- NoVeL bArU sAyA : TERUS CINTAI AKU -

February 27, 2012

Kalau tahu sakitnya jatuh cinta, dia lebih rela memilih jatuh lubang. Kalau tahu deritanya merindu, baiklah dia pilih membenci. Hati tak parah, jiwa pun tak merana. Dia hanya Nurzalis Najwa! Kuasa sakti dia tak punya, panah arjuna pun dia tak ada. Yang dia miliki hanyalah sebuah janji.

Sayangnya saat Khilfie muncul, hatinya terbelah dua. Hendak salahkan siapa jika cinta dipegang sebelum waktunya? Setia pula tak kena tempat. Lantas, lupa kalau kata tak semestinya dikota. Hati orang pun bukan boleh diikat ikut suka.

Kecewa kerana cintanya tak berbalas, Zalis menjauh. Apa guna jadi permata kalau Khilfie tak mahu jadi cincin? Hati yang luka biar dicari penawar sendiri. Namun Khilfie bukan buta. Makin jauh Zalis lari, makin laju dia mengejar. Dia bukan bayang-bayang Zalis, kembar siam pun tidak. Tapi dia persis gula-gula getah dalam hidup Zalis.

Saat sedar matanya memandang Jaznita, hatinya hilang dicuri Zalis. Tak mungkin manusia boleh hidup tanpa hati, kan? Dan cinta... memang pelik, ditolak jauh pun tetap juga mahu mendekat.

- BeIjInG - KeNaNgAn TeRiNdAh [1] -

February 26, 2012


Salam dan hai pada kawan-kawan yang sudi menjengah blog tak berapa nak indah ini ya. Kesudian kawan-kawan sangat-sangat dihargai. Lama ya saya tak bebel-membebel di sini? Ada tak agak-agaknya yang rindukan saya? Kalau ada, aduhai... kamu buat saya sangat terharu, hanya tak mampu titiskan air mata. Sebabnya, ketika ini saya rasa sangat gembira dan lapang. Syukur atas semua nikmat yang ALLAH beri. Dan kalau tak ada yang rindukan saya pun, jangan bimbang, saya tak kecil hati sebab saya selalu berharap punya hati yang besar [bukan badan yang besar ya]. Rasa rindu tu kan sama dengan rasa cinta, tak boleh dipaksa-paksa. Datang tanpa diundang, pergi pun tak pernah dihalau. Hanya datang dan pergi begitu-begitu aje.

Ceh... gaya tulis macam nak kata, “Aku sedang ingin bercinta” aje kan? Tapi... taklah! Rasanya saya macam dah terlalu tua untuk bercakap tentang soal cinta, macam dah sangat tak sesuai sebab saya bukannya anak-anak remaja yang baru hendak mengenal hidup. Saya sudah bongkok tigalah! Tapi bukan ke orang kata cinta tu tak mengenal usia? Ya... itu falsafah cinta yang evergreen, dari dulu [mungkin tak digunakan pada zaman batu] sampai sekarang masih digunakan. Cumanya, dulu dan sekarang ada begitu banyak beza. Apa bezanya, entah! Saya pun tak tahu dengan jelas.

Tapi bukan itu pun yang nak saya kisahkan. Macam biasa, mukadimah bebelan saya selalu panjang berjela-jela [tak adalah sampai 200 ela okey] sampai buat orang menguap 14 sampai 15 kali. Yang nak saya kisahkan, tentang pengalaman manis saya sepanjang 7 hari, 6 malam berada di tempat orang yang dipanggil Beijing, China. Ya... nampaknya saya sudah berjaya lagi dalam misi “jalan-jalan menghabiskan duit”. Syabas untuk diri saya! Padahal... baru aje 3 bulan lepas saya pergi ke Hangzou-Suzhou-Shanghai, pun di China juga.

Kenapa ya, saya asyik pergi ke China aje? Macam dah tak ada negara lain yang boleh saya pergi kan? Entah! Mungkin sebab lebih murah, mungkin banyak tempat menarik, banyak tinggalan zaman dulu, atau juga sebab dekat. Tapi betul... saya memang nak pergi lagi pun ke sana, hanya saya teringin sangat nak pergi ke Guilin, China yang di dalam gambar nampak sangat cantik dan menarik. Asalnya pun memang saya dan dua lagi kawan saya nak pergi ke Gulilin tu. Tapi bila telefon beberapa agensi pelancongan, masih belum buka lagi percutian ke sana. Sebab itulah, kami akhirnya beralih arah ke Beijing. Tak apalah, mungkin akan ada kesempatan lain untuk ke sana nanti.

Dan sekarang ini, saya sudah ada di Rumah Pink. Saya sampai dari Beijing hampir pukul 10.00 malam, pada 24 Februari 2012. Itu pun sebab terpaksa naik teksi dan kemudian ambil kereta yang sengaja saya tinggalkan di DBP. Bukannya rumah saya tak ada tempat parking, ada. Cuma sebelum pergi saya janji dengan kawan untuk ke KLIA dari situ. Selalunya pun macam tu juga, maklumlah... tak ada yang sudi nak hantar saya. Hahaha... ayat nak minta simpati! Tapi... saya ada uncle driver teksi yang dah kami pajak.

Sebenarnya banyak yang nak saya ceritakan tentang pengalaman berharga saya di sana. Semuanya manis-manis belaka dan langsung tak ada yang pahit. Dan kesimpulannya, saya sangat gembira dengan percutian kali ni, sama seperti ketika saya bercuti ke Korea setahun lebih yang lalu. Tapi... untuk hari ni, biarlah cukup di sini dulu. Esok-esok saya akan sambung lagi bila ada masa lapang. Jadinya, sila nikmati beberapa keping gambar saya sepanjang di sana ya, nanti-nanti saya masukkan lagi. Harap tak ada yang jemu menatapnya. Selamat melihat!





- SeLaMaT hArI lAhIr... -

February 15, 2012

15 Februari 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-12 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK DAN KAKAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA NURUL HUSNA"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA KAKAK – Sorry juga sebab tahun ni Mak Tam tak sempat pun nak membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab Mak Tam sangat sibuk [serabut tak ingat dengan kerja pejabat sampai kepala pun rasa macam nak kena timpa dengan manuskrip-manuskrip yang datangnya macam hujan]. Tapi nak bagi tahu walaupun Mak Tam sendiri tak tahu bila baru Kakak akan baca N3 ni sebab Kakak kan dah DILARANG ayah guna Internet kecuali untuk tujuan BELAJAR [balik kampung bolehlah buka blog ni], Mak Tam nak kata yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Kakak. Dan lagi, belajar rajin-rajin. Harap UPSR Kakak akan sangat cemerlang, dear...

- KaNaK-kAnAk PuN aDa HaTi JuGa... -

February 14, 2012

N3 ini N3 keluarga. Kisah seorang mak cik yang dipanggil Mak Tam dengan anak buah yang digelar Kakak. Jadinya, bagi yang kurang gemar dengan kisah keluarga yang tak begitu penting, mungkin N3 ini akan jadi N3 yang sangat bosan. Tapi... biar bosan macam mana pun, tetap ada intinya yang tersendiri. Tetap ada pengajaran yang kita sama-sama boleh kutip walaupun mungkin hanya secebis. Boleh juga mengingatkan kita betapa seorang kanak-kanak itu, biar tingginya hampir sebaya kita, biar tubuhnya hampir sebesar kita, tetap juga bergelar kanak-kanak. Tetap juga punya hati yang perlu dijaga sama seperti kita, orang dewasa.

Kisah ni dah berlaku beberapa minggu lalu. Kisah saya dan anak buah saya yang sulung. Tapi sampai ke hari ini, biar masa berlalu, tetap ada satu rasa dalam diri saya yang sampai ke hari ni saya ingat dengan jelas. Bukanlah ada apa-apa sangat sebenarnya. Tapi saya kesal dan rasa tu tetap tak mahu hilang dari hati dan fikiran saya. Mungkin tak akan hilang sampai bila-bila sebab saya tak mahu ulang perkara yang sama.

Saya marah dia! Saya bebelkan dia malam tu! Dan bila difikir-fikir balik, alangkah tak patutnya saya marahkan dia hanya gara-gara sebuah Samsung Galaxy Tab [SGT] yang tak bernyawa tu. Macamlah benda alah tu berharga melebihi anak buah saya [sekuman pun tak boleh lawan dia orang bersembilan di hati saya]. Dan sejak dulu, saya bukanlah seorang yang berkira dengan anak-anak buah saya. Mintalah apa aje, insya-ALLAH saya tunaikan asalkan tak melampaui batas, mainlah laptop saya sampai lunyai, saya memang tak kisah. Tapi bab SGT tu saya memang agak berkira. TAPI... saya berkira bukan sebab saya kedekut. Saya berkira sebab saya tak nak tengok anak-anak buah saya [4 orang yang dah celik IT] bercakar hanya gara-gara SGT tu sebab saya dah pernah cuba bagi dan hasilnya ‘mari main cakar-cakar’. Jadinya, baik saya tak payah bagi langsung, habis cerita! Hati saya pun dah tentu tak akan rasa sakit.

Tapi diam-diam Mak Usu dia bagi pada Kakak lepas guna dan saya yang tengok mula membebel-bebel sebab saya tak suka cakap benda yang sama banyak kali. Lepas tu dia tidur, Danish dan Aqqif tidur juga. Tiba-tiba;

Adik Nana tanya macam ni, “Mak Tam... boleh adik main SGT tak?”

Saya kata, “Tak boleh!”

Adik Nana, “Adik tak dapat main pun tadi. Kakak boleh pula.”

Macam biasa, dia memang selalu jadi ratu air mata dalam keluarga saya. Hem... itulah sebab kenapa saya tak bagi. Rasa iri hati tentu wujud. Akhirnya saya kata, “Main sekejap aje dan lepas tu tidur.”

Dan esoknya, saya tetap jalani hidup saya macam biasa. Tapi beberapa minit duduk di ruang tamu, saya terasa macam ada yang lain. Semua orang berbual-bual dengan saya, tapi Kakak langsung tak tegur saya. Lalu depan saya pun, dia tak tengok saya. Bila saya cuba tarik perhatian dia, dia buat tak tahu aje. Bila saya suruh apa-apa, dia buat tapi tak kata apa. Bagi kunci kereta pun dia tak pandang saya. Dan, tahulah saya! Dia merajuk dengan saya, atau mungkin juga marah. Sedangkan bagi saya, semalam... semalam punya hal. Saya lupa yang Kakak juga tahu marah, tahu merajuk dan tahu sakit hati biarpun dia hanya kanak-kanak yang belum pun berumur 12 tahun.

Duduk dengan Kak Long saya, saya kata Kakak tak nak tegur saya sebab saya marah dan bebelkan dia malam tadi. Kak Long saya ketawa aje. Dari tempat saya duduk, saya nampak Kakak macam tengah tulis sesuatu. Mungkin diari. Saya kata lagi kat Kak Long saya tapi dalam nada suara yang kuat sebab saya memang nak Kakak dengar suara saya. Saya masih berusaha pancing dia untuk pandang saya. Saya kata, “Tu... dia tengah mengutuk Ami tu. Mesti dia kata, ‘Saya ada seorang Mak Tam tapi Mak Tam saya jahat!’ Mesti tu yang dia tulis tu.” Kak Long saya terus ketawa dan saya tengok Kakak macam tahan senyum aje. Malas cakap banyak, saya pergi dekat dia dan terus peluk dia kuat-kuat, saya cium kepala dia dan saya kata macam ni, “Alah sayang...”

Hanya itu aje ayat yang saya keluarkan dan dia tetap tahan diri dia. Tapi saya nampak dia dah makin cool, mungkin sedikit terpujuk. Tak terkeluar perkataan ‘maaf’ dari mulut saya. Mungkin sebab saya mak cik dia, maka saya ada sedikit rasa ego [tak elok macam ni tau]. Lepas tu baru saya tahu, dia merajuk bukan sebab saya marah dan bebelkan dia, dia merajuk sebab saya bagi Adik Nana [adik dia] main SGT tu tapi saya tak bagi dia main. Oh... memang salah saya! Patutnya saya keraskan hati saya masa Adik Nana pujuk. Tapi sungguh, masa tu saya sangkakan dia dah tidur sebab mata dia tertutup rapat.

Balik dua minggu berikutnya, saya belikan dia baju dan saya suruh dia pilih sendiri ikut minat dia [nampaknya dia memang minat sebab dia asyik pakai baju tu aje, hahahaha] dan saya bawa dia makan Tutti Frutti sebab saya nak tebus salah saya pada dia. Saya kata juga kat dia, result UPSR dia okey, saya belikan dia i-Pad dan dia ingat saya main-main, saja nak beli jiwa dia. Saya kata, ‘Kita sama-sama tengok!” Dan kanak-kanak... tetap juga kanak-kanak, jiwa dia orang bersih. Saya tahu dia dah lupakan apa yang berlaku bila tangan saya dicapai dan cium masa saya sampai rumah ayah dia. Untuk Kakak... “Sorry, dear. Jadi anak yang baik ya..”, ;-)

- CINTA BUAT EMELDA & KASIH ANTARA KITA -

February 13, 2012

Drama ni tak jadi tayang dalam Slot Akasia TV3 pada 13 Februari 2012! Ya... cuma itu yang dapat saya jelaskan kepada kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak yang tentu juga mudah memahami dan penuh pula dengan pengertian. Harap-harap lepas ni janganlah ada yang bertanya lagi kenapa dan mengapa tak tayang ya, kawan-kawan? Kalau nak tanya juga, tak salah dan tentu aje tak kena tangkap dengan polis sebab ada banyak lagi kerja yang polis nak buat selain daripada fikirkan hal yang tak berkaitan. Cumanya, jawapannya tak adalah ya sebab saya sendiri pun tak tahu nak jawab apa.

Apa? Kata tayang Februari 2012, lepas Gemersik Kalbu? Ya... itu memang perancangan yang saya tahu dan juga dah diberitahu oleh para pelakon yang menjayakan drama adaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA [KAK] tu. Saya pun ada tulis dalam N3 ni yang drama CINTA BUAT EMELDA tu akan ditayangkan di TV3 untuk Slot Akasia pada bulan Februari 2012. Tapi bukan setakat itu aje yang saya tulis ya. Saya turut menambah statement ini, ‘Sama ada tarikh itu akan berubah atau sebaliknya, SAYA TAK DAPAT NAK PASTIKAN sebab saya pun tak tahu’.

Dan bila CBE betul-betul tak jadi tayang bulan ni, ramai yang bertanya pada saya. Ada juga yang kata frust sebab ganti drama Gemersik Kalbu, bukan CBE sedangkan mereka dah berkobar-kobar nak tengok KAK yang dah bertukar jadi CBE tu. Saya nak kata apa ya bila saya sendiri pun tak tahu? Boleh tak kalau saya kata, manusia hanya mampu merancang sedangkan di sebalik apa yang dirancang, ada ALLAH sebagai perancang utama? Rasa-rasanya... jawapan ni sangat ideal walaupun agak klise bagi sesetengah orang.

Pagi ni, bila iklan drama Atas Nama Cinta [bukan adaptasi ya kawan-kawan] dah keluar kat TV3, ada dah yang tanya bila pula CBE akan ditayangkan. Hoho... sekali lagi saya terkelu lidah, masih tak tahu nak jawab apa dan macam mana. Benda tak pasti, saya tak berani nak memandai-mandai, bimbang dianggap yang bukan-bukan sebab saya bukan jenis manusia yang suka tanam tebu tepi bibir. Berjanji pada sesuatu yang tak pasti, bukan saya orangnya. Apa kata, tanyakan sendiri pada pihak yang sepatutnya supaya jawapannya tepat dan tak menyimpang.

Yang boleh saya katakan, CBE memang akan ditayangkan macam yang dijanjikan KALAU TAK ADA ARAL [kalau ada aral, itu persoalan yang lain yang mungkin akan dijawab kemudian]. Hanya bila tarikh yang tepat, itulah yang saya tak boleh kata. Mungkin bila iklan dah keluar kat TV3, itulah masa CBE ditayangkan untuk tatapan saya dan juga kawan-kawan.

Tapi bagi saya sendiri, CBE tak ditayangkan bermula hari ni, juga ada hikmahnya yang tersendiri. Kalau tayang, minggu depan saya akan terlepas tengok siri tu selama 4 hari berturut-turut sebab saya nak sambung pergi ‘jalan-jalan menghabiskan duit’. Boleh tengok kat tonton kan? Ya... itu saya tahu tapi tengok di tonton dengan tengok di TV, sangatlah tak sama kesannya. Sangatlah tak best!

Apa pun, pada yang selalu memberikan sokongan pada saya, terima kasih berjuta-juta lemon. Harap kita semua, baik-baik aje... ;-)

- SeLaMaT hArI lAhIr AdIk! -

February 11, 2012

Hari ni hari ulang tahun kelahiran adik pertama saya, Hasrul Wahab. Yang kedua atau yang bongsu namanya Halmi Wahab. Diam tak diam dah 28 tahun dah dia jadi adik saya. Cepatnya masa berlalu sampai kadang-kadang saya sendiri tak perasan. Yalah… dulu dia kurus, sekarang dah tak kurus lagi. Dulu memang gelap, sekarang jadi makin gelap sebab dia selalu ikut abah saya ke laut bila hujung minggu.

Adik saya tu memang adik kandung saya, bukan adik orang lain walaupun dia selalu kata saya anak yang abah jumpa celah pokok bakau masa tangkap ikan. Tapi macam biasa saya mana nak kalah dengan dia sebab saya kan kakak. Saya balas balik, masa saya lahir dia tak ada, jadi… dia tak nampak kalaupun memang saya anak yang dilahirkan pokok bakau. Tapi masa dia lahir, saya ada. Jadinya, dengan mata saya sendiri saya nampak abah ambik dia dari dalam tong sampah. Lepas saya cakap macam tu, macam biasa sesi kutuk-mengutuk pun bermula dan sebenarnya itulah yang merapatkan saya dan dia.

Dan ya, dia memang adik saya. Hanya bagi saya, dia bukan sekadar adik semata-mata. Tapi dialah adik yang merangkap kawan pada saya. Dengan dia, saya boleh kongsikan apa aje yang nak saya kongsikan, dari sejak kami remaja sampai masing-masing dah tua bangka macam sekarang ni. Dengan dia, saya bebas bercakap atau meluahkan apa aje yang nak saya luahkan kerana dia pendengar yang sangat baik. Dengan dia saya boleh minta tolong apa aje. Dengan dia saya boleh bersikap ala-ala bos atau mem besar [kalau dah dasar kakak gila kuasa, tetap juga gila kuasa kan?].

Jadinya, untuk adik saya Hasrul Wahab, SELAMAT HARI LAHIR, MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI dan SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG – Sila jadi anak yang baik, adik yang baik, abang yang baik, suami yang baik dan papa yang baik untuk anak-anak buah bertuah akak tu, Aqqif dan Manja. Kalau tak, AWAS yA!!!

- MiNgGu-MiNgGu YaNg LeTiH -

February 10, 2012

Pernah satu ketika dulu, saya terasa nak berhenti menulis walaupun ketika tu minat menulis dan rasa nak menulis dalam diri berkobar-kobar. Tapi... berkat kasih seorang ibu, rasa nak berhenti tu hilang bila mak saya dengan kuasa magis yang ada pada dia terus-terus-terus memujuk walaupun dia tak dibayar oleh mana-mana syarikat, tak juga dilantik sebagai duta dalam bab pujuk-memujuk. Dia buat macam tu bukan sebab apa-apa atau tak juga dengan niat apa-apa, tapi sebagai seorang ibu dia selalu tahu apa yang saya nak dalam hidup, apa yang mampu menggembirakan saya, sama macam dia selalu dapat baca apa yang ada dalam hati dan fikiran saya. Pendek kata, kalau berdepan dengan mak saya, sila pasakkan dalam kepala dan dalam hati dengan kata-kata; ‘Jangan Sesekali Cuba Membuat Helah Atau Menipu Kerana Helah Kamu Tu Tak Akan Berhasil’.

Saya bukan buat-buat cerita okey! Tapi saya bercakap berdasarkan pengalaman. Pernah satu ketika masa saya masih bergelar pelajar sekolah menengah, sebab saya tak suka dengan satu cikgu ni dan tak suka juga dengan subjek yang diajar, saya dengan bangganya balik dan berhenti di sekolah rendah. Tanpa ada rasa bersalah, buka paip air, lepas tu... marilah mandi air paip hak sekolah rendah dengan jayanya sambil tergelak-gelak dengan dua orang kawan yang satu kepala dengan saya. Kepala menipu! Bila dah lencun satu badan, saya pun berjalan balik ke rumah dengan air muka muram. Konon-kononnya, dalam perjalanan menuju ke sekolah, saya tertimpa hujan sebab saya tak bawa payung.

Macam biasa, mak saya yang memang pantang bila tengok anak ponteng sekolah, mula bertukar jadi polis pencen. Habis semuanya disoal siasat macam saya dah buat salah yang memerlukan saya dihukum pancung guna pedang samurai [Keris Taming sari tak boleh ya, bimbang Hang Tuah marah]. Saya pun jawab ajelah walaupun dalam hati takut tak ingat. Resam orang buat salah, selalu aje dihantui rasa bersalah. Akhirnya, mak saya terus tinggalkan saya dan tahulah saya yang dia tengah marah. Sudahnya, sehari suntuk kami anak-beranak tak bertegur sapa. Saya yang tak suka duduk rumah tiba-tiba jadi anak dara sunti sebab tak berani nak ke mana-mana lepas dah ponteng sekolah.

Tapi... tajuk N3 hari ni tak ada kaitan pun dengan bab saya ponteng sekolah zaman dulu-dulu kala tu. Itu hanya mukadimah yang sangat panjang dan kaitannya, dulu saya pernah terasa letih nak menulis pada saat saya tak memerlukan rasa letih tu. Dan akhir-akhir ni saya terasa letih sekali lagi. Hanya rasa letih kali ni mungkin tak mampu membuatkan saya rasa nak berhenti menulis kerana saya terasa perjuangan saya masih panjang. Saya masih belum puas bergelar penulis novel dan yang pasti saya akan pastikan rasa letih ni pergi selepas saya balik dari bercuti nanti. Lebih daripada itu, saya tak nak kecewakan mak dan abah saya sebab saya tahu mereka berdua sangat berbangga dengan sedikit anugerah yang ALLAH berikan pada saya.

TERUS CINTAI AKU [BUKAN MEMUJA BULAN]... ini mungkin tajuk novel saya yang ke-9. Alhamdulillah... dah sampai pun ke proses terakhir walaupun saya masih belum lihat baju novel tu lagi. Terus terang saya kata, TCA benar-benar buat saya terasa macam nak luik. Entah kenapa, perjalanan saya kali ni terasa agak sukar. Mungkin sebab sejak awal tak ada masalah, maka pada akhirnya kesukaran tu jadi berkali-kali ganda. Sampai ke saat ni walaupun kerja saya dah selesai, semua anggota yang ada pada badan saya termasuk minda, seakan-akan tak lagi bersatu, semua terpisah-pisah dan perpisahan tu buat saya rasa letih dan lesu.

Saya tak tahu apa penerimaan pembaca terhadap TCA sebab masih belum terbit. Tapi saya berharap TCA akan dapat terus mengikat hati pembaca novel ALEYA ANEESA supaya terus membaca novel-novel akan datang dan juga dapat menarik hati pembaca yang mungkin baru kenal ALEYA ANEESA supaya membaca novel-novel sebelum ni, ;-)

- SeLaMaT hArI lAhIr -

February 7, 2012

5 Februari 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-3 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA MOHAMMAD NAQIB ZAKWAN"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA NAQIB [Masih pesanan yang sama macam Mak Tam bagi untuk ABANG AQQIF hari tu] - Sorry, tahun ni Mak Tam tak dapat membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab Mak Tam sangat sibuk. Tapi nak bagi tahu walaupun Naqib cuma boleh baca pesanan ni bila dah sekolah nanti, Mak Tam nak kata yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Naqib. Cepat cakap macam bertih goreng ya!

- NoVeL kE-9 [bAkAl TeRbIt]: TERUS CINTAI AKU -

February 2, 2012

Terus Cintai Aku... kisah ini kisah Zalis dan Khilfie. Kisah Zalis yang setia memegang janji dan kisah Khilfie yang lupa pada janji selepas bertahun-tahun masa berlalu. Mereka berdua saya wujudkan dalam novel ini sebagai mewakili orang yang berjanji dan yang menerima janji kerana sememangnya manusia itu sangat sinonim dengan yang dinamakan JANJI. Mungkin disebabkan memang ‘dasar lidah tak bertulang’, maka laju saja bibir kita mencipta janji sehingga kadangkala janji kita seperti tidak ada nilainya, bukan hanya di mata orang tapi di mata kita sendiri.

Betul, berjanji memang mudah. Mungkin semudah membaca ABC bagi yang tahu membaca. Malah dari usia kecil pun saya kira, kita semua sudah tahu bagaimana hendak menabur janji, satu kemahiran yang tak perlu diajar oleh sesiapa. Ketika itu, soal janji dikotakan atau tidak, bukanlah perkara besar. Yang penting kita sudah berjanji! Tapi sebenarnya janji akan jadi sangat sukar seandainya tidak dikotakan. Pada yang berjanji, kemudian melupakan atau terlupa, kesannya mungkin tidak ada atau tidak begitu ketara. Sebaliknya impaknya akan jadi sangat besar pada yang berharap janji yang dikata akan dikota, apalagi jika sudah memegang janji itu dalam jangka masa yang sangat lama. Kalau bukan jiwa yang parah, mungkin fizikal yang terasa letih.

Makanya, jangan sesekali menabur janji pada sesuatu yang kita sendiri tak pasti dapat dijadikan kenyataan. Sebaliknya berjanjilah pada perkara yang memang kita yakin boleh ditunaikan.