- Hikmah -

August 6, 2008

‘ALLAH ambil sesuatu tapi DIA pasti akan gantikan sesuatu itu dengan yang lebih baik’. Kata-kata itu selalu sangat aku dengar beberapa tahun kebelakangan ini dan mungkin kini dah jadi sebati dalam diri. Aku percaya dan sampai bila-bila pun aku akan percaya.

Bila baru-baru ni aku membuat satu keputusan yang besar, (besar bagi aku tapi mungkin juga kecil bagi orang lain) aku agak waswas. Terasa hati begitu berat walaupun kata putus sudah pun diberikan. Tapi sebab suka dengar kata hati, aku turutkan juga walaupun tak berbincang dengan keluarga dan rasa-rasanya tak pun berfikir panjang. Cuma jauh kat sudut hati, aku bisik ‘Ya ALLAH... kalau keputusan yang aku ambil ni tak baik atau salah untukku, maka... tutupkanlah segala ruang dan peluang yang ada. Kalau baik, mudahkanlah segala-galanya’. Bila pagi tu aku diberitahu sesuatu yang agak mendukacitakan, aku ternyata langsung tak terkilan. Malah aku boleh senyum lebar, jiwa tiba-tiba aje rasa tenang dan bebas. Anehnya rasa, tapi memang itulah perasaan aku masa tu. Entah kenapa ye? Tapi aku tahu, semua yang berlaku tentu ada hikmahnya.

Semalam, bila aku diberitahu satu berita, aku dah boleh senyum sebab mungkin inilah hikmahnya. Aku dapat barang yang sama dengan harga yang jauh lebih murah. Takkah itu hikmah namanya? Apa pun syukur sangat walaupun semuanya masih belum pasti. Sekurang-kurangnya itu satu berita baik untuk masa ini. Dan hari ni, bila seorang kawan di sini menghadapi hal yang sama seperti aku beberapa hari lalu. Aku cuma boleh cakap, tentu ada hikmah di sebalik apa yang berlaku. Tentu ada yang lebih baik akan datang nanti. Nampaknya dia bersetuju walaupun aku dapat tengok rasa terkilan terpamer di muka dia. Harap-harap dia betul-betul akan dapat yang lebih baik nanti.

Rasanya hari ni sampai sini dulu sebab tak ada apa yang menarik lagi untuk diceritakan di sini. Menulis ni pun aku anggap, sekadar mahu mengasah kembali bakat dan minat yang dah semakin tumpul sejak beberapa bulan lalu. Harap-harap tak lama hendaknya tajamlah semula. Apa pun, salam manis buat yang sudi menjengah.

2 comments:

  1. n3 ni tersirat sungguh la akak...barang ape????hurm,biarlah rahsia...ehehe...

    ReplyDelete
  2. alahai fad... yelah, akak rasa pun biarlah rahsia juga kan?

    ReplyDelete