- ReViEw KASIH BENAR KASIH dArIpAdA GiHa -

June 30, 2011

ok buku ni adalah antara buku yang paling latest for this month for those yang dah well known dengan aleya anessa memang memang dah sedia maklum yang hasil tangan dia memang terbaik! i have few novels yang under hasil kerja dia and semua nye superb..i mean best la untuk di baca ok basically, this novel pasal 2 orang manusia..which a man and a women yang tak pernah kenal, tak pernah tahu hati budi masing-masing di mintak berkahwin pada mulanya parents si lelaki ataupun nama dia dinzley..a doctor, if i'm not mistaken and parents si perempuan which is Annura..saya tak ingat sangat dia bekerja sebagai apa adalah kawan lama. so since both parents nak sangat tengok dorang berdua nih kahwin and dorang berdua masing-masing single,then dorang berdua dimintak untuk berkenalan sesama dorang dinzley sorang yang baik hati tapi dia jenis yang kuat mengusik masa mula2 pertemuan dengan Annura, dia berlagak sombong dengan harapan Annura akan benci dia si Annura yang lurus ni pulak membenci dan tak dapat terima kehadiran Dinzley tambah2 bila Dinzley buat perangai sombong dia tuh after few months, si Annura masih tak dpt terima Dinzley but Dinzley sebaliknye sebab dia tak nak mengecewakan both side..i mean parents dorang dia cakap yang dia setuju unt mengahwini Annura bila semua nya dah berjalan lancer and si Annura dah start terima Dinzley, kekasih lama Dinzley datang balik dengan harapan dia akan bersama Dinzley kembali dia reka cerita yang dia sakit and all so that si Dinzley nih tak jadi kahwin dengan Annura since Dinzley nih sangat baik hati and penuh dengan rasa simpati, dia mintak tangguh kan perkahwinan tersebut si Annura yg dah patah hati nih trus nk broke up lepas tahu yang ex dinzley nih sebenanrnye tak sakit langsung, dorang teruskan perkahwinan tersebut tp sayang si Annnura berkahwin dgn si Dinzley sbb dia nak balas dendam sbb Dinzley dah lukakan hati dia dulu then si Dinzley yg baik hati and charming and adorable *opss terlebih sudah* nih berusaha semaca,m gaya untuk dapatkan balik cinta Annura

so, unt ending kalian kene baca sendiri ok? Hehehe basically cerita nih sangat best!i mean saya sangat suka dengan susunan cerita nih best sangat! u guys kne dapatkan buku nih ASAP!!!

*** Terima kasih tak terhingga pada Giha atas komen di atas. Kawan-kawan yang budiman, kamu, kamu & kamu boleh melawat Giha DI SINI sebab ada banyak kisah yang menarik.

- 42 HaRi, MaCaM-mAcAm -

June 28, 2011

Baru 42 hari, tapi rasa macam dah 42 tahun aje tak balik kampung saya yang tercinta tu. Dan bila dah terasa lama, mulalah saya menyelak gambar demi gambar keluarga yang ada dalam simpanan. Saya bukan anak yang terlalu manja dan anak yang tak boleh berpisah dengan keluarga, sebaliknya dalam keluarga, sayalah yang lebih berdikari dibandingkan yang lain-lain. Tapi saya memang akan rasa resah bila lama tak jumpa mak dan abah, adik-beradik dan anak-anak buah saya. Bagi saya, mereka adalah segala-galanya bagi saya kerana mereka adalah sumber kekuatan saya. Kuat mana pun kasih sayang orang lain pada saya, baik mana pun orang melayan saya, tetap tak akan mampu ambil tempat mereka dalam hati saya. Bukanlah bermakna saya tak menghargai setiap seseorang yang hadir dalam hidup saya selama ni. Saya hargai dan sangat menghargai mereka. Hanya saya menghargai mereka dalam kelas saya yang tersendiri.

Cuma itu... cuma itu saja yang nak saya conteng hari ini kerana saya belum ada dalam mood menconteng sebab saya rasa macam tak sihat. Kat mana sebenarnya yang sakit, saya tak tahu tapi yang jelas saya terasa yang saya tak sihat, sangat tak sihat. Terasa juga yang saya tak gembira hari ni, sangat tak gembira. Bagaimana ya agaknya rasa bila kehilangan kebebasan? Sebab, saya seperti terasa bebas dalam tak bebas. Macam mana tu ya? Entah! :-(

Perangai suka berdiri depan kamera yang saya ada satu masa dulu, nampaknya dah diambil alih anak-anak buah saya. Yang kelakarnya, tengok Arissa dan Naqib bergambar, cepat-cepat Aqqif mandi dengan alasan nak bergambar.

Kat Jusco, Taman Universiti. Nyaris-nyaris kopak bila, Aqqif, Arissa dan Awish nak terus main kat situ. Padahal masa tu, kita orang kejar masa.

Sebelum pergi hospital pakar, sempat lagi saya, Danish & Aqqif bergambar sakan depan kamera. Nampak benar macam tak ada kerja.

Sebelum pergi makan, bila saya dah pegang Cik D, masing-masing kelam-kabut buat gaya depan Cik D. Lepas tu riuh sekampung.

Malam hari lahir saya, kami ramai-ramai makan dekat Restoran My Friend Tom Yam kat Kempas. Memang biasa makan kat restoran tu, tapi biasanya kat Impian Emas. Baru pertama kali makan kat Kempas. Kenyang sampai terasa nak pecah perut.


Hem... rasanya macam dah lama sangat tak tengok abang-abang dan adik saya main bola sepak. Balik hari tu, ingatkan dapatlah tengok. Tapi rupa-rupanya tak kesampaian sebab abang-abang dan adik saya tak main minggu tu. Hampa...

Masa ni, masing-masing dah bersiap-siap nak pergi tengok wayang cerita "KONGSI". Tengok pukul 10.30 malam. Mujur yang kecil-kecil tak nangis dalam gelap tu. Kalau tak, mesti ada yang tak tengok sampai habis.

Masa ni saya kata macam ni, "Siapa nak main tanah?". Cepat-cepat tiga budak di atas kejar saya. Sudahnya, Naqib jatuh basikal, Aqqif dan Arissa jatuh terduduk masa nak turun bukit. Arissa tak nangis, tapi Aqqif yang nangis.

- ImPiAn DiA -

June 27, 2011

Semua orang dalam dunia ni boleh punya impian. Tak kiralah impian yang kecil-kecil, ataupun yang besar-besar. Tak kiralah impian tu boleh tercapai tangan, atau sekadar impian semata-mata kerana letaknya impian itu terlalu tinggi, tak terjangkau dek tangan manusia yang tak sepanjang mana. Tetap juga dipanggil impian. Tetap juga mampu mengundang senyum meleret dan ketawa kecil di bibir si pengimpi. Saya tak panggil ‘sang’ walaupun ‘sang’ kedengarannya lebih sedap bila digandingkan dengan pengimpi kerana ‘sang’ merujuk kepada haiwan. Jadi saya kira, manusia yang ada impian adalah manusia yang selalu ingin memperbaiki diri, tahu ke mana hala tuju hidup dan apa yang diinginkan dalam hidup ini. Manusia yang mahu memperbaiki diri, bukankah tak layak disamakan dengan haiwan yang hanya menjalankan rutin harian, jauh sekali punya impian setinggi gunung?

Saya juga, sama macam orang lain, ada impian. Bahkan kalau hendak diukur, ditimbang dan disukat, impian saya mungkin lebih tinggi daripada gunung. Tapi yang nak saya coretkan hari ini bukanlah impian saya. Sebabnya, saya dah pernah mencoretkan sedikit sebanyak tentang impian atau harapan saya dalam N3 berjudul dan “BERHARAP & HARAPAN”. Kalau sudah lupa, atau tidak pernah membaca N3 tersebut, bolehlah merujuk di sini. [DI SINI]

Yang nak saya coretkan hari ini, tentang orang lain. Seorang teman yang sekejap ada, sekejap pula hilang dari hidup saya. Tapi seorang teman itu, saya tahu ada impian yang tinggi, sama macam saya dan semua orang di luar sana. Beberapa hari ini saya berfikir, saya membaca dan saya melihat-lihat di Internet bagi pihak dia, walaupun tak disuruh, jauh sekali dipaksa melakukannya. Saya buat semua tu dengan rela hati, tanpa ada paksaan daripada sesiapa.

Dan apa yang dapat saya lihat, impian teman saya tu memang tak mustahil untuk dicapai, cumanya... saya merasakan impian itu agak sukar untuk dipenuhi kerana dia ada di Malaysia, bukannya di luar negara. Kalau di luar negara, saya kira impian itu pasti mudah dipenuhi kerana dunia yang hendak diceburi atau sedang diceburi itu bukanlah satu dunia yang terlalu asing, bahkan pasarannya agak meluas kerana mereka di sana, biasanya lebih menghargai dibandingkan orang kita. Bukan bermakna orang kita tak tahu menghargai, hanya tak seluas di sana, tak sebanyak orang di sana. Apalagi, dia masih tak ada nama, masih kurang pengalaman dan masih merangkak-rangkak. Untuk mencipta nama, dia harus melipat gandakan usaha dan belajar untuk tak berteman dengan yang namanya putus asa. Jika tidak, impian dia akan jadi debu semata-mata.

Di sini, sebagai teman dia, saya mendoakan impian dia akan jadi kenyataan satu hari nanti supaya dia boleh berbangga dengan diri sendiri dan supaya senyuman senang terukir di bibir dia. Satu hari yang saya sendiri tak tahu bila akan jadi kenyataan. Hanya yang saya tahu, dia kini sedang berusaha demi memastikan impian dia jadi nyata. Dan saya percaya, selagi dia berusaha, jalannya pasti ada sebab dunia ni bukannya satu daerah yang kejam kerana yang menciptanya pun tak kejam.

- BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [PrOlOg] -

June 22, 2011

SEPASANG mempelai yang mengenakan baju warna sedondon kelihatan manis di atas singgahsana. Sekejap-sekejap si suami menjeling manis pada si isteri, seketika kemudian si isteri yang masih malu-malu tersenyum manja demi membalas jelingan yang dilihat lewat ekor mata. Jelas terpamer bahagia pada wajah mereka berdua, gembira bila mimpi akhirnya jadi kenyataan. Langsung tidak peduli pada hiruk-pikuk yang kedengaran di sana sini, seolah-olah di ruang itu hanya ada mereka semata-mata.

“Aduh sakitnya!” keluh Zalis perlahan saat terasa bahunya disenggol kuat. “Khilfie!” jeritnya melengking dengan mata melotot seperti ingin menerkam Khilfie yang sudah pun mempamerkan sengihan seperti biasa. Sakit hati bila retinanya yang asyik pada pasangan pengantin yang dirasakan sangat cantik di hadapan mereka terganggu dengan tingkah nakal Khilfie. “Awak kenapa ni?” tanyanya garang. Masih lagi mempamerkan riak wajah tidak puas hati.

“Cantik!” Khilfie terus tersengih-sengih mempamerkan gigi putih bersih miliknya.

“Cantik? Apa yang cantik?”

“Cantik!” Khilfie terus mengulang kata yang sama dengan mata masih tertancap tepat di atas singgahsana sehari berwarna putih bercampur ungu.

“Siapa? Kita ke yang awak kata cantik tu?” Malu-malu wajah Zalis.

Mendengar pertanyaan Zalis, pantas Khilfie berpaling. Memandang wajah Zalis seketika sebelum dia menjelirkan lidahnya seperti biasa. “Awak nak buat apa,” ujarnya beberapa saat kemudian. “Kita cakap pengantinlah. Awak mana ada cantiknya. Rambut panjang macam hantu kubur, berserabai pulak tu kalau kena tiup angin. Hingus meleleh sepanjang tahun. Comot lagi adalah,” kutuk Khilfie selamba. Langsung tidak menjaga hati Zalis yang terus menadah telinga dengan mata terkebil-kebil.

“Comot sangat ke kita ni Khilfie?” Kepala bertocang dua yang tiba-tiba terasa gatal di tengah-tengah, Zalis garu perlahan. Kalau ada cermin ketika ini, dia mahu melihat wajahnya yang sudah disapu bedak oleh mamanya pagi tadi. Kata Zafran sebelum sama-sama melangkah keluar rumah, dia sudah cukup comel. Tapi lain pula yang dikata Khilfie saat ini. Takkanlah abangnya itu menipu? Kemudian lambat-lambat disentuh pula hidung sendiri. Tidak ada! Mana ada hidungnya berhingus sepanjang tahun. Khilfie sengaja mengada-adakan cerita.

“Tapi... tadi Abang Zaf kata, kita dah comel dah. Lagipun, mana ada hidung kita berhingus sepanjang tahun. Minggu lepas aje. Itu pun sebab Abang Han bawa balik kucing jiran sebelah. Kita kan tak boleh dekat-dekat dengan kucing. Kata doktor kita alergi. Mama pun kalau nampak hidung kita berhingus, cepat-cepat bawa kita pergi klinik,” terang Zalis panjang lebar. Kepala dijengukkan ke kiri dan ke kanan. Dalam saratnya orang di ruang tamu rumah jiran mereka itu, dia mencari kelibat Zafran.

“Abang Zaf tipu awak tu. Percaya cakap kita, awak memang selalu nampak comot.” Khilfie masih cuba meyakinkan Zalis yang muda dua tahun daripadanya itu.

“Abang Zaf tak pernah tipu kita. Dia sayang kitalah!”

“Kita tak tipu awak.”

“Tadi mama kita dah letak bedak kat muka kita. Dah ikat rambut kita cantik-cantik,” kata Zalis bagaikan hendak menangis. Seperti biasa Khilfie selalu saja berkata yang bukan-bukan tentang dirinya. Semua yang ada padanya tidak pernah cantik di mata kawannya itu. Kalaupun orang lain kata cantik, Khilfie akan kata tidak cantik. Khilfie juga selalu membuatkan dia menangis di sekolah, walaupun mereka tidak sama kelas. Tapi dia tetap suka berkawan dengan Khilfie kerana Khilfie tidak pernah lokek dengannya.

“Rambut macam ni buruklah. Macam lipan merayap atas kepala!”

“Tapi...”

“Zalis, Khilfie... nak bergambar dengan pengantin tak? Kalau nak biar Abang Zaf ambik gambar kamu berdua,” tawar Zafran tiba-tiba. Dia muncul di tengah-tengah ruang tamu yang masih ramai dengan orang. Ada kamera di dalam genggamannya. Sejak kenal kamera, dia memang suka mengambil gambar apa-apa saja yang melintas di hadapan matanya dan dia paling suka mengambil gambar Zalis. Adiknya itu memang suka kalau disuruh bergaya di hadapan kamera.

“Nak!” balas Khilfie. Dia nampak begitu teruja dengan cadangan Zafran.

“Tak nak!” jawab Zalis pantas. Kepalanya menggeleng bersungguh-sungguh dengan wajah sugul. Hatinya agak terasa dengan kutukan Khilfie tentang dirinya. Kalau sudah rupanya buruk, untuk apa dia bergambar dengan pengantin yang Khilfie kata sangat cantik itu? Dia tidak mahu bila Khilfie melihat gambar itu kelak, Khilfie akan terus mengutuknya.

“Kita naklah Zalis!” Mata Khilfie terhala tepat ke wajah cemberut Zalis yang bermulut muncung.

“Kita tak nak!”

“Kita nak juga!”

“Kalau awak nak, awak bergambar sorang-soranglah. Kita tak nak!”

“Zalis, kita...”

Dahi Zafran berkerut sedikit. Tidak mengerti ada apa sebenarnya dengan dua kanak-kanak itu. Mendengar Zalis tidak mahu bergambar, lebih-lebih lagi dengan pengantin, dia rasa pelik. Setahunya, Zalis bukan jenis itu. Kemudian, dipandang pula wajah penuh harap Khilfie. Lambat-lambat bibirnya mengukir senyum nipis, pasti ada sesuatu yang dikata Khilfie sehingga Zalis nampak seperti merajuk panjang. “Kenapa ni? Gaduh lagi ya?”

“Kita tak nak bergambar dengan pengantin. Khilfie kata kita comot. Muka kita buruk. Tak cantik,” adunya dengan mata bergenang dengan air. Dia menghampiri Zafran, memandang wajah abangnya seketika bagaikan meminta simpati sebelum memeluk kaki Zafran kuat-kuat. Dia tidak mahu memandang wajah Khilfie. “Khilfie kata rambut kita macam lipan. Buruk!” adunya terus dengan wajah yang sudah tersembam di paha Zafran yang terus berdiri. “Lepas ni... kita tak nak mama buat rambut kita macam ni. Kita nak potong rambut kita pendek-pendek!”

Zafran mengulum senyum. Kepala Zalis diusap perlahan. “Taklah! Khilfie bergurau aje tu. Kan Khilfie kan?” tanya Zafran beria-ia.

Khilfie diam. Hanya memandang mereka dua beradik semata-mata.

“Khilfie tak cakap pun dia gurau. Memang kita buruk, kita tau Abang Zaf tengah tipu kita, kita tak nak kawan dengan Abang Zaf lagi sebab Abang Zaf selalu kata kita cantik. Abang Zaf tipu kita.”

“Khilfie...” Zafran kenyit mata pada Khilfie meminta kawan Zalis itu berkata sesuatu. Dia tidak mahu Zalis terus sedih begitu kerana Zalis itu adiknya. Satu-satunya adik perempuan yang dia ada. Kalau bukan dia sebagai abang sulung yang melindungi Zalis, siapa lagi.

Dalam senyuman Khilfie menghampiri Zalis. Lama memandang Zalis yang tidak langsung mahu berganjak. Tangan Zalis yang masih sedih dipegang perlahan. “Sorry... kita acah-acah ajelah. Awak cantiklah! Rambut awak pun cantik. Nanti kalau dah besar, kita nak kahwin dengan awak. Kita janji, nanti awak dengan kita duduk atas pelamin macam tulah. Awak mesti tunggu kita tau?”

Kepala Zalis angkat, matanya dan Khilfie yang masih tersenyum saling berpandangan. Zafran yang melihat, ketawa kecil.

*** SeCeBiS kIsAh DaLaM kIsAh BuKaN mEmUjA bUlAn @ TeRuS cInTaI aKu [MASIH BELUM PILIH TAJUK APA NAK DIBUBUH SEBAB BELUM MUNCUL DALAM MIMPI], SeLeBiHnYa BoLeH mEnJeNgAh Di SiNi.

- ReViEw KASIH BENAR KASIH dArIpAdA aDhAn/ DuNiA nOvEl -

June 16, 2011

Akhirnya selesai juga aku membaca Kasih Benar Kasih (KBK)..buah tangan terbaru Aleya Anessa...cover KBK punyalah comel sampai aku terfikir,betul ke novel AA ni hehehe..dah macam cover buku cerita kanak-kanak je :D

KBK ni kisah apa sebenarnya? Kisah Annura dan Dinzley..sorang dah 29 tahun, sorang lagi dah 32 tahun tapi masing-masing masih belum berkeluarga...masing-masing masih sendiri..lantaran itu, kedua ibu bapa mereka yang kebetulan pulak kawan baik sejak sekolah, buat plan untuk menyatukan anak mereka..yang bestnya masing-masing kata "kami tak paksa" tapi dalam masa yang sama berharap agar mereka dapat berbesan..kelakar juga hehehe..sikap Annura & Dinzley ni memang kontra la ...Annura tu garang la juga terutama sekali bila Dinzley asyik menyakat dia dan dan perasan bagus hehehehee *cukup la cerita takat tu..nak tau lagi sila baca sendiri*

KBK memang sebuah cerita biasa *diakui oleh penulisnya sendiri dalam sms yang diterima pagi tadi* dan aku rasa macam jadi trade mark AA, setiap novel dia mesti tema kekeluargaan...cinta tetap la ada juga sebab kalau takde pasal cinta novel tu macam tak cukup rencah..tapi pada aku walaupun kisah biasa namun ada juga istimewanya....macam-macam perasaan bermain dihati semasa membaca KBK..sekejap sedih, sekejap suka, sekejap senyum, sekejap pedih..tapi akhirnya aku menarik nafas lega..lega sebab ending dia gitu..tak kisah la berapa banyak air mata aku tertumpah tika membaca KBK tapi aku puas ending yang macam tu...

Aku suka tak KBK? Sudah pasti aku suka..banyak yang aku suka tapi paling aku suka kerana dalam novel ni secara tak langsung AA memberitahu kepada orang-orang di luar sana yang suka busy body pasal orang belum atau lewat kawin atau lebih tepat lagi perempuan yang belum dan lewat kawin bahawa (1) bukan satu dosa bagi seseorang yang belum atau lewat kawin tu (2) urusan JODOH adalah urusan Allah..sekuat mana pun kita berusaha tapi andai Allah belum izinkan kita untuk berkawin, makanya kena la redha (3) ada sebab kenapa seseorang itu masih sendiri biarpun umur dah banyak

Tahniah untuk AA kerana KBK ni memang 'berani' menyatakan apa yang sepatutnya orang-orang tu perlu tau...rasanya tak ramai yang nak selam hati orang yang kawin lewat ni..*nak je beli satu lagi copy khas untuk tatapan dan bacaan orang-orang yang busy body tu..nak bagi copy yang ada ni takleh la nanti hancur hehehe*

*** Terima kasih tak terhingga pada Adhan atas komen di atas. Kawan-kawan yang budiman, kamu, kamu & kamu boleh melawat Adhan @ Dunia Novel DI SINI sebab ada banyak review novel yang menarik.

- SeLaMaT hArI lAhIr, MaK! -

June 15, 2011

Hari ni hari lahir mak saya! Yang ke berapa? Hem... tentulah rahsia sebabnya, biar banyak mana pun umur mak saya, dia tetap kelihatan sentiasa muda di mata dan hati saya. Opsss... tentunya bukan hanya di hati saya semata-mata, tapi di hati adik-beradik saya, menantu dia, cucu dia dan lebih-lebih lagi di hati buah hati dia, yang bernama Wahab Mustaphar. Abah saya! Abah yang hitam-hitam si tampuk manggis, walaupun hitam dipandang manis [kata mata sayalah].

Tengah malam tadi saya dah telefon dia, ucapkan selamat hari lahir untuk dia. Sekejap aje kami berbual-bual sebab hari dah lewat benar. Tapi dalam masa sesingkat itu, dia yang saya sayang tu masih sempat membuatkan saya ketawa besar. Katanya, “Kulit pun dah berkedut-kedut seribu.” Ya... saya memang sentiasa riang kalau dapat bercakap dengan dia. Terasa semua beban yang tergalas di pundak bagaikan ditarik keluar. Tak kira beban itu sebesar mana pun, tetap juga terasa macam terapung-apung di udara. Agaknya, itulah yang dinamakan kuasa magis seorang wanita bergelar ibu.

Mak saya, hanya orang yang biasa-biasa aje. Tapi dia akan jadi luar biasa bila saya atau adik-beradik saya buat muka sedih demi memancing simpati dia. Betul... wanita bernama Mahani Dahli itu, memang banyak keistimewaan di hati dan mata saya sebagai anak dia. Bukan bermakna dia tak ada langsung kekurangan, ada... sama macam saya, abah saya dan seluruh manusia dalam dunia ni. Tapi bagi saya yang bernama anak, dia tak ada kekurangan kerana semua kekurangan dia, dipamerkan demi menjadikan saya dan adik-beradik saya manusia berguna. Bukannya jadi manusia yang tak ada fungsi.

Sebenarnya saat jari-jemari saya mengetuk aksara demi aksara ni, hati saya dilanda sebak. Perasaan yang sama saya rasa masa bercakap dengan mak saya semalam. Hari istimewa ini, saya sebenarnya sangat berharap dapat duduk atau berdiri di sisi mak saya dengan senyuman di bibir. Saya mahu bawa kek dengan tangan saya dan tunjukkan depan dia, ataupun saya mahu tatang dulang KFC untuk dia. Kemudian cakap kat dia, “Selamat Hari Lahir, Mak! Moga seluruh rahmat ALLAH akan jadi milik mak.” Bukan bermakna saya tak pernah tatang dulang KFC untuk mak saya ya, selalu dan dah tak boleh dikira dengan jari. Kali terakhir, pertengahan bulan lepas. Tapi rasanya tatang dulang hari biasa dengan hari ni, rasanya mesti tak sama, mesti rasa lebih istimewa sebab saya nak tengok mak saya senyum gembira. Tapi... selalunya, hari lahir mak jatuh pada hari saya tak ada di sisi dia. Ambik aje cuti! Pasti itu yang bermain-main di kepala kamu, kamu dan kamu kan? Mungkin ya dan mungkin juga tidak! Tapi, alahai... beratnya rasa! Saya baru aje bercuti Jumaat dan Isnin lepas, kalau ambik cuti lagi entah apa pula kata bos. Kalau hari lahir mak jatuh pada hari Sabtu, kan bagus!

Hem... tak apalah! Walaupun saya tak ada, saya akan pastikan ada kek dan makanan lain pada hari lahir mak saya. Tak ada pun tak apa kan? Tapi biarlah! Saya nak disambut juga sebab selama ni mak dah bersusah payah melahirkan dan membesarkan saya adik-beradik. Mak dah berkhidmat terlalu banyak untuk kami. Sebagai anak, apa salahnya kalau sesekali kami meraikan dia kan? Bukannya buat majlis apa pun, cuma makan sesama sendiri sambil berbual-bual dan bergelak-ketawa.

Apa ya nak cakap lagi? Dah tak ada kata rasanya walaupun kalau nak diikutkan hati, ada begitu banyak yang nak saya sampaikan untuk hidangan mak saya. Mungkin dia tak baca sekarang, tapi dia akan baca bila ada antara kami yang bukak blog saya ni. Mata mak selalu merah dan bergenang dengan air bila ada kata-kata saya yang menyentuh hati dia. Mak memang sarat dengan kasih sayang.

Terima kasih mak! Sebabnya... mak dah jadi ibu paling baik dalam dunia ni buat Ami dan adik-beradik Ami yang lain. Hendaknya, mak akan terus jadi mak yang baik sampai bila-bila selagi hayat di kandung badan. Sempena hari lahir mak tahun ni, Ami nak ucapkan; “Selamat Hari Lahir, moga mak panjang umur, murah rezeki dan selalu ada dalam rahmat ALLAH. Sungguh... Ami sayang gila kat mak. Sangat!

- SaYa SuDaH kEmBaLi -

June 14, 2011

Wah... gempaknya tajuk! Ada tak ayat keramat tu berlegar-legar di kepala kamu, kamu & kamu ketika ni? Tak ada? Huh... tak apa, saya tak kecik hati pun sebab hari ni hati saya terasa luas, seluas padang bola. Tapi betul, tiba-tiba aje saya rasa saya dah lama tak berceloteh di blog ni dan tentu aje tiba-tiba rasa rindu nak mencorat-coret sesuatu. Sesuatu yang tentu aje dah berlalu beberapa hari lepas.

Seperti yang saya tulis dalam N3 sebelum ni, 10-12 Jun 2011 yang lepas, saya akan ke Sungai Petani, Kedah sempena Mini Karnival Karangkraf. Dan Jumaat tu, saya akhirnya benar-benar sampai di sana dalam pukul 2.00 petang sebab bertolak pun kira-kira pukul 8.30 pagi. Dan kesimpulan yang saya buat sepanjang 3 hari Mini Karnival Karangkraf berlangsung, saya dapat melihat pelbagai gelagat manusia yang tentu aje sangat sukakan buku dalam keadaan panas terik. Sungguh... cuaca memang sangat-sangat panas sampai saya terasa mata saya kecil, kecil dan terus mengecil. Tak boleh bukak. Tapi dalam pada panas, saya tetap juga tersenyum senang bila ada yang datang di hadapan saya sambil menghulur novel minta ditandatangan. Lebih terharu bila, mereka bukan hanya membawa KASIH BENAR KASIH aje, tapi ada juga yang membawa SEMUSIM RINDU, KASIH ANTARA KITA, JANJIKU BERSAMAMU, SEGALANYA UNTUKMU dan agak ramai juga yang menghulurkan TANPAMU AKU RINDU. Sungguh, saya sayang kamu, kamu dan kamu yang membeli novel-novel saya di sana dan di mana-mana saja. Tapi... tak ada pula yang datang membawa AKU MAHU KAMU dan HANYA DIA TAHU, dan saya andaikan mereka semua sudah mendapatkan dua novel tersebut terlebih dahulu. Kalaupun tak, anggap ajelah saya tengah berusaha menyedapkan dan menggembirakan hati sendiri.

Sepanjang tiga hari di sana, saya tak ke mana-mana sangat sebab masa agak terhad. Siang pergi Mini Karnival karangkraf, malam pula pergi makan di D’ King. Malam Sabtu tu makan mi udang banjir yang sangat sedap dan malam Ahad makan ikan bakar pulak. Pun sedap juga, pendek kata kalau pergi ke sana cubalah makan di sana tu. Opsss... jangan salah faham dulu, saya tak dilantik oleh D’ King untuk jadi duta mereka, tapi saya rasa memang makanan kat sana sangat sedap. Tekak sayalah, tekak orang lain saya tak tahu tapi bagi orang yang suka makan macam saya, apa salahnya mencuba kan? Kalau tak sedap, makan sekali aje dan kalau sedap pulak bolehlah makan berkali-kali, tapi... pastikan ada duit ya.

Dan bonus untuk diri sendiri, akhirnya saya dapat juga tengok Pantai Merdeka yang selama ni hanya saya dengar disebut-sebut dalam lagu yang pernah popular satu ketika dulu. Bagi saya, Pantai Merdeka sama aje seperti pantai-pantai yang lain. Singgah sekejap aje sebenarnya sebab hari dah petang benar masa tu. Hanya sempat menikmati suasana yang sangat mendamaikan tu seketika aje. Tapi cukuplah daripada langsung tak tengok kan?



Ahad tu, pukul 1.00 tengah hari Mini Karnival Karangkraf saya tinggalkan dengan kenangan tersendiri. Berjumpa dengan kawan-kawan penulis yang tak pernah saya jumpa, saya rasa sangat gembira sebab kawan saya bertambah lagi. Ada juga kawan-kawan yang memang pernah jumpa, kami masing-masing bertukar-tukar cerita dan khabar berita. Pukul 2.00 petang, Sungai Petani benar-benar saya tinggalkan dengan harap dan doa supaya perjalanan kami dipermudahkan. Dan memang perjalanan kami sangat mudah, langsung jalan tak sesak walaupun hari terakhir cuti sekolah dan tak ada sebarang kemalangan berlaku. Syukur sangat!

Hem... kata-kata dah habis, jadi kata-kata terakhir saya, terima kasih pada pihak Karangkraf yang menjemput dan terima kasih juga pada yang mendapatkan novel-novel saya. Terima kasih daun keladi ya...










- DaTaNg JaNgAn TaK dAtAnG tAu! -

June 8, 2011

- SeSiApA dI uTaRa YaNg TeRaSa NaK jUmPa SaYa DaN kAwAn-KaWaN, jOm... RaMaI-rAmAi DaTaNg Ke MiNi KaRnIvAl KaRaNgKrAf Di SuNgAi PeTaNi, KeDaH... -

- SeSiApA yAnG rAjIn JuGa BoLeH mElawAt SaYa [DI SINI] , LePaS tU... kAlAu DaH bUkA tU, dIaLu-aLuKaN uNtUk TeKaN "LIKE". jAsA kAmU, kAmU dAn KaMu SaNgAt DiHaRgAi yE... -

- SeLePaS 5 hArI dI 10 -

June 7, 2011

Hari ni 7 Jun 2011, 5 hari dah saya dan kawan-kawan dari Bahagian Buku Sastera pindah ke tingkat 10. Dari tingkat 11, pindah ke tingkat 10, macam enteng aje kan kedengarannya? Satu tingkat aje kan? Ya... saya pun bila dengar, mesti anggap macam ni, “Pindah 1 tingkat aje, macam tak ada!” Tapi bila benar-benar terpaksa melalui situasi yang mudah tu, sukarnya TUHAN aje yang tahu. Pindah dari rumah yang besar ke rumah yang lebih kecil, lagilah perasaan tu berat bagaikan diikat dengan batu besar di kedua-dua belah kaki, kiri dan kanan. Agaknya kalau diberi pilihan, pasti saya dan kawan-kawan pilih ‘TAK MAHU”. Tapi itu ‘kalau’ dan kenyataannya pada 1 Jun 2011, kami seramai 12 orang turun juga ke tingkat 10 dengan hati yang berat.

Sebaik kaki mencecah lantai, semua kelihatan blur, masing-masing saling berpandangan dengan wajah yang sukar nak digambarkan. Ada rasa sedih dan ada rasa serba tak kena bergabung mengambil tempat dalam hati setiap orang. Tapi yang lebih terasa, kami rasa badan bagaikan ditumbuk sebab semua kerja kemas-mengemas kami buat sendiri. Ya, kami ibarat jasad di tingkat 10 tapi hati masih tertinggal di tingkat 11. Bukannya tak boleh pergi kan kalau rindu? Pasti itu yang berlegar-legar di kepala kamu, kamu dan kamu saat membaca N3 ini. Betul... saya akui hakikat itu langsung tak ada yang salah! Tapi pergi datang melawat tempat orang dengan pergi untuk duduk dan buat kerja di sana, kesannya ternyata tak sama. Kalaupun kami pergi, kami tahu kami bukan lagi penghuni di ‘rumah’ yang pernah jadi milik kami satu ketika dulu.

Orang lain saya tak pasti, tapi saya rasa sangat terkesan. Sangat sedih dan terkilan sebenarnya. 5 tahun 7 bulan saya bekerja di tingkat 11 tu, walaupun nama bahagian dan jawatan bertukar, tetap juga di tingkat itu. Saya duduk di tempat yang sama, meja yang sama, kerusi yang sama setiap 5 hari seminggu kecuali pada hari saya cuti dan cuti umum. Bahkan, tempat yang sama banyak menyaksikan suka duka saya. Saya pernah menangis di situ, tapi saya lebih kerap ketawa dan tersenyum-senyum di depan PC sambil mulut tak henti-henti berceloteh dengan Diana yang duduk di belakang saya. Malah ada masa-masanya, saya merungut-rungut tentang sesuatu yang ada kaitan dengan hidup dan manuskrip yang saya edit dan seperti biasa Diana tetap juga mendengar rungutan saya. Ya... dia memang kawan yang baik. Dan di tingkat yang sama jugalah banyak perkara berlaku dalam hidup saya.

Dan hari ni, saya masih dalam proses menyesuaikan diri, tapi... terus terang saya kata yang saya masih belum mampu untuk ikhlas menerima apa yang berlaku dengan sepenuhnya. Saya perlukan masa sedikit saja lagi dan selepas itu saya percaya segala-galanya akan kembali pulih, walaupun sini dan sana tak mungkin sama. Kalau di sana, di hadapan saya lapang sampaikan kami pernah bercadang nak main badminton. Di kiri dan kanan pun saujana mata memandang. Tapi sekarang, di depan, kiri, kanan dan belakang bagaikan tak ada ruang langsung. Saya rasa sesak! Apalagi dengan keadaan tempat yang masih belum sempurna sepenuhnya. Hanya bonusnya, untuk saat ini meja saya sangat kemas dan saya tak pasti sampai bila kekemasan ini akan bertahan. Bila semua manuskrip dah disusun nanti, nampaknya saya harus mengucapkan kata ‘selamat tinggal’ pada rasa kemas ni.

Apa pun, saya berharap rasa ikhlas saya akan segera datang. Dan lagi, saya berharap di tempat baru walau suasananya tak seselesa di sana, bukanlah kat sini tak selesa benar, ditekankan sekali lagi ya, hanya tak seselesa kat sana, saya akan jadi lebih rajin dan tekun dalam melakukan kerja-kerja saya. Kamu, kamu dan kamu... doakan saya jadi orang yang rajin, sangat rajin dan betul-betul rajin ya!