PROJEK BARU ALEYA ANEESA

September 21, 2018


Bukan hati tak teringin, bukan masa begitu cemburu, atau keadaan mengekang keinginan. Tidak dan tidak! Saya juga tak nak menyalahkan sesiapa sebab memang tak ada sesiapa pun yang bersalah. Memang sejak bergelar Mrs. Eskandar segala-galanya jadi berubah. Yang paling ketara, jari-jemari gomoks ni macam merajuk tak berkesudahan. Puas diketik-ketik kat keyboard, tapi yang mengalir cuma rasa hampa. Mungkin, terlalu lama berehat maka semuanya jadi serba tak kena.

Atau... jeng, jeng! Mungkin untuk masa ini ada benda lain yang lebih mengujakan saya. Ya, itulah dia! Lately ni saya macam seronok gila menyabun aka membuat sabun sendiri. Dan kerana kegilaan yang betul-betul gila tu, saya sanggup bayar sana bayar sini demi mendapatkan ilmu. Cumanya, untuk saat ni semuanya saya belajar dalam kelas online dan setakat ni dah beberapa jenis sabun berjaya saya buat dengan jayanya. Ada kaler biru, hijau, kuning, hitam dan beberapa jenis lagi. Ada untuk kulit kering, berminyak, sensitif dan adalah yang saya tak berapa nak ingat.

Dan esok, kalau tak ada aral saya akan masuk kelas buat sabun yang harganya boleh bayar sebulan hutang kereta. Tapi demi ilmu yang bermanfaat, saya pejamkan mata menuntut ilmu dengan orang yang berwibawa biar esok-esok saya tak digelar tukang sabun internet. Saya tak akan benarkan diri digelar macam tu. Lebih daripada itu, dalam kelas tu kami bukan sekadar diajar buat sabun tapi formula dalam hal-hal berkaitan sabun dan formula itulah yang sangat mahal bagi saya. Alang-alang belajar, saya nak dari A to Z. Biar nanti-nanti saya berupaya buat formula sendiri demi diri sendiri dan orang-orang yang sudi.

Kenapa saya beralih arah? Tentulah sebab saya tau usia saya semakin meningkat dan sikit hari lagi saya bakal mereput dimakan hari. Ceh! Taklah sampai macam tu sekali. Cumanya, sekarang ni saya lebih terpanggil untuk lebih menjaga kebersihan dan kesihatan diri sendiri. Saya nak kawal bahan-bahan kat dalam sabun tu. Mana yang tak elok, saya tepis. Mana yang elok saya tarik-tarik biar rapat rapat dan terus rapat.

Lagipun bila usia makin beranjak ke depan, perubahan kulit saya jadi sangat ketara. Kering, berminyak dan kekadang tak pasti kulit jenis apa yang saya ada. Tapi biarlah, perlahan-lahanlah saya cuba buat yang terbaik. Sekurang-kurangnya, sekarang ni saya lebih tau tentang hal-hal berkaitan dengan sabun. In shaa Allah, saya akan kongsikan kepada yang teringin nak tau. Tapi dalam masa yang sama, saya still berdoa yang satu hari nanti saya dapat kembali menarikan jari-jemari saya dalam dunia penulisan novel. Em... dah dulu ya. Sayonara!

Salam sayang,
Aleya Aneesa aka Miss Writer’s Block

TERIMA KASIH KERANA MELAHIRKAN ENCIK, MAK!

July 10, 2018


7 Julai 2018! Ya, masih lagi cerita 7 Julai 2018. Ada apa yang sebenarnya dengan 7 Julai 2018? Hem... dah tentulah ada sesuatu selain daripada Majlis Pertunangan Umi aka adik ipar saya. Sebenarnya, pada tarikh yang sama, 64 tahun dulu mak mentua saya aka mak Encik selamat dilahirkan ke dunia ni.

Jujurnya, saya dah wish pada mak secara bertentang mata. Saya kata, Selamat Hari Lahir Mak. Semoga mak panjang umur, murah rezeki, diberikan kesihatan yang baik dan selalu dirahmati Allah. Dan doa tu kemudian diaminkan Encik, ayah mentua dan kakak ipar saya. Hendaknya semua doa tu dikabul DIA.

Tapi sebenarnya, yang tak tersebut dek lidah tak bertulang saya ni, saya nak cakap pada mak mentua saya macam ni, “Terima kasih mak sebab dah lahirkan Encik ke dunia ini. Tahniah, sebab mak dah melahirkan anak yang sangat baik di mata dan hati saya. Saya syukur sebab dialah jodoh saya, mak.”

Untuk mak, semoga yang baik-baik aje yang didatangkan Allah selepas ini. Doa saya untuk mak, in shaa Allah tak akan berhenti.

SELAMAT BERTUNANG, UMI!

7 Julai 2018, alhamdulillah majlis pertunangan adik ipar saya, Umi berjalan dengan lancar seperti yang dirancang kami sekeluarga. In shaa Allah tak ada aral melintang, November 2018 nanti, satu-satunya bunga yang tinggal dalam keluarga kami bakal bergelar isteri orang. Hoyeh... saya sangat gembira!

Dan saya, sebelum bertunang 3 tahun dulu selalu fikir satu-satunya dugaan orang bertunang, orang ke-3. Tapi salah! Orang ke-3 cuma salah satu daripada 1001 sebab yang ada dalam dunia ni. Ada banyak lagi sebab dan sebab-sebab itu lebih dahsyat daripada dugaan orang ke-3. Kenapa saya tulis macam ni? Hem... tentulah sebab saya pernah bertunang dan syukur, kami tak diuji dengan kehadiran orang ke-3. Kalau tak, entahlah!

Ya memang tak ada orang ke-3 dalam hidup kami ketika itu dan hendaknya biarlah sampai mati, tapi dugaan untuk kami tetap ada dan dugaan itu ternyata lebih hebat daripada dugaan orang ke-3. Apa dia? Biarlah jadi rahsia kami berdua dan in shaa Allah kami akan bawak hingga ke akhir hayat. Cukuplah saya kata, 2 bulan terakhir sebelum bertukar status bujang kepada isteri/suami orang, depan orang kami senyum, kami ketawa tapi hati kami nangis. Dan belakang orang, kami nangis dan terus nangis sampai akhirnya, alhamdulillah... 18 Mac 2016, kami selamat dinikahkan. Syukur, sampai ke saat ini kami bahagia, bukan... kami sangat bahagia. Doa kami di setiap akhir solat, biarlah ikatan perkahwinan kami kekal bersambung hingga ke Jannah.


Untuk Umi, bertahan dan bertabahlah sepanjang menjalani tempoh 4 bulan ni sebab dugaan untuk Umi dan GG, akak yakin akan ada. Hendaknya, Umi dan GG tak mudah mengalah walau apa pun yang bakal terjadi. Doa akak, Umi dan GG akan berbahagia dan bergembira hingga Jannah. 






SALAM 2018 YANG BARAKAH

July 6, 2018

N3 pertama di tahun yang telah melepasi separuh perjalanan. Macam tak kena pun ada rasanya. Tapi biarlah, terlanjur mood nak menconteng sesuatu datang, saya layankan aje. Tak salah dan tak mungkin jadi kesalahan. Itu saya pasti! Yang saya tak berapa pasti, ada lagi ke yang sudi jengah rumah yang sangat-sangat usang ni? Mungkin ada dan mungkin juga tak ada.

Tapi tak kisahlah, yang penting ada usaha menconteng. Hari ni! Esok lusa belum pasti sebab masa sekarang ni begitu cemburu. Jenuh dipujuk-pujuk. Eh… dia tak datang-datang juga. Sudahnya, biarlah sebab sesuatu yang dipaksa biasanya tak menjadi. Kalau jadi pun, entah apa-apa hasilnya. 

Dan… ini pun sedang dikejar masa. Jadinya, berhenti dulu. Ada umur, ada rezeki, muncul lagi. Untuk yang masih setia, terima kasih. Untuk yang dah tak setia, tak apa-apa. Bukan salah sesiapa bila jari-jemari gemuk saya ni kian hari, kian malas bekerja. Adios!