- 2010 SeMaKiN kE hUjUnG -

December 30, 2010

Mereka tak saling kenal tapi disuruh berkenal-kenalan. Namun, tak juga dipaksa kerana istilah ‘tak paksa’ sudah diulang-ulang. Hanya berkenalan, jika sesuai boleh melangkah ke depan, jika tidak, tarik saja diri. Lalu, masing-masing mencuba dengan alasan, ‘Dia kosong, aku pun kosong’ yang ditambah dengan alasan klise, ‘Tak mahu orang tua kecewa’.

Pertama kali bersua muka, si dara terasa jengkel, sedangkan si bujang hanya bersikap ala-ala lelaki tak berperasaan. Sudahnya seorang ke utara, seorang ke selatan. Hati mereka tak bertemu di titik yang sama. Hanya antara mereka berdua, masing-masing tak pernah mengatakan ‘tidak’ hingga banyak pihak menyangka kalau diam itu tanda setuju.

Sampai masa, mereka benar-benar tak mampu berkata ‘tidak’ bila melihat wajah-wajah penuh harap. Saat sedar mereka tak mungkin berpaling lagi, cubaan demi cubaan dilakukan untuk menembusi hati masing-masing. Paling penting, mereka tak dilabel sebagai pasangan kahwin paksa, tapi kahwin atas tiket suka sama suka. Orang tua hanya talian hayat semata-mata. Ketika sedar ada sesuatu berdetak tiap kali mata bertentang mata, muncul Syirin menagih janji lama. Sudahnya, janji baru yang Dinzley mungkir walaupun Annura sudah melihat bayang-bayang Razlan dengan mulut terkunci melihat dia menjadi raja sehari.

p/s - Tajuk dan n3 kelihatannya langsung tak ada kaitan sama sekali kan? ;-)

p/s lagi - Kalau esok tak ada n3 baru di sini, anggap ajelah ini n3 terakhir saya untuk tahun 2010 sebab lusanya, kita sudah bertemu tahun baru yang pastinya akan membuka lembaran baru untuk kita semua. Makanya, ucapkan selamat tinggal pada tahun 2010 dengan senyuman. Walaupun banyak impian saya tak jadi kenyataan tahun ni, saya tetap bersyukur sebab banyak juga impian yang dah jadi kenyataan. Dan yang pasti, jatuh dan bangun saya pada tahun ni hanyalah rutin biasa yang tentu sekali akan menjadikan saya lebih tabah untuk melangkah ke depan, depan dan ke depan. Pendek kata, selagi belum tutup mata saya mahu berbahagia dengan cara saya sendiri. Saya percaya, apa yang kita alami kini secara tidak sedar, kitalah penyumbangnya. Saya juga percaya, ALLAH tidak pernah kejam pada setiap hamba-NYA, kenapa diberi, belum diberi dan tidak diberi, tentu ada sebabnya. Jangan sesekali ditanya pada saya kerana yang jelas saya juga tidak punya jawapan bagi sesuatu yang di luar kemampuan saya. Apa pun, semoga tahun 2011 lebih membawa sinar untuk saya dan kalian. SELAMAT TAHUN BARU kawan-kawan!

- InI bUkAn CuCu HaNtU kAk LiMaH yA! -

December 27, 2010

Idea nak tengok Hantu KaK Limah Balik Rumah, tentu saja datang daripada saya sebab ada masa-masanya saya memang agak mengarut sikit dan suka buat sesuka hati. Tengok wayang dengan ditemani askar-askar kecil comel yang tentu aje boleh nangis bila-bila masa, saya rasa sangatlah tak praktikal sebenarnya. Walaupun mak saya kata, dulu masa saya dan adik-beradik saya kecil-kecil, dia orang bawa aje kami tengok wayang. Tapi kalau tinggalkan si kecil, bermakna harus juga tinggalkan ibu dan ayah si kecil sekali. Mestilah tak seronok kalau ada yang tertinggal sebab sejak duduk KL, saya memang tak suka ke mana-mana yang bermaksud di Johor Bahru, tanpa ada salah seorang daripada keluarga saya. Terukkan? Suka sangat buat rombongan, tapi memang betul, saya memang suka ke mana-mana dengan kaum keluarga saya yang sudah semakin mengembang itu.

Jadi, Jumaat malam Sabtu, maka rombongan Cik Mar @ Aleya pun bergeraklah ke Jusco Tebrau lepas makan kat Larkin. Kami main terjah aje lepas abang saya pergi ke U Mall Taman Pulai Utama dan Skudai Parade siangnya semata-mata nak dapatkan tiket HKLBR tu, tapi dua tempat tu tak tayangkan filem tu. Malang sekali, di JT pula tiket dah habis. Muka saya dah tentulah masam mengalahkan tertelan asam jawa. Rasa hampa sangat, nak mengamuk pun ada juga. Sudahlah sebelum pergi sampailah masa makan, macam-macam hal jadi. Rasa macam nak nangis pun ada juga. Tapi kalau dah tak ada rezeki malam tu, usaha macam mana pun tetap juga bukan rezeki. Adalah cerita lain, tapi setelah mendengar pendapat semua, yang bermaksud anak menantu dan cucu Pak Wahab, dari yang sulung sampai cucu yang paling kecil, kami sepakat balik. Sudahnya sampai rumah, layan aje shaiba. Macam nak terburai isi perut bila masing-masing mula memadankan huruf. Sampai pukul 2 pagi, saya, Ika, Kak Long dan Abang Nasir layan benda alah tu. Ada aje yang buat lawak tak berapa nak cerdik.

Esok pagi-pagi, Kak Long ajak lagi pergi tengok HKLBR tu dekat Leisure Mall. Kali ni tak nak jadi macam sebelum ni, maka tiket pun dibooking dari rumah. Huh... selamat masih ada kosong! Petang tu kami bergerak berama-ramai. Agak tergocoh-gocoh sebab bila dah ramai tu faham-faham ajelah, bersiap pula lewat. Angah dan bengang sebab nak ada kat sana sekurang-kurangnya 45 minit sebelum filem ditayangkan. Kalau tak, tiket tu akan dikira hangus, jual kat orang lain. Dan kami sampai tepat pada masanya. Lepas tu... panggung pun gamat dengan ketawa kami bercampur ketawa orang lain. Tolak unsur-unsur tak logik, saya sukakan cerita HKLBR ni. Nampak santai, tapi saya tahu dan sedar ada banyak yang diselitkan oleh Mamat Khalid dalam cerita ni. Apa pun, saya bukan pengulas filem jadi saya tak akan mengulas apa-apa. Cuma saya suka dengan watak-watak dalam HKLBR dan entah kenapa saya lebih sukakan Awie yang lawak daripada Awie yang serius macam dalam filem Sembilu dan seangkatan dengannya. Tapi yang lebih penting daripada itu, Aqqif, Naqib, Arissa & Awish langsung tak nangis dalam panggung. Dan lepas ni, rombongan Cik Mar @ Aleya dah tahu nak tengok cerita apa... ;-)




Oh ya... empat budak yang kecil-kecil di atas ni bukannya cucu kepada Kak Limah di bawah ni ya, tapi mereka cucu Pak Wahab yang sangat baik dan mendengar kata. Sebabnya, tak ada seorang pun yang membuat perangai sepanjang kami menjadi penonton HKLBR. Teruslah jadi anak-anak yang baik ya sayang, tak kira kat mana dan dalam apa situasi sekalipun.


- PeStA bUkU kAnAk-KaNaK -

December 22, 2010

Wah... tak tahu apa kalian rasa kalau bercakap tentang Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur ni, tapi saya... saya rasa sangat teruja. Gembira tak terkata sebab inilah pertama kali diadakan dan saya kira memang satu usaha yang patut dipuji. Sebabnya, tentu sekali kerana dalam Malaysia ni jumlah kanak-kanak memang tak boleh dibilang dengan jari kaki dan tangan yang saya ada. Kalau masuk jari kaki tangan jiran-jiran rumah saya pun tentu tak cukup, tambah jari kaki tangan orang kampung saya pun, tetap juga tak tertampung. Itu maknanya, memang bukan sedikit kanak-kanak yang ada di dalam negara kita ni. Makanya, usaha-usaha seperti ini memang sangat-sangat digalakkan dan perlu selalu diadakan. Dengan cara ini, secara tak langsung mampu memupuk budaya membaca dan cintakan buku pada mereka.

Teringat pada diri sendiri, saya mula suka membaca yang tentu sekali merujuk kepada membaca buku cerita dan bukan buku-buku pelajaran pada usia 9 tahun. Lewat kan? Ya, memang agak lewat sebenarnya. Tapi bukan salah saya dan saya pun tak nak menyalahkan diri sendiri. Tahu kenapa? Saya tak pernah pergi tadika, bukannya tak mahu pergi ya, tapi sebab di kampung saya memang tak ada tadika pada masa itu. Tadika cuma diwujudkan selepas saya bersekolah. Itu bermakna saya hanya mula belajar ABC ketika saya masuk darjah satu. Sebelum tu, dengan malunya saya terpaksa mengaku, saya memang tak tahu membaca langsung, ABC pun mungkin saya tak kenal. Dunia saya hanya bermain, bermain dan bermain sampai mak saya jerit suruh balik. Lepas tu saya akan dimandikan dan malamnya santai lepak depan TV sambil berkata, “Mak... nak makan”. Sebaik saja mak saya ke dapur, saya akan cepat-cepat tidur dengan sengajanya sampai mak saya terpaksa kejut berkali-kali dan saya tak akan bangun. Kemuncaknya, abah saya hilang sabar dan sudahnya, nasi berserta pinggan dibuang ikut tingkap. Garang? Tidak... abah saya bukan seorang yang garang, mencubit saya entahkan pernah entahkan tidak sebab dalam memori saya langsung tak ada. Tapi mungkin kesabaran abah saya hilang bila saya asyiklah membuat perangai yang sama setiap hati. Selepas itu, saya tak ingat saya masih meneruskan habit buruk itu atau tidak.

Dan satu hari, sedar-sedar, abah belikan saya baju sekolah. Oh... tentu saja baju sekolah berwarna biru gelap, alah... baju pinafore tu. Selepas hari itu, bermulalah hari saya sebagai pelajar sekolah. Terkial-kial menghafal dan menulis ABC, bahkan berkali-kali juga jari saya dikepit dengan pen sebab tulisan saya yang buruk. Sakitnya, TUHAN saja yang tahu! Tapi hasilnya berbaloi-baloi sebab saya berjaya juga jadi manusia macam orang lain, walaupun tak pergi sekolah tadika. Bikash, Shanika, Fida dan Airul, cukup sakit hati bila saya selalu cakap pada mereka, sayalah yang paling pandai antara mereka sebab saya dapat masuk universiti walaupun tak pergi tadika. Padahal, berlambak-lambak orang lain yang lebih bagus daripada saya. Riak ya? Tidak... tak perlu riak sebab saya bukan begitu bagus pun, saya saja menyakat kawan-kawan baik saya tu.

Ok, berbalik pada Pesta Buku Kanak-kanak Kuala Lumpur, satu lagi sebab saya teruja sudah tentu sebab Cubit Kanan Cubit Kiri juga ada di sana nanti. Cumanya, saya yang tak dapat melihat suasana yang pasti meriah itu. Ada hal yang lebih penting perlu saya buat dan saya hanya mendoakan yang baik-baik untuk CKCK dan novel kawan-kawan yang lain. Dengarnya CKCK hanya tinggal 70 naskhah aje lagi. Ah... saya sangat gembira melihat perkembangan CKCK. Hendaknya, selepas ini saya mampu menghasilkan novel kanak-kanak yang lebih baik lagi.

- SeTaHuN bErLaLu -

December 20, 2010


Bangun aje tidur hati berdetik, 'Dah setahun nenek aku pergi'. Ya, memang cepat masa berlalu kan? Langsung tak nak tunggu manusia. Hari ni genap setahun nenek kesayanga saya pergi pada YANG ABADI. Tapi sampai ke hari ni, semua yang berkaitan dengan nenek masih segar dalam ingatan saya dan sampai bila-bila akan tetap tersemat di hati dan fikiran. Nenek yang baik, nenek yang sangat baik walaupun selalu aje ada tak kena kat mata dia. Resam orang tua kan? Selalu nak yang terbaik untuk anak dan cucu. Hanya kita sebagai anak dan cucu, selalu saja cepat membuat kesimpulan sendiri. Lupa bahawa, marah dan teguran itu bukan bererti benci atau tidak sayang. Saat benar-benar dah tak ada di depan mata, baru mula terasa kehilangan, apalagi selepas ni tak akan ada lagi pertemuan.

Untuk nenek, semoga nenek di tempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah!

- KaSiH aNtArA kItA (KAK) -

December 17, 2010

Carta Top 10
29 - 03 Dis 2010 - Langganan Pos Mingguan

No Tajuk Buku Karya/Selenggaraan
1. Bicara Hati Damya Hanna
2. Cinta Aku Seadanya Murni Aqila
3. Cinta Datang Lagi Bikash Nur Idris
4. Gelora Jiwa Aisya Sofea
5. Kasih Antara Kita Aleya Aneesa
6. Kompilasi Hidangan Kek Nor Aini Zakaria
7. Kuserahkan Kasih Fida Rohani
8. Koleksi Sulaman Manik Syahida Ramli
9. Kompilasi Hidangan Si Manja Patonah Chai Choh
10. Masih Setia Aisya Sofea

Sila lihat nombor 5 tu ya. Tengok dengan jelas tau, bukak mata luas sikit. Hah... cuma nombor 5 dah riak ke? Tidak... tidak... tidak... jangan cepat buat kesimpulan pada tindakan saya kali ni. Tak elok tu prasangka pada orang, Kiah! Minah... bila kau nak insaf ni? Sebenarnya, ada di nombor 1 atau nombor 10 atau tercorot antara yang corot, saya tak pernah peduli dan tak nak ambik peduli pun. Paling penting saya puas setiap kali melihat jerih perih saya dalam menyiapkan sebuah manuskrip berbaloi bila manuskrip itu bertukar menjadi senaskhah novel tebal. Lepas tu bibir kata, “Inilah dia yang dah rampas banyak masa rehat aku”.

Tapi benarkah novel tu yang rampas masa saya? Bukan saya ke yang memang suka menghabiskan masa saya di depan PC atau laptop selama ni? Bukan saya dengan PC atau laptop itu kembar walaupun tak seiras ke? Bukan ke dalam tidur pun saya pernah berharap saya mampu menyiapkan manuskrip? Oh... awak sungguh tak munasabah Marwati @ Aleya Aneesa! Tak puas-puas menaip masa jaga, dengan mata terpejam pun masih juga nak buat benda yang sama. Tapi itulah, saya dengan berat hati terpaksa mengaku yang saya memang tak boleh dipisahkan dengan manuskrip, novel dan yang sewaktu dengannya. Kalau dipaksa membuat pilihan pun saya tentu akan memilih untuk menulis, menulis dan terus menulis sampai jari-jemari saya tak mampu lagi untuk ditarikkan. Ceh... ayat tak boleh blah tetap juga ada ya? Dengan kata lain, saya dan dunia novel itu umpama perokok tegar dengan rokok. Tak dapat menghisap rokok, melihat asap rokok yang dikeluarkan orang lain sehingga berkepul-kepul ke udara dan seterusnya mencemarkan kesihatan dan alam sekitar, pun jadilah, ataupun dapat menjeling kotak rokok yang tergolek di dalam parit pun cukuplah. Atau juga, dapat melihat puntung rokok di tepi jalan sudah terasa nikmat yang tidak terhingga.

Okey, saya tinggalkan soal rokok itu sebab semua pun tahu menghisap rokok tak elok untuk kesihatan (sambil tangan dua jari saya letakkan di bibir, kemudian goyang-goyangkan ke kiri dan kanan dengan wajah sedih, ala-ala di dalam iklan tu). Oh... rindu gila-gila dekat Mohammad Aqqif Najmie sebab dia selalu menunjukkan aksi itu pada saya walaupun sebenarnya tak relevan langsung. Bukan saya orangnya patut ditujukan iklan itu sebab saya bukan perokok, walaupun masa kecik-kecik dulu saya pernah curi-curi hisap rokok daun tanpa tembakau di bawah rumah nenek saya. Tapi... budak dua tahun, apa yang dia tahu kan?


Sebenarnya saya menepekkan carta yang saya ambil daripada lama web Alaf 21 itu bukan dengan niat apa-apa. Sekadar mahu mengimbas Kasih Antara Kita (KAK) yang dah lama tak saya lihat di mana-mana, maksud saya di carta. Novel dah berusia 4 tahun, tentu saja dah tak segar bukan? Tak kisahlah... biar macam mana pun, di mata saya novel itu tetap hidup dan akan terus hidup seperti novel-novel saya yang lain kerana semuanya punya keistimewaan tersendiri. Ada sesuatu yang mahu saya sampaikan walaupun mungkin hanya sedikit.

KAK merupakan novel ke-4 saya, lahir selepas Semusim Rindu, Aku Milikmu dan Atirah. Tentang Emelda dan Aril Fatah bersama-sama si anak kembar yang mengharungi, atau saya paksa mereka mengharungi pahit getir kehidapan sebab keyboard ada di tangan saya ketika itu. Ada suka ada duka, ada rajuk ada terkilan, ada benci ada marah dalam perjalanan hidup mereka sepanjang 513 halaman. Pendek kata, saya sudah mencuba yang terbaik walaupun masih banyak kurang di sana sini.

Sebagai penulis, saya memang takut hendak berharap terlalu banyak, tapi saya tetap juga mahu berharap KAK dan semua novel-novel yang saya tulis dapat diterima pembaca. Tapi saya tidak juga memaksa, kalau mahu beli dan kalau tak mahu, tak apa-apa. Duit kalian, kalian lebih berhak memutuskan untuk membuat apa dengan duit tersebut. Cuma saya percaya, usaha yang lebih pasti akan membuahkan hasil yang lebih juga, walaupun jelas terbentang kalau rezeki setiap orang itu tidak sama. Maka itu, saya perlu berusaha dengan lebih gigih. Rezeki saya dan Kiah, atau Minah pun tak serupa!

- GiLa? Oh... TeNtU sEkAlI tIdAk! -

December 16, 2010

Gila? Tidak! Gila? Tidaklah! Tapi, er... er... sikitlah. Rasanya memang ada sikit gila. Tapi hanya sikit dan sikit yang pasti taklah sampai pakai baju compang-camping, lepas tu duduk tepi-tepi jalan sambil tersengih-sengih hulur tangan dengan kepala sampai tak boleh beza antara sabut dan rambut. Sampai hari ni rasanya saya masih berpakaian elok ke pejabat, bukan uniform tapi baju kurung ala-ala perempuan Melayu yang pasti bukan terakhir sebab sampai beberapa saat tadi, pasti ada bayi perempuan berbangsa Melayu baru dilahirkan. Jadi... sudah semestinya saya yang terakhir bukan?

Lagipun... gila saya, boleh dianggap gila yang baik. Gila menulis! Hanya terasa seperti sedang menyeksa diri. Bukan dipaksa, terpaksa, atau memaksa. Tidak sama sekali! Ia datang dari rasa yang menggebu-gebu dalam diri. Ceh... ayat tak boleh blah! Tapi betul, saya memang tengah gila menulis sekarang ni. Saya menulis, menulis dan terus menulis sampai saya rasa bahu kiri saya macam kena tikam dengan jarum, perit. Menulis, menulis dan terus menulis sampai saya rasa esok dah tak ada hari. Menulis, menulis dan terus menulis sampai mood saya dah tak ada walaupun ada benda yang menjerit meminta supaya dikeluarkan daripada kepala saya yang tentu saja keras, asalkan saja tak diketuk menggunakan batu ataupun tukul. Kalau sudah menggunakan dua alat yang memang tahan uji itu, jangankan kepala saya, batu pun boleh pecah bersepai jadi debu.

Dan lebih sadis lagi, saya menulis, menulis dan terus menulis sampai tidur saya dalam dua minggu kebelakangan ini terganggu. Diulang sekali lagi, bukan diganggu tapi terganggu. Tak ada sesiapa pun yang mengganggu sebenarnya, hanya badan yang letih, terlalu letih membuatkan mata saya tak mahu lena. Terkebil-kebil menunggu siang tiba. Waktu-waktu macam tu saya mula berfikir, kalaulah saya ada bela kambing, alangkah bestnya. Mungkin saya akan pergi ke kandang kambing tu dan mula mengira helai-helai bulu kambing dengan harapan mata saya lena dengan sendirinya. Kalau tertidur di situ pun tak mengapa, yang penting bila bangun pagi nak pergi kerja mata saya tak pedih kerana tidur yang tak pernah cukup. Tapi bila berpaling merenung dalam diri yang memang banyak kurang, oh... tidak! Saya tak mahu dikejar pengawal keselamatan di rumah saya semata-mata sebab saya bela kambing di tingkat 7. Saya juga tak mau muka saya keluar surat khabar dengan tajuk “Penulis Bela Kambing di Tingkat 7”. Tidak!

Saya tak nak mak saya di kampung mendapat malu dan seterusnya jadi terkenal, lebih terkenal daripada ketua kampung di kampung saya. Tak mau abah saya terpaksa meletakkan kembali cawan kopi yang dipegang gara-gara orang asyik bertanyakan kisah saya yang ditangkap bersama kambing-kambing peliharaan. Tak mau kakak saya yang tengah menulis di papan hitam terpaksa menghentikan tulisan sebab pelajar-pelajar dia mula membuat bunyi seperti kambing. Tak mau abang-abang, termasuk abang ipar dan adik-adik saya yang tengah main bola terpaksa menghentikan permainan kerana terasa seperti melihat saya di atas padang tu sedang membawa kambing-kambing saya makan rumput di padang kampung saya yang memang tak begitu banyak rumput. Tak mau adik-adik ipar dan kakak-kakak ipar saya berasa diri dia orang glamour hanya sebab ada adik atau kakak ipar yang ada kisah memalukan begitu. Tak mau juga anak-anak buah saya yang tersayang itu menggelar saya mak bing, singkatan daripada mak kambing sebab ada masa-masanya mereka memanggil saya mak ketam, tambahan daripada perkataan mak tam. Tak patut kan mereka panggil saya macam tu? Tapi percayalah... saya memang cinta mati sama itu budak-budak. Bukan bermakna kepala saya mudah dipijak ya, tidak sama sekali sebabnya kata budak-budak tu, saya mak cik yang paling garang. Garang di muka, garang di mulut, tapi dalam hati saya, penuh dengan wajah-wajah kecil mereka, ;-)

Oh... tadi Bikash kata, tak boleh bela kambing, saya masih boleh bela hamster untuk mengelakkan saya daripada terpaksa bermain kejar-kejar dengan pengawal keselamatan pada usia saya yang dah hampir menginjak ke senja ni. Tapi Bikash, terima kasih atas cadangan yang sangat manis tu. Awak memang kawan yang baik. Malangnya, cadangan ditolak ya! Bukan tak ada orang yang mengangkat tangan untuk menyokong usul kawan baik saya tu, yang tentu saja ikhlas ketika memberikan cadangan. Tapi saya tak sanggup membela hamster kerana saya terasa seperti membela tikus mondok yang selalu berkejar-kejaran kerana terlalu gembira. Tidak! (Alahai, cakap ajelah yang kau tu geli, habis cerita. Lagi-lagi nak berlakon ala-ala polos gitu!)

Makanya, mau atau tak mau... terpaksalah saya menabahkan diri dengan harapan, malam ni saya akan tidur lena, selena-lenanya. Rasanya macam nak mimpi yang indah-indah. Hanya saat ni, saya mau menulis sedikit. Paling tidak pun masa saya terisi sebelum pukul 11.00 malam. Kepada kawan-kawan, selamat malam, ingat... jangan mimpi saya tapi mimpilah yang indah-indah supaya bangun tidur esok, kalian akan terus tersenyum.

- SiApA tAk AdA mAsAlAh, SiLa AnGkAt TaNgAn Ya! -

December 9, 2010

Tiap orang ada masalah kan? Kalau ada sesiapa yang tak pernah ada masalah, boleh kasi tau siapa orangnya tak? Angkat tangan kalau perlu. Bukan nak pukul ya. Tidak dan tidak mungkin sebab saya tak ada semua seni persilatan yang ada dalam dunia ni. Silat gayung tak ada, silat cekak tak ada, silat sendeng tak ada, kuntau tak ada, tekwando tak ada dan semuanya tak adalah kesimpulannya. Yang ada hanya silat rambang, yang bermaksud kalau tubuh badan dan hati saya disakiti, semua kaki tangan termasuk kepala akan naik menghentam orang yang menyebabkan saya sakit hati dan sakit badan dan biasanya masa pukul tu saya pejam mata dan pukul-pukul tak berhenti. Dan silat rambang itu tak pernah saya praktikkan kat orang lain, kecuali adik-adik saya.

Apa? Saya kakak yang tak baik? Tentu aje saya baik kalau untuk adik-adik saya, tapi saya akan jadi tak baik kalau saya dibuli diaorang. Yang sedihnya, masa saya buat silat rambang tu, diaorang balas baliklah. Adik-adik zaman sekarang memang macam tu ya? Ke adik-adik saya aje? Bukan patut bila berjalan depan kakak, diaorang patut tunduk-tundukkan kepala macam orang Jepun ke? Lepas tu, ikut semua cakap kakak termasuk bila kakak suruh cuci kasut sekolah? Bukan patut macam tu ke? Hah? Adik-adik macam tu tak wujud dalam dunia ni dan tak akan wujud lagi ya Kiah? Kalau wujud pun dalam angan-angan aku ya Minah? Hem... itu tandanya aku masih normal sebab aku masih mampu berangan dah.

Masalah... kalau ada orang yang tak pernah ada masalah dalam dunia ni, saya nak jumpa orang tu. Nak tengok dia lama-lama, main-main mata sesaat dua, nak tabik spring beberapa kali dan lepas tu tanya, ‘boleh ajarkan saya ilmu supaya tak ada masalah? Saya ni jenis yang bermasalah dan kerap diburu masalahlah. Kadang-kadang saya cari masalah sendiri’. Tapi benar-benar ke ada orang macam tu? Tak ada kot? Sebabnya, ALLAH menjadikan manusia dalam muka bumi ni dengan adil dan saksama. Kurang di sana, lebih di sini dengan pakej yang bernama masalah. Kalau tak ada masalah, bila manusia nak sedar dan macam mana belajar kan?

Kalau kawan kalian yang bernama masalah itu datang, apa yang akan kalian buat? Saya pulak? Banyak yang akan saya buat dan antara tanda-tanda yang tunjukkan saya bermasalah. Antaranya, tidur... kalau saya banyak tidur dan asyik nak tidur dan bercakap fasal tidur, itu tandanya ada sesuatu di kepala yang memberat. Kedua, saya akan jadi lebih banyak cakap daripada biasa, membebel-bebel dan bercakap entah apa-apa, dengan maksud tak ada point penting pun yang nak saya sampaikan. Ketiga, saya akan makan banyak, tapi yang satu ni, kadang-kadang tak ada masalah pun saya akan makan banyak juga. Keempat, saya akan ketawa banyak dan jadi suka lain macam walaupun pada hal-hal yang remeh-temeh. Kelima dan yang terakhir, sebab saya seorang wanita yang lemah (lemahlah sangat), maka... dah tentulah saya akan nangis, nangis dan nangis sampai saya penat. Tapi hanya keluar air mata, meraung... tidak sama sekali sebab malu kalau jiran sebelah dengar. Buatnya dibaling batu, tak ke haru-biru hari saya? Tak ke hanya akan tambahkan kesedihan saya sebab kena beli cermin tingkap baru? Kena keluarkan duit lagi...

Dan masalah... semua orang memang ada dan takkan ada yang akan terlepas darinya. Makanya, tak kira apa masalah kita, tak kira masalah tu besar atau kecil, tetap juga digelar masalah. Untuk itu, bertabahlah... saya selalu berkata pada diri saya, ‘orang yang diuji adalah orang yang disayangi ALLAH dan ALLAH memberi ujian mengikut kemampuan masing-masing’. Saat saya buntu, hilang punca dalam mengemudi hidup yang ada kalanya kita di atas dan ada kalanya kita di bawah, itulah azimat yang selalu saya pegang walaupun ketika bercakap saya menangis dan terasa hendak tidur 3 hari. Dan lagi, hidup tanpa masalah bukanlah hidup namanya, sebaliknya... hanya sebuah khayalan yang hanya melekat dalam minda kita.

- Di SeBaLiK tAbIr (1) -

December 8, 2010

Oh... tolong, saya mohon jangan salah faham dulu ya. Sebab n3 kali ini bukan tentang filem atau drama dan tak ada kena-mengena langsung. Saya bukan orang filem atau drama, makanya saya tentu saja tak akan menulis sesuatu yang berkaitan dengan bidang tersebut. Saya orang buku, bekerja sebagai penolong editor, penulis novel dan pembaca novel yang boleh masuk dalam kategori ‘pembaca tegar’. Tak ada yang menggelar saya begitu, tapi saya yang memilih kata itu sebab saya pantang nampak novel walaupun koleksi novel yang saya ada, kalau ditimbunkan atas saya, mungkin suku aje dah boleh buat saya putus nyawa tak boleh bernafas. Kalau dihitung dengan RM pula, oh... mungkin dah boleh dapat sebiji kereta kancil second-hand.

Okey... tinggalkan saja soal koleksi novel yang masih belum habis saya baca tu. Saya maksudkan di sebalik tabir, tentu saja bermaksud di sebalik tabir sesebuah novel yang saya hasilkan. Tapi sebelum tu perlu diingat, n3 ni akan jadi sangat panjang sebab mood menulis n3 sangat berkobar-kobar saat ni. Jadi... kalau sayangkan masa kalian, cukuplah baca tajuk dan kemudian berpindahlah ke blog-blog yang lebih ringkas dan kembalilah bila n3 saya sudah kembali ringkas. Bukan menghalau, hanya tak mahu kalian membuang masa pada sesuatu yang kalian tak gemar. Masa tukan ke disamakan dengan emas? Emas sekarang ni kan harganya mencanak-canak naik? Baikkan macam tu? Oh... tak perlu cakap saya baik hati, nanti saya malu sendiri. Cukup-cukuplah selama ni saya asyiklah nak memerah sangat. Tak mahu lagi dah buat macam tu, tak elok.

2010 dah hampir ke penghujung. Ini bermakna masuk saja tahun 2011, genaplah 8 tahun saya bergelar penulis. Penulis saja? Bukan penulis cabuk ke? Tak kisahlah penulis cabuk atau penulis lapuk sekalipun, tetap juga digelar penulis bukan? Dan dalam tempoh 7 tahun kebelakangan ni, saya selalu tertanya-tanya sendiri, apa yang saya dapat dan apa yang dapat saya berikan pada pembaca di luar sana?

Lepas direnung-renung, ditenung-tenung, ditilik-tilik bertahun-tahun... yang saya dapat simpulkan ialah... untuk diri sendiri, tentu saya dapat kepuasan yang luar biasa. Kepuasan yang selama ni tak pernah saya fikir saya akan dapat sebab lahir-lahir aje saya ke dunia ni, tentu aje saya tak tahu apa yang akan berlaku pada saya. Kat sekolah pun bila cikgu tanya saya nak jadi apa, jawapan saya tetap aje sama. Saya pernah cakap saya nak jadi cikgu, pengurus, polis, kerani, bomba dan macam-macam lagi. Tapi tak pernah sekali pun ayat, ‘saya nak jadi penulis’, keluar dari bibir saya sebab muka macam saya ni, memanglah tak layak nak jadi penulis dan kalau saya cakap macam tu, saya rasa mahunya saya kena gelak seminggu sebab kawan-kawan saya ada masa-masanya teruk juga, sama macam saya yang suka ketawakan diaorang kalau rasa ada yang tak kena. Budak-budak, kalau tak nakal... mesti orang tak panggil budak-budakkan? Cuma yang jelas, saya suka buat karangan. Saya sangat suka buat karangan, yang lain-lain jatuh kat tangga dua, tiga, empat dan ada kalanya langsung tak bernombor.

Dan kalau ditanya apa yang dapat saya berikan pada pembaca? Saya tak dapat jawab soalan tu dengan jelas sebab saya tak mungkin akan kata yang muluk-muluk tentang diri saya. Saya memanglah ada masa-masanya akan perasan bagus, tapi saya tetap tak akan tergamak nak kata yang saya dah berikan semua yang pembaca nak. Tidak... saya tak mungkin kejam sampai macam tu sekali. Lagipun saya tak nak dikutuk orang sebagai perasan bagus, walaupun saya tak mungkin juga nak larang orang daripada berkata macam tu kat saya. Hak masing-masing, tak ada yang boleh paksa kita untuk suka atau tidak pada seseorang atau suka pada apa yang seseorang buat. Tapi... kalau kalian rasa kalian pernah kata macam-macam kat saya, sama ada secara lisan mahupun tulisan, boleh minta maaf selagi saya hidup lagi, saya terima maaf kalian asalkan kalian mengaku dah mengata saya kat belakang dan kalau ada sesiapa yang saya terkata kat belakang, saya pun minta maaf juga. Macam kalian, saya pun tak lepas daripada melakukan kesilapan.

Sambung lagi... saya tahu saya bukan penulis yang bagus. Dalam 7 tahun saya menulis, saya sedar ada karya yang dapat diterima dengan baik sekali, tapi ada karya yang menghampakan pembaca dan ada juga karya yang diterima dan tak diterima pembaca sama aje skalanya. Itu saya terpaksa terima sebab saya tak boleh anggap semua karya saya akan diterima. Pembaca ada minat dan keinginan masing-masing, macam lain padang lain belalangnya. Ceh... apa kena-mengena! Sama macam kalau saya membaca karya orang lain, ada masa-masanya saya sangat sukakan karya dari penulis itu, ada masa-masanya saya rasa tak suka sebab tak kena dengan jiwa saya. Tapi... saya TEKANKAN di sini, suka atau tak sukanya saya pada sesebuah karya itu, saya TAK PERNAH menulis di mana-mana, saya cuma tulis kat dinding hati saya. Kalau ada pun hanya berbincang sesama sendiri, maksudnya berbincang dari sudut pembaca. Bukan penulis! Tapi secara lisan atau tulisan yang tidak memungkinkan orang lain membaca, contohnya... YM.

Sebagai pembaca, ya... saya layak memberikan pendapat, tapi bukan bermaksud saya boleh memalukan dan menjatuhkan air muka penulis dengan sewenang-wenangnya. Maksud saya, dengan menulis apa saja yang saya rasa terutamanya rasa tak best yang saya rasa kat mana-mana sehingga boleh mempengaruhi ramai pembaca yang lain. Tidak! Walaupun saya yang keluarkan duit, saya rasa tetap tak berhak. Kenapa? Sebab hak kemanusiaan yang tak membenarkan saya buat macam tu. Hak hati dan perasaan yang tak mengizinkan saya bertindak gegabah begitu. Kalau betul ada rasa tak puas hati dan niat baik nak memberi teguran, hantarlah email atau apa saja asalkan ia bersifat dua hala, penulis dan pembaca itu semata-mata, bukannya menyiarkan di mana-mana untuk ditatap banyak orang. Kalaupun nak memberikan pendapat kepada pembaca lain, boleh... tapi tak perlulah sampai menulis di mana-mana dengan kata-kata seperti, ‘tak payah beli novel ni’, ‘novel ni tak sedap langsung’, ‘menyesalnya beli’, bahkan ada juga dengan peribadi penulis tu sekali yang dikaitkan, dikomen dan dikritik. Padahal tak ada kena-mengena langsung. Kita bukannya nujum yang boleh baca air muka orang. Bila orang buat muka, bukan juga bermakna orang tak suka atau benci. Tak perlulah menjaja yang bukan-bukan sebab hanya menambah catatan si bahu kiri sendiri. Atas tujuan apa medan yang patutnya elok, medan ilmu, dicacatkan dengan umpatan sebegitu ya? Saya benar-benar tak faham niat orang yang menulis. Ada kepentingan peribadi atau sebaliknya? Dapat apa ya bila buat macam tu? Musykilnya! (Sesiapa yang rasa pernah mengata saya, sila minta maaf. Saya tak akan maafkan selagi tak mengaku apa salah anda). Sungguh... tak perlu bertindak sampai macam tu. Hantarlah email, sms, telefon atau YM saja, antara pembaca dengan pembaca. Tidak perlu sampai membuat pengakuan terbuka begitu.

Kenapa? Oh... tentu saja sebab saya seorang penulis. Sebagai penulis, saya pernah rasa nak berhenti menulis hanya sebab komen-komen yang ada kalanya saya rasa berat sebelah. Ada masa-masanya, saya rasa nak tidur 3 hari, pun sebab komen-komen yang terasa seperti membunuh semangat yang ada. Kalau tak suka, hantar email. Buat teguran cara berhemah sebab kita orang Melayu yang memang terkenal dengan keindahan budi bahasa. Kalau dah menulis dengan cara berat sebelah, ikut sedap rasa dan ikut suka hati, mana hilangnya budi bahasa kita? Orang dulu-dulu pun kalau nak menegur, gunakan bahasa halus dengan harapan tak akan mengecilkan hati orang yang ditegur. Oh... jangan pula kata itu orang dulu, kita orang sekarang sebab tak ada dulu, jangan nak bermimpi adanya sekarang. Saya fikir banyak benda memang boleh berubah sesuai dengan perubahan zaman, tapi budi bahasa kalau ikut hilang, apa akan jadi dengan bangsa kita kemudian hari?

Pandainya saya membebel kan? Tidak... terpulang kalian mahu menganggap apa. Bagi saya, itulah kenyataan. Menegur boleh, mengkritik boleh, tapi... lakukan dengan seikhlas hati. Bukan dengan tujuan lain. Dan kalau benar nak menegur dan mengkritik, gunalah ilmu kritikan kerana kritikan kalian sebenarnya sangat besar impaknya pada kami yang bergelar penulis. Saya yang pernah ambil subjek “Teori dan Kritikan” di universiti dulu pun tak berani nak mengkritik karya orang sebab saya tak tergamak di samping tak minat. Biarlah ilmu itu kekal dalam dada sebab kalau tak betul-betul teliti, saya mungkin akan menjatuhkan karya dan seseorang penulis itu. Oh... tidak, catatan di bahu kiri saya rasanya sudah terlalu banyak!

Untuk itu, tanya hati kalian... setiap kali kalian menulis di blog atau apa-apa saja di medan maya ini, apa niat kalian, apa tujuan kalian? Ikhlas atau ada niat lain? Kalau benar tak suka, tak perlulah sampai mempengaruhi orang lain. Mungkin selera masing-masing tak sama sebab fitrah manusia itu sememangnya berbeza-beza.

Dan untuk pembaca yang pernah membaca karya saya, masih membaca karya saya, akan kekal membaca karya saya, terima kasih berjuta-juta lemon saya ucapkan. Saya bersedia menerima teguran dan komen kalian, tapi dengan cara berhemah. Kalau terasa karya saya dah semakin hilang arah dan tak lagi selari dengan minat kalian, berhentilah membaca. Mungkin kalian perlukan sesuatu yang lebih segar dan lebih bertenaga. Saya tak akan paksa orang baca karya saya sebab saya tahu betapa jerihnya mencari duit. Untuk bekas pembaca novel saya, bekas pembaca yang bertekad tak akan sentuh novel saya lagi sampai bila-bila, tak kira siapa pun kalian... saya tetap berterima kasih pada kalian sebab pernah membuang masa dan duit kalian untuk saya. Harap kita semua selalu dalam lindungan ALLAH...

N3 ni dah sangat panjang, jadi saya ambil keputusan untuk berhenti dulu. Bimbang kalau-kalau ada yang termuntah darah. Apa pun, terima kasih sekali lagi pada semua yang sudi menjengah.

- KaLaU rAsA dAlAm HaTi AdA sAyAnG, bElIlAh CKCK nI yE ;-)... -

December 2, 2010

ISBN: 978-967-365-034-7
Sem. Malaysia: RM10.90
Sabah / Sarawak: RM13.90


“Sakitlah!” rengus Nurul Hannah geram.
“Tahu pun kau sakit. Yang kau buat aku tadi tu boleh pula ya?”
“Tapi aku tak sakitkan kau, kan?”
“Nasib kaulah!”

Nurul Hannah dan Nurul Husna, sejak bila mereka berdua mula saling bercakar sesama sendiri, tidak ada yang pasti. Tapi selain daripada sering bergaduh, tidak ada kenangan lain yang ada dalam simpanan memori masing-masing. Antara mereka, tidak tahu siapa anjing, siapa pula kucing.

Kata ayah dan ibu, adik dan kakak itu, ikut mana pun sama. Itu bererti antara Nurul Hannah dan Nurul Husna, tidak ada beza. Tapi bagi Nurul Hannah, dia dan Nurul Husna ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa. Kalau tidak, masakan Nurul Husna diusik orang, dia yang lebih-lebih terasa. Tapi soalnya, apa yang telah terjadi? Siapa yang mengusik Nurul Husna? Kalau mahu tahu, jawapannya ada dalam Cubit Kanan Cubit Kiri.

- TiDuR, tIdUr & TiDuR -

December 1, 2010

Pernah tak dalam seumur hidup ini, kalian rasa macam nak tidur... tidur dan tidur panjang? Tak termasuk tidur yang dalam erti kata lain pergi yang kekal ya sebab yang itu lebih sesuai dipanggil meninggal dunia. Tapi yang saya (nak tukar ganti nama dirilah, untuk masa ni kalau boleh tak nak guna aku sampai dah jemu guna saya. Aku nampak kasar kan? Tapi... rasa lebih mesra, lebih intim, lebih dekat. Bahkan rasa macam sedang bercakap dengan diri sendiri. Alasan lain, suka guna aku sebab tak ada dalam adik-beradik yang gunakan aku bila bercakap sesama kami, cuma tahu guna kata ganti diri aku bila dah masuk form 2, dengan sepupu-sepupu pun tak cakap aku, sejak duduk KL hanya bahasakan diri sebagai aku pada 4 orang aje. Jadi... bolehlah kalau dalam blog tulis guna nama aku, kira macam lepas rindu. Cukup kot alasan tu?) maksudkan tidur yang dalam erti kata kita pejamkan mata dan masa tu mula menderu-deru masuk mimpi-mimpi aneh yang tak pernah mampu kita terokai datangnya dari mana, mimpi yang asalnya di tempat yang lain tiba-tiba aje boleh bertukar lain tanpa ada sebab-sebab yang pasti, tahu-tahu saja bila kita bangun kita ingat mimpi tu dan kalau mimpi yang tak begitu penting atau mengarut, akan cepat saja sirna dari ingatan, kalau mimpi yang benar-benar menyayat hati akan membuatkan kita mengalirkan air mata tanpa kita sendiri sedar.

Anehkan kuasa mimpi? Kita tak mampu nak kaji kan sebab semuanya kuasa ALLAH. Hanya DIA yang tahu apa rahsia di sebalik mimpi-mimpi yang mendatangi kita dalam pelbagai rupa dan keadaan. Tapi bukanlah mimpi yang nak saya tekankan pada n3 kali ni, sebaliknya tidur, tidur dan tidur. Saya ulang sekali lagi, pernah tak kalian terasa macam nak tidur, tidur dan tidur? Pernah? Tak pernah? Hem... pernah atau tidak sebenarnya bukanlah apa-apa sangat. Kalau jawab pernah, tak ada hadiah yang saya janjikan, kalau kata tak pernah pun, tak ada hadiah yang akan saya kirim. Kedekut? Tidak juga... cuma rasanya dalam soal hadiah-hadiah ni, rasanya saya bukanlah orangnya. Saya tak tahu memilih hadiah apa dan saya tak tahu nak beri orang hadiah apa. Mungkin ada yang tak percaya, tapi saya tak tipu, saya lebih rela bayarkan hadiah daripada pilih hadiah, tapi bukanlah bermaksud saya akan bayar juga walaupun hadiah yang dipilih lebih daripada yang sepatutnya. Kalau macam tu keadaannya, memang ada yang kena tinggal sorang-sorang.

Kalau birthday anak-anak saya (merujuk pada anak-anak buah yang seramai 7 orang ya), saya tak akan belikan barang-barang mainan, cuma belikan sebiji kek dan dalam erti kata yang lain, saya dah macam jadi tukang sponsor kek tiap kali keluarga saya sambut hari lahir. Dahlah macam tu, diaorang bukannya minta kek hasil buatan tangan saya yang memang tak berseni, tapi... kek yang datangnya dari Secret Recipe yang harganya berganda daripada kedai kek biasa walaupun ada juga kedai-kedai biasa yang rasanya sama aje macam rasa kek kat situ. Tapi nak salahkan siapa kan kalau pada asalnya saya yang mengajar, saya yang mula-mula bawa masuk kek dari sana dalam keluarga saya sedangkan dulu-dulu tak ada yang kisah pun kek datang dari mana asalkan halal. Silap-silap kalau saya buat sendiri pun diaorang dah boleh senyum sampai ke telinga. Tapi sekarang ni, huh... silap-silap saya yang dicebik. Tapi tak apalah, sekali-sekala, lagipun RM00 x 7 + 1 @ 1 @ 1 @ = RM+++, insya-ALLAH tak akan boleh buat saya jatuh miskin selagi saya masih bekerja. Kalau dengan cara tu saya dapat tengok senyum ketawa orang-orang yang saya sayang, saya akan lipat gandakan usaha untuk pastikan tahun-tahun seterusnya saya masih dapat jadi tukang sponsor kek. Kalau kita rajin berusaha, saya percaya rezeki tak akan putus mendatangi kita.

Kalau ada orang-orang yang saya kenal kahwin pun, saya akan bagi duit juga. Tapi tak adalah berjuta-juta lemon sebab saya pun tak ada duit sebanyak tu. Ribu-ribu ringgit pun tidak juga. Ratus-ratus? Tak. Kalau ratus aje? Puluh aje ke? Hah... yang tu mungkin sesuai sebab saya bukan orang kaya dan saya pun tak dilahirkan dalam dulang emas. Untuk dapat apa yang saya ada sekarang ni pun, banyak kali air mata saya gugur, banyak kali juga saya jatuh tersembam dah pernah terfikir tak mahu bangun lagi sebab putus asa dengan cubaan yang datang. Tapi penting benarkah berapa harga hadiah atau pemberian yang kita beri? Bukankah yang penting keikhlasan? Walaupun saya tak kata ya kalau duit tu tak begitu penting sebab nak pergi tandas pun kena bayar. Hanya saya fikir, biarlah duit dan kasih sayang itu datangnya serentak, jalannya seiring supaya nampak kemanisan hubungan yang bertaut.

Oh... tentang tidur, tidur dan tidur tadi. Sebenarnya tak adalah penting mana n3 ni. Hanya saya terfikir, saya ni jenis orang yang suka tidur setiap kali ditimpa masalah yang sukar untuk saya cari jalan penyelesaiannya. Tidur juga yang saya pilih saat saya rasa hati saya tak tenang, saya gelisah dan resah tak menentu. Tapi sebenarnya, saya cukup sedar... setiap kali saya cecahkan kepala saya ke bantal, tak pernah sekali pun mata saya terpejam rapat, kalaupun rapat saya tak pernah hanyut ketika itu juga. Semakin banyak masalah datang, semakin sarat kepala saya dengan beban, saya akan jadi orang yang sangat susah tidur sebab kepala saya akan sentiasa berjalan sedangkan dalam masa-masa macam tu saya selalu berharap yang saya akan terus tidur untuk tempoh masa tiga hari. Tiga hari? Tak ke itu lebih layak kalau digelar sebagai pengsan? Koma? Bukan cuti hujung minggu ada dua hari aje ke? Tak kisahlah! Cumanya saya fikir, tidur bukan jalan penyelesaian pada hati dan fikiran yang memberat, tapi saya percaya saat tubuh kita terbaring atas katil tanpa melakukan apa-apa dan kita berbaring dalam keadaan mengerekot ke kiri atau ke kanan, kalaupun tak banyak... tentu ada sedikit rasa lega bertapak kat hati.