- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 6] -

January 31, 2013

SELEPAS mencapai beg bimbit, pantas pintu kereta ditutup. Kuat bunyinya, namun Raqib tidak peduli. Menjeling kereta Nadra yang sudah tersadai di tempat biasa, dia tersengih sendiri. Lega kerana isterinya itu sudah sampai. Kemudian kalut-kalut dia berjalan. Tidak sabar mahu melihat Nadra.

Namun sampai di muka pintu, langkahnya terhenti. Bila melihat mata uminya melotot sambil menggigit bibir, dia ketawa perlahan.

“Yang Raqib jadi tak sabar-sabar sangat ni kenapa? Macam kena kejar dengan hantu aje umi tengok. Dah lapar sangat ke perut tu?” sindir Kalsum sambil menggeleng kepala. Mujur juga Raqib sempat menghentikan langkah, kalau tidak memang dia dan anaknya itu bertembung sesama sendiri.

“Maaf umi, Raqib nak cepat tadi.”

“Cepat-cepat nak ke mana?” tanya Kalsum ingin tahu.

“Nak jumpa Nadra,” balas Raqib selamba. Dia menjengukkan kepalanya, mencari-cari Nadra. Manalah tahu isterinya ada di situ. Tapi tidak ada. Yang ada hanya Idlan yang leka menonton TV. Spontan kata-kata Afnan singgah di benaknya. Baru dia perasan, selama ini kalau Nadra ada di ruang tamu, Idlan tidak pernah ada. Pernah juga dia mengajak Idlan sama-sama menonton bola sepak, tapi adiknya akan mencari seribu satu alasan asalkan tidak perlu duduk di ruang yang sama dengan Nadra. Anehnya, kalau Idlan ada, Nadra tidak pula terasa hendak melarikan diri. Tetap setia menemaninya kalau dia tidak mahu menonton TV di dalam bilik. Malah, Nadra hanya menurut bila uminya mengajak duduk di situ.

Benarkah seperti kata Afnan, Idlan cemburu pada Nadra? Terasa Nadra rampas aku daripada dia?

Bolak-balik fikiran Raqib. Terasa mahu menolak pendapat Afnan, tapi di satu sudut dia tahu hatinya sudah menerima. Bila dikaitkan semua yang berlaku semenjak Nadra datang ke rumahnya dengan penerimaan Idlan yang tidak mesra, dia semakin yakin. Memang itulah punca pada apa yang berlaku.

Tapi soalnya, dia tidak akan puas hati selagi tidak ada pengakuan daripada Idlan. Siapa pula yang hendak buat Idlan mengaku? Dia? Aduh... cara apa yang perlu digunakan?

“Eh... sempat berangan pula dia!” Bahu Raqib, Kalsum tepuk perlahan. Pelik kerana Raqib hanya kaku di hadapannya.

Raqib senyum nipis. Malu kerana mengelamun dan lamunannya ditangkap uminya.

“Fikirkan apa ni?” tanya Kalsum dengan rasa ingin tahu. Di bibirnya ada senyuman lembut.

“Nadra!” jawab Raqib spontan. Bila sekali lagi bahunya ditampar uminya, dia ketawa. Daripada dia harus menceritakan pertengkaran yang berlaku antara Idlan dan Nadra, biarlah bahunya ditampar. Sebagai ketua keluarga sejak ayahnya kembali kepada Pencipta, biarlah dia yang menyelesaikan masalah yang ada selayaknya ketua keluarga. Dia akan memastikan keadaan yang keruh kembali jernih walaupun mungkin selama ini memang tak pernah jernih. Uminya tidak perlu tahu apa-apa. Bimbang hati tua itu bimbang. Uminya sudah begitu tua untuk dibebani dengan masalah anak dan menantu yang kalau diikutkan hanya hal yang remeh.

“Nadra? Hari-hari dah tengok kan, apa lagi yang nak difikirkan?” sakat Kalsum pada Raqib.

“Kalau fasal Nadra, ada banyak yang boleh difikirkan. Silap-silap sampai bila-bila pun tak akan selesai.”

“Wah... tipikal lelaki ni. Suka cakap manis masa baru-baru kahwin. Bila dah lama nanti, sayang pun melayang. Yang manis jadi masam. Tawar tak bergula. Lagi-lagi bila kedut dah penuh kat muka. Tapi tiga bulan tu masih boleh dipanggil pengantin baru lagi ke? Bukan pengantin yang dah basi?”

Usikan Kalsum kali ini berjaya membuahkan ketawa besar Raqib. Uminya dari dulu sampai sekarang, tetap juga suka membuat kelakar. Malah, setiap hari ada-ada saja kata-kata uminya yang mampu mencuit hatinya. Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang dalam diam dia dikenakan Kalsum itu. Sejak bergelar suami Nadra, lagilah uminya tidak mahu membiarkan dia tenang. Ada masa-masanya Nadra dan uminya bergabung mengenakannya.

Macam manalah dia tak sayangkan Nadra dan umi kalau perangai mereka serupa. Tapi Idlan. Aduhai... adik!

“Baru tiga bulanlah ibu, bukannya tiga tahun atau 13 tahun. Mestilah masih pengantin baru.”

“Yalah tu, baru sangat...” Ketawa Kalsum sudah bergabung dengan Raqib.

“Apa yang kelakar sangat ni umi, abang? Ada cerita yang menarik ke? Kongsilah sikit dengan Idlan,” pinta Idlan. Dia menghampiri Raqib dan Kalsum yang masih berdiri di hadapan pintu. Keningnya berkerut bila ketawa mereka seakan-akan bersambung. Tapi dia suka melihat panorama seperti ini. Panorama sama yang sering dilihat sebelum Nadra dibawa masuk ke dalam keluarga mereka.

“Abang Idlan ni...”

“Raqib pula yang kena. Umi kan yang pandai buat kelakar.”

“Apanya yang umi buat kelakar tu?”

“Abang Idlan ni kata yang dia dan kakak Idlan masih pengantin baru walaupun dah tiga bulan jadi suami isteri. Ni kalau Nadra dengar, mahunya dia ketawa sampai pecah perut sebab geli hati. Tak pun, tak fasal-fasal lengan Raqib lebam sebab kena cubit. Menantu umi tu kadang-kadang boleh jadi macam ketam juga tu.”

Mendengar kata-kata uminya, wajah Idlan berubah. Hilang rasa hendak turut sama ketawa dengan mereka. Sangkanya apalah yang kelakar sangat sampai umi dan abangnya nampak macam gembira benar. Menyesal pula dia datang dan bertanya. Kalau dia tahu dia tentu akan buat-buat tidak dengar. Lebih baik menonton TV daripada mendengar nama Nadra disebut.

“Tiga bulan kahwin masih pengantin baru kan Idlan?” pancing Raqib. Sengaja ingin melihat jawapan Idlan walaupun dia nampak wajah adiknya ketara berubah saat nama Nadra disebut. Pendapat Afnan datang lagi ke kepalanya.

“Tak tahu!” balas Idlan pantas. Pada wajahnya langsung tidak ada senyuman.

“Tiga bulan tu tak sampai 100 harilah Idlan, dah tentulah baru,” pancing Raqib terus.

“Entah, tak pernah kira!”

“Eh... yang anak umi ni tiba-tiba macam emosi semacam aje ni kenapa ya?” tanya Kalsum sambil terus mempamerkan senyuman. Muka mencuka Idlan ditatap dalam-dalam. Tadi dilihat Idlan bertingkah seperti biasa, tapi tiba-tiba saja raut wajah anak bongsunya itu kelihatan tegang.

“Idlan nak sambung tengok TVlah,” kata Idlan. Kemudian dia terus mengatur langkah ke ruang tamu. Kembali memandang skrin TV yang masih terpasang.

Jawapan Idlan mengecewakan Raqib. Bukan itu yang diharapkan daripada satu-satunya adik yang dia ada itu. Dia semakin yakin kalau pendapat Afnan memang tidak ada salahnya. Nampaknya dia harus melakukan sesuatu. Idlan perlu diyakinkan yang kasih sayang dan perhatiannya untuk Idlan tidak pernah berubah dengan adanya Nadra di sisinya. Idlan harus yakin padanya.

“Kenapa dengan Idlan tu umi? Nampak macam lain macam aje.” Raqib buat-buat tanya. Tidak mahu uminya berasa curiga.

“Lapar agaknya tak?” Kalsum membuat telahan kerana dia sendiri tidak tahu punca perubahan sikap Idlan.

“Tak minum petang ke dia tu?”

“Masa umi tengah minum dengan Nadra kat dapur tadi, dia ada datang. Tapi lepas tu dia terus pergi tanpa cakap apa-apa. Yalah tu... confirm tengah laparlah tu,” akui Kalsum sambil menggeleng. Pun, masih ada senyuman meleret di bibirnya. Idlan memang kuat makan. Kalau tidak cukup makan, cepat saja keadaan anak itu berubah. Pantas juga angin marah Idlan datang melanda.

Sekali lagi Raqib rasa hatinya bagaikan dihunjam ke dinding. Mujurlah uminya tidak tahu apa-apa, kalau tidak tentu uminya kecewa. Bila uminya kecewa, Nadra pun tentu akan kecewa juga. Dan Idlan, dia tidak tahu apa yang adiknya itu akan rasa. Tapi kini dia benar-benar rasa tidak sedap hati. Risau kalau keadaan berterusan, lama-kelamaan uminya tentu akan dapat menghidu juga.

“Raqib naik bilik dululah umi. Nak tengok Nadra kejap. Entah apalah yang dibuatnya tu sampai suami sendiri balik pun tak sedar.”

“Pergilah...” suruh Kalsum. Bila Raqib mula memijak anak tangga, dia senyum sendiri. Dia gembira kerana akhirnya Raqib memilih Nadra sebagai isteri, bukannya perempuan lain. Nadra itu, kalau pun tidak semua dia tahu tentang menantunya itu, banyak juga yang maklum. Tidaklah perlu dia bersusah payah menyesuaikan diri kerana mereka berdua sudah sama-sama kenal.
--------------------------------------------------------------------------------
MELIHAT Nadra tidak ada di atas katil, pandangan Raqib buang ke sofa berangkai dua. Tidak ada. Yang ada hanya sunyi dan sepi yang menyambut kehadirannya. Melilau matanya ke sana sini, tetap juga bayang-bayang Nadra tidak ada. Mengheret langkah ke bilik air, dia buntu sendiri kerana Nadra tidak ada di situ.

Beg bimbit diletakkan di atas katil. Kemudian langkah diatur menuju ke bilik yang terletak di hujung sekali. Tersenyum lebar dia bila melihat sekujur tubuh Nadra yang nampak seperti tekun benar menyiapkan kerja di atas meja. Isterinya itu langsung tidak terusik dengan kehadirannya di muka pintu.

“Iha...” sapanya perlahan. Bahu Nadra disentuh dengan kedua-dua tangannya. Lantas bahu itu dipicit lembut.

Kalau betullah Idlan cemburukan Iha, kesiannya isteri abang ni, detik hati kecil Raqib. Tidak mahu sampai ke telinga Nadra. Selagi dia belum pasti yang Idlan memang cemburukan isterinya itu, selagi itulah dia tidak akan mengatakan apa-apa. Mana tahu pendapat Afnan tidak benar sama sekali.

Tapi tingkah yang Idlan tunjukkan? Masih belum begitu jelaskah lagi?

Raqib gagal mencari jawapan pada soalan yang diajukan hatinya sendiri.

“Abang? Bila abang sampai? Iha tak sedar pun.”

“Macam mana nak sedar kalau Iha hanyut dengan kerja? Abang tunggu lama kat bawah pun Iha tak muncul-muncul juga. Cari dalam bilik pun tak ada. Itu yang abang sampai datang ke sini,” kata Raqib bagaikan merajuk. Bukanlah dia benar-benar merajuk, hanya terasa mahu dimanjakan Nadra. Kalau ditanya pada hati, dia lebih sukakan Nadra yang menjadi isterinya daripada Nadra yang menjadi kawannya. Nadra yang menjadi kawannya nampak selamba dan ada masa-masanya seperti tidak peduli. Tapi Nadra yang menjadi isterinya lebih lembut dan ada masa-masanya sangat manja. Pendek kata, menjadi suami Nadra buat dia kenal lebih jauh siapa sebenarnya Nadra.

“Habis, abang merajuk?” Nadra sudah memusingkan badannya menghadap Raqib.

“Kalau abang merajuk, Iha nak pujuk ke?”

“Nak, tapi... bukan sekarang nilah. Iha pujuk abang lepas kerja Iha okey?”

“Tak okey!”

Kening Nadra ternaik. Dia ketawa perlahan. Tangan Raqib dicapai, kemudian dikucup lama. Biasanya memang dia menunggu Raqib balik kerja kerana dia sampai lebih awal. Tapi hari ini dia terpaksa membawa pulang kerja. Sejak selepas minum tadi, dia hanyut dengan dunia sendiri.

“Ni... kira tengah pujuk abanglah ya ni?” usik Raqib dengan mata bersinar.

“Abang rasa terpujuk tak?”

“Separuh-separuh aje rasanya,” kata Raqib selamba. Anak rambut Nadra ditolak sedikit ke belakang. Dilamar Nadra memang terasa sangat aneh kerana tugas itu sepatutnya digalas lelaki. Jarang benar perempuan melamar lelaki untuk dijadikan suami. Dilamar Nadra hanya gara-gara Fawwaz, lebih membuatkan dia tidak dapat menerima. Nadra tidak patut menjadi isteri pada saat Nadra masih belum bersedia. Tapi selepas benar-benar menjadi suami Nadra, dia rasa bersyukur dengan lamaran isterinya itu.

“Ada ke macam tu pula? Tak pernah pula Iha dengar orang merajuk separuh-separuh. Abang ni suka sangat jadikan Iha isteri kepada suami yang pelik. Bawa-bawalah insaf sikit, abang...”

Berderai ketawa Raqib dengan nada suara Nadra yang selamba. Dia tahu Nadra sengaja menyakatnya. Malah Nadra juga tahu dia sekadar bergurau. Selama menjadi suami isteri, gurau-gurauan itulah yang menjadikan hubungan mereka semakin erat. Lebih erat daripada hubungan persahabatan mereka dulu.

“Iha bawa balik kerja ke? Kan dah janji tak nak bawa?”

“Kerja urgent, tak boleh nak elak. Kan dah janji juga kalau keadaan memaksa kita dibolehkan bawa kerja balik. Kan?” Terkelip-kelip mata Nadra. Sengaja memancing simpati suaminya.

“Pandainya dia...” Raqib menarik Nadra semakin rapat ke sisinya. Dicubit perlahan pipi isterinya itu. Bila Nadra menjerit sambil menampar lengannya, dia ketawa besar.

- DIA TAK TANYA! : TINTA PENULIS -

January 17, 2013

Salam buat yang masih sudi membaca karya saya kali ini. Hendaknya sokongan yang diberikan kepada saya akan berterusan walaupun jatuh bangun saya dalam dunia penulisan tidak mungkin dapat diramal kerana sangat misteri. Hanya yang pasti, selagi ada yang mahu membaca air tangan saya, selagi itulah saya akan cuba memberikan yang terbaik.

Novel “DIA TAK TANYA!” ini mungkin tidak serupa dengan novel-novel yang pernah saya hasilkan sebelum ini. Tapi bagi saya, istilah tidak serupa itulah yang membuatkan saya mahu menggarap kisah hidup ini hingga ke penghujungnya. Tidak ada penulis yang mahu menulis tentang kisah yang sama berulang-ulang kali. Selagi bergelar penulis, selagi itu ruang dan peluang untuk memberikan kelainan sentiasa dicari, biarpun untuk menghasilkan sesebuah karya yang baik dan disukai ramai tidak semudah mana.

Dan ini kisah Najid dan Najihah, dua sahabat yang rapatnya bagai isi dengan kuku. Dibesarkan bersama-sama, buat jalan fikiran mereka sentiasa sama hingga bertindak ‘gila’ pun bersama-sama. Bagi mereka hidup ini mudah, semudah mereka membuat keputusan mahu mencuba menjadi pasangan suami isteri walaupun tidak bersandarkan rasa cinta. Ditentang dimarahi, mereka tetap bulat dengan keputusan yang dibuat.

Saya yakin, bukan hanya Najid dan Najihah saja yang gemar bertindak nekad, mereka yang di luar sana juga ada yang sanggup bertindak begitu semata-mata menurut kata hati dan jiwa muda. Kalau kesudahan perkahwinan Najid dan Najihah, dapat dilihat pada halaman terakhir kerana kesudahan itu ada di tangan saya sebagai penulis. Namun bagaimana dengan kesudahan perkahwinan yang sebenar-benar perkahwinan di luar sana? Mungkin ada yang benar-benar dapat menggapai kebahagiaan, tapi mungkin juga ada yang terpaksa mengheret rasa kesal gara-gara berkahwin tanpa perancangan yang rapi saat merasakan betapa sukarnya meneruskan hidup saat wujud ketidakserasian.

Untuk itu, berfikirlah semasak-masaknya sebelum membuat apa-apa keputusan kerana mungkin keputusan yang kita buat hari ini bakal menyebabkan kita terpaksa mengubah diri dan haluan sebanyak 360 darjah. Sekian.

Salam Sayang,
- Aleya Aneesa -
http://aleya-aneesa.blogspot.com

- KARNIVAL KUMPULAN MEDIA KARANGKRAF 2013 -

January 15, 2013

Kalau ada rasa-rasa nak berjumpa dengan seorang ALEYA ANEESA, datanglah pada 2 FEBRUARI 2013 [Sabtu]. Saya akan tandatangan novel yang dibeli dengan senang hati. Kalau tak nak jumpa pun masih boleh datang pada hari yang lain, boleh jumpa dengan kawan-kawan saya yang lain juga, ;-)

Di bawah ni, poster novel saya. Semua sekali ada 10 buah. Kalau rasa masih tak lengkap 10 tu... lagilah dialu-alukan datang dengan senang hati. Confirm dapat diskaun lebih kalau datang masa tu. Yang pasti, novel terbaru saya berjudul DIA TAK TANYA ada di sana nanti. Jadi... bolehlah datang beramai-ramai ya, ;-)

- KHILFIE vs ZALIS : NOVEL KE-9 BERSAMA ALAF 21 -

January 14, 2013

"SAAT KITA MELAFAZ JANJI, TELAH KUKUNCI PINTU HATI INI"

Kalau tahu sakitnya jatuh cinta, dia lebih rela memilih jatuh lubang. Kalau tahu deritanya merindu, baiklah dia pilih membenci. Hati tak parah, jiwa pun tak merana. Dia hanya Nurzalis Najwa! Kuasa sakti dia tak punya, panah arjuna pun dia tak ada. Yang dia miliki hanyalah sebuah janji.

Sayangnya saat Khilfie muncul, hatinya terbelah dua. Hendak salahkan siapa jika cinta dipegang sebelum waktunya? Setia pula tak kena pada tempat. Lantas, lupa kalau kata tak semestinya dikota. Hati orang pun bukan boleh diikat ikut suka.

Kecewa kerana cintanya tak berbalas, Zalis menjauh. Apa guna jadi permata kalau Khilfie tak mahu menjadi cincin? Hati yang luka biar dicari penawar sendiri. Namun, Khilfie bukan buta. Makin jauh Zalis lari, makin laju dia mengejar. Dia bukan bayang-bayang Zalis, kembar siam pun tidak. Tapi, dia persis gula-gula getah dalam hidup Zalis. Saat sedar matanya memandang Jaznita, hatinya hilang dicuri Zalis. Tak mungkin manusia boleh hidup tanpa hati, kan? Dan cinta... memang pelik, ditolak jauh pun tetap juga mahu mendekat.

- DIA TAK TANYA! : UNTUK YANG MAHU AJE YA... -

January 2, 2013

Kalau ada yang mencari tapi tak jumpa, boleh email saya  DI SINI. Tapi untuk yang minat saja dan  bayaran hendaklah dibuat paling lewat hari Jumaat ni. Kalau mahu tandatangan, saya akan tandatanga. Kalau tak mahu, cuma perlu bagi tahu aje... ;-)

- SELAMAT DATANG 2013, SELAMAT TINGGAL 2012 -

Selamat Tahun Baru – 2013 untuk semua. Semoga tahun ni membawa banyak kegembiraan dan kebahagiaan untuk kita semua. Walaupun... yang menentukan kegembiraan dan kebahagiaan bukannya masa, tahun, keadaan, cuaca dan sewaktu dengannya. Yang menentukan gembira dan bahagianya kita atau sebaliknya... diri kita sendiri. Kalau kita nak gembira dan bahagia ada dalam tangan kita, tentu kita akan usahakan ke arah itu sampai kita berjaya. Tapi kalau kita nak gembira dan bahagia, sedangkan usaha ke arah itu tak ada atau kita buat acuh tak acuh aje, maka... ucapkan saja selamat tinggal sambil lambat-lambai tangan pada yang diberi nama gembira dan bahagia. Dalam dunia ni, tak ada apa yang datang bergolek. Nak makan pun kena masak atau beli, lepas tu... masukkan ke dalam mulut.

Rasanya hari ni tak ada yang nak dibebelkan. Jadinya... untuk anak-anak buah saya yang mula bersekolah hari ni – Kakak [Tingkatan 1], Adik [Darjah 6], Danish [Darjah 2], Aqqif dan Naqib [Tadika], SELAMAT BERSEKOLAH. Jadi budak-budak yang pandai ya... ;-)

- CINTAKU TAK MAHAL [PROLOG II] -

BEBERAPA minggu lalu dia duduk di sini, di hadapan Raqib. Malah di tempat yang sama inilah, dia melamar Raqib dengan muka merah padam. Tempat yang sama juga menjadi saksi lamarannya ditolak Raqib tanpa ada pertimbangan hingga air matanya gugur menimpa meja tempat tangannya menumpang ketika ini.

Ikutkan rasa, dia tidak ingin datang sini lagi kerana dia malu, walaupun tidak ada sesiapa yang tahu. Tapi hatinya saat ini benar-benar walang. Tidak tahu harus ke mana lagi kerana hanya padang bola ini yang ada dalam bayangannya.

Along, Raqib... terasa hendak meraung mengenangkan dua nama itu.

“Nadra, saya minta maaf,” pinta Raqib perlahan. Hampir saja suaranya tidak kedengaran.

Tidak mahu terus bungkam mengalahkan batu. Kalau mereka terus diam, sampai bila-bila masalah tidak akan selesai. Kalau Nadra tidak mahu mengalah, biarlah kali ini dia mengalah. Selama ini pun dia jarang hendak mengalah dengan Nadra. Jadi, apa salahnya hari ini dia melakukannya. Tidak mungkin harga dirinya jatuh hanya disebabkan dia menundukkan ego lelakinya di hadapan Nadra.

“Awak nak percaya atau tak, saya tak akan paksa. Tapi... saya tak rela awak kahwin dengan Ghazlan. Dan saya lebih tak rela kenangkan yang awak akan kongsi bantal dengan Ghazlan. Awak tak boleh kongsi bantal dengan dia, dengan lelaki lain pun saya tak akan benarkan.”

Mulut Nadra melopong tiba-tiba Matanya melotot menikam anak mata Raqib yang berdiri di hadapannya dengan rupa tenang. Kemudian bingkas dia bangun, pantas tangannya naik memukul bahu Raqib. Sumpah, dia benar-benar tidak percaya Raqib boleh berfikir sampai sejauh itu. Dia pun tidak pernah memikirkan perkara seumpama itu daripada berlaku.

“Otak kuning!” marah Nadra geram. Tangannya masih berusaha memukul bahu Raqib.

Raqib ketawa perlahan dengan kata-kata Nadra yang sarat dengan kemarahan. Tangan Nadra yang masih bergerak dicapai, digenggam erat-erat. Direnung dalam anak mata Nadra yang kelihatan bersinar-sinar. Sungguh, dia rasa sangat damai hanya dengan memandang sinar di mata Nadra.

Kalau dia sampai kehilangan sinar itu, bagaimana dia dapat bertahan hidup?

“Saya tak tipu, memang itu pun yang saya fikir sebaik aje nampak awak dengan Ghazlan hari tu. Saya tak boleh tidur kenangkan perkara tu.”

“Raqib!”

Raqib letakkan tangan Nadra di atas meja. Tidak mahu terus memegang kerana Nadra bukan haknya. Dia tahu dia sayangkan Nadra. Dia dapat rasakan hatinya menggebu-gebu pada gadis itu. Namun untuk berterus terang dengan Nadra, dia masih belum mampu. Bimbang cintanya ditolak.

“Tadi depan along, awak kata tak nak jadi isteri saya, kan?”

Dahi Nadra berkerut. Tidak mengerti dengan pertanyaan itu, namun dia sudah tenang. Terpukau dengan renungan Raqib yang tajam-menikam. Tapi ada damai dalam renungan itu. Dalam sekelip mata, rasa marah dan sakit hatinya kepada Raqib bagaikan ditarik keluar. Yang ada hanya debaran menggila.

Perasaan apakah ini TUHAN? Tanya hatinya berkali-kali. Cintakah ini? Dia terus menelan liur sendiri, juga berkali-kali.

“Tapi tadi awak tak ada kata pada along yang awak tak nak jadi ibu kepada anak-anak saya, kan?” tanya Raqib perlahan.

“Hah? Apa awak kata?” tanya Nadra terpana. Teka-teki apa Raqib mainkan ni?

Muka Nadra berubah. Rasa peliknya terhadap Raqib terasa menjadi-jadi. Kalau sudah tidak mahu menjadi isteri, bukankah itu bermaksud dia tidak juga mahu menjadi ibu kepada anak-anak lelaki itu? Tidak mengertikah Raqib, atau saja-saja buat tidak faham? Takkanlah Raqib hendak dia melahirkan anak-anak lelaki itu tanpa ada ikatan perkahwinan? Gila!

Dia masih tertanya-tanya tujuan Raqib berjumpa dengan alongnya. Apa yang Raqib kata, dia tidak mendengar dengan jelas, hanya yang sempat dicuri dengar telinganya adalah kata-kata Fawwaz.

“Awak tak kata tak nak jadi nenek kepada cucu-cucu saya, kan?” Terus Raqib bertanya tanpa mempedulikan pertanyaan Nadra.

Ikutkan hatinya, mahu saja dia menolak anak rambut Nadra yang jatuh di dahi ke belakang. Tapi mengenangkan dia bakal dimakin-hamun Nadra, dibatalkan saja niatnya walaupun matanya terasa agak terganggu. Cukup-cukuplah dia membangkitkan kemarahan Nadra. Jika dia tersilap lagi, silap-silap dia akan kehilangan Nadra terus. Hilang ke tangan Ghazlan? Huh... tidak, tak mungkin sama sekali, detik hatinya geram.

“Hah?” Nadra semakin tidak mengerti tingkah kawan baiknya sejak berpindah ke Taman Saujana Impian itu.

“Awak tak kata yang awak tak nak jadi moyang kepada cicit-cicit saya, kan?” Matanya sengaja dikecilkan sedikit.

Raqib merepek apa ni? Kenapa sampai moyang, segala cucu cicit disebut lelaki itu di hadapannya?

“Apa masalah awak sebenarnya ni? Awak tengah merepek apa ni? Saya betul-betul tak fahamlah.”

“Saya tak ada masalah, Nadra.”

“Dah tu?”

Nafas Raqib tarik dalam-dalam. Matanya masih terganggu dengan anak rambut Nadra yang bergerak-gerak kerana ditiup angin. Kalaulah Nadra tidak kisah, dia mahu menyelitkan anak rambut itu di tepi telinga Nadra. “Nadra...”

Nadra tidak menyahut kerana dia tahu Raqib tidak buta untuk melihat dia ada di situ. Raqib pun tahu dia masih belum pekak lagi.

“Boleh saya selitkan anak rambut awak ke belakang?” pinta Raqib lurus.

Mata Nadra membulat. Lain yang dia hendak tahu, lain pula yang Raqib katakan. Lelaki itu benar-benar memeningkan kepalanya.

“Saya rimas tengok...”

“Tak payah!” bentak Nadra. Raqib fikir dia apa sebenarnya?

“Okey... okey... tak kasi tak apa. But... don’t be angry with me, okey?”

Nadra menarik nafas panjang. Cuaca sudah semakin redup dan dia mahu segera beredar. Tidak mahu terus berdua-duaan dengan Raqib. Senja-senja begini, memang tidak elok kalau masih berada di luar rumah, apa lagi berdua-duaan dengan lelaki yang bukan muhrim baginya.

“Saya nak balik!”

“Awak akan balik lepas awak kata setuju kahwin dengan saya!” tegas Raqib. Apa pun terjadi, dia tidak akan melepaskan Nadra pergi sebelum gadis itu menerimanya.

“Tapi saya kan dah tarik balik lamaran saya tu?”

“Saya tak peduli!”

“Awak mana boleh buat saya macam ni!”

Kepala Raqib menggeleng. Katalah apa pun, dia tetap tidak peduli. “Raqib tak nak Nadra tarik balik lamaran Nadra pada Raqib. Raqib tak setuju.”

“Awak kan dah tolak?”

“Tak, saya terima. Yes... I do!”

Terkelip-kelip kelopak mata Nadra. Dia semakin tidak mengerti dengan kerenah Raqib. Ketika dia bersungguh-sungguh, Raqib menolak. Ketika dia sudah menolak, Raqib pula yang bersungguh-sungguh menerima. Raqib hendak apa sebenarnya?

“Saya nak kahwin dengan awak. Saya...”

“Saya tak setuju!” potong Nadra pantas. Setelah lamarannya ditolak Raqib, dia banyak berfikir. Tidak ada gunanya memaksa kalau Raqib tidak mahu. Perkahwinan tanpa bertiangkan cinta, rasanya mudah goyang walaupun cinta bukanlah segala-galanya. Tidak adil bila dia mengheret Raqib hanya gara-gara Fawwaz menyuruh dia berkahwin dengan Ghazlan.

Mahukan Raqib sebagai suaminya, samalah seperti dia merosakkan masa depan Raqib. Mungkin saja Raqib sudah punya pilihan sendiri.

“Nadra...”

“Saya tak nak kahwin dengan awak!”

Keluhan Raqib kedengaran. Dadanya terasa sebu. Begini rupanya bila ditolak orang? Sakit sangat!

“Saya nak juga!”

Kepala Nadra menggeleng laju. Dia jadi takut pada ungkapan Raqib. Ditakdirkan dia gagal menjadi isteri yang baik, bukankah kelak dia yang bakal disalahkan?

“Awak nak terima Ghazlan?”

Nadra tersenyum sinis. “Saya tak cintakan Ghazlan. Awak pun saya tak cinta. Jadi apa bezanya?”

“Sekurang-kurangnya saya bukan buaya!” Panas hati Raqib melihat senyuman itu.

“Biarlah. Itu yang saya pilih, saya tanggunglah nanti!”

Ringan saja tangan Raqib mahu mencepuk Nadra. Gadis itu bagaikan sengaja menyakitkan hatinya. Mungkin masih berdendam gara-gara lamaran yang ditolak. “Percaya cakap saya... saya nak kahwin dengan awak. Saya nak awak jadi isteri saya dan saya nak jadi suami awak. Sekali awak jadi isteri saya, saya akan pastikan sampai bila-bila awak akan jadi isteri saya. Saya tak akan lepaskan awak. Saya tahu saya mungkin bukan orang sempurna, tapi saya akan cuba menyempurnakan rumah tangga kita. Saya janji!” Dia berhenti berkata-kata.

Nadra gigit bibir. Hatinya di dalam terasa sangat sebak.

“Kalau awak setuju, tiga bulan dari sekarang, status kawan akan saya tukarkan kepada suami isteri. Saya akan jaga awak baik-baik. Saya janji!” Kata-kata Raqib mati begitu saja, tidak diteruskan kerana Nadra sudah menangis tersengguk-sengguk. “Nadra...”

“Saya tetap tak setuju sebab saya tak nak jadi perempuan yang melamar lelaki. Saya tak nak melamar, tapi saya nak dilamar...”

Kali ini mulut Raqib yang melopong. Terkebil-kebil biji matanya, antara faham dengan tak faham kata-kata yang Nadra luahkan.

“Sengal!” marah Nadra dalam ketawa bersulam tangisan.

“Hah?” Dahi Raqib berkerut seribu.

“Kalau awak nak saya kahwin dengan awak, lamar saya!”

Tersedar maksud sebenar kata-kata Nadra, ketawa Raqib meletus perlahan. Tidak percaya dia tidak dapat mencerna kata-kata Nadra yang tidaklah berbelit-belit sangat.

“Nadra... will you marry me?”

Nadra mencebik. Tapi sungguh, dalam hati ada lega yang bukan sedikit bertapak. Daripada harus menjadi isteri Ghazlan yang memualkan tekak, lebih baik dia mengabadikan dirinya untuk Raqib. Tidak pedulilah walau Raqib pernah menolak lamarannya dulu. Apa yang penting, Raqib sudah pun melamarnya.

“Nadra...” Raqib kembali resah.

“Yes... I do! I want to be your wife, and I want to live with you forever.”

Entah untuk kali ke berapa hari ini, mata Nadra membulat, mulutnya melopong di hadapan Raqib. Namun Raqib yang melihat, hanya ketawa perlahan. Dadanya yang sempit sejak Nadra mula menjauhkan diri, terasa lapang kini. Dia jadi sangat pasti bahawa mata bulat itulah yang menarik matanya supaya tidak memandang ke lain hati. Terus melekat ke hati Nadra yang selama ini hanya dianggap kawan baik semata-mata.

“Tapi kita tak saling cinta?”

“Berapa banyak orang yang kahwin tanpa cinta tu boleh bahagia?” tanya Raqib kembali. Enggan meluahkan rasa. Biarlah sehingga tiba masanya kelak.

“Yalah... dalam novel pun banyak kisah yang kahwin tanpa cinta tapi akhirnya gembira juga.”

Raqib geleng. Nadra dan novel memang tak dapat dipisahkan. Tapi dia akan menerima Nadra dalam hidupnya, seadanya. Buruk dan baik, supaya mereka saling lengkap-melengkapi antara satu sama lain. Selebihnya, dia pasrah!

- CINTAKU TAK MAHAL [PROLOG I] -

RAQIB pandang Nadra yang masih mempamerkan air muka selamba. Tidak berkelip-kelip matanya. Tidak percaya pun ada juga. Mana boleh Nadra meminta begitu. Nadra tahu dan dia pun tahu, yang ada di antara mereka selama ini hanya sahabat dan persahabatan. Lebih daripada itu, tidak mungkin.

Tapi... yang mendengar telinganya! Nadra pun masih ada di hadapannya ketika ini.

“Tolong kahwin dengan saya, Raqib. Biar awak jadi suami saya dan saya jadi isteri awak. Saya tak nak jadi isteri Ghazlan...”

Masuk kali ini sudah tiga kali dia menyebut ayat yang sama, tapi Raqib tetap juga bungkam. Hanya menatapnya semata-mata. Ikutkan memanglah dia tidak patut meminta pengorbanan begitu besar daripada Raqib. Tapi kalau bukan Raqib, siapa lagi?

Semalam Fawwaz bising lagi. Kata alongnya, Ghazlan sudah beria-ia hendakkan dirinya. Sanggup menghantar rombongan meminang bila-bila masa saja. Padahal, semalam juga dia melihat Ghazlan berjalan sambil memeluk pinggang seorang perempuan cantik.

Kalau dikhabarkan pada Fawwaz, tentu Fawwaz akan mengatakan dia sengaja mengada-adakan cerita yang tak ada.

“Orang kata, diam tanda setuju Raqib!”

“Gila! Awak ni betul ke tidak?” tanya Raqib selepas pulih daripada rasa terkejut.

Lelaki dilamar perempuan, tidakkan itu hal yang jarang berlaku?

Dan lelaki itu, dia! Lagilah tidak dapat diterima akal.

Mujur juga Nadra tidak sampai memasukkan cincin di jari manisnya. Jika tidak, lagilah haru hidupnya. Kalau orang lain tahu, mana dia hendak letak muka? Silap-silap dia lari ke ladang kelapa sawit milik arwah ayahnya yang kini diusahakan Tuan Haji Yunus. Biarkan dia menua di ladang itu bersama-sama datuknya itu.

“Saya betul-betul ni. Kita kahwin ya, Raqib?”

“Tidak!” balas Raqib pantas. Kepalanya menggeleng tak berhenti.

“Raqib...” Nadra sudah mempamerkan air muka sedih. Bukan sekadar meminta simpati, tapi dia benar-benar berharap pada Raqib. Mungkin mereka hanya kenal beberapa tahun kebelakangan ini, sejak dia berpindah ke Taman Saujana. Tapi dia tahu Raqib baik dibandingkan Ghazlan kerana lelaki yang baik tak akan menyentuh perempuan yang bukan muhrim sesuka hati.

Tapi Ghazlan? Tak dapat memegang tangannya, laju pula memeluk pinggang perempuan lain.

“Jawapan saya tetap tidak!”

“Habis awak nak tengok saya kahwin dengan Ghazlan tu? Bukan awak sendiri yang kata Ghazlan tu tak baik ke? Bukan awak ke yang kata cara Ghazlan pandang saya macam saya tak pakai baju?” tanya Nadra bertalu-talu dengan rasa geram.

“Tapi tak bermakna sebab Ghazlan gatal, saya kena kahwin dengan awak kan?”

“Apa salahnya kahwin dengan saya? Saya bukannya isteri orang pun!”

“Awak cari orang lainlah, Nadra. Saya tak naklah kahwin dengan awak. Saya tak cintakan awak!”

Ikutkan hati, Nadra mahu meraung kuat ketika ini. Sudahlah mukanya tebal berinci-inci kerana terpaksa melamar Raqib. Kini, terang-terang pula ditolak lelaki itu. Tidak cukup dengan itu, bersungguh-sungguh benar Raqib berkata tidak cinta padanya.

Kalau bukan sebab Fawwaz, dia pun tidak rela memalukan diri sendiri.

“Saya pun tak cintakan awak!” Tegas Nadra, walaupun jauh di sudut hatinya, memang ada rasa berputik buat Raqib.

“Dah sama-sama tak cinta, kenapa nak kena kahwin pula?”

“Sebab saya tak nak kahwin dengan Ghazlan.”

“Awak terus terang ajelah dengan along. Saya yakin along tentu faham.” Raqib memberi cadangan. Dia tidak mahu Nadra memilih Ghazlan sebagai teman sehidup semati. Tapi dia juga tidak mahu menjadi kambing hitam. Kalau pun hendak menamatkan zaman bujang, dia mahu berkahwin dengan gadis yang berjaya mencuri hatinya.

Bukan juga bermakna Nadra tidak baik. Tapi hatinya pada Nadra, kosong.

“Kalau along boleh dibawa berbincang, saya tak malukan diri sendiri depan awaklah!” Keras suara Nadra.

“Awak cuba lagilah...”

“Along tu abang saya ke abang awak?”

“Awak!”

“Kalau dah tahu dia tu abang saya, maknanya saya lebih kenal dia. Jadi tak payah suruh saya buat kerja sia-sia sebab sebelum awak suruh, saya dah buat pun,” bantah Nadra dengan suara sedikit meninggi. Kepalanya dipegang dengan kedua-dua belah tangan. Rambutnya yang berjurai ditiup angin petang di padang bola sepak itu, langsung tidak diendahkan. Pada saat hatinya walang, dia tidak ada hati hendak menjaga penampilan diri.

Dia hanya ada satu pilihan. Raqib. Tapi bila Raqib tidak mahu, apa lagi pilihan yang dia ada? Ghazlan! Hidup bersama lelaki itu?

Mata dipejamkan rapat-rapat dengan rasa kecewa yang bukan sedikit. Belum pun hidup di sisi Ghazlan, dia sudah nampak segala-galanya hitam. Warna apa lagi yang bakal dilihat kelak untuk menggambarkan betapa sedih hidupnya?

Lalu, setitis air matanya gugur juga dalam keadaan mata yang terpejam.

Raqib yang melihat, telan liur. Dia kenal Nadra. Gadis itu tidak cengeng. Kali pertama dia melihat Nadra menangis ketika ibu dan ayah Nadra meninggal dalam kemalangan jalan raya. Itulah pertama kali dan terakhir. Hari ini, bila sekali lagi Nadra mengalirkan air mata, bermakna saat ini Nadra benar-benar tidak tahu harus berbuat apa.

“Nadra...” Raqib sentuh bahu Nadra. Ingin memujuk gadis itu.

Pantas Nadra tepis. Dia menyembamkan mukanya ke lutut. Selepas ini dia tidak mahu lagi bertemu muka dengan Raqib. Air mukanya sudah tidak ada kerana mengajak Raqib kahwin dengannya, kemudian Raqib menolak tanpa berfikir panjang.

“Nadra janganlah nangis. Saya tak sukalah tengok awak nangis.”

Nadra terus diam. Air matanya makin murah membasahi pipi. Dia hanya berharap apa yang dilalui ketika ini hanya mimpi. Bila sedar, Raqib tidak ada di sisinya.

“Nadra... awak tak cantiklah bila nangis macam ni. Jadi, baik awak berhenti nangis sekarang juga.” Raqib hilang diksi memujuk Nadra. Bila dia membuat lawak begitu walaupun dia sendiri rasa tidak kelakar, dia berharap Nadra akan mengangkat muka. Mahu menyentuh bahu gadis itu sekali lagi, dia tidak berani. Hilang sabar mungkin pipinya ditampar Nadra.

“Nadra, janganlah nangis lagi,” pujuk Raqib makin panik.

Bahu Nadra dilihat bergegar-gegar menahan tangis. Entah kenapa, terasa ada jarum menusuk hatinya melihat Nadra sedih begitu. Ditakdirkan Nadra berkahwin dengan Ghazlan dan gadis itu bakal nangis setiap hari, bagaimana? Berapa banyak jarum yang akan menembusi hatinya kelak?

“Habis awak nak suruh saya ketawa bila awak tolak saya?”

“Bukanlah macam tu.”

“Biarkan saya nangis sekejap. Lepas air mata saya kering nanti, saya tak akan nangis lagi,” balas Nadra sayu.

Sedikit lega hati Raqib mendengar kata-kata Nadra. Tidak ada lagi kemarahan dalam nada itu. Lantas, dia pun diam. Hanya membiarkan Nadra kerana memang tidak ada guna memujuk Nadra pada saat ini. Gadis itu memang tidak suka dipujuk bila sedih dan marah.

Tapi soalnya, dia harus menunggu berapa lama lagi kerana air mata Nadra tidak mungkin kering, biar berbaldi-baldi tangisan Nadra.

“Saya nak tanya sekali lagi,” kata Nadra selepas kepala dipanggung.

“Apa dia?” Akhirnya, berhenti juga Nadra menangis.

“Kahwin pura-pura pun awak tak nak? Untuk sementara aje dan lepas tu kita cerai. Ghazlan tentu tak nak saya bila saya dah jadi janda. Masa tu along tentu tak akan paksa saya lagi.”

Kahwin pura-pura? Biar betul Nadra ni! Detik hati kecil Raqib. Tidak percaya Nadra sanggup memperjudikan kehidupan sendiri demi Fawwaz.

“Mana ada istilah kahwin pura-pura, Nadra. Kalau kahwin tu, kahwinlah maknanya. Awak jadi isteri saya dan saya jadi suami awak. Itulah perkahwinan!”

“Tapi hakikatnya awak tak nak kahwin dengan saya. Kan?”

Raqib diam. Dia menggigit bibir. Hati menjawab ‘ya, tak nak’, tapi bibirnya terasa berat pula. Yang ada di mindanya, Ghazlan, tangisan Nadra dan berbilah-bilah jarum yang menusuk ke hatinya.

“Tak apa, awak tak payah jawab pun saya dah tahu.”