LELAKI ITU DIA | Bab 8

December 23, 2014

PINTU bilik, Thaqif tutup. Bahu yang sakit ditumbuk-tumbuk perlahan. Barulah terasa seluruh tubuhnya bagaikan lesu tak bermaya. Macamlah sudah mengangkat kayu balak. Namun, ada rasa lega bertapak di hati. Kerja-kerja pembangunan projek perabot pejabat yang sedang ditangani semakin lancar perjalanannya. Dia yakin, Semarak Sdn. Bhd. akan terus bersemarak  dalam mereka, membuat dan memasang perabot, setanding dengan syarikat lain.

Tak sia-sia dia meninggalkan telefon bimbit di dalam bilik. Jika tak, tak mungkin dia dapat membuat kerjanya dengan aman kerana gangguan Shana. Padahal, gadis itu bukannya penting untuk dijaga hati dan perasaan. Bahkan, jika Shana hilang, dia tak akan mencari.

Duduk di atas katil, dia mencapai telefon bimbit.

25 missed called!

101 mesej di WhatsApp.

“Padan muka!” ejek Thaqif pada Shana. Tanpa mengendahkan puluhan dan ratusan angka itu, dia menuju ke bilik air. Mahu mencuci muka dan menggosok gigi. Selepas itu dia mahu tidur. Hendaknya, janganlah Shana muncul lagi dalam mimpinya. Sejak bertemu empat mata dengan Shana, boleh dikatakan saban hari dia memimpikan gadis itu. Tak cukup mengejarnya di alam realiti, dalam mimpi pun Shana tak mahu membiarkan dia tenang.

“Minta-minta dia tak datang dalam mimpi aku malam ni. Kalau datang, aku cekik!”

Terus badan direbahkan di atas tilam empuk. Kemudian selimut ditarik menutupi sehingga ke dada. Teringatkan lampu yang masih terpasang, dia kembali duduk. Saat itu juga kedengaran telefon bimbitnya berbunyi.     

“Isyh... tak boleh ke dia biarkan aku tidur dengan aman?” rungut Thaqif.

Ringan tangannya mencapai telefon yang diletakkan di meja sisi di tepi katil. Mahu melihat, kali ini apa lagi yang Shana mahu.

‘Kalau abang tak telefon, jangan salahkan saya kalau saya muncul kat pejabat abang esok pagi. Saya cakap pada ayah abang yang saya ni kekasih abang’.

Terus Thaqif tolak selimut yang bergumpal di kakinya. Semakin lama Shana dilihat semakin berani. Setiap hari, ada-ada saja ugutan gadis itu demi mematikan tindakannya. Ikutkan, memanglah dia mahu mengabaikan ugutan Shana itu. Namun bila mengenangkan tampang Shana yang selamba, dia yakin gadis itu akan mengotakan apa yang dikata. Lantas, jarum jam dijeling. Pukul 2.00 pagi!

“Sakitnya hati aku!”

Telefon bimbit yang dilekapkan ke telinga, dipegang kejap-kejap supaya tak terjatuh. Kalau pecah berderai, dia sendiri yang rugi. Lainlah jika Shana bermurah hati menggantikan dengan yang baru, yang lebih mahal.

“Angkatlah!” rungut Thaqif sambil ketap bibir.

“Helo, assalamualaikum...”

“Waalaikumussalam!” balas Thaqif bengang. Kalau tak mengenangkan Shana itu perempuan, menang sudah dijerkah kuat-kuat.

“Abang pergi mana? Dari tadi lagi saya telefon. Sampai tertidur saya tunggu abang.”

Tak seperti biasa, hari ini Thaqif rasa suara Shana berlainan. Malu nak diakui yang suara itu kedengaran, seksi! Mungkin kerana Shana baru terbangun daripada tidur. Tapi sungguh, nada seperti itu seakan-akan menjadi gangguan  baginya.

Apa hal dengan aku ni? Shana aje kot!

“Nak apa?” Gangguan yang terasa, cuba Thaqif tepis.

Jangankan Shana, ratu cantik dunia pun belum tentu mampu menggodanya. Tak semudah itu.

Tapi suara Shana tadi...

Kenapa dengan suara Shana?

Seksi!

Terus Thaqif ketuk kepala sendiri dengan jari. Meluat dengan hati yang seperti gatal.

“Tak nak apa-apa. Cuma rindukan abang aje. Sampai hati tak jawab telefon saya. Abang ke mana?”

Kalau tadi kepalanya diketuk dengan jari, kini Thaqif terasa hendak menggunakan batu-bata pula supaya berkecai. Tapi yang mahu diketuk bukan kepalanya, kepala Shana. Alasan yang gadis itu berikan benar-benar menyakitkan hati. Setakat rindu yang entah berapa peratus itu Shana mencarinya, sangat tak berbaloi. Lebih menyebalkan bila dia diugut untuk tujuan yang remeh begitu.

Dia fikir aku apa? Orang suruhan dia?

“Saya ada kerja urgent kena buat tadi,” ujar Thaqif tenang. Tak ada gunanya marah-marah pada Shana kerana makin dia marah, makin Shana suka. Biarlah hati hanya disabarkan.

“Jangan seksa diri dengan bawa balik kerja pejabat kat rumah. Kerja pejabat buat dekat pejabatlah, kat rumah rehat, charge balik tenaga yang hilang sebab esok nak kerja semula. Kena rehat cukup-cukup.”

Bebelan Shana yang tak ubah seperti mak nenek itu  Thaqif dengar dengan dahi berkerut. Inilah pertama kali kata-kata positif yang Shana keluarkan. Jika tak, semuanya dianggap negatif kerana gadis itu berkata-kata sesedap rasa. Namun tak pula dia terasa hendak mengucapkan terima kasih. Meskipun, nasihat itu tanda mengambil berat.

“Ada lagi nak cakap?”

“Tak ada. Selamat malam, abang. Jangan lupa mimpikan saya tau. Saya harap abang mimpi duduk bersanding atas pelamin dengan saya. Kita pakai baju kahwin warna pink. Bye!

Tak sempat Thaqif membalas, Shana telah mematikan talian.

“Aku nak tidur ke tak malam ni?” tanya Thaqif ragu-ragu sendiri. “Buatnya aku betul-betul mimpi macam yang dia kata tu, macam mana?”
            Namun mengenangkan esok hari kerja, Thaqif matikan lampu dan pejamkan mata rapat-rapat. Doanya tetap sama, janganlah Shana muncul dalam tidurnya malam ini. Dia tak mahu terus bermimpi ngeri setiap hari.


MELIHAT seraut wajah Shana berdiri di tepi lif yang tertutup rapat, Thaqif terasa seperti hendak berpatah ke belakang. Tahu, Shana tak mungkin akan muncul jika bukan kerana dirinya. Sedangkan dia, langsung tak terasa hendak beramah mesra dengan gadis itu di awal pagi begini. Lewat petang dan malam pun tak mahu juga. Namun segala-galanya telah agak lewat bila senyuman lebar sudah Shana hadiahkan padanya.

Entahkan kerana doanya tak cukup ikhlas, atau entahkan doa Shana yang sesungguh hati, malam tadi, maka Shana betul-betul datang dalam mimpinya. Bukan setakat datang, siap duduk bersanding dengannya di atas pelamin. Lebih haru lagi, baju yang dikenakan ke tubuh benar-benar seperti yang Shana harap. Pink.

Gila! Itulah mimpi paling buruk pernah dialami dalam seumur hidupnya.

Warna pink? Sungguh... itu warna yang tak patut wujud di dunia ini!

“Hai... abang!” tegur Shana ceria. Terserlah sinar di matanya.

“Tak ada kerja ke datang tempat kerja orang?”

“Ada. Tapi nak breakfast dengan abang dulu,” ujar Shana selamba.

“Tak nak! Saya dah sarapan kat rumah tadi.”

“Tapi saya belum sarapan lagi.” Ramah Shana berkata walau tak ditanya Thaqif.

Thaqif jongket bahu dengan riak kosong. “Bukan masalah saya. Ajak ajelah kawan-kawan awak yang lain,” cadang Thaqif tanpa perasaan.

“Saya tak ada kawan.”

“Dalam dunia ni, tak pernah lagi saya dengar ada orang mati sebab terpaksa sarapan sorang-sorang,” balas Thaqif sinis. Dia tak tahu di mana Shana bekerja, namun dia yakin tentu tak jauh dari sini. Kalau tak, masakan Shana boleh muncul sesuka hati tak ubah seperti biskut Chipsmore. Mujur saja sampai setakat hari ini, gadis itu hanya menunggunya di lobi pejabat. Tak pernah naik walaupun sekali.

“Temankan saya makan ya? Sekejap aje!”

“Tak nak. Tak ada keperluan dan tentu aje temankan awak makan tak akan mendatangkan keuntungan pada saya.”

Shana diam. Otaknya ligat berfikir apa yang perlu dibuat supaya Thaqif tunduk pada permintaannya. Bukanlah perutnya begitu lapar. Pada waktu pagi, seleranya selalu tak ada. Tapi dia perlu makan atau keluar dengan Thaqif lebih kerap lagi supaya dia dapat mengenali Thaqif. kemudian mula belajar cara untuk melembutkan hati lelaki itu. Seperti orang tua-tua dulu kata, tak kenal maka tak cinta. Dah kenal baru cinta.

Tapi dalam situasinya, dia tak mengharapkan apa-apa daripada Thaqif. Cinta jauh sekali!

“Temankan saya, abang dapat pahala.”

“Siapa yang mengajar awak bila perempuan dan lelaki bukan mahram duduk makan di meja yang sama tu boleh dapat pahala?”

“Saya ajak makan aje, bukan buat apa-apa pun,” sangkal Shana.

“Tak tahu ke kalau lelaki dan perempuan berdua-duaan, di tengah-tengah ada syaitan?” tempelak Thaqif sambil tersenyum sinis. Melihat air muka Shana berubah, dia puas hati. Mana boleh tahan asyik dia saja yang dikenakan gadis itu. Sesekali dia mahu juga membalas rasa sakit hatinya.

“Itu saya tahulah.”

“Jadi apa perlunya minta perkara bukan-bukan daripada saya?”

“Saya cuma minta temankan. Tak ajak pun makan di tempat tertutup. Kat kedai makan tepi jalan tu aje,” jawab Shana rendah. Berlakon suci, sekali lagi. Ikutkan, malu juga dia bila ditempelak Thaqif begitu. Mujur tak ada orang lain di situ. Jika tak, entah di mana patut disorokkan muka.

“Niat tak menghalalkan cara, Melati.”

Tak perlu dilihat di cermin pun, Shana yakin mukanya merah padam walaupun kulitnya tak putih melepak. Dia tahu, Thaqif sengaja buat begitu demi membangkitkan rasa marah dalam dirinya. Dia tak marah kerana apa yang dikatakan Thaqif itu tak ada salahnya. Yang dia rasa, hanya malu. Cumanya, dia perlu bertahan untuk satu tempoh tertentu kerana kata telah dibuat. Kini, dia sedang berusaha untuk mengotakan katanya.

Mungkir janji, bukan dia orangnya!

“Kalau macam tu, saya pergi dululah. Mungkin lain kali aje saya sarapan sama-sama dengan abang.”

“Eloklah tu. Tapi lain kali pun tak elok juga.”

Shana ketap bibir rapat-rapat dengan hati yang sebak. Tiba-tiba dia jadi teringat betapa terhegeh-hegehnya dia mengejar Raqib suatu ketika dulu. Lebih memalukan, tangannya pernah memeluk tubuh Raqib ketika hampir-hampir terjatuh di dalam bilik pejabat lelaki itu. Tak sengaja, tapi dia sempat berasa gembira dan bahagia. Namun dalam banyak kejadian, dia paling kesal mengingatkan bibirnya pernah mencecah pipi Raqib. Betapa murah harga dirinya saat kewarasan dibutakan oleh nafsu serakah. Dia menyesal!

Ya... ALLAH, ampunkanlah segala kekhilafan hamba-MU yang lemah ini. Aku malu!

“Saya pergi dulu, bang...”

Tubuh, Shana pusingkan membelakangi Thaqif. Tak sanggup mahu terus berhadapan dengan lelaki itu. Ya, hari ini dia sudah tak ada air muka untuk ditunjukkan pada Thaqif. Walau tak menyimpan sebarang niat serong, tetap juga rasa malunya menebal. Yakin, betapa nilainya di mata Thaqif makin rendah. Mungkin awalnya 100%, kini yang tinggal tak sampai pun 10%.

Tapi biarlah! Cukuplah hanya ALLAH tahu betapa dia berniat baik. Hanya cara yang digunakan agak tak molek dipandang mata dan ditangkap hati.

Niat tak menghalalkan cara!

Betul, dia tak akan menyangkal sedikit pun apa yang Thaqif kata.

Dia yakin masih ada cara lain yang boleh digunakan. Tapi, cara yang bagaimana?

Awalnya, dia cuba mendekati Thaqif dengan cara yang baik, sekadar menyapa dengan kata-kata yang elok. Tapi Thaqif langsung tak membalas. Sudahnya, cara agresif digunakan kerana Thaqif bukannya seperti lelaki lain. Tembok hati Thaqif tak serapuh daun mapel. Dia harus melakukan sesuatu yang luar biasa supaya Thaqif sedar kewujudannya. Lantaran itu, sampai ke hari ini dia masih tak jemu-jemu menarik perhatian Thaqif dengan aksi dan kata-kata yang mungkin tak sanggup pun diluahkan perempuan lain kepada seorang lelaki.

Lebih daripada itu, dia tak mahu pada akhirnya, benar-benar akan ada cinta yang timbul. Kalau pun bukan di pihak Thaqif, di pihaknya sendiri. Lelaki sebaik Thaqif, bodohlah jika ditolak. Namun untuk hidup bersama-sama lelaki itu juga tak mungkin. Mereka berbeza. Thaqif berhak mendapatkan seorang perempuan yang benar-benar baik. Kalau pun tak sempurna, mungkin boleh menghampiri kesempurnaan. Sedangkan dia, jalan kehidupannya telah dicacatkan kelemahannya.

“Shana... tunggu!” panggil Thaqif tiba-tiba. Dalam masa beberapa saat, dia sudah berdiri di sisi Shana. Melihat air muka Shana yang suram, dia jadi tak sampai hati. “Saya bagi awak masa 15 minit aje. Kalau awak makan lambat, saya tinggal!” Terus Thaqif berjalan mendahului Shana.


Dalam masa yang sama dia rasa aneh, kenapa perlu dia peduli pada kesedihan Shana? Ah!

PESANAN - Jemput melawat di sini : DI SINI

LELAKI ITU DIA | Bab 7

December 15, 2014

“ADIK-ADIK Thaqif sebenarnya ke mana ni? Dah lewat macam ni pun tak balik lagi. Fikir rumah ni hotel ke?” tanya Syed Faruq sambil membebel. Dia boleh bertolak ansur dalam apa pun keadaan. Namun jika ada ahli keluarga yang tak ada di meja makan tepat pada masanya, itu memang kepantangannya.

Prinsipnya, siang hari masing-masing boleh buat apa saja yang diinginkan. Boleh bekerja hingga letih. Boleh membeli-belah sampai kaki rasa nak tercabut. Atau, bersukan sesuka hati. Tak akan ditanya, tak akan disekat.

Tapi bila malam, semua perlu ada di rumah! Makan malam bersama-sama dan nikmati rezeki yang diberikan ALLAH dengan rasa gembira. Jika diberikan 30 minit saja masa untuk bersama-sama isteri dan anak-anaknya, dia sudah lebih daripada bersyukur.

Lebih daripada itu, selagi masing-masing tak punya keluarga sendiri, mereka bertiga tetap miliknya!

“Jumpa kawan-kawan, ayah.”

“Siapa?”

Thaqif jongket bahu. Tak tahu kerana tak diberitahu. Baginya, dia tak ada halangan jika adik-adiknya mahu berada di luar rumah, asalkan mereka tahu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Mereka sudah begitu dewasa untuk disekat itu dan ini. Lagipun, mereka pergi berdua dan dia percaya mereka akan saling menjaga antara satu sama lain.

“Lain kali, tanya. Kalau tak cakap, jangan bagi keluar!” Tegas kata-kata Syed Faruq.

Thaqif senyum nipis. Langsung tak gentar dengan ketegasan ayahnya kerana dia tahu, hati ayahnya sangat baik.

“Kalau perlu diikat, ikat aje adik-adik Thaqif tu.”

Gelakkan halus Thaqif meletus juga. Namun seketika gelakkan itu bergabung dengan Syed Faruq dan Syarifah Najibah. Kalau adik-adiknya masih berumur 10 ke 11 tahun, memang tak ada apa-apa masalah jika benar-benar diikat. Tapi jika sudah menjangkau usia 26 tahun, silap-silap gaya dia pula yang diikat. Dua lawan satu, tentu awal-awal lagi dia bakal tewas.

“Kadang-kadang abang rindukan masa lalu, Jibah...”

“Tak ada benda yang tak berubah dalam dunia ni, abang.”

“Ya, anak-anak kita yang dulu kecil pun masing-masing dah besar. Yang lelaki dah kalahkan ketinggian abang. Yang perempuan dah jadi lebih besar daripada Jibah. Mungkin tak lama lagi, kita bakal terima menantu. Lepas tu keluarga kecil kita akan berkembang jadi besar,” ujar Syed Faruq dalam senyuman.

Tak ada orang di dalam dunia ini yang tak mahu punya sebuah keluarga bahagia. Dia, salah seorang daripada mereka. Memiliki seorang isteri seperti Syarifah Najibah, menjadi ayah kepada anak-anak yang baik, dia benar-benar bersyukur. Selain mahu melihat anak-anaknya hidup gembira dan bahagia, dia seperti tak mahu meminta apa-apa lagi.

Syarifah Najibah senyum. Masa berlalu, banyak perkara berubah. Namun ada juga yang tak berubah. Thaqif. Hanya anak itu yang dirasakan tak berubah. Tetap kekal begitu walau dia tak pernah lelah meminta daripada TUHAN.

“Siapa nak kahwin dulu? Thaqif atau adik-adik?” tanya Syed Faruq menyakat Thaqif.

Merah sedikit rupa Thaqif. Segan ditanya depan-depan begitu, apalagi di hadapan Syarifah Najibah.

“Thaqif lambat lagi ayah,” balasnya perlahan.

“Kenapa pula? Hal baik tak elok dilewat-lewatkan Thaqif. Nanti Thaqif tua, anak Thaqif masih sekolah tadika. Masa tu nak mengaku anak sendiri anak pun dah segan sebab dah rupa macam datuk dan cucu. Nak pegang tangan pun tak nak sebab takut ada yang bertanya,” luah Syed Faruq selamba.

“Bagi ajelah budak-budak tu lepas dulu.”

“Siapa abang siapa adik ni?”

“Zaman dah berubah, ayah. Tak kisah siapa dulu asalkan dibuat dengan cara yang betul.”

“Tak takut orang kata langkah bendul?” tanya Syed Faruq ingin tahu pendirian Thaqif.

“Langkah bendul cuma adat, ayah.”

“Tapi ibu harap, biar Thaqif dulu. Lepas tu baru adik-adik,” sampuk Syarifah Najibah. Jujurnya, dia sangat suka melihat panorama ketika ini. Thaqif nampak lebih santai berkata-kata dan murah dengan senyum dan ketawa. Meskipun senyum dan ketawa itu bukan untuknya, dia tetap tak mahu berganjak ke mana-mana. Kalau boleh mahu mendengar dan melihat anaknya itu terus berkeadaan begitu.   


SELESAI mencuci pinggan yang digunakan, Thaqif mengelap tangan. Tegak dia berdiri menghadap singki. Dalam masa yang sama, kepalanya ligat berputar. Sekejap memikirkan tentang kerja yang dibawa balik. Sekejap kemudian teringatkan Shana yang masih juga tak berubah-ubah. Pertemuan dengan gadis itu tiga hari lalu, nyata tak membuahkan hasil.

“Lama mana lagi ni aku nak kena bertahan dengan dia?”

Rungutan itu perlahan saja terucap di bibir Thaqif. Tak perlu bercakap dalam nada yang kuat kerana di situ, tak ada sesiapa. Yang ada, hanya dinding bisu yang tak mungkin mengerti betapa galaunya hati sekeping miliknya.

“Okey tak kalau aku marah dia? Tengking-tengking dia ke?”

Pantas kepala digeleng. Tak suka dengan apa yang diluahkan bibir sendiri. Berkasar, bukan caranya kerana dia sangat benci pada keganasan. Tak kira dalam bentuk apa pun atau dengan sebab apa juga. Berkasar dengan perempuan yang terkenal dengan kelemahan, lagilah dia tak mahu. Tak pernah terlintas di hatinya.

“Tapi dia nampak macam obsess sangat dengan aku.”

Kenapa ya?

Kali ini, pertanyaan itu hanya terlintas di benaknya. Tak terkeluar di bibir. Tapi sungguh! Dia benar-benar pelik. Shana tak kenal dengannya. Dia sendiri, rasanya belum begitu tua untuk terlupa yang dia dan Shana saling mengenali. Sekayu mana pun dia, dia masih tahu menilai rupa manusia. Gadis secantik Shana, tak mungkin akan dilupakan walaupun berjumpa secara tak sengaja.

“Siapa awak sebenarnya Shana? Apa yang awak nakkan daripada saya?”

Thaqif buntu sendiri. Kalau dikata Shana mengejarnya kerana harta, mustahil. Gaya dan penampilan Shana tak membuktikan kenyataan itu. Belum lagi diambil kira telefon bimbit berjenama Samsung Galaxy Note 4 yang Shana pegang. Bedak yang gadis itu guna juga sempat dijeling. Mac!

“Mungkin dibeli kat pasar malam agaknya?”

Tapi dia yakin, bedak itu bukan berharga RM10. Dia pernah membelinya, untuk Yasmin. Bukannya sekali atau pun dua kali. Malah, baru beberapa hari lepas pun dia beli juga. Langsung tak ada beza dengan apa yang Shana pegang.

“Beg tangan dia pun bukannya calang-calang. LV lagi.”

Beli di pasar malam juga?

Tak! Dia yakin beg tangan Shana itu juga bukan tiruan. Sebabnya, dia juga pernah membeli beg yang sama ketika di Paris dulu. Bukannya satu yang dibeli, tapi dua. Dia tahu matanya tak mungkin tertipu. Lebih daripada itu, dia memang agak sensitif dengan barang-barang yang dibuat daripada kulit. Matanya cekap membuat perbandingan antara yang asli dan tiruan.

Kasut?

Tudung bertingkat-tingkat yang nampak lembut itu?

Sah... Shana bukan mahukan hartanya!

Jadinya, kalau bukan harta yang gadis itu mahu, apa lagi? Dia? Lagilah tak masuk akal! Tak ada gadis yang waras di dalam dunia ini sanggup mengejar lelaki yang tak dikenali tanpa ada sebarang sebab yang kukuh. Soalnya, apa sebabnya dan untuk apa Shana sampai sanggup melakukan apa saja demi menarik perhatiannya?

Sungguh... Thaqif buntu sendiri!

“Ah... sudahlah! Kalau nak fikirkan pasal minah tu, sampai ke subuh pun tak mungkin akan selesai.”

Usai berkata, Thaqif berpaling ke belakang. Mahu menyambung kerja-kerja pejabat yang tak sempat dihabiskan. Masanya akhir-akhir ini terbiar tak berguna hanya gara-gara mencari jalan mahu mengelakkan diri daripada terus dikejar Shana. Namun, langkahnya kaku. Di hadapannya, Syarifah Najibah memandangnya penuh minat.

“Ibu...” sapanya perlahan. Tak ada senyuman di bibirnya.

Syarifah Najibah tersenyum. Namun di sudut hatinya yang paling dalam, dia menangis. Rindunya mahu melihat senyuman ikhlas di bibir Thaqif, hanya ALLAH yang tahu.

“Kenapa makan sikit sangat tadi?” tanya Syarifah Najibah tenang.

“Dah kenyang.”

“Takkanlah cepat benar kenyangnya? Ibu masak tak sedap ke? Kalau tak sedap, bagi tahu ibu ya?”

“Sedap.” Sepatah Thaqif balas.

Sepatah! Hanya sepatah yang dijawab Thaqif dan hati Syarifah Najibah kian basah. Beratnya mulut Thaqif, bagaikan diikat dengan batu-batu kerikil. Sedangkan dia berharap Thaqif akan bercakap, bercakap dan terus bercakap dengannya sehingga anak sulungnya itu kehabisan air liur. Kemudian, esok dan hari-hari seterusnya akan disambung dengan cerita yang lain pula.

Demi Thaqif, dia sanggup mengorbankan seluruh masa yang dia ada! Hanya demi  Syed Thaqif!

Namun, segala-galanya hanya angan-angan. Kesilapan masa lalu telah mencipta jurang yang sangat dalam antara dia dan Thaqif. Puas didekatkan, sayangnya semua yang dibuat seakan sia-sia.

TUHAN... aku rindukan Thaqif. Aku terlalu rindukan anakku ini, rintihnya dalam hati.

“Kalau... kalau... sedap, kenapa Thaqif tak tambah?”

“Dah kenyang,” ulang Thaqif sekali lagi.

Syarifah Najibah tarik nafas dalam-dalam, kemudian melepaskannya perlahan-lahan. Kalaulah masa boleh diundurkan ke belakang, dia sanggup melakukan apa saja demi memastikan dia tak pernah jauh dari hati Thaqif. Sayangnya, kelebihan sehebat itu tak pernah dikurniakan kepada manusia, apalagi dia yang terkenal dengan banyak kekurangan.

Dosa yang ada, entahkan terampun, entahkan akan diheret sehingga nyawanya bercerai daripada badan.

“Esok Thaqif nak makan apa? Ibu masakan ya?”

“Tak kisah.”

“Ada apa-apa makanan yang Thaqif teringin nak makan tak? Kalau ada cakap aje pada ibu,” tawar Syarifah Najibah sekali lagi.

“Tak ada.”

Terpejam rapat mata Syarifah Najibah. Hatinya sebak, jiwanya rawan. Namun air mata ditahan seboleh mungkin supaya tak titis di pipi. Tak mahu kerana air matanya, Thaqif gagal mendapatkan keredaan ALLAH kerana reda itu hanya akan ada bila ada redanya sebagai ibu. Tak rela hidup Thaqif tak berkat hanya kerana dia terasa hati tanpa pengetahuan anak itu.

Bukan salah Thaqif! Dialah yang pernah bersalah kerana terlalu menurut kata hati dan darah muda. Kini, dia sedang menjalani hukumannya.

“Ibu masakkan kari kepala ikan, boleh?”

“Boleh.”

“Lauk lain? Thaqif suka sayur kailan, kan?” Masih juga Syarifah Najibah mahu menarik perhatian Thaqif. Bukannya di rumah mereka tak ada pembantu rumah. Ada. Malah, tukang kebun dan pemandu juga disediakan Syed Faruq. Namun tugas masak-memasak memang jatuh di bahunya sejak setahun kebelakangan ini. Tak ada sesiapa yang memaksa, melainkan atas kehendaknya sendiri. Biarlah air tangannya mengikat kembali hati-hati yang pernah menjauhinya. Syukur, dia berjaya kecuali hati Thaqif yang masih gagal dia pegang.

“Suka,” jawab Thaqif ringkas. Dia menggigit bibir sendiri, perlahan. Hati ingin berkata banyak dengan Syarifah Najibah. Mahu memuji betapa masakkan ibunya hari ini, sangat sedap. Malah, tak ada dalam sehari makanan yang dimasak ibunya mengecewakan. Namun bibir seakan-akan lumpuh untuk berkata-kata banyak. Tak reti terus mencipta bual, jauh sekali mahu membeli jiwa ibunya itu.

“Thaqif naik dulu ya? Nak buat kerja.”

Syarifah Najibah angguk. Masih berusaha mempamerkan senyum walau seakan-akan tak punya kekuatan. “Jangan tidur lambat sangat. Esok nak kena bangun pagi dan pergi kerja pula,” nasihatnya tulus.

Makin hari, dilihat Thaqif semakin dekat menghampiri jejak langkah Syed Faruq. Dia... sangat risau! Baginya, sudah sampai masanya Thaqif tidak terlalu memikirkan soal kerja. Dalam usia 30 tahun, anak itu sepatutnya sudah mempunyai isteri dan anak-anak comel sebagai penyeri perkahwinan.

“Sebab Jibah dah tanamkan dalam minda dia yang semua perempuan garang. Nanti-nanti kalau Thaqif tak nak kahwin, jangan Jibah nak paksa-paksa pulak.”

Liur ditelan saat kata-kata Syed Faruq berpuluh-puluh tahun lalu itu singgah di ingatannya. Dia kesal!

LELAKI ITU DIA | Bab 6

MALAS melayan ditambah sakit hati, Thaqif jalan selaju mungkin. Tak mahu bersaing dengan Shana yang masih mengekor di belakangnya. Menyesal tak sudah dia kerana bertemu dengan Shana. Sudahnya, jangankan berhenti mengejarnya. Disuruh jangan memanggilnya abang pun gadis itu tak mahu menurut.

Masanya benar-benar terbuang! Dan kini, dia harus memikirkan cara lain untuk mengelakkan diri daripada terus diburu Shana.

“Abang, tunggulah!” pinta Shana.

Makin panjang langkah yang diambil Thaqif. Mahu segera sampai ke Menara Semarak yang hanya beberapa ratus meter jaraknya. Rupa-rupanya, diburu perempuan agak menggerunkan. Apalagi, perempuan yang tak tahu malu seperti Shana.

“Abang, tunggulah saya sekejap. Janganlah jalan laju-laju sangat. Tak terkejar saya jadinya.”

Thaqif buat-buat tak dengar. Dia anggap, Shana bukan bercakap dengannya. Dia bayangkan dia hanya berjalan sendiri selepas balik daripada makan tengah hari. Sedangkan, yang kenyang hanya perut Shana. Dia hanya minum segelas air epal.

“Abang!” jerit Shana kuat. Dia terus berhenti mengejar langkah Thaqif.

Beberapa orang yang lalu-lalang, memandang Shana dan Thaqif penuh minat, bersilih ganti. Mahu tahu drama apa yang sedang berlangsung di tengah-tengah panas yang masih berbahang.

Kuat Thaqif mengetap bibirnya. Langkah dihentikan, menunggu Shana. Namun tetap juga gadis itu tak menghampirinya. Lantas, dia berpatah kembali ke belakang dan berjalan pantas ke arah Shana yang masih memakukan langkah. Kalau Shana itu adiknya, memang diluku-luku kepala itu biar panas. Gagal menarik perhatiannya, gadis itu tarik pula perhatian orang ramai.

Buatnya ada yang mengenalinya kerana Menara Semarak yang terletak di situ, mana hendak diletakkan muka?

Kalau Syed Faruq tahu, takkah dia bakal dibebel?

“Gaduh ke?” tegur seorang perempuan separuh umur. Sekejap dia pandang Thaqif, sekejap kemudian dipandang Shana.

Shana tersengih. “Dia ni kedekut betul mak cik. Mulut aje kata sayangkan saya, tapi bila saya mintak dibelikan aiskrim pun tak nak. Tu yang masam muka macam asam kecut. Macamlah saya minta dia bawa saya makan angin kat Korea. Atau pun minum secawan teh kat Turki. Tak pun makan malam di Paris. Ni, aiskrim tepi jalan aje! Tak patut, kan mak cik?” tanya Shana selamba. Dia tersenyum manis pada perempuan peramah itu. Atau dalam bahasa yang lebih kasar, perempuan yang suka menjaga tepi kain orang. Pantang jika yang dilihat agak menarik perhatian.

“Memang tak patut!”

Thaqif terasa seperti mahu mencekik-cekik leher Shana biar gadis itu berhenti bernafas hari ini.

“Kamu pun, jadi suami janganlah kedekut sangat,” tegur perempuan itu bersungguh-sungguh memberi nasihat.

“Dengar tu abang!” ejek Shana pada Thaqif.

“Perempuan ni kalau selalu tak banyak kerenah, tiba-tiba jadi banyak  tu tandanya ada yang tak kena pada dia.”

“Maksud mak cik?” tanya Shana. Berminat hendak tahu.

Sedangkan Thaqif yang melihat, terasa hati bagaikan digaru-garu. Sudahlah dia hendak cepat sampai ke Menara Semarak. Tak cukup dengan Shana, kini terpaksa pula menadah telinga mendengar ceramah tentang rumah tangga daripada perempuan yang langsung tak dikenali. Benar-benar membuang masanya.

Entah badi apa, akhir-akhir ini dia sering disapa orang yang tak dikenali. Mula-mula, Shana. Kemudian mak cik ini pula. Selepas ini entah siapa pula yang bakal muncul menghuru-harakan hidupnya.

Memang nasib aku ni tak berapa nak baik agaknya sekarang ni, desis hati kecil Thaqif.

“Yalah, mungkin kamu berdua nak terima orang baru agaknya.”

“Anak, maksud mak cik?”

Shana jeling Thaqif, yakin yang ketika ini hati Thaqif tentu sedang memaki hamun dirinya. Tapi biarlah. Selagi telinganya tak mendengar, dia tak akan peduli. Lainlah kalau Thaqif bercakap menggunakan mulut, di hadapan matanya. Itu barulah harus difikirkan apa yang patut dia rasa.

“Ya. Mungkin tak lama lagi akan ada anak yang bakal lahir. Tentu comel macam kamu berdua juga,” puji perempuan tersebut.

Shana tergelak kecil. Terhibur walaupun tekaan perempuan itu langsung tak mengena.

Anak? Ada anak dengan Thaqif? Ada anak secomel mereka berdua?

Tak mungkin!

Baginya, dia hanya singgah sebentar dalam hidup lelaki itu. Kemudian, dia akan pergi begitu saja. Berumah tangga dan punya seorang suami, juga anak-anak comel, tak ada dalam perancangannya buat masa ini. Cukuplah hanya dua kali itu saja niat mahu mempunyai keluarga pernah disimpan. Tak mahu ditambah menjadi tiga dalam masa terdekat ini. Dia sudah cukup selesa dengan hidupnya kini.

Punya seorang suami, belum tentu dia akan jadi selapang sekarang ini.

“Kamu jangan marah-marah dia lagi ya?”

Kelat senyuman Thaqif. “Yalah mak cik, nanti saya tak marah-marah dia lagi. Saya akan belikan isteri saya yang saya sayang sangat-sangat ni kilang aiskrim, letak dalam rumah. Boleh buat mandi kalau dah jemu makan nanti. Atau mengidam,” balas Thaqif. Sengaja perkataan isteri ditekankan untuk memberitahu Shana betapa hatinya mendidih kerana dianggap suami yang kedekut hanya gara-gara Shana.

Padahal, dia belum dipunyai sesiapa!

“Betul ke abang?” Shana sudah menayangkan rupa teruja.

“Betul sayang!” Tekan Thaqif sambil tersenyum lebar. Namun hati di dalam merungut tak sudah.

“Baguslah macam tu.” Kemudian perempuan itu berlalu begitu saja.

Shana yang melihat langkah yang kian menjauh itu, ketawa perlahan. Tak menduga ada pelakon tambahan yang sudah berlakon dalam filem dia dan Thaqif walaupun tak pernah dipinta.

“Apa lagi yang awak nak ni Melati? Nak makan, saya dah beri. Nak minum, saya dah beri. Tak cukup ke sampai awak nak kena buat macam ni sekali? Eh... saya malulah orang anggap saya macam tu!”

“Saya nak abang!”

“Saya tak nak awaklah! Berapa ratus kali nak cakap? Ke awak nak saya cakap dalam bahasa lain selain daripada bahasa Melayu dan Inggeris ni?”

“Bahasa apa yang abang boleh cakap lagi?”

“Hei...”

“Abang nak saya bomohkan abang ya supaya cintakan saya? Kalau nak, saya buat nanti,” potong Shana selamba. Suka melihat muka merah padam milik Thaqif. “Bomoh Siam okey kot, abang? Dengarnya ilmu mereka kuat.”

Kaki kembali Thaqif ayun tanpa membalas kata-kata Shana yang seperti orang tak bertamadun. Zaman moden, masih berfikir soal bomoh bagai, nampak benar betapa gadis itu hidup di zaman batu. Cumanya, kalau benar kenapa jadi begitu berani mengejar lelaki? Gadis zaman batu tentu saja tak begitu.

Tak mahu memikirkan soal itu, kepala digelengkan. Berterusan melayan kerenah Shana, akalnya bakal hilang. Darahnya bakal naik melambung. Kalau terkena strok, mungkin dia bakal koma selama-lamanya.

“Jangan ikut saya!”

“Saya tak ikut abang,” katanya sambil kaki terus melangkah mengikut Thaqif sehingga berhenti di hadapan Menara Semarak.

“Jangan ikut saya naik ke pejabat!” tegah Thaqif. Cukup-cukuplah dia dimalukan Shana hari ini. Kalau dibiarkan Shana terus mengekorinya, tak mustahil satu pejabat kecoh hari ini.

Tak! Tak akan dibenarkan Shana terus mencatat memori hitam dalam hidupnya!

“Siapa yang nak ikut pun? Saya hanya nak tengok abang sampai masuk dalam bangunan. Nak pastikan abang tak kena culik. Lepas tu saya baliklah ke tempat kerja saya pula.”

Ringan saja tangan Thaqif mahu meramas bibir Shana. Cakap-cakap gadis itu selalu lepas. Langsung tak berfikir panjang bila berkata-kata. Dia yang mendengar pula terasa semput nafas. Kemudian, tanpa mengendahkan Shana, dia melangkah laju ke hadapan. Biar cepat sampai. Rimas jika terus diekori begini.

“Kesian dia. Susah hati aku kerjakan,” kata Shana sambil tergelak sendiri.

Namun melihat bayang-bayang yang semakin menghilang, dia bersandar di tiang lampu isyarat sambil mengeluh panjang. Melihat Thaqif, menanggapi penerimaan lelaki itu yang sangat pasif, dia tahu yang dia bakal menghadapi jalan yang sukar. Tapi dia akan cuba bertahan selagi mana dia mampu bertahan. TUHAN, tolonglah...


DAH 30 tahun aku hidup dalam dunia ni, tapi tak pernah aku jumpa perempuan macam tu. Muka cantik, sawo matang. Senyum manis macam gula. Ayu bertudung. Pakai baju kurung kain kapas bertanah pink dan berbunga putih. Tapi perangai, jauh panggang dari api. Tak malu betul!” rungut Thaqif sebaik saja melepasi pintu utama. Merah padam mukanya kerana menahan geram.

Masih teringat-ingat betapa selambanya seraut wajah milik Shana setiap kali bersuara. Bibir nipis itu tak pernah lekang dengan senyum dan ketawa. Malah, setiap kata-katanya ditangkis dengan berani. Langsung tak peduli pada muka kelatnya yang rimas dengan gangguan yang bertali arus.

“Bos... cakap apa tu?” tegur Sakinah sambil tersenyum.

“Tak ada apa-apa!” balas Thaqif selamba.

“Eh... macam marah aje?” tanya Sakinah lagi. Masih tersenyum manis. Sengaja mahu berbual-bual dengan Thaqif. Bosnya itu dilihat tergesa-gesa keluar sebaik saja jarum jam menunjukkan ke angka 1.00 tengah hari.

“Awak ada buat salah ke?”

Sakinah geleng lembut. Kemudian dia tergelak-gelak perlahan. Tahu, Thaqif sengaja mahu mengenakannya.

“Yakin ke tak ada?”

Kali ini Sakinah berdiri tegak, tak lagi bersandar di tepi meja. Thaqif nampak seperti serius, tak tenang seperti selalu. Kalau silap gaya, mungkin hari ini dalam sejarah dia bakal ditengking lelaki kesukaan ramai di Menara Semarak itu, kecuali dia. Thaqif baginya hanya seorang bos dan dia setiausaha kepada lelaki itu.

“Pergi tengok cermin dan tengok apa yang awak sedang pakai sekarang ni, Atikah!” tegur Thaqif tiba-tiba kepada Atikah yang baru melepasi dia dan Sakinah yang masih berdiri.

Atikah yang tak bersedia, terkedu. Tubuhnya yang berskirt singkat dan biasanya sengaja diliuklentokkan, dipandang.

Usai berkata-kata, Thaqif terus melangkah tanpa mengendahkan Sakinah yang bungkam. Telinganya mendengar gelak ketawa beberapa orang staf yang tentunya melihat dan mendengar apa yang dikata pada Atikah, tapi dipekakkan telinga. Lama, sangat lama sebenarnya dia teringin menegur Atikah yang selalu mengenakan pakaian sesuka hati. Bukan saja warnanya terang-benderang, singkat pun tak usah dikata. Seperti sengaja mengundang banyak mata supaya terus memakukan pandangan di tempat-tempat yang tak sepatutnya.

Belum lagi diambil kira solekkan di muka yang mengalahkan warna pelangi. Pendek kata, selagi ada warna, selagi itulah Atikah mahu praktikkan di muka. Dia yang melihat, kadang-kadang rasa ngeri sendiri.

“Ini semua Shana punya pasallah ni!”

Terus Thaqif masuk ke bilik pejabatnya dan menghempaskan punggung di kerusi empuk. Teringatkan Shana kembali, dia merengus kasar. Kepala dipegang dengan kedua-dua belah tangannya. Hati yang geram masih gagal dipulihkan. Semuanya terasa serba tak kena. Dalam sekelip mata, ketenangannya bagaikan direnggut pergi. Padahal, dia bukannya jenis yang mudah melatah. Marah-marah jauh sekali kerana dia manusia yang selalu belajar daripada pengalaman. “Huh! Harapkan muka aje cantik. Teruknya,” bebel Thaqif terus. Sabar yang cuba dipupuk, bertabur sekali lagi. Seketika, duduknya yang sendeng ditegakkan serta-merta. Matanya membulat sendiri.

“Apa aku cakap tadi? Muka dia cantik?”

Thaqif tepuk dahi dengan telapak tangan. Agak kuat. Tak percaya dalam pada meluat pada Shana, dia masih sempat memuji gadis itu yang sememangnya berwajah menarik. Yang lebih tak dapat diterima akal, dia dapat mengingati dengan jelas warna dan corak baju yang tersarung di tubuh ramping Shana. 

“Aku ni dah kenapa? Geram sampai tak boleh lupa dengan setiap yang ada pada dia?”

Kepala, Thaqif geleng-geleng pantas dengan riak cuak. Cuba mengenyahkan bayang-bayang Shana yang bagaikan tak mahu meninggalkannya. Dalam dinginnya pendingin hawa, terasa dahinya bagaikan berpeluh. Namun saat disapu dengan belakang tangan, kering.

“Apa yang awak dah buat dengan hidup saya ni Shana Melati?”

“Melati? Siapa tu Thaqif?” tanya Syed Faruq ingin tahu. Dia berdiri di muka pintu.

“Tak ada siapa-siapa. Thaqif ingat nak tanam pokok melati kat taman mini ibu.”

Dahi Syed Faruq berkerut, namun dia tak mahu bertanya lagi. “Dah solat? Kejap lagi ada meeting.”

“Nak pergilah ni,” balas Thaqif malu. Terlalu melayan perasaan, terlupa pada tanggungjawab sebagai seorang hamba-NYA.Ini semua, Shana punya pasal!