- CINTAKU TAK MAHAL [PROLOG I] -

January 2, 2013

RAQIB pandang Nadra yang masih mempamerkan air muka selamba. Tidak berkelip-kelip matanya. Tidak percaya pun ada juga. Mana boleh Nadra meminta begitu. Nadra tahu dan dia pun tahu, yang ada di antara mereka selama ini hanya sahabat dan persahabatan. Lebih daripada itu, tidak mungkin.

Tapi... yang mendengar telinganya! Nadra pun masih ada di hadapannya ketika ini.

“Tolong kahwin dengan saya, Raqib. Biar awak jadi suami saya dan saya jadi isteri awak. Saya tak nak jadi isteri Ghazlan...”

Masuk kali ini sudah tiga kali dia menyebut ayat yang sama, tapi Raqib tetap juga bungkam. Hanya menatapnya semata-mata. Ikutkan memanglah dia tidak patut meminta pengorbanan begitu besar daripada Raqib. Tapi kalau bukan Raqib, siapa lagi?

Semalam Fawwaz bising lagi. Kata alongnya, Ghazlan sudah beria-ia hendakkan dirinya. Sanggup menghantar rombongan meminang bila-bila masa saja. Padahal, semalam juga dia melihat Ghazlan berjalan sambil memeluk pinggang seorang perempuan cantik.

Kalau dikhabarkan pada Fawwaz, tentu Fawwaz akan mengatakan dia sengaja mengada-adakan cerita yang tak ada.

“Orang kata, diam tanda setuju Raqib!”

“Gila! Awak ni betul ke tidak?” tanya Raqib selepas pulih daripada rasa terkejut.

Lelaki dilamar perempuan, tidakkan itu hal yang jarang berlaku?

Dan lelaki itu, dia! Lagilah tidak dapat diterima akal.

Mujur juga Nadra tidak sampai memasukkan cincin di jari manisnya. Jika tidak, lagilah haru hidupnya. Kalau orang lain tahu, mana dia hendak letak muka? Silap-silap dia lari ke ladang kelapa sawit milik arwah ayahnya yang kini diusahakan Tuan Haji Yunus. Biarkan dia menua di ladang itu bersama-sama datuknya itu.

“Saya betul-betul ni. Kita kahwin ya, Raqib?”

“Tidak!” balas Raqib pantas. Kepalanya menggeleng tak berhenti.

“Raqib...” Nadra sudah mempamerkan air muka sedih. Bukan sekadar meminta simpati, tapi dia benar-benar berharap pada Raqib. Mungkin mereka hanya kenal beberapa tahun kebelakangan ini, sejak dia berpindah ke Taman Saujana. Tapi dia tahu Raqib baik dibandingkan Ghazlan kerana lelaki yang baik tak akan menyentuh perempuan yang bukan muhrim sesuka hati.

Tapi Ghazlan? Tak dapat memegang tangannya, laju pula memeluk pinggang perempuan lain.

“Jawapan saya tetap tidak!”

“Habis awak nak tengok saya kahwin dengan Ghazlan tu? Bukan awak sendiri yang kata Ghazlan tu tak baik ke? Bukan awak ke yang kata cara Ghazlan pandang saya macam saya tak pakai baju?” tanya Nadra bertalu-talu dengan rasa geram.

“Tapi tak bermakna sebab Ghazlan gatal, saya kena kahwin dengan awak kan?”

“Apa salahnya kahwin dengan saya? Saya bukannya isteri orang pun!”

“Awak cari orang lainlah, Nadra. Saya tak naklah kahwin dengan awak. Saya tak cintakan awak!”

Ikutkan hati, Nadra mahu meraung kuat ketika ini. Sudahlah mukanya tebal berinci-inci kerana terpaksa melamar Raqib. Kini, terang-terang pula ditolak lelaki itu. Tidak cukup dengan itu, bersungguh-sungguh benar Raqib berkata tidak cinta padanya.

Kalau bukan sebab Fawwaz, dia pun tidak rela memalukan diri sendiri.

“Saya pun tak cintakan awak!” Tegas Nadra, walaupun jauh di sudut hatinya, memang ada rasa berputik buat Raqib.

“Dah sama-sama tak cinta, kenapa nak kena kahwin pula?”

“Sebab saya tak nak kahwin dengan Ghazlan.”

“Awak terus terang ajelah dengan along. Saya yakin along tentu faham.” Raqib memberi cadangan. Dia tidak mahu Nadra memilih Ghazlan sebagai teman sehidup semati. Tapi dia juga tidak mahu menjadi kambing hitam. Kalau pun hendak menamatkan zaman bujang, dia mahu berkahwin dengan gadis yang berjaya mencuri hatinya.

Bukan juga bermakna Nadra tidak baik. Tapi hatinya pada Nadra, kosong.

“Kalau along boleh dibawa berbincang, saya tak malukan diri sendiri depan awaklah!” Keras suara Nadra.

“Awak cuba lagilah...”

“Along tu abang saya ke abang awak?”

“Awak!”

“Kalau dah tahu dia tu abang saya, maknanya saya lebih kenal dia. Jadi tak payah suruh saya buat kerja sia-sia sebab sebelum awak suruh, saya dah buat pun,” bantah Nadra dengan suara sedikit meninggi. Kepalanya dipegang dengan kedua-dua belah tangan. Rambutnya yang berjurai ditiup angin petang di padang bola sepak itu, langsung tidak diendahkan. Pada saat hatinya walang, dia tidak ada hati hendak menjaga penampilan diri.

Dia hanya ada satu pilihan. Raqib. Tapi bila Raqib tidak mahu, apa lagi pilihan yang dia ada? Ghazlan! Hidup bersama lelaki itu?

Mata dipejamkan rapat-rapat dengan rasa kecewa yang bukan sedikit. Belum pun hidup di sisi Ghazlan, dia sudah nampak segala-galanya hitam. Warna apa lagi yang bakal dilihat kelak untuk menggambarkan betapa sedih hidupnya?

Lalu, setitis air matanya gugur juga dalam keadaan mata yang terpejam.

Raqib yang melihat, telan liur. Dia kenal Nadra. Gadis itu tidak cengeng. Kali pertama dia melihat Nadra menangis ketika ibu dan ayah Nadra meninggal dalam kemalangan jalan raya. Itulah pertama kali dan terakhir. Hari ini, bila sekali lagi Nadra mengalirkan air mata, bermakna saat ini Nadra benar-benar tidak tahu harus berbuat apa.

“Nadra...” Raqib sentuh bahu Nadra. Ingin memujuk gadis itu.

Pantas Nadra tepis. Dia menyembamkan mukanya ke lutut. Selepas ini dia tidak mahu lagi bertemu muka dengan Raqib. Air mukanya sudah tidak ada kerana mengajak Raqib kahwin dengannya, kemudian Raqib menolak tanpa berfikir panjang.

“Nadra janganlah nangis. Saya tak sukalah tengok awak nangis.”

Nadra terus diam. Air matanya makin murah membasahi pipi. Dia hanya berharap apa yang dilalui ketika ini hanya mimpi. Bila sedar, Raqib tidak ada di sisinya.

“Nadra... awak tak cantiklah bila nangis macam ni. Jadi, baik awak berhenti nangis sekarang juga.” Raqib hilang diksi memujuk Nadra. Bila dia membuat lawak begitu walaupun dia sendiri rasa tidak kelakar, dia berharap Nadra akan mengangkat muka. Mahu menyentuh bahu gadis itu sekali lagi, dia tidak berani. Hilang sabar mungkin pipinya ditampar Nadra.

“Nadra, janganlah nangis lagi,” pujuk Raqib makin panik.

Bahu Nadra dilihat bergegar-gegar menahan tangis. Entah kenapa, terasa ada jarum menusuk hatinya melihat Nadra sedih begitu. Ditakdirkan Nadra berkahwin dengan Ghazlan dan gadis itu bakal nangis setiap hari, bagaimana? Berapa banyak jarum yang akan menembusi hatinya kelak?

“Habis awak nak suruh saya ketawa bila awak tolak saya?”

“Bukanlah macam tu.”

“Biarkan saya nangis sekejap. Lepas air mata saya kering nanti, saya tak akan nangis lagi,” balas Nadra sayu.

Sedikit lega hati Raqib mendengar kata-kata Nadra. Tidak ada lagi kemarahan dalam nada itu. Lantas, dia pun diam. Hanya membiarkan Nadra kerana memang tidak ada guna memujuk Nadra pada saat ini. Gadis itu memang tidak suka dipujuk bila sedih dan marah.

Tapi soalnya, dia harus menunggu berapa lama lagi kerana air mata Nadra tidak mungkin kering, biar berbaldi-baldi tangisan Nadra.

“Saya nak tanya sekali lagi,” kata Nadra selepas kepala dipanggung.

“Apa dia?” Akhirnya, berhenti juga Nadra menangis.

“Kahwin pura-pura pun awak tak nak? Untuk sementara aje dan lepas tu kita cerai. Ghazlan tentu tak nak saya bila saya dah jadi janda. Masa tu along tentu tak akan paksa saya lagi.”

Kahwin pura-pura? Biar betul Nadra ni! Detik hati kecil Raqib. Tidak percaya Nadra sanggup memperjudikan kehidupan sendiri demi Fawwaz.

“Mana ada istilah kahwin pura-pura, Nadra. Kalau kahwin tu, kahwinlah maknanya. Awak jadi isteri saya dan saya jadi suami awak. Itulah perkahwinan!”

“Tapi hakikatnya awak tak nak kahwin dengan saya. Kan?”

Raqib diam. Dia menggigit bibir. Hati menjawab ‘ya, tak nak’, tapi bibirnya terasa berat pula. Yang ada di mindanya, Ghazlan, tangisan Nadra dan berbilah-bilah jarum yang menusuk ke hatinya.

“Tak apa, awak tak payah jawab pun saya dah tahu.”

No comments:

Post a Comment