- CINTAKU TAK MAHAL [BAB 6] -

By | 8:52 AM 8 comments
SELEPAS mencapai beg bimbit, pantas pintu kereta ditutup. Kuat bunyinya, namun Raqib tidak peduli. Menjeling kereta Nadra yang sudah tersadai di tempat biasa, dia tersengih sendiri. Lega kerana isterinya itu sudah sampai. Kemudian kalut-kalut dia berjalan. Tidak sabar mahu melihat Nadra.

Namun sampai di muka pintu, langkahnya terhenti. Bila melihat mata uminya melotot sambil menggigit bibir, dia ketawa perlahan.

“Yang Raqib jadi tak sabar-sabar sangat ni kenapa? Macam kena kejar dengan hantu aje umi tengok. Dah lapar sangat ke perut tu?” sindir Kalsum sambil menggeleng kepala. Mujur juga Raqib sempat menghentikan langkah, kalau tidak memang dia dan anaknya itu bertembung sesama sendiri.

“Maaf umi, Raqib nak cepat tadi.”

“Cepat-cepat nak ke mana?” tanya Kalsum ingin tahu.

“Nak jumpa Nadra,” balas Raqib selamba. Dia menjengukkan kepalanya, mencari-cari Nadra. Manalah tahu isterinya ada di situ. Tapi tidak ada. Yang ada hanya Idlan yang leka menonton TV. Spontan kata-kata Afnan singgah di benaknya. Baru dia perasan, selama ini kalau Nadra ada di ruang tamu, Idlan tidak pernah ada. Pernah juga dia mengajak Idlan sama-sama menonton bola sepak, tapi adiknya akan mencari seribu satu alasan asalkan tidak perlu duduk di ruang yang sama dengan Nadra. Anehnya, kalau Idlan ada, Nadra tidak pula terasa hendak melarikan diri. Tetap setia menemaninya kalau dia tidak mahu menonton TV di dalam bilik. Malah, Nadra hanya menurut bila uminya mengajak duduk di situ.

Benarkah seperti kata Afnan, Idlan cemburu pada Nadra? Terasa Nadra rampas aku daripada dia?

Bolak-balik fikiran Raqib. Terasa mahu menolak pendapat Afnan, tapi di satu sudut dia tahu hatinya sudah menerima. Bila dikaitkan semua yang berlaku semenjak Nadra datang ke rumahnya dengan penerimaan Idlan yang tidak mesra, dia semakin yakin. Memang itulah punca pada apa yang berlaku.

Tapi soalnya, dia tidak akan puas hati selagi tidak ada pengakuan daripada Idlan. Siapa pula yang hendak buat Idlan mengaku? Dia? Aduh... cara apa yang perlu digunakan?

“Eh... sempat berangan pula dia!” Bahu Raqib, Kalsum tepuk perlahan. Pelik kerana Raqib hanya kaku di hadapannya.

Raqib senyum nipis. Malu kerana mengelamun dan lamunannya ditangkap uminya.

“Fikirkan apa ni?” tanya Kalsum dengan rasa ingin tahu. Di bibirnya ada senyuman lembut.

“Nadra!” jawab Raqib spontan. Bila sekali lagi bahunya ditampar uminya, dia ketawa. Daripada dia harus menceritakan pertengkaran yang berlaku antara Idlan dan Nadra, biarlah bahunya ditampar. Sebagai ketua keluarga sejak ayahnya kembali kepada Pencipta, biarlah dia yang menyelesaikan masalah yang ada selayaknya ketua keluarga. Dia akan memastikan keadaan yang keruh kembali jernih walaupun mungkin selama ini memang tak pernah jernih. Uminya tidak perlu tahu apa-apa. Bimbang hati tua itu bimbang. Uminya sudah begitu tua untuk dibebani dengan masalah anak dan menantu yang kalau diikutkan hanya hal yang remeh.

“Nadra? Hari-hari dah tengok kan, apa lagi yang nak difikirkan?” sakat Kalsum pada Raqib.

“Kalau fasal Nadra, ada banyak yang boleh difikirkan. Silap-silap sampai bila-bila pun tak akan selesai.”

“Wah... tipikal lelaki ni. Suka cakap manis masa baru-baru kahwin. Bila dah lama nanti, sayang pun melayang. Yang manis jadi masam. Tawar tak bergula. Lagi-lagi bila kedut dah penuh kat muka. Tapi tiga bulan tu masih boleh dipanggil pengantin baru lagi ke? Bukan pengantin yang dah basi?”

Usikan Kalsum kali ini berjaya membuahkan ketawa besar Raqib. Uminya dari dulu sampai sekarang, tetap juga suka membuat kelakar. Malah, setiap hari ada-ada saja kata-kata uminya yang mampu mencuit hatinya. Tidak cukup dengan itu, kadang-kadang dalam diam dia dikenakan Kalsum itu. Sejak bergelar suami Nadra, lagilah uminya tidak mahu membiarkan dia tenang. Ada masa-masanya Nadra dan uminya bergabung mengenakannya.

Macam manalah dia tak sayangkan Nadra dan umi kalau perangai mereka serupa. Tapi Idlan. Aduhai... adik!

“Baru tiga bulanlah ibu, bukannya tiga tahun atau 13 tahun. Mestilah masih pengantin baru.”

“Yalah tu, baru sangat...” Ketawa Kalsum sudah bergabung dengan Raqib.

“Apa yang kelakar sangat ni umi, abang? Ada cerita yang menarik ke? Kongsilah sikit dengan Idlan,” pinta Idlan. Dia menghampiri Raqib dan Kalsum yang masih berdiri di hadapan pintu. Keningnya berkerut bila ketawa mereka seakan-akan bersambung. Tapi dia suka melihat panorama seperti ini. Panorama sama yang sering dilihat sebelum Nadra dibawa masuk ke dalam keluarga mereka.

“Abang Idlan ni...”

“Raqib pula yang kena. Umi kan yang pandai buat kelakar.”

“Apanya yang umi buat kelakar tu?”

“Abang Idlan ni kata yang dia dan kakak Idlan masih pengantin baru walaupun dah tiga bulan jadi suami isteri. Ni kalau Nadra dengar, mahunya dia ketawa sampai pecah perut sebab geli hati. Tak pun, tak fasal-fasal lengan Raqib lebam sebab kena cubit. Menantu umi tu kadang-kadang boleh jadi macam ketam juga tu.”

Mendengar kata-kata uminya, wajah Idlan berubah. Hilang rasa hendak turut sama ketawa dengan mereka. Sangkanya apalah yang kelakar sangat sampai umi dan abangnya nampak macam gembira benar. Menyesal pula dia datang dan bertanya. Kalau dia tahu dia tentu akan buat-buat tidak dengar. Lebih baik menonton TV daripada mendengar nama Nadra disebut.

“Tiga bulan kahwin masih pengantin baru kan Idlan?” pancing Raqib. Sengaja ingin melihat jawapan Idlan walaupun dia nampak wajah adiknya ketara berubah saat nama Nadra disebut. Pendapat Afnan datang lagi ke kepalanya.

“Tak tahu!” balas Idlan pantas. Pada wajahnya langsung tidak ada senyuman.

“Tiga bulan tu tak sampai 100 harilah Idlan, dah tentulah baru,” pancing Raqib terus.

“Entah, tak pernah kira!”

“Eh... yang anak umi ni tiba-tiba macam emosi semacam aje ni kenapa ya?” tanya Kalsum sambil terus mempamerkan senyuman. Muka mencuka Idlan ditatap dalam-dalam. Tadi dilihat Idlan bertingkah seperti biasa, tapi tiba-tiba saja raut wajah anak bongsunya itu kelihatan tegang.

“Idlan nak sambung tengok TVlah,” kata Idlan. Kemudian dia terus mengatur langkah ke ruang tamu. Kembali memandang skrin TV yang masih terpasang.

Jawapan Idlan mengecewakan Raqib. Bukan itu yang diharapkan daripada satu-satunya adik yang dia ada itu. Dia semakin yakin kalau pendapat Afnan memang tidak ada salahnya. Nampaknya dia harus melakukan sesuatu. Idlan perlu diyakinkan yang kasih sayang dan perhatiannya untuk Idlan tidak pernah berubah dengan adanya Nadra di sisinya. Idlan harus yakin padanya.

“Kenapa dengan Idlan tu umi? Nampak macam lain macam aje.” Raqib buat-buat tanya. Tidak mahu uminya berasa curiga.

“Lapar agaknya tak?” Kalsum membuat telahan kerana dia sendiri tidak tahu punca perubahan sikap Idlan.

“Tak minum petang ke dia tu?”

“Masa umi tengah minum dengan Nadra kat dapur tadi, dia ada datang. Tapi lepas tu dia terus pergi tanpa cakap apa-apa. Yalah tu... confirm tengah laparlah tu,” akui Kalsum sambil menggeleng. Pun, masih ada senyuman meleret di bibirnya. Idlan memang kuat makan. Kalau tidak cukup makan, cepat saja keadaan anak itu berubah. Pantas juga angin marah Idlan datang melanda.

Sekali lagi Raqib rasa hatinya bagaikan dihunjam ke dinding. Mujurlah uminya tidak tahu apa-apa, kalau tidak tentu uminya kecewa. Bila uminya kecewa, Nadra pun tentu akan kecewa juga. Dan Idlan, dia tidak tahu apa yang adiknya itu akan rasa. Tapi kini dia benar-benar rasa tidak sedap hati. Risau kalau keadaan berterusan, lama-kelamaan uminya tentu akan dapat menghidu juga.

“Raqib naik bilik dululah umi. Nak tengok Nadra kejap. Entah apalah yang dibuatnya tu sampai suami sendiri balik pun tak sedar.”

“Pergilah...” suruh Kalsum. Bila Raqib mula memijak anak tangga, dia senyum sendiri. Dia gembira kerana akhirnya Raqib memilih Nadra sebagai isteri, bukannya perempuan lain. Nadra itu, kalau pun tidak semua dia tahu tentang menantunya itu, banyak juga yang maklum. Tidaklah perlu dia bersusah payah menyesuaikan diri kerana mereka berdua sudah sama-sama kenal.
--------------------------------------------------------------------------------
MELIHAT Nadra tidak ada di atas katil, pandangan Raqib buang ke sofa berangkai dua. Tidak ada. Yang ada hanya sunyi dan sepi yang menyambut kehadirannya. Melilau matanya ke sana sini, tetap juga bayang-bayang Nadra tidak ada. Mengheret langkah ke bilik air, dia buntu sendiri kerana Nadra tidak ada di situ.

Beg bimbit diletakkan di atas katil. Kemudian langkah diatur menuju ke bilik yang terletak di hujung sekali. Tersenyum lebar dia bila melihat sekujur tubuh Nadra yang nampak seperti tekun benar menyiapkan kerja di atas meja. Isterinya itu langsung tidak terusik dengan kehadirannya di muka pintu.

“Iha...” sapanya perlahan. Bahu Nadra disentuh dengan kedua-dua tangannya. Lantas bahu itu dipicit lembut.

Kalau betullah Idlan cemburukan Iha, kesiannya isteri abang ni, detik hati kecil Raqib. Tidak mahu sampai ke telinga Nadra. Selagi dia belum pasti yang Idlan memang cemburukan isterinya itu, selagi itulah dia tidak akan mengatakan apa-apa. Mana tahu pendapat Afnan tidak benar sama sekali.

Tapi tingkah yang Idlan tunjukkan? Masih belum begitu jelaskah lagi?

Raqib gagal mencari jawapan pada soalan yang diajukan hatinya sendiri.

“Abang? Bila abang sampai? Iha tak sedar pun.”

“Macam mana nak sedar kalau Iha hanyut dengan kerja? Abang tunggu lama kat bawah pun Iha tak muncul-muncul juga. Cari dalam bilik pun tak ada. Itu yang abang sampai datang ke sini,” kata Raqib bagaikan merajuk. Bukanlah dia benar-benar merajuk, hanya terasa mahu dimanjakan Nadra. Kalau ditanya pada hati, dia lebih sukakan Nadra yang menjadi isterinya daripada Nadra yang menjadi kawannya. Nadra yang menjadi kawannya nampak selamba dan ada masa-masanya seperti tidak peduli. Tapi Nadra yang menjadi isterinya lebih lembut dan ada masa-masanya sangat manja. Pendek kata, menjadi suami Nadra buat dia kenal lebih jauh siapa sebenarnya Nadra.

“Habis, abang merajuk?” Nadra sudah memusingkan badannya menghadap Raqib.

“Kalau abang merajuk, Iha nak pujuk ke?”

“Nak, tapi... bukan sekarang nilah. Iha pujuk abang lepas kerja Iha okey?”

“Tak okey!”

Kening Nadra ternaik. Dia ketawa perlahan. Tangan Raqib dicapai, kemudian dikucup lama. Biasanya memang dia menunggu Raqib balik kerja kerana dia sampai lebih awal. Tapi hari ini dia terpaksa membawa pulang kerja. Sejak selepas minum tadi, dia hanyut dengan dunia sendiri.

“Ni... kira tengah pujuk abanglah ya ni?” usik Raqib dengan mata bersinar.

“Abang rasa terpujuk tak?”

“Separuh-separuh aje rasanya,” kata Raqib selamba. Anak rambut Nadra ditolak sedikit ke belakang. Dilamar Nadra memang terasa sangat aneh kerana tugas itu sepatutnya digalas lelaki. Jarang benar perempuan melamar lelaki untuk dijadikan suami. Dilamar Nadra hanya gara-gara Fawwaz, lebih membuatkan dia tidak dapat menerima. Nadra tidak patut menjadi isteri pada saat Nadra masih belum bersedia. Tapi selepas benar-benar menjadi suami Nadra, dia rasa bersyukur dengan lamaran isterinya itu.

“Ada ke macam tu pula? Tak pernah pula Iha dengar orang merajuk separuh-separuh. Abang ni suka sangat jadikan Iha isteri kepada suami yang pelik. Bawa-bawalah insaf sikit, abang...”

Berderai ketawa Raqib dengan nada suara Nadra yang selamba. Dia tahu Nadra sengaja menyakatnya. Malah Nadra juga tahu dia sekadar bergurau. Selama menjadi suami isteri, gurau-gurauan itulah yang menjadikan hubungan mereka semakin erat. Lebih erat daripada hubungan persahabatan mereka dulu.

“Iha bawa balik kerja ke? Kan dah janji tak nak bawa?”

“Kerja urgent, tak boleh nak elak. Kan dah janji juga kalau keadaan memaksa kita dibolehkan bawa kerja balik. Kan?” Terkelip-kelip mata Nadra. Sengaja memancing simpati suaminya.

“Pandainya dia...” Raqib menarik Nadra semakin rapat ke sisinya. Dicubit perlahan pipi isterinya itu. Bila Nadra menjerit sambil menampar lengannya, dia ketawa besar.

Newer Post Older Post Home

8 comments:

  1. Erm, minta tukar panggilan 'Iha' kepada 'Nadra' ...suka nama Nadra tu

    ReplyDelete
  2. minta tukar panggilan 'iha' kepada 'nadra'...suka nama nadra tu.

    ReplyDelete
  3. : nursyafika - terima kasih sebab baca. nanti-nanti saya akan masukkan lagi...

    ReplyDelete
  4. : ryana - terima kasih atas komennya yang diberi. maaf ya tak dapat tukar nama tu... ;-)

    ReplyDelete
  5. nk bca bab sblm ni mcmne.sya suka.bez

    ReplyDelete
  6. Kat kanan ada link. Gambar yg sama. Boleh baca kt situ....

    ReplyDelete
  7. bagusnya raqib..suami mithali gitu..

    ReplyDelete