- IMBAS-IMBAS "HANYA DIA TAHU" -

September 28, 2012

Arca wajahnya yang terbias di dada cermin setinggi dirinya ditatap lama. Masih sama. Rasanya wajahnya tetap juga tidak berubah walaupun usia kian menganjak dewasa. Hanya rambutnya yang selalunya dipotong pendek, sudah agak panjang. Tidak lama lagi tentu saja melepasi bahu. Dia sudah mula terasa rimas kerana dia tidak gemar berambut panjang. Tapi biarlah untuk kali ini. Rimas macam mana sekalipun, dia tetap tidak akan memotong rambutnya. Dia sudah bertekad yang tahun lepas, tahun yang baru beberapa bulan saja berlalu itu, adalah tahun akhir dia mengenakan fesyen rambut yang sama.

Tahun ini saja umurnya akan genap 25 tahun. Dia perlukan perubahan dalam hidup. Sampai bila dia hendak duduk di takuk lama? Lagipun telinganya sudah jerih mendengar komen-komen mama dan maknya tentang penampilan dirinya. Rambut macam tomboylah, macam budak-budak tadikalah, macam orang tualah. Macam-macam kata-kata yang mamanya hamburkan demi melihat rambutnya panjang. Padahal apa yang hendak dihiraukan sangat tentang rambutnya, lainlah jika dia jenis yang tidak bertudung. Barulah layak ditegur itu dan ini oleh mamanya itu.

Ah... mama, selalu saja tingkah dan caraku tidak kena di matanya. Mak pula, selalu saja menyokong mama. Tapi kalau tidak ada wanita bergelar mama itu, belum tentu dia mampu menghirup segarnya udara di bumi ALLAH ini. Tidak ada wanita dipanggil mak pula, dia tentu akan rasa dirinya serba kurang. Dan, sebagai anak dia tahu dua wanita kesayangannya itu hanya mahukan yang terbaik untuk dirinya. Yang sayang mama dan mak... sayang sangat-sangat. Untuk mama dan mak, Yang sanggup buat apa saja, desis hatinya sayu.

Tersentak dia saat telefon bimbit di atas meja soleknya berbunyi. Getarannya yang agak kuat membuatkan nafasnya hampir semput. Namun akhirnya senyuman menguntum di bibirnya. Bukan salah sesiapa, dia sendiri yang terlalu leka dibawa khayalan. Dipandang sekilas digit-digit yang terpamer di skrin telefon berjenama Motorola di tangannya. Tanpa sebarang kata, pantas dia menekan button hijau walaupun dia pasti dia tidak mengenali sebaris nombor itu. “Helo... Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam. Boleh saya bercakap dengan Nasuhah Harlena Khairuddin?”

Dia terdiam seketika. Siapa? Mengapa nada suara itu kedengaran agak aneh? Walaupun tidak melihat empunya diri, dia seperti dapat merasakan kalau pemanggil di hujung talian sana, bukan jenis yang peramah. “Ya, Nasuhah Harlena Khairuddin di sini. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Lembut nada suara Nasuhah. Dia masih berusaha untuk mengecam suara garau lelaki yang tidak dikenali itu. Puas juga diamat-amati, tapi seingatnya, dia memang tidak pernah mendengar nada semacam itu sebelum ini. Nombor telefon yang tertera di skrin telefon bimbitnya juga terlalu asing. Siapa ya? Soalan itu hanya bergema dalam relung hatinya. Tidak pula dia berniat mahu bertanya dengan lebih lanjut. Sebentar lagi tentu lelaki itu akan memperkenalkan diri dengan sendirinya.

“Saya, Zaen. Zaen Luthfi,” balas suara itu dengan nada seperti tadi. Sedikit tegas. Langsung tidak ada kemesraan di situ.

Zaen? Nasuhah telan liur sendiri. Kesat. Zaen mana pula ni? Abang Arianakah lelaki itu? Tapi mengapa nada suaranya agak sombong? Tidak ramah seperti yang sering Ariana ceritakan kepadanya selama ini? Lebih dari itu, untuk apa lelaki yang tidak dikenali itu menghubunginya? Sedangkan dia langsung tidak pernah kenal siapa Zaen yang sebenarnya. Memang dia pernah melihat lelaki itu, tapi lama dulu sebelum Zaen berangkat ke UK. Tapi mana pernah mereka bertegur sapa. Memandang pun hanya dari jauh saja.

Apa urusan aku dengannya sampai dia perlu menghubungiku? Sesuatu menimpa Arianakah? Tanya hati kecil Nasuhah ingin tahu.

“Boleh saya tahu Zaen mana? Sebab rasanya saya tak ada kenalan bernama Zaen,” ujar Nasuhah. Tetap lembut seperti tadi. Sebagai peniaga, walaupun hanya berniaga secara kecil-kecilan, dia memang telah mengasuh lidahnya supaya bercakap dalam nada suara yang lemah lembut. Itulah satu-satunya aset penting untuk memastikan pelanggan tidak lari ke kedai lain. Bukannya senang mahu menambah hati pelanggan yang pelbagai kerenah. Malah, kepada tiga orang pekerjanya pun, dia sering menitikberatkan perkara yang sama. Dalam soal itu dia tidak akan memberi muka, tidak kira walaupun pekerja itu sudah lama berkhidmat di kedai yang dahulunya diuruskan mamanya sekalipun.

Bukannya dia terlalu baik. Hanya sekadar berjaga-jaga. Manalah tahu, orang yang pada mulanya tidak berniat hendak membeli apa-apa, langsung membatalkan niat tersebut setelah melihat betapa bagusnya layanan yang kedai mereka berikan. Kalau pun tidak membeli pada kali pertama datang, siapa tahu akan berubah bila datang kali kedua. Bukankah itu boleh dinamakan strategi dalam perniagaan?

Lantaran itu, dia tetap juga melayan lelaki itu baik-baik walaupun saling tidak mengenali. Mungkin saja lelaki di hujung talian sana adalah abang Ariana, tapi boleh jadi juga orang lain. Lagipun dia tidak pernah terfikir kalau abang Ariana itu akan menghubunginya kerana mereka memang saling tidak mengenali. Mendengar namanya saja, mungkin lelaki itu tidak pernah. Kalaupun pernah, pasti sudah lupa. Ah, mungkin juga salah seorang daripada pelanggannya yang mahu menempah bunga untuk diberikan kepada orang tersayang.

“Zaen Luthfi, abang Ariana,” tegas lelaki itu.

Nasuhah terkedu. Benarlah, lelaki itu memang abang kepada kawan rapatnya itu. Tapi untuk apa menghubunginya? Hatinya mula terasa tidak sedap. Sesuatu terjadi pada Arianakah? Degupan jantungnya yang normal, telah berubah rentak. Ariana sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri. Dia dan Ariana sudah terlalu lama saling bergantung harap. Dia memang sayangkan Ariana dan tidak rela musibah menimpa kawannya itu.

“Oh… Abang Zaen…”

“Zaen. Please call me, Zaen,” potong Zaen pantas.

Terasa tebal berinci-inci wajah Nasuhah dengan kata-kata Zaen kali ini. Sungguh, dia tidak menyangka lelaki itu tidak suka dipanggil ‘abang’. Sedangkan dia memanggil Zaen begitu kerana dia menghormati lelaki itu, sama seperti Ariana menghormati abang kandungnya itu. Lagipun, dia tidak mahu dianggap tidak tahu menghormati orang yang lebih tua jika hanya memanggil nama semata-mata. Langsung dalam hatinya tidak menyimpan niat lain. Apalagi mahu menggoda lelaki itu

“I’m so sorry. Okey Zaen, apa yang boleh saya bantu?” Nasuhah cuba menolak ke tepi rasa kecil hatinya dengan kata-kata Zaen tadi. Kalau orang tidak sudi, dia pun tidak akan tersua-sua.

“It’s okay. Saya cuma nak bagi tahu yang saya tak berniat nak kenal lebih rapat dengan awak. Selalunya perempuan yang cari saya, bukannya saya yang terhegeh-hegeh cari perempuan. Jadi saya harap awak lupakan ajelah niat awak yang nak beradikiparkan Aria tu. Saya tak sudi pada awak,” kata Zaen bagaikan memberikan amaran.

Mulut Nasuhah terlopong. Kelu lidahnya untuk membalas kata-kata Zaen. Jangan ganggu saya? Saya tidak sudi pada awak? Tiba-tiba saja rasa mahu ketawa dan menangisnya, sama banyak. Tergamak sekali lelaki bernama Zaen itu mengeluarkan kata-kata semacam itu kepadanya. Sedangkan dia, sekuman pun tidak ada apa-apa perasaan terhadap Zaen. Wajah Zaen pun sudah bertahun-tahun tidak dilihat. Macam mana Zaen boleh menganggap dia begitu sekali?

Dia bukannya jenis ‘perigi mencari timba’. Jauh sekali hendak terhegeh-hegeh dan tersua-sua kepada orang yang tidak sudi. Jangan harap. Kalau pun sudah tidak ada lelaki di dunia ini, dia tentu tidak akan mengejar Zaen. Hidup sendiri bukan masalah besar bagi dirinya.

Tapi bila difikirkan kembali, lucu pula rasanya bila mengenangkan Ariana yang dalam diam membuat rancangan sendiri. Langsung tidak mengatakan apa-apa kepadanya. Tahu-tahu saja hari ini, dia disembur Zaen. Ariana… Ariana, nakalnya tetap saja tidak berubah-ubah. Jodoh aku pun mahu dicarinya, desis hati kecil Nasuhah sambil kepala digeleng-geleng berkali-kali.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Encik Zaen…”

“Jangan ganggu saya. Saya tak suka dan nasihatkan sekali Aria supaya jangan desak saya lagi. Saya langsung tak kenal awak dan yang paling penting saya tak minat pada awak.”

Sekali lagi Zaen memotong kata-kata Nasuhah. Nasuhah gigit bibir sedikit Kali ini kata-kata Zaen agak keterlaluan. Mungkin bengang bila Ariana pandai-pandai mahu mengatur jodohnya barangkali. Tapi sungguh, dia langsung tidak tahu niat Ariana kerana kawannya itu tidak pernah mengatakan apa-apa kepadanya. Huh… adik dan abang sama saja nampaknya. Suka membuat keputusan melulu, kutuk Nasuhah dalam hati sambil mengukir segaris senyuman kelat. Kalau Ariana ada, akan ditarik-tarik pipi gebu kawannya itu biar merah padam. Gara-gara Ariana dia dimalukan Zaen hari ini. Dianggap hidung tak mancung tapi pipi pula yang tersua-sua.

Aria… abang awak ni teruklah, serang saya tanpa bagi salam lagi.

“Dengar dulu Encik Zaen, apa yang saya nak katakan ni. Saya tak pernah pun cakap nak jadi ahli keluarga Encik Zaen. Tak payah kahwin dengan Encik Zaen pun saya memang dah anggap Aria macam adik-beradik saya sendiri. Tak perlu sampai nak kahwin-kahwin ni. Lagipun saya langsung tak kenal Encik Zaen, macam mana Encik Zaen boleh terfikir yang saya ada hati pada Encik Zaen?” Panjang lebar kata-kata Nasuhah. Dia tidak mahu Zaen terus beranggapan buruk kepadanya. Dia masih ada harga diri yang perlu dijaga, jangan sampai dipijak-pijak orang sesuka hati.

Tidak ada balasan kata-kata daripada Zaen yang tadinya galak memuntahkan bicara. Sedangkan Nasuhah masih setia menanti jawapan balas daripada lelaki itu.

“Semoden mana pun negara kita, secanggih mana pun teknologi kita, saya tak akan jadi seperti perigi mencari timba. Saya lebih rela jadi anak dara tua daripada mengejar lelaki. Apalagi lelaki macam Encik Zaen yang lebih segala-galanya dibandingkan saya. Dalam mimpi pun saya tak pernah simpan niat macam tu,” sambung Nasuhah tenang.

“Nasuhah Harlena…”

Nasuhah tarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan dia mengasuh hatinya agar terus tenang. Dia tidak mahu melatah hanya disebabkan kata-kata Zaen. Kalau selama ini dia berjaya mengekalkan kesabarannya, mengapa dia harus tewas di tangan Zaen hari ini? Bukankah lebih baik kalau kekerasan itu dibalas dengan kelembutan? Itukan ajaran yang selalu mamanya ajarkan. Entahlah. Dia tidak mengerti, tapi dia sedar kalau Zaen telah berjaya mencuit sedikit kesabarannya.

“Bukan itu maksud saya, Nasuhah.”

Suara Zaen yang tadinya tegas sudah bertukar kendur sedikit. Ada nada serba salah di dalamnya.

“Tak apalah Encik Zaen. Minta maaf kalau kata-kata saya agak kasar tadi. Lupakan saja apa yang Aria katakan. Mungkin dia hanya bergurau dengan Encik Zaen. Saya tak kisah langsung sebab saya pun sedar dalam masa terdekat ni saya tak mungkin akan mendirikan rumah tangga sebab saya ada banyak impian yang belum terlaksana. Nanti saya cakap pada Aria supaya jangan bermimpi jauh sangat, kalau jatuh nanti sakit. Saya juga akan katakan pada Aria supaya nama saya pun jangan disebut di depan Encik Zaen. Takut nanti ada pula yang mati berdiri.” Usai berkata-kata Nasuhah ketawa perlahan. Geli hati dengan apa yang dikatakan.

“Lagipun saya ni hodoh, tak padan langsung kalau nak duduk di sebelah Encik Zaen. Nanti jadi buah mulut orang pulak. Jadi Encik Zaen tak perlulah rasa bimbang. Tak akan ada yang terjadi antara kita. Aria tu memang suka buat lawak. Macamlah Encik Zaen tak kenal dengan perangainya tu.”

Kaku. Tetap juga tiada balasan daripada Zaen. Tapi Nasuhah tahu Zaen mendengar setiap kata-katanya kerana sesekali dia dapat mendengar dengan jelas degupan jantung lelaki itu. “Saya rasa Encik Zaen dah jelas dengan apa yang saya katakan tadi. Jadi saya minta diri dulu. Assalamualaikum…” Tanpa menunggu salamnya dibalas, dia sudah menekan button merah di telefon bimbitnya.

Orang macam ni pun ada dalam dunia ini ya? Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi. Seketika gambar dia dan Ariana yang sedang duduk di atas rumput di zaman sekolah dulu dicapai. Senyumannya melebar. Langsung tidak ada marah terbit di hatinya kerana rancangan gila yang diatur kawannya itu. Dia tahu Ariana sayangkan dirinya sama seperti dia sayangkan kawannya itu. Cumanya, Ariana mungkin takut kalau-kalau dia akan jauh dan seterusnya menjauhkan persahabatan mereka berdua. Sedangkan dia, sampai bila-bila pun tidak akan melupakan kawan baiknya itu. Biar nyawa bercerai daripada badan pun, Ariana tetap ada di hatinya. Tetap ada tempat khas, sama seperti mama, mak dan ayahnya.

Aria… abang awak teruk betul! Dia sekali lagi tersenyum sendiri. Macam-macam, desis hatinya tenang.

PESANAN : UNTUK YANG MAHU MENDAPATKAN NOVEL INI TAPI TAK TAHU KAT MANA, MUNGKIN KORANG BOLEH JENGAH DI SINI.

- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 4] -

September 25, 2012

“BETUL ni, Iha. Abang betul-betul minta maaf kat Iha kali ni. Abang tak main-main lagi,” pinta Raqib bersungguh-sungguh. Terangguk-angguk kepalanya, tanda dia tidak main-main dengan apa yang telah dikata. Tubuh Nadra yang tadi membelakanginya, dipusingkan ke hadapan. Jari-jemari Nadra digenggam erat-erat.

“Iha maafkan abang ya?”

Nadra renung mata Raqib dalam-dalam. Tak seperti tadi, renungannya kali ini tidak tajam. Bila renungannya berbalas, dia mengeluh perlahan. Lambat-lambat dia menyandarkan tubuhnya di sofa. Mata ditutup rapat-rapat. Dalam diam, cuba mengusir semua rasa yang membelenggu. Beberapa detik kemudian, mata kembali dibuka. Masih juga pandangannya menyapa wajah Raqib.

“Abang minta maaf kat Iha atas kesalahan apa?” tanya Nadra perlahan. Tidak guna dia terus mengunci bibir kalau Raqib tidak mahu mengalah.

“Iha rasa abang minta maaf kenapa?” Soalan Nadra, Raqib balikkan dengan soalan juga.

“Iha yang tanya abang dulu, kenapa abang tanya Iha balik?”

Raqib ketawa perlahan. Bahu Nadra ditarik rapat padanya. Kepala Nadra diusap penuh kasih sayang. “Iha ni... janganlah suka marah-marah sangat. Nanti Iha lebih tua daripada abang. Tak sepadanlah kalau kita jalan sama-sama. Yalah, abang masih kacak bergaya, tapi Iha dan kedut sana sini,” usik Raqib. Hatinya semakin lega bila nada Nadra tidak lagi keras seperti tadi.

“Tengok.. Iha serius, abang main-main pula,” rengus Nadra.

“Abang main-main ajelah. Usik sikit pun dah tak boleh sekarang ni. Asyik nak melenting aje dia. Agaknya...” Raqib sengaja menghentikan kata-katanya. Nakal saja ekspresi mukanya. Keningnya sengaja dijongket-jongket. Ternyata menjadi suami Nadra lebih meriah daripada hanya menjadi kawan. Ketika menjadi kawan, dia selalu harus menjaga kata-kata dan tingkah laku. Sejak menjadi suami, dia rasa lebih bebas. Boleh berkata apa saja dan boleh juga bergurau lebih daripada dulu.

“Kita nak dapat baby tak?”

Mata Nadra membulat. Terus dipukul lengan Raqib perlahan. Suaminya itu tidak habis-habis dengan gurauan yang baginya langsung tidak kelakar. Ketika dia diam, Raqib mahu dia berkata-kata. Bila dia sudah berkata-kata, Raqib asyiklah membantutkan butir percakapannya.

“Tak habis-habis nak jadi tukang karut.”

“Kita ni... tengah main wayang kulit ke ni?”

“Abang!”

“Okey... okey. Abang tak mengarut lagi dah. Tapi abang nak Iha tahu yang abang akan jadi orang yang sangat gembira kalau Iha betul-betul pregnant. Tak adalah along asyik tanya-tanya abang. Kadang-kadang, hari ni tanya, esok pun tanya juga. Kadang-kadang pagi tanya, petang pun dia tak lupa. Abang sampai naik pening kepala,” kata Raqib dalam ketawa perlahan. Kepalanya dijatuhkan di bahu Nadra.

Entah kenapa, sejak akhir-akhir ini dia rasa Fawwaz agak aneh. Along Nadra itu lebih banyak diam daripada berkata-kata. Jika nampak saja muka dia dan Nadra, soalan yang ditanyakan tentu soal anak. Bila mereka kata masih belum rezeki, wajah Fawwaz jelas ketara hampa.

“Along nampak macam tak sihat. Muka along nampak pucat.”

Raqib angkat muka. Sangkanya, dia saja yang nampak. Lantaran itu, dia tidak mengatakan apa-apa pada Nadra. Bimbang isterinya itu tidak senang duduk kerana risaukan Fawwaz. Rupa-rupanya, Nadra juga perasan perkara yang sama.

“Badan along dah kurus. Bila Iha tanya, along kata tak ada apa-apa. Along kata dia sihat,” kata Nadra bagaikan mengadu.

Raqib tarik kepala Nadra supaya bersandar pula di bahunya. Dia mahu Nadra rasa dia selalu ada.

“Jangan-jangan... along sakit.”

“Syhhh... taklah! Along okey aje tu. Iha janganlah fikir yang bukan-bukan. Nanti along sihat, Iha pula yang sakit sebab stres. Kalau ada apa-apa yang tak kena, mestilah Iha orang pertama yang along bagi tahu. Iha bukannya tak tahu along sayang sangat kat Iha. Iha kan adik manja dia?”

“Abang ni suka sangat cakap macam tu kat Iha.”

“Tak betul ke?”

“Malaslah cakap dengan abang kalau abang terus juga nak main-mainkan Iha. Kalau Iha tahu, Iha tidur aje tadi. Biar abang cakap sorang-sorang sampai ke pagi.”

Raqib jentik sedikit hidung Nadra. Bila isterinya itu sedikit menjerit, dia ketawa besar. Kalau dengan Nadra dia memang jarang serius. Sejak mereka bergelar suami isteri, dia bagaikan sudah ada hobi baru. Hobi itu tak lain dan tak bukan ialah menyakat Nadra sampai Nadra naik geram padanya.

“Iha ingat abang akan biarkan Iha tidur dengan mudah ke? Jangan haraplah! Sebab abang bukannya jenis suami yang terlalu baik hati yang sanggup biarkan isteri tidur sorang-sorang dan tinggalkan abang macam tu aje.”

“Eh... suka hati Ihalah kalau nak tidur ke, nak jaga ke. Bukannya Iha guna mata abang pun kalau nak tidur.”

Raqib makin yakin yang hati Nadra sudah semakin sejuk. “Kalau abang tak tidur, Iha pun tak akan dapat tidur punya.”

“Apa fasal pula?”

“Sebab abangkan bantal peluk Iha. Macam mana Iha nak tidur pun, Iha tetap tak boleh tidur sebab bantal peluk Iha tak ada.”

Bibir Nadra mencebik. Namun kata-kata Raqib tidak dapat disangkal. Sejak menjadi isteri, Raqib memang menjadi bantal peluknya. Bahkan kalau Raqib sesekali balik lambat atau terpaksa bermalam di luar kerana kerja, tidurnya selalu tidak lena. Kejap-kejap terjaga, kemudian pandang ke tempat tidur Raqib walaupun tahu suaminya itu tidak akan pulang.

“Iha sayangkan abang kan?”

“Perasan!”

“Iha cakap apa pun abang tak kisah sebab abang tahu jauh kat sudut hati Iha, Iha memang sayangkan abang macam nak rak.”

“Abang berhenti angkat diri sendiri boleh tak? Iha tak nak rasa yang Iha ni isteri kepada suami yang perasan.”

Bila Raqib terus saja ketawa dengan kata-katanya, dia ikut ketawa. Hatinya yang rajuk seperti sudah terpujuk. Tidak sampai hati membiarkan Raqib terus mencipta ruang bual antara mereka sedangkan dia hanya kaku. Dia tahu Raqib mahu menjernihkan kembali keadaan yang mungkin sudah keruh sejak pagi lagi. Dia pun bukannya jenis berdendam. Hanya dia mengaku yang dia sangat kecil hati bila dirinya dianggap orang luar.
--------------------------------------------------------------------------------
“IHA... marah abang lagi tak?” tanya Raqib tenang. Tangannya mencapai remote control. Memandang skrin empat segi di hadapan matanya sekilas sebelum memadamkan TV. Nadra nampaknya sudah tak lagi berminat hendak menonton drama yang masih belum habis ditayangkan. Mungkin gangguan yang dicipta dari tadi membuatkan Nadra hilang rasa untuk memberikan tumpuan.

“Abang ada buat salah pada Iha ke sampai abang nampak beria-ia benar nak Iha maafkan kesalahan abang?”

“Ada!”

“Apa salah yang abang dah buat dengan Iha?”

“Hari ni ada dua kesalahan yang dah abang buat pada Iha,” akui Raqib tanpa ada rasa malu. Baginya, kalau sudah melakukan kesalahan tidak perlu malu untuk mengaku. Tidak jatuh martabat seseorang itu jika memohon kemaafan atas kesalahan yang dilakukan. Yang malunya, bila kita sudah melakukan kesalahan, kita tidak mahu memohon maaf dan lebih teruk lagi tidak mahu mengaku kesalahan tersebut. Sebaliknya, berusaha pula melambakkan kesalahan itu kepada orang lain.

Sungguh, dia tidak mahu masuk ke dalam golongan kedua.

“Kesalahan pertama apa?” duga Nadra. Mahu melihat sejauh mana Raqib sanggup berterus terang.

“Abang marah Iha kat garaj tadi. Yang pasal Iha letak handbag kat tempat duduk belakang. Abang tak patut bercakap dalam suara yang tinggi kalau pun abang nak menegur Iha. Iha isteri abang, bukan hanya kawan semata-mata.”

“Abang...” Nadra tiba-tiba terasa sebak. Terharu dengan sikap Raqib.

“Ya, abang tahu Iha nak kata yang abang baik sangat.”

Mata Nadra terjegil. Hilang terus rasa sebak yang baru hendak berputik. Raqib makin lama makin perasan saja di matanya. Cuma kali ini Raqib tidak silap meneka. Memang hatinya memuji sikap rendah hati suaminya itu. Sesetengah suami terlalu ego untuk mengakui kesalahan pada isteri. Alasan yang diberi, bimbang rasa hormat isteri berkurangan atau hilang begitu saja.

Alasan yang langsung tidak boleh diterima akal waras!

“Tapi... walaupun abang mengaku abang tak patut marah Iha, abang tetap nak Iha tahu yang abang tak suka Iha cuai macam tu. Kalau handbag tu hilang atau dicuri, abang tak kisah langsung. Tapi kalau jadi apa-apa pada Iha macam mana? Iha isteri abang, abang nak Iha selalu ingat kata-kata abang selagi apa yang abang kata tu untuk kebaikan. Iha fahamkan apa yang abang katakan ni?”

Nadra terasa yang kasih sayangnya pada Raqib meningkat lagi mendengar kata-kata yang panjang berjela itu. Dia tahu Raqib sayangkan dirinya. Maka disebabkan itulah Raqib menegur kecuaiannya.

“Iha minta maaf. Iha cuai hari ni, Iha lupa pada pesanan abang sedangkan sebelum ni abang dah ingatkan berkali-kali.”

“Kenapa boleh lupa?” tanya Raqib ingin tahu walaupun dia tahu puncanya

“Otak Iha serabut sikit. Abang pun tahu apa yang berlaku pagi tadi antara Iha dan Idlan. Iha bawa hal tu ke mana-mana, sepanjang hari. Kat office Iha tak boleh tumpukan perhatian sampai kena tegur dalam meeting. Malu sangat masa tu sebab semua mata pandang kat Iha. Rasa macam nak keluar masa tu aje. Sampai masa balik pun rasa malu tu tak hilang. Itu yang Iha main campak-campak aje handbag tu. Lupa dah macam mana cara nak menjaga keselamatan diri sendiri,” akui Nadra jujur. Memang itu yang berlaku dan dia tidak ada sebab untuk berbohong pada Raqib. Kalau pun niat itu ada, dia yakin Raqib tahu dengan jelas apa yang ada di hatinya.

“Abang tahu Iha stres, tapi lain kali abang minta Iha lebih hati-hati.”

Nadra senyum. “Iha minta maaf ya sebab degil?”

“Abang maafkan dan abang nak minta maaf juga tentang Idlan. Abang tahu Iha marahkan dia.”

Keluhan panjang Nadra kedengaran. Hatinya terasa kembali libang-libu. Mujur juga ketika dia masuk ke rumah tadi Idlan tidak ada. Yang ada hanya umi Raqib yang baru balik dari kampung. Itu pun dia hanya sempat bertanya serba sedikit tentang kesihatan pak long Raqib yang semakin hari semakin memburuk saja. Kalau Idlan ada, dia sendiri tidak tahu apa yang bakal terjadi.

Di pejabat tadi, dia menunggu juga kalau-kalau ada SMS atau panggilan daripada Idlan. Manalah tahu adik iparnya itu tiba-tiba bermurah hati mahu memohon maaf padanya. Tapi sampai ke detik ini, langsung tidak ada.

“Iha bukan marahkan dia. Sikit pun Iha tak marahkan dia.”

Raqib diam. Mahu mendengar apa yang mahu Nadra katakan. Mungkin ada yang terbuku di hati mahu Nadra luahkan padanya.

“Tapi Iha kecil hati dengan dia. Dia asyik rosakkan kasut Iha. Kasut lain Iha tak kisah sangat. Tapi kasut tu Iha sayang sangat,” luah Nadra sebak. Kalau sesiapa di tempatnya pun, tentu akan marah bila kasut yang dibeli asyik dirosakkan begitu saja. Bukannya dia membeli kasut-kasut itu dengan daun tapi dengan duit hasil dari tulang empat keratnya. Itulah satu-satunya kasut yang dibeli Raqib dan kasut itu juga dikerjakan Idlan dengan teruk. Hendak digam pun tak boleh kerana tumitnya entah dicampak Idlan di mana agaknya.

“Abang belikan Iha kasut baru ya? Iha cakap aje nak berapa banyak,” pujuk Raqib bersungguh-sungguh.

Nadra geleng. “Iha bukannya gila kasut. Iha cuma kecewa sebab Idlan berdendam sampai macam tu sekali. Lebih buat Iha kecil hati, dia kata Iha bukan siapa-siapa. Dia...dia kata Iha orang luar.” Hampir-hampir saja nada suara Nadra tidak kedengaran. Dia berusaha mengepung sebak supaya tidak lahir dalam bentuk titis air mata.

Terus Raqib peluk tubuh kurus Nadra erat-erat. Dia dengar getar pada nada suara isterinya. Harapannya, biarlah pelukan eratnya dapat merawat kecederaan emosi yang dialami Nadra ketika ini. “Iha bukan orang luar, Iha tak mungkin jadi orang luar sebab Iha isteri abang,” kata Raqib, juga dalam nada yang sangat perlahan. Berharap nada seperlahan itu mampu menembusi dinding hati Nadra. Seterusnya menjadi penawar bagi rasa kecil hati yang sedang isterinya itu alami.

Nadra diam, namun pelukan Raqib dibalas. Dia bukannya mahu mengadu tapi dia juga tahu kecil hati bila hatinya digores, apalagi yang menggores hatinya adik kepada suaminya sendiri.

“Abang minta maaf bagi pihak Idlan. Abang dah tegur dia. Harap dia berubah nanti. Iha maafkan dia ya? Dia budak-budak lagi, otak dia masih belum matang dan dia tak dapat fikir dengan betul.”

Diam-diam Nadra rasa lega. Sekurang-kurangnya, Raqib sudah mula bersuara pada Idlan. Bukannya terus-terusan memandang enteng soal hubungan dia dan Idlan yang tidak pernah baik.

“Iha maafkan adik abang ya?”

“Iha dapat apa kalau maafkan Idlan?” tanya Nadra, sengaja mahu mengusik Raqib.

“Iha dapat kasut baru.”

“Setakat kasut, Iha boleh beli sendirilah abang. Duit gaji Iha sejak kahwin dengan abang, bukanya cuit pun.”

“Habis tu Iha nak apa?”

“Tak tahu!”

“Abang bagi hadiah nak?”

“Nak. Tapi pastikan abang bagi Iha hadiah yang mahal tau. Rantai berlian ke.”

“Hadiah tu nanti dulu sebab sekarang ni abang nak bagi hadiah lain. Abang nak bagi...” Raqib berbisik ke telinga Nadra.

Usai Raqib berbisik, Nadra cepat-cepat bangun. “Iha tak nak apa-apa hadiahlah hari ni. Iha dah ngantuk sangat ni. Selamat malam!” Terus dia bergerak ke katil. Sedangkan Raqib yang melihat langkah seperti lipas kudung itu, tergelak perlahan. Nadra, detik hati kecilnya!

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [11] -

September 24, 2012

WAJAH Najid yang selamba mengunyah kacang di hadapannya, dipandang dengan dahi berkerut. Tidak pasti sama ada Najid mendengar ceritanya, atau lelaki itu sedang menikmati kacang di dalam bekas sehingga apa yang dikata, tidak ubah seperti angin lalu. Menyapa seketika sebelum pergi begitu saja tanpa pesan. Tapi tadi sekejap kepala Najid dilihat mengangguk, sekejap pula menggeleng.

“Najid dengar tak apa yang Jiha cerita tadi?” tanya Najihah tidak puas hati.

“Dengarlah. Telinga Najid ni masih okey dan Najid baru aje lepas korek pagi tadi. Confirm masih berfungsi dengan baik, Jiha.”

“Tapi macam tak dengar aje,” sungut Najihah tidak puas hati. Kacang di dalam bekas yang dipegang Najid, dicapai kasar.

“Najid dengarlah,” balas Najid perlahan. Dia tergelak. Najihah memang begitu. Kalau Najihah bercerita, Najihah selalu mahukan perhatian. Bukan sekadar perhatian, tapi harus menyampuk itu dan ini. Jika tidak, gadis itu akan terasa seperti sedang bercakap dengan tunggul mati.

“Tipu!” Najihah masih tidak puas hati.

“Najid dengarlah. Kalau dah Jiha bersungguh-sungguh bercerita tapi Najid buat-buat macam tak dengar, memang melampaulah Najid ni.” Dia memandang kawasan sekitar halaman rumahnya yang sunyi. Tidak sempat berbuat apa-apa sebaik saja balik daripada pejabat bila Najihah terus menyerbu dirinya. Memaksa dia duduk di gazebo yang diperbuat daripada kayu di sudut kanan rumah. Seperti biasa, Najihah akan bertindak begitu jika ada cerita yang mahu disampaikan padanya. Bahkan, dia pun akan menyerbu rumah Najihah kalau mahu berkongsi sesuatu dengan gadis itu.

“Kalau dengar, cuba ulang balik apa yang Jiha cerita tadi,” kata Najihah bagaikan mencabar.

“Ya ALLAH... buat apalah nak diulang lagi cerita yang memang Jiha dah tahu. Datang dari mulut Jiha lagi.”

Kepala Najihah menggeleng. “Jiha tak kira! Kalau betul Najid dengar, Najid kena ulang balik. Kalau tak, Jiha akan anggap Najid tak dengar dan dari tadi Jiha hanya cakap dengan tunggul mati. Jiha tak kira!”

Bekas kacang di tangan Najihah, Najid capai kembali. Sebiji kacang diambil, dibuka kulit dan isinya dimasukkan ke dalam mulut. Kemudian, kulit kacang di tangan, dicampak ke arah Najihah yang sudah jelas kelihatan tidak puas hati. Bila Najihah merengus kasar, dia ketawa kuat. Najihah memang suka marah-marah.

“Ada tak orang kata yang perangai Jiha macam mak Shin Chan? Kuat membebel dan kuat mendesak?”

Mendengar kata-kata Najid kali ini, terus kulit kacang yang bersepah di atas meja Najihah raup dan campak sekali gus ke arah Najid. Tidak tahu kenapa, Najid memang suka menyamakan dia dengan Misae. Mak pada Shin Chan, kartun yang menjadi kegilaan Najid sejak dulu sampai sekarang. Memandang wajah Shin Chan yang nakal itu, sudah mampu membuatkan Najid ketawa terbahak-bahak. Belum lagi mendengar Shin Chan membuka mulut dan mempamerkan kenakalan. Kalau Shin Chan menangis, mahunya banjir bumi Jepun.

“Najidlah mak Shin Chan tu!”

“Najid lelaki okey.”

“Lelaki ke, perempuan ke, Jiha tak kira. Najidlah yang macam mak Shin Chan tu. Kepoh!”

“Yang kepoh tu Jiha, bukan Najid.”

“Najid!”

“Jiha!”

“Najid! Najid! Najid!”

Najid ketawa terus. Dia tahu Najihah mudah marah, tapi dia tetap suka membangkitkan kemarahan gadis itu. Paling dia suka lihat, wajah Najihah yang memerah setiap kali hati gadis itu dipukul.

“Itu pun nak marah beria-ia. Macamlah Najid pukul Jiha,” usik Najid sambil menjongket kening.

“Najid suka sangat buat Jiha marah. Menyampah betul!” Kali ini sebiji kacang yang belum dikeluarkan isi, dicampak ke arah Najid. Melihat Najid mengelak, hatinya rasa berbuku. Bersungguh-sungguh dia bercerita tadi, namun Najid seperti tidak mendengar saja. Bila dikata tidak dengar, Najid menafikan pula.

“Sorry...”

“Naik lori!”

Najid gigit bibir. Tidak mahu tersenyum dan ketawa ketika ini. Bimbang makin marah pula Najihah jadinya. “Najid dengarlah apa yang Jiha cakap tadi. Jiha kata Jiha nampak Munirah dengan suami dia pagi tadi. Masa tu suami Munirah hantar Munirah pergi kerja. Jiha kata Jiha seronok sangat tengok Munirah dan suami dia mesra walaupun dah lima tahun berkahwin. Jiha kata kalau Jiha kahwin nanti, Jiha nak dapat suami baik macam suami Munirah walaupun suami Jiha nanti mungkin hanya orang biasa yang tak belajar pandai dan bergaji besar,” ujar Najid lancar. Dia mungkin makan kacang ketika Najihah bercerita tadi. Dia mungkin ada masa-masanya terpejam mata masa Najihah berkisah tadi kerana hari ini dia berasa sangat letih. Tapi dalam pada makan, dalam pada pejam mata, dia tidak mengabaikan cerita Najihah. Kata-kata gadis itu, tidak satu pun melepasi pendengarannya.

Wajah Najihah berubah. Rasa bersalah dan serba salah menghunjam hatinya.

“Jiha ingatkan Najid tak dengar. Sebab...”

“Mata Najid pejam? Mulut Najid tak henti kunyah kacang?” potong Najid pantas. Dia menjentik tangan kanan Najihah.

“Sakitlah!”

“Tengok tu... dah tuduh-tuduh orang, bukannya nak minta maaf. Asyik merungut aje kerjanya. Cubalah sekali-sekala tu belajar jadi orang yang lembut hati sikit. Tak rugilah minta maaf dan beri kemaafan pada orang lain,” tegur Najid dengan mata yang sengaja dibulatkan. Berpura-pura marah walaupun jauh di sudut hatinya, dia langsung tidak terasa hati. Najihah dan perangai gadis itu, tidak pernah meninggalkan calar di hatinya. Dia menjadi kawan Najihah tanpa syarat, sama seperti Najihah menerimanya, kurang dan lebih.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Bila tengok Munirah dan suami dia tadi Jiha rasa gembira dan bahagia sangat,” ulang Najihah sekali lagi. Wajahnya berseri-seri ketika kata-kata itu meluncur di bibirnya, sama dengan seri yang ada pada wajah Munirah di pantri tadi.

“Jadi?” Najid memandang Najihah sambil bertongkat dagu. Kacang yang dibawa Najihah dari rumah tadi, sudah habis. Kini di dalam mangkuk yang sama, hanya ada kulit kacang semata-mata.

“Nanti kalau Jiha kahwin, Najid rasa Jiha akan bahagia macam Munirah tak?”

Najid jongket bahu. Tidak tahu harus memberikan jawapan apa kerana dia bukannya bomoh peramal nasib manusia, jauh sekali Nujum Pak Belalang. Nasib sendiri pun tidak diketahui, apalagi nasib Najihah.

“Kalau Jiha tak dapat suami kaya dan pandai pun tak apalah, asalkan Jiha boleh gembira dan bahagia macam Munirah.” Sekali lagi Najihah mengulang kata-kata yang sama di hadapan Najid.

Dahi Najid berkerut. Ada tanda tanya besar berlegar-legar di kepalanya. Dia memandang Najihah dalam-dalam, cuba meneroka apa yang tersimpan di dada gadis yang dilihat sangat gembira dan bahagia itu. Butalah dia kalau tidak melihat betapa beria-ia Najihah saat ini. Rabunlah dia kalau tidak perasan senyuman melebar di bibir Najihah saat ini. Malahan, air muka Najihah yang berseri-seri jelas ditangkap pandangannya.

“Duit bukan segala-galanya kan Najid?”

“Ya...” balas Najid perlahan. Namun matanya masih tidak dialihkan ke mana-mana. Entah kenapa, hari ini Najihah dirasakan agak lain macam. Bercakap pun entah apa-apa dan topik yang dicakapkan selalunya bukan topik pilihan Najihah. Bagi Najihah, 25 tahun masih begitu muda untuk bercakap tentang kahwin dan perkahwinan.

Tapi hari ini, apa kena dengan Jiha?

Takkanlah kerana melihat kebahagiaan Munirah, maka Najihah mahu mengikut jejak langkah pekerja ayahnya itu?

“Kaya tu sebenarnya ujian kan Najid? Jadi... kalau ditakdirkan pasangan Jiha nanti tak kaya atau cukup-cukup makan aje, Jiha akan terima dia. Kurang dan lebih dia, Jiha akan terima seadanya.”

Mata Najid membulat. Dia terasa Najihah seperti sudah disampuk sesuatu.

“Kenapa?” tanya Najihah dengan senyuman. Mata membulat Najid menggamit rasa lucu di hatinya kerana Najid jarang mempamerkan air muka semacam itu.

“Jiha tu yang kenapa?”

Ada kerut di dahi Najihah. “Maksud Najid?”

“Jiha sedar tak apa yang Jiha cakapkan? Jiha cakap fasal kahwin tau!”

“Tau. Mulut Jiha yang cakap, takkanlah Jiha tak sedar pulak? Jiha masih muda, belum nak nyanyuk lagilah,” kata Najihah sambil ketawa perlahan. Mangkuk berisi kulit kacang dipegang erat-erat. Satu hari nanti, dia berharap bila dia punya suami, hatinya akan dipegang kejap-kejap seperti kejapnya hati Syukri memegang hati Munirah. Dia tidak mahu jadi seperti papa dan mamanya.

“Bukannya Jiha muda lagi ke nak cakap fasal kahwin?”

“Jiha dah 25 tahunlah, Najid. Mana ada muda.”

Najid garu hujung keningnya dengan jari telunjuk. Sah, Najihah memang lain macam hari ini. Selalunya bila soal kahwin dan perkahwinan yang menjadi topik perbualan mereka, Najihah pasti tidak senang. Ada-ada saja kata Najihah yang seperti mencemuh institusi perkahwinan. Bahkan Najihah selalu pesimis pada ikatan perkahwinan kerana apa yang menimpa rumah tangga mama dan papa gadis itu.

Tapi, kenapa hari ini Najihah tidak pesimis lagi?

Bahagia benarkah Munirah sehinggakan kebahagiaan itu membias ke dalam diri Najihah yang ketika ini tampak gembira?

“Bukan selalu Jiha cakap Jiha muda lagi ke? Bukan selalu Jiha tak suka ke bila soal kahwin dan perkahwinan dibangkitkan? Kenapa hari ni macam lain aje ni?” Dahi Najihah dirasa, manalah tahu Najihah tidak sihat badan. Tapi tidak pula terasa panas, dingin seperti selalu dahi yang tidak luas mana itu.

“Hati manusia macam pantai juga Najid. Sekali dipukul ombak, sekali pasir berubah. Agaknya hati Jiha pun dah berubah.”

“Jiha...”

“Jiha rasa nak kahwinlah ,” kata Najihah tiba-tiba. Ada senyuman di ulas bibirnya.

“Hah?” Mulut Najid melopong, tidak percaya.

“Ya, Jiha dah bersedia jadi isteri orang. Jiha nak kahwinlah Najid.”

Najid kaku, matanya memandang Najihah dalam-dalam. Namun hanya beberapa saat sebelum ketawanya meletus kuat membingitkan suasana petang yang hampir berganti warna. Geli hati bila Najihah kelihatan bersungguh-sungguh dengan apa yang dikatakan. Tapi dia percaya, esok atau lusa gadis itu pasti menarik kembali kata-kata yang diucapkan. Najihah dan perkahwinan, dirasakan untuk masa terdekat ini sangat tidak sesuai.

- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 3] -

September 21, 2012

RAQIB yang muncul di muka pintu bilik, hanya dipandang sekilas sebelum kembali memandang skrin TV. Tidak ada rasa hendak menatap wajah suaminya itu lama-lama. Hatinya masih berbuku dengan apa yang berlaku. Ingatkan Raqib akan menenangkan hatinya, mendamaikan jiwanya tapi suaminya itu hanya membuatkan rasa kecil hatinya jadi makin mendalam. Kalau pun tidak suka dengan kecuaiannya, tak perlulah sampai meninggikan suara padanya.

Adik dan abang, sama aje. Suka sakitkan hati aku, detik hati Nadra.

Mahu dilepaskan keluar kata-kata itu, dia takut Raqib marahkan dirinya sekali lagi walaupun dia tahu Raqib bukan jenis mudah marah. Bertahun-tahun menjadi kawan baik Raqib, dia cukup masak dengan perangai suaminya itu. Tapi tak suka marah, bukan juga bermakna Raqib tak suka membebel. Tahap bebelan Raqib selalu saja melebihi dirinya yang perempuan.

Tapi tadi dia marah aku.

Tu, sebab kau cuai. Dah dipesan banyak kali supaya berhati-hati masa simpan beg tangan dalam kereta. Yang kau letak aje beg tangan tu atas tempat duduk belakang tu siapa suruh?

“Diamlah!”

Pantas mulut dilekapkan dengan tangan saat tersedar kata-katanya sudah melompat keluar dari bibir. Memang dasar lidah tak bertulang! Tak tahu langsung nak menjaga air muka tuannya. Mendengar ketawa perlahan Raqib yang sudah pun berdiri di hadapannya, dia sebal sendiri. Bengang kerana menjadi bahan ketawa suaminya itu. Asyik sangat melayan kata hati, langsung tak sedar yang Raqib sudah masuk ke dalam bilik.

“Cakap dengan siapa tadi?” usik Raqib dalam senyuman.

Nadra gigit bibir kuat-kuat. Sengaja tidak mahu menjawab usikan yang bermaksud mahu memancing mulutnya supaya berkata-kata.

“Siap suruh diam lagi. Iha suruh siapa diam tadi? Abang tak cakap apa pun lagi, tiba-tiba aje Iha suruh abang diam. Terkejut!” Raqib terus juga berkata walaupun kata-katanya tidak dilayan. Nadra memang jarang sekali merajuk tapi bila Nadra merajuk bukannya mudah hendak dipujuk. Biasanya bila merajuk atau marah Nadra tidak suka diganggu. Nadra lebih senang memujuk diri sendiri daripada dipujuk orang. Tiga hari! Tempoh itu yang Nadra minta untuk meredakan keadaan.

Itu kalau tiga hari. Kalau lebih lama daripada itu, macam mana?

Oh tidak! Dia akan pastikan tempoh merajuk Nadra tidak akan lama. Tiga bulan menjadi suami Nadra menjadikan hubungan mereka lebih rapat dibandingkan ketika berkawan dulu. Dia sungguh-sungguh tidak betah kalau tidak mendengar suara isterinya itu, apalagi kalau melihat wajah keras dan kaku Nadra. Lagipun dulu Nadra bukan isterinya, sekarang ini Nadra sudah jadi isterinya. Kalau bukan dia sebagai suami, siapa lagi yang diharapkan dapat memujuk isterinya itu?

Tak boleh. Tak mungkin, bangkang hati Raqib.

Nadra menjeling tajam pada Raqib. Dia sudah tidak dapat memberikan tumpuan pada apa yang dipaparkan di skrin TV.

Kening Raqib terjongket. Kalau jelingan itu pisau, pasti dia sudah tercedera. Dia tahu mood Nadra masih belum begitu elok. Ketika makan malam tadi pun Nadra tidak turun dengan alasan kenyang. Ikutkan rasa memang dipaksa tapi bila difikirkan kembali, paksaan sangat tak sesuai ketika ini. Silap-silap Nadra yang memang sudah panas dengan apa yang berlaku, semakin terbakar.

Sudahnya Nadra dibiarkan saja di dalam bilik. Terkulat-kulat jugalah dia menjawab bila ditanyai uminya. Sedangkan Idlan yang memang tidak pernah ambil tahu soal Nadra, hanya menyumbat makanan dengan senang lenang. Dalam keadaan seleranya mati mengenangkan Nadra yang belum menjamah makanan, sempat matanya melihat Idlan bertambah nasi sampai tiga kali.

Senang benar agaknya Idlan sebab Nadra tak ada di ruang yang sama.

Idlan. Nadra. Idlan. Nadra.

Raqib sungguh-sungguh tidak percaya yang isterinya dan adiknya tidak boleh berbaik-baik seperti isteri dan adik orang lain.

“Boleh abang duduk tepi Iha?”

Diam. Nadra tidak mahu menjawab kerana yakin Raqib tidak akan akur kalau dia berkata tidak boleh. Saat Raqib benar-benar duduk di sisinya, dia merengus perlahan sambil mengengsot semakin ke tepi. Tidak mahu bersentuhan walaupun seinci. Suaminya itu memang bukan jenis makan saman. Makin jauh mengenali Raqib, makin dia tahu siapa sebenarnya Raqib. Kalau putih kata Raqib, maka putihlah jadinya. Kalau Raqib hendak hitam, kalau dia hendak warna lain, terpaksa juga memilih warna hitam.

“Tengok cerita apa?”

Nadra tetap juga buat-buat tidak dengar. Ketika ini dia sebenarnya tidak ada hati hendak bercakap dengan Raqib. Hatinya masih belum tenang.

“Boleh abang duduk dekat lagi?”

Pertanyaan Raqib kali ini buat Nadra berpaling. Berkerut dahinya. Sudah begini dekat, Raqib masih mahu dekat lagi. Kalau dia berkata ya, tidak mustahil Raqib akan duduk di atas ribanya.

“Abang main-main aje pun sampai nak kerut-kerut kening.”

Namun usai berkata-kata, dia semakin mendekatkan dirinya dengan Nadra sehingga langsung tidak ada ruang antara mereka. Kemudian cepat saja tangannya dilingkarkan di bahu Nadra. Dia mahu mengambil hati isterinya tanpa kata-kata. Bila terasa siku Nadra menyiku pinggangnya, dia makin mengeratkan pelukan di bahu isterinya itu. Seketika, sejuk yang terasa kerana hujan di luar sedikit hangat.

Sungguh, dia benar-benar sayangkan Nadra.

“Sana sikitlah!”

“Sekejap ajelah. Takkanlah Iha kedekut benar dengan abang kot?”

“Panaslah!” Nadra masih terus menyiku pinggang Raqib. Namun suaminya langsung tidak berganjak walaupun sedikit. Dia tahu Raqib mahu memujuknya, mahu mengambil kembali hatinya tapi takkanlah pujuk guna cara ini? Pujuk guna kata-kata pun sudah cukup, tidak perlu sampai hendak rapat-rapat seperti sekarang ini.

“Mana ada panas. Sejuk ni. Dahlah kat luar tu hujan lebat, kat dalam ni pula Iha pasang air-cond lagi. Abang sejuk!”

“Janganlah...” tegah Nadra ketika Raqib makin merapatkan mukanya ke muka Nadra. “Tepilah sikit. Iha nak bangunlah. Tak nak dah duduk kat sini lagi!” kata Nadra geram. Sakit pula hatinya bila Raqib langsung tidak mengendahkan kata-katanya. Tidak cukup dengan itu suaminya siap menayangkan wajah nakal. Yakin, tentu Raqib sengaja hendak mempermain-mainkan dirinya.

“Kejaplah!”

“Iha tak naklah!”

Raqib ketap bibir. Nadra dalam riak muka yang lembut, memang boleh tahan juga keras hati. Kalau dia mahu terus memujuk isterinya itu, dia harus lebih banyak bersabar. Tidak boleh mengalah dengan begitu mudah. Tidak boleh juga terlalu memasukkan kata-kata yang tak ada nada kemesraan itu dalam hati. Dia tidak mahu luka yang ada merebak menjadi barah yang tak mampu disembuhkan lagi. Idlan pun sudah ditegur supaya lebih menjaga sikap bila berhadapan dengan Nadra selepas Nadra keluar rumah pagi tadi.

“Abang dengar hari ni Iha kena tegur dalam meeting. Siapa yang tegur Iha? Kesiannya isteri abang ni. Kalau abang ada tentu abang dah back-up Iha. Pengurusanlah ni, pandai-pandai aje tukarkan abang ke headquarters. Konon-kononnya bila suami isteri satu office akan jejaskan prestasi kerja kalau bergaduh. Apa dia ingat, kita kahwin sebab kita nak bergaduh ke? Kalau nak bergaduh baik tak payah kahwin, buat susah-susah aje nak tahan debaran masa menghadap aku kadi,” kata Raqib tenang. Rambut Nadra diusap perlahan. Jelas terbau wangi daripada rambut lurus itu.

Kepoh! Itu gelaran yang terdetik di hati Nadra pada yang sudah menyampaikan cerita memalukan di pejabat siang tadi. Kalaulah dia tahu, memang dicubit mulut itu. Tapi hendak menyimpan terus daripada pengetahuan Raqib juga tidak mungkin. Kawan-kawannya di pejabat juga kawan-kawan Raqib. Malah, rapatnya Raqib dengan Nizam memang sudah dimaklumi. Mereka selalu saja bermain badminton pada hujung minggu walaupun selepas Raqib berpindah ke ibu pejabat.

“Kalau abang tak payah pindah, kan best? Hari-hari kita boleh makan sama-sama. Tak adalah abang rindukan Iha selalu.” Raqib terus juga berkata-kata walaupun kata-katanya langsung tidak disambut Nadra yang terus mengeras di sisinya.

Rindukan Iha?

Nadra tiba-tiba teringat betapa sedihnya dia bila mendapat tahu Raqib harus berpindah ke ibu pejabat. Menitis juga air matanya ketika itu. Tapi seperti biasa, Raqib tetap juga tenang memujuk kesedihannya. Seminggu selepas mereka berkahwin, Raqib benar-benar dipindahkan ke ibu pejabat yang terletak di Jalan Hang Tuah, sedangkan dia masih kekal di cawangan di Kajang. Mereka sebenarnya diberi pilihan, sama ada dia atau pun Raqib yang harus berpindah. Namun Raqib membuat keputusan untuk pergi kerana mahu menyenangkannya. Kajang lebih dekat dengan tempat tinggal mereka.

Ya, dia sungguh terharu dengan keprihatinan Raqib padanya. Tapi tadi, Raqib marahkan dirinya. Malah ketika dia memberitahu yang Idlan tidak mahu menerimanya sebagai kakak ipar, Raqib hanya buat-buat tidak dengar. Balik-balik dia juga yang dikatakan terlalu memikirkan perkara remeh-temeh. Padahal, dia bukannya sekadar memberitahu semata-mata tapi dia mahu Raqib membantunya melembutkan hati Idlan.

Namun Raqib, suaminya hanya acuh tidak acuh saja. Itu yang membuatkan dia berasa terkilan.

“Mesti Iha penat kan sebab kena marah. Biar abang urut ya?”

Mata Nadra membuntang menatap Raqib. Apa kaitan kena tegur dalam mesyuarat dengan urut-mengurut di tubuh? Yang cedera, yang lesu adalah hatinya. Bukannya anggota yang ada di tubuhnya. Jadi urut-urutan sangatlah tidak perlu untuk saat ini.

Melihat riak Nadra yang pelik tapi jelas tidak puas hati, Raqib ketawa perlahan. Sebenarnya dia sudah habis kata-kata untuk terus memujuk isterinya itu. Lantaran itu dia menggunakan cara lain demi memancing Nadra. Kalau Nadra hendak marah pun dia tidak kisah, paling penting jangan bertingkah seperti orang bisu sedangkan dia tahu isterinya itu punya suara yang boleh tahan sedap.

“Abang urut ya?”

“Badan Iha tak sakitlah!” jawab Nadra dengan wajah serius.

“Tak apalah. Abang tengah tak ada kerja ni. Terlanjur ada masa lapang biar abang manjakan Iha, ya? Bukannya selalu abang baik hati macam ni tau.” Terus dipusingkan tubuh Nadra membelakanginya. Lembut saja jari-jemari kasarnya menari-nari di atas bahu Nadra. Bila Nadra hanya membiarkan, dia senyum sendiri. Sekurang-kurangnya Nadra tidak menolak.

“Iha...” serunya beberapa saat kemudian. Jemarinya terhenti, dagunya diletakkan di atas bahu Nadra. “Sorry sangat ya...” ucapnya perlahan, sangat perlahan kerana dia berbisik.

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [10] -

SUDAH dua minit Najihah berdiri di situ dan dalam masa sesingkat itu, sudah banyak kenderaan melewatinya. Namun, dia tidak peduli. Matanya masih ralit memandang panorama yang dirasakan sangat indah di hadapannya. Bukannya tidak pernah dilihat sebelum ini. Pernah. Beberapa kali. Hanya hari ini panorama yang sama itu menggamit mata dan perasaannya untuk terus melekat di tempat yang sama.

Kalau tadi dia melihat Munirah mencium tangan lelaki itu, kali ini matanya dijamu pula dengan gosokkan lembut tangan kasar milik suami Munirah di kepala bertudung biru itu. Jelas di matanya, senyuman terukir di bibir kedua-duanya. Pasangan muda itu kelihatan sangat gembira dan bahagia. Dia yang menjadi penonton tidak dijemput, turut tersenyum. Ikut bahagia dengan kebahagiaan pasangan itu.

Mungkin sepanjang hayatnya, dia tidak pernah dihidangkan dengan panorama seindah itu. Kerana dalam hidupnya, hanya ada papanya semata-mata. Maka, sekali pun dia tidak pernah melihat mamanya mengucup tangan kasar milik papanya. Jauh sekali melihat kepala mamanya digosok-gosok penuh kasih.

Mengenangkan papanya, teringatkan mamanya, dalam diam-diam hatinya dihunjam sebak. Ada semacam kesedihan bergayut di relung hatinya yang paling dalam. Tanpa sedar, matanya bergenang dengan air. Dia tahu dia rindu, sangat rindu walaupun selama ini dia tidak pernah menyatakan kerinduannya.

Mama... Jiha rindu!

Papa... Jiha rindu!

Mama, papa... Jiha rindu sangat sesuatu yang tak pernah Jiha dapatkan selama ni dan Jiha tahu Jiha tidak mungkin akan dapat sampai bila-bila. Ya, memang tidak mungkin dapat dimiliki kerana hakikatnya, antara mamanya dan papanya, tidak ada ikatan yang mengikat mereka berdua lagi. Kalau ada pun yang dikongsi, hanya dirinya semata-mata. Itu pun kalaulah itu layak dipanggil ‘kongsi’ kerana kalau berkongsi semestinya diberi adil, sama rata. Sedangkan sebenarnya, dia seperti hanya dimiliki papanya semata-mata. Mamanya pula, acuh tidak acuh saja terhadap dirinya.

Mama tak pernah sayangkan Jiha kan mama?

Setitis air matanya gugur, tapi pantas diseka dengan belakang tangan. Tidak tahu kenapa hari ini dia seperti gagal menahan emosi. Padahal, bukan baru hari ini dia ditinggalkan mamanya. Tapi sejak dia dilahirkan lagi, sejak berpuluh-puluh tahun dulu. Entahlah! Yang jelas saat melihat kemesraan Munirah dan suami wanita itu, dia terasa mahu memiliki kegembiraan dan kebahagiaan yang sama seperti rakan sepejabatnya itu.

Papa... mama sayangkan Jiha ke tak ya papa?

Setitis lagi air matanya gugur. Ingatan pada mama yang jarang-jarang sekali ditemui terasa membuak-buak ketika ini.

Kalaulah mama tahu, kalaulah mama tahu apa yang Jiha rasa sekarang ni, desis hatinya sendu.

“Jiha...”

Jiha rindu, mama...

“Jiha...”

Terasa bahunya disentuh, Najihah mengangkat wajah. Melihat senyuman Munirah, dia pantas mengesat mata. Tidak mahu Munirah melihat air matanya gugur. Selama ini, dia nampak kuat di mata banyak orang. Sampai bila-bila pun biarlah dia kelihatan kuat kerana duka hatinya bukan untuk dikongsi dengan orang lain. Biarlah segala-galanya disimpan sendiri. Membuka pekung di dada sendiri, sejak dulu memang bukan caranya.

“Irah...” katanya. Ada senyuman di bibirnya. Dalam pada hati bergalau, dia cuba mempamerkan riak wajah ceria.

“Jiha nangis?”

Kepala Najihah menggeleng. “Habuk masuk,” ujarnya beralasan. Kemudian, gelakkan halus keluar di bibirnya. Munirah bukannya anak kecil yang boleh digula-gulakan dengan alasan tidak masuk akal begitu. Tapi dalam keadaan seperti ini, dia tidak sempat memikirkan alasan yang lebih munasabah.

“Jiha cuba bohongkan Irah?” Ada kerut di dahi Munirah.

“Bukan bohong tapi itu aje yang sempat Jiha fikir,” balas Najihah selamba. Dia terus juga tergelak perlahan. Meskipun berlainan pangkat, hubungannya dengan Munirah agak rapat. Bahkan, dia rapat dengan semua orang di syarikat milik ayah Najid itu kerana mereka selalu keluar makan bersama kalau dia tidak makan bersama Najid.

“Ada masalah?”

“Tak.”

“Habis kenapa nangis?”

Senyuman Najihah melebar di bibir. Sejak hari pertama masuk kerja, Munirah dilihat tidak pernah berubah. Tetap juga lemah-lembut dan tetap juga tersenyum manis. Agaknya, dua sifat itu yang mengikat suami Munirah untuk terus mencintai Munirah. Terus melayan Munirah dengan baik.

Tapi... tak baikkah papa melayan mama dulu?

“Tak ada jodoh Jiha.”

Hanya itu yang dijawab papanya bila dia bertanya mengapa papa dan mamanya memilih berpisah setelah dia dilahirkan. Jawapan yang tidak ada salahnya, namun sampai ke hari ini gagal memuaskan hatinya sebagai seorang anak. Bersama papanya, memang dia tidak ada kekurangan apa-apa. Dia dilayan dan ditatang bagai minyak yang penuh, malah ada masa-masanya seperti puteri raja kerana dia buah hati pengarang jantung papanya.

Tapi sebagai seorang anak yang sepatutnya mendapat kasih daripada papa dan mama, ketidakhadiran mamanya ketika dia membesar membuatkan dia terasa haknya diambil dengan kejam. Mamanya selalu tidak ada ketika diperlukan, tidak seperti ibu orang lain. Dan dia membesar, mengusung rindu yang jarang dipenuhi.

Salah apa ya Jiha pada mama sampai mama macam tak begitu peduli pada Jiha?

“Jiha...” seru Munirah perlahan. Jam di tangan dijeling sekilas, masih terlalu awal untuknya melangkah ke pejabat.

“Terharu.”

Kening Munirah hampir bertemu, kiri dan kanan. Dia bertanya tanpa suara akan maksud kata-kata Najihah.

“Terharu tengok betapa bahagianya Irah dan suami tadi.”

“Hah? Tapi...”

“Dah lewat ni, jom kita masuk office,” ajak Najihah sambil mencapai lengan Munirah yang hari ini mengenakan jubah di tubuh. Bimbang semakin lama mereka berdiri di situ, semakin dia tidak dapat mengelak daripada pertanyaan Munirah. Dia tahu kalau dia berkongsi perasaannya tika ini dengan Munirah pun, ceritanya akan selamat. Munirah bukannya jenis suka membawa mulut. Tapi dia masih belum bersedia dan dia sendiri tidak tahu bila masanya dia akan rasa bersedia.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Irah...”

Munirah yang sedang mengacau air Milo di dalam mug, mengangkat muka. Tersenyum manis pada Najihah yang sudah pun duduk di hadapannya di dalam pantri yang memang dikhaskan untuk mereka. Sedikit pelik bila melihat Najihah yang tersenyum-senyum seperti ada sesuatu terbuku di hati.

“Kenapa? Jiha nak suruh Irah buatkan air ya?” tekanya kerana Najihah memang liat hendak membuat air sendiri.

“Taklah. Jiha nak tanya ni...”

Kening Munirah terjongket sendiri. Tingkah Najihah hari ini dirasakan sedikit pelik. Tidak sama seperti hari-hari sebelum ini. Awal pagi tadi, gadis itu dilihat menitiskan air mata. Bila ditanya, Najihah tidak mahu mengatakan sebab air mata itu keluar. Dia tidak mahu memaksa kerana itu hak Najihah. Sekarang, Najihah memandangnya seperti ada yang diinginkan gadis itu. Tidak sihatkah Najihah? Tapi melihat pada wajah yang biasa-biasa saja itu, dia tahu yang Najihah baik-baik saja.

“Tadi Jiha nampak Irah dengan suami Irah. Jiha nampak Irah salam tangan suami Irah dan suami Irah gosok-gosok kepala Irah,” ujar Najihah sedikit malu-malu. Merah sedikit wajahnya. Bimbang kalau-kalau Munirah menganggap dia suka menjaga tepi kain orang.

Munirah ketawa perlahan. Halus saja bunyi ketawanya. “Alahai... malunya Irah bila Jiha nampak.”

“Lah... kenapa nak malu pulak? Patutnya Jiha yang malu sebab nampak macam suka jaga tepi kain orang.” Najihah ikut ketawa perlahan. Kalau dia di tempat Munirah pun, dia akan merasakan perasaan yang sama. Tapi puas dinyahkan, bayang-bayang kemesraan Munirah dan suami wanita itu asyik berulang tayang di minda dan matanya. Langsung dia tidak dapat memberikan tumpuan terhadap kerjanya. Sudahnya, walaupun teragak-agak digagahkan juga kaki mencari Munirah.

“Taklah, Irah tak anggap macam tu pun. Apa yang Jiha nak tanya kat Irah?”

“Dah berapa lama Irah kahwin?”

“Hampir 5 tahun,” balas Munirah dengan senyuman tidak hilang di bibir.

5 tahun? Najihah mengira dalam hati apa yang dilakukan dalam 5 tahun kebelakangan ini. Umurnya dengan Munirah sebaya. Itu bermakna, ketika dia bertungkus-lumus mengulit buku-buku pelajaran dan beramah mesra dengan kawan-kawan di universiti, Munirah sudah pun menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. 5 tahun! Satu jangka masa yang agak lama, tapi dia melihat cara mereka suami isteri, seperti baru sebulan dua saja mendirikan rumah tangga.

Kenapa aku melihat banyak kemanisan dalam hubungan mereka berdua?

“Lama juga ya Irah?”

“Ya, agak lama juga. Tapi Irah selalu rasa macam baru semalam aje Irah dan suami bergelar pasangan suami isteri.”

Cerah di wajah Munirah, menggamit satu rasa dalam jiwa Najihah. Dia sudah bertemu dengan ramai pasangan yang sudah berumah tangga. Ada yang dilihat gagal, seperti mama dan papanya. Ada yang dilihat bahagia walaupun pada akhirnya, seorang harus menemui Pencipta Abadi, seperti ayah Najid. Ada yang dilihat biasa-biasa saja dan ada juga yang dilihat seperti hujan dan panas, sekejap baik dan sekejap pula bercakar kembali.

Aku nanti, kalau ditakdirkan punya suami, macam mana ya?

Gila! Tak ada angin tak ada ribut, aku dah mula fikirkan yang bukan-bukan ni. Tapi memang ini pun yang bermain-main di kepala aku sekarang ni. “Irah bahagia?”

“Sangat bahagia! Walaupun suami Irah tak belajar tinggi dan tak juga punya kerja hebat macam orang lain,” ujar Munirah bersungguh-sungguh. Dia tidak menipu Najihah dan dia tidak ada sebab untuk menipu. Sepanjang 5 tahun bergelar isteri kepada Syukri, dia benar-benar bahagia. kehadiran Dinie dan Iman dalam rumah tangga mereka membuatkan dia rasa kehidupannya sudah sempurna. Dia tidak mahukan yang lain lagi kecuali terus hidup bersama-sama suami dan anak-anak kesayangannya.

“Best ke jadi isteri Irah?”

“Dalam hidup Irah, Irah dah tak mahukan apa-apa lagi, cukup jadi isteri Syukri dan ibu pada Dinie dan Iman. Untuk mereka, Irah sanggup buat apa aje, Jiha.”

Najihah diam. Entah kenapa, melihat sinar di wajah Munirah, dia seperti terasa sinar di wajah sendiri.

- AKU MAHU KAMU, RINDU PADA SI KELETAH YANG BERNAMA FIRYAL IBTISAM -

September 19, 2012

Empat tahun Qisya Khaleesa cuba bertahan demi merawat luka di hati. Biarpun sukar, dia masih mengharapkan kemaafan Ziyad Fallah.

Namun, suaminya itu tetap meletakkan ke salahan ke atas bahunya. Padahal, jiwa ibu mana yang tidak merintih setelah kehilangan satu-satu nya permata hati? Pemergian Faiq yang dijemput ILAHI benar-benar meragut kebahagiaan dia dan Ziyad.

Keegoan Ziyad membuatkan Qisya berjauh hati. Dia nekad membawa diri. Di luar pengetahuan Ziyad, dia tabah mengharungi hidup sendirian sehinggalah zuriat kedua mereka lahir ke dunia. Walaupun hatinya berat, Qisya berkorban sekali lagi tatkala dia sengaja meninggalkan bayi comel yang baru dilahirkannya itu di kediaman Ziyad. Dia rela berpisah dengan Firyal hanya kerana mahu menebus kekecewaan suaminya itu.

Namun, ternyata perpisahan itu bagaikan merentap naluri keibuan Qisya. Hatinya tetap juga bergetar hebat tatkala bayangan Ziyad dan Firyal melintas jiwa. Dia tahu, di segenap relung nadinya masih sarat dengan rindu. Dan, dia hanya berperang dengan waktu demi melunaskan kerinduan itu.

- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [9] -

NAJID sorong lagi pinggan di hadapan Najihah, meskipun kalau dihitung sudah lebih tiga kali dia melakukan perkara yang sama. Seperti tadi, sekali lagi Najihah menolak perlahan pinggan berisi roti telur kegemaran Najihah. Kelat wajah Najihah dengan bibir yang sengaja dimuncungkan, langsung tidak diendahkan. Sedar, dalam usaha memujuk rajuk Najihah, dia selalu memerlukan kesabaran yang lebih daripada biasa.

“Kalau abang, abang biarkan aje kalau Jiha merajuk. Tak kuasa nak pujuk, bukan untung pun!”

Itu kata-kata Ilham setiap kali mendengar Najihah merajuk dengannya. Bahkan tidak cukup dengan itu, Ilham siap mengajak dia supaya buat-buat tidak layan. Tapi setiap kali itu, dia tidak mempedulikan hasutan Ilham. Tetap juga memujuk Najihah sehingga hati Najihah yang hangat kembali sejuk. Tetap juga mengendeng-ngendeng di sisi gadis itu, sama seperti yang sedang dilakukan ketika ini.

“Jiha makanlah roti telur tu. Najid tahu Jiha tak makan lagi. Abang bagi tahu Najid tadi. Makanlah Jiha, nanti kalau perut Jiha masuk angin Jiha juga yang sakit,” ujar Najid lembut sambil kembali menolak pinggan roti telur ke arah Najihah. Sekali lagi dia hampa. Najihah memang keras kepala.

Dipandang Najihah lama-lama sambil memuntahkan keluhan perlahan. Kelihatan Najihah membelek-belek kuku sambil menyanyi-nyanyi perlahan. Entah lagu apa yang gadis itu alunkan, telinganya tidak mampu mendengar. Terasa kali ini rajuk Najihah agak sukar dipujuk.

“Jiha kata, Jiha tak nak tu tak naklah. Yang Najid nak paksa-paksa Jiha kenapa pulak?” bantah Najihah dengan nada suara yang tidak tinggi. Marah macam mana pun dia pada Najid, dia memang tidak pernah meninggikan nada suaranya. Sama seperti Najid yang tidak pernah menengkingnya walaupun kesalahan yang dilakukan kadang-kadang memang tidak masuk akal. Malah satu ketika dulu, dia pernah mencampak kasut bola baru Najid ke dalam longkang kerana Najid tidak mahu menemaninya makan aiskrim. Ketika itu, dia tahu Najid sangat marah padanya, namun Najid tetap tidak meninggikan suara. Sudahnya dengan wajah kelat, Najid mengikut juga.

“Okey... okey... Najid minta maaf. Lepas ni Najid janji bawa Jiha pergi shopping dan Jiha boleh ambik apa aje yang Jiha suka. Asalkan, Jiha berhenti mogok suara dengan Najid dan Jiha makan roti telur ni.”

Najihah diam beberapa detik. Separuh hatinya terasa mahu meneruskan mogok suara dengan Najid. Namun tawaran Najid dirasakan sangat lumayan. Terbayang-bayang di matanya beberapa pasang kasut, blaus, seluar dan barang-barang lain yang sudah dilihat di One Utama beberapa minggu lalu. Kalau dia meneruskan rajuk bermakna dia harus membeli semua yang diidam-idamkan dengan duitnya sendiri. Kalau merajuk cukup setakat ini saja, dia tidak perlu mengeluarkan satu sen pun termasuk untuk membeli segelas minuman.

Nak terus merajuk, atau lupakan saja? tanya hatinya berkali-kali.

Tak payah!

Teruskan!

Tak payah!

Teruskan!

Tak...

“Cepat buat keputusan Jiha. Tawaran Najid tak bertahan sampai bila-bila. Untuk setakat ini dan untuk hari ni aje. Kalau Jiha lambat buat keputusan, Najid tak kisah. Selamatlah duit Najid,” kata Najid dengan wajah selamba. Tangannya sudah ada di pinggan roti canai Najihah. Sudah bersedia menyorong pinggan itu. Melihat riak wajah gadis itu, dia yakin Najihah sudah teruja dengan tawaran yang dibuat. Bukannya selalu dia jadi pemurah.

Habislah duit aku, detik hati kecil Najid.

Tapi tak apalah. Bukannya selalu pun aku belikan Jiha apa-apa. Kalau ada pun pada hari lahir Jiha.

“Ji...”

Dengan sedikit gelojoh, Najihah menarik pinggan roti telur yang dipegang Najid. Tidak mahu terus bermain tarik tali kerana dia bimbang kalau-kalau Najid menarik kembali tawaran yang dibuat. Dan jauh di sudut hatinya, dia berjanji yang dia akan ‘mengerjakan’ duit lelaki itu sehabis-habisnya. Biarkan Najid menyesal kerana membuat tawaran lumayan begitu.

Biar padan dengan muka Najid!

Terus roti telur yang dicecah dengan kuah kari dimasukkan ke mulut dengan wajah yang sudah tidak kelat.

“Wah... dengar Najid nak belanja pergi shopping, terus laju makan ya?” sindir Najid.

Najihah panggung kepala. Ada senyuman di bibirnya. Lantaklah kalau Najid mahu menyindirnya, apa yang penting janji sudah Najid buat. Dia tahu Najid bukan jenis lelaki yang suka mungkir janji. Kalau sudah berjanji, Najid pasti akan berusaha sehabis daya untuk mengotakan apa yang dikata. Bukannya seperti dia, selagi boleh mengelak untuk melepaskan diri, dia akan berusaha sehabis tenaga.

Dia dan Najid, memang berbeza. Tapi perbezaan itu bukan tiket untuk mereka saling tidak rapat. Malah kerana berbezalah, maka dia dan Najid kelihatan seperti serasi bersama. Bukan dia yang kata, tetapi semua yang mengenali dia dan Najid akan mengatakan kalau mereka memang serasi.

Najid capai roti sardin yang dipesan. Namun matanya masih tertancap pada Najihah.

“Boleh senyum lagi ya?” Sindiran kedua Najid kedengaran. Sengaja mahu melihat reaksi Najihah.

Mata Najihah membulat. “Jangan kata kat Jiha yang Najid nak tarik balik tawaran yang dibuat.”

“Kalau memang ya kenapa? Apa Jiha nak buat?”

“Cubalah! Jiha mogok dengan Najid sampai setahun,” kata Najihah seperti mengugut. Dia bukan bercakap kosong. Kalau Najid mungkir janji, dia akan mogok selama setahun dengan Najid.

Najid ketawa perlahan. Kalau tidak mengenangkan Najihah sedang makan ketika ini, mahu juga dijentik tangan gadis itu. Kalau dia selalu berusaha mengotakan janji yang dibuat, dia percaya Najihah pula akan berusaha mengotakan ugutan yang baru saja dilafazkan padanya. Gadis itu kalau hitam katanya, maka hitamlah jadinya. Kalau putih, putih jugalah pada akhirnya.“Cara cakap macam tak ada duit aje?”

“Tolong sikit! Ni awal bulan ya, duit Jiha masih banyak. Tapi kalau Najid dah kata nak belanja, Jiha dah tentu tak tolak rezeki.”

Lebar senyuman Najid dengan jawapan spontan Najihah. Melihat Najihah tunduk pada permintaannya, nampaknya samalah seperti dia menunggu buah yang tidak jatuh-jatuh. Buah kekal di atas pokok, hati pula terasa geram. Tapi tidak mengapalah, asalkan dia tidak perlu melihat wajah keruh Najihah, tidak perlu melihat Najihah yang mogok suara dengannya.

Mungkin benar kata Ilham, dia terlalu memanjakan Najihah!

Tapi kalau bukan dia yang peduli pada gadis itu, siapa lagi?

Eleh... abang tu! Cakap aje lebih, dia yang manjakan Jiha, dia tak sedar agaknya.
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Hari ni Jiha balik pukul berapa?” tanya Najid perlahan, dia duduk di hadapan Najihah. Bukannya tak sedar jarum jam semakin bergerak, tapi dia tetap juga mahu singgah di tempat kerja Najihah. Atau lebih tepat lagi, di syarikat ayahnya walaupun dia tidak bekerja di situ. Mulanya dia sekadar mahu menghantar Najihah sampai ke lobi, tapi kemudian dia bertukar fikiran.

Baru tiga hari tidak bercakap dengan Najihah, tapi dia terasa seperti mereka berdua tidak bercakap selama tiga bulan.

“Macam biasa. Kenapa?” Najihah memasukan beg tangannya di dalam laci di sisi kanan. Kemudian dia memandang wajah Najid yang kelihatan santai bersandar di kerusi. Cara Najid duduk macamlah hari ini lelaki itu cuti. “Yang Najid masih tak pergi kerja kenapa? Lagi lambat Najid gerak, lagi jalan jamlah!”

“Kejaplah. Bukannya Najid nak duduk sampai ke petang pun.”

Dahi Najihah berkerut sedikit. “Sebab papa dengan abang tak ada, Najid sengaja nak curi tulang ya?” Najihah bukanlah sengaja mahu serkap jarang. Dia hanya mahu menyakat Najid yang kelihatan seperti langsung tidak terkesan dengan kata-katanya. Tetap juga selamba wajah lelaki itu. “Najid jangan... walaupun Jiha kerja dengan ayah Najid, Jiha tak nak tengok company papa Jiha lingkup sebab adanya pekerja macam Najid ni. Company tu nanti Jiha yang punya,” sambung Najihah selamba.

Aneh, memang aneh bila papanya dan ayah Najid ada syarikat sendiri, tapi mereka berdua tidak mahu bekerja sebumbung dengan orang tua sendiri. Padahal, masing-masing tahu yang satu masa kelak merekalah yang akan menerajui tampuk syarikat kerana mereka berdua anak tunggal. Lebih aneh lagi, bila papanya dan ayah Najid langsung tidak kisah bila mereka mengatakan tidak mahu bekerja di bawah telunjuk papa dan ayah sendiri.

“Takut sangat company papa dia lingkup!” ejek Najid dengan bibir sedikit mencebik. Dia masih lagi bersandar malas di kerusi. Alang-alang sudah lambat, biarlah dia masuk lewat sedikit hari ini. Ilham bukannya ada pun. Kalau ada, sakit jugalah telinganya mahu menadah bebelan bapa saudara Najihah itu. Tapi sebanyak mana pun Ilham membebel, dia sebenarnya langsung tidak kisah. Apa yang dibebelkan Ilham, biasanya masuk telinga kanan, langsung keluar ikut telinga kiri.

“Mahunya tak takut. Kalau company tu lingkup, Jiha macam mana?”

“Jiha tetap Jihalah. Takkanlah kalau company papa Jiha lingkup, Jiha nak tukar jadi orang lain pulak?”

Najihah merengus. Sebenarnya dia tidak suka mendengar perkataan ‘lingkup’ itu. Dia tahu betapa susah payah papanya mendirikan syarikat yang ada sekarang ini. Papanya berusaha keras. Sebagai anak, dia tidak berharap melihat papanya kecewa untuk kali kedua. Cukuplah hanya sekali papanya kecewa dalam hidup bila mamanya memilih berpisah. Papanya tidak boleh kecewa untuk kali kedua, dia sungguh-sungguh tidak rela.

“Najid macam mendoakan company papa Jiha lingkup aje,” kata Najihah dalam nada suara yang sangat perlahan.

“Hah?” Mata yang tadinya hampir terpejam, kembali terbuka. “Jiha cakap apa tadi?” Dia seperti dengar tidak dengar saja.

“Jiha kata, Najid macam doakan company papa lingkup aje.”

Ketawa perlahan meletus. Hari ini dirasakan Najihah agak sensitif. Dia main-main, tapi gadis itu beranggapan sungguh-sungguh. Lantas, wajah Najihah yang kelihatan sedikit keruh ditatap dalam-dalam. Ayahnya selalu berpesan supaya tidak membuli Najihah kerana Najihah tidak ada mama di sisi. Cara ayahnya berpesan, macamlah dia ada uminya di sisi. Dibandingkan dia dan Najihah, patutnya dia lebih layak diberikan simpati kerana uminya sudah meninggal dunia. Sedangkan mama Najihah, masih lagi menghirup segarnya bumi bertuah milik ALLAH.

“Jiha perempuan dan orang perempuan tak sekuat lelaki. Najid lelaki, tak ada umi pun tetap mampu berdikari.”

Itu pula yang dijawab ayahnya bila dia mula mengatakan yang dirinya lebih malang jika hendak dibandingkan dengan Najihah. Tapi rasa tidak puas hati itu hanya terbit ketika dia kecil. Selepas dewasa, dia mula sedar yang dibandingkan dirinya dengan Najihah, gadis itu lebih kasihan. Dia tidak bertemu uminya kerana uminya benar-benar sudah tidak ada di dunia ini. Sedangkan Najihah tetap tidak bertemu dengan mama gadis itu walaupun mama Najihah masih ada. Lalu dirasakan, dia jauh bernasib baik kerana hatinya tidak kecewa seperti Najihah yang selalu berharap dapat bertemu dengan wanita yang dipanggil mama.

“Hei... yang emosi tak tentu fasal ni kenapa?” Jari-jemari kanan Najihah, Najid jentik.

“Dah Najid cakap macam tu, takkanlah Jiha nak ketawa besar?”

“Najid main-main ajelah. Takkanlah Najid nak doakan yang bukan-bukan pulak. Itu tempat Najid cari makanlah. Lagipun papa Jiha tu dah macam ayah Najid sendiri,” terang Najid tenang. Hubungan dia dan Najihah baru saja pulih, dia tidak berharap salah faham begini akan menyebabkan Najihah mogok suara lagi dengannya. “Hari ni Najid ada kerja sikit. Jiha buatlah kerja Jiha sampai Najid datang. Jiha tunggu Najid tau?” ujar Najid sengaja memesongkan topik perbualan.

Najihah geleng perlahan. Ada senyum di bibirnya. “Jiha nak balik dulu sebab Jiha nak singgah Jusco sekejap sebab nak cari barang.”

“Jusco lagi?” Melopong sedikit mulut Najid. Tidak mengerti mengapa Najihah cukup suka pergi ke Jusco. Tidak kiralah di mana lokasinya, asal saja namanya Jusco.

Kali ini barulah ketawa Najihah meletus. Bukan hanya Najid, semua orang tahu dia suka ke Jusco. Kadang-kadang dia tidak membeli apa pun, hanya sekadar melihat-lihat saja.

- TERTUNAI SUDAH JANJI SAYA... -

September 18, 2012


“Nak makan apa ni? Nak makan kat mana?” Itu soalan saya dengan kepala yang terjengul sedikit dari tingkap. Masa tu Abang Chik saya berhenti kat Petronas sebab nak isi minyak kereta. Soalan tu saya tanyakan pada adik saya kat kereta yang satu lagi.

“Pizza!” Itu pula jawapan anak buah saya yang berumur 4 tahun. Dia jawab dengan muka yang beria-ia.

Saya angguk tanda saya faham yang dia memang nak makan kat Pizza Hut. Mungkin dia teringin. Lepas tu saya ajak abang saya pusing bandar Johor Bahru sebab rasa macam dah lama benar tak tengok lampu di sepanjang jalan. Kalau dulu, selalu jugalah pusing-pusing walaupun tak ada tujuan. Maklumlah, konon-kononnya dah jadi orang KL. Konon-konon ajelah, sedangkan saya orang JB dan akan tetap akan jadi orang Johor biarpun nyawa terpisah daripada badan. Hoho... sangat Johorian! Tapi sebenarnya, KL pun okey juga. Rumah pun dah ada kat sini. Pendek kata, Johor atau Kuala Lumpur, dua-duanya saya suka dan sayang. Masih dalam Malaysia kan?

Minda saya kata nak makan Pizza Hut, tapi bila Abang Chik saya bawa pusing bandar, lepas tu masuk area Pelangi, hati saya kata lain pula. Siapa yang suruh abang saya timbulkan soal ada bubur nasi sedap dekat Sentosa [bukan Singapore]. Terus tekak saya kata, ‘Nak makan bubur nasi’. Telefon Si 4 Tahun tu, saya kata, “Hari ni kita makan bubur ya? Esok Mak Tam bawa pergi makan pizza.” Dia kata saya tipu dia tapi saya ketawa aje. Sudahnya kami makan bubur nasi. Sebagai tambahan pujukan, saya kata saya akan belanja dia makan kat Pizza Hut dan Tutti Frutti.

Malangnya, manusia hanya mampu merancang sedangkan ALLAH yang tentukan. Dengan keadaan Kak Long saya buat rumah terbuka, dengan kamera saya tinggal kat kampung [malam tu kami beramai-ramai tidur rumah Kak Long], dengan badan saya yang tiba-tiba aje jadi tak sihat, hajat nak belanja Si 4 Tahun dan yang lain-lain tak kesampaian. Sudahnya, saya tinggalkan mereka semua malam tu [bertolak balik KL kira-kira pukul 8.00 malam] dengan rasa terkilan. Bukannya saya kedekut atau sengaja nak menipu, tapi... memang keadaan masa tu tak kena langsung.

Tapi mujur juga, balik beberapa hari lepas saya dapat tunaikan semua hajat tu. Tak cukup dengan Pizza Hut dan Tutti Frutti, esoknya saya belanja juga KFC pada mereka yang saya tinggalkan kat JB. Itu pun Si 11 Tahun tiba-tiba aje kata kat saya yang dia lapar. Padahal masa tu, baru aje tinggalkan Tutti Frutti. Tak cukup dengan tu, tiba-tiba Si 12 Tahun mengendeng kat saya. Katanya, “Lepas ni kita pergi MPH boleh?” Saya tanya dia, “Ada duit ke nak beli buku?”. Dia balas balik, “Mak Tam kan ada.” Saya geleng aje dengan hati yang sebal. Mulanya sorang ambil 1 buku, tapi sudahnya setiap orang dapat dua buah buku, termasuk saya sendiri. Anak-anak buah yang tak pandai baca pun mengedik nak buku juga. Saya layankan aje sebab saya tahu kalau tak diberi nanti, akan ada yang melalak sebab tak puas hati. Memanglah anak-anak buah saya dasar Si Pencekik Mak Tam dia orang ni.

Ikutkan... terasa sedikit kopak dikerjakan anak-anak buah saya tu, tapi... jauh-jauh kat sudut hati saya, saya gembira sebab saya dapat menggembirakan mereka. Duit masih boleh dicari, tapi kasih sayang daripada yang menyayangi kita, harganya jauh lebih mahal dibandingkan apa yang kita ada, ;-)

- BUAH HATI SAYA YANG KE-7 -

September 14, 2012

Pagi ni ada yang tanya pada saya, TANPAMU AKU RINDU [TAR] ni novel terbaru saya ke gara-gara baru nampak novel ni ada di wall FB Alaf 21. Jadinya, sekarang ni saya tepekkan sedikit apa yang ada dalam novel ke-7 saya ni. Novel ni bukannya novel baru. Bila terbit dua tahun lepas, orang dah tak panggil novel baru dah tau. Tapi untuk yang tak tahu kewujudan TAR ni bolehlah anggap novel ni baru korang. Bila dah anggap novel ni baru, bolehlah cuba dapatkan dan kemudian baca ya, macam selalu korang buat tu. Kalau tak tahu mana nak cari novel ni sebab tak jumpa di kedai-kedai buku berhampiran, boleh PESAN DI SINI. Pembelian korang sangat-sangat dihargai saya. Bagi yang dah beli dan baca, terima kasih tak terhingga tau. Kalau korang tak ada, dunia penulisan saya, MATI!

Sergahan Zainah yang tiba-tiba membuatkan Yazzer yang baru terlelap, membuka mata. Terpisat-pisat dia kerana agak terperanjat. “Kenapa ibu?” tanyanya dalam nada suara yang malas. Beberapa hari kebelakangan ini tidurnya tidak pernah lena kerana galak memburu langkah Zuyyin. Kini setelah gadis itu pulang, dia mahu membayar hutang mengantuknya yang tertangguh.

Wajah Zainah pucat tidak berdarah. “Zuyyin mengamuk, menjerit-jerit,” ujar Zainah cemas.

“Kenapa?” Yazzer sudah terduduk tegak.

Zainah hanya geleng perlahan, wajah pucatnya dihiasi suram. Cengkung mata itu jelas di pandangan Yazzer. Ibunya sayangkan Zuyyin seperti Zuyyin itu anak kandung ibunya, adik kepada dirinya. Bahkan ibunya lebih memilih menjaga Zuyyin daripada diri sendiri. Pelik, adakah orang di dalam dunia ini yang mirip ibunya? Yang jelas, hebat benar penangan Zuyyin hingga mampu membuatkan wajah ibunya pucat kerana cemas.

“Cepatlah Yazzer, ibu tak nak apa-apa berlaku pada Zuyyin nanti,” balas Zainah tanpa menjawab soalan Yazzer. Dalam masa seperti ini, dia merasakan penerangan tidak begitu penting dibandingkan Zuyyin yang masih menjerit-jerit mengalahkan orang tersampuk hantu. Padahal tadi, elok saja dilihat gadis itu tidur setelah dipujuk. Dia pun sudah terlelap ketika mendengar jeritan Zuyyin. Bingkas dia berlari mendapatkan Yazzer setelah merasakan dia tidak mampu bertindak sendiri. Tenaga Zuyyin dirasakan sangat luar biasa kuatnya. Hampir-hampir saja dia jatuh terduduk kerana disenggol Zuyyin.

“Yalah, Yazzer nak pergilah ni, tapi ibu tolong telefonkan Doktor Ain, takut kita tak dapat buat apa-apa nanti,” pesannya pada Zainah.

“Ibu dah suruh Suharti telefon tadi lagi.”

Yazzer tersenyum, geli hati bila tangannya ditarik Zainah supaya bangun. Lebih dia kagum bila ibunya bertindak cepat. Jarang benar ibunya itu berlengah-lengah kalau sesuatu itu berkaitan dengan Zuyyin. Benarlah kata orang, kasih sayang itu tidak pernah mengenal batas sempadan.

“Siapa sebenarnya anak ibu ya? Yazzer atau Zuyyin?” usiknya dalam senyuman.

Membulat mata Zainah dengan pertanyaan yang tidak disangka-sangka itu. Pantas tangannya naik menampar bahu Yazzer perlahan. Dia tahu anak itu hanya menyakatnya. Baik macam mana pun dia dengan Zuyyin, dia tidak pernah mengabaikan anak sendiri. Yazzer tentu tahu kerana anak itu membesar dalam rahimnya selama sembilan bulan 10 hari. Lagipun hati budi Yazzer, memang ada dalam koceknya. Kalau selama ini Yazzer sudah menjadi anak yang baik buatnya, akan datang pun dia dapat merasakan yang satu-satunya anak yang dia ada itu akan jadi anak yang baik juga.

“Main-main ya?”

Senyuman Yazzer melebar. “Lama dah Yazzer tak usik ibu. Ibu asyik sibukkan anak orang aje sampai terlupa anak sendiri,” sakat Yazzer terus. Sengaja membakar hati ibunya yang tentu saja masih gusarkan Zuyyin.

“Yazzer!”

“Sorry... bergurau aje.” Ketawanya semakin kuat. Kemudian dia bangkit dan berlalu meninggalkan ibunya sendiri.

Di bilik Zuyyin, Suharti hampir terjatuh kerana ditolak Zuyyin. Terkial-kial Suharti memeluk tubuh kurus Zuyyin. Semakin kuat dia memeluk Zuyyin, semakin kuat Zuyyin meronta-ronta. Bahkan pandangan Zuyyin yang tajam-menikam membuatkan dadanya terasa seperti hendak luruh. Tapi mengenangkan pesanan Zainah sebelum keluar tadi, dia berusaha untuk terus bertahan.

“Berambus! Berambus!”
----------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Tersentak Yazzer mendengar nada suara Zuyyin yang tinggi, dijeling jam di dinding, pukul 2.00 pagi. Dalam diam dia mengeluh perlahan. Sepatutnya pada masa-masa seperti ini, semua orang sedang lena dibuai mimpi. Tapi hari ini gara-gara Zuyyin, semua orang dalam rumah Tuan Ghazali tidak dapat tidur. Mujur juga Pak Murad tidak menetap di situ, kalau tidak tentu orang tua itu juga tidak dapat bermimpi hari ini.

“Suharti...”

Suharti berpaling ke sisi kanan. Cerah wajahnya sebaik saja melihat Yazzer berdiri di muka pintu. Lega. Selepas ini tentu Yazzer yang akan mengambil alih tugas menenangkan Zuyyin. Dia benar-benar tidak larat terus memegang Zuyyin yang tidak juga tahu penat setelah beberapa minit meronta-ronta. Yazzer tentu saja mampu bertahan kerana tubuh lelaki itu tegap. Tidak kurus seperti tubuhnya.

“Tolong Yazzer, Cik Zuyyin agresif sekali,” adu Suharti dengan harapan Yazzer segera menenangkan Zuyyin.

“Zuyyin...” panggil Yazzer lembut. Kalau boleh dia mahu Zuyyin tidur kerana dia pun hendak menyambung tidur yang terganggu. Esok masih banyak perkara yang harus diselesaikan. Dia benar-benar memerlukan rehat yang cukup. Kalau dia tidur lewat lagi, pukul berapa pula dia harus bangkit esok? Silap-silap gaya, dia pula yang dapat penyakit hanya disebabkan Zuyyin membuat onar.

Lagipun, simpati juga dia melihat Suharti yang berpeluh-peluh dalam dinginnya penghawa dingin di bilik Zuyyin. Tentu gadis Indonesia itu sudah tidak larat kerana dilihat Zuyyin benar-benar agresif. Kalau Suharti tidak kuat memegang, mungkin gadis itu akan jatuh tersungkur.

“Kau pun, kau pun berambus! Aku tak nak tengok muka korang, aku tak nak tengok!” jerit Zuyyin terus.

Aku pun kena halau juga? Detik hati Yazzer sendiri.

Yazzer datang ke depan, Zuyyin yang terlepas dari rangkulan Suharti, meluru ke arah Yazzer. Dada Yazzer dipukul bertalu-talu seperti dia sedang memukul batang pisang. Yazzer yang mengerti keadaan Zuyyin hanya membiarkan saja. Mungkin dengan cara ini Zuyyin dapat menenangkan jiwa yang tidak tenteram. Namun bila pukulan Zuyyin sudah naik sampai ke muka, dia tidak dapat bertahan lagi. Dipegang tangan Zuyyin kuat-kuat, sabarnya seperti hendak bertabur kerana sakit dipukul gadis itu. Mata Zuyyin direnung dalam-dalam, lama. Mata Zuyyin berkaca tiba-tiba.

“Zuyyin...”

“Aku benci kau. Aku benci kau!”

“Sabar Zuyyin, sabar...” pujuk Yazzer lembut. Tidak pernah lagi dia melihat Zuyyin berkeadaan teruk sampai begitu sekali. Inilah pertama kali dan jauh di sudut hatinya yang paling dalam, dia berharap yang dia tidak akan melihat Zuyyin dalam keadaan seperti itu lagi. Tidak esok dan tidak sampai bila-bila. Dia lebih rela melihat Zuyyin marah-marah dan mengamuk seperti orang hilang akal daripada sedih seperti tidak mahu meneruskan sisa-sisa hidup di atas muka bumi ini.

“Aku nak mama aku, aku nak mama aku...” rintih Zuyyin dalam tangisan.

“Zuyyin... mama kau dah tak ada lagi. Kau kena relakan dia pergi,” pujuk Yazzer perlahan. Mata yang masih berair itu terus ditatap.

“Aku tak nak orang lain, aku nak mama aku, aku hanya nak mama aku...” tangis Zuyyin terus. Mengongoi-ngongoi dia.

“Jangan macam ni Zuyyin. Nanti tak tenang mama kau kat sana. Biarkan dia tenang kat sana dan dia hanya akan tenang kalau kau tenang. Kalau kau reda bila dia tinggalkan kau. Kau kena lepaskan dia, Zuyyin...”

Kepala Zuyyin menggeleng perlahan. “Aku... aku tak ada masa mama pergi. Aku tak dapat tengok dia buat kali terakhir. Aku tak dapat cium dahi mama aku buat kali terakhir. Aku dah tak ada mama lagi. Mama dah tinggalkan aku... mama dah tinggalkan aku,” rintih Zuyyin perlahan. Hatinya sedih tidak terkira. Kalaulah dia tidak keluar rumah, tentu dia berpeluang melihat wajah mamanya buat kali terakhir. Kalaulah dia tidak ke mana-mana, tentu dia masih dapat mengucup dahi mamanya sebelum dikebumikan. Kalaulah dia mendengar kata, tentu dia tidak terkilan seperti sekarang ini.

Kini, apa yang tinggal untuknya? Kecuali dosanya yang menimbun pada mamanya yang tentu saja tidak diampunkan sampai bila-bila kerana mamanya sudah tidak ada, tidak ada apa-apa lagi yang tinggal untuknya.

“Mama... mama...”

“Sudahlah tu, jangan cakap apa-apa lagi sebab kau hanya akan lukakan hati sendiri bila terus bercakap macam tu.”

“Aku tak sempat minta maaf pada mama. Mama tentu pergi dengan rasa terkilan sebab aku jahat...”

“Zuyyin...”

Zuyyin ketuk dahi yang masih berbalut dengan tangan kanannya.

“Zuyyin!” Yazzer terus capai tangan Zuyyin. Dipegang erat-erat kerana tidak mahu Zuyyin terus mencederakan diri sendiri. Luka yang ada masih baru benar, kini Zuyyin seperti mahu menambah luka yang baru. Kalau begitu keadaannya, bila baru luka di dahi dan tangan gadis itu akan sembuh?

“Aku jahat pada mama... aku tak dengar cakap mama...”

Yazzer mengeluh perlahan, dia tidak nampak lagi Zuyyin yang degil dan keras kepala, melainkan seorang gadis kecil yang dicempungnya satu ketika dulu gara-gara terpijak duri pokok bunga kertas di halaman. Simpatinya pada Zuyyin tumpah melimpah-ruah. Dia mengerti kesakitan Zuyyin saat ini.

“Aku nak mama aku...”

Kepala Zuyyin, Yazzer rapatkan ke dadanya. Diusap-usap perlahan rambut lurus milik Zuyyin. Kalau dengan cara itu dia dapat menenangkan Zuyyin yang kelihatan sangat tertekan dengan pemergian mama gadis itu, dia akan melakukannya. Saat ini pun, yang ada dalam bayangannya adalah Zuyyin yang selalu mengekor ke mana saja langkahnya. Zuyyin yang polos dan tulus. Zuyyin yang itu!

“Aku nak mama aku...”

“Syhhhh... tak apa, aku ada... aku ada,” pujuk Yazzer sambil terus mengusap rambut itu.