- POKOK KURMA BERBUAH DI KOTA ISKANDAR, JOHOR BAHRU -


Minggu lepas, kalau tak silap saya, ramai yang bercerita tentang pokok kurma yang berbuah di Kelantan. Saya yang jarang ambil tahu hal-hal di TV tak tahu sangat tentang itu. Cuma ada juga kawan-kawan yang bercerita di depan dan belakang saya di pejabat. Masing-masing rasa teruja sampai, lebih-lebih lagi kawan saya yang berasal dari Kelantan dan saya pun ikut teruja sama. Maklumlah, perkara jarang berlaku di Malaysia. Diam-diam, dalam hati teringin juga nak tengok dengan mata sendiri. Tapi bila mengenangkan jarak antara Kelantan dan KL yang agak jauh, saya batalkan ajelah niat tu. Mungkin kalau ada rezeki, satu hari nanti sampai jugalah saya ke sana. Yang pasti bukan dalam jangka masa yang terdekat ini. Bukan saya tak pernah jejak bumi Kelantan, pernah. Hanya jejakkan kaki semata-mata sebab nak tengok pokok kurma yang berbuah, aduhai... saya mungkin belum sampai ke tahap serajin itu.

Tapi... kuasa ALLAH itu memang tak pernah terfikir oleh manusia. Kalau memang rezeki saya, tak kira berada di mana, tetap juga rezeki saya. Balik ke JB hujung minggu lepas. Balik dua hari aje pun, tapi itu pun dah buat saya rasa syukur sangat-sangat. Dapat juga berbuka puasa dengan keluarga saya. Dan berkumpul dengan mereka, satu kegembiraan dan kebahagiaan yang tak mungkin dapat dikutip di mana-mana. 

Berbalik soal tadi, ketika dalam perjalanan menuju ke Mydin dengan adik dan ipar saya, dia orang bagi tahu saya yang pokok kurma di Kota Iskandar berbuah. Saya? Tentulah tak percaya sebab kalau betul berbuah tentu dah kecoh dan semua orang tahu. Lagipun adik dan adik ipar saya tu bukannya boleh percaya sangat, kaki sakat dan auta nombor satu tu. Berkali-kali diyakinkan saya, berkali-kali saya tak percaya sampailah adik saya berhenti betul-betul di depan pokok kurma yang berbaris sepanjang jalan.

Ya ALLAH... kagumnya saya dengan kekuasaan ALLAH. Ternyata mereka berdua tak auta saya kali ni. Jelas kat mata saya buah-buah kurma yang bergugus-gugus dengan warna kuning bergayut. Terkedu jugalah saya. Lepas tu saya dengan rasa berkobar-kobar kata, “Berhenti, berhenti! Akak nak bergambar. Akak nak bergambar”. Sudahnya, adik saya layankan juga. Sanggup patah sekali lagi demi nak penuhkan permintaan kakak dia yang lebih teruja daripada orang yang tanam pokok-pokok kurma tu agaknya.


Walau buahnya tak masak lagi, tak dapat pun nak pegang sebab agak tinggi, jauh sekali nak masukkan ke dalam mulut, saya dah rasa sangat gembira. Dalam masa beberapa hari saja berhajat, akhirnya ALLAH perkenankan hajat tersebut tanpa perlu bersusah payah. Tak kisah sama ada di Johor atau Kelantan, yang penting saya dapat tengok pokok kurma berbuah dengan mata saya sendiri. Bukan hanya mendengar cakap-cakap orang semata-mata. Dan lebih daripada itu, jarak pokok-pokok kurma tersebut dengan rumah abah saya, hanya beberapa kilometer dan hanya mengambil masa tak sampai pun 10 minit.

Kalau nak diikutkan hati, saya sebenarnya teringin juga nak petik buah kurma tu. Tapi memandangkan agak tinggi dan saya memerlukan tangga untuk melakukannya, saya batalkan niat tak suci tu. Silap-silap, kalau staf MPJBT membuat rondaan, ada yang terpaksa diangkut ke balai polis walaupun saya bekas pekerja mereka 10 tahun lalu.

Apa pun, saya rasa gembira kerana bagi saya pokok kurma berbuah di Malaysia merupakan satu keajaiban daripada ALLAH, biarpun ada banyak lagi andaian negatif yang dibuat kerana jika kita melihat sesuatu itu dengan pandangan negatif, maka negatiflah jadinya. Jika positif, maka positiflah sudahnya. Itu hal orang dan saya tak nak ambil tahu hal yang tak berkaitan dengan saya. Yang saya tahu, saya dah tengok pokok kurma berbuah di Johor Bahru. Hanya itu!

No comments:

Post a Comment