LELAKI ITU DIA | Bab 4

SHANA berdiri di hadapan pintu kaca Restoran Murni Discovery yang tertutup rapat. Kepala dijenguk-jenguk sedikit. Ada! Melihat Thaqif, dia menggeleng dalam senyuman. Hatinya berdebar-debar sendiri. Kalau tak dikawal, mungkin dadanya akan pecah dek pukulan jantung yang bagaikan tak mahu berkompromi dengannya.

Sudah lebih 15 minit dia berdiri di luar restoran. Masih sibuk memujuk hati supaya bertenang. Namun tetap juga hatinya bimbang. Takut kalau-kalau hari ini dia bakal menerima maki hamun daripada Thaqif. Siapa tahu lelaki yang tetap melayannya dengan lembut walaupun selepas dikacau-bilaukan hidup olehnya, tiba-tiba naik hantu saat terpandangkan rupanya yang tak cantik mana ini.

“Tapi... aku bukannya nak kahwin dengan dia pun, kan? Kenapa perlu cuak tak tentu pasal?”

Liur ditelan berkali-kali. Pertanyaan sejak memasuki kereta tadi, bermain-main lagi di kepalanya. Sungguh... dia bingung!

Separuh hati mahu balik ke Kedai Buku Kasih. Tak ada gunanya dia ada di sini kerana pada dasarnya, bukan ini yang dia inginkan. Tapi separuh lagi meminta dia terus berhadapan dengan Thaqif. Kalau bukan dia sebagai kawan, siapa lagi yang boleh diharapkan?

“Tapi kalau aku dimaki Thaqif, macam mana?”

Kepala, Shana ketuk perlahan dengan jari telunjuk kanan. Makin buntu jadinya. Kemudian mata dibuang ke hadapan. Kenderaan masih bertali arus menuju ke destinasi masing-masing. Jarum jam di tangan dipandang sekilas. Masa tak pernah menanti manusia.

“Alang-alang menyeluk pekasam Shana. Biarlah sampai ke pangkal lengan.”

Ya, dia anggap saat ini dia sedang membalas  kebaikan mereka walau tak pernah minta dibalas. Dengan lafaz bismillah, dalam langkah yang tenang dia kembali menggerakkan kaki ke hadapan.

“Hai, abang...” tegur Shana selamba.

Thaqif yang terkejut, pantas panggung kepala. Tajam matanya menombak anak mata Shana. Mahu merakamkan wajah yang telah merosakkan harinya selama beberapa minggu ini dalam ingatannya. Tak mahu terlupa walaupun sedikit. Jujurnya, melihat si gadis bertudung, dia terkedu. Tak percaya hijab yang dipakai langsung tak mampu menutup malu Shana. Padahal, dia membayangkan gadis itu bukan seperti ini. Sayang, sangkaannya sasar sama sekali.

Tapi kalau sopan begini, kenapa tingkah sangat berlawanan?

“Kenapa tak datang esok petang aje?” tempelak Thaqif selamba.

“Ingat memang nak datang esok petang tapi tak sampai hati pula biarkan abang sorang-sorang hari ni. Itu yang saya datang tu,” balas Shana selamba. “Manalah tahu, kot-kot abang rindukan saya nanti,” sambungnya masih dalam nada suara dan air muka yang sama.

“Saya tak ada masa nak berloyar buruk.”

“Loyar baru boleh?”

Membuntang mata Thaqif. Aneh bila Shana langsung tak terkesan dengan nada kurang mesranya. Tetap juga gadis itu mempamerkan senyuman meleret. Kemudian selamba saja melabuhkan punggung di hadapannya. Bila mata Shana tertancap ke arah airnya, cepat-cepat dijauhkan. Tak rela dia berkongsi minuman dengan gadis yang tak dikenali.

“Tangkai jering betullah abang ni,” ejek Shana selamba. Dia ketawa-ketawa kecil.

Kuat Thaqif ketap bibir. Geramnya rasa bukan kepalang. “Siapa abang awak?”

“Abanglah!”

“Tolonglah jangan nak perasan. Adik saya cuma dua!”

“Kalau macam tu jadikan saya adik angkat abang. Boleh?”

“Tak payah!”

“Adik ipar boleh?”

“Adik saya pun tak nak kat awak.”

Shana jongket bahu. Thaqif jelas mempamerkan air muka kurang mesra. Nampak sangat lelaki itu terpaksa menemuinya. Ikutkan hati, dia hendak ketawa besar. Tapi jauh di sudut hati, dia rasa lega. Thaqif ternyata tak seperti yang disangka.

“Sampai hati abang cakap macam tu. Saya bukanlah teruk sangat pun. Kalau abang kenal saya, saya okeylah. Kalau kita jadi adik ipar dan abang ipar, abang mesti bangga. Ramai dah yang nak jadikan saya ni menantu mereka, tapi saya tolak mentah-mentah. Hati saya tak tertarik dengan anak mereka. Mungkin kita ni berjodoh nak jadi keluarga agaknya tak, abang?” ujar Shana selamba.

Sengaja dipuji diri sendiri. Mahu melihat bagaimana reaksi Thaqif. Bila air muka Thaqif berubah sedikit, dia ketawa kecil. Kalaulah orang lain mendengar kata-katanya, mungkin setahun gelak mereka tak habis.

“Awak ni perasan ya?”

“Ya ke? Abang rasa saya macam tu ke? Saya langsung tak perasan. Yalah, kita mana boleh nilai diri sendiri. Kalau terpaksa nilai pun tentu aje nak letak angka yang tinggi-tinggi biar menjulang sampai ke langit.”

Dengan mata memandang Thaqif, dia mengeluarkan bedak di dalam beg tangan. Pantas saja wajah dilihat di dalam cermin. Lantas, dia tersenyum manis pada diri sendiri.

Thaqif yang melihat, semakin terkedu. Kelu lidah melihat betapa bersahajanya aksi-aksi Shana. Langsung tak peduli pada pengunjung yang lain, walau tak ada yang memandang. Masih-masing leka memenuhkan perut sendiri. Jauh sekali berasa segan dengan dia yang pertama kali ditemui. Kalau gadis lain, mungkin akan tersipu-sipu malu dengan muka merona merah.

Kenapa gadis yang satu ini begitu lain tingkahnya?

“Kalau tak boleh jadi adik ipar, jadi ibu tiri abang ajelah!”

“Mengarut apa ni?” tanya Thaqif geram. Kalaulah mamanya mendengar, mahu dipenggal kepala Shana.

Chill bro! Jangan marah-marah sangat.”

Kuat rengusan Thaqif. Diam-diam, sabar yang hampir bertabur dikutip satu demi satu. Sudah diingatkan hatinya supaya sabar menangani Shana. Jangan marah-marah dan tak perlu garang-garang kalau dia benar-benar mahu gadis itu berhenti daripada mengganggu hidupnya. Hanya perlu bercakap baik-baik kerana itu lebih berkesan. Namun, ternyata apabila berhadapan begitu, laluannya seakan-akan sukar. Shana di dalam talian, sama saja seperti Shana di hadapannya.

“Awak nak apa sebenarnya daripada saya?”

“Nak jadi isteri abanglah! Nak apa lagi?”

“Jangan main-main boleh tak?”

Shana terus tersenyum. Kecil kedua-dua belah matanya kerana senyumannya yang ikhlas. Kasihan juga melihat Thaqif yang nampak bengang, tapi dia tak ada pilihan lain lagi. Thaqif harus bersabar dengannya. Mungkin hanya sekejap, atau mungkin mengambil masa berbulan-bulan lagi. Bertahun-tahun? Tak mungkin! Hidupnya tak akan disia-siakan begitu saja semata-mata untuk menarik perhatian Thaqif.

“Saya makan dulu, boleh? Lepas tu kita bincang ya?”

“Tak boleh! Saya nak cepat ni. Kalau awak banyak masa free, jangan ingat orang lain pun sama juga macam awak,“ bebel Thaqif.

“Dan, saya nak abang belanja saya makan hari ni,” kata Shana tanpa mempedulikan bantahan Thaqif.

“Awak ingat saya cop duit ke main minta belanja macam tu aje?”

Bahu Shana terjongket sedikit. Mukanya masih juga berseri-seri. “Saya tak ada duitlah abang sebab saya kerja biasa-biasa aje. Gaji pun tentu tak banyak macam abang. Murah hatilah sikit dengan saya hari ni.”

“Tak nak!”

“Saya lapar. Lapar sangat ni. Kalau gastrik saya datang, macam mana? Abang nak dukung saya bawa pergi klinik kalau saya tak boleh jalan? Saya ingatkan abang siap-siap yang saya ni bukan ringan sangat. Berat saya 50 kg. 50 kg tau! Bukannya 5 kg. Saya ulang lagi, 50 kg. 5...”

“50 kg. Cukuplah sebut tu! Saya masih belum pekak lagi. Pagi tadi pun saya dah korek telinga lepas mandi,” potong Thaqif pantas.

“Saya nak makan!”

“Saya tetap tak nak tunggu.”

Air muka Shana berubah sugul. Bedak di atas meja diletakkan kembali di dalam beg tangan dalam gerakkan yang lambat-lambat. Otaknya ligat berfikir tentang banyak perkara. Thaqif yang tak marah-marah itu bukanlah begitu mudah untuk ditundukkan. Nampak keras kepala dalam tenang. Muka pun langsung tak manis seperti gula. Sukar juga hendak beralah pada perempuan.

“Kalau macam tu tak payah makanlah. Biar ajelah saya kebulur sepanjang hari ni. Kalau saya mati, saya jadi hantu saya cekik abang sebab kedekut dengan saya. Harapkan gaya aje macam ada duit berkepuk-kepuk. Minta belanja makan sepinggan pun berkira macam Haji Bakhil.”

“Mana awak tahu duit saya ada berkepuk-kepuk?”

“Tengok pun dah tau,” kata Shana sambil menjuihkan bibir.

“Dia nilah!”

Thaqif gamit seorang pelayan supaya menghampiri mereka. Tanpa bertanya apa yang Shana mahu makan, dipesan nasi lemak kukus untuk gadis itu. Baginya, itu sajalah makanan yang paling cepat boleh dihidangkan.

“Terima kasih, abang,” ucap Shana ikhlas.

Langsung Thaqif tak membalas. Tubuhnya disandarkan di kerusi. Air epal yang belum diminum, hanya dipandang. Otaknya kosong. Namun saat melihat Shana sudah mula mencapai sudu dan garpu, dia melepaskan keluhan panjang. Kesal kerana berada di sini, saat ini. Sepatutnya, diabaikan saja permintaan Shana yang mahu bertemu dengannya. Tapi berterusan menerima gangguan daripada gadis itu, dia tak tahan. Dunianya yang aman damai mahu dikembalikan. Lantaran itu, dia ada di sini sudahnya.

“Makan, bang...” pelawa Shana.

Thaqif hanya diam. Diperhatikan saja cara Shana menyuap makanan ke dalam mulut. Nampak begitu tertib dan lemah lembut. Tak gelojoh dan terburu-buru seperti kata-kata yang gadis itu keluarkan setiap kali berbicara dengannya. Bila sesekali mengelap mulut dengan tisu, jemari-jemari runcing itu nampak bergerak perlahan. Gemalai seperti lalang yang ditiup angin.

Lalang ditiup angin?

Diakah yang baru aku kata lembut seperti lalang ditiup angin?

Tak mungkin! Gadis tak malu ini tak mungkin seorang yang lemah lembut. Sopan santun jauh sekali.

“Alhamdulillah...” ucap Shana, lalu menolak pinggannya ke hadapan. Kemudian, air laici di dalam gelas dicapai dan disedut perlahan. Sedar, daripada tadi tingkahnya diperhatikan Thaqif. Dia rasa kurang selesa dipandang begitu. Namun sengaja dibuat seperti sedang makan seorang diri. Thaqif hanya dianggap seperti patung lilin.

“Kenapa tak habiskan makanan awak tu? Kata lapar benar tadi,” sinis Thaqif sambil mencebikkan bibir.

“Dah kenyanglah sebab tu tak habis.”

“Membazir tu sedara syaitan, tahu? Lagipun... awak ingat senang ke saya cari duit sampai awak sia-siakan nasi lemak kukus tu?”

Kembang hati Shana mendengar bebelan Thaqif. Dengan muka serius dan mulut yang tak henti-henti bercakap, dia merasakan lelaki itu sangat comel. Jarang benar dilihat lelaki membebel begitu. 

No comments:

Post a Comment