SABUN HANDMADE ALEYA ANEESA

January 18, 2019



Masa berubah, manusia berubah. Mungkin daripada jahat kepada baik, atau daripada baik kepada jahat. Tapi eh... janganlah jadi jahat. Teruk sangat kalau sampai jadi macam tu. Selebihnya, doa dan berdoalah biar yang baik-baik aje didatangkan pada kita.

Bercerita tentang perubahan, sebenarnya yang berubah saya. Minat saya. Keinginan saya. Impian saya. Yang paling ketara, daripada seorang tukang karut, terjun menjunam kepada tukang sabun. Lari 360 darjah kan?

Bukannya dah tak minat menulis. Minat dan sangat minat! Barangkali, minat tu tak akan pernah hilang sampai saya menutup mata. Tapi kerana menulis itu tak boleh dipaksa-paksa, maka untuk masa ini dan mungkin untuk masa yang sangat panjang, saya berhenti dulu. Bukan salah masa, bukan salah komitmen yang saya galas. Bukan! Saya bukan jenis salahkan lantai yang senget bila gerak tari saya sumbang mambang.

Hakikatnya, memang saya tak mampu menulis untuk saat ini. Jadinya, diam-diam saya mula beralih arah. Saya buat apa yang saya fikir mampu menggembirakan dan membahagiakan saya sebab saya selalu percaya, gembira dan bahagia itu pilihan. Kita yang menciptanya dengan ilham daripada ALLAH. Saya tak nak seksa diri sendiri demi orang lain. Bukan tak sayangkan pembaca novel saya, saya sangat sayang kerana tanpa mereka, ALEYA ANEESA bukan sesiapa. Mungkin cuma seorang penulis yang hanya boleh menulis sebuah diari, mencatat cerita perjalanan hidup sendiri dan kemudian, juga dibaca sendiri.

Terima kasih, korang semua! Semoga setiap sokongan yang korang beri pada saya, ALLAH balas dengan seribu kemanisan di dunia dan di akhirat kelak. Hendaknya, sokongan korang pada saya tak akan pernah berhenti walaupun sekarang saya jadi tukang sabun.

Ya, memang sekarang ni saya gila menyabun aka buat sabun. Hati saya selalu teruja setiap kali saya keluarkan sabun-sabun yang jari-jemari gemuk saya buat daripada acuan. Berkobar-kobar sama macam setiap kali tengok novel baru saya terbit. Bahkan berdetak-detuk debaran jantung bila saya curahkan cairan sabun yang memekat ke dalam acuan. Menambah warna dan bau yang harumnya semerbak, kekadang buat saya rasa khayal. Belum ditambah dengan corak yang pelbagai. Tak menentu, nampak macam bercelaru... pun tetap mampu buat senyum saya koyak sampai ke mulut.

Inilah dia... inilah dia kegembiraan dan kebahagiaan yang seterusnya dalam hidup saya. Mereka bentuk, mencorak gambaran, mencipta formula demi formula... memang kegilaan saya buat masa ini.  
 Tak tau dan selama ni memang tak pernah ambil tahu betapa proses membuat sabun itu tak semudah membuka balutan sabun, membasahkan badan dengan air dan kemudian menggosok sabun ke serata badan. Sangat payah! Tapi dek kerana payah itu, saya makin teruja dan mungkin dah sampai tahap gian. Rasa yang sama saya pernah alami sebagai pembaca dan penulis novel.

Untuk detik ini, saya dah buat beberapa jenis sabun. Antaranya tomato, beetroot, susu kambing, charcoal, yogurt, shea butter dan beberapa lagi, yang saya tau baik untuk makanan kulit ni. Terasa macam lama benar dan seksa kulit sendiri. Kesian kat dia! Dan lepas belajar buat sabun daripada orang yang memang berkelayakan, saya baru tau betapa selama ni sabun yang dijual di luar sana ada banyak bahan kimia dan terlarang. Patutlah kulit tak putih saya ni makin lama makin bermasalah.

Padan muka saya, kan?





1 comment: