- KAHWIN DENGAN SAYA? -

11:11 AM

Okey... itu cuma tajuk semata-mata. Walaupun saya tak kahwin lagi, saya tak pernah lagi ajak atau cuba-cuba ajak mana-mana lelaki untuk kahwin dengan saya. Tak pernah sama sekali! Kalau ada rasa pun nak buat macam tu, orang pun tak nak agaknya. Hoho. Jadinya, mohon tak salah sangka lebih-lebih di bulan Ramadan yang sangat mulia ni. Tak baik ya kawan-kawan.

“KAHWIN DENGAN SAYA?”  [KDS] tu sebenarnya merujuk kepada tajuk novel terbaru saya yang diterbitkan pada bulan April 2014. Dah masuk tiga bulan berlalu, dah diulang cetak dah pun, baru nak perkenalkan? Tak patut, kan? Ya... betullah tu! Saya tau memang sangat-sangat tak patut. Tapi nak buat macam mana, masa memang dah berlalu dah pun. Terlanjur pada ketika itu, saya agak sibuk dengan kerja-kerja yang seperti tak ada kesudahannya. Baru kini kesempatan muncul, ditambah dengan mood yang macam sangat-sangat okey sekarang ni. Mood Ramadan yang tak lama lagi bakal berganti Syawal agaknya. Isyh... saya melampau! Pada saat puasa baru menjengah hari ke-4, saya dah sebut fasal Syawal yang tentunya berkait rapat dengan Hari Raya Aidilfitri. Tolong... jangan ejek saya ya, saya cuma main-main aje.

Tentang KDS, ini merupakan novel saya ke-13 bersama Alaf 21, Karangkraf. 13? Kenapa saya ada 12 aje? Kalau ada yang tanyakan soalan macam tu, maaf Cik Yang Pertama tu memang dah tak diterbitkan lagi. Kenapa dan mengapa, jangan disebut kerana itu merupakan luka yang tak terubatkan sampai ke detik ini. Okey... sila jangan muntah darah. Saya merepek sekali lagi. Tapi yang betulnya, novel AKU MILIKMU [AM] yang diterbitkan pada tahun 2004 tu memang dah tak ada lagi di pasaran. Kalau ada yang menangis golek-golek sebab kecewa atau nak sangat, pun saya tak boleh tolong. Silap-silap saya pun masuk sekali kelab golek-golek tu juga sebab saya pun teringin tengok AM tu ada di kedai-kedai buku sekali. Dulu tu sangatlah tak puas tengok. Cumanya, berangan memang tak kena bayar. Sedang yang tinggal hanya keajaiban.

Berbalik pada KDS, KDS mengisahkan tentang Umair Haq dan Qara Nisa. Mereka adalah dua orang yang berbeza daripada segala-galanya, termasuk latar kehidupan. Tapi bila sudah takdir, pertemuan berlaku juga. Kemudian, ada proses tolak-tarik berlaku, marah-marah geram, sakit-sakit hati sampai nak hempuk-hempuk, curah-curah air tembikai  dan akhirnya menyebabkan Haq terpaksa juga berkata, “Kahwin dengan Saya?” pada Qara. Sukar, tapi akhirnya Qara akur kerana jika takdirnya memang begitu, dia tidak mahu melawan arus. Maka, hiduplah mereka berdua bersama-sama Irham. Mereka bahagia hinggalah ujian datang menduga kesabaran. Dan selebihnya... sila dapatkan di kedai-kedai buku berhampiran korang, pada yang masih belum membaca. Pada yang dah lama selesai menamatkan kisah kasih mereka, terima kasih seluas lautan saya ucapkan. Jangan pernah serik membaca hasil tangan jari-jemari gemuk milik seorang Marwati Wahab a.ka.a Aleya Aneesa.

Sampai bertemu di N3 yang lain pula ya. Semoga Ramadan ke-4 ini berjaya diharungi kita semua dengan penuh kesabaran, ;-)

You Might Also Like

0 comments