- Jalan-jalan Cuci Mata 1 -

April 21, 2008

Bila Shanika menghantar SMS mengajak ke Sabah beberapa bulan lepas, aku tanpa berfikir panjang terus setuju. Masa tu juga aku beri dia nama penuh dan nombor I/C untuk tempahan tiket kapal terbang. Langsung tak fikir apa-apa, sebabnya memang tak ada salahnya sekali-sekala lari dari rutin asal. Jadi, pada 17/4/2008, tanpa ada perancangan yang tepat, aku dan Shanika bertolak ke sana seperti yang dirancang. Dengan menaiki teksi kami bergerak ke hotel di Le Meridien.

Duduk di hotel, masing-masing mula terpinga-pinga, entah ke mana destinasi kami selepas ini, malah untuk esok dan juga lusa. Aku dan dia sebenarnya memang tak tahu langsung nak ke mana. Cuma ikut kata hati dan langkah kaki semata-mata. Lepak di hotel selepas makan, sempat lagi aku membaca novel sedangkan Shanika rasanya dah terlelap lepas tengok pemandangan yang sangat cantik depan mata. Hem... pemandangan yang mampu buat ingatan aku melayang ke kampung halaman. Ada sebuah pulau yang tidak jauh bezanya dengan kampung aku jika di lihat daripada Danga Bay atau Pantai Lido.

Petang, lepas cuaca redup kami keluar, tak ke mana-mana sebenarnya. Hanya menyeberang jalan dan bergerak ke Pasar Malam yang kelihatan begitu meriah. Ada banyak benda jual di situ tapi kami sekadar melihat-lihat hasil tangkapan laut yang segar-segar. Memang seronok walaupun sebagai anak nelayan, aku dah terlalu biasa tengok ikan, ketam dan sotong yang segar-segar. Aku tetap kagum sebab dijual dengan harga yang sangat murah. Kalaulah pasar-pasar di Semenanjung guna harga yang sama, tentu ramai yang kaya raya sebab boleh simpan duit. Tapi tentu saja mustahil sebab keadaan yang begitu berbeza.

Kemudian kami pergi pula ke Pasar Filipina. Pun ada macam-macam benda dijual di situ, tapi aku tak tahu apa yang hendak dibeli. Semuanya nampak cantik dan menarik sampai rambang mata jadinya. Otak teringat kat keluarga kat kampung, terfikir apa yang hendak kubeli untuk mereka. Sudahnya aku dan Shanika cuma minum air kelapa, itu pun sempat juga capai makanan ringan sebab nak mengunyah bila balik di hotel nanti. Masa tu cuaca dah agak gelap, aku macam biasa bila dah gelap mula resah gelisah nak balik. Tapi bila pandang jam baru pukul 6 lebih, alahai rupa-rupanya masih awal lagi. Tak jadi balik kami lepak dekat-dekat situ sambil tengok laut. Cantik sangat, apalagi dalam keadaan hujan yang rintik-rintik. Dalam pada tu, kami sibuk cari idea nak pergi ke mana esok. Mula berfikir yang itu dan yang ini. Sudahnya ikut trip melancong setelah melihat dan mengkaji buruk dan baiknya. Sekali-sekala, tak salah rasanya...

Misi jalan-jalan cuci mata kami pada hari pertama cuma sampai di situ saja. Lepas tu masing-masing dah tak larat nak ke mana-mana. Dan, inilah dia sebahagian gambar yang sempat dirakam. Macam biasa, semuanya gambar aku sebab kami cuma pergi berdua, aku ambil gambar Shanika dan Shanika ambil gambar aku. Hari-hari berikutnya pun macam tu juga. Lagipun, nak ambil gambar pemandangan pun tangan aku tak begitu berseni, bukannya macam Cik Wartawan kita tu. Kan Mek? Hehehehe...
























No comments:

Post a Comment