- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [10] -

September 21, 2012

SUDAH dua minit Najihah berdiri di situ dan dalam masa sesingkat itu, sudah banyak kenderaan melewatinya. Namun, dia tidak peduli. Matanya masih ralit memandang panorama yang dirasakan sangat indah di hadapannya. Bukannya tidak pernah dilihat sebelum ini. Pernah. Beberapa kali. Hanya hari ini panorama yang sama itu menggamit mata dan perasaannya untuk terus melekat di tempat yang sama.

Kalau tadi dia melihat Munirah mencium tangan lelaki itu, kali ini matanya dijamu pula dengan gosokkan lembut tangan kasar milik suami Munirah di kepala bertudung biru itu. Jelas di matanya, senyuman terukir di bibir kedua-duanya. Pasangan muda itu kelihatan sangat gembira dan bahagia. Dia yang menjadi penonton tidak dijemput, turut tersenyum. Ikut bahagia dengan kebahagiaan pasangan itu.

Mungkin sepanjang hayatnya, dia tidak pernah dihidangkan dengan panorama seindah itu. Kerana dalam hidupnya, hanya ada papanya semata-mata. Maka, sekali pun dia tidak pernah melihat mamanya mengucup tangan kasar milik papanya. Jauh sekali melihat kepala mamanya digosok-gosok penuh kasih.

Mengenangkan papanya, teringatkan mamanya, dalam diam-diam hatinya dihunjam sebak. Ada semacam kesedihan bergayut di relung hatinya yang paling dalam. Tanpa sedar, matanya bergenang dengan air. Dia tahu dia rindu, sangat rindu walaupun selama ini dia tidak pernah menyatakan kerinduannya.

Mama... Jiha rindu!

Papa... Jiha rindu!

Mama, papa... Jiha rindu sangat sesuatu yang tak pernah Jiha dapatkan selama ni dan Jiha tahu Jiha tidak mungkin akan dapat sampai bila-bila. Ya, memang tidak mungkin dapat dimiliki kerana hakikatnya, antara mamanya dan papanya, tidak ada ikatan yang mengikat mereka berdua lagi. Kalau ada pun yang dikongsi, hanya dirinya semata-mata. Itu pun kalaulah itu layak dipanggil ‘kongsi’ kerana kalau berkongsi semestinya diberi adil, sama rata. Sedangkan sebenarnya, dia seperti hanya dimiliki papanya semata-mata. Mamanya pula, acuh tidak acuh saja terhadap dirinya.

Mama tak pernah sayangkan Jiha kan mama?

Setitis air matanya gugur, tapi pantas diseka dengan belakang tangan. Tidak tahu kenapa hari ini dia seperti gagal menahan emosi. Padahal, bukan baru hari ini dia ditinggalkan mamanya. Tapi sejak dia dilahirkan lagi, sejak berpuluh-puluh tahun dulu. Entahlah! Yang jelas saat melihat kemesraan Munirah dan suami wanita itu, dia terasa mahu memiliki kegembiraan dan kebahagiaan yang sama seperti rakan sepejabatnya itu.

Papa... mama sayangkan Jiha ke tak ya papa?

Setitis lagi air matanya gugur. Ingatan pada mama yang jarang-jarang sekali ditemui terasa membuak-buak ketika ini.

Kalaulah mama tahu, kalaulah mama tahu apa yang Jiha rasa sekarang ni, desis hatinya sendu.

“Jiha...”

Jiha rindu, mama...

“Jiha...”

Terasa bahunya disentuh, Najihah mengangkat wajah. Melihat senyuman Munirah, dia pantas mengesat mata. Tidak mahu Munirah melihat air matanya gugur. Selama ini, dia nampak kuat di mata banyak orang. Sampai bila-bila pun biarlah dia kelihatan kuat kerana duka hatinya bukan untuk dikongsi dengan orang lain. Biarlah segala-galanya disimpan sendiri. Membuka pekung di dada sendiri, sejak dulu memang bukan caranya.

“Irah...” katanya. Ada senyuman di bibirnya. Dalam pada hati bergalau, dia cuba mempamerkan riak wajah ceria.

“Jiha nangis?”

Kepala Najihah menggeleng. “Habuk masuk,” ujarnya beralasan. Kemudian, gelakkan halus keluar di bibirnya. Munirah bukannya anak kecil yang boleh digula-gulakan dengan alasan tidak masuk akal begitu. Tapi dalam keadaan seperti ini, dia tidak sempat memikirkan alasan yang lebih munasabah.

“Jiha cuba bohongkan Irah?” Ada kerut di dahi Munirah.

“Bukan bohong tapi itu aje yang sempat Jiha fikir,” balas Najihah selamba. Dia terus juga tergelak perlahan. Meskipun berlainan pangkat, hubungannya dengan Munirah agak rapat. Bahkan, dia rapat dengan semua orang di syarikat milik ayah Najid itu kerana mereka selalu keluar makan bersama kalau dia tidak makan bersama Najid.

“Ada masalah?”

“Tak.”

“Habis kenapa nangis?”

Senyuman Najihah melebar di bibir. Sejak hari pertama masuk kerja, Munirah dilihat tidak pernah berubah. Tetap juga lemah-lembut dan tetap juga tersenyum manis. Agaknya, dua sifat itu yang mengikat suami Munirah untuk terus mencintai Munirah. Terus melayan Munirah dengan baik.

Tapi... tak baikkah papa melayan mama dulu?

“Tak ada jodoh Jiha.”

Hanya itu yang dijawab papanya bila dia bertanya mengapa papa dan mamanya memilih berpisah setelah dia dilahirkan. Jawapan yang tidak ada salahnya, namun sampai ke hari ini gagal memuaskan hatinya sebagai seorang anak. Bersama papanya, memang dia tidak ada kekurangan apa-apa. Dia dilayan dan ditatang bagai minyak yang penuh, malah ada masa-masanya seperti puteri raja kerana dia buah hati pengarang jantung papanya.

Tapi sebagai seorang anak yang sepatutnya mendapat kasih daripada papa dan mama, ketidakhadiran mamanya ketika dia membesar membuatkan dia terasa haknya diambil dengan kejam. Mamanya selalu tidak ada ketika diperlukan, tidak seperti ibu orang lain. Dan dia membesar, mengusung rindu yang jarang dipenuhi.

Salah apa ya Jiha pada mama sampai mama macam tak begitu peduli pada Jiha?

“Jiha...” seru Munirah perlahan. Jam di tangan dijeling sekilas, masih terlalu awal untuknya melangkah ke pejabat.

“Terharu.”

Kening Munirah hampir bertemu, kiri dan kanan. Dia bertanya tanpa suara akan maksud kata-kata Najihah.

“Terharu tengok betapa bahagianya Irah dan suami tadi.”

“Hah? Tapi...”

“Dah lewat ni, jom kita masuk office,” ajak Najihah sambil mencapai lengan Munirah yang hari ini mengenakan jubah di tubuh. Bimbang semakin lama mereka berdiri di situ, semakin dia tidak dapat mengelak daripada pertanyaan Munirah. Dia tahu kalau dia berkongsi perasaannya tika ini dengan Munirah pun, ceritanya akan selamat. Munirah bukannya jenis suka membawa mulut. Tapi dia masih belum bersedia dan dia sendiri tidak tahu bila masanya dia akan rasa bersedia.
------------------------------------------------------------------------------------------------------------
“Irah...”

Munirah yang sedang mengacau air Milo di dalam mug, mengangkat muka. Tersenyum manis pada Najihah yang sudah pun duduk di hadapannya di dalam pantri yang memang dikhaskan untuk mereka. Sedikit pelik bila melihat Najihah yang tersenyum-senyum seperti ada sesuatu terbuku di hati.

“Kenapa? Jiha nak suruh Irah buatkan air ya?” tekanya kerana Najihah memang liat hendak membuat air sendiri.

“Taklah. Jiha nak tanya ni...”

Kening Munirah terjongket sendiri. Tingkah Najihah hari ini dirasakan sedikit pelik. Tidak sama seperti hari-hari sebelum ini. Awal pagi tadi, gadis itu dilihat menitiskan air mata. Bila ditanya, Najihah tidak mahu mengatakan sebab air mata itu keluar. Dia tidak mahu memaksa kerana itu hak Najihah. Sekarang, Najihah memandangnya seperti ada yang diinginkan gadis itu. Tidak sihatkah Najihah? Tapi melihat pada wajah yang biasa-biasa saja itu, dia tahu yang Najihah baik-baik saja.

“Tadi Jiha nampak Irah dengan suami Irah. Jiha nampak Irah salam tangan suami Irah dan suami Irah gosok-gosok kepala Irah,” ujar Najihah sedikit malu-malu. Merah sedikit wajahnya. Bimbang kalau-kalau Munirah menganggap dia suka menjaga tepi kain orang.

Munirah ketawa perlahan. Halus saja bunyi ketawanya. “Alahai... malunya Irah bila Jiha nampak.”

“Lah... kenapa nak malu pulak? Patutnya Jiha yang malu sebab nampak macam suka jaga tepi kain orang.” Najihah ikut ketawa perlahan. Kalau dia di tempat Munirah pun, dia akan merasakan perasaan yang sama. Tapi puas dinyahkan, bayang-bayang kemesraan Munirah dan suami wanita itu asyik berulang tayang di minda dan matanya. Langsung dia tidak dapat memberikan tumpuan terhadap kerjanya. Sudahnya, walaupun teragak-agak digagahkan juga kaki mencari Munirah.

“Taklah, Irah tak anggap macam tu pun. Apa yang Jiha nak tanya kat Irah?”

“Dah berapa lama Irah kahwin?”

“Hampir 5 tahun,” balas Munirah dengan senyuman tidak hilang di bibir.

5 tahun? Najihah mengira dalam hati apa yang dilakukan dalam 5 tahun kebelakangan ini. Umurnya dengan Munirah sebaya. Itu bermakna, ketika dia bertungkus-lumus mengulit buku-buku pelajaran dan beramah mesra dengan kawan-kawan di universiti, Munirah sudah pun menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri. 5 tahun! Satu jangka masa yang agak lama, tapi dia melihat cara mereka suami isteri, seperti baru sebulan dua saja mendirikan rumah tangga.

Kenapa aku melihat banyak kemanisan dalam hubungan mereka berdua?

“Lama juga ya Irah?”

“Ya, agak lama juga. Tapi Irah selalu rasa macam baru semalam aje Irah dan suami bergelar pasangan suami isteri.”

Cerah di wajah Munirah, menggamit satu rasa dalam jiwa Najihah. Dia sudah bertemu dengan ramai pasangan yang sudah berumah tangga. Ada yang dilihat gagal, seperti mama dan papanya. Ada yang dilihat bahagia walaupun pada akhirnya, seorang harus menemui Pencipta Abadi, seperti ayah Najid. Ada yang dilihat biasa-biasa saja dan ada juga yang dilihat seperti hujan dan panas, sekejap baik dan sekejap pula bercakar kembali.

Aku nanti, kalau ditakdirkan punya suami, macam mana ya?

Gila! Tak ada angin tak ada ribut, aku dah mula fikirkan yang bukan-bukan ni. Tapi memang ini pun yang bermain-main di kepala aku sekarang ni. “Irah bahagia?”

“Sangat bahagia! Walaupun suami Irah tak belajar tinggi dan tak juga punya kerja hebat macam orang lain,” ujar Munirah bersungguh-sungguh. Dia tidak menipu Najihah dan dia tidak ada sebab untuk menipu. Sepanjang 5 tahun bergelar isteri kepada Syukri, dia benar-benar bahagia. kehadiran Dinie dan Iman dalam rumah tangga mereka membuatkan dia rasa kehidupannya sudah sempurna. Dia tidak mahukan yang lain lagi kecuali terus hidup bersama-sama suami dan anak-anak kesayangannya.

“Best ke jadi isteri Irah?”

“Dalam hidup Irah, Irah dah tak mahukan apa-apa lagi, cukup jadi isteri Syukri dan ibu pada Dinie dan Iman. Untuk mereka, Irah sanggup buat apa aje, Jiha.”

Najihah diam. Entah kenapa, melihat sinar di wajah Munirah, dia seperti terasa sinar di wajah sendiri.

No comments:

Post a Comment