- GaSiNg! -

November 24, 2010

“Marwati Wahab @ Aleya Aneesa malam tadi mimpi gasing!”, ataupun “Malam tadi dia tu mimpi kena kejar dengan gasing gergasi!”, tak pun “Terjumpa gasing kat mana-mana kot!”. Pasti itu yang bermain-main di kepala kalian sekarang ni bukan? Kan? Kan? Kan? Tidak! Tidak! Dan tidak! Oh... kalau dah lepas tiga kali aku tekankan perkataan ‘kan’ pun kalian tak mahu mengaku, terpaksalah aku pasrahkan diri, tabahkan hati sebab aku baru sedar kenapa aku tak boleh jadi lawyer. Rupa-rupanya aku tak ada kebolehan membuatkan orang mengaku, dalam erti kata lain aku tak mampu mendesak orang. Dan lagi, aku baru perasan bila tak ada yang mengaku itu ertinya emanglah tak ada orang yang peduli pada aku. (Buat muka sedih sambil lap-lap air mata yang tak ada mengalir kat pipi dalam masa yang sama bimbang kalau-kalau ada air liur basi kat bawah dagu walaupun pagi tadi dah mandi bersih-bersih siap guna shower gel jenama Johnson’s Baby yang lembut sampai terasa ala-ala babylah tiap kali lepas mandi).

‘Melampau kan Kiah mak cik yang sorang tu? Akhir-akhir ni, kau perasan tak yang mak cik sorang tu suka membebel yang bukan-bukan kat blog dia? Langsung dah tak ada cerita fasal dunia penulisan dia yang penuh dengan warna-warni. Kau sedar tak Kiah, dia tak masukkan lagi blurb Cubit Kanan Cubit Kiri dalam blog dia? Tak patut betullah dia tu kan Kiah? Geram betul aku!’

Ohhh... biarlah kalau Minah nak buat aduan rakyat pada Kiah fasal aku yang macam dah lupa diri akhir-akhir ini. Lupa diri? Oh, tidak! Tak mungkin sebab untuk saat ini aku sangat sedar diri, masih tahu kat mana bumi dipijak dan kat mana pula langit yang dijunjung. Aku sayang gila kat Malaysia. (Tapi apa kaitan dengan tanah air pulak ni). Tak kira, aku tak mahu dipanggil lupa diri sebab antara aku dan lupa diri macam tak boleh duduk seguni yang bermakna duduk di dalam guni yang sama. Alah... guni yang dulu-dulu orang buat isi beras tu. Tapi aku rasa lebih manis kalau aku kata yang aku nak beralih angin, lepas aku rasa aku terlalu serius sebelum-sebelum ni sampai benda sekecil hama pun aku besar-besarkan jadi sebesar duit syiling 50 sen. (Betul ke serius?) Hentam sajalah! Tapi sampai bila pula nak merapu macam ni? Tak rasa sia-siakan masa ke? Hem... aku sendiri tak pasti bila tarikh luput pada mood merapu ni akan sampai sebab sekarang ni mood merapu lebih tinggi daripada segala macam mood yang lain termasuk mood menulis novel dan menulis minit kat dalam fail yang terbentang kat depan mata aku ni. Jadi... kalau ada yang rasa tak boleh masuk dengan merapu aku yang tak ada faedah langsung ni, MAAF... mungkin bukan ini blog yang kalian cari. Kalian perlu beralih arah untuk seketika yang belum ada kepastian. (Alahai... tiba-tiba terasa diri emo tak menentulah pulak).

Tapi serius, kalau faedah yang dicari, ilmu yang dimahukan, memang bukan kat sini medannya, bukan juga kat medan selera, tapi Medan Mara kat Jalan TAR mungkin lebih sesuai sebab ada banyak kedai buku dekat-dekat sana yang rata-ratanya bagi 20% diskaun kalau beli novel. Jadi apa tunggu lagi, belilah novel-novel kat sana sebab lebih berbaloi dan tak lupa juga belilah novel yang penulis yang namanya Marwati Wahab @ Aleya Aneesa. Ceh... gaya cakap macamlah kedai-kedai buku kat sana tu lantik aku jadi duta diaorang kan? Ah, tak kisahlah! Blog ni tak sesuai untuk mereka-mereka yang gah, yang tak suka pada perkara remeh-temeh. Contohnya, macam tajuk gasing yang aku beri kat atas tu

Dan gasing, semalam aku tengok iklan Cuti-cuti Malaysia kat TV. Masa tulah nampak satu objek comel yang sejak lahir-lahir lagi aku tahu dah dinamakan gasing. Maknanya, dah terang lagi bersuluh yang bukan aku yang beri nama gasing tu. Kalau kalian rasa nama tu tak sedap, kalian tak boleh saman aku kat mahkamah ya? Tapi pastikan nama baru yang kalian pilih untuk gasing lebih sedap daripada nama yang ada supaya kalian tak terpaksa berjalan sambil letakkan kepala kat dalam baju, atau terpaksa berjalan terhendap-hendap lagak pencuri sebab bimbang dibaling dengan botol, kayu, besi ataupun peti televisyen dan peti ais.


Okey... gasing ni adalah salah satu permainan tradisional masyarakat Melayu. Ada macam-macam bentuk yang kalau disuruh terangkan pun aku tak tahu sebab aku tak pandai main gasing, jauh sekali buat gasing. Bukan tak pernah buat masa zaman kanak-kanak ribena dulu, pernah dan berkali-kali jugalah sebab masa zaman tu aku bukan jenis kanak-kanak yang ayu, sopan dan lagi terpuji orangnya. Aku dibesarkan di tengah-tengah kelompok manusia yang lebih ramai lelaki daripada perempuan, nisabnya mungkin macam ni 1:6, makanya... ayu, sopan dan ala-ala bakal gadis ayu bila dah dewasa nanti memang tak padan DNAnya kalau dipadankan dengan aku. Tapi tak baik menipu tau, jadi aku terpaksa juga mengaku yang dalam nisbah sekecil tu ada jugalah aku main pondok-pondok dan sudah semestinya termasuk main kahwin-kahwin. ;-)

Berbalik fasal gasing tadi, setiap kali cuba buat gasing, setiap kali tulah gasing aku tak jadi. Mungkin lebih sesuai kalau gasing yang dibuat akhirnya bertukar jadi botol, peti surat, sofa, cawan dan yang pasti sama sekali tak ada bentuk yang berkaitan dengan gasing dan keluarganya. Yang selebihnya, tak sempat jadi apa-apa, baru buat tanda pada badan kayu, kononnya yang ni untuk bahagian kepala, badan dan kaki gasing, mak aku dah jerit kuat-kuat sambil rampas parang kat tangan aku dengan wajah merah menyala, tapi taklah sampai keluar api di kedua-dua belah telinga sebab ini kisah realiti bukan dongeng dalam TV okey. Sebab itulah gasing yang aku buat tak pernah jadi sampai aku terpaksa rembat gasing yang abang-abang aku buat. Diaorang rendam dalam gelen dengan alasan yang macam-macam dan aku tak ingat satu apa pun, balik kampung nanti baru tanya semula. Yang aku tau, gasing tu direndam berhari-hari dan ada beberapa buah. Jadi... aku ambil aje yang mana aku suka dan biasanya terpaksa pulangkan balik dengan muka kelat masam ala-ala buah binjai (macam pernah makan) lepas diaorang perasan aku dah songlap gasing diaorang. Itu pun diaorang perasan sebab tiap kali aku pusingkan gasing selalunya kepala gasing akan ke bawah dan kakinya ke atas sehingga mengundang ketawa kawan-kawan yang lain. Isyh... jahat-jahat betul kawan-kawan yang merangkap sepupu-sepupu aku masa tu! Ikut hati memang tak mahu maafkan tiap kali datang raya.

Dan paling sadis sampai tak boleh lupa sampai hari ni, satu petang yang damai (ceh... penulis ni!) adik-adik aku dan sepupu-sepupu main gasing. Masa tu aku dah agak besar agaknya, jadi aku cuma jadi penonton yang paling kecoh. Punya asyik agaknya diaorag main, sedar-sedar... uwaaaaa... aku menjerit macam ternampak hantu sampai mengundang mak ke luar rumah. Mungkin bimbang aku yang dililit dengan tali dan dipusingkan seperti gasing masa tu sebab mainnya tak kecohnya lebih, mana tau ada yang naik darah sebab bengang dikutuk aku. Ohhh... kaki aku dalam tak sedar dah dijadikan medan main gasing budak-budak tu. Elok aje gasing yang dipusing adik aku mendarat kat kaki aku dan sebab tak bersedia, terpaksalah aku meninggikan volume untuk seketika sebelum hujan yang hampir-hampir bah melanda. Sakit gila!


Tapi tu dulu, semuanya dah berlalu dan dah jadi salah satu kenangan terindah dalam hidup aku yang bergelar anak kampung. Sampai ke hari ni sekali-sekala bila balik kampung, aku intai-intai juga luar rumah. Sayangnya dah bertahun-tahun rasanya aku tak nampak gasing kat mana-mana, jauh sekali budak-budak yang main gasing macam zaman aku dulu. Yang ada hanya budak-budak yang bermaksud anak-anak buah aku dan dua pupu diaorang main basikal dan pondok-pondok sampai terpaksa angkut segala tikar dan pinggan cawan mak aku. Sayangkan? Tapi nak buat macam mana, kemodenan yang dikecapi biasanya datang dengan pelbagai pakej. Dapat satu, maka hilanglah yang satu lagi.

Panjangnya merapu? Ya... aku memang perasan! Apa pun, moga satu hari nanti permainan gasing mula mendapat tempat di hati kanak-kanak walaupun aku tahu boleh jadi juga tak mungkin sebab nak bersaing dengan PSP, PS2-3, internet, bukannya mudah!

5 comments:

  1. jiwa kacau eh, meracau yg bukan2?
    tp, di akhir n3 tu ttp ada juga sesuatu dn bknlah hnya meracau kosong.. kn?

    ReplyDelete
  2. x kacau.... x ade ape pun yg nk dikacaukan sb hidup ni pendek sangat dan kte pilih utk gembirakan hati sendiri. kte dh x nak dh terlalu serius. mcm kte tulis, kat sini klu nk cari ilmu atau sesuatu yg berfaedah, mungkin dah x begitu sesuai. kte nk tulis ape yg kte suka,cukup2lah hanya serius dlm nvl...

    ReplyDelete
  3. Saye pon slalu pi beli novel kat jalan TAR kak... Kak aleya slalu bli kt sane ek?

    ReplyDelete
  4. yup...akak suka g sana, ada banyak nvl. ;-)

    ReplyDelete
  5. Saya pun suka pergi sana niat nak beli novel je tapi akhirnya entah apa segala macam benda dibeli

    ReplyDelete