LELAKI ITU DIA | Bab 3

12:58 PM

AUNTY... hari ni I keluar awal sikit dan I balik lewat sikit juga tau,” kata Shana sebaik saja melihat Madam Anne menapak mendekatinya. Seperti hari kebiasaannya, tepat pukul 10.30 pagi, Madam Anne akan muncul di Kedai Buku Kasih  yang dijaganya sejak sebulan yang lalu. Kemudian, tepat pukul 12.00 tengah hari, kembali hilang meneruskan rutin hariannya, entah di mana. Yang dia tahu, Madam Anne ada beberapa butik dan kedai bunga.

Hari ini wanita berusia awal 50-an itu memakai baju berwarna hijau lumut. Seperti biasa, terlilit mafela di lehernya. Mafela yang selalu menjadi bahan usikannya. Katanya, sekarang ini mana ada orang memakai mafela di leher. Zaman itu telah lama berlalu dan Madam Anne harus keluar daripada kepompong. Namun Madam Anne hanya gelak sambil berkata dia buta fesyen. Sudahnya, tetap juga Madam Anne datang dengan gaya yang sama. Mafela di lehernya, berganti saban hari.

 “You nak ke mana?”

“Kalau I cakap I nak pergi dating, aunty tak akan percaya, kan?”

“I memang tak percayakan you. Mana pernah you tinggalkan kedai sejak kerja. Balik-balik you minta Fathia, Dewi atau Ah Meng bungkuskan makanan untuk you. Kalau I paksa you makan luar pun you tak mahu. Macam mana I nak percaya?” tanya Madam Anne sambil memberikan alasan. Mendengar Shana hendak pergi dating, dia rasa teruja.

Meletus perlahan ketawa Shana. Tak menduga, dalam diam rupa-rupanya Madam Anne memerhatikannya.

“Tapi betul, hari ni I nak pergi dating.”

“Lelaki mana yang dah putus wayar dalam kepala tu mahu dating sama you?” usik Madam Anne pada Shana.

Fathia yang berada di rak yang menempatkan buku-buku perniagaan, ketawa kecil. Ayat Madam Anne memang mencuit hati. Cara mereka berdua berbalas kata kelihatan sangat comel di matanya. Selamba saja Shana menentang kata-kata bos mereka itu. Langsung tak ada rasa takut. Lagipun Madam Anne yang dia kenali memang terkenal baik. Tak pernah melayan pekerja dengan kasar. Pendek kata, antara mereka dan Madam Anne, lebih kepada kawan-kawan dibandingkan pekerja dengan bos.

“I tak tipulah aunty.”

“I akan percaya bila you hantar kad kahwin pada I. Masa tu I janji akan beri you hadiah besar.”

“Kalau Shana hantar kad kahwin pada you, I merajuk terjun lombong. Tak mahu balik kerja dengan you lagi,” kata Ah Meng sambil tersenyum. Rambut yang menutup matanya, ditolak sedikit ke tepi. Tangannya masih memegang senaskhah buku resepsi yang mahu dipindahkan ke rak atas.

“Fasal apa?” Madam Anne padang Ah Meng.

“I frust sebab Shana reject cinta I.”

“You ingat bunga tu sekuntum? Ada melambaklah bunga dalam dunia ni Ah Meng. Mahu mati sebab putus cinta, itu teruk okey! Tolong you jangan beri malu pada kaum kita ya?”

Berderai ketawa Shana dan Fathia. Madam Anne, meskipun berbangsa China, sangat fasih berbahasa Melayu. Bukan seperti Ah Meng yang ada masa-masanya tersangkut bila berkata-kata kerana gagal mencari diksi yang betul. Kadang-kadang, lain yang nak dikata lain perkataan yang digunakan. Sudahnya terkulat-kulat Ah Meng kerana segan diketawakan mereka.

“I tak mahu bunga Madam. I mahu Shana.”

“I dah ada yang punyalah Ah Meng. You terlambat beberapa saat. You kena cari orang lain,” usik Shana pada Ah Meng. Tahu, lelaki berusia 19 tahun itu sengaja menyakatnya.

“Saya tak percayalah Kak Shana dah ada yang punya,” sampuk Fathia sambil menjongketkan kening.

“You tengok? Kawan you pun tak percaya sama you. Macam mana I nak percaya pada you, Shana?”

“Fathia dengki dengan I, aunty. Tak ada orang ajak dia dating sebab tu dia cakap pada you macam tu.”

“Mana Kak Shana tau?”

“Sebab hari-hari pun Fathia ada dengan Kak Shana. Makan pun kat kedai hujung sana. Kan?”

“Masa cuti saya pergi datinglah Kak Shana.”

“Tak percaya!”

“Tak kisah!”

Sudahnya ketawa mereka berempat meletus membingitkan  suasana yang damai. Masa mereka berborak begitu memang tak lama mana. Sedikit masa lagi, kedai buku ini akan mula didatangi pengunjung. Namun masa yang ada itu digunakan untuk saling berkata-kata dan menyakat sesama sendiri.

“Boleh I keluar awal hari ni aunty?” tanya Shana sekali lagi bila ketawa mereka telah reda.

Persahabatan Madam Anne dengan Puan Sri Ratna tak mahu dijadikan tiket untuk dia mengambil kesempatan. Di sini, dia pekerja dan selayaknya pekerja dia harus bertingkah seperti seorang pekerja yang berdedikasi.

“Boleh. Jangan balik awal sangat tau.”

“Hah?” Dahi Shana melopong. Tak faham apa yang mahu Madam Anne sampaikan.

Madam Anne ketawa mempamerkan lesung pipit kecil di pipi kanannya. Suka melihat Shana melopong begitu. Dia mengenali Shana bukan baru-baru ini, tapi sudah menjangkau puluhan tahun kerana dia dan Puan Sri Ratna itu sudah berkawan sejak berada di zaman universiti lagi.

Dan kerana mengenali Shanalah, maka dibiarkan saja Shana bekerja dengannya walaupun ikutkan akal, memang tak logik. Tan Sri Zaidi punya syarikat yang sangat gah. Cawangan melangkau ke segenap negeri di Malaysia. Tapi Shana memilih bekerja di kedai buku kepunyaannya. Dia percaya, Shana punya alasan tersendiri.

“Kalau you balik cepat, nanti rindu you tak habis. I tak nak tengok muka monyok you esok pagi.”

Segan memanglah segan diusik begitu, namun Shana tetap juga ketawa. Lega dengan pelepasan yang diberikan Madam Anne.

“Dan lagi...” Mata Madam Anne jatuh ke tangan kanan Shana. “You jangan asyik makan kerepek pisang tanduk tu. Memanglah tak memudaratkan, tapi makanan goreng-goreng ni you patut elakkan,” pesan Madam Anne pada Shana. Sejak hari pertama bekerja dengannya, Shana dilihat sudah mula menjadikan kerepek pisang tanduk yang dibeli daripada peniaga buta di tepi kedai buku itu sebagai makanan rutin.

Ah Meng dan Fathia sudah meninggalkan mereka berdua.

“Sedap, aunty.”

“I tahu sebab itu orang jual.”

Shana tersengih bak kerang busuk. Jawapan Madam Anne menggelikan hatinya. Seperti dulu juga, kawan mamanya itu tak pernah kering dengan lawak jenak. Hanya dulu dia tak begitu mengendahkannya. Asyik leka dengan dunia sendiri. Habis dilupakan orang-orang yang ada di sekitarnya.

“I sukalah kerepek pisang ni aunty.”

“Kalau pun you suka, takkanlah you nak makan setiap masa? I tengok you bukan makan pagi aje, tengah hari, petang dan Fathia kata pada I, setiap kali balik kerja you mesti bawa bekal sekampit dua.”

“I bayarlah aunty. Bukannya I makan free tau.”

“I tak kata you makan free okey! I tahu papa you banyak duit. Kalau mahu, dengan kakak jual kerepek tu sekali dia boleh beli.”

“Itu duit dia, bukan duit I. Yang I makan, I bayar dengan duit gaji yang aunty beri pada I minggu sudah,” kata Shana bersungguh-sungguh.

“Tapi kalau dah asyik you aje yang makan. Bila masa pelanggan lain nak rasa?”

Shana pegang kerepek plastik kerepek pisang tanduk keluaran Kerap-kerup Kerepek MD di tangannya. Tak tahu di mana sedapnya kerepek pisang tanduk ini, tapi setiap hari dia selalu memastikan mulutnya mengunyahnya. Kadang-kadang, sebelum tidur pun dia makan juga. Kata Fathia, dia sudah gian dengan kerepek pisang tanduk tersebut. Tapi dia hanya ketawa-ketawa.

Gian dengan kerepek pisang tanduk, rasanya boleh dimaafkan lagi dibandingkan dengan giankan candu.

“I nak kayakan mak cik tulah aunty!”

“You ni ada aje jawabnya!”

“You jangan marah-marah aunty. Nanti muka you naik kedut-kedut. Kalau Uncle Eric tinggalkan you, I tak tau.”

“You ni nakallah! I bagi tahu mama you nanti biar dia pukul you dengan rotan,” ujar Madam Anne pada Shana.

Mati kutu Madam Anne dengan usikan Shana. Kepala digelengkan dengan senyuman di bibir. Dibandingkan Shana yang dulu, dia lebih sukakan Shana yang ini. Lebih ramah dan selalu tersenyum. Bukannya berat mulut yang hanya menjawab sepatah bila ditanya berpatah-patah kata. Dia tahu apa yang menimpa Shana kerana antara dia dan Puan Sri Ratna memang tak ada rahsia. Bukan sekali dua juga dia melihat air mata di pipi kawannya itu. Tak ada ibu di dunia ini yang rela melihat kekecewaan si anak.

Tapi sebagai seorang ibu, dia tak memandang masa lalu sebagai satu beban. Baginya, setiap hari manusia melakukan kesilapan dan kesilapan itu adalah proses belajar yang tak pernah ada hujungnya.

Sorry, aunty. I gurau aje. Saja nak menyakat aunty sebab dulu I selalu tak peduli pada aunty. Maafkan I ya aunty?”

Kalau dihitung-hitung, bukan hanya dengan Madam Anne, dia bersalah. Malah, ramai kawan mama dan papanya yang hanya dilayan acuh tak acuh.

“You tak ada salah pada aunty.”

“I jahat sikit dulu aunty,” akui Shana perlahan. Tentu malu mamanya kerana sikapnya.

“Mana ada you jahat. Anak remaja memang suka buat hal sendiri. Sama macam Nelly dan Nick.”

“Tapi Nancy dan Nick baik. Tak macam I.”

“Kalau you macam anak-anak I, nanti I confuse mana satu anak I, mana satu anak Ratna. You mahu ke kalau kami tertukar anak?”

Akhirnya bibir Shana kembali tersenyum. Tahu, Madam Anne sengaja mahu menghilangkan kesedihannya. Padahal, sudah terang lagi bersuluh. Kulit Nancy dan Nick putih melepak, sedangkan kulitnya sawo matang. Tak mungkin Madam Anne tak dapat membezakan walau mungkin tingkah mereka serupa.

“Terima kasih aunty sebab ambil I kerja sini.”

“Kenapa you nak kerja di sini Shana?”

Shana ketawa. Teringat sebaris nama dan seraut wajah di dalam kiriman WhatsApp sebulan lalu. Kerana lelaki itu dia di sini. Tapi biarlah Madam Anne tak tahu apa-apa. Tak rela dia menjadi mangsa ejekan kawan mamanya itu. Kalau sampai ke pengetahuan mamanya, ke mana muka hendak disimpan kelak?

“I nak cari pengalaman kerja.”


“Aunty tahu you tipu. Tapi aunty tak kisah. You boleh kerja selama mana yang you nak. Aunty tak kisah.”

Jemput melawat di sini : LELAKI ITU DIA

You Might Also Like

0 comments