- 7 LUAHAN ORANG KECIL TENTANG MH17... -


Beberapa jam masa berlalu, tapi hati di dalam masih rasa seakan-akan ditumbuk. Sebak dan sesak menderu-deru masuk. Dan, ada banyak rasa yang tak mampu diluahkan keluar, walau rasa teringin sekali. Hanya terkepung dalam diri, tepat pada sekeping hati. Terkejut dan terkelu, selebihnya hanya ada air mata yang bergenang.

Ya ALLAH... ini dugaan-MU. Dugaan berat demi menguji keluarga terlibat, seterusnya menguji tanah tercinta ini. Tapi apakan daya, walau banyak persoalan berlegar-legar, banyak cerita yang kedengaran dan macam-macam spekulasi yang timbul. Hakikatnya... Malaysia sekali lagi jadi perhatian masyarakat dunia gara-gara kapal terbang.

Baru aje kisah MH370 reda walau jejaknya selepas 4 bulan masih belum diketahui. Entahkan benar-benar hanya tinggal sejarah, entahkan masih ada di mana-mana di bumi bertuah ini. Tak tau dan saya tak pernah tahu walau memang betul-betul nak tahu. Cumanya, pengetahuan manusia itu memang terbatas. Jenuh berusaha, tetap juga gagal ditemui. Canggih alat-alat yang digunakan, tak ada apa pun yang dapat walau sekadar serpihan kecil.

Dan semalam – 17/7/2014, sejarah terlakar lagi. Penerbangan MH17 yang berlepas dari Amsterdam pada pukul 12.15 tengah hari (waktu tempatan Amsterdam) dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang pada pukul 6.10 pagi (waktu tempatan Malaysia) pada hari berikutnya, dilaporkan terhempas di Ukraine dan mengorbankan sebanyak 298 orang [termasuk anak kapal] yang terdiri daripada pelbagai negara. Kapal terbang tersebut dipercayai terbang di ruang udara tanpa sekatan.

Tak tahu salah siapa kerana belum ada kepastian, baik Ukraine mahupun Russia, masing-masing saling tuduh-menuduh. Ya, mana ada orang yang dah buat silap dengan mudah mahu mengaku kesilapan sendiri. Ada, tapi jarang! Dan tentunya, bukan dalam kes ini.

Selebihnya saya tak tahu apa-apa. Tapi walau apa pun, saya harap bila terbukti kelak siapa yang bersalah, hukuman patut diberikan. Yang menjadi mangsa, bukan anak ayam tapi manusia yang punya nyawa, punya keluarga. Pada mereka yang tak bernyawa itu, mungkin ada harapan dan impian, atau mungkin ada sinar yang kini dah pun tak bernyala lagi. Kejam! Sangat Kejam! Benar-benar kejam! Kalau benar ia angkara manusia, memang keterlaluan.

Jari-jemari saya dah tak mampu bekerja, sebab hati saya rasa berat. Gagal juga mencari diksi yang sesuai. Saya lalui sepanjang hari ni dengan rasa suram. Demi TUHAN, saya rasa sangat sedih.

Dan pesanan atau luahan saya walaupun mungkin tak didengar dan tak dipedulikan kerana saya hanya orang kecil di tengah-tengah kelompok masyarakat Malaysia:

1) UNTUK MEREKA YANG TELAH PERGI – Damailah di sana. Doa saya, semoga tempat mereka yang beragama Islam, di sisi ALLAH – Al-Fatihah buat mereka.  

2) UNTUK PIHAK BERKUASA – Jika benar kita menjadi mangsa, carilah dalang durjana itu. Hukumlah mereka dengan hukuman yang setimpal supaya dapat dijadikan pengajaran pada yang lain. 

3) UNTUK MEREKA YANG HAUSKAN DARAH – Lantak koranglah! Kalau pun nak menunjuk kekuasaan masing-masing, tunjuklah pada yang terlibat, tapi janganlah orang awam yang tak bersalah dikorbankan. 

4) UNTUK KELUARGA YANG TERLIBAT – Sabar dan bertabahlah! ALLAH ada dan DIA sedang menguji kalian kerana kalian orang yang kuat.

5) UNTUK YANG PERASAN BEKERJA SEBAGAI WARTAWAN – Berhentilah menokok-tambah cerita. Itu hanya memburukkan keadaan. Tolonglah jaga hati keluarga yang terlibat. Jangan terlalu taasub dengan andaian yang kesahihannya tak terbukti kerana hari ni mungkin hari mereka, esok-esok mungkin hari kita pula. Siapa tahu, kan?

6) UNTUK YANG CINTAKAN POLITIK – Berpolitiklah kerana kalian memang dilahirkan begitu. Cumanya, janganlah dijadikan musibah yang datang sebagai modal untuk menampakkan 'kewujudan' yang tak wujud.

7) UNTUK KITA RAKYAT MALAYSIA – Ini ujian untuk kita juga, bukan hanya keluarga mereka yang terkorban. Bertabah dan bermuhasabahlah. Petunjuk ALLAH itu datang dalam pelbagai cara.  

No comments:

Post a Comment