Shah Alam, Selangor
Terlebih dahulu aku ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Alaf 21 kerana menghargai setiap peminatnya. Aku adalah antara ribuan peminat Alaf 21. Terima kasih Alaf 21 kerana menghadiahkan aku sebuah novel melalui peraduan ‘Aku dan Bukuku’. Walaupun ia hanya sebuah novel tapi aku amat berbangga kerana dihargai sebagai peminat Alaf 21.
Aku menerima novel ‘Hanya Dia Tahu’ hasil nukilan Aleya Aneesa. Sudah banyak karyanya yang menjadi tatapan mataku. Aku dapati karyanya berbeza setiap kali diterbitkan. Kali ini Aleya Aneesa mengetengahkan kisah persahabatan yang akrab di antara Nasuhah dan Ariana yang masing-masing ingin berkorban demi menjaga hati dan perasaan antara satu sama lain. Tapi mereka terlupa, dalam menjaga hati masing-masing ada hati yang terluka. Pun begitu kita sebagai manusia hanya mampu merancang tapi TUHAN lebih tahu. ‘Hanya Dia tahu’, di sebalik apa yang terjadi ada hikmahnya. Semoga Aleya Aneesa menghasilkan nukilan yang lebih mantap lagi.
Pada petang 26 Jun 2009 iaitu pada hari pertama pesta buku di Shah Alam, aku mengajak suamiku ke sana untuk membeli senaskhah atau dua naskhah buku tetapi suamiku keberatan. Aku merasa sedikit kecewa tapi aku tenangkan hati. Pada malam itu, sambil berehat aku membuka laman web Alaf 21 untuk melihat maklumat terkini yang disiarkan. Tanganku terus sahaja menekan ruangan e-mel minggu ini. Aku membaca dan terpegun!
Eh, ini macam e-mel yang pernah kutaip bulan lepas. Aku melihat nama pengirimnya. Oh, memang aku rupanya. Hatiku berbunga riang, terubat jugakekecewaanku siang tadi. Aku rasa seperti ingin melompat kegirangan kerana terlalu gembira. Aku memanggil suamiku untuk melihat apa yang kulihat. Dia datang kepadaku untuk melihat apa yang menarik hatiku. Dia membacanya sambil tersenyum, aku apatah lagi rasanya senyumku dah sampai ke telinga.
Terima kasih Alaf 21 kerana menghargai pandangan peminatnya. Selepas itu setiap hari aku rasa seperti tidak sabar menanti apakah novel yang akan dihadiahkan oleh Alaf 21 kepadaku. Aku berdoa biarlah novel yang akan kuterima itu nanti adalah yang belum ada dalam simpananku.
Hari yang ditunggu-tunggu pun tiba, aku menerima sebuah novel ‘Kau Untukku’ karya Aisya Sofea. Betapa bangga dan bersyukurnya aku kerana doaku sebelum ini termakbul jua. Walaupun aku sudah membacanya dua kali melalui buku adikku tapi aku bangga kerana aku mendapat cetakan baru dengan kulit buku yang menarik dan indah, tak jemu mata memandang seindah percintaan Fuad dan Maira. Dalam sesuatu perhubungan itu mestilah ada kejujuran dan harus berterus terang untuk mengelakkan salah faham. Apa pun yang terjadi, kita sebagai makhluk yang lemah harus tahu setiap sesuatu yang berlaku itu ada hikmahnya.
Syabas dan tahniah buat Aisya Sofea kerana novel anda telah mencapai cetakan yang ke-14. Semoga karya anda di masa hadapan lebih menarik dan lebih mantap lagi. Tidak lupa juga kepada Alaf 21 yang sentiasa menerbitkan novel-novel yang boleh memberi pengalaman dan pengajaran buat peminat-peminatnya.Terima kasih, Alaf 21!
*** Copy dari web Alaf 21 ***
No comments:
Post a Comment