-Akhir November 2009-

November 30, 2009

Hampir sebulan blog ni usang & bersawang. Tuannya ada, tapi anehnya blog tak terjaga. Ceritanya ada banyak, tapi peliknya tak juga ada yang tertulis kat sini. Sebenarnya tak tau nak tulis apa, walaupun rasa macam ada banyak benda nak tulis. Tapi sudahnya, blog ni tetap juga sepi & sunyi sendiri. Huh... kesian blog yang tak bersalah ni.

Sepanjang November, banyak aktiviti aku buat. Awalnya pergi Penang buat perolehan manuskrip dengan lecturer USM selama 4 hari. Pertama kali cecah kaki ke sana, hem... tiba-tiba rasa rindu nak balik ke UPM. Tengok student yang berduyun-duyun buat aku teringat banyak kenangan masa belajar dulu. Kalaulah aku boleh baik zaman tu, yup... tentu aje aku nak, kecuali buat assignment dan exam. Dua perkara tu aku tak nak buat langsung. Tapi, mana ada kan universiti yang tak ada buat dua perkara tu?

Balik dari Penang, aku, Bikash, Shanika dan Fieda pergi pula ke rumah Kak Iris Ixora. Hem... pertemuan pada awalnya agak menggusarkan aku sebab tak pernah jumpa Kak Iris sebelum ni. Tapi sudahnya, aku dan kawan-kawan hanya ambil masa beberapa minit untuk bertingkah seperti biasa. Kak Iris... seorang yang sangat menyenangkan. Dan pelajaran yang diajar secara tak langsung, buat aku berfikir, betul juga kata Kak Iris. Cuma itulah, kadang sukar juga bila berdepan dengan kenyataan. Buat Kak Iris, terima kasih sangat...

Lepas tu dalam bulan yang sama juga ikut Kak Lynn pergi ke Felda Serting, Negeri Sembilan. Hem... keluarga Kak Lynn sangat meriah. Mula-mula agak kekok, tapi lepas tu macam biasa, mudah aje nak sesuaikan diri. Moga perjalanan ke sana berbaloi, walaupun tak seperti yang diharapkan. Sebabnya, dalam keadaan apa pun, aku harap ketenangan selalu ada dan ilmu yang aku dapat, akak aku gunakan untuk seluruh kehidupan. Esoknya, pagi-pagi dah bergerak ke rumah Kak Lah untuk majlis perkahwinan anak kedua Kak Lah. Kak Lah suruh tolong, tapi aku kekok, sangat kekok sebab tak biasa. Kalau menolong kat kampung, bolehlah sangat.

Minggu berikutnya, balik kampung sebab nak sambut Hari Raya Aidiladha. Awalnya, rasa berat hati, sangat berat hati sebab, hem... ada rasa yang tak mampu diluahkan. Tapi lepas sampai kat kampung, tengok tingkah anak-anak buah aku yang rencam. Yup, rasa-rasanya, inilah perkara yang mampu menyejukkan hati aku, rasa tak tentu arah aku macam dah dicabut dari hati. Betul, aku rasa betul-betul terpujuk, untuk saat itu. Cukup dengan jelingan maut dari Kakak, Adik, Danish dan Aqqif, dan bonusnya bahasa Latin Zakwan dan Arissa.

Hari ni aku dah kembali bekerja. Hari Isnin, hari pertama bekerja, mood kembali buruk. Tapi tak kisahlah, cuma aku harap, lepas ni aku dapat sudahkan apa yang sepatutnya aku sudahkan lama dulu. Janji tetap janji & aku tak harap jadi manusia yang lupa janji. Buat yang masih sudi berkunjung, terima kasih... terima kasih sangat!

-Setelah 6 Tahun-

November 10, 2009

Bermula Ogos, Kemudian September, Oktober dan akhirnya November. 4 bulan terakhir untuk tahun 2009, terasa seperti aku berjalan di atas bara api, panas dan terasa sangat memanaskan. Ada begitu banyak cerita duka yang menjadi hidangan sampai-sampai aku tersedar yang aku kenyang menelan air mata dalam 4 bulan kebelakangan ini. Tapi... itulah yang dinamakan lumrah hidup. Kadang di atas, kadang di bawah, sememangnya rutin yang harus ditempuhi oleh ramai orang di dunia ini. Ceh... bahasa berbunga-bunga, tapi bukan itu yang nak aku conteng hari ini. Itu sekadar mukadimah penulis cabuk bergelar Aleya Aneesa @ Marwati Wahab, yang dah tinggalkan rumah sendiri usang tak bersapu.

Khamis, 5 November 2009, mungkin hanya hari biasa. Tapi bagi aku, satu lagi kenangan indah tercipta dalam hidup aku di sebalik cerita haru yang tak sudah. Siti Fatimah Zain... satu nama biasa dan mungkin semakin jauh dalam hidup aku, seiring dengan putaran masa yang bergerak. Tapi macam mimpi, akhirnya setelah 6 tahun berlalu dan masing-masing sibuk dengan hidup dan kehidupan sendiri, aku dan dia dapat berjumpa sekali lagi. Betullah... benda yang tak dirancang memang selalunya menjadi.

Sungguh, masa kaki mencecah tanah Penang, aku langsung tak rancang nak jumpa dia sebab aku takut tak ada masa nak diluangkan untuk kawan yang sama-sama jatuh dan bangun bersama-sama aku kat UPM dulu. Bukan juga tak pernah pergi sana lepas habis study, cuma tak ada kesempatan berjumpa dengan kawan yang aku panggil Siti itu. Hanya, aku nekad hantar SMS kat dia malam Rabu tu sebab hati terasa melonjak-lonjak nak jumpa dia. Nak tengok muka dia lepas 6 tahun tak jumpa dan lepas ada anak dua.

SMS berbalas malam tu juga, tapi tak pula dia kata nak jumpa aku. Tapi pagi, masuk lagi satu SMS. Syukur dia pun rupa-rupanya teringin sangat jumpa aku. Jadi pukul 11.30 malam, dengan debaran aku tunggu dia kat lobi hotel. Ye... macam biasa, kami saling berpelukan dan ada air mata menitis keluar tanpa dipaksa. TUHAN... sungguh, aku betul-betul rindukan Siti. Dan tangisan kami macam menjadi-jadi masa aku salam tangan mama, aku peluk mama yang sebelum ni aku tak pernah jumpa. Tapi aku kenal mama (mak mentua) Siti melalui cerita-cerita Siti masa di U dulu. Anak-anak Siti, dah besar dan comel. Bijaknya sama macam Siti juga. Dan Siti, masih macam dulu juga. Masih comel dan kecik juga, kecuali dah semakin berisi.

Jumpa tak lama, tapi aku tahu dan aku dapat merasakan rindu selama 6 tahun lerai begitu saja. Sahabat, aku tahu tak ramai yang benar-benar boleh digelar sahabat dalam erti kata sebenar kat dunia ni, tapi aku tahu... Siti Fatimah itu, adalah sahabat yang sangat baik yang pernah ketawa dan menangis bersama-sama aku satu ketika dulu. Moga semua kebahagiaan aku jadi milik Siti dan keluarganya.