- SEMUSIM RINDU [NOVEL PERTAMA] -

February 28, 2013

Kemalangan yang menimpa ayahnya membuatkan Hajar terpaksa membatalkan niat untuk melanjutkan pelajaran walaupun dia mendapat tawaran belajar di luar negara. Sejak itu dialah yang menjadi tunggak keluarga, menjaga ayahnya dan tiga orang adiknya. Dengan berbekalkan sijil SPM, dia bekerja di sebuah kilang elektronik pada waktu siang dan malam pula dia bekerja sebagai pencuci pinggan di sebuah restoran.

Disebabkan minat melukis, dia mengenali Hannah yang juga sukakan dunia lukisan. Mereka serasi menjadi sahabat. Konflik bermula bila salah seorang daripada pelayan di restoran tempat dia bekerja tidak dapat datang bekerja. Dia terpaksa menggantikan tempat kawannya itu walaupun dia tidak mahu kerana menjadi pelayan bermakna dia harus mengenakan baju sendat dan skrit pendek. Ketika itu Ikman bertindak memegang tangan Hajar gara-gara dicabar kawan-kawannya. Akibatnya, dia mendapat tamparan Hajar yang terkejut dan merasakan Ikman terlalu biadab. Tamparan itu membuatkan dia rasa malu dan terhina. Dia sentiasa mencari peluang untuk membalas dendam pada Hajar. Hinggalah satu hari dia mendapatkan peluang itu. Dia membawa Hajar ke apartmennya dengan tujuan untuk menakut-nakutkan Hajar. Ketika Hajar tidak sedarkan diri, dia mengatakan yang dia sudah memperlakukan Hajar dengan perlakuan yang tidak wajar sebab Hajar sudah memalukannya. Sedangkan hakikatnya, dia menipu. Dia tak ada buat apa-apa pun pada Hajar.

Hajar berasa sangat sedih dengan apa yang sudah Ikhman buat padanya. Sejak itu, mula hilang fokus dalam pekerjaannya di kilang. Dia asyik membuat kesilapan sehingga mengakibatkan kerugian. Malah rasa suka ketua di tempat kerja buat dia dicemburui rakan sekerja yang juga ada hati kepada ketuanya. Disebabkan dianiya, Hajar akhirnya tidak lagi bekerja di situ.

Hidupnya menjadi huru-hara kerana masalah kewangan kerana adik-adiknya akan menghadapi peperiksaan besar dan perlukan buku-buku rujukan juga yuran ke kelas tuisyen. Begitu juga perbelanjaan perubatan ayahnya. Sedangkan Ikhman dalam diam asyik mengintai diri Hajar, pelik bila tidak pernah melihat Hajar selepas kejadian yang memalukannya di restoran. Daripada pemilik restoran yang kebetulan kawan Ikhman, Ikhman mendapat tahu kesusahan Hajar. Dia jatuh simpati pada Hajar kerana, dia seperti menambahkan beban pada Hajar yang memang banyak tanggungjawab. Dalam diam, melalui kawannya, Ikhman cuba membantu Hajar dalam menghadapi masalah kewangan.

Dalam masa yang sama, Hilal galak mencari anak saudaranya yang hilang 15 tahun lalu kerana melarikan diri akibat didera Kak Longnya selepas kematian abang kandungnya. Banyak cara digunakan, ramai penyiasat diupah tapi tetap tidak berjaya. Hinggalah satu hari dia mendapat sebuah maklumat baru. Dia terus pergi ke rumah yang dimaksudkan dan kali ini pencariannya tidak sia-sia. Hajar Adira memang anak saudara yang dicari selama ini.

Ikhman yang mengetahui dia dan Hajar rupa-rupanya sepupu, sangat terkejut dengan kenyataan itu. Namun Hajar yang kecewa kerana Hilal [pak su] meninggalkannya dengan Mak Longnya yang kejam kerana menyambung pelajaran ke Jepun, tidak mahu mengaku yang dia kenal mereka semua, termasuk Mak Long dan Mak Ngahnya. Dia terus berkata yang dia anak kandung kepada Firdaus walaupun hakikatnya Firdaus yang ketika itu tidak mempunyai anak, membawa dia pulang kerana dia hanya sendiri di stesen bas. Sejak itu, dia tidak pernah menunjukkan muka pada sesiapa termasuk Ikhman dan Hannah yang merupakan adik Ikhman. Dia benar-benar tidak mahu mempunyai apa-apa hubungan dengan mereka.

Hilal yang menghidap kanser jadi makin sakit kerana terkilan dengan penolakan Hajar. Ketika dia tenat, dia meminta Hajar dan Ikhman berkahwin kerana hanya Ikhman yang dia percaya dapat menjaga Hajar. Lain-lain dia tidak percaya termasuk Azim [anak mak long] yang juga ada hati pada Hajar dan menolong Hajar melarikan diri daripada rumah ibunya yang hanya mahukan harta peninggalan arwah ayah dan ibu Hajar. Mulanya Hajar tidak mahu tapi akhirnya dia terpaksa akur bila mengenangkan keadaan Hilal yang makin kritikal.

Bila Hilal meninggal, Mak Long kembali lantang menyusahkan hidup Hajar sama macam Hajar masih kecil. Sudahnya Hajar membatalkan niat berkahwin dengan Ikhman tapi Ikhman tetap berkeras kerana dia sukakan Hajar dalam diam. Mereka berkahwin, tapi tidak sehaluan dan tinggal di rumah yang berbeza. Bekerja bersama-sama Ikhman buat hubungan mereka makin rapat, namun Mak Long terus-menerus menyusahkan hidup Hajar. Saat harta Hilal jatuh ke tangan Hajar sepenuhnya, Mak Long dan anak-anaknya jadi makin galak memburu Hajar. Mereka berkata yang Hajar tidak layak mendapatkan harta Hilal. Mereka lupa yang mereka sudah membolot harta Hajar sejak Hajar kecil lagi.

Hajar tidak mahukan harta Hilal tapi tetap harus menerimanya dan keadaan itu menjadikan hubungan dia dan Ikhman lebih rapat. Dalam diam, mereka memendam rasa yang sama. Namun hubungan yang ada berkocak bila Mak Long menuduh Hajar menjadi penyebab Azim dan Yuhanis hendak bercerai. Alasan Mak Long, Azim digoda Hajar yang mahu melihat rumah tangga mereka berkecai. Ikhman tidak percaya sampailah dia melihat Hajar ada di dalam kereta Azam.

Akibat termakan hasutan Mak Long, ibu Ikhman jadi benci pada Hajar. Dia menyuruh Ikhman yang kecewa kerana kecurangan Hajar berkahwin dengan perempuan lain. Hajar yang kecewa kerana Ikhman tidak percaya pada kata-katanya... |SEMUSIM RINDU - ALEYA ANEESA|


- HANYA DIA TAHU [NOVEL KE-5] -

February 21, 2013

Persahabatan yang erat antara Nasuhah [Nasuhah Harlena] dan Aria [Ariana Luthfia] menyebabkan Aria menyimpan niat mahu menyatukan Nasuhah dengan abangnya, Zaen [Zaen Luthfi] dalam ikatan perkahwinan. Dia terlalu sayangkan Nasuhah yang menjadi kawan rapatnya ketika berada di sekolah menengah hingga menginjak ke alam dewasa. Malah disebabkan Nasuhah jugalah dia yang selama ini agak sosial berubah menjadi baik. Perubahan Aria itu sangat disenangi ibu dan ayahnya [Dr. Zakiah dan Dr. Armand].

Lantaran itu, setiap hari Aria menyebut nama Nasuhah dan kebaikan Nasuhah di hadapan Zaen sehingga Zaen berasa jemu dan menjadi marah. Cara Aria, seperti Nasuhah itu terlalu sempurna untuk dijadikan calon isteri. Sedangkan bagi Zaen, kalau Nasuhah itu benar-benar sempurna, Nasuhah tentu awal-awal lagi sudah mempunyai teman lelaki dan mungkin sudah pun mendirikan rumah tangga. Tapi bagi Aria, dia punya alasan yang kukuh. Pertama, dia tidak mahu kehilangan Nasuhah kerana ditakdirkan Nasuhah berkahwin dengan lelaki lain, hubungan rapat yang ada di antara mereka akan berjarak kerana Nasuhah tentu akan melebihkan keluarga sendiri. Kedua, dia tidak mahu terus melihat Zaen asyik bertukar-tukar pasangan hidup. Dia mahu Zaen mendapatkan pasangan yang baik kerana abangnya itu juga baik.

Zaen yang tidak tahan mendengar nama Nasuhah disebut Aria, nekad menghubungi Nasuhah pada suatu hari. Zaen memberitahu Nasuhah yang dia tidak berniat hendak kenal lebih rapat dengan Nasuhah dengan alasan selalunya yang mencari dia perempuan, bukannya dia yang terhegeh-hegeh mencari perempuan. Dia meminta supaya Nasuhah melupakan niat untuk beradikiparkan Aria. Katanya lagi, dia tidak sudi pada Nasuhah dan tidak minat pada Nasuhah. Malah meminta supaya Nasuhah tidak mengganggunya dan jangan mempergunakan Aria demi mendapatkannya.

Nasuhah yang tidak tahu apa-apa, terkejut sangat dengan amaran dan hinaan Zaen. Lantas dia memberitahu yang dia tidak pernah pun berniat hendak menjadi keluarga Zaen kerana tanpa menjadi ahli keluarga pun dia sudah menganggap Aria itu sebahagian daripada keluarga sendiri kerana mamanya [Wan Zainab] dan ibu angkatnya [Hamilah] juga sayangkan Aria. Lagipun dia tidak kenal Zaen kerana ketika dia rapat dengan Aria, Zaen sibuk hendak melanjutkan pelajaran ke luar negara. Bagi Nasuhah, semoden mana pun negara dan secanggih mana pun teknologi, dia tidak mungkin akan menjadi seperti perigi mencari timba. Dia lebih rela menjadi anak dara tua daripada mengejar lelaki, apalagi lelaki yang lebih segala-galanya dibandingkan dirinya. Katanya lagi, dia sangat hodoh untuk digandingkan dengan Zaen. Zaen yang mendengar kata-kata tenang Nasuhah akhirnya termalu sendiri.

Masa berlalu, Nasuhah cuba melupakan apa yang berlaku. Hubungannya dengan Aria pun tidak terjejas. Hinggalah satu hari, ketika menyambut ulang tahun perkahwinan orang tua Aria, Zaen terpandangkan Nasuhah dan dia jatuh cinta pandang pertama. Dia langsung tidak teringat yang dia pernah memberi amaran dan berkata pada Nasuhah yang dia tidak suka dan minat pada Nasuhah. Atas permintaan Nasuhah, Aria langsung tidak mengatakan apa-apa ketika Zaen hendak tahu siapa sebenarnya Nasuhah. Bagi Nasuhah, dia tidak mahu Zaen mengejarnya kerana rupa paras. Bimbang bila rupanya buruk suatu hari nanti, Zaen akan meninggalkannya.

Sejak hari itu, Zaen mula memerhatikan Nasuhah. Apa saja yang Nasuhah lakukan, diintip. Dia asyik menghubungi Nasuhah, tidak kira siang dan malam termasuk ketika berada di kedai bunga. Di pasar raya pun Zaen sudah berani menjejakinya. Malah dengan selambanya Zaen mengambil baju Nasuhah dengan alasan baju itu akan digunakan jika keadaan mendesak. Tekadnya hanya satu, dia mahu memiliki Nasuhah walau dalam apa cara sekali pun.

Namun Nasuhah langsung tidak berminat dengan Zaen. Kata-kata amaran dan hinaan Zaen tidak akan dilupakan sampai bila-bila. Dia mula merasakan Zaen satu gangguan dalam hidupnya dan dia mula kehilangan ketenangan. Desakkan mama dan ibu angkatnya yang mahu dia berkahwin dan mempunyai anak pula membuatkan dia lebih tertekan. Dalam masa yang sama Nasuhah dan keluarganya baik dengan Amirul yang merupakan pekerja di kedai bunga milik mamanya. Mereka bersimpati pada Amirul yang terpaksa membesarkan tiga orang adik selepas kematian orang tua mereka. Salah seorang daripada adik Amirul mengalami Autisme.

Satu hari ketika singgah di kedai bunga, Zaen melihat Nasuhah berbual-bual mesra dengan Rezuan dan itu membuatkan Zaen cemburu tapi hanya mendiamkan diri. Hinggalah satu hari Rezuan muncul di pejabat Zaen dan meminta supaya Zaen menjauhi Nasuhah kerana Nasuhah milik dia. Saat Rezuan meninggalkan pejabat, dia melihat Aria memegang lengan Rezuan dan mereka berjalan sering. Bertanya pada Aria, Aria mengatakan yang Rezuan sudah lama menjadi kekasihnya. Tapi Nasuhah tidak tahu kerana dia mahu membuat kejutan sebab Rezuan pernah menjadi kawan mereka masa di universiti. Zaen rasa pelik, antara Nasuhah dan Aria, siapa sebenarnya pilihan Rezuan. Hanya yang dia pasti, Rezuan bukan lelaki baik kerana cuba merapati dua sahabat baik itu dalam masa yang sama.

Bila Zaen cuba mendapatkan kepastian daripada Nasuhah, dia berbohong mengatakan Rezuan itu teman lelaki dia demi menyakitkan hati Zaen. Terperanjat dengan luahan itu, Zaen mula berasa sakit hati dan sedikit dendam tapi dalam masa yang sama tidak mahu Nasuhah dipermain-mainkan Rezuan. Lalu dia mengada-adakan cerita yang tidak ada dengan menjadikan baju Nasuhah yang diambil sebagai bukti. Pada mama dan ibu angkat Nasuhah dikatakan yang dia dan Nasuhah telah melakukan perbuatan sumbang dan dia mahu bertanggungjawab. Cerita itu menyebabkan kemarahan mama dan ibu angkat Nasuhah. Mereka malu dengan apa yang sudah Nasuhah buat. Bila Nasuhah meminta Zaen menerangkan kisah sebenar, Zaen enggan. Pertengkaran mereka membongkar kisah Rezuan dan Nasuhah dan itu amat mengecewakan Aria, namun dia tidak mengatakan apa-apa. Untuk Nasuhah dia sanggup berkorban.

Demi meyakinkan mama dan ibu angkatnya yang dia difitnah Zaen, Nasuhah menerima lamaran Rezuan yang selama ini menggunakan Aria semata-mata mahu mendekati Nasuhah. Akibatnya, Aria membawa diri ke luar negara dan Zaen kecewa kerana tidak dapat memiliki Nasuhah. Mulanya dia masih berkeras mahu menjadikan Nasuhah isterinya, tapi niat itu dibatalkan saat mengetahui yang dialah yang terlebih dahulu menolak Nasuhah dalam hidupnya. Dia yang memberi amaran dan menghina Nasuhah tanpa mengetahui siapa sebenarnya Nasuhah. Dia benar-benar malu dengan perbuatannya.

Sehari sebelum melangsungkan perkahwinan dengan Rezuan, Nasuhah mendapat tahu daripada kawan seuniversiti yang selama ini Rezuan bercinta dengan Aria. Barulah dia mengerti kenapa Aria seperti mengelakkan diri daripadanya. Terasa diri seperti kawan makan kawan, Nasuhah... |HANYA DIA TAHU - ALEYA ANEESA|

PESANAN PENUH KASIH SAYANG : Untuk yang belum pernah baca, boleh mendapatkan gambaran kisah hidup ZAEN & NASUHAH di sini... ;-)

- NOVEL SEGALANYA UNTUKMU [NOVEL KE-4] -

Dengan matanya sendiri Jehanna Aisya [Jehan] melihat ibunya meninggal dunia ketika berusia 8 tahun akibat cuba menyelamatkan dia daripada dihumban ayahnya dari tangga. Sebelum meninggal ibunya sempat berpesan supaya dia tidak menceritakan pada sesiapa sebab ayah dia tak sengaja. Selepas kejadian itu, Jehan, Aina [adik] dan Halmy [abang] dihantar ke rumah anak yatim. Dia yang periang mula jadi murung sehinggakan dia dipulaukan kawan-kawan termasuk abang dan adiknya sendiri.

Masa berlalu, dia membesar sempurna. Namun dia jadi dingin dengan semua lelaki kerana dia beranggapan semua lelaki tidak boleh diharap. Ayahnya kaki judi, abangnya pula selalu tidak ada apabila diperlukan dan tidak bersikap melindungi adik-adik. Malah selepas berkahwin dengan Erdina, Halmy langsung tak peduli pada dia dan Aina. Yang Halmy ikut hanya kata-kata dan permintaan Erdina walaupun tak masuk akal. Jehan hanya rapat dengan Joane yang tahu semua ceritanya. Dalam masa yang sama, Jehan kerap bermimpi kejadian ketika ibunya meninggal dunia. Dia rasa sedih dan bersalah.

Satu hari, ketika balik daripada melawat rumah anak yatim yang terletak tidak jauh daripada Hospital Bahagia, dia terlanggar kereta Fahem Ammar [Fahem]. Dia nak minta maaf, tapi bila Tania marah-marah, dia pun jadi marah sama walaupun dia bersalah. Fahem suruh Jehan minta maaf sebab dia yakin Jehan tak akan mampu bayar bila tengok gaya Jehan yang biasa-biasa aje sedangkan kereta dia kereta mahal. Baru Jehan buka mulut, muncul Dr. Rais yang mahu mendamaikan keadaan sebab dia kenal Jehan dan ada hati pada Jehan. Jehan marah Dr. Rais juga sebab cuba masuk campur. Fahem terus buat kesimpulan yang Jehan sakit jiwa sebab tempat tu dekat dengan hospital sakit jiwa.

Fahem ceritakan apa yang berlaku pada Halmy. Marahkan Jehan sebab, gara-gara Jehan, Tania boikot dia. Bila jumpa Jehan, Halmy tanya khabar Jehan dan Jehan terus dingin dan acuh tidak acuh. Fahem rasa Jehan sangat kurang ajar sebab terlalu sinis. Jadi tertanya-tanya sendiri kenapa Halmy bahasakan diri ‘abang’ dengan Jehan. Rasa ingin tahu Fahem makin kuat bila Halmy sedih sangat walaupun Jehan hanya cedera ringan masa cuba selamatkan budak lelaki masa melintas jalan. Halmy nampak beria-ia jaga Jehan dan pegang-pegan Jehan sesuka hati. Fahem fikir Halmy main kayu tiga. Kemudian baru Halmy terangkan yang Jehan adik dia. Fahem tak tahu sebab tak pernah jumpa dengan Jehan. Masa Halmy kahwin pun Jehan tak ada, yang ada hanya Aina.

Fahem asyik ingatkan Jehan dan dia rasa dia sukakan Jehan. Dia rasa ada sesuatu dalam diri Jehan walaupun Jehan nampak keras, kaku dan dingin. Bila tahu Halmy perlukan duit sebab Erdina, Fahem tawarkan duit pada Halmy. Sebagai balasan, Jehan harus menjadi isteri dia sebab Jehan satu-satunya perempuan yang berjaya buat dia rasa yang perkahwinan bukannya satu perjudian macam yang dia anggap bila ibu dan ayah dia berpisah; dan ibu dia kahwin dengan lelaki hampir sebaya usia dia.

Jehan terus tolak Fahem sebab dia tak pernah fikir pun nak kahwin. Jadi makin benci pada Halmy sebab cuba jual dia pada Fahem demi Erdina yang memang dia tak suka. Fahem kecewa tapi tak mahu mengalah. Dia terus berusaha hingga mereka akhirnya menjadi kawan gara-gara sekeping martabak yang diberikan pada seorang budak di pasar malam. Bila makin selesa, Fahem lamar Jehan tapi Jehan tak terima. Dia tak mahu anak-anak dia tinggal di rumah anak yatim kalau ditakdirkan dia dan Fahem meninggal awal. Hidup di rumah anak yatim bagi dia sangat menyedihkan.

Nasihat Joane buat dia sedar dan akhirnya mereka berkahwin juga. Tapi bahagia mereka tak lama. Jehan terdengar perbualan Fahem dan Halmy tentang sistem berter, ‘beri duit, dapat Jehan’. Sebenarnya Fahem dan Halmy hanya bergurau tapi Jehan terus pergi tanpa dengar kata-kata seterusnya. Bagi dia, Fahem dan Halmy sama-sama penipu.

Sejak itu hubungan mereka jadi dingin. Jehan langsung tak terpujuk walaupun Fahem terus memujuk. Dia kembali marahkan Halmy dan Halmy rasa bersalah sebab dia tak pernah menggembirakan adik-adik dia dari dulu lagi. Dia mula tak endahkan kerenah Erdina yang menjadi punca kemarahan Jehan.

Satu hari, ketika pergi ke rumah Aina, dia terdengar Aina bergaduh dengan Syamsul [suami Aina] sebab Syamsul lebihkan ibu dia berbanding Aina dan Adib [anak Aina]. Langsung tak peduli pada perasaan Aina. Jehan jadi marah dan terus masuk campur bila Syamsul macam memperlekeh-lekehkan Aina walaupun dihalang Fahem. Saat Fahem nak tampar Jehan sebab kurang ajar, Aina halang. Jehan terus lari dapatkan Joane.

Fahem yang tak faham dengan sikap Jehan yang bagi dia agak pelik, jumpa Halmy untuk tahu cerita sebenar. Niat dia nak selamatkan rumah tangga dia dan Jehan yang dah retak menanti belah. Halmy ceritakan semuanya dan Fahem jadi sangat simpati pada Jehan dan tekad untuk bahagiakan dan gembirakan Jehan.

Mereka berdua berkunjung ke rumah Kamaliah [ibu Fahem] Jehan asyik dibuli sebab Kamaliah tak suka Jehan sebab dia anak yatim. Kamaliah mahukan Tania sebagai menantu. Fahem buat tak nampak sebab dia nak tengok sejauh mana Jehan dapat bersabar. Ketika Jehan berehat di dalam bilik, muncul Rafi menawarkan kalung berlian kepada Jehan dengan syarat Jehan kena layan dia. Jehan jerit bila Rafi dah mula bertindak biadab. Pada Kamaliah, Rafi kata Jehan goda dia sebab mahukan kalung milik Kamaliah. Fahem tak percaya sebab dia kenal Jehan, lagi pun dia nampak baju Jehan yang koyak tanda direntap. Sedar yang Kamaliah tengah marah, Fahem bawa Jehan balik.

Kamaliah terus desak Fahem ceraikan Jehan. Fahem jadi serabut dan marah bila Jehan terus juga bercakap tak berhenti. Jehan yang kecil hati sebab Fahem tak percayakan dia, diam-diam pergi ke rumah anak yatim. Fahem menyesal sebab marahkan Jehan. Cari Jehan merata tempat tapi jumpa. Lega bila Aina kata Jehan ke rumah anak yatim. Nak pergi tapi Aina nasihatkan supaya Jehan diberikan ruang.

Masa Jehan datang ke Pesta Buku dengan Joane dan Dr. Rais lepas balik daripada rumah anak yatim, dia terlanggar Tania hingga hampir terjatuh, mujur disambut Fahem. Jehan kecewa sebab Fahem ada dengan Tania. Buat keputusan untuk berpisah dengan Fahem tapi Fahem tak nak. Bila Jehan nak keluar, di ruang tamu dia nampak ada Basir [ayah Jehan] yang tak pernah muncul lepas umi dia meninggal dunia. Dia jadi sangat sedih, dan jadi ingat semua sekali yang dah berlaku. Luahkan kecewa dan sedih dia depan semua orang sebab dah lama sangat dia pendam dalam diam. Bila Basir minta maaf, dia kata dia maafkan dan lepas tu terus pergi. Fahem kejar, terkejut bila tengok Jehan terbaring kat tepi jalan, satu kereta kemik depan dan satu kereta lagi kemik belakang... |SEGALANYA UNTUKMU - ALEYA ANEESA|

PESANAN PENUH KASIH SAYANG : Untuk yang belum pernah membaca novel SEGALANYA UNTUKMU ini. Untuk yang dah baca, boleh juga kalau nak baca N3 ni, boleh mengimbas kisah FAHEM & JEHAN...

- TEMU MESRA BERSAMA PENULIS -

February 20, 2013

Untuk yang berkelapangan dan punya banyak masa, jom datang ke Alamanda Putrajaya pada 24 Februari 2013 pada pukul 2.00 - 4.00 petang. Dua jam aje! Boleh jumpa dengan saya dan Weeda Airiza kalau-kalau terasa nak berjumpa. Kalau tak terasa pun, boleh aje dipupuk rasa-rasa itu. Betul ni... ini bukannya ajak-ajak ayam sebab saya tau kalau nak ajak ayam, saya kena pergi reban ayam dulu. Ini ajak betul-betul. Jadi... jumpa di sana yang kawan-kawan! ;-) 

- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 7] -

February 8, 2013

NADRA tahan hati. Sudah dikata berkali-kali, sudah ditepis berulang-ulang kali juga, namun Raqib tetap juga mahu menarik-narik perlahan hujung rambutnya yang sengaja diikat ekor kuda. Bila melihat matanya membulat, Raqib cepat-cepat mengangkat kedua-dua tangannya. Tanda menyerah dan tidak akan mengulang kembali perbuatan itu. Tapi bila dia kembali membalik-balikkan ikan di dalam kuali, Raqib kembali melakukan perbuatan yang sama. Pantang kalau melihat dia asyik dengan kerja.

“Abang apa ni? Iha tengah masak kan ni, buat apa abang kacau?” protes Nadra tidak puas hati. Menjeling pada Kalsum yang sudah tersenyum, dia menahan hati. Kalau hanya ada dia dan Raqib, tahulah dia bagaimana mahu mengajar Raqib. Biar suaminya itu serik dan tidak lagi mengacaunya. Kehadiran umi Raqib itu benar-benar menyekat tindakannya. Raqib pula tahu benar bagaimana cara hendak memanfaatkan keadaan.

“Mana ada abang buat apa-apa. Tengok Iha masak aje pun. Takkanlah itu pun tak boleh? Berkira betul isteri abang ni!”

“Tengok Iha masak aje pun?” tanya Nadra, mengulang kembali kata-kata Raqib.

“Yalah! Tak nampak ke abang tengah berdiri sebelah Iha ni?”

Nadra gigit bibir. Raqib fikir dia budak-budak yang mudah digula-gulakan ke apa? Menjeling lagi ke arah Kalsum, ibu mentuanya tetap juga tersenyum. Mungkin terhibur melihat dia disakat Raqib. Kadang-kadang dia fikir, Raqib lebih banyak mengikut Kalsum dibandingkan Idlan. Pasti adik iparnya itu lebih ke arah ayah mentuanya yang tidak sempat dikenali dengan baik. Seingatnya, ayah Raqib meninggal dunia ketika mereka berada di tingkatan dua. Suramnya wajah Raqib ketika itu, sampai ke hari ini masih mampu diingat dengan jelas.

“Kalau betul abang cuma nak tengok, Iha tak kisah. Masalahnya tangan abang pun ikut berjalan sama. Buatnya ikan ni hangus, macam mana?”

“Kita makan ikan hitamlah nampaknya malam ni!”

“Abang ni...”

“Dah-dah, pusing balik. Sila tengok ikan Iha tu sebab abang macam terbau benda hangit aje ni.”

Pantas Nadra berpusing dengan rupa cemas. Melihat ikannya masih elok, dia kembali memandang Raqib dengan rasa geram yang membuak-buak. Sakitnya hati bukan kepalang. Bila suaminya ketawa besar, cepat saja tangannya mencubit lengan Raqib sekuat-kuat hatinya. Raqib selalu saja mempermain-mainkannya begitu. Namun saat mendengar ketawa halus Kalsum, dia akhirnya ikut ketawa.

“Menantu umi ni dah macam umilah. Suka sangat jadi ketam,” ejek Raqib pada Nadra. Digosok-gosok lengannya yang sudah memerah. Esok dia yakin warna merah akan berganti lebam kebiru-biruan.

“Padan muka,” ejek Nadra kembali. Siap dinaikkan ibu jari sebagai tanda kemenangan.

Raqib hanya tersengih dalam kesakitan. Hendak marah terasa seperti tidak kena kerana dia yang menjadi punca. Kalau dia tidak mengganggu Nadra tentu Nadra tidak menghadiahkan dia cubitan yang bisa. Tapi kalau tidak mengganggu Nadra, terasa seperti ada yang tidak lengkap dengan hidupnya. Hendak berbual-bual dengan Idlan, adiknya itu masih belum turun. Malah sejak petang semalam, sejak dia menyebut nama Nadra, Idlan langsung tidak menegurnya.

“Cubit aje Nadra. Bila dah kena cubit barulah dia berhenti,” sokong Kalsum senang hati.

“Umi ni... Raqib ke Nadra ni anak ibu sebenarnya?”

“Bila Nadra kahwin dengan Raqib, bermakna Nadra juga anak umi. Tak timbul dah soal siapa sebenarnya anak umi. Sebab bagi umi, sekarang ni umi dah ada anak tiga orang. Raqib, Nadra dan Idlan. ”

“Eh... anak tetap anaklah. Menantu tetap menantu,” protes Raqib tidak puas hati.

“Kalau umi nak anggap Iha macam anak dia sendiri, abang sakit hati kenapa?”

“Bila masa abang sakit hati?”

“Tadi tu yang abang cakap anak dan menantu tu ada beza kenapa pula?”

“Habis tu Iha tak puas hatilah ni dengan abang ya?”

Nadra mencebik. Jauh di sudut hatinya, dia langsung tidak terkesan dengan apa yang dikatakan Raqib. Dia tahu suaminya itu hanya bergurau. Sengaja hendak melihat reaksinya.

“Ni Iha nak merajuklah ni dengan abang ya?”

Kalsum yang mendengar kata-kata anak dan menantunya, tersenyum sambil menggeleng. Sejak Nadra masuk ke dalam keluarganya, dia terasa hidupnya seperti sudah lengkap kembali. Nadra seperti sudah mengganti ruang kosong yang ditinggalkan arwah suaminya. Malah Nadra membuatkan dia terasa seperti dia punya anak perempuan yang selama ini sangat ingin dimiliki.

“Nak merajuk ke tak ni?” tanya Raqib bila soalan pertamanya tidak diendahkan Nadra.

“Kalau ya kenapa dan kalau tak pula dapat apa?”

“Kalau merajuk abang nak peluk kuat-kuat. Biar tak payah merajuk lagi.”

Terbuntang mata Nadra. Tidak percaya, di hadapan Kalsum pun Raqib berani bergurau begitu. Baru dia hendak mencubit lagi lengan Raqib, pantas suaminya itu melarikan diri dan bersembunyi di belakang Kalsum. Terus pergerakan tangan Nadra terhenti. Tak mungkin dia berani mencapai lengan Raqib pada saat suaminya betul-betul sudah ada di sebalik tubuh gempal ibu mentuanya. Kalau pun Raqib tidak malu bertingkah seperit anak kecil, dia sebagai menantu tetap rasa malu.

“Tak malu betullah...” rungut Nadra perlahan.

Besar ketawa Raqib. Bergegar-gegar bahunya kerana geli hati. Muka geram Nadra benar-benar menggamit rasa lucu di matanya. Kalaulah dia bawa kamera atau telefon bimbit ketika ini memang dirakam gambar Nadra. Bila terasa bosan, boleh juga tengok buat menghibur hati.

“Okey... okey... tak usik lagi dah. Kali ni abang tak tipu Iha. Ikan yang Iha goreng tadi betul-betul dah berbau hangit. Lagi lama Iha biarkan, memang tak mustahil malam ni kita makan ikan arang.”

Nadra terdiam sejenak. Diam-diam cuba menghidu bau hangit yang dikatakan Raqib. Wajahnya berkerut.

“Ikan Iha!” katanya sedikit menjerit. Kemudian terus dia berjalan pantas ke arah kuali yang sudah berasap nipis.

Kali ini ketawa Raqib dan Kalsum bergabung menggamatkan ruang dapur yang tadinya hanya riuh sedikit. Kekalutan Nadra benar-benar kelakar. Seingat mereka, inilah pertama kali Nadra nampak sekalut itu sejak datang ke rumah mereka. Namun Idlan yang melihat panorama itu terasa hatinya seperti digigit sesuatu. Ikutkan hati mahu saja dia menjerit menyuruh umi dan abangnya menghentikan ketawa yang masih belum selesai. Sungguh, telinganya sakit melihat mereka gembira hanya gara-gara Nadra. Dia tidak dapat menerimanya.
--------------------------------------------------------------------------------
“MINGGU depan sekolah dah start buka balik kan, Idlan?” tanya Kalsum ketika mereka berempat duduk di ruang tamu selepas makan. Gelas berisi kopi di dalam cawan yang dibawa Nadra tadi dicapai dan dihirup berhati-hati kerana masih hangat. Ketika menjadi guru sandaran bertahun-tahun dulu, semua tarikh penting berkaitan persekolahan dia tahu. Tapi hanya setakat itu. Bertugas sebagai akauntan sampai ke saat ini, rutinnya selalu sibuk dengan kerja dan anak-anak.

“Umi kan bekas cikgu, takkanlah tak tahu kot,” balas Idlan malas. Kalau tidak mengenangkan uminya ada di situ, memang awal-awal dia sudah mengangkat kaki. Tidak mahu ada di ruang yang sama dengan Nadra. Di matanya, kakak iparnya itu hanya berlakon baik di hadapan umi dan abangnya.

“Idlan, kenapa cakap dengan umi macam tu?” tegur Raqib kurang senang.

Nadra diam. Matanya difokuskan tepat menghala ke arah skrin TV. Tidak mahu menyampuk walaupun telinganya tetap mencuri dengar perbualan anak-beranak itu kerana Raqib lebih berhak. Namun dia juga tidak suka sikap Idlan yang menjawab kata-kata ibu mentuanya seperti acuh tidak acuh saja. Sebagai anak tak kira apa pun berlaku, hati orang tua perlu ditatang bagaikan menantang minyak yang penuh. Apalagi Kalsum seorang ibu da ibu mentua yang sangat baik.

“Cakap macam tu pun salah ke?” protes Idlan tidak puas hati. Dia bukannya bercakap dalam nada yang keras. Nadanya masih perlahan walaupun diakui kata-katanya langsung tidak beremosi. Hatinya masih sebal mengenangkan apa yang berlaku di meja makan tadi. Selamba saja Raqib dan Nadra meneruskan gurau senda yang tak selesai semasa proses menyediakan masakan tadi. Mahu saja dia meluahkan kembali apa yang dimakan kerana rasa meluat yang bukan sedikit.

Nadra sangat-sangat menyebalkan!

“Bukanlah salah. Tapi sekurang-kurangnya, tengoklah muka umi masa bercakap.” Tenang saja cara Raqib menegur. Dia bukannya hendak marah, hanya mahu memahamkan Idlan yang sudah melakukan kesalahan.

“Umi tanya masa Idlan tengah tengok TV kan?”

“Umi dengan TV mana lagi penting?” tanya Raqib. Berkocak juga tembok sabarnya dengan sikap Idlan.

“Yang abang macam tak puas hati aje dengan Idlan ni kenapa?”

“Apa Idlan cakap? Idlan ingat abang ni ad...” Bicara Raqib mati begitu saja.

Nadra lekapkan tangannya ke tangan Raqib yang ada di bahunya. Bila Raqib memandang, dia menggeleng. Tak mahu Raqib meneruskan kata-kata. Pada saat Idlan jelas seperti tidak puas hati, dia tak rasa yang teguran Raqib berguna, apalagi jika adanya dia. Tentu Idlan rasa ego tercabar kerana ditegur di hadapan orang yang tidak disukai.

“Kenapa?” bisik Raqib perlahan.

“Bukan sekarang. Kalau abang nak tegur pun biar di belakang Iha. Tak adalah dia rasa malu sangat.”

Raqib menarik nafas panjang. Kemudian dilepaskan perlahan-lahan. Baru mengerti mengapa Nadra menghentikan kata-katanya tadi. Dalam diam dia rasa bersyukur kerana Nadra bijak mengawal keadaan. Kalau dia terus berkata-kata tadi, memang tidak mustahil mereka berdua bakal bertengkar. Jika itu sampai terjadi, semakin sukarlah dia hendak memulihkan hubungan Nadra dan Idlan kelak.

“Dahlah tu Idlan, Raqib. Umi tak apa-apa,” ujar Kalsum perlahan. Namun dia tidak mengerti mengapa Idlan nampak lain macam.

“Maaf umi,” pinta Raqib pantas.

Tidak mahu uminya tergores. Seboleh mungkin semenjak ayahnya pergi, dia berusaha untuk menggembirakan dan membahagiakan uminya. Dia tidak mahu uminya berasa kurang kerana tidak ada ayahnya di sisi. Mujur saja uminya jenis yang cepat bangkit setelah terjatuh. Seingatnya, hanya beberapa hari saja uminya meratapi kehilangan ayahnya, kemudian uminya sudah boleh senyum dan ketawa seperti biasa.

Bukan juga uminya terlalu cepat melupakan ayahnya. Tidak kerana sampai ke detik ini dia yakin uminya masih mengingati ayahnya. Kata uminya, dia dan Idlan harta peninggalan ayahnya yang perlu dijaga dengan baik. Kalau uminya lemah, tentu dia dan Idlan lebih lemah lagi.

“Idlan pun minta maaf juga umi.”

“Umi maafkan. Umi selalu maafkan anak-anak umi.” Ada senyuman di bibir Kalsum. Baik Raqib mahupun Idlan, kedua-duanya sangat disayangi. Malah dia menyayangi mereka melebihi rasa sayangnya pada diri sendiri. Walaupun suaminya meninggalkan harta kekayaan yang banyak, tetap juga tidak boleh menandingi mereka berdua. Lantaran itu, meskipun terasa hatinya ikut pergi bersama-sama pemergian suami yang sangat disayangi, dia tetap juga berusaha untuk bertahan. Kalau dia sebagai ibu menunjukkan kelemahan, apa akan jadi pada Raqib yang masih bersekolah menengah dan Idlan yang masih begitu kecil.

“Jadi bila Idlan nak minta umi hantar ke asrama?”

“Idlan ingat nak balik hari Sabtu. Ahad tu boleh siap-siap mana yang perlu sebab Isnin dah mula sekolah.”

“Balik ajelah hari Ahad. Bukannya jauh mana pun asrama Idlan tu.” Raqib menyampuk. Apa yang baru saja terjadi, diabaikan begitu saja. Masalah remeh, untuk apa terlalu difikirkan sangat. Entah apa rasionalnya Idlan hendak tinggal di asrama yang jaraknya tidak sejauh mana daripada rumah mereka, dia benar-benar tidak tahu. Bila ditanya, balik-balik yang dikatakan Idlan, mahu belajar berdikari. Sudahnya bila uminya bersetuju, dia hanya akur. Kalau memang itu mahunya Idlan, dipaksa macam mana pun tidak ada gunanya. Yang hendak belajar Idlan, bukan dia atau uminya.

“Betul kata abang tu Idlan. Balik Ahad ajelah. Sabtu tu umi dah janji nak shopping dengan kakak. Lama dah kan kita tak keluar berempat?”

“Tak bolehlah umi. Kita keluar lain kali aje ya?”

Dah agak dah, dia mesti tak nak punya, desis hati kecil Nadra. Aku memang tak berharap Idlan akan setuju kerana Idlan memang tidak suka pada aku, desis hati kecil Nadra kesal.

“Kalau macam tu kata Idlan, Sabtu nanti abang hantar Idlan balik asrama.”

- DIA TAK TANYA 2 -

February 7, 2013

Salam buat yang masih sudi lagi berkunjung ke rumah tak bertiang saya ni. Kunjungan korang, saya dulukan dengan ucapkan terima kasih. Wah... gaya macam buat surat rasmi kan? Tapi bukan, ni cuma N3 biasa aje daripada seorang penulis biasa dengan idea yang juga biasa. Kiranya, pakej saya semuanya BIASA.

DIA TAK TANYA! 2? Apakah itu bermakna saya sedang mengusahakan sambungan untuk novel tu? Kalau tak, tak adalah angka 2 tu kan? Jawapan saya, TIDAK! Tak ada dalam fikiran saya sampai ke saat ni nak sambung kisah NAJID & NAJIHAH tu. Walaupun, ada agak ramai yang meminta saya sambung kisah ILHAM a.k.a ABANG yang gila-gila tapi sarat dengan perhatian dan kasih sayang. Bukannya tak berminat nak sambung, hanya... saya belum ada idea dan lebih daripada itu, saya bimbang tak mampu menggarap yang kedua itu dengan lebih baik. Takut kalau-kalau menghampakan. Biarlah dulu, biarkan keluarga mereka bahagia dan kita doakan biar mereka ada terus ada di tangan-tangan pencinta novel tanah air.

Alhamdulillah, syukur pada ALLAH yang memberikan rezeki kepada hamba-NYA yang menumpang di dunia yang penuh warna-warni ini. Hari ni saya mendapat khabar novel DIA TAK TANYA! [DTT] dah masuk cetakkan ke-2. Itulah yang saya maksudkan dengan angka 2 pada judul N3 kali ni. 2 yang merujuk kepada cetakan ke-2. Hendaknya, lepas ni akan ada cetakan ke-3, ke-4, ke-5 dan seterusnya.

Lagi nak tulis apa ya? Sungguh... saya tak ada idea! Jadinya, kita jumpa di N3 akan datang ya? Adios... ;-)