- WuJuD kE BFF yA? -

November 9, 2011

Saya tak ingat banyak tentang zaman kanak-kanak saya, walaupun saya akui bukan semua kenangan masa tu saya dah lupakan. Ada yang masih segar dalam ingatan sampai ke hari ini dan pastinya tak akan saya lupakan sampai bila-bila sebab memang tak boleh pun kalau nak dilupakan. Hanya faktor umur yang dah makin beranjak ke depan dan faktor masa yang dah makin jauh meninggalkan saya, membuatkan banyak kenangan tak begitu penting sudah saya terlupakan.

Tapi… biar banyak kenangan dah semakin pudar daripada ingatan, biar masa semakin jauh ke depan, satu hal yang saya selalu pahatkan di hati, ikatan persahabatan itu letaknya juga di tempat yang tinggi. Hanya mungkin letaknya di tangga kedua, selepas ikatan kekeluargaan. Dan sampai ke hari ini, walau kawan saya bersilih ganti kerana saya sudah melalui banyak fasa perubahan dalam hidup sama seperti orang lain juga, saya tetap ingat pada setiap yang pernah menggelar saya sebagai kawan mereka. Ada yang saya akui, saya hanya ingat pada wajah mereka tapi tidak pada nama. Ada juga yang saya ingat nama semata-mata sedangkan wajah mereka langsung tak mampu mata dan minda saya imbas. Bahkan ada juga yang asalnya jadi kawan, kemudian tak lagi jadi kawan. Dulunya bukan kawan, kini dah pun jadi kawan baik.

Satu ketika dulu, saya mengaku yang saya pernah mengagung-agungkan sahabat dan ikatan persahabatan. Dan sekarang ini pun sebenarnya saya masih memandang tinggi pada yang dinamakan sahabat dan persahabatan kerana ikatan mulia itu bukannya boleh dijual beli semudah kita membeli ikan di pasar. Hanya kini rasa tu dah tak sama lagi kerana saya percaya dalam apa pun keadaan, perlu ada had dan batas yang tak boleh dilanggar sesuka hati. Saya dah tak mahu melanggar batas-batas had yang ada macam dulu-dulu. Cukup-cukuplah satu ketika dulu saya memegang ikatan persahabatan terlalu ketat sehingga saya lupa ada ikatan yang lebih penting daripada itu.

Lebih daripada itu, saya bukan lagi anak-anak kecil mahupun anak remaja yang baru hendak mengenal hidup kerana dalam umur sebegini, macam orang lain juga, saya dah pun melalui banyak perkara yang ada masa-masanya memang dah dijangka hadirnya, di masa yang lain pula langsung tak diduga. Jatuh dan bangun tanpa saya sedar dah pun jadi asam garam dalam hidup saya dan semua itu membuatkan saya lebih matang hari demi hari dalam menempuh sebuah kehidupan.

Itu, saya yang sudah pun hampir bongkok tiga. Bukan anak saudara saya yang baru hendak belajar hidup. Belajar untuk mengenal kawan dan dalam masa yang sama ikut kenal lawan. Tapi memandang dia, saya jadi ingat pada diri sendiri. Hendak menyalahkan dia kerana dia yang menyebabkan diri sendiri dianiaya orang dan ditikam kawan sendiri dari belakang, terasa tak adil kerana dalam seumur dia dulu, saya juga selalu menganggap kawan segala-galanya. Ditikam berkali-kali dari belakang pun, tetap juga saya akan melebihkan kawan daripada adik-beradik dan orang tua sendiri. Bagi saya, bila saya susah merekalah yang akan tampil membantu, sanggup susah dan senang bersama-sama saya. Saya lupa pada peribahasa, “carik-carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga”, lupa pada “air dicencang tak akan putus”, lupa pada ‘cubit paha kanan paha kiri terasa” dan banyak lagi.

Tapi biarlah... yang berlaku dah pun berlaku. Walaupun anak saudara saya menangis dikerjakan kawan baik sendiri, masa yang dah berlaku tak mungkin dapat dibalikkan kembali. Mujur juga warna yang hitam dah saya putihkan walaupun sehari semalam saya mencari jalan sebab jalan yang ada bagaikan dah tertutup rapat. Satu yang saya pegang, kalau kita benar ALLAH pasti akan tolong dan sepanjang membuat ‘kerja-kerja’ pembersihan semalam, saya memang menempuhi kesukaran. Saya tak kenal kawan dia dan saya tak boleh nak cam muka kawan-kawan dia dengan baik dan saya hanya mengikut gerak rasa semata-mata. Tapi hati saya dalam masa yang sama berdetik, “Ya ALLAH... kalau anak saudara aku tak salah, tolonglah mudahkan segala-galanya.”

Dan ALLAH itu memang MAHA BERKUASA, akhirnya saya berjaya juga dengan bantuan daripada DIA. Hendaknya anak saudara saya akan mengambil apa yang berlaku sebagai pengajaran. Berkawan memang tak salah, tapi janganlah sampai meletakkan 100% kepercayaan pada yang dipanggil kawan. Simpanlah sedikit untuk diri sendiri supaya tak mudah dijatuhkan orang. Tapi hati saya di dalam bertanya, benar-benar WUJUD KE BFF YA? Kalau betul ada, kenapa ada istilah kawan makan kawan ya?

2 comments:

  1. setuju dgn entry diatas..perlu simpan sedikit hati kita utk diri sendiri supaya tidak terasa kosong bila dikecewakan nanti..

    ReplyDelete
  2. yup...kdng2 yg dewasa pun rasa sakit ditikam kawan sendiri, apalagi anak kecik yg baru hendak mengenal hidup... tp semua itu cuma asam garam hidup. sakit itu akan buat dia jd lebih kuat... :-)

    ReplyDelete