- IMBAS-IMBAS "HANYA DIA TAHU" -

September 28, 2012

Arca wajahnya yang terbias di dada cermin setinggi dirinya ditatap lama. Masih sama. Rasanya wajahnya tetap juga tidak berubah walaupun usia kian menganjak dewasa. Hanya rambutnya yang selalunya dipotong pendek, sudah agak panjang. Tidak lama lagi tentu saja melepasi bahu. Dia sudah mula terasa rimas kerana dia tidak gemar berambut panjang. Tapi biarlah untuk kali ini. Rimas macam mana sekalipun, dia tetap tidak akan memotong rambutnya. Dia sudah bertekad yang tahun lepas, tahun yang baru beberapa bulan saja berlalu itu, adalah tahun akhir dia mengenakan fesyen rambut yang sama.

Tahun ini saja umurnya akan genap 25 tahun. Dia perlukan perubahan dalam hidup. Sampai bila dia hendak duduk di takuk lama? Lagipun telinganya sudah jerih mendengar komen-komen mama dan maknya tentang penampilan dirinya. Rambut macam tomboylah, macam budak-budak tadikalah, macam orang tualah. Macam-macam kata-kata yang mamanya hamburkan demi melihat rambutnya panjang. Padahal apa yang hendak dihiraukan sangat tentang rambutnya, lainlah jika dia jenis yang tidak bertudung. Barulah layak ditegur itu dan ini oleh mamanya itu.

Ah... mama, selalu saja tingkah dan caraku tidak kena di matanya. Mak pula, selalu saja menyokong mama. Tapi kalau tidak ada wanita bergelar mama itu, belum tentu dia mampu menghirup segarnya udara di bumi ALLAH ini. Tidak ada wanita dipanggil mak pula, dia tentu akan rasa dirinya serba kurang. Dan, sebagai anak dia tahu dua wanita kesayangannya itu hanya mahukan yang terbaik untuk dirinya. Yang sayang mama dan mak... sayang sangat-sangat. Untuk mama dan mak, Yang sanggup buat apa saja, desis hatinya sayu.

Tersentak dia saat telefon bimbit di atas meja soleknya berbunyi. Getarannya yang agak kuat membuatkan nafasnya hampir semput. Namun akhirnya senyuman menguntum di bibirnya. Bukan salah sesiapa, dia sendiri yang terlalu leka dibawa khayalan. Dipandang sekilas digit-digit yang terpamer di skrin telefon berjenama Motorola di tangannya. Tanpa sebarang kata, pantas dia menekan button hijau walaupun dia pasti dia tidak mengenali sebaris nombor itu. “Helo... Assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam. Boleh saya bercakap dengan Nasuhah Harlena Khairuddin?”

Dia terdiam seketika. Siapa? Mengapa nada suara itu kedengaran agak aneh? Walaupun tidak melihat empunya diri, dia seperti dapat merasakan kalau pemanggil di hujung talian sana, bukan jenis yang peramah. “Ya, Nasuhah Harlena Khairuddin di sini. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Lembut nada suara Nasuhah. Dia masih berusaha untuk mengecam suara garau lelaki yang tidak dikenali itu. Puas juga diamat-amati, tapi seingatnya, dia memang tidak pernah mendengar nada semacam itu sebelum ini. Nombor telefon yang tertera di skrin telefon bimbitnya juga terlalu asing. Siapa ya? Soalan itu hanya bergema dalam relung hatinya. Tidak pula dia berniat mahu bertanya dengan lebih lanjut. Sebentar lagi tentu lelaki itu akan memperkenalkan diri dengan sendirinya.

“Saya, Zaen. Zaen Luthfi,” balas suara itu dengan nada seperti tadi. Sedikit tegas. Langsung tidak ada kemesraan di situ.

Zaen? Nasuhah telan liur sendiri. Kesat. Zaen mana pula ni? Abang Arianakah lelaki itu? Tapi mengapa nada suaranya agak sombong? Tidak ramah seperti yang sering Ariana ceritakan kepadanya selama ini? Lebih dari itu, untuk apa lelaki yang tidak dikenali itu menghubunginya? Sedangkan dia langsung tidak pernah kenal siapa Zaen yang sebenarnya. Memang dia pernah melihat lelaki itu, tapi lama dulu sebelum Zaen berangkat ke UK. Tapi mana pernah mereka bertegur sapa. Memandang pun hanya dari jauh saja.

Apa urusan aku dengannya sampai dia perlu menghubungiku? Sesuatu menimpa Arianakah? Tanya hati kecil Nasuhah ingin tahu.

“Boleh saya tahu Zaen mana? Sebab rasanya saya tak ada kenalan bernama Zaen,” ujar Nasuhah. Tetap lembut seperti tadi. Sebagai peniaga, walaupun hanya berniaga secara kecil-kecilan, dia memang telah mengasuh lidahnya supaya bercakap dalam nada suara yang lemah lembut. Itulah satu-satunya aset penting untuk memastikan pelanggan tidak lari ke kedai lain. Bukannya senang mahu menambah hati pelanggan yang pelbagai kerenah. Malah, kepada tiga orang pekerjanya pun, dia sering menitikberatkan perkara yang sama. Dalam soal itu dia tidak akan memberi muka, tidak kira walaupun pekerja itu sudah lama berkhidmat di kedai yang dahulunya diuruskan mamanya sekalipun.

Bukannya dia terlalu baik. Hanya sekadar berjaga-jaga. Manalah tahu, orang yang pada mulanya tidak berniat hendak membeli apa-apa, langsung membatalkan niat tersebut setelah melihat betapa bagusnya layanan yang kedai mereka berikan. Kalau pun tidak membeli pada kali pertama datang, siapa tahu akan berubah bila datang kali kedua. Bukankah itu boleh dinamakan strategi dalam perniagaan?

Lantaran itu, dia tetap juga melayan lelaki itu baik-baik walaupun saling tidak mengenali. Mungkin saja lelaki di hujung talian sana adalah abang Ariana, tapi boleh jadi juga orang lain. Lagipun dia tidak pernah terfikir kalau abang Ariana itu akan menghubunginya kerana mereka memang saling tidak mengenali. Mendengar namanya saja, mungkin lelaki itu tidak pernah. Kalaupun pernah, pasti sudah lupa. Ah, mungkin juga salah seorang daripada pelanggannya yang mahu menempah bunga untuk diberikan kepada orang tersayang.

“Zaen Luthfi, abang Ariana,” tegas lelaki itu.

Nasuhah terkedu. Benarlah, lelaki itu memang abang kepada kawan rapatnya itu. Tapi untuk apa menghubunginya? Hatinya mula terasa tidak sedap. Sesuatu terjadi pada Arianakah? Degupan jantungnya yang normal, telah berubah rentak. Ariana sudah dianggap seperti adik-beradik sendiri. Dia dan Ariana sudah terlalu lama saling bergantung harap. Dia memang sayangkan Ariana dan tidak rela musibah menimpa kawannya itu.

“Oh… Abang Zaen…”

“Zaen. Please call me, Zaen,” potong Zaen pantas.

Terasa tebal berinci-inci wajah Nasuhah dengan kata-kata Zaen kali ini. Sungguh, dia tidak menyangka lelaki itu tidak suka dipanggil ‘abang’. Sedangkan dia memanggil Zaen begitu kerana dia menghormati lelaki itu, sama seperti Ariana menghormati abang kandungnya itu. Lagipun, dia tidak mahu dianggap tidak tahu menghormati orang yang lebih tua jika hanya memanggil nama semata-mata. Langsung dalam hatinya tidak menyimpan niat lain. Apalagi mahu menggoda lelaki itu

“I’m so sorry. Okey Zaen, apa yang boleh saya bantu?” Nasuhah cuba menolak ke tepi rasa kecil hatinya dengan kata-kata Zaen tadi. Kalau orang tidak sudi, dia pun tidak akan tersua-sua.

“It’s okay. Saya cuma nak bagi tahu yang saya tak berniat nak kenal lebih rapat dengan awak. Selalunya perempuan yang cari saya, bukannya saya yang terhegeh-hegeh cari perempuan. Jadi saya harap awak lupakan ajelah niat awak yang nak beradikiparkan Aria tu. Saya tak sudi pada awak,” kata Zaen bagaikan memberikan amaran.

Mulut Nasuhah terlopong. Kelu lidahnya untuk membalas kata-kata Zaen. Jangan ganggu saya? Saya tidak sudi pada awak? Tiba-tiba saja rasa mahu ketawa dan menangisnya, sama banyak. Tergamak sekali lelaki bernama Zaen itu mengeluarkan kata-kata semacam itu kepadanya. Sedangkan dia, sekuman pun tidak ada apa-apa perasaan terhadap Zaen. Wajah Zaen pun sudah bertahun-tahun tidak dilihat. Macam mana Zaen boleh menganggap dia begitu sekali?

Dia bukannya jenis ‘perigi mencari timba’. Jauh sekali hendak terhegeh-hegeh dan tersua-sua kepada orang yang tidak sudi. Jangan harap. Kalau pun sudah tidak ada lelaki di dunia ini, dia tentu tidak akan mengejar Zaen. Hidup sendiri bukan masalah besar bagi dirinya.

Tapi bila difikirkan kembali, lucu pula rasanya bila mengenangkan Ariana yang dalam diam membuat rancangan sendiri. Langsung tidak mengatakan apa-apa kepadanya. Tahu-tahu saja hari ini, dia disembur Zaen. Ariana… Ariana, nakalnya tetap saja tidak berubah-ubah. Jodoh aku pun mahu dicarinya, desis hati kecil Nasuhah sambil kepala digeleng-geleng berkali-kali.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Encik Zaen…”

“Jangan ganggu saya. Saya tak suka dan nasihatkan sekali Aria supaya jangan desak saya lagi. Saya langsung tak kenal awak dan yang paling penting saya tak minat pada awak.”

Sekali lagi Zaen memotong kata-kata Nasuhah. Nasuhah gigit bibir sedikit Kali ini kata-kata Zaen agak keterlaluan. Mungkin bengang bila Ariana pandai-pandai mahu mengatur jodohnya barangkali. Tapi sungguh, dia langsung tidak tahu niat Ariana kerana kawannya itu tidak pernah mengatakan apa-apa kepadanya. Huh… adik dan abang sama saja nampaknya. Suka membuat keputusan melulu, kutuk Nasuhah dalam hati sambil mengukir segaris senyuman kelat. Kalau Ariana ada, akan ditarik-tarik pipi gebu kawannya itu biar merah padam. Gara-gara Ariana dia dimalukan Zaen hari ini. Dianggap hidung tak mancung tapi pipi pula yang tersua-sua.

Aria… abang awak ni teruklah, serang saya tanpa bagi salam lagi.

“Dengar dulu Encik Zaen, apa yang saya nak katakan ni. Saya tak pernah pun cakap nak jadi ahli keluarga Encik Zaen. Tak payah kahwin dengan Encik Zaen pun saya memang dah anggap Aria macam adik-beradik saya sendiri. Tak perlu sampai nak kahwin-kahwin ni. Lagipun saya langsung tak kenal Encik Zaen, macam mana Encik Zaen boleh terfikir yang saya ada hati pada Encik Zaen?” Panjang lebar kata-kata Nasuhah. Dia tidak mahu Zaen terus beranggapan buruk kepadanya. Dia masih ada harga diri yang perlu dijaga, jangan sampai dipijak-pijak orang sesuka hati.

Tidak ada balasan kata-kata daripada Zaen yang tadinya galak memuntahkan bicara. Sedangkan Nasuhah masih setia menanti jawapan balas daripada lelaki itu.

“Semoden mana pun negara kita, secanggih mana pun teknologi kita, saya tak akan jadi seperti perigi mencari timba. Saya lebih rela jadi anak dara tua daripada mengejar lelaki. Apalagi lelaki macam Encik Zaen yang lebih segala-galanya dibandingkan saya. Dalam mimpi pun saya tak pernah simpan niat macam tu,” sambung Nasuhah tenang.

“Nasuhah Harlena…”

Nasuhah tarik nafas dalam-dalam. Perlahan-lahan dia mengasuh hatinya agar terus tenang. Dia tidak mahu melatah hanya disebabkan kata-kata Zaen. Kalau selama ini dia berjaya mengekalkan kesabarannya, mengapa dia harus tewas di tangan Zaen hari ini? Bukankah lebih baik kalau kekerasan itu dibalas dengan kelembutan? Itukan ajaran yang selalu mamanya ajarkan. Entahlah. Dia tidak mengerti, tapi dia sedar kalau Zaen telah berjaya mencuit sedikit kesabarannya.

“Bukan itu maksud saya, Nasuhah.”

Suara Zaen yang tadinya tegas sudah bertukar kendur sedikit. Ada nada serba salah di dalamnya.

“Tak apalah Encik Zaen. Minta maaf kalau kata-kata saya agak kasar tadi. Lupakan saja apa yang Aria katakan. Mungkin dia hanya bergurau dengan Encik Zaen. Saya tak kisah langsung sebab saya pun sedar dalam masa terdekat ni saya tak mungkin akan mendirikan rumah tangga sebab saya ada banyak impian yang belum terlaksana. Nanti saya cakap pada Aria supaya jangan bermimpi jauh sangat, kalau jatuh nanti sakit. Saya juga akan katakan pada Aria supaya nama saya pun jangan disebut di depan Encik Zaen. Takut nanti ada pula yang mati berdiri.” Usai berkata-kata Nasuhah ketawa perlahan. Geli hati dengan apa yang dikatakan.

“Lagipun saya ni hodoh, tak padan langsung kalau nak duduk di sebelah Encik Zaen. Nanti jadi buah mulut orang pulak. Jadi Encik Zaen tak perlulah rasa bimbang. Tak akan ada yang terjadi antara kita. Aria tu memang suka buat lawak. Macamlah Encik Zaen tak kenal dengan perangainya tu.”

Kaku. Tetap juga tiada balasan daripada Zaen. Tapi Nasuhah tahu Zaen mendengar setiap kata-katanya kerana sesekali dia dapat mendengar dengan jelas degupan jantung lelaki itu. “Saya rasa Encik Zaen dah jelas dengan apa yang saya katakan tadi. Jadi saya minta diri dulu. Assalamualaikum…” Tanpa menunggu salamnya dibalas, dia sudah menekan button merah di telefon bimbitnya.

Orang macam ni pun ada dalam dunia ini ya? Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi. Seketika gambar dia dan Ariana yang sedang duduk di atas rumput di zaman sekolah dulu dicapai. Senyumannya melebar. Langsung tidak ada marah terbit di hatinya kerana rancangan gila yang diatur kawannya itu. Dia tahu Ariana sayangkan dirinya sama seperti dia sayangkan kawannya itu. Cumanya, Ariana mungkin takut kalau-kalau dia akan jauh dan seterusnya menjauhkan persahabatan mereka berdua. Sedangkan dia, sampai bila-bila pun tidak akan melupakan kawan baiknya itu. Biar nyawa bercerai daripada badan pun, Ariana tetap ada di hatinya. Tetap ada tempat khas, sama seperti mama, mak dan ayahnya.

Aria… abang awak teruk betul! Dia sekali lagi tersenyum sendiri. Macam-macam, desis hatinya tenang.

PESANAN : UNTUK YANG MAHU MENDAPATKAN NOVEL INI TAPI TAK TAHU KAT MANA, MUNGKIN KORANG BOLEH JENGAH DI SINI.

No comments:

Post a Comment