- MaK, sAyA pEnAt SaNgAt... –

August 26, 2010

KENAPA diam? Selalunya... awak tak macam ni? Awak selalu senyum, awak selalu ketawa dan awak selalu bercerita sebab awak penuh dengan cerita yang boleh cuit hari orang di sekeliling awak. Walaupun awak sedih awak tetap boleh hiburkan orang sekeliling awak sebab awak tak ubah macam lilin yang sanggup bakar diri demi terangkan alam. Kenapa sayang?” tanya mak dengan suara penuh kasih, sarat dengan cinta.

Dia senyum. Hambar saja senyuman yang dihadiahkan buat mak yang tetap menatap wajahnya dengan pandangan sayang. “Mak, saya penat sangat,” kata dia dalam nada suara yang sukar dimengertikan. Ada sedih, ada pilu dan ada macam-macam rasa membelenggu diri saat ini.

“Penat kenapa nak?” Mak seperti selalu, tak pernah mahu melihat anak yang dikandung selama 9 bulan 10 hari ditimpa musibah. Kalau boleh diganti tempat si anak, mahu saja mak menggantikan asal saja anak tersayang dapat terus senyum dan ketawa seolah-olah di dalam dunia yang serba fana ini tidak ada yang namanya duka dan air mata.

Dia pejam mata rapat-rapat seketika, kemudian lambat-lambat dibuka kembali. Kalaulah boleh dipinjam kekuatan mak, memang dia mahu meminjam kerana mak selalu tenang dalam apa pun keadaan. Dia pernah cuba jadi macam mak, tapi sudahnya dia lelah, dia letih sendiri kerana dia tidak setabah mak. “Saya penat beralah mak walaupun kadang-kadang saya tau saya pun salah juga. Penat ada dalam kongkongan orang sebab saya bukan budak kecil lagi, percayakan saya sekali-sekala. Penat berusaha memberi yang terbaik walaupun saya tau saya ada banyak kurang. Penat jaga hati orang sedangkan orang lupa saya pun berhati juga. Penat melayan perkara remeh-temeh yang tak patut wujud tapi sengaja dibesar-besarkan,” adunya dengan suara hampir-hampir tak kedengaran. .

“Anak mak... kenapa tak pernah cakap sebelum ni? Mak sangka, awak baik-baik saja.” Ada genangan air di bibir mata mak. Hatinya terhiris mendengar keluhan anak itu.

“Saya dah cuba buat yang terbaik, mak. Tapi kenapa tak pernah cukup? Salah saya ke kalau saya tak boleh nak kata sayang, rindu dan cinta pada orang? Salah saya ke bila saya sekali-sekala dalam gigilan jari-jemari dan mulut, cuba luahkan juga sebagai membalas ucapan orang? Salah saya ke bila saya tak sama macam orang lain yang mudah meluah kata-kata yang melibatkan hati dan perasaan?”

Mak senyum. “Bukan semua orang boleh ungkap perasaan. Mak tahu awak bukan jenis tu sebab setiap kali mak kata, ‘Jaga diri baik-baik’, awak cuma balas kata-kata mak tu dengan kata, ‘Mak pun sama’, walaupun jauh kat sudut hati awak, awak nak ucap ayat yang sama macam mak ucap. Tapi tak boleh sebab awak dan mak tak sama, awak dan orang lain pun tak sama.”

“Tapi kenapa ramai orang tak fikir macam mak? Bila sesekali saya cakap saya sayangkan orang ni, kenapa mesti orang tu kecil hati pada saya? Saya cakap saya sayangkan orang tu, orang ni terasa hati pada saya. Padahal... saya nak jadi orang yang penuh dengan kasih sayang. Bukan hanya pada orang tertentu. Tapi pada semua orang yang tak pernah tak pedulikan saya...”

Mak capai tangan dia, mak usap penuh cinta. Kemudian mak tolak sedikit rambut dia yang berjurai, “Sayang... jadilah diri awak sendiri. Tak perlu ikut orang, tak perlu terlalu memikirkan orang selagi awak tak buat salah. Hati awak... awak yang tahu. Bila awak sudah melayan orang dengan baik, itu sudah cukup. Kalau ada yang masih terasa hati, biarlah... awak tak boleh kawal hati orang sama macam orang tak boleh kawal hati awak, diri awak. Jadilah diri awak... jangan jadikan diri awak orang lain semata-mata nak jaga hati orang.”

Mak sudah melangkah pergi, namun kata-kata mak tersemat rapi di hati. Ya... jadilah diri sendiri!

- DiTiNgGaLkAN vS mEnInGgAlKaN -

August 23, 2010

DITINGGALKAN dan meninggalkan! Dalam dua hari ni minda sering bertanya dua perkataan tu, membanding-bandingkan mengikut logik dan rasa, mana yang lebih sesuai. Tapi… jangan salah faham dulu. Bukannya aku ditinggalkan kekasih, atau aku meninggalkan kekasih. Bukan sebab tu n3 ni lahir. Bukan! Tak ada kaitan langsung. Tapi n3 ni main dalam kepala gara-gara aku baru aje ditinggalkan keluarga aku Ahad lepas. Jangan salah faham lagi ye… aku tak dibuang mereka dan aku berharap tak akan dibuang mereka kerana hanya mereka yang aku ada. Dan mereka pun hanya ada seorang aje anak, adik dan kakak nama MARWATI, tak ada dua atau tiga.

Ditinggalkan dalam konteks aku, aku ditinggalkan sorang-sorang bila keluarga aku terpaksa balik semula ke Johor Bahru lepas dua hari tinggal di rumah aku. Dua hari yang sangat melelahkan sebab dari abah sampai cucu dia yang paling bongsu ada, tapi penuh dengan kegembiraan dan kebahagiaan. Lelah sebab dua hari berturut-turut bawa diaorang shopping sampai tangan kaki rasa nak tercabut. Gembira dan bahagia sebab bukan hari-hari diaorang datang, bukan juga selalu dapat berkumpul di KL ni dan rasa-rasanya inilah pertama kali semuanya datang sama-sama. Bahkan, terasa rumah aku yang selalu sunyi penuh dengan senyum dan ketawa ceria, jeritan dan pekikan. TUHAN… aku betul-betul suka dengan dua hari yang baru aje berlalu.

Tapi… ditinggalkan dan meninggalkan… rupa-rupanya rasa kedua-duanya berbeza sekali sebab aku dah mengalami kedua-duanya. Ditinggalkan, ternyata rasanya sangat sakit sampai-sampai dalam tak sedar, air mata menitis. Cengengkan? Yup… untuk manusia yang tak ada siapa-siapa kecuali kawan-kawan di KL ni, cengeng memang patut ada. Kalau pun tak pada orang lain, pada aku semestinya ada. Dua kali ditinggalkan banding aku meninggalkan diaorang berpuluh-puluh kali, tapi yang dua kali tu cukup untuk dijadikan sebagai kayu ukur betapa ditinggalkan rasanya sangat sakit. Bukan juga diaorang datang KL dua kali, berkali-kali...cumanya selalunya aku mesti ikut diaorang balik JB. Lepas tu macam biasa, aku akan tinggalkan diaorang dengan senyuman sambil tangan melambai-lambai sebagai tanda perpisahan.

Kelakar kan? Sebab bukan baru sebulan dua aku tinggal sendiri di bumi yang dah tak begitu asing untuk aku ni, dah menjangkau 5 tahun bulan September ni. Tapi tetap juga rasa sedih bila tengok tangan-tangan melambai ke arah aku. Teringat pesan ADIK BONGSU aku, katanya, "Jangan nangis ye kalau kitaorang balik". Aku pula kata dengan yakin, "tak ada maknanya AKAK nak nangis, macam tak biasa". Tapi sudahnya, banjir... hahahaha, tak malu! Dan kalaulah diberi pilihan… aku lebih pilih meninggalkan daripada ditinggalkan. Kejamkan bunyinya? Tapi ditinggalkan memang tak best langsung, sangat tak sesuai dengan aku.

- MaSaK? aLaHai... -

August 20, 2010

DIAM tak diam, dah 10 hari seluruh umat Islam menyambut Ramadan, bulan yang penuh keberkatan. Dan aku, hem… pun dah 10 hari berpuasa. Setiap hari berbuka puasa seadanya, 7 hari makan sendiri, 1 hari makan bertemankan FIDA, DEWI dan BIKASH di rumah sewa FIDA dan 2 hari makan bertemankan FIDA dan DEWI di Tapah. Satu hari beli di Bazar, 1 hari beli di kantin DBP, 2 hari berbuka di kampung FIDA, 1 hari di rumah sewa FIDA dan selebihnya masak sendiri di rumah.

Rajin? Oh… tidak sangat! Cuma sejak ada dapur sendiri ni, aku semakin ringan tangan walaupun yang aku masak hanya makanan-makanan simple yang tentunya akan mengenyangkan perut sendiri. Syukur juga sebab aku hantu sayur, jadi makanan-makanan seharian aku hanya berkisar pada sayur dan keluarga sayur, ayam, udang, daging atau sotong yang dimasak campak-campak aje. Kalau orang memilih mungkin tak lalu, mujur juga selera aku tak rencam sangat. Kalau tak kena berguru dengan Chef Wan gamaknya.

Jangan ditanya pasal kari, asam pedas atau masak lemak cili api pada aku sebab aku memang bukan ahli dalam bidang masak, walaupun bahan-bahannya mungkin… ditekankan sekali lagi mungkin, aku tahu. Hanya tak begitu pasti. Nak kata aku tak pandai masak? Ya... aku mengaku! MAK aku seorang suri rumah sepenuh masa, jadi... sejak kecil aku tak perlu risau fasal masak-memasak sebab perut aku sentiasa kenyang. Hanya perlu pergi dapur, buka periuk dan lepas tu, telan apa yang ada dengan gembiranya. Bukan juga aku langsung tak tolong, adalah sikit-sikit. Hanya entahlah... setiap kali aku kata nak belajar masak, MAK akan kata, “Tak payah. Nanti-nanti pandai sendiri”. Jadi, apa yang aku nak balas? Sudahnya... sampai ke hari ni skil memasang aku memang tak boleh dibanggakan. Hancur!

Jangan tak percaya, ada 1 hari tu mungkin berapa belas tahun lepas, aku masak nasi... masa tu tanak kat dapur dan kebetulan MAK jaga KAK LONG dalam pantang rumah mentua dia seminggu. Sudahnya... bukan cuma nasi yang rentung, dengan periuk-periuk sekali aku buang. Konon nak membantu, tapi sudahnya semua tak boleh pakai. Esoknya dan hari-hari seterusnya, aku dah tak perlu masak sebab mak cik aku, Mak ANOM akan hantar makanan untuk kami makan adik-beradik. Lawak... sampai ke hari ni rasa geli hati bila balik, MAK tanya, “Periuk tu kenapa tergolek belakang rumah?” Aku balas selamba, “AMI buang sebab hari tu masak nasi hangit”. MAK kata lagi, “Takkanlah sampai buang periuk.” Aku... diam tak terkata, sengih aje sebagai balasan.

Tapi sekarang, bolehlah masak sikit-sikit, semakin mahir jugalah kalau boleh dikata macam tu. Jangan tak percaya juga bila atas kabinet dapur aku ada banyak buku resipi. Kononnya betul-betul nak tajamkan skil masak-memasak walaupun sampai ke hari ni masih juga belum berkesempatan. Tapi itulah... masih ada hati nak belajar buat kek walau sampai hari ni, pun tak belajar-belajar lagi. Nantilah... ada rezeki ada umur tentu tak ke mana-mana.

Membebel? Hem... bolehlah dikatakan macam tu. Jadi, aku stop takat di sini dulu. Lain kali ada kesempatan sambung lagi...

- SeSi MeMbAkAr SeMaNgAt! -

August 16, 2010

SEBAIK saja pelayan berlalu selepas mengambil pesanan, Dinzley menatap wajah Annura yang leka memandang permukaan meja. Kemudian matanya jatuh lama, tepat di tengah-tengah dahi Annura yang kelihatan semakin membiru. Kalau dia yang melihat sudah terasa sakit, tentu gadis itu lebih sakit lagi.

Siapalah yang tak berhati perut buat Annura macam tu?

“Macam mana boleh kena cium dengan meja tu?” tanya Dinzley sebaik saja Annura mengangkat wajah. Tadi pun dia ada bertanya soalan itu, tapi tidak dijawab Annura. Gadis itu kelihatan seperti sengaja mengelak sedangkan hatinya di dalam meronta-ronta ingin tahu. Rasa tidak puas hati sebab Annura bawa kereta sendiri ditolak jauh-jauh kerana Annura punya alasan yang kukuh. Hanya Annura tak tahu yang dia tidak berasa disusahkan kalau terpaksa menghantar Annura ke tempat kerja esok pagi.

“Ada orang dengki”

Masih lagi itu yang dijawab Annura sedangkan Dinzley ingin tahu siapa si dengki yang gadis itu maksudkan. “Si dengki tu tak bernama ke?”

“Awak bukan kenal pun kalau saya sebut nama dia.”

Dinzley agak terasa dengan kata-kata Annura kali ini. Gadis itu seperti enggan berkongsi dengannya, walaupun mereka berdua sudah sepakat untuk saling mengenali antara satu sama lain. “Tak kenal pun, takkanlah tak boleh sebut nama? Rahsia sangat ke? Penting benar ke?”

“Razlan.” Datar saja nada suara Annura.

“Siapa tu?” Lelaki, memang tepat seperti yang diduga. Cuma anehnya, macam mana boleh jadi macam tu?

Annura gigit bibir pula, sudah tahu Dinzley tidak akan berpuas hati jika dia hanya menyebut nama Razlan semata-mata. Satu soalan yang keluar pasti akan disusuli dengan soalan yang lain, itu memang lumrah. Tadi pun sengaja tak disebut nama Razlan sebab dia tahu Dinzley pasti mahu tahu siapa Razlan sedangkan kalau ikutkan hati, dia malas hendak mengingatkan lelaki bernama Razlan itu.

“Menantu bos.”

Menantu bos? Pelik benar kedengarannya kerana menantu bos sakit hati dengan Annura. “Awak ada buat salah dengan dia ke?” Kerut di dahi petanda kalau dia benar-benar ingin tahu.

“Tak ada tapi entahlah, tak tahulah dia tu. Entah apa yang dia tak puas hati sangat dengan saya agaknya. Padahal saya bercakap dengan dia pun jarang. Cuma... masa mula-mula masuk kerja dulu tu dia baik jugalah dengan saya. Tapi tiba-tiba aje berubah. Tak lama lepas tu dia kahwin dengan anak bos saya. Patutnya saya yang iri hati dengan dia sebab dapat kahwin dengan anak bos, ini terbalik pula,” ujar Annura tenang. Usai berkata-kata, dia ketawa perlahan. Geli hati dengan ayat terakhirnya. Kalau Razlan mendengar, pasti lelaki itu akan memegang kepalanya dan kali ini terus menghantuk ke dinding restoran yang menjadi tempat dia dan Dinzley duduk.

Dinzley ketawa sama. Panjang pula kata-kata Annura kali ini, bahkan turut diselitkan dengan lawak jenaka. Gadis itu makin lama dirasakan makin menarik perhatiannya. Annura kadang-kadang tidak membuat lawak, tapi dia selalu ketawa setiap kali mendengar mulut comel itu berkata-kata.

“Si Razlan buat apa sampai boleh kepala tu terhantuk kat meja?”

“Saya tengah tongkat dagu, dia tolak tangan saya kuat-kuat. Masa tu saya tak bersedia, tu yang benjol kat dahi.” Sampai bila-bila pun dia tidak akan lupa perbuatan kurang ajar Razlan itu.

Wajah Dinzley berubah. Dia merapatkan tubuhnya ke hadapan. Matanya tepat merenung anak mata Annura. “Tak bersedia? Adakah itu bermakna awak tak bersedia sebab awak tengah berangan?”

Mulut Annura melopong. “Berangan?”

“Ya, berangan yang awak dan saya tengah bersanding atas pelamin?” kata Dinzley selamba. Dia ketawa sedikit kuat kerana sudah berjaya mengenakan Annura. Tapi kalau Annura sudi berkongsi, dia memang ingin sangat tahu apa sebenarnya yang telah diangankan Annura. Mahu tahu sama ada dia termasuk sekali dalam angan-angan yang berkesudahan dengan bengkak di dahi.

Tapi sungguh, Razlan memang tidak patut memperlakukan Annura begitu. Kalau tidak suka pun melihat Annura berangan, bukan begitu caranya menegur. Apalagi Annura itu perempuan yang patut dilindungi kerana terkenal dengan kelemahan. Takkanlah lelaki bernama Razlan itu dungu benar?

“Eh, jangan nak perasanlah!”

“Manalah tahu andaian saya betul. Kalau tak, takkanlah Razlan berdiri dekat-dekat awak pun tak perasan,” usik Dinzley terus. Seronok melihat wajah tenang Annura sudah berubah merah padam. Bukannya susah sebenarnya hendak menyalakan bara dalam hati gadis yang satu itu. Kalaupun orang lain tidak tahu, dia memang boleh melakukannya dengan mudah.

“Tak ada kerja nak angan-angankan awak Encik Dinzley!”

“Nanti-nanti awak tentu tak boleh tidur lena kalau tak angankan saya Puan Dinzley.” Mata dikenyitkan dengan bibir tersungging senyuman nakal. Makanan yang baru saja diletakkan di atas meja dicuit sedikit. Tidak mahu memanjangkan lagi bara yang sudah pun dinyalakan dalam hati Annura. Setidak-tidaknya, bukan di hadapan rezeki dan pada saat perutnya sudah berkeroncong minta diisi.

***

“Sakit tak dahi tu?” tanya Dinzley selepas dia menolak pinggannya yang sudah licin. Sepanjang hari tidak menjamah makanan membuatkan seleranya cukup bagus hari ini. Dan kerana tidak makan sepanjang hari, cepat saja dia menghubungi Annura supaya datang ke klinik dengan alasan ada sesuatu yang hendak dibincangkan. Kalau Annura tahu dia hanya mencari alasan, pasti wajah yang sudah tenang itu akan kembali berkocak.

Annura sentuh dahi, masih berdenyut tapi rasanya sudah agak berkurangan dibandingkan ketika baru terhantuk.

“Kalau sakit lagi, kejap lagi kita singgah klinik sebelum balik,” kata Dinzley saat jemari halus Annura singgah di dahi. Kalau dilihat pada bengkaknya, tentu sakitnya masih bersisa. Kalaupun tidak sakit lagi mungkin Annura boleh mendapatkan ubat bagi mengurangkan bengkak yang ada.

Kata-kata Dinzley kali ini berjaya menarik perhatian Annura yang juga sudah meolak pinggannya ke hadapan. Matanya membulat memandang Dinzley yang sudah bersandar malas lagak ular sawa yang selesai membaham mangsa. Melihat cara lelaki itu makan tadi pun dia yakin kalau Dinzley tidak makan sepanjang hari.

“Kenapa pandang saya macam tu? Handsome sangat ke bakal suami awak ni sampai tak berkelip mata pandang?”

“Eh... saya bukan arnablah!” Geram di hati tidak terkira setiap kali Dinzley menyebut perkataan bakal suami atau bakal isteri. Puan Dinzley pun dia tidak berkenan juga. Lelaki itu seperti sengaja hendak membuat dia perasan sendiri. Ataupun, Dinzley yang sebenarnya berangan bersanding dengannya di pelamin sedang tempoh yang ada masih terlalu jauh untuk membuat penentuan, apalagi memberikan jawapan yang masih belum ada.

Dahi Dinzley berkerut seribu, bila pula dia cakap Annura arnab? “Kenapa cakap macam tu?”

“Dah tu kalau bukan arnab, hamster?” tanya Annura sakit hati.

“Lah, hamster pula? Kenapa ni Nura?”

“Dah awak nak bawa saya pergi klinik awak. Awak kan doktor haiwan? Takkanlah awak nak bagi saya ubat yang selalu awak guna untuk ubat arnab dan hamster?”

Pecah ketawa Dinzley menghangatkan suasana petang yang damai. Kalau tidak memikirkan yang Annura akan mengamuk, memang dicubit-cubit pipi Annura saat ini juga. Annura kelihatan sangat serius dengan bibir yang sengaja diketap tapi dia rasa Annura sangat kelakar, sangat menghiburkan. Berair-air matanya kerana ketawa yang beria-ia. Langsung dia tidak duga itu yang akan keluar dari bibir Annura. Padahal, dia langsung tidak berhajat membawa Annura ke kliniknya. Takkanlah dia lupa kalau dia doktor haiwan.

“Bukan awak comel macam arnab ke?” Usai ketawa, dia memukul pula hati Annura yang sudah pun rentung mendengar ketawanya.

“Saya paling benci setiap kali awak samakan saya dengan pesakit awak tu!” bentak Annura. Pelik, kenapa dia sering saja ditemukan dengan lelaki yang perangainya aneh. Razlan begitu, Dinzley pula begini. Kalaupun yang tidak aneh di matanya, hanya Haffez semata-mata. Itu pun jodoh mereka tidak ada. Sudahnya, atas alasan umurnya yang makin meningkat, dia terpaksa duduk menghadap Dinzley hari ini.

Ketawa Dinzley terus bergema walaupun dia perasan ada mata menjeling mereka berdua. Dia tahu Annura tidak suka disamakan dengan haiwan, walaupun haiwan yang comel dan sedap mata memandang. Hanya dia tetap juga suka mengusik Annura, sengaja mahu melihat wajah masam kelat milik gadis itu yang sudah seminggu tidak dipandang. Mereka sudah sepakat bertemu hanya pada hujung minggu. Tapi hari ini dia melanggar tradisi kerana dia terasa mahu makan sambil ditemani gadis itu. Anuura pun kalau tidak dihubungi, terus juga senyap seperti tidak wujud. Menunggu Annura mencarinya sama seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

“Kalau merajuk dan marah-marah, nanti tak cantik tau.”

“Peduli apa!”

Senyuman yang mahu hadir, Dinzley sembunyikan. Cukuplah setakat itu dulu dia menyakat Annura. “Dah... habiskan air tu. Jangan marah, saya tak kata pun nak bawa awak pergi klinik saya sebab awak cuma comel macam arnab tapi awak bukan arnab, saya maksudkan klinik lain. Takkanlah saya tak tahu yang awak tu manusia? Ciptaan ALLAH yang paling mulia darjatnya? Cantik macam ni takkanlah saya tak tahu?”

Annura tatap wajah Dinzley yang masih tersenyum, dalam-dalam, malu berbekas di hati sebab terlalu cepat buat rumusan, tapi digagahkan juga mulut menyedut minuman. Lupa terus dia bertanya perkara penting yang Dinzley maksudkan di telefon bimbit tadi. Yang ada di fikirannya saat ini, mahu cepat-cepat meninggalkan Dinzley yang masih gagal menyimpan senyuman mengejek untuknya.

- TaK mAmPu TeRuS bErLaRi -

MEMANG satu ketika dulu, aku rasa jarak dan waktu tak mungkin jadi pemisah dan memang itulah yang aku fikir sampai ke hari ni sebab tempat dia dalam hati aku tak pernah diambil oleh sesiapa dan tak mungkin diambil sesiapa. Dia istimewa bagi aku sebab ada masa-masanya dia mampu jadi kakak, ada masa-masanya dia bertukar jadi adik, ada masa-masanya dia jadi kawan dan ada masa-masanya pula statusnya hanya sepupu pada aku. Tapi ternyata, hanya aku sorang yang berfikir begitu sedangkan bagi dia, jarak dan waktu itulah yang memisahkan kami.

Anehnya rasa bila kami yang dulunya bagai isi dan kuku, makan sepinggan, minum secawan, kerap kali tidur sekatil dan saling bertukar rumah, tiba-tiba jadi orang asing. Kami duduk di tempat yang sama, saling bersebelahan tapi hanya beberapa patah kata yang lahir dari bibir. Aku hilang diksi, dia hilang rentak. Sedangkan mata sekali-sekali hanya memandang dengan hati yang hampa. Sudahnya, tempoh 24 jam jadi saksi betapa aku rasa terseksa jiwa raga sebab duduk di sisi dia. Kemesraan yang dah jauh tercicir seperti tak mampu untuk dikutip kembali. Padahal, saat kaki melangkah yang terdetik di hati, “Aku mahu saling bertukar cerita dengannya. 10 tahun aku dan dia hanya menyimpan cerita sendiri-sendiri. Menjalani hidup atas bumi ini dengan cerita suka dan duka masing-masing. Aku tahu dia ada kisah perit, dia pun tahu aku pernah menangis dalam pada kami tak berdekatan.”

Tapi kenyataannya, aku gagal merebut hati dia kembali. Akukah yang sudah berubah? Diakah yang berubah? Ataupun, jarak dan waktu benar-benar telah meragut sebuah kemesraan? Atau lebih kejam lagi, memang telah tertulis yang aku dan dia... harus terus menjalani hidup asing-asing walaupun dulu aku dan dia seperti satu, saling bergantungan. Tapi sungguh, aku sayangkan dia, aku sayangkan persahabatan kami dibandingkan ikatan yang lain. Hanya, aku tak mampu terus berlari bersama dia kalau dia lebih memilih untuk mendahului aku ataupun membiarkan aku melangkah ke depan tanpa dia.

- RaMaDaN 3 hArI -

August 13, 2010

HARI ni hari ketiga seluruh umat Islam menyambut bulan Ramadan. Aku... sama juga, hanya tak macam dua hari lepas, hari ni aku lebih bertenaga sikit. Entah apa sebab agaknya, puasa pertama dan kedua rasa letih semacam. Macam kena belasah satu badan dan mata pun macam digam-gam dengan gam yang bergambar gajah. Berat, berat dan berat benar rasanya. Macamlah sebelum ni tak pernah puasa, dalam erti kata lain macam inilah puasa pertama aku dalam seumur hidup ni. Mujur hari ni dah okey, kalau tak memang agak haru nak melalui tempoh sepanjang sebulan setiap hari, kecuali...


Petang ni macam yang dijanjikan, nak pergi Tapah, rumah Fida, buka puasa kat sana. Dah lama nak pergi lepas kunjungan pertama tahun lepas. Tapi setiap kali nak pergi ada saja halangannya. Kali ni pun janjinya nak pergi dengan kawan-kawan yang lain dan sudahnya, aku pergi sorang-sorang sebab yang lain-lain berhalangan. Minggu lain pula, aku pula yang tak dapat pergi sebab dah ada program lain. Jadi... minggu ni ajelah yang aku ada. Susah juga ye nak mengumpulkan ramai orang? Apa pun, harap perjalanan nanti lancar selicin belut. Dan kepada semua umat Islam di atas muka bumi ini, Selamat Berbuka lepas maghrib nanti ye...

- MeLaKa LaGi! -

August 12, 2010

Kalau ada satu negeri yang tak pernah jemu dilawati di Malaysia, bagi aku... Melaka. Kalau tak, takkanlah aku sudi berkejar balik ke Johor Bahru semata-mata nak menyibuk ikut keluarga aku ke sana sebelum bulan puasa hujung minggu lepas. Kalau nak ikutkan, aku tak perlu ikut sebab jumlah aku ke Melaka dah tak terhitung dengan jari. Tapi aku tetap nak pergi sebab aku rasa nak pergi. Melaka yang kaya dengan sejarah tak pernah tak menarik perhatian aku, walaupun setiap kali pergi tetap tempat yang sama aku pergi. Bahkan, masih juga tengok perkara yang sama.

Cuma kali ni aku rasa tak puas, mungkin sebab pergi dengan keluarga besar maka kami sering saja terkejar-kejar sebab masa yang jadi raja. Lepas ni nak pergi dengan keluarga kecil pula sebab dengan keluarga kecil, rasanya lebih bebas dan masa mungkin hanya jadi permaisuri yang jatuh di tempat kedua. Lagipun lebih bebas memilih hendak ke mana dulu dan mana akhir, tak perlu ikut jadual orang. Hanya perlu kata sepakat dan selebihnya, “Jom... kita gerak sekarang!”

Apa pun, kalau untuk cuci minda dan mata yang dah selalu sesak dengan rutin harian, aku tetap selesa dengan percutian satu hari tu sebab tiga tempat kami pergi. Ada umur, ada rezeki... aku pasti akan ke sana lagi, ke tempat yang sama.
















- PuAsA pErTaMa 2010 -

August 11, 2010

SALAM Ramadan untuk yang sudi menjengah. Diam tak diam, hari yang dinantikan banyak orang tiba juga akhirnya. Dan aku, setiap kali Ramadan datang sejak empat tahun lepas, ada rasa ngilu terbit dalam hati. Tapi dengan senang hati aku akui, ngilu tu makin lama dah makin menjauh seiring dengan putaran waktu yang tak pernah menanti manusia, apalagi manusia yang keciciran. Bukan lupa diri, hanya tak mahu terus mengenang sesuatu yang tak mungkin tercapai dek tangan. Sejak kebelakangan ini pun, sering terasa yang dia diambil sebab ALLAH sayangkan aku. Kalau aku kata aku bersyukur, kejam kan kedengarannya? Tapi hakikatnya, perancangan ALLAH lebih rapi daripada yang diberi nama manusia. Kenyataannya, aku mengerti mana arah yang bakal aku tempuh andainya yang berlaku tak seperti yang telah pun berlaku. Tak apalah, aku tinggalkan kisah yang dah mungkin tak berbekas lagi di hati, hanya buat kenang-kenangan saat terasa masa dah makin menjauh.

Ramadan... lepas empat tahun santai menyambut puasa pertama dengan keluarga, hari ni sejarah lima tahun lepas berulang. Masa tu aku masih tinggal kat Keramat, menumpang tinggal rumah kawan satu universiti sementara dapat cari rumah sewa. Cuma bezanya, hari ni aku dah tak sedih lagi. Mungkin berada di rumah sendiri selesanya menimbulkan kesan yang lain pula di hati. Atau faktor umur yang makin meningkat buat aku jadi manusia yang lebih pasrah dan tabah. Setakat berbuka sorang-sorang, apa ada hal? Atau juga sebab aku baru aje balik ke kampung minggu lepas & semua rindu yang ada dah lerai. Hem... macam-macam boleh jadi sebab kan?

Tapi dalam pada selesa, terfikir-fikir juga apa agaknya yang MAK masak hari ni? Air tangan MAK, walau hanya biasa-biasa aje tetap juga jadi luar biasa kat mata aku. Mungkin aku jarang-jarang dapat menikmatinya sejak duduk di KL ni sampai-sampai sambal belacan cecah ulam pun dah boleh buat aku makan bertambah. Aneh rasanya sebab tiap kali balik aku tak minta makanan yang pelik-pelik, sambal... sambal... sambal dan sambal. Bukannya tak boleh buat sendiri, tapi tetap juga rasanya tak sama. Yalah, MAK kita kan? Bukan MAK orang lain pun. Tapi tak apalah, hujung minggu ni aku berbuka kat Tapah, minggu lepas tu MAK dan seluruh keluarga aku berbuka kat rumah aku, minggu lepas tu kalau tak ada aral, aku nak balik kampung dan minggu lagi satu, minggu terakhir Ramadan, aku balik kampung lagi sebab nak raya dah kan. Mahunya meraung PUAN MAHANI kalau satu-satunya anak dia yang tak tinggal kat JB tak balik. Silap-silap sebab PUAN MAHANI meraung, aku kena heret dengan abang-abang aku balik JB.

Dalam pada berkobar-kobar puasa, hati kat dalam rasa dijentik juga. Tahun ni tahun pertama kami sekeluarga, maksudnya keluarga besar aku termasuk mak cik, pak cik dan sepupu sambut Ramadan tanpa NENEK dan tentu aje raya nanti tanpa NENEK juga. Terbayang, lepas sesi bergambar biasanya kami akan balik kampung, ke rumah NENEK yang hanya beberapa tapak melangkah. Makan, berbual dan ketawa macam seronok benar. Tapi tahun ni suasana tentu rasa lain. Dan yang jelas, yang hidup tetap akan pergi bila sampai masanya. Apa pun, moga NENEK ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman. NENEK memang dah tak, tapi kasih sayang dan doa dari anak-anak dan cucu NENEK takkan pernah hakis. Moga NENEK tenang di Sana, al-Fatihah! Buat semua umat Islam pula, SELAMAT BERBUKA PUASA, moga ibadah kita semua akan DIA terima.

- AkHiRnYa Di TaNgAn! -

August 10, 2010

BAGI seorang penulis, rasanya tak ada apa yang lebih manis selain daripada melihat manuskrip yang ditulis siap dalam bentuk senaskhah novel. Itu jugalah yang aku rasa bila tengok MMS Bikash yang kat dalamnya ada gambar Airul pegang novel TANPAMU AKU RINDU. Terus hilang ngantuk yang aku rasa, apalagi tajuk MMS tu yang bertulis, ‘Cemburu Itu Tidak Baik Untuk Kesihatan’, sangat mengujakan. Dan memang pun aku cemburu sebab aku sendiri belum tengok tapi diaorang bertiga, termasuk Fida sengaja buat aku rasa terbakar bila hantar gambar tu. Jahatnya kawan-kawan aku, tapi... macam aku kata semalam, diaorang jahat paling comel yang pernah aku jumpa.

TANPAMU AKU RINDU... syukur pada DIA bila penat lelah selama beberapa bulan dalam menyiapkan TAR, akhirnya berbalas juga. Macam novel-novel sebelum ini, aku masih dan akan tetap berharap novel kali ni diterima. Kalau pun masih ada yang kurang, aku akan berusaha pada masa-masa akan datang untuk memperbaikinya. Hanya yang pasti, nak memuaskan hati semua orang sebenarnya tak semudah yang disangka. Mahu atau tak, mesti ada yang menerima dan menolak, mesti ada yang suka dan tidak. Itu lumrah yang dah lama aku terima walau ada masa-masanya aku terlupa.

Dan antara AKU MILIKMU, SEMUSIM RINDU, KASIH ANTARA KITA, JANJIKU BERSAMAMU, SEGALANYA UNTUKMU, HANYA DIA TAHU, AKU MAHU KAMU, BERTAKHTA DI HATI DAN UNTUKMU SAYANG dengan TANPAMU AKU RINDU, novel kali ini yang paling singkat pernah aku hasilkan. Hanya 3 bulan termasuk tempoh aku bermalas-malasan, tak ada mood dan gangguan-gangguan lain yang sewaktu dengannya. Satu rekod bagi diri aku dan secara tak langsung aku berjaya cabar diri sendiri. Masa akan datang aku tak janji boleh buat sesingkat itu, tapi aku tetap gembira sebab berjaya juga menyudahkan TAR secepat itu walaupun aku tak ada buat apa-apa target masa mula buat. Sebenarnya setiap kali buat novel, target aku hanya satu, mahu novel yang aku hasilkan diterima dan mampu memberikan pengajaran kepada pembaca walaupun nilai pengajaran itu mungkin hanya sebesar zarah. Kata orang biar kecil daripada langsung tak ada apa-apa. Ataupun, nampak besar sedangkan sebenarnya langsung tak memberi apa-apa makna.

Apa pun, kalau masih ada yang hendak memberi komen atau pandangan supaya aku dapat terus bergerak ke depan, depan dan depan, bukannya ke belakang, belakang dan terus belakang, boleh hantar kat email ni, aleyaaneesa@yahoo.com.my. Tapi kalau boleh, biarlah komen atau kritikan yang membina, bertujuan untuk memperbaiki lagi mutu tulisan aku sebab sampai ke tahap ini, aku masih dalam proses belajar dan rasanya akan terus belajar sampai bila-bila. Segala sokongan yang diberikan selama ini, Hanya DIA Tahu... aku sangat menghargainya dan aku akan lebih menghargainya lagi kalau sokongan itu akan berterusan.

Di kesempatan ini juga, aku nak ucapkan SELAMAT MENYAMBUT RAMADAN AL-MUBARAK UNTUK SEMUA YANG ADA DI MUKA BUMI BERTUAH INI.

Sekian...

- CKCK -

August 6, 2010

SEMALAM, akhirnya manuskrip kanak-kanak/ remaja awal hasil tangan aku bertukar tangan, penulis – editor. Sebenarnya masih tak pasti manuskrip untuk peringkat umur macam tu, selepas 7 tahun aku beralih arah, akan diterima atau tidak untuk penerbitan. Maknanya, sesuai atau tidak hanya akan tahu bila selesai proses penilaian. Segala-galanya terletak di tangan editor dan sebagai penulis aku dah pun menjalankan tugas aku, selebihnya proses seterusnya pula digerakkan editor. Ditolak atau diterima, perkara biasa dalam dunia penerbitan sebab penerbit tentu mahukan yang terbaik sebagai hasil penerbitan. Aku bukan menulis di sini sekadar menulis semata-mata, tapi aku menulis bukan hanya dari kaca mata penulis, tapi juga orang yang bekerja dalam bidang yang sama. Penerbitan!

Tapi jauh di sudut hati yang paling dalam, aku tentu mengharapkan yang terbaik setelah puas berusaha. Mana ada penulis yang menulis tapi tidak mahu melihat hasilnya. Maksudnya, dah penat tulis mestilah nak tengok jadi sebuah buku. Lagi-lagi novel kanak-kanak yang dah lama aku tak tulis dan aku pernah rasa yang aku memang tak boleh terjun balik ke novel jenis tu lepas 10 buah novel dewasa aku hasilkan. Tapi yalah, manusia memang selalu berkata tidak walaupun sebelum mencuba. Bukan hanya aku, tapi pasti ramai yang ada di luar sana juga mengalaminya.

CKCK, mungkin hanya kisah biasa, kisah yang sering berlaku pada kita yang punya adik-beradik, apalagi yang ramai adik-beradik macam aku (6 orang). Kita selalu merasakan betapa orang lain lebih baik daripada adik-beradik kita sampai-sampai kita sering bertikam lidah sesama sendiri. Tidak cukup hanya bertikam lidah, kita akan mula bertarik-tarik rambut, tumbuk-menumbuk, sepak-menyepak dan banyak lagi. Ini kenyataan yang berlaku pada aku, walaupun tak adalah sampai tarik-tarik rambut. Cuma ada aktiviti baling-membaling dan sudahnya dahi KAK LONG bertelur kena baling dengan bola takraw, lepas tu aku lari lintang-pukang sembunyi rumah JAJA (sepupu merangkap kawan).. Tapi malamnya, aku dapat hadiah cubitan daripada KAK LONG. Kejamkan kakak aku?

Dan yang buat aku ingat sampai hari ni, KAK LONG selalu kata, “Oh... kalau dengan kawan dia, mati badan pun tak apa! Kalau adik-beradik sendiri...” Dulu.... bila KAK LONG cakap macam tu, aku mencebik mengejek dia. Tapi bila dah sedewasa ni, tengok gelagat anak-anak buah aku, aku makin faham. Betul... apa yang KAK LONG kata memang langsung tak salah. Macam sesuatu yang universal sebab terjadi pada semua, baik dulu baik sekarang. Kali ni pula giliran aku yang ulang apa yang KAK LONG pernah kata pada aku dulu setiap kali anak-anak buah aku berhentam sesama sendiri.

Untuk itu, aku berharap... sangat berharap CKCK, kalau ditakdirkan sesuai diterbitkan, akan dapat memberi pengajaran pada kanak-kanak/ remaja awal betapa pentingnya hubungan adik-beradik. Bertikam lidah, bergaduh... sesekali memang boleh kerana itu memang bunga-bunga dalam perhubungan. Tapi... macam mana teruk pun, jangan sampai tak bertegur sapa sesama sendiri kerana darah yang mengalir dalam tubuh tetap sama, datang dari akar yang satu. Lagipun, dalam Islam... tak bertegur sapa lebih daripada 3 hari berdosa tau! Apa pun, moga semua kanak-kanak dan remaja yang ada dalam dunia ni yang baru nak mengenal erti hidup selalu diberkati hendaknya.

- DaH bOlEh NyAnYi Ni! -

August 5, 2010

MINGGU lepas, hari Rabu, aku masih termanggu-manggu mencari arah, sekejap ke kanan, sekejap ke kiri. Tapi sampai melewati sehari suntuk, otak terasa beku. Dalam masa yang sama jari tetap juga ketuk keyboard bersungguh-sungguh masa rehat. Cumanya, cukup 2 bab, jari dah tak nak berkerjasama lagi, terus terhenti sebab hati masih bolak-balik bertanya, ‘Boleh ke macam ni? Ke nak ubah macam tu? Tapi kenapa macam tak kena pula? Ada kurang kat mana ya?’

Dan sudahnya, aku berpaling ke lain. Mencari-cari sesuatu yang lain, tapi yang jelas dalam bayangan hanya dua wajah yang ada masa-masanya senyum, ada masa-masanya ketawa dan selalu sangat bermasam muka sesama sendiri. Dua wajah yang selalu aje menarik perhatian orang dewasa seperti aku. Nurul Husna, Nurul Hannah… akhirnya! Jadi… sekali lagi jari-jemari yang dah begitu banyak berjasa pada aku mula berjasa lagi pada malamnya, berjalan dan bergerak seperti yang diarahkan otak walau dalam keadaan mood yang turun naik.

Betul kata orang, mood memang tak boleh dipaksa. Kadang-kadang, dalam pada suka pun tak ada yang mampu ditaip. Kadang-kadang dalam keadaan sedih, berhelai-helai halaman dapat disudahkan. Tapi yang lebih sakit hati, buka komputer, duduk elok-elok, tarik keyboard rapat ke sisi, lepas tu terkelip-kelip pandang skrin tanpa buat apa-apa. Sebabnya, mood yang pada awalnya begitu berkobar-kobar tiba-tiba aje sembunyi. Memamg Khamis, Jumaat, Sabtu & Ahad yang sia-sia! Mungkin mood tu merajuk sebab tak dapat ikut kawan-kawan aku pergi Genting Highlands. Tapi menjelang Isnin, mood kembali okey, mungkin berkat pesanan aku pada Airul @ Rehal Nuharis supaya bawa mood malas aku ikut dia pergi Genting Highlands dan lepas tu tinggalkan di atas sana. Tapi soalnya, dia bawa ke mood malas aku tu? ;-)

Dan semalam, masih hari Rabu, masa rehat juga, manuskrip kanak-kanak berjumlah 95 halaman yang berjaya mengucar-ngacirkan hidup aku sejak minggu lepas, akhirnya bertemu dengan titik akhir. Huh… dah boleh nyanyi dengan riang ni! Sebabnya, janji untuk tahun ni dah lunas. Terima kasih pada DIA yang selalu ada. Harap segala-galanya berjalan lancar dan selepas ni, aku kena balik ke tempat asal sebab aku tak mahu jadi kacang lupakan kulit. Harap semuanya akan jadi mudah!

- MaK, sAyA jATuH lAgI! -

August 3, 2010

Satu hari yang dah lama berlalu, terlalu lama, barangkali;
“Kenapa duduk kat sini sorang-sorang?”
Dia dongak kepala dengan wajah sugul. Jernih mata mak menggamit genangan air mata. “Mak… saya jatuh…” Perlahan saja nada suara yang keluar dari kerongkong, sedikit tersekat-sekat bunyinya.
Dahi mak berkerut seribu, “Jatuh lagi? Kan mak dah pesan dulu supaya hati-hati,” ujar mak dengan wajah tenangnya.
“Saya lalai, mak sebab tu selalu jatuh...”
Mak senyum panjang, kemudian mendekati dia yang masih tunduk. “Sini sayang… jangan risau sebab mak selalu ada. Setiap kali awak jatuh, mak akan selalu ada untuk bangunkan awak,” ujar mak sambil tangan erat memeluk sekujur tubuh yang kurus kering.

Satu hari yang baru saja berlalu, beberapa saat lalu, barangkali;
“Mak… saya jatuh, lagi…”
Tidak ada balasan kerana dia hanya bercakap sendiri, bukan pada angin yang menyapa, bukan pada udara yang berhembus, bahkan bukan juga kepada insan yang dipanggil mak.
“Kali ni saya rasa lebih sakit dari dulu. Lebih 10 kali ganda sebab badan saya dah besar. Tapi… saya tak mampu cakap pada mak lagi sebab saya malu. Saya ni selalu aje jatuh di tempat yang sama. Macam mak kata, saya selalu tak serik dengan apa yang saya buat. Kenapa yang mak? Kenapa anak mak yang satu ni mesti jatuh di tempat yang sama, walaupun ketika jatuh pertama kali saya dah terasa sakitnya.”
Sunyi! Hanya sunyi semata-mata yang ada.
“Tapi tak apalah mak, saya ikhlas. Saya reda dan saya percaya… kalau niat kita ikhlas ALLAH mesti beri jalan. Cuma saya nak mak tau, saya dah penat… saya dah letih, saya dah lelah. Jadi, saya ambil keputusan untuk diam. Mungkin dah sampai masanya saya jaga diri sendiri supaya tak jatuh lagi, lagi dan lagi di tempat yang sama. Lagipun banyak orang kata, ‘Diam itu lebih baik daripada berkata-kata’. Untuk itu, saya ambil pendekatan diam. Kalau lepas ni mak nampak saya diam, mak jangan susah hati. Diam bukan bererti saya benci dengan apa yang saya lalui, hanya dah sampai masanya saya mencari ruang untuk diri sendiri di sebalik rasa hati yang makin melebar, lepas saya hanya memikirkan orang lain sampai-sampai saya lupa, saya dah lama tak pernah peduli pada diri sendiri sejak bertahun-tahun dulu. Mak tentu faham kan?"

- SaHaBaT -

SAHABAT...
Kau dan aku
Pernah meniti batas waktu
Kita pernah jatuh dan bangun bersama
Sepakat untuk terus menjadi kawan

Sahabat...
Nyatanya kedewasaan meragut ikatan
Kau dan aku
Memilih jalan yang begitu beza
Aku di sini
Kau di sana

Sahabat...
Benarkah jarak yang jadi penghalang?
Masa menjadi kekangan?
Atau ada hati yang telah mati?
Tapi sahabat
Semudah itukah hati beralih arah?
Sesenang itukah ikatan erat terurai?

Sahabat...
Aku masih lagi di sini
Mengimbas segala sesuatu yang pernah kita lalui
Biar apa katamu
Biar apa fikirmu
Dan biar apa maumu
Aku kan terus mengenang
Selagi nafas ini terus berdenyut.