- BERANGAN TAK KENA BAYAR... -

September 17, 2014

“Lebih baik jadi burung camar itu! Lebih baik jadi burung. Sekurang-kurangnya kita tak menyusahkan makhluk lain dan menyakitkan hati orang..."

Tersenyum sendiri saya saat membaca kata-kata di atas. Salah satu dialog yang terdapat dalam antologi cerpen yang pernah saya edit dulu. Tak sangka sebenarnya sebab dulu pun saya pernah berkata benda yang sama. Mengangankan benda yang sama. Tapi dialog saya taklah berbunyi macam tu. Tapi macam ni:

“Kalau diberi pilihan, kau nak jadi apa?” tanya seorang kawan rapat.

“Kalau diberi pilihan aku nak sekali jadi burung. Burung camar!” Begitu tak berperasaannya saya ketika menjawab pertanyaan itu. Tapi ketika itu masa tu saya rasa gembira sebab dikelilingi kawan-kawan yang seramai 5 orang itu. Hingga kini pun kalau teringat dialog itu saya senyum, senyum dan terus senyum.  Ketawa yang pecah macam puing-puing kat laut pun tetap segar dalam kepala saya ni. Betul... saya rindu sangat pada mereka.

“Aku ingat kau pandai sangat,” mencelah lagi seorang kawan.

“Rupanya...” kata sengaja dihentikan.

“Kenapa”

“Yalah, dah TUHAN jadikan manusia ada ke patut nak jadi burung.”

Masa tu saya hanya tersengih aje. Rapat macam isi dan kuku pun mereka tak akan mengerti atau rasa apa yang ada dalam hati ini. Tapi saya tak pernah menyalahkan mereka kerana soal hati itu sesuatu yang misteri. Kadangkala kita ingat kita dah tau atau cukup kenal tapi sebenarnya tak ada apa pun yang kita tahu.

Dan sampai sekarang, mungkin saya masih juga nak jadi burung camar. Angan-angan yang  sangat jauh. Tapi sekarang ni saya taklah begitu bersungguh-sungguh nak jadi burung camar tu. Hanya suka ciptaan itu semata-mata sebab saya dah cukup gembira dan bahagia jadi saya yang hari ni.

Kenapa saya pernah nak jadi burung? Saya tak ada jawapan. Cumanya saya selalu melihat burung itu sebagai salah satu makhluk TUHAN yang bebas. Boleh terbang ke mana saja tanpa peduli pada apa-apa. Betul ke macam tu? Ah... pastinya tak begitu kerana burung terbang di atas sana sebab memang begitu kejadiannya. Kalau ditanya pada burung itu, entahkah suka entahkan tak. Dan saya? Saya sebetulnya bersyukur dan berpuas hati kerana telah dijadikan sebagai manusia. Ciptaan ALLAH yang paling mulia di dunia ini. Apalagi lengkap dengan akal fikiran yang tentunya tak ada pada makhluk lain. Ya... saya bukan hanya bersyukur tetapi saya sangat bersyukur.