- LAMANYA TAK MAKAN MACAM NI -

9:18 AM



Orang kata, membazir itu amalan syaitan. Hem... betullah tu! Tapi disebabkan apa yang diorder itu dimakan sampai licin dan kalau tak licin juga, dibungkus bawa balik, maka rasa-rasanya soal bazir-membazir itu sebenarnya tak wujud. Betul kan macam tu?

Okey... saya berhenti bagi mukadimah. Takut nanti ada yang maki saya di bulan yang mulia ini. Tak rela menambah dosa pada orang lain, walaupun hakikatnya saya ni tak baik mana pun. Tapi tak baik, bukan bermakna saya jahat. Taklah sampai macam tu sekali.

Baik... saya berhenti membebel yang tak perlu sekarang juga. Yang sebenarnya, apa yang saya nak contengkan hari ni adalah tentang saya dan keluarga. Seingat saya, macam dah agak lama juga kami anak-beranak tak keluar makan ramai-ramai. Mungkin sebab masing-masing agak sibuk dengan hal sendiri. Atau... yang lebih tepat, kalau saya balik ke kampung, masa kami lebih banyak dihabiskan di rumah. Berbual, berborak, bertingkah, ketawa dan kemudian menjerit-menjerit sayang pada anak-anak buah bertuah saya yang jarang makan saman. Makin kata jangan, makin dibuatnya – kadang-kadang siap gelak-gelak lagi. Dan itu bermakna, kami hanya makan-makan di rumah. Kalau makan di luar pun, ada-ada aje yang tak ada sebab sibuk uruskan rutin yang tak pernah habis.

4 Julai 2014 yang lepas, akhirnya aktiviti yang sesekali dibuat itu disambung kembali. Betapa saya dan Cik Fida tu terkejar-kejar balik ke JB dari KL sebaik saja habis waktu kerja. Bimbang sampai lewat sebab makanan dan tempat dah ditempah dalam masa sekian-sekian. Berbuka pun hanya di dalam kereta. Kurma dua biji dan air mineral. Nak singgah di mana-mana pun tak tersinggah bila masing-masing kata masih boleh tahan lagi.

Dalam pukul 10.00 lebih, kami sampai di JB. Jalan sangat clear, bagaikan memahami keadaan kami yang macam lipas kudung. Sampai kat Pekan Rabu sebab janji kat situ, yang lain-lain tak sampai. Saya dah nak berasap sebab lapar. Konon, dah keluar rumah. Memang dasar janji Melayu betul adik-beradik saya tu. Mujur tak lama lepas tu mereka pun sampai.

Kami terus gerak ke Senibong untuk makan makanan berasaskan seafood, walaupun pelan asal bukan nak makan kat situ tapi apa kan daya. Janji ada sudah. Lagipun harganya macam agak berpatutan untuk keluarga saya yang besar bas tu. Terus terang kata, tengok mereka makan saya rasa sangat-sangat gembira dan bahagia. Memang makan sungguh-sungguh dan masing-masing seperti berlawan. Saya sendiri, makan tak banyak mana pun sebab akhir-akhir ni makan saya agak kurang sebab terasa semua baju dah mengecil.

Selesai makan, masing-masing gerak balik. Itu pun sembang-sambang santai tepi kereta sambil menikmati angin malam di sana. Suasana yang damai dan ada rasa tenang menderu-deru dalam hati. Ya... saya sangat sukakan kedamaian dan ketenteraman yang ada. Bersyukurlah kerana saya dan kita semua dipilih jadi warga Malaysia dan tinggal di sebuah tanah air yang keadaannya masih terkawal. Semoga ALLAH terus memelihara kita semua daripada persengketaan dan malapetaka. Untuk saudara-saudara kita di Gaza, saya berdoa dan terus berdoa supaya ALLAH menjaga mereka. Harap mereka terus sabar dan tabah dalam menempuh dugaan yang datang kerana mereka orang terpilih dan orang terpilih itu biasanya orang yang disayangi. Tentu ALLAH sangat menyayangi mereka, kerana itu mereka diuji dengan ujian yang sangat berat. Untuk yang telah pergi, al-Fatihah... 

You Might Also Like

2 comments