- SAYA DI SINAR HARIAN: ALEYA ANEESA TERUS AKTIF BERKARYA -

June 30, 2014


TERKENAL dengan karya-karya yang mengangkat tema cinta, novelis Aleya Aneesa tidak lupa tanggungjawab menggarap kisah yang sarat dengan nilai-nilai berguna buat pembaca.Akui menulis telah menjadi satu ‘kegilaan’ buat dirinya, anak jati Johor ini amat menitik beratkan kepuasan pembacanya dalam meniti jalan cerita yang dihasilkan.Untuk mengetahui lebih lanjut kisahnya, mari kita ikuti temu bual bersama novelis popular ini!

Pertama sekali, apa perkembangan terkini anda?
Novel terbaharu saya bersama Alaf 21 berjudul, Kahwin Dengan Saya? baru saja diterbitkan pada bulan April 2014. Untuk masa ini saya sedang berusaha untuk menyiapkan draf manuskrip yang ke-24.

Ramai pembaca hanya mengenali anda menerusi karya novel, mungkin boleh berkongsi lebih lanjut mengenai diri anda?
Nama sebenar Marwati Wahab dilahirkan pada 16 Mei 1980 di Kampung Sungai Melayu, Johor Bahru, Johor Darul Takzim. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Sungai Melayu, Sekolah Menengah Sultanah Engku Tun Aminah dan Sekolah Menengah Maktab Sultan Abu Bakar. Kemudian meneruskan pengajian di Universiti Putra Malaysia dalam bidang Bahasa dan Linguistik Melayu. Bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur sejak tahun 2005 hingga kini.

Perjalanan seseorang novelis mungkin berbeza. Sejak bila anda berjinak-jinak dalam dunia penulisan?
Minat menulis lahir akibat daripada minat membaca buku-buku cerita ketika berada di sekolah rendah dan kemudian bersambung di sekolah menengah. Mula menceburkan diri dalam bidang penulisan kreatif pada tahun 1996 dengan tersiarnya cerpen pertama berjudul “Kasih di Hujung Tanduk” yang disiarkan di Majalah Media Hiburan ketika itu saya baru berusia 16 tahun.

Berapa banyak koleksi novel yang telah anda hasilkan setakat ini?
Sepanjang bergelar penulis, saya telah hasilkan sebanyak 23 buah buku. Saya mula menempa nama dalam dunia penulisan melalui novel berjudul “Kasih Antara Kita”. Novel ini pernah diadaptasi menerusi slot Akasia, “Cinta Buat Emelda” siaran TV3 pada 2012.

Idea yang kreatif pasti beri kelebihan dan keunikan buat seseorang penulis menghasilkan karya yang bermutu. Apakah kelainan yang ditonjolkan dalam setiap penulisan anda?
Setiap novel saya mengetengahkan tema cinta, namun pada masa yang sama ia juga digabungkan dengan elemen kekeluargaan. Bagi saya, keluarga adalah tunjang masyarakat. Jadi banyak mesej dan nilai-nilai murni saya terap untuk untuk pembaca dan bukannya kisah cinta semata-mata.

Tanpa usaha yang keras, mungkin seseorang itu tidak akan berjaya. Apakah cabaran utama anda sepanjang bergelar penulis?
Cabaran yang paling besar pernah saya hadapi, ketika menghasilkan novel, Tanpamu Aku Rindu, di mana jalan ceritanya agak sukar untuk ditamatkan. Tanpa sebab yang jelas saya seperti kehilangan sentuhan dan semangat untuk menamatkan penulisan itu.

Akhir sekali, sudah lebih 10 tahun bergelar penulis, bagaimana anda melihat perkembangan dunia penulisan kini?
Dunia penulisan tanah air pada masa kini terdapat perubahan yang sangat ketara sejak 10 ke 15 tahun kebelakangan ini. Ini bukan hanya dapat dilihat daripada bilangan pembaca yang semakin meningkat dari sehari ke sehari, tapi juga boleh diukur dengan kehadiran penulis dari pelbagai peringkat umur dan latar pendidikan. Bagi pihak pembaca pula, mereka juga mempunyai lebih banyak pilihan dalam memilih karya yang menepati selera masing-masing. Kesimpulannya dunia penulisan pada hari ini lebih meriah dan penuh warna-warni.

BACA ONLINE: BOLEH TENGOK SINI...

- RAMADAN YANG DATANG... -

Salam Ramadan untuk yang menjengah. Hari ni masuk Ramadan yang ke-2 pada tahun 2014 dan rasanya masih belum terlambat untuk ucapkan selamat menjalani ibadah puasa pada semua umat Islam yang ada di dunia ini, tak kira walau di mana pun korang berada. Ceh... cara cakap macam blog ni diterjah seluruh pelosok dunia. Kan? Tapi sesekali seorang Marwati Wahab a.k.a. Aleya Aneesa nak rasa perasan, tak apa kot. Lagipun ada yang kata, yang perasan jangan ditimpa perasaan. Kerana saya tak ditimpa perasaan, maka bolehlah ditimpa perasan. Tak kena bayar. Kan?

Sebenarnya terasa betapa cepatnya masa berlalu. Tak sedar Ramadan dah datang. Padahal terasa macam baru semalam aje saya sambut Hari Raya Aidilfitri dengan baju warna maroon, sedondon dengan seluruh ahli keluarga saya. Dan, terasa macam semalam juga saya rasa nak mengamuk bila sebahagian gambar raya tak dapat dibuka. Sedangkan masa raya kami semua sakan beraksi depan kamera masa raya tu. Entah apalah yang tak kena dengan CIK D saya tu. Agaknya sebab dah 4 tahun guna tapi tak pernah sekali pun servis. Sampai sekarang pun saya masih tak hantar kedai. Nak servis sendiri, alamat ada yang jahanam dikerjakan jari-jemari tak lembut saya ni.

Dan Ramadan tahun ni, saya tak mengharapkan keajaiban luar biasa datang dalam hidup, cukuplah jika Ramadan saya berjalan lancar seperti tahun-tahun sebelumnya. Dapat disambut dengan kemeriahan seadanya. Lebih daripada itu, saya diberikan kesihatan yang baik untuk menjalani ibadah saya selama sebulan ni. Yalah, bukannya sepanjang tahun ada bulan Ramadan. Hanya sebulan semata-mata.

Tapi dalam pada menjalani bulan Ramadan, ada tugas yang perlu saya selesaikan dan harus dihantar sebelum raya. Jumlah halaman yang diminta saya buat memang tak banyak dan saya yakin saya mampu menyudahkan dengan mudah. Kalau betul tekun dan mood pun sangat baik, dalam masa 5 hari saya boleh selesaikan kerana saya sangat suka menulis. Sangat suka. Cumanya, menulis dengan deadline, itu yang menjadi masalah saya. Sebabnya,  saya tak biasa dan idea juga mood saya bagaikan dikunci dengan tarikh yang diberikan.

Selama ni saya memang gila menulis, tapi saya menulis ikut suka saya. Tak ada tarikh yang orang beri pada saya. Saya penulis bebas maka saya bebas dalam dunia penulisan saya sendiri. Ada yang saya sudahkan menulis dalam masa 2 bulan, 3 bulan, 4 bulan, 5 bulan dan 6 bulan juga ada. Tapi deadline, memang kelemahan saya.

Draf memang dah ada, dah lengkap. Idea pun tak sukar mana nak mencarinya. Cuma mood seakan-akan ke laut. Saya hanyut melayan rutin harian yang seakan-akan tak ada kesudahan. Tapi walau macam mana pun, saya akan usahakan juga untuk siapkan kerja tersebut seperti tarikh yang diminta. Hanya saya berharap dan berdoa, ALLAH permudahkan usaha saya ini. Kerana yang boleh membantu, hanya DIA dan saya selalu percaya yang DIA akan selalu memberikan pertolongan kepada yang memerlukan.

Saya stop dulu. Lepas ni saya akan usahkan juga untuk lebih rajin menconteng di sini. Untuk itu, selamat menjalani ibadah puasa pada korang semua. Moga Ramadan kita tahun ni lebih bermakna daripada tahun-tahun sebelumnya. Lebih penting lagi, kita terpelihara daripada melakukan perkara-perkara yang dilarang.. ;-)

- SUDAH CETAKAN KE-2 -

June 27, 2014

Syukur alhamdulillah atas segala nikmat dan rahmat yang ALLAH berikan pada saya. Diam tak diam, novel ke-12 saya iaitu “KAHWIN DENGAN SAYA?” dah pun masuk cetakan yang ke-2 pada bulan Mei yang lepas. Ini bermakna kisah kasih Haq & Qara ini diulang cetak selepas hanya sebulan berada di pasaran.

Jujurnya, setakat hari ini saya banyak menerima komen-komen yang positif walaupun saya akui bukan semua orang akan berpuas hati setelah menutup naskhah KDS ini kerana manusia memang dijadikan dengan hati yang tak serupa. Tapi sebagai penulis novel tersebut, saya telah berusaha melakukan sedaya mungkin untuk memastikan pembaca tak membaca KDS hanya separuh jalan.

Insya-ALLAH, sebarang kekurangan akan cuba saya perbaiki dari semasa ke semasa kerana saya percaya betapa proses belajar itu tak pernah habis biarpun saya bukanlah seorang penulis yang baru. Dah masuk ke peringkat penulis berkarat, agaknyalah ya.

Untuk itu, kepada yang membaca dan membeli KDS, terima kasih berjuta-juta lemon saya ucapkan. Untuk yang mahu membaca KDS tetapi belum mendapatkannya, kat kedai masih banyak lagi. Semoga kita semua bergembira dan berbahagia tak kira walau di mana pun kita berada. 

- PATAH TUMBUH HILANG TAK BERGANTI (II) -



Jarang, jarang dan makin jarang saya mencoret di sini. Sibuk memanglah sibuk tapi tak mungkin sampai tak ada masa langsung nak menjengah ke sini. Kan? Entah. Mungkin yang sebetulnya, rasa malas yang menggebu-gebu menyapa diri. Ya, betullah tu! Tak perlu buat alasan kalau hakikatnya memang jelas dan nyata. Dan ini pun, masih lagi duduk dalam zon malas. Cuma saya gagah-gagahkan juga jari-jemari tak runcing ni untuk terus menari di atas keyboard hitam ni.

Kenapa? Kenapa hari ni saya tiba-tiba aje jadi rajin? Tentu ada sebab kerana setiap kejadian di dalam dunia ni berpakejkan sebab dan akibat. Dan sebab hari ni saya jadi rajin tentulah ada sesuatu yang nak saya sampaikan. Atau lebih tepat lagi saya nak mencoret tentang seseorang. Seseorang yang bakal meninggalkan saya dan kawan-kawan di Bahagian Buku Sastera beberapa jam saja lagi.

Adeh... belum pun bermula, mata saya dah bergenang dengan air. Rasa sayu dan sebak bagaikan menderu-deru masuk ke hati. Tapi biarlah banjir DBP sekalipun, saya tetap akan menyudahkan N3 saya hari ni. Kerana ini, N3 pertama untuk dia yang saya panggil BOS a.k.a. Puan Asiah Daud. N3 pertama pada hari terakhir dia di sini.

April 2013, saya menerima bos baru selepas bos lama dipindahkan ke Bahagian Harta Intelek. Takut? Tidak. Saya tak takut untuk menerima seorang bos baru kerana tak ada sebab untuk rasa begitu. Tapi risau. Ya... ada juga perasaan tu masuk dalam hati. Maklumlah, saya tak kenal dia sangat. Hanya sesekali berselisih di tandas atau di aras 10 ini kerana kami ditempatkan di aras yang sama. Malah yang saya ingat sangat, dia pernah jadi panel penceramah masa awal-awal saya kerja dulu. Hanya setakat itu walaupun ada juga serba sedikit tentang dia yang saya dengar.

Bila dia sah bergelar bos pada saya, dalam meeting dia bagi tazkirah ringkas. Okey... saya terkejut! Sebabnya dah beberapa orang bos bersilih ganti menjadi bos saya walaupun saya tak mana-mana, masih kekal di tempat yang sama; dan dialah bos pertama yang berbuat demikian. Bagus! Memang sangat bagus walaupun apa yang disampaikan kadang-kadang kami praktikkan dan kadang-kadang kami buat macam angin. Hanya yang paling terkesan, tazkirah tentang menjaga lidah. Yang sangat unik kejadiannya tetapi sangat berbisa sebenarnya. Sampai ke hari ini saya dan kawan-kawan akan mengulang ayat ‘jaga lidah’ kalau kata-kata yang diluahkan tersasar.

Terus terang kata, awal-awal kemasukan dia yang kecil molek itu, saya macam blur. Mungkin kerana selama ini saya jenis yang slow and steady dan dia pula jenis lipas kudung. Pendek kata, semuanya dia nak cepat dan tak boleh lambat. Dan dengan itu, bermulalah hidup saya jadi kucar-kacir. Bukan saya aje, kawan-kawan yang lain juga. Memang sangat-sangat susah mengikut rentak kerja dia. Saya yang berumur muda sekali ganda dia, tak terkejar. Hari-hari saya rasa tension, tension dan tension. Sakit kepala pun macam kerap aje datang. Muka pun tak payah katalah. Tak manis langsung dan dahi sentiasa aje berkerut mengalahkan orang tua umur 100 tahun. Yang ada dalam kepala saya, saya nak buat semua yang dia suruh walaupun kadang-kadang saya rasa macam tak mampu.

Tapi... itu hanya pada peringkat permulaan. Bukannya mudah kan nak berasimilasi dengan orang baru? Segala-galanya memerlukan ruang dan peluang kerana inilah yang dinamakan hidup dan kehidupan. Jadi, secara perlahan-lahan saya cuba mengikut rentak dia. Macam orang kata, kalau orang tak nak ikut rentak kita maka kita ikutlah rentak orang. Bila dah dapat ikut, sebenarnya tak adalah susah mana. Senang aje! Macam makan gula-gula kapas yang akan mencair dengan sendiri bila dimasukkan ke dalam mulut.

Buktinya secara peribadi, saya rasa saya dah memecahkan rekod kerja saya selama 8 tahun. Tak pernah saya dapat apa yang saya dapat tahun lepas. Orang minta 7, saya bagi 10. Tahun ni pun baru bulan Jun, saya dah dapat 10 sedangkan untuk sepanjang tahun saya patut dapat 8 aje. Memang kalau diikutkan, berat tapi saya sangat puas. Kalau pun tak ada yang berbangga dengan saya, tak ada yang memandang kewujudan saya di sini, saya rasa gembira dan bahagia bagi pihak diri sendiri. Sekurang-kurangnya saya dah mencabar diri saya untuk menyahut cabaran dia.

Dan dia, dalam masa 1 tahun 2 bulan, dia dah berjaya mengubah banyak benda di sini. Tak tahu macam mana dan apa yang dia dah buat tapi memang keadaan dah berubah banyak. Masing-masing seakan-akan leka dengan kerja, larut untuk menyudahkan tugas masing-masing. Namun, dalam pada itu kami masih riuh dan kecoh sampai kadang-kadang macam melampau. Maklumlah Pasar Selayang! Itu kami sendiri yang gelar. Tapi dia faham dan mengerti betapa kami pun perlukan sesuatu untuk meredakan tekanan. Pernah dia kata pada yang lebih atas daripada dia, “Budak-budak ni bising tapi kerja jalan.” Ya... tentunya dia akan pelik agaknya kalau kami semua senyap dan sunyi. Dan lepas ni, tentunya keriuhan kami itu akan menjadi kenangan untuk dia.

Hari ni 27 Jun 2014, sebetulnya hati saya berat nak lepaskan dia pergi. Macam baru sangat dia di sini dan kami masih perlukan lebih banyak ilmu daripada dia. Kami perlukan teguran dan tunjuk ajar kerana ada banyak benda yang kami masih tak tahu dan mahu tahu. Tapi... siapa saya nak melawan takdir? Esok dia genap 60 tahun, usia yang sama dengan mak saya yang tersayang. Mahu atau tak, dia harus juga berpencen dan secara rasminya dia akan meninggalkan saya dan kawan-kawan di sini meneruskan rutin harian bersama bos yang baru.

Sedih! Sangat! Tapi tetap harus diterima kerana ini juga sesuatu yang nyata. Semua orang akan melalui proses ditinggalkan dan meninggalkan, sama ada abadi ataupun tak abadi. Lambat dan cepat juga bukan penentu sama ada seseorang itu mampu bertahan di hati kita atau tak. Mungkin inilah yang berlaku pada kami dan dia di sini.

Saya dah habis kata-kata dan saya tak mahu terus mencoret kerana hati saya terasa berat, sama berat dengan mata saya. Di dalam bilik sana, dia masih bercerita dengan kawan-kawan dia yang tentunya juga berat hati nak melepaskan dia pergi. Ya... dia belum pun pergi tapi saya dah rasa rindu dan dah rasa kehilangan. Okey... saya benci berpisah dengan orang yang saya fikir dekat di hati saya!

Untuk dia, bergembira dan berbahagialah walau dalam apa keadaan sekalipun dan jangan lupakan kami di sini. Semoga rahmat ALLAH sentiasa ada untuk dia. Dan TUHAN, tolong jagakan dia untuk kami, ;-)