- DiA kUrUs, AkU gEMuK sAnGaT eH? -

November 30, 2010

Apa perasaan kalian, bila di pagi yang damai (Damai ke? Kira damailah bila tak ada bunyi bising yang mampu cemarkan telinga), tak ada ribut, x ada salji, tak ada taufan, tak ada twister, Cik Minah dengan wajah ala-ala bulan purnama mengambang 14, tiba-tiba bertanya soalan cepu mas berbentuk lisan yang berbunyi macam ni, “Berapa berat Mar?”. Aku yang tengah cuci cawan dalam keadaan yang juga senyum lebar, terkedu, terkelu & tentu saja terpana (Itukan kata-kata dalam novel, jadi wajib guna untuk mantapkan skill penulisan). Tak sangka Cik Minah akan keluarkan soalan yang tak diduga macam tu, kalau tau mesti dah bersedia jiwa dan raga. Tapi tetap juga maintain dengan senyum yang kali ni ala-ala pelik bercampur aneh sambil dalam hati tanya, ‘Cik Minah ni malam tadi mimpi timbang berat badan ke?’. Atau, ‘Timbang Cik Minah rosak ke?’.

Tapi sebab tak nak hampakan Cik Minah yang nampak macam terdesak sangat nak tahu sebab aku nampak mata dia yang tak nak lari dari tengok aku, aku jawab jugalah sebab bukan susah pun nak sebut angka yang aku dah hafal dalam kepala. Maklumlah, hari-hari timbang berat badan, kalau tak pagi, petang, tak petang tentulah malam, walaupun angka yang tertera tak juga berubah-ubah, makin meningkat adalah. Dalam hati tak henti-henti berdoa, ‘Janganlah Cik Minah ni nak jual produk turunkan berat badan dia kat aku. Aku tak naklah sebab aku rasa aku ni tak adalah gemuk sangat walaupun aku terpaksa mengaku yang pipi aku memang chubby. Lagipun produk yang tahun-tahun sudah pun tak aku makan lagi’. Maklumlah... Cik Minah ni memang dealer tegar satu produk terkenal ni. Satu tempat ni dah tahu agaknya, kalau tak... takkanlah sana sini orang cari Cik Minah.

Cik Minah dengan senyum yang tak lekang, bangga kot sebab body Cik Minah ni slim ala-ala kerengga gitu, “Eh... sama macam berat badan Cik Minahlah”. Aku pun pandanglah Cik Minah atas bawah sambil sengih konon-konon malu sebab badan berat. Dah agak dah... Cik Minah ni saja tau nak malukan aku, tak pun nak kata aku tak pandai jaga body. Tapi tak apalah Cik Minah, aku langsung tak terasa hati sebab kalau dihitung BMI aku, aku masih maintain dan berada pada tahap normal. Kira boleh lagilah makan nasi sehari 2-3 pinggan. Untuk kasi Cik Minah bangga dengan diri sendiri, aku pun pukul hati dia, aku kata, “Umur Cik Minah berapa, umur saya berapa.” Maksudnya, kalau Cik Minah fahamlah, aku tengah puji Cik Minah pandai jaga body walaupun sikit lagi nak pencen. Kalau tak pandai, takkanlah sampai la ni Cik Minah boleh pakai kebaya yang ala-ala primadona tu kan? Tapi yang tu aku tak kata depan dialah, aku hanya cakap dalam hati aje. Bimbang kalau-kalau aku rosakkan mood Cik Minah sepanjang hari.

Aku mengata Cik Minah ke? Tidak! Langsung tak niat macam tu, kalau ada unsur-unsur macam tu, maaflah Cik Minah, tak niat pun. Nanti saya pukul jari-jemari gemuk pendek ni yang tak ada insurans walaupun saya baru aje masuk insurans hari Jumaat hari tu. Dalam insurans tu aku letak nama kak long dan abang chik sebagai waris. Jadi untuk mereka berdua, apa-apa jadi pada aku, semua harta-benda yang aku ada, kalaulah boleh dipanggil harta-benda dan kalaulah memang ada harta-benda, serahkan semua pada mak dan abah ya. Aku cuma pinjam nama korang aje. Alahai... bunyi macam lain macam aje aku ni, macam tinggalkan wasiat aje. Eh... jangan takut! Tak adalah... tak ada apa-apa cuma kalau ada apa-apa yang memerlukan aku isi nama waris, mereka berdua yang aku pilih, kadang-kadang letak nama adik aku. Pendek kata, semuanya adik-beradik. Itu aje dan tak ada sebab lain. Untuk Cik Minah, jangan ada dendam ya, tak elok untuk kesihatan. Kitakan kawan-kawan... ;-)

- GaSiNg! -

November 24, 2010

“Marwati Wahab @ Aleya Aneesa malam tadi mimpi gasing!”, ataupun “Malam tadi dia tu mimpi kena kejar dengan gasing gergasi!”, tak pun “Terjumpa gasing kat mana-mana kot!”. Pasti itu yang bermain-main di kepala kalian sekarang ni bukan? Kan? Kan? Kan? Tidak! Tidak! Dan tidak! Oh... kalau dah lepas tiga kali aku tekankan perkataan ‘kan’ pun kalian tak mahu mengaku, terpaksalah aku pasrahkan diri, tabahkan hati sebab aku baru sedar kenapa aku tak boleh jadi lawyer. Rupa-rupanya aku tak ada kebolehan membuatkan orang mengaku, dalam erti kata lain aku tak mampu mendesak orang. Dan lagi, aku baru perasan bila tak ada yang mengaku itu ertinya emanglah tak ada orang yang peduli pada aku. (Buat muka sedih sambil lap-lap air mata yang tak ada mengalir kat pipi dalam masa yang sama bimbang kalau-kalau ada air liur basi kat bawah dagu walaupun pagi tadi dah mandi bersih-bersih siap guna shower gel jenama Johnson’s Baby yang lembut sampai terasa ala-ala babylah tiap kali lepas mandi).

‘Melampau kan Kiah mak cik yang sorang tu? Akhir-akhir ni, kau perasan tak yang mak cik sorang tu suka membebel yang bukan-bukan kat blog dia? Langsung dah tak ada cerita fasal dunia penulisan dia yang penuh dengan warna-warni. Kau sedar tak Kiah, dia tak masukkan lagi blurb Cubit Kanan Cubit Kiri dalam blog dia? Tak patut betullah dia tu kan Kiah? Geram betul aku!’

Ohhh... biarlah kalau Minah nak buat aduan rakyat pada Kiah fasal aku yang macam dah lupa diri akhir-akhir ini. Lupa diri? Oh, tidak! Tak mungkin sebab untuk saat ini aku sangat sedar diri, masih tahu kat mana bumi dipijak dan kat mana pula langit yang dijunjung. Aku sayang gila kat Malaysia. (Tapi apa kaitan dengan tanah air pulak ni). Tak kira, aku tak mahu dipanggil lupa diri sebab antara aku dan lupa diri macam tak boleh duduk seguni yang bermakna duduk di dalam guni yang sama. Alah... guni yang dulu-dulu orang buat isi beras tu. Tapi aku rasa lebih manis kalau aku kata yang aku nak beralih angin, lepas aku rasa aku terlalu serius sebelum-sebelum ni sampai benda sekecil hama pun aku besar-besarkan jadi sebesar duit syiling 50 sen. (Betul ke serius?) Hentam sajalah! Tapi sampai bila pula nak merapu macam ni? Tak rasa sia-siakan masa ke? Hem... aku sendiri tak pasti bila tarikh luput pada mood merapu ni akan sampai sebab sekarang ni mood merapu lebih tinggi daripada segala macam mood yang lain termasuk mood menulis novel dan menulis minit kat dalam fail yang terbentang kat depan mata aku ni. Jadi... kalau ada yang rasa tak boleh masuk dengan merapu aku yang tak ada faedah langsung ni, MAAF... mungkin bukan ini blog yang kalian cari. Kalian perlu beralih arah untuk seketika yang belum ada kepastian. (Alahai... tiba-tiba terasa diri emo tak menentulah pulak).

Tapi serius, kalau faedah yang dicari, ilmu yang dimahukan, memang bukan kat sini medannya, bukan juga kat medan selera, tapi Medan Mara kat Jalan TAR mungkin lebih sesuai sebab ada banyak kedai buku dekat-dekat sana yang rata-ratanya bagi 20% diskaun kalau beli novel. Jadi apa tunggu lagi, belilah novel-novel kat sana sebab lebih berbaloi dan tak lupa juga belilah novel yang penulis yang namanya Marwati Wahab @ Aleya Aneesa. Ceh... gaya cakap macamlah kedai-kedai buku kat sana tu lantik aku jadi duta diaorang kan? Ah, tak kisahlah! Blog ni tak sesuai untuk mereka-mereka yang gah, yang tak suka pada perkara remeh-temeh. Contohnya, macam tajuk gasing yang aku beri kat atas tu

Dan gasing, semalam aku tengok iklan Cuti-cuti Malaysia kat TV. Masa tulah nampak satu objek comel yang sejak lahir-lahir lagi aku tahu dah dinamakan gasing. Maknanya, dah terang lagi bersuluh yang bukan aku yang beri nama gasing tu. Kalau kalian rasa nama tu tak sedap, kalian tak boleh saman aku kat mahkamah ya? Tapi pastikan nama baru yang kalian pilih untuk gasing lebih sedap daripada nama yang ada supaya kalian tak terpaksa berjalan sambil letakkan kepala kat dalam baju, atau terpaksa berjalan terhendap-hendap lagak pencuri sebab bimbang dibaling dengan botol, kayu, besi ataupun peti televisyen dan peti ais.


Okey... gasing ni adalah salah satu permainan tradisional masyarakat Melayu. Ada macam-macam bentuk yang kalau disuruh terangkan pun aku tak tahu sebab aku tak pandai main gasing, jauh sekali buat gasing. Bukan tak pernah buat masa zaman kanak-kanak ribena dulu, pernah dan berkali-kali jugalah sebab masa zaman tu aku bukan jenis kanak-kanak yang ayu, sopan dan lagi terpuji orangnya. Aku dibesarkan di tengah-tengah kelompok manusia yang lebih ramai lelaki daripada perempuan, nisabnya mungkin macam ni 1:6, makanya... ayu, sopan dan ala-ala bakal gadis ayu bila dah dewasa nanti memang tak padan DNAnya kalau dipadankan dengan aku. Tapi tak baik menipu tau, jadi aku terpaksa juga mengaku yang dalam nisbah sekecil tu ada jugalah aku main pondok-pondok dan sudah semestinya termasuk main kahwin-kahwin. ;-)

Berbalik fasal gasing tadi, setiap kali cuba buat gasing, setiap kali tulah gasing aku tak jadi. Mungkin lebih sesuai kalau gasing yang dibuat akhirnya bertukar jadi botol, peti surat, sofa, cawan dan yang pasti sama sekali tak ada bentuk yang berkaitan dengan gasing dan keluarganya. Yang selebihnya, tak sempat jadi apa-apa, baru buat tanda pada badan kayu, kononnya yang ni untuk bahagian kepala, badan dan kaki gasing, mak aku dah jerit kuat-kuat sambil rampas parang kat tangan aku dengan wajah merah menyala, tapi taklah sampai keluar api di kedua-dua belah telinga sebab ini kisah realiti bukan dongeng dalam TV okey. Sebab itulah gasing yang aku buat tak pernah jadi sampai aku terpaksa rembat gasing yang abang-abang aku buat. Diaorang rendam dalam gelen dengan alasan yang macam-macam dan aku tak ingat satu apa pun, balik kampung nanti baru tanya semula. Yang aku tau, gasing tu direndam berhari-hari dan ada beberapa buah. Jadi... aku ambil aje yang mana aku suka dan biasanya terpaksa pulangkan balik dengan muka kelat masam ala-ala buah binjai (macam pernah makan) lepas diaorang perasan aku dah songlap gasing diaorang. Itu pun diaorang perasan sebab tiap kali aku pusingkan gasing selalunya kepala gasing akan ke bawah dan kakinya ke atas sehingga mengundang ketawa kawan-kawan yang lain. Isyh... jahat-jahat betul kawan-kawan yang merangkap sepupu-sepupu aku masa tu! Ikut hati memang tak mahu maafkan tiap kali datang raya.

Dan paling sadis sampai tak boleh lupa sampai hari ni, satu petang yang damai (ceh... penulis ni!) adik-adik aku dan sepupu-sepupu main gasing. Masa tu aku dah agak besar agaknya, jadi aku cuma jadi penonton yang paling kecoh. Punya asyik agaknya diaorag main, sedar-sedar... uwaaaaa... aku menjerit macam ternampak hantu sampai mengundang mak ke luar rumah. Mungkin bimbang aku yang dililit dengan tali dan dipusingkan seperti gasing masa tu sebab mainnya tak kecohnya lebih, mana tau ada yang naik darah sebab bengang dikutuk aku. Ohhh... kaki aku dalam tak sedar dah dijadikan medan main gasing budak-budak tu. Elok aje gasing yang dipusing adik aku mendarat kat kaki aku dan sebab tak bersedia, terpaksalah aku meninggikan volume untuk seketika sebelum hujan yang hampir-hampir bah melanda. Sakit gila!


Tapi tu dulu, semuanya dah berlalu dan dah jadi salah satu kenangan terindah dalam hidup aku yang bergelar anak kampung. Sampai ke hari ni sekali-sekala bila balik kampung, aku intai-intai juga luar rumah. Sayangnya dah bertahun-tahun rasanya aku tak nampak gasing kat mana-mana, jauh sekali budak-budak yang main gasing macam zaman aku dulu. Yang ada hanya budak-budak yang bermaksud anak-anak buah aku dan dua pupu diaorang main basikal dan pondok-pondok sampai terpaksa angkut segala tikar dan pinggan cawan mak aku. Sayangkan? Tapi nak buat macam mana, kemodenan yang dikecapi biasanya datang dengan pelbagai pakej. Dapat satu, maka hilanglah yang satu lagi.

Panjangnya merapu? Ya... aku memang perasan! Apa pun, moga satu hari nanti permainan gasing mula mendapat tempat di hati kanak-kanak walaupun aku tahu boleh jadi juga tak mungkin sebab nak bersaing dengan PSP, PS2-3, internet, bukannya mudah!

- MaRi BeRkAsIh SaYaNg! -

November 22, 2010

Oh... apa korang rasa bila tiba-tiba, rumah korang yang selama ni bising mengalahkan pasar raya, pasar basah, pasar kering, pasar malam, pasar borong dan segala macam jenis pasar tiba-tiba berubah jadi sepi dan sunyi macam dilanda geroda? Sampai-sampai korang terpaksa jengukkan kepala ke ruang tamu sebab rasa hairan sangat? Apa korang rasa? Terkejut badak? Terkujat? Terpana? Terkelu? Terpengsan? Ataupun... korang tak rasa apa-apa sebab rumah korang memang tak bising macam rumah keluarga aku kat kampung? Kalau macam tu keadaannya, tak apa... sebab memang tak salah, masing-masing memang tak sama.

Tapi aku? Malam Raya Aidiladha baru-baru ni memang rasa pelik semacam. Bila jenguk kepala ke ruang tamu, terus buat aksi ala-ala terperanjat walaupun taklah sampai tutup mulut guna jari, lepas tu senyum macam orang tak cukup mulut. Mana taknya, tiba-tiba aje rumah aku yang macam pasar tu bertukar jadi library. Masing-masing yang bermaksud ahli keluarga aku, tak termasuk yang tak tau membaca, landing atas sofa, atas lantai dan kat mana-mana aje, kecuali atas bumbung sebab bumbung bukan tempat yang sesuai diduduki. Kalau nak duduk atas bumbung juga, bersedialah ada untuk jatuh ke bawah mencium tanah sebab bumbung rumah yang tak rata. Kat tangan diaorang ada buah tangan terbaru aku yang berjudul “CUBIT KANAN CUBIT KIRI”. Ohhh... itu sebabnya yang buat rumah abah tiba-tiba ada tema ‘Mari Membaca di Rumah Pak Wahab’.

Wah... rajinnya diaorang kan? Tapi sebenarnya bukanlah ahli keluarga Pak Wahab tu rajin benar membaca, diaorang tu malas dan tak nak langsung sahut kempen membaca yang diseru kerajaan. Diaorang lebih rela tengok bola sepak yang kadang-kadang buat aku geram sebab terpaksa berebut TV. Malam tu diaorang membaca sebab CKCK tu adalah satu-satunya cerita sebenar, tapi... bukanlah cerita fasal orang lain sebab bukan cara aku nak menceritakan hal orang yang tak ada kena-mengena dengan aku, melainkan fasal anak-anak buah aku walaupun bukanlah 100%. Penulis... kalau tak menambah dan mengurang, rasanya mana boleh digelar penulis kan? Dan lagi, sebab sayangkan anak-anak buah akulah, maka novel CKCK ini wujud hari ini.

Dan CKCK... mungkin hanya sebuah naskhah comel yang sesuai dibaca oleh golongan kanak-kanak dan remaja sebab kisahnya berlingkar di sekitar umur mereka. Tapi tak juga bermaksud golongan dewasa tak boleh baca. Boleh sangat dan sangat dialu-alukan sambil dalam hati kata, ‘Belilah banyak-banyak. Kalau boleh beli untuk setiap anak yang kalian ada supaya mereka tak perlu berebut-rebut’. (Huh... perasan, macamlah novel kau sedap benar Kiah?). Kalau ada yang cakap macam tu, tak apa... aku tak kecil hati, jauh sekali rasa diri kurus sebab memang kita semua tak digalakkan perasan atau pun perah sangat. Ingat tu... perangai tak elok tu jangan diamalkan tau, tak molek benar!

Berbalik pada CKCK tadi, golongan dewasa sebenarnya memang dialu-alukan membaca karya comel ni. Kalau bukan untuk diri sendiri, mungkin baca untuk anak-anak yang kalian ada supaya mereka saling berkasih sayang untuk selama-lamanya. Kisahnya hanya kisah biasa, tapi tetap ada secebis pengajaran yang sangat berguna, bukan hanya pada anak-anak tapi juga pada kita orang dewasa sebab bukan hanya anak-anak yang punya ikatan adik-beradik, kita juga ada. Mereka yang digelar anak tunggal jangan kecil hati ya, kalian juga boleh membaca sebab ikatan dalam dunia ni bukan hanya setakat adik-beradik semata-mata tau, ada banyak lagi ikatan yang perlu dipelihara. Jadi... tepuk dada kalian dengan senyuman penuh syukur sambil mulut kata, “Walaupun anak tunggal, aku masih ada ibu ayah dan saudara-mara yang lain. Sebab aku sayangkan mereka, jadi... aku tahu aku layak baca CKCK”. Huh... sekali lagi penulis blog ni perasan sendiri!

Dan ingat... muda atau tua, kecil atau besar mana pun kita, “SEHEBAT MANA PUN KITA DALAM MEREMPUH ARUS MASA, KITA TIDAK MUNGKIN DAPAT BERJALAN SENDIRI”. Untuk itu, sayangilah adik-beradik kalian, kalau ada yang tak bertegur sapa sesama sendiri, bertegur sapalah dan mulakanlah dulu kalau pihak yang satu lagi enggan memulakan. Tak akan timbul soal siapa kalah dan siapa menang sebab darah yang mengalir dalam diri kamu, sama seperti darah yang mengalir dalam diri dia. Sayang kalau masa yang berlalu diabaikan begitu saja jika tidak saling berkongsi cerita. Bertegurlah kerana bila kalian saling bertegur, kalian sebenarnya sudah memberikan kegembiraan dan kebahagiaan kepada orang tua kalian. Dalam dunia ni, tak ada ibu bapa yang melahirkan anak-anak semata-mata mahu melihat anak-anak mereka saling bertelagah sesama sendiri. Tegurlah... kembalikanlah hak orang tua kalian setelah mereka memberikan hak kalian untuk terus menghirup segarnya udara milik ALLAH.

Untuk anak-anak buah aku, semoga kalian saling menyayangi sesama sendiri dan untuk seluruh anak-anak di dunia ini, moga perjalanan kalian dipermudahkan ALLAH.

- LaMaNyA mEnYePi -

November 16, 2010

Eh... lama tak nampak bayang? Ke mana ke belakangan ni? Huh... sihat lagi rupanya? Ingat dah lupa jalan pulang? Ingat dah hilang ingatan? Ingat dah tak tahu menulis? Tak tahu baca? Lebih kurang... agaknya macam tulah ya soalan-soalan yang bakal keluar bila tengok ada n3 baru kat blog ni. Tak pun macam ni, wah... ada n3 barulah! Aduh... tak sabarnya nak baca n3 baru kat blog ni. Eh... macam mana tak perasan dah ada n3 ni? (Tapi, ya ke ada orang yang akan tanya? Entah-entah siapa pun dah tak peduli sama ada blog ni bersawang atau tak. Bukannya penting mana pun Si MARWATI WAHAB @ ALEYA ANEESA ni. Kata orang, ada tak menambah, tak ada pun tak mengurang. Tapi kalau tak ada yang tanya pun, aku buat-buat macam ada orang tanya jugalah ya, saja nak seronok-seronokkan hati. Konon-kononnya ada yang peduli). Hahahaha...

Sebenarnya, bukanlah menghilang walaupun ni memang n3 pertama bulan ni. Bulan lepas pun ada dua n3 juga. (Isyh... apa ke pemalas benar anak PAK WAHAB ni? Susah-susah ABAH dia hantar pergi sekolah suruh belajar menulis, dia buat-buat lupa yang dia pandai menulis, walaupun menulis yang entah apa-apa). Bukan juga lupa aku masih ada blog yang perlu dijaga dan dibelai macam aku belai kuku yang tak berapa nak cantik ni, bila pandang sekali terus tak ada hati nak pandang lagi sebab jari kontot-kontot, gemuk-gemuk & tak runcing. (Apa ni, tak syukur eh?). Eh... mana boleh tak syukur, tetap syukur sebab ada jari yang boleh guna untuk menulis, suap makanan, cubit kanan cubit kiri, lempang sana lempang sini, tolak situ tolak sinun. (Aduhai... merepek lagi).

Balik semula bercerita, bukannya tak mahu menulis, mahu dan penulis mestilah mahu menulis kan? Kalau tak, mana boleh panggil penulis kan? Mungkin akan dipanggil pelukis, penari, penyanyi atau apa-apa ajelah. (Apa yang kau ni merepek dah Kiah?). Memang ada begitu banyak cerita yang nak disampaikan. Cumanya... mood menulis n3 kat blog sangatlah merundum jatuh sampai ke tahap negatif. Cuba juga tolong diri sendiri, tapi tetap juga macam tak tertolong. Akibatnya, sepilah blog ni sendiri dan sampai satu tahap, terpaksa ditutup untuk pandangan sesiapa termasuk aku sendiri kalau tak ingat ID dan password. Mujur juga otak aku masih elok walaupun lepas makan begitu banyak semut dalam seumur hidup. (Agaknyalah sebab mustahil kan kalau dalam dunia ni ada yang tak pernah langsung termakan semut atau sengaja makan semut. Kalau tak depan mata pun, mungkin kat kedai-kedai makan. Siapa tahu kan?).

Hari ni aku tak mimpi ya, hanya terasa nak menulis aje. Mungkin sebab hari ni nak balik awal, nak balik kampung, atau mungkin juga esok nak raya haji, atau mungkin sebab malam tadi aku rasa macam tak ada mimpi yang datang kacau tidur aku, atau... woha... berapa banyak atau dah?

Alahai... aku tiba-tiba jadi dah tak tahu nak tulis apa lagi walaupun otak macam tepu mintak dikeluarkan. Mungkin lain kali aku akan ceritakan fasal aku dan Korea yang dah jadi kenangan sebab dah lebih dua minggu aku balik daripada bercuti ke negara yang penduduknya mata tak begitu besar, atau dalam erti kata lain sepet. Tapi bukan sepet yang dalam filem tu ya. Ini sepet merujuk kepada mata orang semata-mata, langsung tak ada kaitan dengan yang hidup mahupun yang mati. Jadi maknanya di sini... tak ada sesiapa yang boleh saman aku sebab merepek yang bukan-bukan.

Alahai sudahlah tu, berhentilah membebel yang bukan-bukan wei... jemu nak baca. Mungkin itu juga sekarang ni yang bermain-main di fikiran dan mulut yang sedang membaca n3 ini. Jadi... dengan berat hati termasuk berat badan yang tak nak turun-turun walaupun selepas diet bertahun-tahun dan bersenam setahun atau bertahun-tahun sekali, aku undur diri dulu. Akhir kata, ceh... macam beri ucapanlah pulak. Tapi nak juga ucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILADHA buat yang sudi membaca blog ni, lebih-lebih lagi yang baca blog ni dan novel-novel aku dan seluruh umat Islam di dunia ni. Harap raya tahu ni lebih bermakna dan membawa sejuta rahmat pada kita. Jumpa lagi...