- RINDU MASA LALU... -

June 26, 2012

“Hidup biar terus pandang ke depan, namun sesekali palinglah ke belakang kerana di sana ada keindahan yang mungkin tak akan berulang lagi”

Asalnya, yang ada hanya Mak dan Abah saya. Mereka berkahwin 40 tahun dulu. Kahwin pada tarikh 1 Januari dan kemudian 20 November, anak pertama mereka lahir, dua tahun lepas tu, anak ke-2 mereka menyusul, 3 tahun lepas tu anak ke-3 datang, 3 tahun lepas tu anak ke-4 yang tentulah diberi nama Marwati Wahab a.ka.a. Aleya Aneesa yang pipi macam pau tu, 4 tahun lepas tu anak ke-5 dan 2 tahun lepas tu, anak bongsu pula menjengah dunia.

Selama 26 tahun, tinggallah kami berlapan di rumah yang dibina hasil kudrat Abah saya sebelum Kak Long berkahwin dengan abang ipar saya. Kini, keluarga saya yang pada asalnya hanya 8 orang dah berkembang menjadi 22 orang dengan 5 menantu dan 9 cucu. Wah... murah rezeki kan?

Ya, saya gembira mendapatkan mereka ber-14 sebagai keluarga. Sejak mereka muncul kehidupan kami jadi lebih meriah dan ada masa-masanya, peningnya pun jadi bertambah juga kerana dah terlalu ramai, ragam pun jadi caca-marba. Malah, hubungan kami adik-beradik yang dulunya tak adalah serapat mana jadi tambah erat. Kami berenam boleh berkongsi apa saja dan boleh membuat keputusan bersama. Kalau dulu, sorang ke timur, sorang ke barat, sorang ke utara, sorang ke selatan, sorang ke barat daya dan mungkin sorang lagi ke timur laut. Tu dia, lengkap 6! Kalau 8 atau 10, confirm dah tak tahu nak tulis apa sebab tak tahu. Mungkin kena bukak kompas agaknya.

Tapi sesekali dalam kegembiraan yang ada, saya rindu juga pada kenangan dulu-dulu. Kenangan ketika hanya wujud kami berlapan, kami adik-beradik dan Mak juga Abah. Kenangan yang dah makin jauh ditinggalkan. Kenangan yang dulunya, rasa-rasanya macam tak manis langsung – banyak pahit dan masam masin, tapi kini bila diimbas-imbas manisnya mengalahkan madu. Lebih penting lagi tak ada dijual di mana-mana.

Dulu, saya dengan Kak Long tak ngam. Pantang jumpa asyik nak berbalah. Malah, saya pernah baling dahi dia dengan bola takraw yang keras tu. Lepas tu malamnya, tau-tau lengan saya rasa macam disengat lebah. Kena cubit dengan Kak Long. Dia main tipulah tu! Kalau saya sedar, dah tentu saya lari dan dia tak dapat kejar. Saya kan pernah jadi olahragawati sekolah rendah [ter-riaklah pulak, padahal sekolah menengah, pancit]. Abang Ngan dan Abang Chik saya pula, cakap secara jujur, saya memang tak sukakan mereka berdua. Mereka berdua memang tak serupa langsung. Yang samanya mereka, mereka suka kongkong hidup saya. Pantang nampak saya jadi kutu rayau, cepat aje suruh balik. Tapi biasanya saya tak ikut pun kata mereka. Tak mungkin mereka akan jerit-jerit atau pukul-pukul manja saya depan-depan orang. Buat malu diri sendiri aje. Tapi macam Kak Long, mereka berdua pun suka main tipu. Tak dapat marah depan orang, marah bila balik rumah. Tak ke tak patut tu?

Dulu... memanglah rasa tak patut mereka berdua buat saya macam tu, tapi sekarang ni lepas saya dapat otak yang penuh, saya tahu apa yang mereka lakukan tu memang patut. Fungsi abang, menjaga adiknya, memastikan adiknya tak melakukan hal-hal konyol macam yang selalu saya buat zaman-zaman dulu kala. Marah tu tanda sayang, maka saya putuskan yang dia sayangkan saya sebab tu mereka asyik-asyik marah-marah sayang.

Adik-adik saya pula, yang selepas saya, sangat-sangat rapat dengan saya. Sampai sekarang pun dia masih adik merangkap kawan bagi saya. Dibandingkan dia dengan adik dia yang bermaksud adik bongsu kami berdua, saya boleh kongsi apa aje dengan dia. Boleh bercerita apa saja tanpa ada batas dan saya boleh aje nak luahkan apa yang berbuku kat hati saya. Malah boleh aje nak merajuk kalau saya nak merajuk. Sedangkan si bongsu itu lebih serius, tapi tetap ada keistimewaannya yang tersendiri. Dulu, saya susah nak sembang dengan dia sebab cerita saya dan dia macam tak sama. Tapi sekarang kami dah boleh duduk secawan, boleh melawak sesama sendiri. Malah dia pernah suruh saya masuk Raja Lawak bila saya beria-ia buat lawak. Saya sukakan dia yang sekarang, tapi saya tetap rindukan dia yang dulu.

Masa memang tak boleh nak diputarkan ke belakang , tapi... ada masa-masanya, bila terasa ada yang menekan jiwa, saya sangat-sangat berharap supaya saya dapat kembali ke masa lalu. Masa di mana hanya ada kami berlapan. Biar hidup ketika itu tak seperti sekarang, tapi sangat-sangat best dan tak banyak yang perlu difikirkan. Hanya jalani hidup apa adanya, ;-)

P/S – WALAU HIDUP ADA PASANG, SURUTNYA... HARGAILAH KELUARGA YANG ADA KERANA MEREKA TAK MUNGKIN BOLEH DITUKAR GANTI...

4 comments:

  1. Alhamdulilah...Bertuah kerana di kurniakan dengan keluarga bahagia ini...Nampak kegembiraan yang nyata & semoga kekal abadi bahagia itu...

    ReplyDelete
  2. alhamdulillah... harap gembira dan bahagia yang ada akan terus berpanjangan... ;-)

    ReplyDelete