- MARI MAIN KEMAS-KEMAS -

June 3, 2012

Rasa-rasanya... dalam banyak-banyak cuti hujung minggu, hujung minggu nilah yang paling terisi dengan jayanya. Sampai habis semua satu badan rasa macam patah riuk. Tapi bila tengok keadaan sekeliling, hem... berbaloi-baloilah juga rasa penat dan sakit-sakit badan ni.

Jumaat malam – Masukkan baju dalam mesin basuh dan biarkan mesin tu bergerak sendiri. Siap aje, terus sidai. Matlamat saya nak tengok Versus Akhir. Mula tengok kosong aje. Satu sama satu. Saya lawan TV. Tapi lepas tu saya terfikir sesuatu. Kenapa tak aku tengok TV sambil lipat kain yang dah macam gunung tu ya? Tak fikir panjang, saya capai bakul yang ada. 1 bakul. Lipat punya lipat, akhirnya habis. 2 bakul. Lipat-lipat lagi. Habis juga. Eh... ada lagilah! 3 bakul. Masuk bakul ni, ada rasa-rasa macam nak muntah darah. Kalau saya suka lipat kain, tak adalah sampai jadi 3 bakul kan? Tapi... bertahan jugalah sebab memang saya tak ada pembantu rumah. Walaupun, setiap kali lipat kain, saya terasa sangat nak ada pembantu rumah. Masa tu ajelah. Mujur juga dalam pada nak muntah kerja saya selesai juga. Itulah padahnya bila cakap tak serupa bikin. Saya selalu cakap tak akan simpan kain banyak-banyak untuk dilipat. Tapi sampai masanya, saya akan kata macam ni, “Nanti-nantilah. Tak ada mood”. Tau-tau... dah jadi macam gunung. Bila dah jadi, mula merungut-rungut.

Sabtu – Hajat di hati nak berkemas. Tapi rasa malas macam banyak sangat dalam badan. Jadi, masak nasi. Pecahkan telur dalam mangkuk, potong cili padi 3 batang, panaskan kuali, letak minyak, bila minyak dah panas masukan telur, percikkan kicap sesuka hati dan hancurkan telur tu ikut suka juga. Siap akhirnya lauk yang paling saya suka. Tak taulah, memang dari dulu sampai sekarang saya suka telur dimasak macam ni. Makan dengan nasi panas, nyum-nyum. So... itu ajelah lauk saya hari Sabtu. Kenyang sampai ke malam.

Bila dah tak tau nak buat apa, saya gerak ke dapur sekangkang kera saya. Tengok kitchen cabinet merah menyala, lama-lama. Teringat adik ipar saya kata, “Dulu... semua barang tersusun, sekarang dah tunggang-terbalik”. Mungkin tercabar dengan kata-kata beberapa bulan lepas [Lama betul ya nak ambil masa sahut cabaran?], saya pun keluarkan segala macam tok nenek yang ada dalam kabinet. Saya letak dalam singki termasuk lesung batu yang jarang-jarang yang amat digunakan. Tak cukup dalam singki, atas table top, kat lantai pun saya letak, termasuk meja makan. Wah... tak sangka dalam masa 2 tahun saya ada banyak barang-barang dapur. Tapi... bila renung-renung balik, membazir gila! Bersihkan rak-rak yang ada. Letak alas baru dan saya pun mula cuci segala tok nenek yang ada biar berkilat. Bersungguh-sungguh sampai rasa penat yang amat sangat. Malam, segala tok nenek dah kering, masukkan semula kat tempat asal. Ni kalau adik ipar saya tengok, mesti dia bangga macam nak rak dengan kakak ipar dia yang tiba-tiba jadi rajin. Hahaha...

Ahad – Bangun aje tidur, saya capai kain dan baldi. Lap-lap semua tempat yang berdebu, termasuk tempat kasut warna putih tu. Tiba-tiba rasa menyesal beli rak warna putih. Patut beli warna yang sama dengan debu aje. Biar tak dapat beza mana sayu rak, mana satu debu. Kipas pun saya lap sikit-sikit, sikit aje sebab hari tu adik saya dah tolong bersihkan. Bukannya rajin sangat, tapi teringat lagi 2 hari abang saya nak datang. Saya tak nak dia kata tempat TV saya, kalau kutu lalu pun boleh nampak laluan. Ya, taulah banyak habuk! Lepas tu gulung karpet-karpet kecil. Sapu sampai ke luar rumah, termasuk balkoni yang jarang amat saya buka. Ambil baldi, isi air dan sabun, maka kerja mop-mengemop pun bermula. Siap aje, bergerak ke bilik air kedua, sental-sental sampai peluh dah boleh perah. Lepas tu beralih dalam bilik air dalam bilik pula. Aduh... masa ni ada rasa-rasa macam nak baring aje kat bilik air tu. Mujur cuma rumah saiz macam ni, kalau lagi besar. Saya kemas 5 tahun sekali aje. Hahaha...

Siap aje semua, mandi dan lepas tu makan maggi, yogurt, buah epal sebiji, minum air banyak-banyak sebab tak ada makanan lain. Nasi ada, lauk sikit-sikit adalah tapi malas dah nak masak. Tengok Shakespeare in Love kat channel Diva, lepas tu tidur. Bangun iron 3 pasang baju kurung untuk hari Isnin, Selasa dan Rabu. Khamis dan Jumaat, yahoo... saya cuti-cuti sesuka hati walaupun tak ada anak sekolah. Sekarang, dah malam dan saya tengah tengok Mentor, ;-)

2 comments:

  1. sernok baca pasal kemas2 ni sebab saya pun jenis yang malas sesangat nk berkemas. nama pun org bujang kan?

    ReplyDelete
  2. yup... bujang mmg selalu ringkas. bila duduk sendiri, ringkasnya jd bertambah-tambah singkat, hehehe...

    ReplyDelete