- Pesta Buku & Kisah Itu-

April 3, 2008

Salam buat semua. Esok bermula Pesta Buku Kuala Lumpur di PWTC seperti yang semua orang tahu. Tahun ini aku sekali lagi akan hadir. Insya-ALLAH kalau tak ada aral melintang, aku akan ada di booth Alaf 21 pada 5-6/4/2008 dan 12-13/4/2008. Tapi pada 5 hb tu, macam mana agaknya ye... aku kena juga pergi ke booth FP (Fajar Pakeer) juga dalam masa yang sama. Sempat ke aku? Bukannya aku tamak, sebenarnya aku memang dah berjanji lama dengan Alaf 21 yang aku akan hadir pada 5 hb tu, kemudian Uncle Pakeer pula minta aku, Bikash, Ebriza dan Kak Fishah datang ke booth FP. Macam mana ye aku nak menolak? Sedangkan aku ikut menulis di FP dan janji yang dibuat tak patut pula kalau dicampak macam tu aje. Hari lain pula, pihak FP dah tetapkan penulis lain. Jadi... aku sanggup jugalah walaupun rasa serba salah. Bikash kata, aku patut buat maraton nanti. Bolehkah? Cuba ajelah... rasa-rasanya, di mana-mana pun sama juga sebab tetap aku orangnya walaupun dengan nama yang berbeza.

Dan Pesta Buku? Hem... tiap kali menjelang Pesta Buku ni, aku teringat satu peristiwa yang tak sepatutnya berlaku pada tahun 2006. Memang aku yang cuai. Tapi disebabkan Pesta Buku itu jugalah aku masih percaya kalau di Kuala Lumpur yang terkenal dengan kata-kata 'kau adalah kau dan aku adalah aku', rupa-rupanya masih wujud insan yang baik hati dan mulia. Siapa insan itu? Entahlah... sampai ke hari ni pun aku masih tertanya-tanya sebab aku tak sempat bertanyakan nama uncle tu, hanya sempat mengucapkan terima kasih dengan muka yang pucat lesi.

Ceritanya begini, hari terakhir Pesta Buku, gara-gara tak tidur malam sebab menghabiskan sebuah novel dan tak juga ambil sarapan, aku pitam dalam LRT. Tapi taklah sampai pengsan, cuma pandangan aku gelap. Mula-mula pijak lantai LRT pun aku dah dapat rasa yang aku memang dapat bahagian hari tu sebab tu bukan pertama kali gejala-gejala tu aku alami. Tapi aku gagahkan juga, dengan keadaan berdiri, badan dah rasa menggeletar semacam. Mujur juga aku sempat cuit satu adik yang duduk di sebelah tempat aku berdiri, aku cakap kat dia tolong bagi aku duduk sebab aku dah nak tumbang.

Sampai di Stesen PWTC, pandangan aku dah makin gelap tapi sayup-sayup aku dengar perkataan PWTC, aku teruskan juga keluar dah terus berpaut pada palang kat dinding. Mata aku pejam rapat-rapat, apa nak jadi pun jadilah, aku tetap tak buka mata sebab bila buka aku rasa macam bergoyang tapi aku tahu LRT dah pergi dan orang ramai pun dah mula berjalan turun. Lantaklah, aku cuma harap pandangan aku akan terang semula. Lepas tu tiba-tiba aje ada orang cuit bahu aku. 'Kenapa?', dia tanya dan aku cakap, 'mata saya rasa gelap'. Orang tu pun tarik lengan aku dan suruh aku duduk. Aku ikut aje, kalaulah orang jahat memang masak aku masa tu. Lepas tu orang tu pergi dan pesan supaya aku tak ke mana-mana.

Beberapa minit lepas tu, pandangan aku pun dah mula terang dan aku nampak orang tua yang tolong aku dan beberapa petugas LRT dengan jag air dan cawan. Rupa-rupanya uncle tu yang minta diaorang bawakan air suam untuk aku. Masa tu rasa nak menangis pun ada juga, tak percaya dalam dunia ni masih ada manusia yang baik hati. Sebelum minum uncle tu siap pesan suruh aku baca selawat 3 kali dan dia pun ada baca sesuatu, aku tak tahu apa yang dibaca tapi aku dengar dengan jelas macam ayat al-quran. Sekali lagi aku rasa terkejut sebab aku mati-mati sangka dia bangsa Cina sebab muka dia memang sebiji macam orang Cina. Rehat dalam 10 minit dan uncle tu masih temankan aku dengan pekerja LRT. Bila aku dah okey, uncle tu kata dia kena pergi sebab dia kejar masa. Sekali lagi aku rasa nak nangis sebab terharu bila uncle tu keluarkan duit RM 10 ringgit. Aku cakap kat dia terima kasih, aku ada duit tapi dia paksa juga, katanya pergi beli sarapan. Aku akhirnya tak tergamak nak tolak. Aku tak mungkin nak kecewakan uncle yang dah begitu besar jasa pada aku.

Sekarang ni dah 2 tahun berlalu, aku pun dah tak berapa ingat muka uncle tu. Tapi kat mana pun uncle tu berada, aku berdoa semoga dia sentiasa berada dalam rahmat ALLAH. Aku percaya dia orang baik kerana sekian ramai orang yang turun di Stesen PWTC masa tu, dia satu-satunya yang prihatin dan aku selalu percaya, orang yang baik tentu akan dapat balasan yang baik juga. Semoga akan ada yang membantu jika uncle tu berada dalam kesusahan. Begitu juga pada adik di dalam LRT dan pekerja-pekerja LRT yang sanggup meninggalkan kerja seketika kerana aku. Dan, kepada sesiapa yang baca kisah ni... ambillah iktibar dan pengajaran. Aku memang bernasib baik kerana berjumpa dengan orang yang mulia, tapi orang mulia tak selalu ada di mana-mana dan pada bila-bila masa. Sekian...

3 comments:

  1. beruntung nya kak aleya coz dipertemukan dgn pak cik yang sangat baik...semoga pak cik tu sentiasa dirahmati Allah...amin

    ReplyDelete
  2. ye fad... akak rasa bertuah sangat sebab ditemukan dengan pak cik yang sangat baik hati tu. nampak kecil tapi kesannya pada akak cukup besar. sampai bila-bila pun akak tak akan lupakan pak cik baik hati tu. moga dia sentiasa ada dalam rahmat Allah hendaknya. Amin!

    ReplyDelete
  3. baiknya hati uncle tu, moga kehidupannya dipermudahkan oleh-Nya, insya-Allah...

    ReplyDelete