- KASIHNYA AYAH... -

‘Tiga… lapar dan dahaga
Rela berpayahan setianya ayah… 
Ayah… menghantar ke sekolah
Bergunalah ilmu bila dewasa…’

Itulah antara baik-bait lirik yang terdapat dalam lagu nyanyian Aris Ariwatan. Lirik yang selalu saya dengar suatu ketika dulu. Kenapa saya pilih ayah? Kenapa saya tidak pilih ibu kerana dalam lirik lagu tu juga terdapat ungkapan yang ditujukan khas buat ibu. Senang, mudah alasan saya, kerana ibu istimewa dalam jati dirinya yang tersendiri. Sesiapa pun tak mungkin akan menyangkal kalau ibu itu adalah segala-galanya di dunia ini. Ibu mampu menjaga 10 orang anak dalam satu masa. Sedangkan 10 orang anak belum tentu mampu menjaga seorang ibu dalam masa yang berbeza. Terukkan kita sebagai seorang anak? Sering saja terlupa di mana tempat kita berpijak selama ini. Mudah saja mendabik dada bila kejayaan erat di genggaman.

Dan ayah, abah, papa, daddy atau apa sekalipun panggilan seorang anak untuk ayahnya. Golongan ini selalu jatuh ke tangga kedua selepas ibu. Tapi meski duduk di tangga kedua, ayah juga tak kurang hebat fungsinya. Hanya jarang benar orang mahu memperkatakan soal ayah. Entah sebab apa sukar untuk dijelaskan. Mungkin kerana seorang ayah itu tidak atau jarang sekali memperlihatkan perasaannya pada seorang anak. Tapi, sebenarnya jauh di sudut hati kecil mereka, tersimpan selaut kasih buat seorang anak yang kadang-kala sukar untuk memahami hati seorang tua bernama ayah. Bila dimarahi atau ditegur, cepat saja membuat andaian kalau ayah tak pernah menyayangi mereka. Sudah benci barangkali.

Tapi… pernahkah terfikir di benak kita, kalau teguran yang diberikan bertujuan untuk mendidik, mengajar atau memberi pemahaman. Hanya caranya tidak sama dengan seorang ibu yang lebih lembut. Namun itu juga bukan salah ayah, memang fitrah kejadian seorang lelaki, harus tegas dan selalu tahu mengawal emosi dalam apa keadaan sekalipun hingga kadang-kala seorang anak silap mentafsir diri dan hati mereka.

Mengapa saya berkata begitu? Kerana saya pernah melihat pengalaman itu dengan mata saya sendiri. Seorang ayah yang pendiam dan amat jarang bercakap. Malah tidak pernah bercakap dengan anak lelakinya sejak anak itu meningkat dewasa. Tak ada sebab, apalagi kemarahan dan dendam tetapi memang mereka berdua begitu. Baik ayah mahu pun si anak, tak tahu apa yang hendak dibualkan. Bila mereka duduk berdua, masing-masing kaku dan beku tapi anak itu masih boleh menolong ayahnya bekerja. Keluarga tu sudah lali dengan keadaan yang berlaku. Mereka terima itu sebagai kekurangan ayah mereka yang tidak begitu pandai berkomunikasi dengan anak-anak. Malah, dengan atuk mereka pun ayah mereka tak bersuara.

Tapi jauh di sudut hati, mereka sedar ayah mereka terlalu menyayangi mereka. Hanya tak tahu bagaimana mahu meluahkannya. Buktinya, si ayah yang tak pernah berkomunikasi dengan anak lelakinya itu menitiskan air mata lelakinya hanya kerana anak itu. Ada kejadian ngeri yang berlaku dalam keluarga mereka dan itu melibatkan si anak tadi. Pertama kali dalam sejarah hidup, ayah itu memeluk anak lelakinya erat-erat demi memberikan semangat pada anaknya supaya tak rebah, pun suaranya tak sedikit pun terkeluar. Hanya ada tangisan tersedu-sedu di bibir kering itu. Dan anak itu, dia tahu… dia akur… memang ayahnya begitu. Tapi dia sudah lama tahu, ayahnya rela berbuat apa saja deminya. Mengorbankan nyawa pun dia tahu ayahnya sanggup. Tak perlu suara, tak perlu kata dia dapat menyelami hati tua itu.

Nah… kita yang saban hari berbual dan bercakap dengan ayah kita. Sedarkah kita akan kehadiran kasih sayang ayah kita? Dan kasih sayang, perlukah diucapkan supaya kita sedar akan kehadirannya? Atau hanya dengan mempamerkan emosi dan perbuatan itu sudah memadai untuk kita mengerti? Jawapannya ada pada kita sebagai seorang anak…

No comments:

Post a Comment