- SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI... -

July 25, 2014

Salam Ramadan ke-27. Semoga kita selalu berada dalam rahmat ALLAH, tak kira siapa pun kita dan di mana pun kita berada. Tak sedar masa berlalu begitu cepat, lagi beberapa hari Ramadan bakal melambaikan tangan, sedang Syawal datang dengan senyuman. 

Tak ada kata yang nak dicoret hingga panjang berkajang-kajang. Sekadar menjengah sebab mungkin lepas ni tak sempat buat N3 baru. Di kampung, masa saya terasa sangat terhad. 

Jadinya, untuk yang mengenali saya, Selamat Hari Raya Aidilfitri. Salah dan silap, mohon dimaafkan kerana saya manusia biasa yang tak pernah sunyi daripada melakukan kesilapan. Untuk saudara-saudara Islam di Malaysia, berayalah sekadarnya kerana selepas raya, masih kehidupan perlu diteruskan seperti biasa. Untuk saudara-saudara Islam di Gaza, semoga pertolongan ALLAH tak pernah berhenti untuk mereka dalam mempertahankan tanah tercinta. Ya... begitu banyak air mata dan darah yang melanda bumi itu kerana kekejaman satu bangsa yang pada asalnya tak punya apa-apa, tapi berlagak tuan di rumah orang. Namun, yakin dan percayalah, setiap yang berlaku itu tak pernah sia-sia kejadiannya. Insya-ALLAH... tangis itu akan bertukar menjadi tawa bila sampai hari kebangkitan kelak kerana ALLAH itu Maha Adil.

Salam Sayang,

- Aleya Aneesa -

- KASIHNYA AYAH... -

July 24, 2014

‘Tiga… lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah… 
Ayah… menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa…’

Itulah antara baik-bait lirik yang terdapat dalam lagu nyanyian Aris Ariwatan. Lirik yang selalu saya dengar suatu ketika dulu. Kenapa saya pilih ayah? Kenapa saya tidak pilih ibu kerana dalam lirik lagu tu juga terdapat ungkapan yang ditujukan khas buat ibu. Senang, mudah alasan saya, kerana ibu istimewa dalam jati dirinya yang tersendiri. Sesiapa pun tak mungkin akan menyangkal kalau ibu itu adalah segala-galanya di dunia ini. Ibu mampu menjaga 10 orang anak dalam satu masa. Sedangkan 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu dalam masa yang berbeza. Terukkan kita sebagai seorang anak? Sering saja terlupa di mana tempat kita berpijak selama ini. Mudah saja mendabik dada bila kejayaan erat di genggaman.

Dan ayah, abah, papa, daddy atau apa sekalipun panggilan seorang anak untuk ayahnya. Golongan ini selalu jatuh ke tangga kedua selepas ibu. Tapi meski duduk di tangga kedua, ayah juga tak kurang hebat fungsinya. Hanya jarang benar orang mahu memperkatakan soal ayah. Entah sebab apa sukar untuk dijelaskan. Mungkin kerana seorang ayah itu tidak atau jarang sekali memperlihatkan perasaannya pada seorang anak. Tapi, sebenarnya jauh di sudut hati kecil mereka, tersimpan selaut kasih buat seorang anak yang kadang-kala sukar untuk memahami hati seorang tua bernama ayah. Bila dimarahi atau ditegur, cepat saja membuat andaian kalau ayah tak pernah menyayangi mereka. Sudah benci barangkali.

Tapi… pernahkah terfikir di benak kita, kalau teguran yang diberikan bertujuan untuk mendidik, mengajar atau memberi pemahaman. Hanya caranya tidak sama dengan seorang ibu yang lebih lembut. Namun itu juga bukan salah ayah, memang fitrah kejadian seorang lelaki, harus tegas dan selalu tahu mengawal emosi dalam apa keadaan sekalipun hingga kadang-kala seorang anak silap mentafsir diri dan hati mereka.

Mengapa saya berkata begitu? Kerana saya pernah melihat pengalaman itu dengan mata saya sendiri. Seorang ayah yang pendiam dan amat jarang bercakap. Malah tidak pernah bercakap dengan anak lelakinya sejak anak itu meningkat dewasa. Tak ada sebab, apalagi kemarahan dan dendam tetapi memang mereka berdua begitu. Baik ayah mahu pun si anak, tak tahu apa yang hendak dibualkan. Bila mereka duduk berdua, masing-masing kaku dan beku tapi anak itu masih boleh menolong ayahnya bekerja. Keluarga tu sudah lali dengan keadaan yang berlaku. Mereka terima itu sebagai kekurangan ayah mereka yang tidak begitu pandai berkomunikasi dengan anak-anak. Malah, dengan atuk mereka pun ayah mereka tak bersuara.

Tapi jauh di sudut hati, mereka sedar ayah mereka terlalu menyayangi mereka. Hanya tak tahu bagaimana mahu meluahkannya. Buktinya, si ayah yang tak pernah berkomunikasi dengan anak lelakinya itu menitiskan air mata lelakinya hanya kerana anak itu. Ada kejadian ngeri yang berlaku dalam keluarga mereka dan itu melibatkan si anak tadi. Pertama kali dalam sejarah hidup, ayah itu memeluk anak lelakinya erat-erat demi memberikan semangat pada anaknya supaya tak rebah, pun suaranya tak sedikit pun terkeluar. Hanya ada tangisan tersedu-sedu di bibir kering itu. Dan anak itu, dia tahu… dia akur… memang ayahnya begitu. Tapi dia sudah lama tahu, ayahnya rela berbuat apa saja deminya. Mengorbankan nyawa pun dia tahu ayahnya sanggup. Tak perlu suara, tak perlu kata dia dapat menyelami hati tua itu.

Nah… kita yang saban hari berbual dan bercakap dengan ayah kita. Sedarkah kita akan kehadiran kasih sayang ayah kita? Dan kasih sayang, perlukah diucapkan supaya kita sedar akan kehadirannya? Atau hanya dengan mempamerkan emosi dan perbuatan itu sudah memadai untuk kita mengerti? Jawapannya ada pada kita sebagai seorang anak…

- 7 LUAHAN ORANG KECIL TENTANG MH17... -

July 18, 2014


Beberapa jam masa berlalu, tapi hati di dalam masih rasa seakan-akan ditumbuk. Sebak dan sesak menderu-deru masuk. Dan, ada banyak rasa yang tak mampu diluahkan keluar, walau rasa teringin sekali. Hanya terkepung dalam diri, tepat pada sekeping hati. Terkejut dan terkelu, selebihnya hanya ada air mata yang bergenang.

Ya ALLAH... ini dugaan-MU. Dugaan berat demi menguji keluarga terlibat, seterusnya menguji tanah tercinta ini. Tapi apakan daya, walau banyak persoalan berlegar-legar, banyak cerita yang kedengaran dan macam-macam spekulasi yang timbul. Hakikatnya... Malaysia sekali lagi jadi perhatian masyarakat dunia gara-gara kapal terbang.

Baru aje kisah MH370 reda walau jejaknya selepas 4 bulan masih belum diketahui. Entahkan benar-benar hanya tinggal sejarah, entahkan masih ada di mana-mana di bumi bertuah ini. Tak tau dan saya tak pernah tahu walau memang betul-betul nak tahu. Cumanya, pengetahuan manusia itu memang terbatas. Jenuh berusaha, tetap juga gagal ditemui. Canggih alat-alat yang digunakan, tak ada apa pun yang dapat walau sekadar serpihan kecil.

Dan semalam – 17/7/2014, sejarah terlakar lagi. Penerbangan MH17 yang berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari (waktu tempatan Amsterdam) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada pukul 6.10 pagi (waktu tempatan Malaysia) pada hari berikutnya, dilaporkan terhempas di Ukraine dan mengorbankan sebanyak 298 orang [termasuk anak kapal] yang terdiri daripada pelbagai negara. Kapal terbang tersebut dipercayai terbang di ruang udara tanpa sekatan.

Tak tahu salah siapa kerana belum ada kepastian, baik Ukraine mahupun Russia, masing-masing saling tuduh-menuduh. Ya, mana ada orang yang dah buat silap dengan mudah mahu mengaku kesilapan sendiri. Ada, tapi jarang! Dan tentunya, bukan dalam kes ini.

Selebihnya saya tak tahu apa-apa. Tapi walau apa pun, saya harap bila terbukti kelak siapa yang bersalah, hukuman patut diberikan. Yang menjadi mangsa, bukan anak ayam tapi manusia yang punya nyawa, punya keluarga. Pada mereka yang tak bernyawa itu, mungkin ada harapan dan impian, atau mungkin ada sinar yang kini dah pun tak bernyala lagi. Kejam! Sangat Kejam! Benar-benar kejam! Kalau benar ia angkara manusia, memang keterlaluan.

Jari-jemari saya dah tak mampu bekerja, sebab hati saya rasa berat. Gagal juga mencari diksi yang sesuai. Saya lalui sepanjang hari ni dengan rasa suram. Demi TUHAN, saya rasa sangat sedih.

Dan pesanan atau luahan saya walaupun mungkin tak didengar dan tak dipedulikan kerana saya hanya orang kecil di tengah-tengah kelompok masyarakat Malaysia:

1) UNTUK MEREKA YANG TELAH PERGI – Damailah di sana. Doa saya, semoga tempat mereka yang beragama Islam, di sisi ALLAH – Al-Fatihah buat mereka.  

2) UNTUK PIHAK BERKUASA – Jika benar kita menjadi mangsa, carilah dalang durjana itu. Hukumlah mereka dengan hukuman yang setimpal supaya dapat dijadikan pengajaran pada yang lain. 

3) UNTUK MEREKA YANG HAUSKAN DARAH – Lantak koranglah! Kalau pun nak menunjuk kekuasaan masing-masing, tunjuklah pada yang terlibat, tapi janganlah orang awam yang tak bersalah dikorbankan. 

4) UNTUK KELUARGA YANG TERLIBAT – Sabar dan bertabahlah! ALLAH ada dan DIA sedang menguji kalian kerana kalian orang yang kuat.

5) UNTUK YANG PERASAN BEKERJA SEBAGAI WARTAWAN – Berhentilah menokok-tambah cerita. Itu hanya memburukkan keadaan. Tolonglah jaga hati keluarga yang terlibat. Jangan terlalu taasub dengan andaian yang kesahihannya tak terbukti kerana hari ni mungkin hari mereka, esok-esok mungkin hari kita pula. Siapa tahu, kan?

6) UNTUK YANG CINTAKAN POLITIK – Berpolitiklah kerana kalian memang dilahirkan begitu. Cumanya, janganlah dijadikan musibah yang datang sebagai modal untuk menampakkan 'kewujudan' yang tak wujud.

7) UNTUK KITA RAKYAT MALAYSIA – Ini ujian untuk kita juga, bukan hanya keluarga mereka yang terkorban. Bertabah dan bermuhasabahlah. Petunjuk ALLAH itu datang dalam pelbagai cara.  

- BIDADARI KECIL KAMI... -

July 16, 2014

Alhamdulillah… syukur atas nikmat dan rahmat yang diberikan ALLAH selama ini pada saya dan keluarga. Hari ni, Ramadan ke-18, kami didatangi seorang lagi bidadari kecil yang mungil dan polos utusan daripada ALLAH, Tuhan Pemilik Seluruh Alam. Hadiah yang cukup bermakna ini menjengah dunia pada pukul 2.40 pagi 16/7/2014.

Dia merupakan anak ke-2, adik dan adik ipar saya. Adik kepada Muhammad Hafiy Darwisy. Namanya masih belum ada, tapi yang pasti dia merupakan cucu ke-11 mak dan abah saya, sekali gus menjadikan bilangan anak buah saya 11 orang. Jujurnya, saya teruja untuk melihat muka comel dia yang nampak macam pau kacang tu. Tapi apakan daya, saya baru aje balik ke Rumah Pink semalam petang. Jadinya, kita jumpa cuti Hari Raya Aidilfitri nanti ya sayang.

Doa Mak Tam, moga baby jadi hamba yang bertakwa dan insan yang berguna. Cepat besar tau! 

- LAMANYA TAK MAKAN MACAM NI -

July 11, 2014



Orang kata, membazir itu amalan syaitan. Hem... betullah tu! Tapi disebabkan apa yang diorder itu dimakan sampai licin dan kalau tak licin juga, dibungkus bawa balik, maka rasa-rasanya soal bazir-membazir itu sebenarnya tak wujud. Betul kan macam tu?

Okey... saya berhenti bagi mukadimah. Takut nanti ada yang maki saya di bulan yang mulia ini. Tak rela menambah dosa pada orang lain, walaupun hakikatnya saya ni tak baik mana pun. Tapi tak baik, bukan bermakna saya jahat. Taklah sampai macam tu sekali.

Baik... saya berhenti membebel yang tak perlu sekarang juga. Yang sebenarnya, apa yang saya nak contengkan hari ni adalah tentang saya dan keluarga. Seingat saya, macam dah agak lama juga kami anak-beranak tak keluar makan ramai-ramai. Mungkin sebab masing-masing agak sibuk dengan hal sendiri. Atau... yang lebih tepat, kalau saya balik ke kampung, masa kami lebih banyak dihabiskan di rumah. Berbual, berborak, bertingkah, ketawa dan kemudian menjerit-menjerit sayang pada anak-anak buah bertuah saya yang jarang makan saman. Makin kata jangan, makin dibuatnya – kadang-kadang siap gelak-gelak lagi. Dan itu bermakna, kami hanya makan-makan di rumah. Kalau makan di luar pun, ada-ada aje yang tak ada sebab sibuk uruskan rutin yang tak pernah habis.

4 Julai 2014 yang lepas, akhirnya aktiviti yang sesekali dibuat itu disambung kembali. Betapa saya dan Cik Fida tu terkejar-kejar balik ke JB dari KL sebaik saja habis waktu kerja. Bimbang sampai lewat sebab makanan dan tempat dah ditempah dalam masa sekian-sekian. Berbuka pun hanya di dalam kereta. Kurma dua biji dan air mineral. Nak singgah di mana-mana pun tak tersinggah bila masing-masing kata masih boleh tahan lagi.

Dalam pukul 10.00 lebih, kami sampai di JB. Jalan sangat clear, bagaikan memahami keadaan kami yang macam lipas kudung. Sampai kat Pekan Rabu sebab janji kat situ, yang lain-lain tak sampai. Saya dah nak berasap sebab lapar. Konon, dah keluar rumah. Memang dasar janji Melayu betul adik-beradik saya tu. Mujur tak lama lepas tu mereka pun sampai.

Kami terus gerak ke Senibong untuk makan makanan berasaskan seafood, walaupun pelan asal bukan nak makan kat situ tapi apa kan daya. Janji ada sudah. Lagipun harganya macam agak berpatutan untuk keluarga saya yang besar bas tu. Terus terang kata, tengok mereka makan saya rasa sangat-sangat gembira dan bahagia. Memang makan sungguh-sungguh dan masing-masing seperti berlawan. Saya sendiri, makan tak banyak mana pun sebab akhir-akhir ni makan saya agak kurang sebab terasa semua baju dah mengecil.

Selesai makan, masing-masing gerak balik. Itu pun sembang-sambang santai tepi kereta sambil menikmati angin malam di sana. Suasana yang damai dan ada rasa tenang menderu-deru dalam hati. Ya... saya sangat sukakan kedamaian dan ketenteraman yang ada. Bersyukurlah kerana saya dan kita semua dipilih jadi warga Malaysia dan tinggal di sebuah tanah air yang keadaannya masih terkawal. Semoga ALLAH terus memelihara kita semua daripada persengketaan dan malapetaka. Untuk saudara-saudara kita di Gaza, saya berdoa dan terus berdoa supaya ALLAH menjaga mereka. Harap mereka terus sabar dan tabah dalam menempuh dugaan yang datang kerana mereka orang terpilih dan orang terpilih itu biasanya orang yang disayangi. Tentu ALLAH sangat menyayangi mereka, kerana itu mereka diuji dengan ujian yang sangat berat. Untuk yang telah pergi, al-Fatihah... 

- BLURB KAHWIN DENGAN SAYA? -

Ringkas dan mudah! Itu jati diri Umair Haq. Tapi bila masuk bab pilih calon isteri, dia cerewet. Calon umi, dia tak mahu. Yang suka menghimpit, dia tak ingin. Skema, dia tak sudi. Kalau bersolek macam pelakon Opera Cina, dia alergi. Pakai baju ketat dan singkat, sah-sah dia tolak. 

Haq mencari isteri dan ibu buat Irham Firdaus. Bukannya sarung nangka, jauh sekali model pakaian berjenama. Apalagi si seksi yang membuatkan lelaki hidung belang melopong mulut. 

Namun pertama kali bertemu Qara Nisa... ada lagu cinta merdu di hatinya. Dimandikan air tembikai pun dia tetap senyum. Lebih parah, yang disentuh Qara itu Irham, yang terasa seperti terkena litar pintas, dia. 

Sedangkan bagi Qara, cinta itu hilang magis bila dirinya ditolak kerana harta. Lantas, lamaran Haq yang datang tak kena masa, ditolak selamba. Haq itu tipikal lelaki menjengkelkan dalam tenang. 

“Kahwin dengan saya, saya akan jaga awak macam saya jaga nyawa saya sendiri.” 

Itu janji Haq yang menusuk jauh ke hati Qara. Sebuah rumah berwarna ungu dan keluarga sempurna, bagaikan indah di mata. Ya... pilihan perlu dibuat, walaupun pilihan itu belum tentu menjanjikan kegembiraan dan kebahagiaan.

CIK PENULIS BEBEL: Lepas 3 bulan, baru ada blurb di sini. Huh... teruk betul saya!

- REVIEW HAJAR TENTANG NOVEL KAHWIN DENGAN SAYA | 18/6/14 -

July 7, 2014

Yang saya suka tentang kisah ini:

1. Kisah kekeluargaan yang dipaparkan. Macam dah jadi trademark untuk penulis memasukkan unsur ini dalam setiap karyanya. :)

2. Qara Nisa (Qara) yang sangat lembut hatinya. Tak pernah berdendam walau sejahat dan seteruk mana layanan yang diterimanya. Baginya, kekurangan dirinya sebagai seorang anak yatim piatu membuatkan dia dibenci oleh kedua ibu bapa Dhia, kawan baiknya. (Macam kelakar bila fikir ada ibu bapa yang begini, memusuhi seorang anak kecil yang konon bawa pengaruh buruk kepada anaknya hanya kerana anak kecil itu seorang anak yatim piatu. Hmm, mungkin ada, cuma saya yang tak jumpa manusia spesies ni).

3. Persahabatan antara Qara dan Dhia yang kekal utuh semenjak sekolah rendah walau diancam dengan pelbagai ugutan daripada kedua ibu bapa Dhia.

4. Umair Haq (Haq) yang tak kisah jadi bapa tunggal hanya kerana tak mahu anak sekecil Irham Firdaus disia-siakan oleh seorang ibu yang tidak menghargai kehadiran seorang anak. Dia tak kisah dimarahi uminya asalkan si kecil Irham tidak dilukai. 

5. Kisah ini memang libatkan watak yang ramai dalam penceritaannya tapi kita tak hilang fokus kerana setiap watak ada perkaitan antara satu sama lain.

Yang buat saya geram: 
1. Syahil. Sungguh saya tak suka spesies lelaki sebegini. Tiada pendirian. Macam lalang. Sanggup ketepikan pendirian sendiri hanya kerana takut dengan ugutan keluarga yang kononnya tidak akan mewariskan harta sekiranya Syahil tetap bercadang untuk teruskan hubungan dengan Qara. Lelaki macam ni ke yang nak dijadikan calon suami? Hmmph!

2. Datuk Kamil dan Datin Jalilah. Memang padan sangatlah. Dua-dua materialistik. Atas alasan Qara tu anak yatim piatu, anak gadis itu dimusuhi dan dihalang daripada berkawan dengan dengan Dhia. Malah hubungan cinta Qara dan Syahil juga tidak direstui. Haish.

3. Hajah Yasirah yang mudah sangat termakan hasutan Datin Jalilah. Patutnya sebagai orang yang lebih berpengalaman, dia boleh nilaikan sendiri sikap Qara sebagai menantu berdasarkan layanan Qara kepada Haq dan ahli keluarga yang lain. Ini siap boleh halau Qara keluar dari rumah pulak tu lepas dapat tahu kebenaran tentang Irham. *Geleng kepala*

4. Bila Dhia pun mula beri layanan ‘bahu sejuk’ gara-gara Qara tidak mahu ikut kehendaknya. Sungguhla pentingkan diri Dhia ni. Boleh pulak dia nak mintak Qara tinggalkan Haq dan kembali pada Syahil. Katanya Syahil perlukan Qara untuk memulihkan semangatnya selepas bercerai. Apakah???

5. Haq yang termakan kata-kata fitnah Syahil yang berniat untuk memisahkan Haq dan Qara. Sampai terkeluar kata-kata yang buat Qara terluka parah. Huwaaaa, kesian Qara tau! Mujur ada Maksu Razita. Kalau tidak Qara dah naik penerbangan tambang murah entah ke mana-mana agaknya. :P 

Komen saya:
Sungguh pun kisah ni agak beremosi, saya sukakannya. Mungkin disebabkan perjalanan kisah yang agak pantas dan tak meleret-leret dengan hal yang tidak-tidak. Tahniah buat penulis atas penerbitan karya ke-12 ini. Fuh, kena kira berapa banyak buku AA yang ada dalam rak buku saya ni untuk cukupkan koleksi. :D

UNTUK HAJAR
Terima kasih daun keladi atas review yang dibuat. Semoga review ini mampu membangkitkan minat pembaca terhadap novel KAHWIN DENGAN SAYA?, ;-)


- POKOK KURMA BERBUAH DI KOTA ISKANDAR, JOHOR BAHRU -


Minggu lepas, kalau tak silap saya, ramai yang bercerita tentang pokok kurma yang berbuah di Kelantan. Saya yang jarang ambil tahu hal-hal di TV tak tahu sangat tentang itu. Cuma ada juga kawan-kawan yang bercerita di depan dan belakang saya di pejabat. Masing-masing rasa teruja sampai, lebih-lebih lagi kawan saya yang berasal dari Kelantan dan saya pun ikut teruja sama. Maklumlah, perkara jarang berlaku di Malaysia. Diam-diam, dalam hati teringin juga nak tengok dengan mata sendiri. Tapi bila mengenangkan jarak antara Kelantan dan KL yang agak jauh, saya batalkan ajelah niat tu. Mungkin kalau ada rezeki, satu hari nanti sampai jugalah saya ke sana. Yang pasti bukan dalam jangka masa yang terdekat ini. Bukan saya tak pernah jejak bumi Kelantan, pernah. Hanya jejakkan kaki semata-mata sebab nak tengok pokok kurma yang berbuah, aduhai... saya mungkin belum sampai ke tahap serajin itu.

Tapi... kuasa ALLAH itu memang tak pernah terfikir oleh manusia. Kalau memang rezeki saya, tak kira berada di mana, tetap juga rezeki saya. Balik ke JB hujung minggu lepas. Balik dua hari aje pun, tapi itu pun dah buat saya rasa syukur sangat-sangat. Dapat juga berbuka puasa dengan keluarga saya. Dan berkumpul dengan mereka, satu kegembiraan dan kebahagiaan yang tak mungkin dapat dikutip di mana-mana. 

Berbalik soal tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke Mydin dengan adik dan ipar saya, dia orang bagi tahu saya yang pokok kurma di Kota Iskandar berbuah. Saya? Tentulah tak percaya sebab kalau betul berbuah tentu dah kecoh dan semua orang tahu. Lagipun adik dan adik ipar saya tu bukannya boleh percaya sangat, kaki sakat dan auta nombor satu tu. Berkali-kali diyakinkan saya, berkali-kali saya tak percaya sampailah adik saya berhenti betul-betul di depan pokok kurma yang berbaris sepanjang jalan.

Ya ALLAH... kagumnya saya dengan kekuasaan ALLAH. Ternyata mereka berdua tak auta saya kali ni. Jelas kat mata saya buah-buah kurma yang bergugus-gugus dengan warna kuning bergayut. Terkedu jugalah saya. Lepas tu saya dengan rasa berkobar-kobar kata, “Berhenti, berhenti! Akak nak bergambar. Akak nak bergambar”. Sudahnya, adik saya layankan juga. Sanggup patah sekali lagi demi nak penuhkan permintaan kakak dia yang lebih teruja daripada orang yang tanam pokok-pokok kurma tu agaknya.


Walau buahnya tak masak lagi, tak dapat pun nak pegang sebab agak tinggi, jauh sekali nak masukkan ke dalam mulut, saya dah rasa sangat gembira. Dalam masa beberapa hari saja berhajat, akhirnya ALLAH perkenankan hajat tersebut tanpa perlu bersusah payah. Tak kisah sama ada di Johor atau Kelantan, yang penting saya dapat tengok pokok kurma berbuah dengan mata saya sendiri. Bukan hanya mendengar cakap-cakap orang semata-mata. Dan lebih daripada itu, jarak pokok-pokok kurma tersebut dengan rumah abah saya, hanya beberapa kilometer dan hanya mengambil masa tak sampai pun 10 minit.

Kalau nak diikutkan hati, saya sebenarnya teringin juga nak petik buah kurma tu. Tapi memandangkan agak tinggi dan saya memerlukan tangga untuk melakukannya, saya batalkan niat tak suci tu. Silap-silap, kalau staf MPJBT membuat rondaan, ada yang terpaksa diangkut ke balai polis walaupun saya bekas pekerja mereka 10 tahun lalu.

Apa pun, saya rasa gembira kerana bagi saya pokok kurma berbuah di Malaysia merupakan satu keajaiban daripada ALLAH, biarpun ada banyak lagi andaian negatif yang dibuat kerana jika kita melihat sesuatu itu dengan pandangan negatif, maka negatiflah jadinya. Jika positif, maka positiflah sudahnya. Itu hal orang dan saya tak nak ambil tahu hal yang tak berkaitan dengan saya. Yang saya tahu, saya dah tengok pokok kurma berbuah di Johor Bahru. Hanya itu!

- REVIEW AZIZAH TENTANG KAHWIN DENGAN SAYA | 19/6/14 -

July 4, 2014

Kulit buku dengan tajuk yang amatlah kecil font untuk jodolnya tapi terlebih gedabak untuk nama penulisnya bagaikan salah satu cara pemasaran untuk memaklumkan penulis ini sudah hampir otai dalam bidang penulisan. Namun kadang kala KakChik rasa jodolnya macam tiada kaitan pula dengan jalan cerita melainkan cuma sepotong ayat itu yang dilafazkan oleh encik hero yang ganteng itu.

Qara - si anak yatim yang rupanya tersalah ukur baju di badan sendiri. Setelah 2 tahun menyulam cinta bersama Syahil, akhirnya dia jatuh terhempas selepas abang kawan baiknya, Dhia tega menolak jauh dirinya. Hanya kerana dia anak YATIM PIATU! Syahil yang senang hati menerima Elma kerana tidak mahu hidup susah dan jugak tidak mahu hilang harta. Diugut sedikit sahaja oleh orang tuanya yang bergelar Datuk + Datin itu.

Walaupun Qara cuba untuk bertahan namun bukan mudah untuk mengubat rasa kecewa di hati. Dalam masa yang singkat pelbagai dugaan yang datang. Dia terkejut kerana rumah pusaka tinggalan nenek hampir dilelong. Dia hampir putus asa. Hanya satu impiannya, pergi jauh dari semua perkara yang melukakan ini.

Namun, tiba-tiba kehadiran lelaki yang bernama Haq dan Ilham, anak kecil yang sudah buat dia jatuh hati. Kadang kala kasih sayang Allah itu tidak terjangka oleh fikiran kita. Walaupun Qara amatlah takut untuk menerima tapi kerana dia hanya mahu punya KELUARGA, mungkin itu jalan yang terbaik buatnya.

Haq - selepas 12 tahun di kota London, dia pulang membawa anak kecil. Perkara yang buat Hajah Yasirah hampir gila. Anak yang baik dan taat itu tega membelakangkan orang tua dalam membuat keputusan penting dalam hidup. Bermula saat itu Hajah Yasirah sentiasa sahaja mencari salah Haq & Ilham hanya untuk melampiaskan rasa sakit hatinya.


Haq yang sentiasa tenang dan hormat uminya. Padanya sayang umi tak akan pernah luntur walaupun pelbagai kata yang melukakan hati terluah dari umi sendiri. Keadaan Haq makin tertekan selepas Hajah Yasirah memberi sangat untuk mencari calon dalam masa 3 bulan untuk dijadikan ibu Ilham. Kehadiran Qara secara tidak langsung telah menjentik hatinya. Ilham dijadikan Ilham untuk melamar Qara, walaupun bermandi air tembikai tidak dia berputus asa.

Dalam tenang dan sabar, kadang kala ada juga sudut nakal Haq dalam usaha menambat hati isteri. Namun kadangkala sikap baran itu terluah juga tapi yang sedihnya dia khilaf dalam menilai hati isteri sendiri.

Datuk Kamil + Datin (tak ingat nama) - memang watak suami isteri yang jahat tak ingat akhirat. Biasanya hanya Datin yang ego mementingkan pangkat dan darjat tapi kali ini, Datuk Kamil itu pula yang nampak melebih-lebih. Tambah lagi permulaan bab-bab awal sudah dijamu dengan karektor tak semenggah ini.

Hajah Yasirah - Aduhhhhhhhhhhhhh, kalau dapat mak mentua kelaku begini, haruslah KakChik sumbat telinga denganearphone sahaja. Dia bukan nampak kalau kita pakai tudung. Memang mak hajah ni tak padan dengan dah pernah naik haji tapi perangai dan kelaku memang ke lautttttttttttttt. Tahap sakit hati sungguh dengan dia. Kata-kata dia tak pernah lembut dengan Qara dan kelaku juga tak fikir langsung hati orang lain. Sampai suami dia sendiri pun dia main bangkang aje kalau dia tak suka. Nasib baik di akhirnya sudah berubah, kalau tak memang membara aje rasa hati KakChik.

Dhia - sahabat baik Qara yang sentiasa menyokong Qara walaupun sering dimomokkan dengan segala keburukan dan kejelikan oleh mama dan papanya. Dia banyak membantu Qara untuk terus berjuang selepas kematian neneknya. Kerana Dhia takut kehilangan Qara, Akif iaitu tunangan Dhia telah mencadangkan untuk menjodohkan Haq-Qara. Walaupun pada awalnya Dhia menegah, akhirnya dia turut bersetuju. Apatah lagi selepas bergelar isteri, Qara nampak lebih gembira walaupun kadang kala ada sahaja oleh Hajah Yasirah yang menyakitkan hati. Tapiiiiiiiiiiiiii, Dhia menjadi sahabat yang sangatlah mementingkan diri sendiri apabila dia sanggup menikam Qara dari belakang apabila Syahil jadi gila mahu kembali kepada Qara. Disebabkan tindakan tidak rasional Dhialah, Qara telah dilabel dengan kata-kata kesat oleh suami sendiri. Haq hilang rasa percaya kerana Dhia yang telah salah menilai.

Sama ada Qara hilang suami+anak susuan sebab fitnah kawan baik sendiri atau Haq hilang isteri+anak kerana ego seorang lelaki? Jawapannya ada dalam naskhah ini..:P

Komentar: 


AA masih lagi menggunakan latar belakang kekeluargaan sebagai tulang belakang cerita ini. Kekuatan AA adalah bahasanya yang agak terjaga dan juga mudah untuk dihadam.

Walaupun begitu masih ada ruang lingkup yang sedikit mengecewakan KakChik terutamanya permulaan jalan cerita yang agak meleret-leret dan memang buat mata asyik nak tertutuk aje.

Kadang kala KakChik tersengih sendiri dengan telatah Haq dalam menangani konflik rumahtangga dengan Hajah Yasirah dan dalam masa yang sama untuk menjaga hati Qara.


Bila menjelma pula watak Lisa, tiba-tiba rasa pening. Sebab tiba-tiba muncul tanpa ada signal. Dan hilangnya watak Lisa juga seperti sekelip. Jadi impak tidak ada urmmmm.

Dan AA bagaikan memberi 'hukuman' yang lebih ringan untuk watak antagonis dalam kisah ini. Tiada titik noktah bagaimana Datuk+Datin+Syahil boleh insaf. Watak antagonis agak senang dikambus kesalahan mereka.

UNTUK AZIZAH
Terima kasih daun keladi atas review yang buat saya terasa sangat-sangat lega. Semoga review ini mampu membangkitkan minat pembaca terhadap novel KAHWIN DENGAN SAYA?, ;-)

- REVIEW KUZZEEN TENTANG KAHWIN DENGAN SAYA | 16/6/14 -

Sebelum aku review yang indah-indah, aku nak buang pandang kepada yang menyakitkan mata dulu supaya yang tertinggal hanya yang manis2 sahaja.

i) Tajuknya? Langsung tidak menggambarkan inti pati cerita. Ulang cetak... Langsung Tiada.

ii) Blurb novel? Ada la sikit bayang-bayang. Nampak macam cerita picisan, romantik komedi, bacaan santai. Walakin, ceritanya jauh tersasar. Seperti menggambarkan cara2 membela kucing di rumah, padahal proposal asalnya adalah untuk membuka sebuah zoo (ohh, melampaunya analogiku). Ulang cetak... bayang2 saja (itupun x sampai 5%)

iii) Monolog dalaman antara dialog ke dialog.... Keupayaan penulis menyekat kreativiti dan ilham yang ada hampir-hampir menggejutkan Jin Emo-ku sewaktu membaca. Jika monolog dalaman ada kaitan dengan dialognya, itu masih boleh diterima (merujuk kepada watak Razita terutamanya). Ulang suara... penulis perlu tahu menggariskan sempadan perkembangan watak2 ciptaanya. Tak semua watak perlu diperincikan rasa dan jiwa mereka. Mungkin cukup untuk menebalkan helaian yang ada. Tapi di mana kewajarannya?

iv) Penceritaan agak meleret (penggunaan dialog terutamanya). Ada kala penulis terarah untuk memanjangkan dialog2 antara pelakunya biarpun ia tidak penting dan jika ditiadakan langsung tidak mengganggu jalan cerita.

DAN... yang indah?

i) Naskah inilah yang menjadi teman sepanjang food-hunting Sabtu kelmarin. Start dari Nasi campur pokok buluh > Cendol special Pantai Miami > Durian Balik Pulau > Laksa Janggus Kg Perlis > Pasembor Padang Brom > Tandoori Makbul.... ;p

ii) Ini novel ke-12 penulis, tapi pertama untukku... so buah tangan penulis senior tentulah seperti santan kelapa kan?

iii) Bab 69 - 80 naskah ini adalah KLIMAKS novel TERBAIK setakat ini... 

iv) Ceritanya....Sesuatu yang berbeza. Mungkin masih berpaksikan nikah-paksa-kahwin-rela, tapi cara penulis melakarkan penuh kesopanan dan kesusilaan. Pendek kata, ini bukan 13PG... ini dah ditarafkan sebagai U. Biarpun masih ada bunga2 fizikal romantik, tapi kain lapiknya berlapis-lapis. Romantik sipi2 inilah yang meng-goosebumps-kan pembaca. Tak perlu; I Love U, I Love U Too, I Love You More, I Love U Most.... :)

Perkembangan rasa pelaku2 utama dijaga sebaiknya. Jiwa Qara dilayarkan dengan teliti sekali. Kesedihannya ketika bergelar yatim piatu. Kepedihan hidupnya kerana dihina malah dicederakan oleh ibubapa BFFnya (Dhia) menyentuh sekali. Juga ketika remuk hatinya sewaktu ditinggalkan oleh Syahil semata-mata kerana harta. Luka hatinya apabila tidak diterima sebagai menantu oleh Hajah Yasirah yang termakan dengan fitnah keluarga Dhia. Namun paling meruntun jiwa adalah ketika Dhia yang sudah dianggap saudara sendiri sanggup berpaling tadah dan 'menikamnya'. Dan tentu sekali kata2 makian Haq yang salah anggap bahawa Qara berlaku curang dengan Syahil. 

Begitu juga dengan Umair Haq. Kekalutannya untuk menyelamatkan bayi yang tidak berdosa, menjeratnya dengan tanggungjawab yang pasti belum bersedia untuk dipikul. Desakan Hajah Yasirah untuk Haq beristeri semula menemukan dia dengan Qara. Mereka bersatu juga biarpun banyak halangan menimpa. Dan.. nakalnya si Haq untuk menawan hati si isteri...ya ampunnn... ;P

Biarpun, cerita ini agak serabut dengan lambakan2 pelaku2 sampingan, tapi tidak mengganggu jalan cerita kerana semuanya ada hubung-kait sendiri. Mungkin sedikit kesabaran diperlukan untuk 'menapis' cerita yang betul2 perlu diberi perhatian.

DAN.. kebolehan penulis untuk menyimpan rahsia status sebenar Irham Firdaus (anak angkat si Haq)... adalah sesuatu di luar jangka. Langsung tiada bebayang siapa si Irham sebenarnya hinggalah dimunculkan watak Syifa dan Fareez. Rahsia demi rahsia diselak helaian demi helaian menrasionalkan tindakan dan keputusan yang diambil Haq.... mungkin kerana itu naskah ini agak tebal.

Qara to Syahil; "Itu...hadiah untuk kau. Satu...kerana meninggalkan aku kerana harta. Dua, sebab kau buka jalan untuk Haq membongkar kebenaran dan kebenaran itu sangat menyakitkan. Hati aku....hancur! Aku bencikan kau, Syahil!....."m/s 557

Qara to Haq; "Kenapa tak percayakan Qara?"........"Kenapa pergunakan Qara?"..........."Kenapa hina Qara?"......."Kenapa tipu Qara?"...... "Kenapa biarkan Qara pergi?"..... m/s 599

 "Tapi, kau hancurkan hati aku"......."Sebelum aku kahwin dengan Haq, aku tak ada sesiapa, Dhia. Aku ada kau aje,"..... "Aku nak belajar ke luar negara kau tak kasi sebab kau tak nak aku tinggalkan kau. Bila aku tak jadi pergi, jadinya lain. Hati aku yang jadi taruhan kau."......"Nasib aku memang malang, kan?"..... m/s 622-623 

UNTUK KUZZEEN 
Terima kasih daun keladi atas review yang buat saya terasa sangat-sangat lega, walaupun analoginya sangat dahsyat. Semoga review ini mampu membangkitkan minat pembaca yang belum baca novel KAHWIN DENGAN SAYA?, ;-)

- KAHWIN DENGAN SAYA? -

July 2, 2014

Okey... itu cuma tajuk semata-mata. Walaupun saya tak kahwin lagi, saya tak pernah lagi ajak atau cuba-cuba ajak mana-mana lelaki untuk kahwin dengan saya. Tak pernah sama sekali! Kalau ada rasa pun nak buat macam tu, orang pun tak nak agaknya. Hoho. Jadinya, mohon tak salah sangka lebih-lebih di bulan Ramadan yang sangat mulia ni. Tak baik ya kawan-kawan.

“KAHWIN DENGAN SAYA?”  [KDS] tu sebenarnya merujuk kepada tajuk novel terbaru saya yang diterbitkan pada bulan April 2014. Dah masuk tiga bulan berlalu, dah diulang cetak dah pun, baru nak perkenalkan? Tak patut, kan? Ya... betullah tu! Saya tau memang sangat-sangat tak patut. Tapi nak buat macam mana, masa memang dah berlalu dah pun. Terlanjur pada ketika itu, saya agak sibuk dengan kerja-kerja yang seperti tak ada kesudahannya. Baru kini kesempatan muncul, ditambah dengan mood yang macam sangat-sangat okey sekarang ni. Mood Ramadan yang tak lama lagi bakal berganti Syawal agaknya. Isyh... saya melampau! Pada saat puasa baru menjengah hari ke-4, saya dah sebut fasal Syawal yang tentunya berkait rapat dengan Hari Raya Aidilfitri. Tolong... jangan ejek saya ya, saya cuma main-main aje.

Tentang KDS, ini merupakan novel saya ke-13 bersama Alaf 21, Karangkraf. 13? Kenapa saya ada 12 aje? Kalau ada yang tanyakan soalan macam tu, maaf Cik Yang Pertama tu memang dah tak diterbitkan lagi. Kenapa dan mengapa, jangan disebut kerana itu merupakan luka yang tak terubatkan sampai ke detik ini. Okey... sila jangan muntah darah. Saya merepek sekali lagi. Tapi yang betulnya, novel AKU MILIKMU [AM] yang diterbitkan pada tahun 2004 tu memang dah tak ada lagi di pasaran. Kalau ada yang menangis golek-golek sebab kecewa atau nak sangat, pun saya tak boleh tolong. Silap-silap saya pun masuk sekali kelab golek-golek tu juga sebab saya pun teringin tengok AM tu ada di kedai-kedai buku sekali. Dulu tu sangatlah tak puas tengok. Cumanya, berangan memang tak kena bayar. Sedang yang tinggal hanya keajaiban.

Berbalik pada KDS, KDS mengisahkan tentang Umair Haq dan Qara Nisa. Mereka adalah dua orang yang berbeza daripada segala-galanya, termasuk latar kehidupan. Tapi bila sudah takdir, pertemuan berlaku juga. Kemudian, ada proses tolak-tarik berlaku, marah-marah geram, sakit-sakit hati sampai nak hempuk-hempuk, curah-curah air tembikai  dan akhirnya menyebabkan Haq terpaksa juga berkata, “Kahwin dengan Saya?” pada Qara. Sukar, tapi akhirnya Qara akur kerana jika takdirnya memang begitu, dia tidak mahu melawan arus. Maka, hiduplah mereka berdua bersama-sama Irham. Mereka bahagia hinggalah ujian datang menduga kesabaran. Dan selebihnya... sila dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang, pada yang masih belum membaca. Pada yang dah lama selesai menamatkan kisah kasih mereka, terima kasih seluas lautan saya ucapkan. Jangan pernah serik membaca hasil tangan jari-jemari gemuk milik seorang Marwati Wahab a.ka.a Aleya Aneesa.

Sampai bertemu di N3 yang lain pula ya. Semoga Ramadan ke-4 ini berjaya diharungi kita semua dengan penuh kesabaran, ;-)

- BERBANGGALAH DENGAN KEJAYAAN KAWAN KITA... -

July 1, 2014

Kawan itu datang dan pergi mengikut musim! Itu... pendapat saya dan pendapat itu tak semestinya disokong kerana saya tak pernah meminta sokongan daripada sesiapa. Saya bukan calon pemimpin dalam pilihan raya, calon ketua kampung atau calon ketua pelajar jauh sekali. Jadinya, sebaris ayat itu bukan bertujuan untuk memancing undi ya. Sila jangan salah faham. Tak dibenarkan sama sekali okey!

Saya tak akan kata begitu kalau saya tak mengalaminya. Sebabnya, kawan sekolah rendah, kawan sekolah menengah, kawan universiti dan kawan kerja, semua orang yang berbeza. Kalau pun ada yang sama, jumlahnya boleh dikira dengan jari sepuluh milik saya ni.

Tapi... meskipun pendapat saya tu kedengarannya sangat kejam, saya tak pernah mengharapkan yang tidak-tidak berlaku pada kawan-kawan saya tu. Bahkan saya tak pernah lupa mendoakan mereka, tak kira walau di mana mereka berada dan apa juga yang buat.

Saya akui, saya jarang bertemu atau mungkin tak jumpa langsung dengan kawan-kawan daripada zaman sebelum kerja. Tapi kalau terjumpa atau berjumpa, insya-ALLAH saya akan tegur kalau perasan kerana tak ada apa yang mampu membuatkan saya mendongak ke langit sehingga lupa pada rumput yang menjadi lantai tempat kaki saya berpijak.

Lupa diri. Bongkak. Riak. Itu... bukan prinsip hidup saya. Lagipun, apa aje kejayaan yang dah saya capai sehingga saya nak bersikap seperti merak kayangan. Setakat jadi penulis cabuk. Di mana hebatnya seorang penulis? Tak ada. Yang ada, hanya sedikit kelebihan yang mungkin tak ada pada segelintir orang kerana kerja menulis itu bukan satu kerja yang mudah walau nampak seperti sesenang membaca ABC bagi orang yang reti membaca.

Dan sebagai seorang kawan, walau saya bukanlah seorang kawan yang baik. Tapi ditakdirkan ada antara kawan-kawan saya yang bermusim-musim itu berada nun jauh di atas dan di hadapan saya, atau dalam erti kata yang lain lebih segala-galanya dibandingkan saya yang banyak kurang ni, saya akan rasa bangga dengan pencapaian mereka. Saya akan turut bergembira kerana kejayaan mereka walau di celah-celah kejayaan itu, kewujudan saya dah tak ada lagi. Bukannya, kehebatan kawan saya itu menjadikan saya menjarakkan diri atau perlahan-lahan menarik diri daripada kehidupan mereka.

Tahu kenapa? Kerana dalam kamus kawan, tak ada istilah iri hati atau sakit hati dengan kejayaan kawan-kawan yang lebih berjaya. Yang ada hanya, rasa tumpang gembira dan diam-diam mahu mencapai kejayaan seperti mereka. Kalau pun tak melebihi mereka, cukuplah setara dengan mereka kerana setiap manusia itu punya hak untuk mengubah diri asal saja perubahan itu dibuat demi kebaikan, bukan kejahatan.

Menjarakkan diri atau menjauhkan diri kerana konon-kononnya, kawan kita lebih hebat daripada kita, itu... tak masuk akal. Tak boleh diterima langsung kerana kita secara tak sedar sebenarnya telah menunjukkan kelemahan diri kita. Pertama, kita tak percaya pada kebolehan diri kita sendiri. Kedua, kita takut pada persaingan yang sihat. Ketiga, kita tak boleh lihat kawan kita lebih daripada kita. Dan keempat dan lebih kejam, kita dalam diam rasa cemburu dengan kawan kita sendiri. Atau dalam bahasa yang lebih kasar, kita tak mahu kawan kita lebih daripada kita walaupun kelebihan itu dicipta atas usaha kawan kita sendiri, bukannya dia berjaya atas usaha memijak kepala kita.

Tak adil, kan bila kita menjatuhkan hukuman pada yang bukan berhak mendapatkan hukuman tersebut? Dan tepuklah dada, kemudian tanya hati dan akal yang sihat, betulkah tindakan yang dah kita buat, meminggirkan diri kerana kawan kita lebih hebat daripada kita? Jawapannya, ada dalam diri kita kerana kita boleh tipu orang tapi kitalah yang menentukan siapa kita. Salam Ramadan ketiga daripada saya, ;-)