- BOLEH SAYA SAYANG AWAK? [2] -

June 22, 2012

"Dalam cinta tak ada istilah 'try and error'. Sekali terjebak harus menelan istilah 'I love you' sampai hujung nyawa"

NAJID memegang tali buaian belah kiri, Najihah pula memegang tali buaian belah kanan. Masing-masing memegang kukuh tanda enggan melepaskan, namun mata tetap terhala ke wajah sesama sendiri. Najid dengan wajah tenang. Najihah dengan wajah bengang. Mata Najihah membulat.

“Jiha dululah, Najid...” kata Najihah setelah sepi mengambil tempat beberapa saat.

“Eh... kenapa Jiha dulu pulak? Najid yang sampai dulu kan?” bantah Najid perlahan. Dia terasa hendak ketawa besar tapi ditahan sedaya upaya demi melihat cemberutnya wajah Najihah kerana hari ini gadis itu tewas di tangannya. Semuanya gara-gara kasut tumit tinggi yang tersarung di kaki Najihah.

“Alah... bagilah Jiha dulu. Lepas Jiha, Najid pulak.”

“Oh, pandai! Kalau turn Najid, Jiha cakap macam tu. Kalau turn Jiha, Jiha cakap siapa cepat dia yang dapat. Sekarang ni Najid yang dapat dulu, maknanya Najid naik dulu dan Jiha yang kena tolak Najid,” balas Najid selamba. Wajahnya sengaja diseriuskan supaya Najihah tidak terus-terusan merayu simpatinya. Najihah memang begitu, tidak pernah mahu mengalah dengannya walaupun sepatutnya gadis itu patut mengalah kerana Najihah sudah kalah. Dia yang sampai dulu di taman permainan itu, dialah yang sepatutnya duduk di atas buaian yang menjadi rebutan mereka berdua saat ini.

“Bukan salah Jihalah.”

Kening Najid terjongket, ada senyuman mengejek di bibirnya. Satu lagi sikap Najihah yang sudah masak di matanya.

“Habis tu siapa pulak yang salah?” Najid sengaja bertanya walaupun dia sudah tahu apa yang bakal dikatakan Najihah.

“Kasut ni...”

Belum pun Najihah menyudahkan kata-kata, pecah ketawa Najid. Memang sudah diduga, kasut bertumit tinggi itulah yang akan disalahkan Najihah. Dijadikan alasan lambat mencapai tali buaian yang masih dipegang mereka berdua. Bukan sekali dua kasut hitam berjenama Carlo Rino itu menjadi mangsa kemarahan Najihah, sudah acap kali. Anehnya, Najihah tetap juga tidak jemu memakai kasut yang sama.

“Kasut ni sangat selesa!”

Itu jawapan Najihah setiap kali dia mengatakan tidak usah lagi memakai kasut yang sama jika Najihah asyik merungut. Dan sudahnya, Najihah hanya mempamerkan wajah selamba, langsung tidak terusik dengan kata-katanya. Esoknya, tetap kasut yang sama juga tersarung di kaki gadis itu.

Najihah... kadang-kadang memang cakap tak serupa bikin, desis hati Najid geli hati.

“Jadi... buang ajelah kasut tu kalau Jiha rasa kasut tu penyebab Jiha kalah dengan Najid hari ni,” suruh Najid tiba-tiba.

“Kalau Jiha buang kasut ni, Najid nak bagi Jiha duit ke beli kasut yang lain?”

“Eh, kenapa pulak Najid yang nak kena bagi Jiha duit? Jiha kerja kan? Duit gaji Jiha bulan lepas pun Najid tahu tak usik.”

Najihah tarik buaian yang masih dipegang Najid, menghampirinya. Namun pegangan Najid yang kukuh tetap juga tidak terlerai. Bahkan jelas dilihat Najid ketawa-ketawa, sengaja mengejeknya. Kening Najid yang sesekali terjongket seolah-olah Najid sengaja mencabar kesabarannya.

“Mana Najid tahu duit gaji Jiha bulan lepas tak usik?”

Bibir Najid terjuih sedikit. Dia mengejek Najihah terus. “Macam mana nak habis kalau setiap kali kita makan, Najid yang bayar? Najid ajak ke, Jiha ajak ke, sudahnya Najid juga yang kena bayar. Nak harapkan duit Jiha, hem... tunggu kucing bertanduk pun belum tentu Najid dapat rasa.”

Usai berkata-kata, Najid ketawa perlahan. Geli hati kerana dapat mengenakan Najihah. Padahal, dia berlebih-lebihan dengan kata-katanya pada gadis itu. Selama ini bukanlah Najihah tidak pernah mengeluarkan duit langsung, tapi dia yang selalu mendahului Najihah. Setakat mengisi perut Najihah, dia tidak akan jatuh miskin. Tapi sekali-sekala bila anginnya datang, dia akan memaksa Najihah membelikan dia baju, seluar atau kasut. Masam-masam kelat wajah Najihah kerana tidak puas hati, selalu saja dibuat tidak nampak.

“Tu baju yang Najid pakai tu beli guna duit siapa?” Kali ini Najihah sudah ikut mengungkit. Cara Najid bercakap macamlah dia kedekut sangat. “Kasut tu pun beli guna duit Jiha kan?”

“Mengungkit!”

“Najid yang ungkit dulu ya.” Najihah tidak mahu mengalah.

Najid senyum nipis. Wajah Najihah yang merah ditatap dalam-dalam. Najihah memang mudah naik angin. “Yalah... yalah, memang Najid yang salah. Tapi sekarang ni, Cik Najihah Qadeeja, sila lepaskan tangan anda. Lepas tu sila tolakkan buaian untuk Encik Najid Suffyan,” kata Najid perlahan.

Terlanjur taman permainan itu masih tidak dikunjungi sesiapa, terutamanya anak-anak kecil, lebih baik dia bertindak cepat. Bimbang makin melayan kerenah Najihah, makin kempunan dia duduk di buaian yang sebenarnya tidak sepatutnya diduduki kerana dia dan Najihah sudah terlalu dewasa untuk duduk di atas buaian kanak-kanak itu. Namun bertahun-tahun bermain di atas buaian yang sama, sekali-sekala mereka tetap datang melepas gian. Bukannya tidak pernah ditegur dengan penjaga taman permainan itu, acap kali. Tapi esok-esok, mereka tetap juga datang lagi.
“Najid... bagilah Jiha naik dulu. Najid kira sampai 50 puluh, lepas tu Jiha turun dan Najid pulak naik,” pujuk Najihah dengan suara lembut.

“50?” Mata Najid membulat, kemudian kepalanya menggeleng berkali-kali. “Hari ni Najid tak akan tertipu dengan suara lembut Jiha tu. Najid tak kira, Najid naik dulu dan Jiha tolak. Lepas cukup 50 kali baru Najid turun dan lepas tu baru Jiha naik pulak. Jangan nak mengelat ya hari ni.”

Najihah merengus kuat. Tidak seperti biasa, hari ini suara lembutnya gagal memujuk Najid. Kalau selalu Najid beralah walaupun Najid yang sampai dulu, hari ini Najid tidak mahu mengalah lagi. Melihat pada kesungguhan Najid, dia dapat rasakan yang hari ini dia akan kalah.

“Kedekut!”

“Kedekut tak kedekut, hari ni Najid nak dulu.”

“Esoklah Najid...” Najihah cuba memujuk lagi walaupun sesudah mengata Najid kedekut. Mana tahu hati Najid mencair. Bukankah Najid selalu mengalah padanya selama ini?

“Tak! Hari ni Najid nak naik dulu. Jiha tak payah nak pujuk-pujuk Najid sebab Najid tak akan mengalah ya.”

“Kedekut!” ucap Najihah sekali lagi. Tangan yang memegang tali buaian dilepaskan dengan hati mendongkol marah. Ketika Najid sudah duduk, dia berdoa supaya Najid jatuh tergolek ketika dia mengayun buaian itu sebentar lagi. Ataupun, ketika Najid ketawa-ketawa di atas buaian nanti, Pak Munawir, penjaga taman permainan itu datang dan memarahi Najid.

“Cepat... cepat! Jangan malas tolak Najid.” Kaki Najid sudah terangkat sedikit. Bersedia mengikut ayunan buaian yang ditolak Najihah.

“Dahlah berat macam badak!”

“Cepat!” arah Najid bagaikan ketua.

“Mengada-ngada!” kata Najihah keras sambil menarik buaian ke belakang, kemudian dia menolak belakang Najid sekuat hatinya.

“Satu!” jerit Najid kuat.

Sekali lagi Najihah menolak belakang Najid sebaik saja tubuh Najid ke belakang. Sekali menolak, sekali dia merungut.

“Dua!” Semakin kuat suara Najid. Dia ketawa senang.

“Jangan ketawalah. Bingit,” marah Najihah masih sarat dengan rasa tidak puas hati kerana terpaksa menolak Najid dulu.

“Tiga!”

Najid terus juga ketawa sakan dan Najihah terus memendam rasa. Namun, melihat kelibat Pak Munawir yang terhendap-hendap di sisi kanan, bibirnya melebar dengan senyuman. Bersyukur kerana Najid berkeras tidak mahu mengalah dengannya hari ini. Kalau tidak, pasti dia yang menerima teguran dan kemarahan Pak Munawir.

“Pegang kuat-kuat Najid, Jiha nak tolak kuat-kuat ni,” kata Najihah sedikit kuat.

“Okey!” balas Najid.

Dengan sekuat tenaganya, Najihah menolak Najid. Kemudian diam-diam, dia melarikan diri. Tercungap-cungap nafasnya ketika memandang Najid yang hanya tersengih-sengih di hadapan Pak Munawir yang sedang memegang sebatang ranting pokok. Satu kebiasaan Pak Munawir yang tidak pernah berubah sejak daripada dulu lagi. Najid kelihatan menuturkan sesuatu, pasti meminta maaf daripada Pak Munawir seperti yang biasa mereka berdua lakukan.

“Hem... padan muka Najid! Siapa suruh tak nak mengalah dengan aku hari ni” kata Najihah perlahan. Dia kemudian ketawa sambil duduk bersandar di batang pokok. Peluh yang titis di dahinya diseka dengan belakang tangan. Hatinya puas kerana Najid dimarahi Pak Munawir hari ini.
-------------------------------------------------------------------------------------------------
“Aduh!” jerit Najihah sedikit kuat saat terasa telinganya dipiat. Tidaklah sekuat mana, tapi dia sengaja menjerit seperti tangannya dihiris dengan pisau. Tidak perlu melihat pun, dia tahu siapa yang masih memegang telinga kanannya saat ini. Tapi lambat-lambat dia berpaling ke sisi kanan. Melihat bulatnya mata Najid memandang wajahnya, dia tersengih-sengih.

“Apa sengih-sengih?” sergah Najid dengan wajah yang sengaja digarangkan.

Najihah terus ketawa. Tahu yang Najid hanya main-main. Selama kenal Najid dari kecil hingga sudah berusia 25 tahun, mana pernah Najid marah betul-betul padanya. Kalau ada pun, Najid hanya diam sebagai tanda protes atau merajuk dengan kata-kata atau tindakannya pada lelaki itu.

“Itu pun nak marah.”

Najid melepaskan telinga Najihah. Dia melabuhkan punggung di sisi Najihah, di atas rumput. Keluhan dilepaskan seketika. Tubuhnya tiba-tiba saja terasa penat. Salah dia juga kerana dialah yang mengajak Najihah ke taman permainan itu kerana dirasakan mereka sudah lama tidak singgah di situ. Terlalu asyik dengan kerja yang tidak mahu habis, hari ini dia nekad balik awal kerana otaknya terasa sesak. Kalau dia terus balik ke rumah, tentu saat ini dia sudah berehat sambil menonton TV di rumah.

“Pandai... main kotor ya,” kata Najid beberapa minit kemudian. Peluh yang terasa mengalir di pipi, diseka dengan hujung jari. Kemudian dijentik ke arah Najihah yang kelihatan seronok benar dapat mengenakannya hari ini.

Najihah mengelak, kemudian ketawa lagi. “Apa pulak Jiha yang main kotor. Dah Pak Munawir datang tiba-tiba, Jiha larilah. Kalau Jiha tunggu juga nampak sangat yang Jiha macam sengaja serahkan leher kat tali gantung.”

“Oh... yang Najid selalu tunggu Jiha walaupun Najid boleh aje nak lari macam Jiha tadi, macam mana ya?”

“Najid baik, Jiha jahat!” puji Najihah tidak ikhlas. Dia berkata begitu semata-mata mahu membeli jiwa Najid.

Najid merengus perlahan. Hujung rambut Najihah yang diikat ekor kuda, ditarik perlahan.

“Kenapa Jiha tak bagi tahu Najid? Kalau tak Najid pun sempat lari. Tak ada peluanglah Pak Munawir marah Najid macam tadi tau.”

“Tak sempat,” ujar Najihah sambil tergelak-gelak suka.

Najid yang melihat keceriaan terpamer pada wajah Najihah, akhirnya tergelak sama. Langsung tidak terasa hendak marah. “Najid tahu Jiha sengaja nak balas dendam pada Najid kan sebab Najid tak bagi Jiha naik dulu?”

“Mana ada!”

“Baik mengaku, kalau tak Najid piat lagi telinga Jiha biar sampai putus.”

“Okey... okey, Jiha mengaku memang Jiha sengaja tak bagi tahu Najid tadi. Jiha memang sengaja nak tengok Najid kena marah dengan Pak Munawir sebab Jiha sakit hati Najid tak bagi Jiha naik buai tu dulu.”

Najid senyum sambil menggeleng perlahan. Bahu Najihah ditolak sedikit.

Najihah yang teranjak sedikit duduknya, juga senyum. Najid memang tidak pernah marah padanya walaupun tindakan yang dilakukan jelas seperti mementingkan diri sendiri. Kalau situasi yang sama berlaku dan dia yang duduk di atas buaian tadi, Najid tidak akan meninggalkannya. Najid sanggup menunggu sehingga Pak Munawir datang untuk sama-sama menerima teguran dan kemarahan orang tua itu. Tapi hendak meninggalkan dia sendiri, memang tidak sekali-kali dilakukan Najid.

Pentingkan diri sendirikah aku selama ini? Hati kecil Najihah berdetik tiba-tiba.

Tidak! Aku hanya bergurau. Lagipun bukannya Najid tak biasa melihat Pak Munawir marah-marah.

Pak Munawir pun hanya menegur, bukannya memukul.

“Jahat!” Sekali lagi Najid tarik hujung rambut Najihah.

Dan Najihah, tetap juga tersengih-sengih walaupun kepalanya terasa sedikit perit bila hujung rambutnya ditarik Najid untuk kali kedua.

No comments:

Post a Comment