- Semalam yang Hangat -

October 29, 2008

Pagi yang cantik, buat aku teringat apa yang berlaku semalam. Ceh... jiwang karat. Salam buat semua. Sebenarnya tak ada apa pun yang berlaku. Cuma, akhir-akhir ni agak sibuk sikit. Mungkin paling lama pun sampai pertengahan bulan November nanti. Selepas tu, harap-harap tak akan ada aktiviti sampai hujung tahun ni.

Semalam… aku memulakan hari seperti biasa. Tapi agak berbeza sikit bila terpaksa bantu Kak Lah masukkan segala macam barang dalam beg kertas untuk diberikan pada para peserta pantun dalam Pertandingan Berbalas Pantun antara Institut Pendidikan Guru Malaysia 2008. Pertandingan pantun tu diberi tajuk “Sirih Berlipat Pinang Berkacip”. Menarikkan tajuk tu? Sebenarnya pertandingan tu bermula hari ni, tapi di peringkat saringan. Aku dan kawan-kawan pula terlibat untuk peringkat akhir pada hari Sabtu. Gamaknya, kena kerjalah nanti.

Tugas yang agak sinonim dengan aku ialah menguruskan kad undangan dan segala macam kad, memo dan surat dah pun aku selesaikan pada minggu lepas. Nampaknya semua berjalan dengan lancar walaupun, ada jugalah terasa memberontak dengan seseorang. Lepas tolong Kak Lah... ada meeting, ‘ad hoc’ kata bos. Hem... layan aje. Meeting ni pun fasal pantun tu juga tapi hanya sentuh mana-mana yang belum selesai. Kemudian, ada jamuan raya untuk Bahagian Penerbitan Sastera. Di hujung-hujung Syawal, ada makan-makan rasa macam tak kena walaupun aku makan banyak.

Dalam pukul 2 lebih telefon Kak Lily Haslina lepas aku tak jawab panggilan dia sebanyak 3 kali. Dah hujung-hujung tu, Kak Lily tanya fasal novel baru aku. Dah sampai mana? Mungkin soalan wajib untuk semua penulis, aku pun macam tu juga. Hehe... nak jawab apa ya? Rasa macam tak ada jawapan sebab aku baru aje memulakan kembali penulisan aku lepas berhenti hampir 6-7 bulan tanpa ada sebab. Ya, memang tulah yang sebenarnya. Dalam masa 6-7 bulan tu aku tiba-tiba jadi malas dan culas. Malah selalu pula hanyut dengan mood walaupun idea dalam kepala banyak benar. Duduk depan PC atau laptop tapi tangan rasa kaku. Seksanya tak dapat menulis, TUHAN aje yang tahu.

Dalam pukul 3 lebih, telefon pula seorang penulis sebab ada masalah sikit. Huh... kena marah lagi dengan penulis yang sama, entah untuk kali ke berapa dan dengan alasan yang sama. Sabar ajelah walaupun agak mual tekak. Tapi kali ni aku tenang-tenang aje, boleh ketawa lagi lepas letak telefon. Betullah, pengalaman memang mematangkan fikiran manusia. Lagipun, aku tahu dengan jelas apa sebenarnya yang berlaku.

Entahlah, kita sebagai manusia selalu merasakan diri kita betul, jadi kita pun nak membetulkan orang lain hingga tak sedar dalam diam kita menyusahkan diri sendiri dan selepas itu mula menyalahkan orang lain. Tapi realitinya memang begitu pun yang banyak berlaku. Apa pun, alhamdulillah... semua yang berlaku langsung tak menjejaskan mood aku. Harap-harap, esok-esok... walaupun ada segugus lagi masalah datang, mood yang satu ni tak akan tergugat. Harap-harap juga ALLAH akan terus tolong aku hendaknya. Sekian...

- Kuiz Sastera Perdana 2008 -

October 17, 2008

Salam hari Jumaat buat yang sudi berkunjung. Entah apa yang nak dibebelkan di sini, hari ni ye? Banyak benar yang berlaku sepanjang minggu ni sampai tak sempat nak menulis. Tapi sebab Si Mek Ika dah bising aku tak update blog ni, jadi aku pun menulislah mana-mana yang aku rasa menarik. Tapi untuk Ika dan Kak Dhiya, sabar ye, tunggu rajin sikit, hehehe...

Semalam dengan rasminya Kuiz Sastera Perdana 2008 yang diadakan selama 2 hari di DBP berakhir. Dalam kuiz yang diadakan itu sebanyak 16 buah sekolah bertanding mewakili sekolah-sekolah di seluruh Malaysia. Kiranya sekolah-sekolah tersebut adalah sekolah yang menang atau terbaik di peringkat negeri masing-masing. Dan, dalam peringkat akhir pula terdiri daripada 4 buah sekolah yang menang pada peringkat suku akhir. Sekolah-sekolah tersebut ialah Sek. Men. Keb. Agama Maahad Muar, Johor, Sek. Men. Keb. Mutiara, Sabah, Sek. Men. Keb. Sultan Alam Shah, Putrajaya dan Sek. Men. Keb. Temerloh, Pahang.

Seperti adat pertandingan lain, tentu ada kalah dan menang, jadi dalam kuiz tersebut, Sek. Men. Keb. Sultan Alam Shah, Putrajaya dinobatkan sebagai juara. Tahniah kepada sekolah tersebut dan kepada sekolah-sekolah lain, jangan berputus asa sebab masih boleh mencuba pada tahun-tahun akan datang. Selagi ada ruang, peluang pasti ada.

Bagi aku pula, kalah menang bukan ukuran, yang penting semangat yang ada. Kalau pun mereka kalah... mereka telah pun dianggap juara di negeri masing-masing. Dan, setelah kuiz tersebut selesai, aku rasa benar-benar lega. Sebenarnya tugas yang diberi pada aku bukannya berat benar, sekadar menjadi pencatat markah. Tapi terus terang aku katakan yang aku agak stress sepanjang kuiz berlangsung lebih-lebih lagi untuk peringkat akhir. Maklumlah ini pengalaman pertama walaupun kuiz tu dah 5 tahun rasanya berlangsung. Dalam hati janganlah hendaknya aku melakukan kesilapan sebab markah yang aku catatkan terpapar di dua buah layar putih yang besar, semua orang boleh lihat dengan jelas. Lebih dari itu, pengiraan terpaksa dibuat secara manual sebab tiba-tiba aje apa yang dah diset oleh Kak Fatin tak boleh digunakan. Mungkin silap kami juga sebab baru pagi tu kami buat format baru sebab masa tak ada. Tak sempat nak cuba.

Tapi alhamdulillah... semuanya berjalan lancar, apa yang aku kira tak ada yang silap, sama seperti hari sebelumnya. Apa pun, sekali lagi tahniah untuk semua sekolah yang terlibat.

- Raya & Kenangan -

October 7, 2008

Salam Aidilfitri kepada semua yang singgah di sini. Rasanya masih belum terlambat untuk ucapan itu walaupun terasa agak janggal juga sebab pada hari raya ke-7 ni barulah aku ucapkan kata-kata keramat tu. Macam dah terlambat pun ada juga, tapi aku nak ucapkan juga sebab raya cuma datang setahun sekali. Kalau bukan hari ni, bila lagi? Lagipun sekarang ni masih bulan Syawal, bererti ucapan Selamat Hari Raya Aidilfitri masih sah digunakan.

Raya... sambutan raya kali ni, bagi keluarga aku berjalan seperti biasa, seperti tahun-tahun sebelumnya. Kami masih tetap mengamalkan rutin harian yang sama. Tak ada apa yang berubah dan aku harap tak akan ada apa yang berubah pada masa-masa akan datang walaupun kedengaran agak mustahil sebab setiap sesuatu di dunia ni akan berubah, diubah, terubah dan menerima perubahan seiring masa dan keadaan.

Cuma bagi aku pula, kedatangan Syawal memang aku tunggu-tunggu sebab hanya pada 1 Syawal aku berpeluang minta maaf pada mak dan abah dalam keadaan yang tenang dan tanpa rasa malu setelah mengumpul kesalahan selama setahun. Pada hari-hari biasa, walaupun dah melakukan kesalahan, biasanya aku akan buat-buat tak tahu dan tak bersalah walaupun aku tahu aku memang dah melakukan kesalahan. Malu, perasaan tu selalu ada bila bibir nak melafazkan kata maaf lepas buat kesalahan pada mak dan abah. Terukkan? Tapi jauh di sudut hati, aku sentiasa mohon maaf pada dua insan paling baik hati itu setiap kali rasa bersalah datang.

Dan, ya... semuanya berjalan lancar seperti yang dirancang. Cumanya, di hujung-hujung cuti raya, aku nampaknya dah melakarkan satu sejarah hitam dalam diari raya tahun ni. Sampai ke saat jari ni mengetuk keyboard pun, dada rasa sakit, rasa kesal menjentik tangkai hati buat pertama kali dalam hidup. Aku tak sepatutnya bertindak melulu begitu, tapi bila perasaan mengatasi pemikiran, manusia sering hilang pertimbangan diri. Akibatnya, sampai ke hari ni rasa bersalah membungkal dalam diri. ‘Maafkan ami, ami dah buat salah lagi’. Pun kata-kata tu cuma terluah dalam hati. Tapi di sebalik apa yang berlaku, aku mula tahu satu perkara yang aku tak pernah perasan, aku rupa-rupanya dalam tak sedar dah jadi tak begitu keras kepala dan mudah mengalah walaupun baran masih menebal, langsung tak sama seperti dulu. Benarlah... pengalaman dan kenangan sering kali mematangkan manusia.

Hem... rasanya itulah sedikit cerita raya aku yang tak ada apa-apa keistimewaan bagi orang lain, tapi amat bermakna bagi aku dan keluarga. Kepada sesiapa yang mengenali atau tak mengenali aku dan tanpa sedar aku telah melakukan kesalahan dan kesilapan, hanya kata maaf yang dapat aku luahkan sebab aku sedar aku hanya manusia biasa yang kalau boleh mahu melakukan yang terbaik, memuaskan hati semua orang, tapi ada masa-masanya aku jadi lalai dan alpa. Apa yang kulakukan tak semestinya baik untuk semua orang. Untuk Kak Azie yang terlalu baik hati... maaf sis, hanya maaf...