LELAKI ITU DIA | Bab 2

SAMPAI hati tak ingatkan saya. Padahal, hari-hari saya ingatkan abang. Kadang-kadang, saya makan tak kenyang. Tidur tak lena dan mandi pun tak basah. Semuanya sebab abang tau...”

Ketawa perlahan Shana meletus saat teringatkan kata-katanya pada Thaqif malam tadi. Betul-betul tak ubah seperti perempuan gedik. Tersua-sua pada lelaki yang tak sudi. Kalaulah aksinya dilihat pengarah filem, tentu hari ini dia sudah dilamar menjadi heroin dalam filem tersebut.

Tapi sungguh... saat berkata-kata begitu, tekaknya mual sendiri. Nak termuntah mengenangkan betapa tak malunya dia.

Kalau mamanya yang mendengar, tentu wanita itu bakal pitam. Tak percaya yang berkata-kata itu anak sendiri. Kalau papanya pula, mungkin sekali lagi dia bakal dihantar ke Australia. Atau lebih kejam lagi, dibiarkan saja tinggal di Antartika. Pasti papanya beranggapan yang tempoh dua tahun itu gagal memanusiakan dirinya. Hakikatnya, kini dia semakin mengerti bahawa ujian dan dugaan itu merupakan pakej yang turut lahir seiring dengan manusia di atas muka bumi ini.

Dulu itu dia jahil, maka semua yang didatangkan padanya dianggap hanya bertujuan mahu menyusahkan dirinya.

Ampunkan dosa hamba-MU ini ya ALLAH. Hamba-MU ini khilaf.

Namun untuk memutarkan kembali masa supaya segala kesilapan yang dilakukan dapat dipadamkan, tak mungkin. Itu di luar kemampuannya, juga manusia yang lain. Yang mampu dilakukan, hanya berubah ke arah kebaikan. Jadikan kenangan dulu sebagai guru yang paling baik.

Tapi... Adriah? Ya ALLAH...

Muka diraup dengan kedua-dua belah tangannya. Nafas ditarik panjang sebelum dilepaskan bebas ke udara. Mengharap dirinya kembali tenang. Ya ALLAH... desisnya terus.

“Saya tak nak jumpa awak!”

Sebaris ayat Thaqif kembali di telinga Shana. Wajah Adriah, kian menjauh. Lalu, tawa yang tadinya hilang, kembali lagi. Mulanya perlahan. Namun lama-kelamaan bertukar menjadi ketawa yang besar. Geli hati mengenangkan betapa beria-ianya Thaqif tak mahu bertemu dengannya. Macamlah dia pembunuh bersiri.

Tapi jika dia diletakkan di tempat Thaqif, dia pun takut juga. Tak ada angin tak ada ribut, tiba-tiba saja diganggu.

“Awak memang kelakarlah, Thaqif,” ungkap Shana sambil memegang perut. Masih ketawa.

Kemudian tubuh direbahkan di atas tilam. Bantal empat segi kecil berwarna hitam ditekapkan ke muka. Menghalang ketawanya lepas bebas ke segenap ruang. Bimbang ketawanya melepasi bilik. Tak mahu dirinya dianggap gila oleh mama dan papanya.

“Lawak... lawak...”

Terus bibir Shana mengomel di balik bantal. Langsung tak peduli pada bibirnya yang sudah dicalit lipstik berwarna pink. Jauh sekali memikirkan pakaian yang sudah membalut tubuhnya berkedut seribu. Tudung elok terletak di kepalanya tentu akan senget-benget. Apa yang dia tahu, dia mahu melepaskan semua rasa geli hatinya yang tak dapat dikongsi dengan sesiapa. Biar selepas ini, dia dapat melakukan pekerjaannya dengan tenang. Tanpa perlu memikirkan hal-hal yang berkaitan dengan Thaqif.

Bye, abang sayang...

Makin kuat ketawa Shana sehingga perutnya terasa tegang. Seumur hidupnya, tak pernah lagi dia mengejar lelaki sampai begitu sekali. Dengan Raqib, tingkahnya lebih agresif berbanding ketika bersama-sama Naim, tapi tidaklah sampai seteruk itu. Kali ini memang keterlaluan.

“Kesian...”

“Shana...”

Panggilan suara lunak yang tiba-tiba menyapa mematikan ketawa Shana. Terus terkedu jadinya. Lumpuh pergerakan kecilnya yang sekejap ke kanan dan sekejap ke kiri. Hatinya gementar sedangkan bantal langsung tak dialihkan daripada menutup mukanya.

Mama dengar ke aku ketawa? Mama dengar ke aku bercakap-cakap sendiri?

Dalam sejuknya pendingin hawa yang masih terpasang, Shana terasa dirinya seakan-akan panas berbahang.

Tolonglah... janganlah mama salah faham. Janganlah!

“Tidur lagi?” tanya Puan Sri Ratna. Dia duduk di atas katil Shana. Lengan anaknya disentuh penuh kasih. Namun hatinya tak tenteram. Kata-kata dan ketawa Shana sempat menampar telinganya.

Sekali lagikah dia perlu melalui situasi yang sama?

Tolong TUHAN, janganlah, desis hati kecilnya walang. Cukuplah apa yang telah menimpa Shana. Dia mahu melihat anak gadisnya itu menjalani hidup dan kehidupan seperti anak-anak orang lain. Mendung dalam hidup Shana harus berlalu pergi. Jangan terus-terusan hanya berlegar-legar di atas kepala. Dia tak sampai hati melihatnya. Hatinya rasa seperti dicarik-carik halus.

Perlahan-lahan, Shana mengalihkan bantal ke sisi kanannya. Senyuman manis dihadiahkan buat Puan Sri Ratna. Renungan matanya tertumpah pada mama kesayangannya itu. Inilah dia... inilah dia insan yang tak pernah kurang memberikan kasih sayang padanya. Tak pernah peduli walau kesalahan yang dibuat bukannya kecil. Tak kisah langsung pada umpat keji orang tentang dirinya.

“Shana... kenapa nak?” tanya Puan Sri Ratna lembut. Hati makin gusar melihat renungan Shana.

Shana geleng. Masih terus tersenyum. Lalu, perlahan-lahan ditarik lengan Puan Sri Ratna. Memaksa mamanya supaya berbaring di sisinya. Terasa sangat lama mereka tak berbuat begitu.

Bila Puan Sri Ratna akur, terus Shana peluk tubuh mamanya erat-erat.

“Mama... terima kasih ya,” ucapnya perlahan, sedikit lirih. Mata mamanya ditentang.

“Untuk apa?”

“Untuk semua yang dah mama buat pada Shana,” ujar Shana sebak. Makin erat tubuh ramping Puan Sri Ratna didakap. Memang dia pernah lupa pada segala-galanya saat hati dan mindanya hanya memikirkan soal luka. Namun dalam pada lupa itu, dia tak pernah tak sedar kehadiran mamanya.

Kerap dilihat mamanya menitiskan air mata, namun tetap juga dia hanyut dengan dunianya sendiri.

“Shana tahu Shana dah buat banyak kesilapan pada mama. Shana sedar Shana dah malukan papa. Malukan keluarga kita. Shana betul-betul minta maaf atas semua kesalahan Shana selama ni,” sambung Shana dengan mata terpejam rapat. Tak sanggup lagi menatap bening mata mamanya.

Saat terasa dahinya dikucup hangat, pantas mata dibuka.

“Shana anak mama. Anak kesayangan mama sampai bila-bila. Yakinlah sayang, ditakdirkan lepas ni kejadian yang sama berulang lagi, mama tetap terima Shana dengan hati terbuka. Mama tetap tatang Shana macam minyak yang penuh sebab tak ada ibu di dalam dunia ini yang tak sayang pada anak sendiri. Dan hati mama selalu yakin, Shana mama yang dulu tu akan kembali lagi. Mama selalu yakin, Shana...”

Mama...

Hati Shana lantang menjeritkan panggilan itu. Kesal dengan kesilapan demi kesilapan yang pernah dilakukan. Bukannya sebulan dua, tapi menjangkau sehingga masa bertahun. Tapi biarlah. Yang penting kini dia telah berubah. Sedar, bukan Naim. Bukan Raqib untuknya. Tentu ada lelaki lain yang dijanjikan untuknya. Dengan lelaki itulah kelak, tangannya bakal dipimpin menuju ke jalan ALLAH.

“Jom...” ajak Puan Sri Ratna setelah pelukan terlerai. Dia duduk kembali.

“Ke mana?” Ada kerut di dahi Shana.

“Tak mungkin mama ajak Shana pergi karaoke, kan?”

“Mama ni...”

Puan Sri Ratna tergelak perlahan. Muka cemberut Shana yang dikenakan, menerbitkan rasa lucu. Lantas, pipi gebu Shana diusap-usap dengan penuh kasih sayang. “Pagi-pagi macam ni, sebelum pergi kerja tentulah kena isi perut kenyang-kenyang biar lebih semangat bekerja.”

“Okey! Tapi... papa ada?”

“Sampai bila Shana nak mengelak daripada papa? Shana dan papa tinggal satu rumah, macam mana pun tetap akan jumpa kalau pun bukan hari ni,” luah Puan Sri Ratna lembut. Memujuk Shana supaya tak terus mengelak daripada bertembung dengan Tan Sri Zaidi. “Kita dah lama tak sarapan berempat macam dulu. Kita turun sarapan sama-sama ya? ” pujuk Puan Sri Ratna penuh harap. Jari-jemari Shana digenggam erat.

“Nasi goreng cina ada?”

“Kalau Shana nak, nasi goreng india pun mama akan usahakan untuk Shana,” usik Puan Sri Ratna sambil tersenyum lebar. Mata dikenyitkan pada Shana. Shana yang keletah, ini... barulah anaknya! Bukan yang murung dan suka membuat hal sendiri. Gurau senda langsung tak ada.


SUDU di hadapannya dicapai, namun matanya terhala tepat ke arah Tan Sri Zaidi yang terus menghayati makanan di dalam pinggan. Tertib cara papanya makan. Tapi sedikit pun tak membuang pandang padanya. Seolah-olah, yang ada di ruang makan yang luas itu hanya papanya sendiri. Mereka bertiga dibuat acuh tak acuh saja.

Papa, pandang Shana, pa.  Shana rindu papa Shana yang dulu, desis hati kecil Shana.

Perlahan-lahan nafas ditarik, kemudian dilepaskan dalam kiraan satu dua dan tiga. Dalam diam, hati yang rajuk dipujuk sendiri. Sungguh... jauh di lubuk hatinya yang paling dalam, dia rindukan Tan Sri Zaidi. Dia rindukan papanya yang selalu melayannya dengan baik. Tersenyum dan ketawa dengan setiap tingkahnya. Malah, memanjakannya melebihi Haidar walaupun dia anak sulung.

Dia akur betapa marah papanya tak pernah padam. Mungkin masih menyala dalam marak yang sama biar masa telah jauh bergerak.

Selepas apa yang dibuat, entah bagaimana agaknya papanya berhadapan dengan Raqib dan Nadra? Staf lain lagi?

Maaf, papa... Shana dah malukan papa. Shana minta maaf sangat-sangat!

“Kau kerja kat mana sekarang ni Shana?” tanya Haidar dengan riak kosong.

“Haidar...” tegur Puan Sri Ratna. Tak gemar Haidar yang muda dua tahun daripada Shana itu memanggil nama pada kakak sendiri.

Haidar pandang Puan Sri Ratna. Sekilas sebelum matanya tertancap tajam pada Shana. Sakit hati. Kalau berkaitan dengan Shana, dia selalu menjadi mangsa teguran. Ada-ada saja yang tak kena di matanya. Padahal, bukannya baru hari ini dia memanggil Shana begitu. Sudah terlalu lama dan dia sudah cukup selesa. Keras lidahnya hendak memanggil Shana dengan gelaran ‘kakak’ seperti dulu.

“Biarlah, mama. Tak luak apa pun.”

“Hah... dengar tu? Dia pun tak kisah kalau Haidar panggil dia dengan nama. Sama aje! Bukannya bila Haidar panggil dia dengan nama kakak, boleh padamkan apa yang dah dia buat. Sikit pun masa lalu tu tak terjejas, mama...” kata Haidar selamba.

Terjegil mata Puan Sri Ratna menatap Haidar yang bermuka selamba. “Mama tak suka Haidar. Sebagai adik, Haidar perlu ada rasa hormat pada kakak Haidar. Tinggi atau besar macam mana pun, kakak tetap kakak dan adik tetap juga adik. Tak boleh bertukar kedudukan.”

Shana senyum. Sejak 11 tahun lalu, dia tak kisah apa panggilan Haidar padanya. Namun sejak akhir-akhir ini, sejak dia peduli pada yang dinamakan keluarga, dia teringin dipanggil kakak oleh Haidar. Cumanya, menenangkan Haidar hari ini dan Haidar dulu, berbeza bagai langit dan bumi, dia tahu yang dia tak boleh berharap terlalu banyak. Kalau memang ada rezekinya dipanggil kakak sekali lagi, akan sampai harinya kelak. 

“Mama kalau Haidar buat semua tak kena. Kalau Shana buat air muka mama dan papa jatuh pun mama tak kisah,” ungkit Haidar geram.

Terasa pipinya seperti ditampar Haidar, namun Shana hanya diam. Tahu, memang dia bersalah dan dia patut disalahkan. Sekali lagi, lewat matanya dia melihat Tan Sri Zaidi. Tetap juga papanya tak mengendahkan apa yang berlaku. Entahkan masakan Mak Indah begitu sedap, entahkan papanya sudah bosan bila sesuatu perkara itu berkaitan dengan dirinya.

“Sudahlah Haidar. Jangan ungkit hal yang tak penting.”

“Bagi mama mungkin tak penting tapi Haidar tak akan lupa sampai bila-bila.”

“Haidar tak ada kan masa tu?”

Sinis senyuman yang Haidar lemparkan pada Shana yang sudah tertunduk menekur meja. Sesudu nasi goreng cina pun tak sempat Shana makan. Tapi dia tak peduli dan tak mahu ambil peduli. Yang dia tahu, dia mahu melepaskan apa yang dia rasa. Ini saatnya dia membalas segala rasa sakit hati pada kakaknya itu.

“Haidar mungkin tak ada masa tu, tapi sampai sekarang staf kita masih sebut hal tu. Hal Shana yang tak malu terhegeh-hegeh hendakkan suami orang. Kalau orang lain tak apa, ni staf sendiri. Malu, mama. Lagipun Haidar tak pernah lupa apa yang terjadi pada...”

“Haidar, diam!” Tinggi sedikit suara Puan Sri Ratna. Tak gemar bila Haidar terus-terusan mengelar luka di hati Shana. Baginya, yang sudah biarkan sudah. Untuk apa mengenang semalam yang pahit jika hari ini cukup manis.

“Tapi, mama...”

“Sudah!” Sekali lagi suara Puan Sri Ratna melengking.

Shana bangun perlahan. Tak betah lagi terus di situ. “Shana pergi kerja dulu mama.”

“Shana...”

Shana geleng sambil mempamerkan senyuman kelat. Di dadanya, ada sakit yang terasa mencucuk-cucuk. Selepas masa berlalu, setelah banyak yang keluarga mereka jalani, bukan ini yang mahu dilihat. Dia mengimpikan makan bersama mereka dalam suasana yang aman dan damai. Bukan tegang seperti ini!

“Shana dah lambat, mama. Shana pergi dulu...”

Terus Shana berpusing, selangkah kakinya bergerak, setitis air matanya gugur. Kesal kembali bertamu. Maaf, mama. Maaf, papa. Maaf juga Haidar. Adriah... maaf!

Jemput melawat di sini : LELAKI ITU DIA

No comments:

Post a Comment