REWARD...

November 26, 2015

Reward atau dalam bahasa yang lebih mudah difahami, GANJARAN. Dalam masa dua hari ni, asyik sepatah perkataan tu berulang-alik dalam minda. Saya terus fikir, berfikir, menggali dan kesudahannya, tak tahu kenapa ada rasa ngilu terbit dalam hati saya yang paling dalam dan saya sangat-sangat-sangat tak suka dengan apa yang saya rasa sekarang ni. Kenapa dan mengapa, jangan ditanya sebab korang tak akan dapat jawapannya. Kenapa tak akan dapat jawapan? Sebab saya tak nak kongsi. Biar simpan jadi hak milik kekal. Kuikuikui...

Okey, saya faham makna sepatah kata tu, tapi tetap juga saya mahu berfikir. Ya, sebagai manusia, setelah buat sesuatu kita cenderung untuk dibalas dengan sesuatu. Maksudnya, bila kita dah kerja penat-penat, kalau boleh kita mahu penat lelah kita tu dibalas dengan sesuatu. Misalnya, dapat gaji kita beli barang-barang ataupun kita makan apa aje yang kita nak makan sampai muntah atau dah tak larat lagi nak kunyah. Tapi tolong ya, jangan jadi macam tu sebab nampak benar betapa gelojoh dan pelahapnya kita kalau makan cara macam tu. Makan sedang-sedang sudah sebab dalam sehari kita biasanya akan makan berkali-kali.

Kalau di tempat kerja, kita kerja sebab kita nak dapatkan gaji. Sesekali, kita harapkan juga reward daripada bos. Tapi bukanlah minta dibayar atau diberikan dengan hadiah yang pelbagai. Duit ringgit jauh sekali. Tidak. Berapa kali korang nak dapat ganjaran sedangkan korang dah dapat gaji? Kan? Tapi reward di sini bermaksud, cukup dengan ucapan terima kasih daripada bos atau yang seangkatan dengannya. Bukan juga bermaksud hari-hari bos perlu ucapkan terima kasih. Pada hari penting-penting sudah. Contoh, lepas buat atau anjurkan majlis atau acara. Dan sepanjang saya kerja di sini, bersilih tukar bos. Ada yang ringan mulut mengeluarkan kata terima kasih. Ada juga yang buat bodoh aje. Macam tak ada buat apa-apa, sedangkan peluh yang menitik hampir cecah ke lantai. Otak sebu tak payah nak katalah. Belum lagi bertikam lidah sesama sendiri atau sesiapa yang terlibat. Untuk semua rasa itu, tak ke layak diberikan ucapan terima kasih? Layak, kan? Kalau ada yang kata tak, memanglah korang kejam. Huhu.

Cumanya, hati saya bertanya, mendapatkan seorang isteri/suami dan kemudian anak-anak, takkah itu juga boleh dipanggil dan dianggap satu reward dalam kehidupan? Malah mungkin nilainya melebihi intan permata atau barang-barang yang lama-kelamaan akan rosak seiiring dengan masa? Tidakkah?  Tapi yalah, lain pandang lain belalang. Kan?

HARI YANG LETIH...

November 18, 2015

Hahaha... gempak tak tajuk? Gempak gila kan?  Ya, saya sendiri pun rasa gempak juga. Tapi sesungguhnya, ini fakta dan bukannya auta. Hari ni memang rasa sangat-sangat letih. Mungkin pagi pergi Wacana dan lepas tu sambung jadi pelapor untuk Seminar. Naik rehat, macam biasa buat tugas harian. Jawab KNB satu dan lepas tu pergi ke iklan.

Atau pun sebenarnya disebabkan perut yang tak berapa stabil agaknya. Dari malam tadi meragam, lepas tu membawa ke pagi. Mungkin sebab malam tadi, makan macam-macam. Maklumlah, orang puasa nafsunya memang serupa naga. Tengok makanan, semuanya nak beli dan bila dan beli. Bila dah beli terpaksalah sumbat sampai makanan habis sebab tak sampai hati nak buang. Yelah, bukannya senang nak cari duit. Subuh-subuh dah bangun, mandi, solat dan lepas tu start enjin kereta dalam keadaan hari yang masih gelap bercampur sikit-sikit nak terang. Tak tergamak rasanya nak buang makanan walaupun kadang-kadang saya terpaksa buang. Terpaksa hokey! Alasan sangat.

Sebenarnya hari ni tak ada apa cerita sangat pun. Saja nak ketik-ketik keyboard sementara tunggu Fida habis kerja. Nak menulis? Sob. Sob. Sob. Saya masih lagi tak boleh menulis sampai ke detik ini. Sadis betul rasanya. Tapi apakan daya. Mungkin... ini ujian untuk saya dan saya terima. Saya sedar, dah bertahun-tahun ALLAH mudahkan saya dalam bab menulis. Jarang ada apa-apa halangan. Baru sekali ini dan rasanya saya tak layak untuk mengeluh. ALLAH dah beri begitu banyak dan saya seharusnya bersyukur. Insya-ALLAH... lepas-lepas ni saya akan cuba untuk mengayuh semula. Tak kisahkan kalau mula-mula tu perlahannya mengalahkan siput sedut (Adeh... dah lama tak makan ni) kerana saya percaya yang besar selalunya akan bermula dengan yang kecil dulu.

Dan untuk keinginan dan niat itu, saya berharap dan berdoa supaya ALLAH masih permudahkan saya untuk sekali ini sebab cakap terus terang, saya sangat suka menulis dan saya sangat sukakan dunia penulisan walaupun sejak kebelakangan ini, dunia penulisan macam dah tak berapa ‘bersih’. Apa maksud tak bersih, jangan ditanya pada saya kerana yang terlibat aje yang tahu – penulis & pembaca. Apa yang saya boleh kata, hasil tulisan itu juga salah satu saham akhirat dan kitalah yang menentukan ke mana hala kita, kanan atau kiri. Saya pun tak sempurna, karya-karya yang saya hasilkan juga mungkin akan mengheret saya ke arah yang berlawanan. Tapi saya mahu berubah dan sampai ke detik ini, saya masih berusaha untuk memperbaiki mutu penulisan. Siapa tahu, suatu hari nanti saya akan menulis karya yang lebih berat. Kan? Tapi itu hanya impian, bila bakal jadi kenyataan, saya sendiri tak ada jawapan. Akhir kata... kitalah yang menentukan siapa kita sebenarnya. Sampai jumpa lagi korang... ;-)

#KisahSemalamYangHangat

CUTI YANG TAK BERMAKNA...

November 16, 2015

Wah... sampai 3 tanda seru ya kau bagi kat tajuk tu, Aleya Aneesa! Hokey itu tanda marah. Tapi bukan marah pada sesiapa, marahkan diri sendiri sebab tamak. Kenapa tamak? Hem... sebab memang tamak pun saya ni dan sepatutnya tamak tu tak boleh berlaku. Cumanya, nak buat macam mana. Kalau dah penulis tu walaupun dah berabad tak menulis, tetap juga tak boleh lari daripada sikap penulis tu.

Alkisahnya, saya ni dah berjanji dengan geng RATU nak siapkan sebuah cerita pendek yang tak terlalu pendek. Tapi tak sepanjang sebuah novel. Kiranya macam cerita TETAPLAH DI SISIKU yang terdapat dalam ANTOLOGI: SAYANG, yang di dalamnya ada karya SAYA, AISYA SOFEA, ANIS AYUNI dan ROZITA ABD. WAHAB. Apa? Tak tahu buku tu wujud? Aduhai... sampainya hati!

Ya, buku tu memang wujud dan merupakan keluaran Mei 2015. Keluar tepat masa Pesta Buku Antarabangsa KL tahun ni. Ketika buku ni dilahirkan (Apa kau fikir budak nak lahir-lahir bagai?), saya ada kat UK (Wah... saya masih rindukan suasana nyaman kat sana tu). Tapi bukan saya menetap di sana hokey. Masa tu saya saja-saja jalan-jalan cuci mata sambil menghabiskan duit (Menitik peluh sebab bukan sikit duit yang keluar). Tak percaya buku tu wujud? Cuba search kat internet. Boleh tahan menarik cover dia, tau. Hahaha... makin lama haku makin ada potensi jadi manusia perasan gila. Sesekali, tak salah kot!

Okey, berbalik pada kisah tamak tadi (Bukan tamak duit atau yang seangkatan dengannya hokey!). Memang saya ada janji nak siapkan sebuah kisah dengan kakak-kakak baik lagi cantik tu, iaitu LYNN DAYANA, HEZZY AZRA DAN DHIYA ZAFIRA. Lebih sadis lagi, deadline dah sangat dekat. Malangnya, sampai ke hari ni saya masih tak mampu menggarap apa-apa. Ada yang kata, sebab saya terkena panah Arjuna Beta. Ada yang kata dalam kepala saya hanya ada ELID, sebab tu stuck. Dan ada yang kata, selama ni saya dah terlalu banyak bekerja dalam bidang penulisan dan kini, ALLAH nak bagi saya peluang berehat sambil uruskan majlis saya yang hanya tinggal beberapa bulan lagi tu. Untuk ketiga-tiga tu, saya suka pendapat yang ketiga sebab memang mampu memotivasikan diri, terpujuk hati yang rawan. Sedangkan dua lagi, buat malu kaum aje wei! Saya ni dah tua dah, sikit lagi nak bongkok tiga. Memang tak sesuailah nak biarkan hidup diawang-awangan gara-gara terkena panah asmara.

Sungguh saya tahu kat mana silap, saya seakan-akan dan tak boleh menulis lagi. Hati macam dah tawar tak bergula dalam bidang penulisan dan saya... sangat-sangat-sangat tak suka dengan apa yang saya rasa sekarang ni. Rasa nak menulis menggebu-gebu tapi tak ada apa-apa yang mampu saya keluarkan. Dan saya akui, saya ‘sakit’ dengan keadaan sekarang ni. Hidup rasa macam tak lengkap bila dah berbulan-bulan tak menulis. Perasaan ni... penulis-penulis lain rasa juga ke?

Tapi sebab dah berjanji, saya cuba juga meramahkan jari-jemari saya yang tak runcing ni cuti Sabtu & Ahad lepas sebab tak nak mungkir janji. Macam biasa, bermula dengan draf sebab draf yang ada macam tak kena dengan jiwa saya. Saya fikir, saya taip dan lepas tu saya rasa kisah tu lebih sesuai untuk novel, bukan cerita pendek. Kemudian saya fikir dan saya taip lagi, dan saya masih merasakan hal yang sama. Keadaan yang sama berulang berkali-kali dan sudahnya saya tutup PC. Saya... stress! Kenapa dalam saat-saat kritikal macam ni, saya jadi manusia yang tamak? Saya... tak suka!

Cumanya, itulah! Cakap jujur, saya sebenarnya tak gemar tulis cerita pendek dan saya kalau boleh nak elakkan daripada menulisnya. Jiwa saya rasa terkongkong setiap kali disuruh buat. Mesti saya rasa tak puas dan macam ada benda yang tak selesai. Tapi sebab dah terlanjur berjanji, saya kena selesaikan dan saya harap ALLAH akan tolong saya. Lepas ni, mungkin saya akan cuba elakkan apalagi bila melibatkan janji dengan orang lain. Dan, deadline... itu kelemahan saya! Selama ni, saya menulis sebab saya suka nak menulis tanpa ada paksaan daripada sesiapa. Pendek kata, saya penulis bebas yang menulis mengikut angin sendiri. Kalau saya nak menulis, saya akan menulis. Kalau rasa nak menulis tak ada, maka rehat panjanglah saya macam sekarang ni. Hanya... rehat kali ni dah terlalu panjang dan saya... TAKUT! 

DIA DAN BIARLAH DIA HENDAKNYA...

November 13, 2015

Hai... kita jumpa lagi! Wah... ni kira rekod untuk tahun ni sebab saya mampu menulis N3 kedua untuk hari ni, 13 November 2015. Selalunya, lepas berbulan-bulan barulah saya ramahkan jari-jemari gemuk ni untuk menconteng sesuatu. Kemudian, saya jadi tertanya-tanya sendiri, ada ke orang yang nak jengah rumah bersawang ni? Dan lepas, tu saya kata reda ajelah kalau dah tak ada orang nak datang. Siapa yang tahan kalau asyik nampak sarang labah-labah yang tak bersapu. Sekali masuk, entah-entah boleh sesat sebab depan dan belakang, kiri dan kanan, sama aje. Ye ke tak?

Ok... saya berbalik pada kisah sekerat jalan pagi tadi. Yang konon-kononnya, ada berlaku sikit perubahan dalam hidup saya sekarang ni. Kenapa sikit? Sebab memang sikit sungguh yang jadi. Dan lagi... sebab saya tak kahwin lagi. Kalau kahwin mungkin boleh dipanggil banyak. Kan?  Bila nak kahwin? Hahaha... itu memang soalan yang banyak orang gemar keluarkan, lebih-lebih lagi orang yang dah ada keluarga. Kononnya, kahwin itu penamat pada sebuah kisah sedih dalam hidup. Haktui, cuma omong kosong! Opsss... terludah pulak kita. Tapi bukanlah semua orang, dalam dunia ni saya percaya masih ada ramai orang baik. Orang yang tahu menjaga lidah biar sampai tak menggores hati orang lain. Hendaknya, biarlah saya jadi sebahagian daripada mereka itu. Kalaupun belum sampai ke tahap itu, suatu hari yang belum pasti, insya-ALLAH. Nak jadi apa kalau terus-menerus membiarkan diri tenggelam dalam hal-hal yang buruk, kan? Mohon doakan saya jadi baik ya dan saya akan mendoakan korang supaya jadi lebih baik lagi. Kenapa lebih baik? Sebab bila sudi doakan saya, itu tandanya korang memang dah baik, so perlu jadi lebih baik lagi. Orang kurang baik tentu tak mahu mendoakan orang lain. Betul tak?

Dan perubahan saya? Hahaha... nak cerita tak nak cerita sama banyak aje rasa sebab malu. Tapi memandangkan blog ni dah semacam diari untuk saya, nak jugalah menconteng sesuatu tentang LID (Lelaki Itu Dia). Konon-konon, nak bagi anak cucu baca suatu hari nanti. Hoho. Okey, LID ni tak merujuk pada tajuk novel kesayangan saya tu. Tak ada kaitan sama sekali walaupun untuk 0.01%. Tapi LID yang ini, merujuk pada dia yang kini ada dalam hidup saya. Poyo sangat kau ni Aleya Aneesa oi! Eh... jangan salah faham dulu! LID masih bukan suami saya, tapi insya-ALLAH kalau diizinkan ALLAH, dialah yang akan menjadi imam saya tak lama lagi. Doakan urusan kami dipermudahkan, ok kawan-kawan, ;-)

Ya... ya... saya tahu dan pasti, tentu ada yang bakal termuntah atau sebenarnya dah termuntah bila aje baca perenggan kat atas. Jadinya, sebelum korang dikejarkan ke hopital kerana tiba-tiba jatuh sakit hanya sebeb rasa meluat dan jengkel dengan contengan saya, silalah tinggalkan rumah ni buat seketika dan datang semula bila rasa dah sihat. Saya mahu terus berhikayat tentang LID tu. Wakakaka...

Taklah! Saya acah-acah aje. Tak ada apa pun yang nak diceritakan tentang LID tu. Dia hanya lelaki biasa. Macam saya, macam korang. Dilahirkan dengan pakej yang lengkap. Tapi bukan merujuk pada rupa, sebaliknya pakej baik dan buruk yang tersendiri, sama macam gue juga kok. Sungguh, dia memang biasa-biasa aje pun kalau tengok, (Dear, jangan marah – sila ambil baldi korang dan lepaskan rasa mual tu). Tapi kerana biasa-biasa aje dia tulah saya pilih dia dan kemudian lama-lama, biasa-biasa aje dia tu jadi luar biasa di mata seorang saya, Marwati Wahab. Eh... geli-geli aje rasanya bila Aleya Aneesa tulis macam ni kan? Hahaha. Sila muntah lagi, lagi dan lagi.

Saya tahu, ramai antara kenalan yang nyaris-nyaris nak dapat sawan (Uwek, perasan gila kau ni!) bila tup-tup ada pic saya pakai baju pengantin kat FB (Bukan saya yang masukkan ok, orang lain). Hoho... sesungguhnya tolonglah jangan tertipu. Saya masih belum bergelar pengantin, jauh sekali mak pengantin. Yang saya pernah jadi, adik dan kakak pengantin aje. Tapi saya tak juga nak nafikan yang itu memang gambar saya, sekali-kali tidak disuperimpose oleh orang yang tak bertanggungjawab (Phui... bajet kau retis ke?).

Ya, hujung Ogos 2015 yang lepas, saya diikat LID. Cuma... sebelah kaki aje sebab baru bertunang, kan? Sebelah lagi masih bebas macam burung merpati putih. Tapi bermula daripada detik itu, sebenarnya banyak hal berubah dalam hidup saya, sikit demi sikit. Bukanlah perubahan yang tak elok, tapi saya usaha untuk jadi lebih baik (Tapi bukan maksud dulu saya tak baik hokey!). Ditakdirkan hidup dengan LID nanti, saya mahu jadi yang terbaik walaupun saya bukanlah jenis baik-baik-baik gila. Cukup-cukup makan aje, kata orang!

Siapa dia? Macam mana kenal? Berapa lama kenal? Jumpa kat mana? (LID suruh jawab - jumpa kat bus stop pada orang yang tanya dan saya tambah kat dia, bus stop kat Melaka. Hahaha... dua-dua pun 2x5, loyar buruk). Macam mana tetiba aje boleh bertunang? Dan ada lagi soalan lain. Sebenarnya, soalan-soalan tu kerap ditanyakan pada saya. Yalah kata diaorang, tak ada angin tak ada ribut, alih-alih cipta kontroversi kat FB (Menipu diaorang ni. Saya cuma penulis cabuk, kontroversi celah mana?). Kononnya, tak pernah dengar pergi dating. Tak pernah ada gambar si dia dalam FB. Tak ada status-status geli-geleman kat FB. Ada yang tanya secara berdepan, ada juga kat alam maya. Ada yang saya ceritakan seringkas mungkin, ada yang saya tak jawab langsung. Bukannya sombong atau bajet gud-gud ya. Tak sama sekali sebab saya bukan siapa-siapa untuk perasan bagus gitu gaya. Saya sedar tak ada korang sebagai pembaca, saya tak mungkin boleh bergelar penulis walaupun sekarang ni saya dah macam jadi penulis suam-suam kuku aje (nangis sampai banjir).

Hanya... saya fikir itu hal peribadi saya dan LID. Kisah kami tak menarik untuk dikhabarkan pada orang, hanya kisah biasa yang langsung tak sama macam kisah yang ditulis saya dalam novel. Tak ada sikit pun yang terkena batang hidung kami sebab memang bukan cara saya mengungkap kisah sendiri. Malu kot! Dan kalau boleh, nak tutup rapat-rapat.

Tapi biar macam mana pun kami kenal dan jumpa atau apa-apa aje tentang kami, saya hanya berharap dan berdoa biar segala-galanya dipermudahkan ALLAH. Kalau boleh, biarlah dia dan hanya dia aje. Saya dah terlalu tua, dan saya hanya nakkan hidup yang baik-baik... ;-)

JENGAH! JENGAH!

Hello... rumah yang makin sepi. Rindu saya tak? Apa... tak? Hem... tak apa! Gue faham banget kok. Jujur cakap, bukan tak rindu nak menjengah ke sini. Sangat rindu! Macam nak rak pun ada juga kot rasanya.  Tapi apakan daya, kemalasan melanda jiwa.  Lebih daripada itu, masa pun makin cemburu. Maklumlah, sejak ke belakangan ni banyak benda dah berubah.

Sebenarnya tak ada apa sangat pun yang berubah. Saya auta aje lebih. Rutin masih berjalan seperti biasa. Pergi kerja pukul 6.30 – 6.45 pagi. Balik 4.30 – 4.40 petang. Cumanya, hampir 10 tahun bekerja di Bahagian Buku Sastera, akhirnya kini pindah di Bahagian Penguatkuasaan. Dah 5 bulan, tapi sampai ke hari ini masih berusaha menyesuaikan diri dengan bidang kerja yang jauh berbeza dari dulu (Oh... rindunya nak mengedit manuskrip). Kawan-kawan yang kebanyakannya saya tak kenal (Rindunya kawan-kawan lama yang keletah dan banyak mulut). Persekitaran yang tak sama walaupun masih berada di bawah payung Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kalau ditanya pada hati, saya suka ke tak kerja sekarang ni? Saya tak dapat bagi jawapan yang tepat. Mungkin sebab jiwa saya masih ter tinggal di tempat lama. Tapi di sisi yang lain, saya tahu masanya memang tepat. ALLAH tahu yang saya tak mampu lagi bertahan di sana. Sebelum pindah dulu pun jiwa saya macam dah tak ada. Ikhlas dah makin jauh. Jadinya, hari-hari saya minta supaya diberikan jalan keluar. Dan kerana ALLAH itu MAHA MENDENGAR dan MEMAHAMI, akhirnya doa saya dikabulkan. Bulan Jun 2015, dengan berat hati saya tinggalkan Bahagian yang dah banyak menyaksikan jatuh bangun saya. Kenapa berat hati sedangkan jiwa dah tak ada? Hem... tempat jatuh lagikan dikenang, kan?

Dan di tempat baru ini, walaupun ramai yang anggap saya dah ‘selamat’, tapi taklah semudah itu. Kerja kat sini nampak ringan tapi sebenarnya sangat berat. Bukan mudah bila terlibat dengan orang awam. Iklan dan soalan tentang bahasa yang diajukan sering buat saya tak mampu bergerak bangun bila dah sampai rumah sebab terlalu letih. Otak selalu rasa kosong dan yang paling sadis, saya tak mampu menulis dengan otak yang kosong dan badan yang lesu walaupun saya tak angkat kayu balak. Yang ada di kepala saya bila balik, tidur, tidur dan tidur.

Sedih! Ya... malu nak mengaku tapi saya rasa sedih gila bila keinginan nak menggarap cerita baru menggebu-gebu tapi tak mampu. Tapi sampai ke hari ni, saya masih minta pada DIA YANG SATU supaya saya boleh kembali menulis. Saya rindu nak baca novel, saya rindu nak beli novel, saya rindu nak menulis, saya rindu nak larut dalam setiap cerita yang saya garap.

Ok... saya tinggalkan cerita kerja saya yang tak pernah selesai dan mungkin tak akan selesai sampai bila-bila. Nak cerita fasal hidup pulak wei! Hah... hidup? Hahaha... pun tak ada apa yang menarik sangat. Tetap juga saya macam Marwati Wahab atau nama tipu-tipuan Aleya Aneesa. Langsung tak ada yang berubah ke? Hokey... itu tipu! Tak mungkin tak ada yang berubah bila memang ada perubahan yang berlaku. Sikit aje!  Ya betul... sikit aje! Kenapa sikit aje? Jawapannya... TUNGGU NEXT  N3. Dadadada... dulu, ;-)