- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [6] -

September 10, 2012

BRIEFCASE dicampak perlahan di atas katil. Kemudian dia menghumbankan dirinya di atas tilam empuk, betul-betul di sisi briefcase warna silver yang tidak mengerti apa-apa. Tangan kanan diletakkan di atas dahi. Kaki kanan disilang di atas paha kiri. Mindanya mula menerawang, tapi hanya seketika sebelum dia bergegas menuju ke arah balkoni. Cepat saja tangannya menolak pintu gelangsar.

“Mintak-mintak Jiha ada di balkoni.”

Namun Najid hampa. Keadaan balkoni bilik Najihah tetap sama seperti dua hari lalu. Sepi seperti sudah lama tidak dihuni sesiapa. Padahal, beberapa hari lalu dia dan Najihah masih saling melambai-lambai tangan seperti sudah lama tidak bersua muka. Hari-hari bertemu muka, tetap juga tidak jemu-jemu melakukan rutin yang sama walaupun sudah berpuluh-puluh tahun berlalu.

“Jiha sebenarnya kenapa? Ada apa yang buat Jiha tiba-tiba aje tak nak layan aku macam selalu?” tanya Najid pada diri sendiri. Sikunya ditongkat dengan perasaan hampa yang masih membelenggu diri.

Masuk hari ini, sudah tiga hari Najihah membuat perangai. Tadi pun berkali-kali dia menghubungi gadis itu, mahu mengajak Najihah makan di gerai ayam kampung yang jadi tempat kegemaran Najihah. Namun seperti dua hari lalu, tetap juga tidak ada balasan daripada Najihah.

“Cara Jiha... macamlah aku dah buat salah besar. Macamlah selama ni dia tak pernah sakitkan hati aku!”

Diketuk-ketuk perlahan sisi dahinya. Masih berusaha mencari-cari sebab kedinginan sikap Najihah. Memang mereka berdua biasa tidak bertegur sapa, tapi paling lambat pun hanya dua jam. Masuk ke jam ketiga, biasanya sudah ada bunga-bunga bual antara mereka. Mula-mula dia dan Najihah akan saling sindir-menyindir. Kemudian mula bertolak-tolakan sebelum masing-masing mula senyum dan ketawa. Sengaja mengetawakan tindakan mereka yang tidak ubah seperti budak-budak.

“Betul ke macam kata ayah yang Jiha marah dengan apa yang aku cakap?”

Tidak ada jawapan kerana hanya Najihah yang dapat menjawab soalannya. Tapi takkanlah Najihah sensitif begitu sekali?

“Tapi bukan dia pun ada kata yang aku tak handsome macam artis Korea ke? Rasanya, itu lebih kejam dibandingkan kata-kata yang aku ucapkan pada Jiha.”

Bibir Najid mencebik. Tiba-tiba dia rasa meluat pada semua hero filem dan drama Korea yang tidak pernah jemu ditonton Najihah sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Entah apa yang menarik sangat dengan hero-hero itu, dia benar-benar tidak mengerti. Tapi selalu dilihat, mata Najihah hampir tersembul keluar bila melihat hero-hero bermata sepet itu. Bahkan yang buat dia lebih sakit hati lagi, Najihah selalu tidak mengendahkannya bila menonton drama atau filem Korea.

“Tapi... betul ke aku tak handsome macam yang Jiha kata?”

Disentuh pipi sendiri dengan wajah berkerut-kerut.

“Kalau betul aku tak handsome, kenapa setiap kali aku melangkah ada aje mata yang pandang?”

Kali ini, hidung mancung miliknya ditekan-tekan perlahan. Kalaupun dia tidak begitu kacak, dia tahu rupanya masih boleh dikategorikan sebagai boleh tahan. Tubuhnya juga agak sasa, walaupun tidak sesasa Ilham kerana dibandingkan dia dan Ilham, dia lebih liat pergi ke gym.

“Kalau aku tak handsome, kenapa kawan-kawan Jiha selalu sangat kirim salah sayang kat aku?”

Usai berkata-kata, dia tersenyum sendiri. Kalau Najihah mendengar apa yang dikata, tentu gadis itu akan mengatakan dia perasan atau ‘masuk bakul angkat sendiri’, atau lebih teruk lagi ‘perah santan’ dengan bibir yang sengaja dicebikkan. Selama ini, memang pun hobi Najihah mengetawakan dirinya. Pantang jika mendapat peluang, pasti berair-air mata Najihah kerana ketawa. Tidak cukup dengan itu, gadis itu akan menghentak-hentakkan kaki ke lantai sambil memegang perut sendiri.

“Jiha...”

Dia kembali memandang ke hadapan, ke arah balkoni bilik Najihah. Tetap juga sama seperti tadi. Tidak ada apa yang berubah, sedangkan dia benar-benar berharap Najihah akan berdiri di balkoni tersebut sambil memandang ke arahnya. Kalaupun tidak mahu melambaikan tangan padanya seperti selalu, hanya memandang pun tidak mengapa. Paling penting dia dapat melihat Najihah.

“Kenapa aku tak pergi aje rumah papa jumpa Jiha?”

Mata Najid bersinar-sinar. Semalam memang dia ada terfikir mahu ke rumah Najihah. Tapi sebab hari sudah malam, dia membatalkan niatnya.

Dia berpusing tiba-tiba. Sudah tidak sabar mahu ke rumah Najihah, mahu bertemu dengan gadis itu dan bertanya ada apa sebenarnya dengan Najihah. Namun sebaik saja sampai di muka pintu bilik, langkahnya terhenti. Tiba-tiba dia rasa bimbang kalau-kalau dia dihalau Najihah.

“Tapi takkanlah Jiha kejam sampai macam tu sekali?” tanya Najid pada diri sendiri.

Dia berpatah ke belakang. Telefon bimbit di atas katil dicapai. Biarlah dia mencuba menghubungi Najihah lagi. Kalau Najihah tidak menjawab panggilannya, tidaklah malu sangat dibandingkan gadis itu menghalaunya keluar. Memanglah Najihah tidak kejam, tapi manalah tahu tiba-tiba saja Najihah jadi kejam, tidak ke haru jadinya nanti?

“Hai... Najihah Qadeeja yang comel tak ada. Sila tinggalkan pesanan!”

Rengusan kuat jelas kedengaran dari ulas bibir Najid. Dia jadi sakit hati dengan suara Najihah yang baru saja menyapa gegendang telinganya.

“Comellah sangat!” katanya mengejek. “Comel macam anak beruang kutub utara! Ya... Jiha memang macam anak beruang kutub utara. Kalau Jiha marah-marah, muka Jiha yang putih gebu tu bertukar macam udang kena salai,” sambungnya dengan rasa geram. Terus telefon bimbit kembali dicampak perlahan di atas katil. Sekali lagi tubuhnya dihumban di atas tilam empuk.
---------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Najihah jeling telefon bimbit. Skrin telefon yang sudah gelap, mengundang cebikan di ulas bibirnya. Dia bukannya mengejek telefon bimbit yang sudah gelap itu, tapi dia mengejek Najid yang kelihatan seperti bermati-matian mahu bercakap dengannya. Tapi dia, sengaja buat-buat tidak dengar dengan semua panggilan yang Najid buat. SMS lelaki itu pun sengaja dipandang sepi.

“Padan muka Najid!”

Hatinya masih sakit mengenangkan apa yang Najid katakan. Padahal, dia hanya menceritakan apa yang Ilham cakap tentang mereka berdua. Bukannya dia mengatakan pada Najid yang dia mahu berkahwin dengan Najid, jauh sekali melamar lelaki itu untuk menjadi suaminya. Najid saja yang mahu menyakitkan hatinya dengan bercakap yang bukan-bukan. Cara Najid bercakap, macamlah dia teruk benar. Macam dia tidak boleh menjadi seorang isteri yang baik.

“Aku pun tak ingin kahwin dengan kaulah. Bukan handsome pun!”

Skrin telefon bimbit yang sudah gelap, ditolak ke depan sedikit. Masuk kali ini, agaknya sudah berpuluh-puluh panggilan daripada Najid yang tidak dijawab. Dia sengaja sepi sebagai tanda protes pada Najid. Biar lain kali lelaki itu ingat yang dia juga ada hati dan perasaan. Tahu marah dan sakit hati juga

“Kalau muka macam hero Korea, tak apalah juga. Ni... muka tu langsung tak menarik pun.”

Terjuih-juih ke depan bibir Najihah. Tiga hari berlalu, tapi sakit hatinya pada Najid tetap juga tidak mahu reda. Entah kenapa dia jadi sangat sensitif, dia sendiri tidak tahu. Selama ini, bukannya dia tidak biasa bergurau kasar dengan Najid. Bertolak-tolakan sesama sendiri pun, sudah tidak terkira banyaknya. Hanya tidak pernah sekali pun Najid mengeluarkan kata-kata seperti tempoh hari. Lantaran itu, dia rasa sakit hati bercampur dengan geram.

“Jiha...” sapa Datuk Bazli tiba-tiba.

Najihah yang tersentak, spontan berpaling ke belakang. Lambat-lambat, bibirnya mengukir senyum pada papanya itu.

“Papa... tak tidur lagi?”

Dahi Datuk Bazli berkerut. Jam di dinding dipandang lama. Entahkan matanya yang rabun, entahkan Najihah sebenarnya yang tidak sihat hari ini. Sakitkah Najihah? Dipandang wajah Najihah yang ceria, agak lama. Kemudian, sekali lagi dia memandang jam besar di dinding. Masih lagi jarum jam menunjuk ke angka yang sama. Tanpa sebarang kata-kata, Datuk Bazli mengangkat tangan kanannya. Dahi Najihah disentuh dengan belakang tangannya. Tidak panas. Mata kemudian dijatuhkan ke wajah Najihah, masih mencari sesuatu pada wajah anak kesayangannya itu. Manalah tahu tanpa disedari, Najihah memang benar-benar tidak sihat.

“Kenapa papa?” tanya Najihah tidak mengerti. Dia sihat, sangat sihat sebenarnya. Tapi kenapa papanya memandang wajahnya seperti dia sedang mengalami sakit? Bukankah papanya selalu meletakkan belakang tangan ke dahinya bila merasakan dia tidak sihat badan. “Papa ingat Jiha tak sihat ya?” tanya Najihah lagi. Dia tergelak-gelak perlahan. Wajah Datuk Bazli direnung dalam-dalam. Dia sayangkan papanya sama seperti dia sayangkan Ilham dan Najid.

Tapi Najid dah menyakitkan hati aku, desisnya dalam diam.

Namun tanpa disedari, bibirnya merengus perlahan.

“Jiha sihat kan?”

“Sangat!”

“Habis tu kenapa papa rasa Jiha agak pelik hari ni? Tapi bila papa rasa dahi Jiha, tak panas pulak. Jiha kenapa sebenarnya?”

“Tak ada apa-apa, papa, Jiha okey aje. Kalau tak okey mesti Jiha dah...”

“Berselubung dalam selimut,” potong Datuk Bazli pantas. Sengaja tidak mahu membiarkan Najihah menyudahkan kata-kata. Sejak kecil, Najihah memang tidak gemar berselimut. Tapi bila hati Najihah rusuh dan tidak tenang, tubuh Najihah sakit, anak itu suka sekali membungkus diri dengan selimut.

Hatinya lega melihat Najihah tersenyum dan ketawa seperti biasa. Itu tandanya, anak gadisnya itu cukup sihat. Tidak sakit seperti yang dia sangka kerana Najihah kalau sakit sedikit pun, pasti tidak ada mood mahu tersenyum dan ketawa. Anaknya itu akan bersembunyi di dalam selimut sehingga benar-benar sembuh.

Najihah ketawa perlahan mendengar kata-kata papanya. Geli hati!

“Apa yang membuatkan papa fikir Jiha tak sihat badan?”

“Sebab Jiha tanya papa tak tidur lagi tadi.”

Kening Najihah berkerut. Dia bertanya maksud kata-kata papanya tanpa suara. Dia yakin papanya pasti memahaminya kerana selain daripada Najid, papanya juga tahu. Bahkan Ilham juga tahu siapa dia, hanya ada masa-masanya bapa saudaranya itu lebih banyak menyakitkan perasaannya. Ilham selalu saja nampak bahagia bila melihat wajahnya cemberut.

“Tapi... Najid pun menyakitkan hati aku juga,” gumamannya perlahan.

“Jiha cakap apa tadi? Papa tak berapa nak dengarlah. Jiha ada cakap sesuatu ya? Cakap pasal apa?”

Najihah geleng pantas. Dia tersengih-sengih. Malu kerana tanpa sedar dia bercakap sendiri dan papanya mendengar, hanya yang tidak papanya dengar ialah apa yang digumamnya tadi. Jika papanya mendengar, tentu papanya tahu yang dia sedang bercakap tentang Najid. Bila papanya tahu, pasti esok atau lusa Ilham juga akan tahu. Papanya dan bapa saudaranya itu memang selalu bertukar-tukar cerita, apalagi jika cerita yang berkaitan dengannya. Masing-masing pasti berminat hendak tahu. Sudahnya nanti, dialah yang akan menjadi mangsa gelakkan atau ejekan Ilham.

“Jiha ni ada-ada ajelah.”

“Letih sikitlah hari ni, pa...” kata Najihah perlahan. Dia melabuhkan kepalanya di bahu Datuk Bazli yang duduk di sisinya. Nafas dihela dalam-dalam, lalu dilepaskan perlahan-lahan, satu demi satu. Mahu melepaskan semua rasa yang membelenggu dirinya di ketika ini.

Kecil benarkah hati aku pada Najid?

Tidak! Sangkal hatinya pantas. Dengan Najid dia hanya sakit hati dan geram, tapi dia tidak kecil hati.

Habis tu, kenapa aku terasa nafas macam sesak? Sebab kerja pejabat yang makin hari makin bertambah?

Tidak! Bukan itu kerana dia tidak pernah menganggap kerja yang dilakukan setiap hari adalah beban dalam hidupnya. Dia ikhlas bekerja dengan ayah Najid, seperti Najid yang selalu kelihatan gembira bekerja dengan papanya dan Ilham. Kata Najid, tidak ada bos di dalam dunia ini sehebat papanya.

Habis tu kenapa terasa macam ada yang berbekas di hati aku?

Mama! Mamakah penyebabnya?

Lantas, pantas kepala digeleng saat sebaris nama itu muncul di ingatannya.

“Ayah bagi Jiha kerja banyak ya?” duga Datuk Bazli tenang.

Najihah senyum. “Kalau bagi Najid, papa bos yang paling baik dalam dunia, ayah pula bos paling best bagi Jiha. Ayah tak pernah buli Jiha macam abang.”

Datuk Bazli geleng kepala. Rambut Najihah diusap penuh kasih sayang. Kalau tidak ada Najihah, entah macam manalah dia harus melalui hari-harinya. “Sebab tulah papa izinkan Jiha kerja dengan ayah. Kalau dengan orang lain, papa tak kasi.”

Semakin melebar senyuman Najihah. Sungguh, dia sayangkan papanya!

1 comment:

  1. Hello there! Do you know if they make any plugins to safeguard against hackers? I’m kinda paranoid about losing everything I’ve worked hard on. Any recommendations?

    ReplyDelete