- PRE-ORDER NOVEL CINTAKU BUKAN MURAH -

June 14, 2013

- Saya buka PRE-ORDER untuk novel CINTAKU BUKAN MURAH kepada yang berminat sahaja... -

1) HARGA : RM30 [SEMENANJUNG MALAYSIA]

                   : RM35 [SABAH & SARAWAK]

2) MASA : SEHINGGA MINGGU DEPAN

3) KOS POS : DAH TERMASUK DALAM HARGA

4) BILA PEMBAYARAN DAH DIBUAT :  MOHON KIRIMKAN DETAIL PEMBAYARAN DAN DIRI JUGA [NAMA, ALAMAT, NO PHONE]

5) LAIN-LAIN : - NOVEL AKAN DITANDATANGAN DENGAN SENANG HATI

                           - UNTUK YANG BERMINAT SAHAJA YA...

                           - PM DI FB ATAU EMAILl & SAYA AKAN BAGI NO. AKAUN.
                      
                           - NOVEL AKAN DIKIRIMKAN SEBAIK AJE ADA STOK

Terima kasih... ;-)

- KITALAH KITA... -

June 13, 2013

- Perancangan DIA cukup cantik. Ada banyak yang disimpan tapi kita tak pernah tahu dan selalu gagal mencari tahu... -

Kita manusia biasa, kita terkenal dengan banyak kelemahan. Bahkan, ada masa-masanya kita tekad untuk tak melakukan kesilapan yang sama kerana kita kesalkan kesan yang terpaksa kita lalui, pada kita atau pada orang-orang yang ada di sekeliling kita. Tapi esok-esoknya, tanpa kita sedari atau memang secara sedar, kita masih melakukan kesilapan yang sama. Mungkin bukan niat kita begitu, kita terpaksa melakukannya demi sebuah tuntutan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Dalam erti kata yang lain, kita tak ada pilihan lain dan hanya melakukan kesilapan itu satu-satunya jalan yang ada. Mungkin juga... memang niat kita begitu kerana kita gagal memegang kejap tekad yang kita simpulkan di hati. Dalam bahasa yang mudah, kita gagal untuk terus istiqamah.

Saya... saya sendiri pun kerap melakukan kesilapan dalam hidup. Kadang secara sedar dan kadang secara tak sedar. Namun yang teruknya saya, ada masa-masanya saya tak dapat menerima kesan daripada kesilapan saya sendiri. Lalu dengan tanpa rasa bersalah saya mula menyalahkan itu dan ini demi memastikan diri saya tak nampak bersalah. Padahal... sepatutnya saya bertanggungjawab dengan apa yang dah saya lakukan. Itu barulah orang kata, berani kerana benar.

Tapi ada juga situasinya, saya bersalah dan saya tahu memang sayalah yang bersalah, tak ada orang lain melainkan hanya saya semata-mata. Nak membela diri ikut cara mana pun, hakikatnya saya telah melakukan kesalahan. Makanya, saya harus bersedia menerima apa saja yang berlaku walaupun mungkin jauh dalam hati saya, saya tak nak mengaku.

Saya percaya, di dalam dunia ni bukan hanya saya yang begitu, ada ramai lagi yang serupa. Cumanya, sama ada nak mengaku atau sebaliknya, terpulang pada diri kita sendiri kerana secara jujurnya, hanya kita yang mengenali diri kita melebihi orang lain walaupun atas tiket bersahabat-baik atau kenal-luar-dalam dan tak-ada-apa-lagi-yang-nak-disorokkan.

Okey, berbalik pada sepotong ayat di atas tu, memang kenyataannya kita hanya mampu merancang. Kita boleh rancang untuk hidup begitu, begini. Kita boleh berkata mahu bekerja pada umur sekian-sekian, mahu bekerja sekian-sekian, pencen sekian-sekian, mahu berkahwin bila dah mendapatkan yang sekian-sekian, pada umur sekian-sekian, mahu mendapatkan anak sekian-sekian, berapa perempuan sekian-sekian, berapa lelaki sekian-sekian dan banyak lagi perancangan yang kita buat dalam hidup. Tentu sekali yang indah-indah sebab tak ada manusia yang nak menggerhanakan hidup dan kehidupan sendiri. Tapi sudahnya, semua rancangan kita yang hebat-hebat itu lebur dalam sekelip mata, walaupun rancangan kita dah sangat teliti dan telah halusi dengan sedalam-dalamnya.

Kemudian, kita hampa, kita kecewa dan akhirnya kita nangis bagaikan dunia dah berhenti berputar. Kenapa ya kita perlu kecewa sedangkan kita tahu itu hanya sebuah perancangan? Bila dinamakan ‘rancang’, maknanya ‘rancang’ dan tak tentu lagi boleh dilaksanakan. Tetap juga kita kecewa! Tahu kenapa? Sebab kita... hanya manusia biasa yang selalu berharap apa yang baik-baik berlaku pada diri kita. Bila berlaku sebaliknya, kita terkilan.

Ya, saya pernah rasa perasaan tu. Kawan-kawan juga tentu pernah rasa perasaan yang sama. Tak boleh tipu ya sebab kita-kita ni sama! Dan... kita harus akur, yang sebenarnya perancangan kita tu hanya cantik di permukaan. Sedangkan bagi DIA, DIA lebih tahu apa yang terbaik untuk kita kerana dia memberi bila tepat pada masanya. DIA memberi apa yang benar-benar kita perlukan. Yakinlah dengan sesungguh hati bahawa perancangan DIA cukup cantik. Ada banyak yang disimpan tapi kita tak pernah tahu dan selalu gagal mencari tahu.

Untuk itu... mari kita semua melapangkan dada dan membesarkan hati kita yang tak sebesar mana tu. Terima saja apa yang didatangkan pada kita seadanya kerana tentunya terkandung hikmah yang tersembunyi di sebaliknya... ;-)

PESANAN PENUH KASIH SAYANG: Terima kasih pada yang membaca coretan tak pentingan ni. Jumpa lagi di lain coretan...

- CINTAKU BUKAN MURAH, NOVEL KE-11 -

June 4, 2013

Salam dan Selamat Sejahtera pada semua. Kat atas tu cover novel terbaru saya yang diberi judul CINTAKU BUKAN MURAH [CBM]. Alhamdulillah... pejam celik, pejam celik, rupa-rupanya dah 11 buah novel saya dengan Alaf 21 [Grup Buku Karangkraf]. Cepatnya masa berlalu sampai kadang-kadang saya tak sedar tentang banyak perkara. Tapi kalau nak diikutkan, dah ada 12 novel saya dengan Alaf 21, cumanya... apa gunanya mengenangkan sesuatu yang dah tak ada. Tak kisahlah berapa jumlahnya novel yang dah saya hasilkan, paling penting saya berharap, selalu berharap dan akan tetap berharap supaya setiap novel yang saya hasilkan dengan berbagai-bagai perasaan dan cabaran dapat diterima.

Kalau terasa nak komen, bukan sekarang masanya sebab novel CBM tu belum ada di pasaran. Kena tunggu bulan Julai 2013 nanti sebab novel ni dijangka terbit pada bulan tersebut. Itu pun kalau tak ada aral melintang. Bila hari dan tarikhnya, jangan ditanya sebab jawapan tu tak ada pada saya. Hanya saya berani katakan, bila CBM benar-benar dah ada di pasaran, itulah harinya.

Dan seperti selalu, saya bersedia mendengar apa saja komen pembaca asalkan komen yang diberikan bertujuan untuk memperbaiki mutu penulisan saya sebab saya memang mengharapkan komen yang membina. Kalau komen dengan niat mahu menjatuhkan semangat saya, maaf... saya tak akan ambil peduli, apalagi kalau disampaikan dengan cara yang tak berhemah. Saya tak suka orang yang kurang ajar sebab saya tak pernah berkurang ajar dengan orang, kecuali tanpa saya sedari. Itu... di luar kemampuan saya dan saya mohon maaf.

Sejujurnya bagi saya, komen itu makanan penulis. Kalau sedap, yang membawa maksud membawa kebaikan [bukan pujian aje, tak puji pun sama janji tujuannya baik], akan saya kunyah dan telan. Kemudian saya akan teliti, kaji dan cuba buat apa yang mampu saya buat. Kalau sebaliknya, saya akan luahkan kembali tanpa perlu berfikir sampai berkali-kali. Apa gunanya memenatkan mulut mengunyah dan menelan makanan yang hanya akan membawa mudarat pada diri sendiri.

Terus terang kata, saya bukan lagi anak remaja yang baru bertatih dalam dunia penulisan. Saya dah begitu banyak melalui pahit manis sepanjang 10 tahun bergelar penulis. Saya ketawa dan menangis bersama-sama karya saya. Saya jatuh dan bangun bersama-sama mereka [merujuk karya saya]. Ya, saya akui dunia penulisan ni macam pelangi, ada bermacam-macam jenis warna. Kadang sangat indah, kadang sangat hodoh. Tapi ini dunia yang saya pilih, maka saya harus memaknakan pilihan saya dengan sebaik-baiknya biar pada akhirnya nanti saya tak akan rasa kesal.

Untuk yang memang menanti CBM ni... saya akan maklumkan perkembangannya dari semasa ke semasa. Untuk yang mahukan tandatangan saya, saya akan buka preorder beberapa hari lagi. Rasanya, itu aje untuk setakat ni. Sekian... ;-)