihnya aku serahkan segala-galanya kepada DIA Yang Lebih Tahu kerana hanya DIA yang tahu rahsia alam. Dan mimpi dua malam lepas, aku berharap & sangat berharap tak akan jadi kenyataan sebab aku terlalu sayangkan abah.