- Jalan-jalan Cuci Mata 3 -

April 23, 2008

Pagi, sebaik saja celik mata, aku tiba-tiba aje terasa nak balik walaupun semalam rasa macam tak nak. Teruk betul. Sekali lagi aku dan Shanika pergi ke Pasar Filipina. Jatuh hati atau tidak, aku terpaksa juga beli sesuatu untuk orang-orang yang rapat denganku. Tapi macam semalam, aku tetap tak tahu apa yang hendak kubeli. Masuk ke dalam gerai-gerai kecil pun aku masih belum dapat bayangkan apa yang hendak kucapai sebentar nanti. Anehnya, bila berhenti di sebuah gerai, aku tengok sekejap, tanya itu dan ini, akhirnya benda yang aku tak rasa nak beli, aku beli juga sebab malas nak fikir banyak sangat. Rasa-rasanya aku macam dah belikan benda yang tepat. Kalau pun tak tepat di mata orang, tentu tepat di mata aku sendiri sebab aku dah bayar pun harga benda-benda tu. Harapan aku, diaorg suka nanti. Kalau pun tak suka kenalah buat-buat suka, hehehe...

Lepas check out, kami bergerak ke Muzium Negeri Sabah dengan menaiki teksi. Berpusing-pusing dalam Muzium, melihat-lihat banyak khazanah yang tak pernah dilihat di hadapan mata kecuali dalam TV atau buku, membuatkan aku agak teruja. Apalagi bila tengok keranda lama yang digunakan zaman-zaman dulu oleh golongan raja, kalau tak silap. Cantik pulak ukiran keranda-keranda tu. Tapi yang paling kelakar, masa tengok rangka tulang yang begitu besar, selamba aje aku cakap, 'Tu rangka buaya'. Tapi kami langsung tak datang dekat, lepas tu baca-baca apa yang ditulis, aku tukar apa yang aku rasa, 'Rangka tadi tu tulang nagalah'. Agak yakin aku berkata-kata lepas baca apa yang ada di dalam Muzium tu. Dah nak keluar barulah datang dekat rangka yang nampak menarik, nak ketawa besar aku sebab rangka tu sebenarnya rangka ikan paus (alamak betul ke?, aku yakin dalam tak, tapi yang pasti bukan buaya dan naga).

Dari Muzium, kami bergerak mencari Muzium Tamadun Islam, sambil berjalan aku paksa Shanika bercerita tentang Novel Ungu Karmila. Sampai habis dia bercerita, Muzium Tamadun Islam tak jumpa-jumpa juga, sudahnya kami patah balik dan pergi ke Kampung Warisan. Ada agak banyak contoh-contoh rumah masyarakat Sabah. Sayangnya, banyak antara ruma-rumah tradisi itu yang sedang diperbaiki. Kalau tak tentu akan lebih meriah lagi. Kemudian singgah minum, hem... dalam keadaan cuaca yang panas hati aku ikut terbakar gara-gara air Shanika yang ada ulat tak diganti. Lebih buat sakit hati, orang kedai tu buat tak layan aje.

Lepas makan, kami bergerak ke airport dan pukul 6.30 petang, tanah Sabah kami tinggalkan dengan kenangan manis. Insya-ALLAH ada umur dan rezeki mungkin lain kali boleh datang lagi sebab ada begitu banyak tempat lagi yang tak sempat kami kunjungi. Buat Shanika, terima kasih sekali lagi, kalau tak mesti lambat lagi baru sampai sebab asyik bertangguh aje sejak dua tahun lepas.



























- Jalan-jalan Cuci Mata 2 -

April 22, 2008

Pukul 8.00 pagi, seperti yang dijanjikan selepas sarapan, aku dan Shanika menunggu di lobi hotel. Mujur tak lama menunggu. Selain aku dan Shanika, ada 5 mat n minah saleh lagi yang ikut dalam trip tu tak termasuk J, yang bersusah payah menerangkan itu juga ini sepanjang hari dan pemandu. Trip yang kami ikut tu rasanya namanya Only In Borneo. Ada satu lagi trip yang ditawarkan tapi kami pilih yang ni sebab yang tu lebih kepada melihat-lihat haiwan aje.

Seperti yang terdapat dalam pakej, dalam perjalanan kami berhenti tengok pemandangan Gunung Kibabalu. Walaupun dari jauh tetap cantik di pandang mata. Kalau nak naik ke atas, aku awal-awal tahu yang aku memang tak mampu. Jadi dapat tengok dari jauh pun rasanya dah memadai. Lepas tu singgah pula di Nabalu Market selama lebih kurang 20 minit. Apa yang istimewa di sini ya? Hem... mungkin replika nanas yang besar tu agaknya. Tapi sebenarnya di sini pun ada juga dijual barangan cenderahati. Seperti semalam, aku sekadar melihat-lihat sebab hati rasanya macam tak tertawan.

Lepas tu terus bergerak ke Botanical Garden. Sesuai dengan namanya, ada begitu banyak jenis bunga dan pokok di situ. Sesetengahnya dah pernah lihat dan sesetengahnya pula langsung tak penah lihat. Disebabkan aku bukanlah seorang yang terlalu gilakan bunga dan pokok, aku hanya melihat-lihat tanpa perasaan sambil mendengar penerangan J dan ketawa atau senyum bila terasa kelakar. Tapi kagum juga sebab pertama kali tengok bunga orkid yang paling kecil dalam dunia. Berwarna putih dan saiznya pun terlalu kecil. Kalau nak tengok terpaksa dekatkan mata betul-betul kat bunga dia tu. Cantik jugalah.

Kemudian kami mula bergerak menuju ke Poring Lepas makan tengah hari, masuk ke tempat yang ada kolam air panas. Tapi hanya melihat-lihat sebentar sebelum berjalan masuk dalam hutan kecil. Bolehlah kot dipanggil macam tu. Kami mendaki juga hutan tu untuk menuju ke jambatan gantung. Terus terang, aku sebenarnya betul-betul dah tak larat nak mendaki (dibuat seperti tangga) dan kalau perjalanan kami disambung 100 meter lagi, aku terpaksa angkat tangan dan cakap yang aku dah tak boleh nak jalan. Tak ada exercise yang aku buat sejak berbulan-bulan lalu menjadikan aku langsung tak ada stamina. Kaki pun dah terasa menggigil semacam. Mujur juga akhirnya sampai. Tapi rasa letih terubat bila aku berjalan di atas jambatan gantung sepanjang 157 meter. Seronok sangat.

Turun saja, aku dan Shanika pergi ke Taman Kupu-kupu Poring. Bising jugalah mulut kami sebab tak ada kupu-kupu pun, kalau ada pun cuma beberapa ekor. Sebenarnya bukannya tak ada, cuma kami yang tak sabar. Kupu-kupu tu ada di hadapan lagi. Mula-mulanya asyik jugalah aku tengok kupu-kupu pelbagai jenis, tapi bila Shanika sebut perkataan beluncas, resah aku datang lagi. Terus aku ajak dia keluar. Akhir sekali kami pergi ke kolam air panas. Tak mandi sebab aku memang tak nak mandi. Kami sekadar merendam kaki, nak tenangkan kaki yang dah begitu banyak berjalan sepanjang hari. Hampir pukul 4.00 kami bertolak balik dan sampai ke hotel hampir pukul 7.00. Dan, tiba-tiba masa tu aku rasa sayang nak tinggalkan Sabah. Tapi nak ke tak nak esok pukul 6.30 petang, kami kena balik juga. Lagipun, mungkin rasa tak nak balik tu cuma untuk hari itu saja. Dan, ini pula sebahagian gambar yang diambil dalam misi ke-2 jalan-jalan cuci mata di Sabah.

















- Jalan-jalan Cuci Mata 1 -

April 21, 2008

Bila Shanika menghantar SMS mengajak ke Sabah beberapa bulan lepas, aku tanpa berfikir panjang terus setuju. Masa tu juga aku beri dia nama penuh dan nombor I/C untuk tempahan tiket kapal terbang. Langsung tak fikir apa-apa, sebabnya memang tak ada salahnya sekali-sekala lari dari rutin asal. Jadi, pada 17/4/2008, tanpa ada perancangan yang tepat, aku dan Shanika bertolak ke sana seperti yang dirancang. Dengan menaiki teksi kami bergerak ke hotel di Le Meridien.

Duduk di hotel, masing-masing mula terpinga-pinga, entah ke mana destinasi kami selepas ini, malah untuk esok dan juga lusa. Aku dan dia sebenarnya memang tak tahu langsung nak ke mana. Cuma ikut kata hati dan langkah kaki semata-mata. Lepak di hotel selepas makan, sempat lagi aku membaca novel sedangkan Shanika rasanya dah terlelap lepas tengok pemandangan yang sangat cantik depan mata. Hem... pemandangan yang mampu buat ingatan aku melayang ke kampung halaman. Ada sebuah pulau yang tidak jauh bezanya dengan kampung aku jika di lihat daripada Danga Bay atau Pantai Lido.

Petang, lepas cuaca redup kami keluar, tak ke mana-mana sebenarnya. Hanya menyeberang jalan dan bergerak ke Pasar Malam yang kelihatan begitu meriah. Ada banyak benda jual di situ tapi kami sekadar melihat-lihat hasil tangkapan laut yang segar-segar. Memang seronok walaupun sebagai anak nelayan, aku dah terlalu biasa tengok ikan, ketam dan sotong yang segar-segar. Aku tetap kagum sebab dijual dengan harga yang sangat murah. Kalaulah pasar-pasar di Semenanjung guna harga yang sama, tentu ramai yang kaya raya sebab boleh simpan duit. Tapi tentu saja mustahil sebab keadaan yang begitu berbeza.

Kemudian kami pergi pula ke Pasar Filipina. Pun ada macam-macam benda dijual di situ, tapi aku tak tahu apa yang hendak dibeli. Semuanya nampak cantik dan menarik sampai rambang mata jadinya. Otak teringat kat keluarga kat kampung, terfikir apa yang hendak kubeli untuk mereka. Sudahnya aku dan Shanika cuma minum air kelapa, itu pun sempat juga capai makanan ringan sebab nak mengunyah bila balik di hotel nanti. Masa tu cuaca dah agak gelap, aku macam biasa bila dah gelap mula resah gelisah nak balik. Tapi bila pandang jam baru pukul 6 lebih, alahai rupa-rupanya masih awal lagi. Tak jadi balik kami lepak dekat-dekat situ sambil tengok laut. Cantik sangat, apalagi dalam keadaan hujan yang rintik-rintik. Dalam pada tu, kami sibuk cari idea nak pergi ke mana esok. Mula berfikir yang itu dan yang ini. Sudahnya ikut trip melancong setelah melihat dan mengkaji buruk dan baiknya. Sekali-sekala, tak salah rasanya...

Misi jalan-jalan cuci mata kami pada hari pertama cuma sampai di situ saja. Lepas tu masing-masing dah tak larat nak ke mana-mana. Dan, inilah dia sebahagian gambar yang sempat dirakam. Macam biasa, semuanya gambar aku sebab kami cuma pergi berdua, aku ambil gambar Shanika dan Shanika ambil gambar aku. Hari-hari berikutnya pun macam tu juga. Lagipun, nak ambil gambar pemandangan pun tangan aku tak begitu berseni, bukannya macam Cik Wartawan kita tu. Kan Mek? Hehehehe...
























- Imbas Kembali 3 -

April 16, 2008

13/4/2008, dengan rasminya Pesta Buku 2008 dah pun berakhir dan inilah n3 kenang-kenangan terindah yang seterusnya untuk tahun 2008. Dan, seperti tahun-tahun sebelum ni, Pesta Buku tetap berjalan dengan lancar walaupun di tengah-tengah kelompok manusia yang terlalu cintakan buku, tak kira buku kreatif atau pun buku ilmiah. Setahun sekali, siapa yang tak teruja nak pergi. Cuma agak kasihan kepada mereka-mereka yang teringin pergi tapi masa dan keadaan pula sepertinya tidak begitu merestui.

Bagi aku pulak, mungkin sama dengan Bikash dan Shanika, yang aku suka Pesta Buku cuma satu saja, suka bertemu dengan kawan-kawan penulis yang jarang sekali bertemu muka dan kawan-kawan pembaca yang kukenali di alam siber ini. Kalau ada pun hanya menyapa di maya ini atau pun telefon bimbit, saling bertanya khabar supaya jejak tidak terputus. Seperti tahun-tahun lepas, aku tetap bertemu dengan Kak Anis, Kak Aisya, Kak Meen, Kak Rose, Kak Lina, Kak Lynn, Abg Ramlee, Kak Durrah, Kak Eka, Kak Lily Haslina dan Kak Dhiya (kalau ada yg tak tersebut tu minta maaf, ingatan dah makin pudar). Tapi yang agak istimewa tahun ni, aku jumpa dengan kawan-kawan penulis yang baru seperti Kak Hezzy, Fatin, Azhan, Qaira dan Fadhli. Malah, ada juga berjumpa dengan kawan-kawan penulis selain penulis Alaf 21 seperti Kak Puteri, Kak Norfizah Nordin, Kak Zulaila, Kak Ramlah, Ebriza, Kak Fishah, Mersik, Fida, Kak Lara, Kak Aina, Kak Mimie dan ramai lagi (nak sebut semua tapi tak ingat). Kawan-kawan pembaca pun jumpa juga macam Rehanz, Nita, Kak Noor, Kak Notie, Abang Long, Adhan, Angah Alyze dan adalah lagi.

Inilah dia sebahagian gambar di hari terakhir Pesta Buku yang sempat aku ambil. Tengoklah kepada sesiapa yang sudi, kawan-kawan yang nak gambar-gambar ni, boleh beritahu sebab takut-takut tak boleh copy dari blog ni. Selamat melihat...

Kak Anis & Kak Lynn - hem, sepatutnya Kak Lynn berdiri di tengah-tengah aku dan Kak Anis, barulah nampak berseri sikit. Tapi Kak Lyn mmg comel dengan... hehehe...

Kak Sa'adi - salah seorang editor Alaf 21 yang telah betungkus lumus sepanjang Pesta Buku 2008.


Kak Meen, Kak Anis, Kak Hezzy, Fatin, Kak Aisya, Damya, Kak Lina & Kak Dhiya - gambar-gambar terakhir sebelum masing-masing bawa haluan sendiri. Entah bilalah agaknya dapat berjumpa lagi.

Carrie, Abang Long, Kak Meen, Fatin, Kak Hezzy, Kak Dhiya, Kak Anis & Mersik - setiap kali aku capai makanan, aku selalu tengok kalau-kalau Abang Long pandang, malu seh dari tahun lepas asyik makan aje kerjanya aku ni.

- Imbas Kembali 2 -

April 14, 2008

Pink! Hem... itulah yang Kak Lina pesan. Dan, aku pun mula berfikir... ada ke aku baju warna pink? Kecuali t-shirt warna pink, rasanya memang tak ada langsung. Tapi tak apalah, pergi cari kat kedai. Tapi gara-gara baju pink tulah, aku hampir-hampir kehilangan gelang tangan. Langsung tak sedar yang gelang tangan aku terputus masa cuba baju. Sedar pun masa makan, aku buka plastik sebab nak tunjuk baju pada Diana. Anehnya rasa bila tengok ada gelang di situ, 'Takkanlah beli baju harga puluhan ringgit dapat gelang emas siap dengan loket dan loceng?'. Tapi bila renung lama sikit, mengucap panjang aku. Nasib baiklah gelang tu tak cicir di mana-mana, kalau tak memang menangis ada lagu sebab harga emas mahal sekarang ni.

Inilah sebahagian gambar yang diambil pada hari Sabtu 12/4/2008. Sekali pandang bila dah duduk rama-ramai, macam kumpulan nasyidlah pulak.

Kak Lynn, Kak Dhiya, Kak Rose dan Kak Aisya - seronok sangat dapat duduk dengan diaorang ni. Aku jadi ingat kata-kata kak Aisya yang mengusik Kak Rose. Huh... kudap-kudapan tu, makan beberapa hari pun tak habis Kak Rose.

Bikash, Abang Ramlee dan Shanika - Kesian tengok Abang Ramlee yang tak menang tangan sain novel. Nak suruh Ika dan Bikash tolong, sain diaorang tak samalah pula.

Kak Lily, Kak Lina, Kak Eka & Fatin - pertama kali jumpa Fatin, aku rasa senang dengan dia. Terasa macam dah kenal lama. Dan Kak Lily, entah orang yang ke berapa bertanya tentang aku , katanya masa kat JB dulu tu agak kurus. Apa nak jawab? Senyum sajalah. Dalam hati kata, senang hati. Tapi benarkah senang?

Bikash, Shanika, Kak Puteri & Kak Anis - dalam 5 orang tu, siapa agaknya yang paling gembira ya? Siapa yang paling lebar senyum? Mungkin itu orangnya...

Kak Lina, Kak Anis, Kak Men, Fatin & Damya - terima kasih ya Kak Meen dan Kak Lina, kuih tu memang sedap. Dan Fatin, keropok yang awak beli tu pun boleh tahan.

- Imbas Kembali 1 -

April 11, 2008

Hari pertama menjejakkan kaki di PWTC, terasa nak ketawa tapi hanya sekadar senyum sebab aku sebetulnya tak dapat cari booth Alaf 21 di tengah-tengah lautan manusia yang dahagakan ilmu, hanya dapat cari di booth Alaf 21 yang di atas. Terpaksa telefon Kak Sa'adi sebab aku dah malas nak berjalan. Baru tersedar, aku rupa-rupanya langsung tak perasan di bawah masih ada banyak booth. Entah mata letak di mana, aku sendiri tak tahu.

Apa nak tulis lagi ye? Tak ada idea rasanya aku ni, jadi aku ceritakan dengan gambar ajelah sebab nampaknya sejak akhir-akhir ni jari-jemari dah tak mampu nak jadi pencerita yang baik untuk aku.

Kak Anis & kawan-kawan pembaca yang dah pernah jumpa sebelum ni. Apa pun, terima kasih atas sokongan yang diberikan. 'Saya sangat menghargainya'.

Aku & Bikash di samping motor entah milik siapa, melihat motor tu, aku jadi ingat aku, Bikash, Ika dan Fida yang makan di kedai sambil berbual-bual. Sudahnya terpaksa pindah meja gara-gara hujan. Tapi kami masih juga ketawa gara-gara cerita Bikash tentang novel terbaru Kak Mimie.

Uncle, Ebriza, Bikash, Kak Fishah & Kak Puteri - rakan-rakan yang sama-sama berusaha di Fajar Pakeer. Jarang berjumpa, tapi kemesraan tu tetap ada. Buat Kak Puteri, semoga terus berjaya hendaknya dalam dunia penulisan novel. Sepak terajang dunia novel ni kadang kala menyakitkan, tapi semua tu hanya asam garam semata-mata. Manisnya tetap ada.

Bikash, Kak Meen, Kak Hezzy, Kak Rose & Kak Lina - selepas setahun baru aku jumpa balik dengan diaorang ni, kecuali Bikash sebab selalu jumpa dan makan dengan dia. Kak Hezzy, seronok kenal Kak Hezzy.

-Ilmu Percuma-

April 10, 2008

Hari ni, aku dapat lagi satu pelajaran yang amat berguna daripada seorang kawan tentang sesuatu yang melibatkan pekerjaanku. Pelajaran yang akan aku ingat dan gunakan sampai bila-bila selagi aku bergerlar seorang editor. Sebabnya, selama ini aku selalu diam atau mengucapkan kata maaf berulang-ulang kali jika ada yang marah atau tak puas hati dengan hasil kerjaku atau dengan orang yang tidak memahami posisiku. Bukannya sebab aku terlalu baik tapi aku sering kali tidak tahu harus bertindak bagaimana dan menjawab apa. Bimbang kalau-kalau alasan dan penerangan yang diberikan akan lebih memburukkan keadaan yang memang dah sedia buruk. Bukankah berdiam diri itu lebih baik daripada terus tegar mengatakan diri tidak bersalah? Walaupun jauh di sudut hati, terasa hilang juga sabar yang kupupuk, apalagi bagi seorang yang bernama 'aku' yang memang kurang sabar dalam segala hal. Mudah melatah bila hati dicuit tiba-tiba.

Benarlah kata kawanku itu, 'kadang-kadang diaorang ni terasa diri diaorang hebat, sebab tu tak peduli pada perasaan kita sebagai editor. Diaorang ni ada masa-masanya perlu diajar supaya tahu diri'. Ya, dalam diam aku akui kata-kata itu. Hampir 3 tahun bekerja, aku mula belajar sedikit demi sedikit, melangkah perlahan seperti anak kecil yang tidak tahu apa-apa pada asalnya dan kemudian semakin lama semakin laju melangkah seiring dengan putaran masa yang terus bergerak meninggalkan manusia. Tapi sering persoalan berlegar-legar di hati, benar-benar hebatkah atau diri saja yang merasakan kehebatan itu?

Entahlah, aku tidak ada jawapan yang pasti sebenarnya kerana sikap manusia di dunia ini begitu rencam walaupun rambut sama hitam. Cuma yang pasti, aku juga seorang penulis, tak perlu menggoreng aku begitu dan begini kerana sedikit sebanyak, aku juga tahu selok-belok dunia penulisan walaupun aku tidak sehebat mana. Kepada kawan yang mengajar ilmu berguna itu, yang selalu membuli dan menyakat aku hingga kadang-kadang aku terasa nak mengamuk dan menangis kerana hilang sabar, terima kasih atas ajaran itu. Jasa anda dikenang...

- Pesta Buku & Kisah Itu-

April 3, 2008

Salam buat semua. Esok bermula Pesta Buku Kuala Lumpur di PWTC seperti yang semua orang tahu. Tahun ini aku sekali lagi akan hadir. Insya-ALLAH kalau tak ada aral melintang, aku akan ada di booth Alaf 21 pada 5-6/4/2008 dan 12-13/4/2008. Tapi pada 5 hb tu, macam mana agaknya ye... aku kena juga pergi ke booth FP (Fajar Pakeer) juga dalam masa yang sama. Sempat ke aku? Bukannya aku tamak, sebenarnya aku memang dah berjanji lama dengan Alaf 21 yang aku akan hadir pada 5 hb tu, kemudian Uncle Pakeer pula minta aku, Bikash, Ebriza dan Kak Fishah datang ke booth FP. Macam mana ye aku nak menolak? Sedangkan aku ikut menulis di FP dan janji yang dibuat tak patut pula kalau dicampak macam tu aje. Hari lain pula, pihak FP dah tetapkan penulis lain. Jadi... aku sanggup jugalah walaupun rasa serba salah. Bikash kata, aku patut buat maraton nanti. Bolehkah? Cuba ajelah... rasa-rasanya, di mana-mana pun sama juga sebab tetap aku orangnya walaupun dengan nama yang berbeza.

Dan Pesta Buku? Hem... tiap kali menjelang Pesta Buku ni, aku teringat satu peristiwa yang tak sepatutnya berlaku pada tahun 2006. Memang aku yang cuai. Tapi disebabkan Pesta Buku itu jugalah aku masih percaya kalau di Kuala Lumpur yang terkenal dengan kata-kata 'kau adalah kau dan aku adalah aku', rupa-rupanya masih wujud insan yang baik hati dan mulia. Siapa insan itu? Entahlah... sampai ke hari ni pun aku masih tertanya-tanya sebab aku tak sempat bertanyakan nama uncle tu, hanya sempat mengucapkan terima kasih dengan muka yang pucat lesi.

Ceritanya begini, hari terakhir Pesta Buku, gara-gara tak tidur malam sebab menghabiskan sebuah novel dan tak juga ambil sarapan, aku pitam dalam LRT. Tapi taklah sampai pengsan, cuma pandangan aku gelap. Mula-mula pijak lantai LRT pun aku dah dapat rasa yang aku memang dapat bahagian hari tu sebab tu bukan pertama kali gejala-gejala tu aku alami. Tapi aku gagahkan juga, dengan keadaan berdiri, badan dah rasa menggeletar semacam. Mujur juga aku sempat cuit satu adik yang duduk di sebelah tempat aku berdiri, aku cakap kat dia tolong bagi aku duduk sebab aku dah nak tumbang.

Sampai di Stesen PWTC, pandangan aku dah makin gelap tapi sayup-sayup aku dengar perkataan PWTC, aku teruskan juga keluar dah terus berpaut pada palang kat dinding. Mata aku pejam rapat-rapat, apa nak jadi pun jadilah, aku tetap tak buka mata sebab bila buka aku rasa macam bergoyang tapi aku tahu LRT dah pergi dan orang ramai pun dah mula berjalan turun. Lantaklah, aku cuma harap pandangan aku akan terang semula. Lepas tu tiba-tiba aje ada orang cuit bahu aku. 'Kenapa?', dia tanya dan aku cakap, 'mata saya rasa gelap'. Orang tu pun tarik lengan aku dan suruh aku duduk. Aku ikut aje, kalaulah orang jahat memang masak aku masa tu. Lepas tu orang tu pergi dan pesan supaya aku tak ke mana-mana.

Beberapa minit lepas tu, pandangan aku pun dah mula terang dan aku nampak orang tua yang tolong aku dan beberapa petugas LRT dengan jag air dan cawan. Rupa-rupanya uncle tu yang minta diaorang bawakan air suam untuk aku. Masa tu rasa nak menangis pun ada juga, tak percaya dalam dunia ni masih ada manusia yang baik hati. Sebelum minum uncle tu siap pesan suruh aku baca selawat 3 kali dan dia pun ada baca sesuatu, aku tak tahu apa yang dibaca tapi aku dengar dengan jelas macam ayat al-quran. Sekali lagi aku rasa terkejut sebab aku mati-mati sangka dia bangsa Cina sebab muka dia memang sebiji macam orang Cina. Rehat dalam 10 minit dan uncle tu masih temankan aku dengan pekerja LRT. Bila aku dah okey, uncle tu kata dia kena pergi sebab dia kejar masa. Sekali lagi aku rasa nak nangis sebab terharu bila uncle tu keluarkan duit RM 10 ringgit. Aku cakap kat dia terima kasih, aku ada duit tapi dia paksa juga, katanya pergi beli sarapan. Aku akhirnya tak tergamak nak tolak. Aku tak mungkin nak kecewakan uncle yang dah begitu besar jasa pada aku.

Sekarang ni dah 2 tahun berlalu, aku pun dah tak berapa ingat muka uncle tu. Tapi kat mana pun uncle tu berada, aku berdoa semoga dia sentiasa berada dalam rahmat ALLAH. Aku percaya dia orang baik kerana sekian ramai orang yang turun di Stesen PWTC masa tu, dia satu-satunya yang prihatin dan aku selalu percaya, orang yang baik tentu akan dapat balasan yang baik juga. Semoga akan ada yang membantu jika uncle tu berada dalam kesusahan. Begitu juga pada adik di dalam LRT dan pekerja-pekerja LRT yang sanggup meninggalkan kerja seketika kerana aku. Dan, kepada sesiapa yang baca kisah ni... ambillah iktibar dan pengajaran. Aku memang bernasib baik kerana berjumpa dengan orang yang mulia, tapi orang mulia tak selalu ada di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekian...

- Banyaknya Novel -

April 2, 2008

Alahai tajuk tu teruknya... sebenarnya bukan ada apa-apa pun. Tak ada jugak cerita menarik nak diceritakan hari ni. Cuma ingin membuat sedikit iklan yang mungkin tidak begitu penting. Aku aje yang merasakan agak penting sebab aku tak mahu timbul masalah dan rasa serba salah kelak. Lagipun, kalau tak ada pembaca, tak mungkin aku masih mampu untuk terus menulis. Aku ada di sini kerana sokongan dan dorongan yang pembaca berikan selama ini.

Sebenarnya aku cuma nak memaklumkan kalau dua buah novel milik aku di bawah ni, bukanlah novel terbaru sebab novel-novel tu pernah diterbitkan sebelum ini, cuma ditukar cover aje untuk tahun ini. Novel Bertakhta di Hati terbit pada tahun 2007 dan diterbitkan oleh Syarikat FP (Fajar Pakeer). Dan, novel Untukmu Sayang pula terbit pada tahun 2006 oleh Syarikat Rhythm dan kini diterbitkan kembali oleh Syarikat FP.

Aku harap tak akan ada pembaca yang tersilap atau salah faham dan kepada kawan-kawan yang sering bertanya tentang novel Untukmu Sayang, harap akan terhibur hendaknya bila membaca nanti.