- CINTA BUAT EMELDA & KASIH ANTARA KITA -

February 13, 2012

Drama ni tak jadi tayang dalam Slot Akasia TV3 pada 13 Februari 2012! Ya... cuma itu yang dapat saya jelaskan kepada kawan-kawan yang cantik-cantik dan kacak-kacak yang tentu juga mudah memahami dan penuh pula dengan pengertian. Harap-harap lepas ni janganlah ada yang bertanya lagi kenapa dan mengapa tak tayang ya, kawan-kawan? Kalau nak tanya juga, tak salah dan tentu aje tak kena tangkap dengan polis sebab ada banyak lagi kerja yang polis nak buat selain daripada fikirkan hal yang tak berkaitan. Cumanya, jawapannya tak adalah ya sebab saya sendiri pun tak tahu nak jawab apa.

Apa? Kata tayang Februari 2012, lepas Gemersik Kalbu? Ya... itu memang perancangan yang saya tahu dan juga dah diberitahu oleh para pelakon yang menjayakan drama adaptasi daripada novel KASIH ANTARA KITA [KAK] tu. Saya pun ada tulis dalam N3 ni yang drama CINTA BUAT EMELDA tu akan ditayangkan di TV3 untuk Slot Akasia pada bulan Februari 2012. Tapi bukan setakat itu aje yang saya tulis ya. Saya turut menambah statement ini, ‘Sama ada tarikh itu akan berubah atau sebaliknya, SAYA TAK DAPAT NAK PASTIKAN sebab saya pun tak tahu’.

Dan bila CBE betul-betul tak jadi tayang bulan ni, ramai yang bertanya pada saya. Ada juga yang kata frust sebab ganti drama Gemersik Kalbu, bukan CBE sedangkan mereka dah berkobar-kobar nak tengok KAK yang dah bertukar jadi CBE tu. Saya nak kata apa ya bila saya sendiri pun tak tahu? Boleh tak kalau saya kata, manusia hanya mampu merancang sedangkan di sebalik apa yang dirancang, ada ALLAH sebagai perancang utama? Rasa-rasanya... jawapan ni sangat ideal walaupun agak klise bagi sesetengah orang.

Pagi ni, bila iklan drama Atas Nama Cinta [bukan adaptasi ya kawan-kawan] dah keluar kat TV3, ada dah yang tanya bila pula CBE akan ditayangkan. Hoho... sekali lagi saya terkelu lidah, masih tak tahu nak jawab apa dan macam mana. Benda tak pasti, saya tak berani nak memandai-mandai, bimbang dianggap yang bukan-bukan sebab saya bukan jenis manusia yang suka tanam tebu tepi bibir. Berjanji pada sesuatu yang tak pasti, bukan saya orangnya. Apa kata, tanyakan sendiri pada pihak yang sepatutnya supaya jawapannya tepat dan tak menyimpang.

Yang boleh saya katakan, CBE memang akan ditayangkan macam yang dijanjikan KALAU TAK ADA ARAL [kalau ada aral, itu persoalan yang lain yang mungkin akan dijawab kemudian]. Hanya bila tarikh yang tepat, itulah yang saya tak boleh kata. Mungkin bila iklan dah keluar kat TV3, itulah masa CBE ditayangkan untuk tatapan saya dan juga kawan-kawan.

Tapi bagi saya sendiri, CBE tak ditayangkan bermula hari ni, juga ada hikmahnya yang tersendiri. Kalau tayang, minggu depan saya akan terlepas tengok siri tu selama 4 hari berturut-turut sebab saya nak sambung pergi ‘jalan-jalan menghabiskan duit’. Boleh tengok kat tonton kan? Ya... itu saya tahu tapi tengok di tonton dengan tengok di TV, sangatlah tak sama kesannya. Sangatlah tak best!

Apa pun, pada yang selalu memberikan sokongan pada saya, terima kasih berjuta-juta lemon. Harap kita semua, baik-baik aje... ;-)

- SeLaMaT hArI lAhIr AdIk! -

February 11, 2012

Hari ni hari ulang tahun kelahiran adik pertama saya, Hasrul Wahab. Yang kedua atau yang bongsu namanya Halmi Wahab. Diam tak diam dah 28 tahun dah dia jadi adik saya. Cepatnya masa berlalu sampai kadang-kadang saya sendiri tak perasan. Yalah… dulu dia kurus, sekarang dah tak kurus lagi. Dulu memang gelap, sekarang jadi makin gelap sebab dia selalu ikut abah saya ke laut bila hujung minggu.

Adik saya tu memang adik kandung saya, bukan adik orang lain walaupun dia selalu kata saya anak yang abah jumpa celah pokok bakau masa tangkap ikan. Tapi macam biasa saya mana nak kalah dengan dia sebab saya kan kakak. Saya balas balik, masa saya lahir dia tak ada, jadi… dia tak nampak kalaupun memang saya anak yang dilahirkan pokok bakau. Tapi masa dia lahir, saya ada. Jadinya, dengan mata saya sendiri saya nampak abah ambik dia dari dalam tong sampah. Lepas saya cakap macam tu, macam biasa sesi kutuk-mengutuk pun bermula dan sebenarnya itulah yang merapatkan saya dan dia.

Dan ya, dia memang adik saya. Hanya bagi saya, dia bukan sekadar adik semata-mata. Tapi dialah adik yang merangkap kawan pada saya. Dengan dia, saya boleh kongsikan apa aje yang nak saya kongsikan, dari sejak kami remaja sampai masing-masing dah tua bangka macam sekarang ni. Dengan dia, saya bebas bercakap atau meluahkan apa aje yang nak saya luahkan kerana dia pendengar yang sangat baik. Dengan dia saya boleh minta tolong apa aje. Dengan dia saya boleh bersikap ala-ala bos atau mem besar [kalau dah dasar kakak gila kuasa, tetap juga gila kuasa kan?].

Jadinya, untuk adik saya Hasrul Wahab, SELAMAT HARI LAHIR, MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI dan SELALU ADA DALAM RAHMAT ALLAH.

PESANAN PENUH KASIH SAYANG – Sila jadi anak yang baik, adik yang baik, abang yang baik, suami yang baik dan papa yang baik untuk anak-anak buah bertuah akak tu, Aqqif dan Manja. Kalau tak, AWAS yA!!!

- MiNgGu-MiNgGu YaNg LeTiH -

February 10, 2012

Pernah satu ketika dulu, saya terasa nak berhenti menulis walaupun ketika tu minat menulis dan rasa nak menulis dalam diri berkobar-kobar. Tapi... berkat kasih seorang ibu, rasa nak berhenti tu hilang bila mak saya dengan kuasa magis yang ada pada dia terus-terus-terus memujuk walaupun dia tak dibayar oleh mana-mana syarikat, tak juga dilantik sebagai duta dalam bab pujuk-memujuk. Dia buat macam tu bukan sebab apa-apa atau tak juga dengan niat apa-apa, tapi sebagai seorang ibu dia selalu tahu apa yang saya nak dalam hidup, apa yang mampu menggembirakan saya, sama macam dia selalu dapat baca apa yang ada dalam hati dan fikiran saya. Pendek kata, kalau berdepan dengan mak saya, sila pasakkan dalam kepala dan dalam hati dengan kata-kata; ‘Jangan Sesekali Cuba Membuat Helah Atau Menipu Kerana Helah Kamu Tu Tak Akan Berhasil’.

Saya bukan buat-buat cerita okey! Tapi saya bercakap berdasarkan pengalaman. Pernah satu ketika masa saya masih bergelar pelajar sekolah menengah, sebab saya tak suka dengan satu cikgu ni dan tak suka juga dengan subjek yang diajar, saya dengan bangganya balik dan berhenti di sekolah rendah. Tanpa ada rasa bersalah, buka paip air, lepas tu... marilah mandi air paip hak sekolah rendah dengan jayanya sambil tergelak-gelak dengan dua orang kawan yang satu kepala dengan saya. Kepala menipu! Bila dah lencun satu badan, saya pun berjalan balik ke rumah dengan air muka muram. Konon-kononnya, dalam perjalanan menuju ke sekolah, saya tertimpa hujan sebab saya tak bawa payung.

Macam biasa, mak saya yang memang pantang bila tengok anak ponteng sekolah, mula bertukar jadi polis pencen. Habis semuanya disoal siasat macam saya dah buat salah yang memerlukan saya dihukum pancung guna pedang samurai [Keris Taming sari tak boleh ya, bimbang Hang Tuah marah]. Saya pun jawab ajelah walaupun dalam hati takut tak ingat. Resam orang buat salah, selalu aje dihantui rasa bersalah. Akhirnya, mak saya terus tinggalkan saya dan tahulah saya yang dia tengah marah. Sudahnya, sehari suntuk kami anak-beranak tak bertegur sapa. Saya yang tak suka duduk rumah tiba-tiba jadi anak dara sunti sebab tak berani nak ke mana-mana lepas dah ponteng sekolah.

Tapi... tajuk N3 hari ni tak ada kaitan pun dengan bab saya ponteng sekolah zaman dulu-dulu kala tu. Itu hanya mukadimah yang sangat panjang dan kaitannya, dulu saya pernah terasa letih nak menulis pada saat saya tak memerlukan rasa letih tu. Dan akhir-akhir ni saya terasa letih sekali lagi. Hanya rasa letih kali ni mungkin tak mampu membuatkan saya rasa nak berhenti menulis kerana saya terasa perjuangan saya masih panjang. Saya masih belum puas bergelar penulis novel dan yang pasti saya akan pastikan rasa letih ni pergi selepas saya balik dari bercuti nanti. Lebih daripada itu, saya tak nak kecewakan mak dan abah saya sebab saya tahu mereka berdua sangat berbangga dengan sedikit anugerah yang ALLAH berikan pada saya.

TERUS CINTAI AKU [BUKAN MEMUJA BULAN]... ini mungkin tajuk novel saya yang ke-9. Alhamdulillah... dah sampai pun ke proses terakhir walaupun saya masih belum lihat baju novel tu lagi. Terus terang saya kata, TCA benar-benar buat saya terasa macam nak luik. Entah kenapa, perjalanan saya kali ni terasa agak sukar. Mungkin sebab sejak awal tak ada masalah, maka pada akhirnya kesukaran tu jadi berkali-kali ganda. Sampai ke saat ni walaupun kerja saya dah selesai, semua anggota yang ada pada badan saya termasuk minda, seakan-akan tak lagi bersatu, semua terpisah-pisah dan perpisahan tu buat saya rasa letih dan lesu.

Saya tak tahu apa penerimaan pembaca terhadap TCA sebab masih belum terbit. Tapi saya berharap TCA akan dapat terus mengikat hati pembaca novel ALEYA ANEESA supaya terus membaca novel-novel akan datang dan juga dapat menarik hati pembaca yang mungkin baru kenal ALEYA ANEESA supaya membaca novel-novel sebelum ni, ;-)

- SeLaMaT hArI lAhIr -

February 7, 2012

5 Februari 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-3 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA MOHAMMAD NAQIB ZAKWAN"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA NAQIB [Masih pesanan yang sama macam Mak Tam bagi untuk ABANG AQQIF hari tu] - Sorry, tahun ni Mak Tam tak dapat membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab Mak Tam sangat sibuk. Tapi nak bagi tahu walaupun Naqib cuma boleh baca pesanan ni bila dah sekolah nanti, Mak Tam nak kata yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Naqib. Cepat cakap macam bertih goreng ya!

- NoVeL kE-9 [bAkAl TeRbIt]: TERUS CINTAI AKU -

February 2, 2012

Terus Cintai Aku... kisah ini kisah Zalis dan Khilfie. Kisah Zalis yang setia memegang janji dan kisah Khilfie yang lupa pada janji selepas bertahun-tahun masa berlalu. Mereka berdua saya wujudkan dalam novel ini sebagai mewakili orang yang berjanji dan yang menerima janji kerana sememangnya manusia itu sangat sinonim dengan yang dinamakan JANJI. Mungkin disebabkan memang ‘dasar lidah tak bertulang’, maka laju saja bibir kita mencipta janji sehingga kadangkala janji kita seperti tidak ada nilainya, bukan hanya di mata orang tapi di mata kita sendiri.

Betul, berjanji memang mudah. Mungkin semudah membaca ABC bagi yang tahu membaca. Malah dari usia kecil pun saya kira, kita semua sudah tahu bagaimana hendak menabur janji, satu kemahiran yang tak perlu diajar oleh sesiapa. Ketika itu, soal janji dikotakan atau tidak, bukanlah perkara besar. Yang penting kita sudah berjanji! Tapi sebenarnya janji akan jadi sangat sukar seandainya tidak dikotakan. Pada yang berjanji, kemudian melupakan atau terlupa, kesannya mungkin tidak ada atau tidak begitu ketara. Sebaliknya impaknya akan jadi sangat besar pada yang berharap janji yang dikata akan dikota, apalagi jika sudah memegang janji itu dalam jangka masa yang sangat lama. Kalau bukan jiwa yang parah, mungkin fizikal yang terasa letih.

Makanya, jangan sesekali menabur janji pada sesuatu yang kita sendiri tak pasti dapat dijadikan kenyataan. Sebaliknya berjanjilah pada perkara yang memang kita yakin boleh ditunaikan.

- KARNIVAL BUKU KARANGKRAF 2012 [1] –

January 30, 2012

Ketika diberitahu yang saya akan diberikan sebuah booth sepanjang Karnival Buku Karangkraf 2012 berlangsung, harus menghias sendiri booth tersebut, harus memikirkan sendiri konsep yang mahu saya buat dan semuanya harus dilakukan dalam masa yang singkat, saya sebetulnya terasa cuak, cuak sangat-sangat. Bahkan, kalau diikutkan hati saya mahu aje menolak ketika itu juga. Tapi... entah apa yang mendorong, saya bersetuju walaupun saya sendiri tak pasti.


Sejujurnya, ada beberapa hal yang membimbangkan saya. Pertama, sebab saya tak pandai nak menghias booth tersebut. Hias-menghias bukan kemahiran saya, maka jadilah saya seorang manusia pemikir dan perengus. Dan bila saya terlalu memikirkan hal itu, bahu terasa seakan-akan ada batu yang sangat besar. Ke man-mana dan di mana-mana pun saya ada, bermula daripada mendapat panggilan daripada pihak Grup Buku Karangkraf, saya betul-betul tak dapat berfikir dengan betul. Bolak-balik fikiran dan perasaan saya. Malah, tak malu saya mengaku yang ada masa-masanya saya terasa nak menangis sebab panik dan blur.

Kedua, apa aktiviti yang nak saya buat untuk pastikan booth saya tak lengang bagaikan dilanda geroda. Kalau ditakdirkan lengang, di mana saya nak sorokkan muka kan? Kalau dalam baju, tak mungkin sebab mustahil saya boleh berjalan kalau tak menggunakan mata. Kalau hendak berpurdah, saya tak sanggup kalau semata-mata kerana terpaksa. Bagi saya, kalau pun benar hendak berpurdah, biarlah kehendak itu lahir dari dalam diri.

Ketiga, ada ke yang nak datang ke booth saya nanti sebab saya tahu di mana tahap saya. Saya bukan penulis hebat walaupun saya dah menghasilkan beberapa buah karya. Saya hanya penulis biasa-biasa aje dan dengan pakej yang juga biasa-biasa.

Keempat, sebelum dan semasa hari kejadian [Karnival Buku Karangkraf 2012], siapa yang nak membantu saya? Saya memang ada keluarga, tapi keluarga saya semuanya ada di JB, tak ada seorang pun yang bersisa di KL ni. Kawan-kawan memanglah ada, tapi... saya tak tahu nak minta tolong macam mana. Bimbang tak ada yang mahu bangkit membantu. Kalau pun ada, mungkin saya akan berfikir berkali-kali kerana saya tak mahu silap meminta. Tak mahu pisang berbuah dua tiga kali. Cukuplah sekali pertolongan yang saya pinta, orang ungkit sampai hati di dalam terasa begitu kecil. Itukah yang dinamakan sahabat dan persahabatan? Bukannya saya ego, tapi saya jenis manusia yang tak mahu jatuh di tempat yang sama berkali-kali. Bagi saya, saya hanya akan meminta pertolongan pada yang sudi dan saya tahu benar-benar mahu menghulurkan bantuan.



Tapi syukurlah... bila yang saya jangka ternyata meleset sama sekali. Meski dalam panas terik dan dalam keadaan saya yang langsung tak bawa peralatan seperti gunting, tukul, paku, benang dan sebagainya, booth saya siap juga. Saya tak tahu nak kata macam mana, tapi saya benar-benar berterima kasih pada yang sudi membantu, terutamanya Kak Hana, Awin, Kak Ruby, Moon, Mala, Yatie [Alaf 21/Karangkraf], Fida, Dewi, Kak Azie, Mira dan Kak Izzatul [kawan-kawan saya]. Jerih perih kalian sangat saya hargai, moga ALLAH membalas segala-galanya.

Dan pada hari pertama Karnival Buku Karangkraf 2012 berlangsung, saya akhirnya mampu menarik nafas, tanda lega. Walaupun hari Jumaat, ramai juga yang datang berkunjung, minta tandatangan dan bertanya serba sedikit tentang dunia penulisan saya. Sungguh, hati saya sangat-sangat lapang, selapang padang bola [sebab tu senyum dan ketawa saya lebar aje, hahaha]. Kedatangan mereka dengan senyuman buat hati saya rasa kembang setaman. Rasa penat-lelah saya seperti berbaloi-baloi. Terima kasih sangat!


- YaHoO... sAyA bErJaYa! -

January 29, 2012

Wah... bunyinya macam dapat nombor 1 dalam larian 100 meter aje kan? Tak pun dalam lontar peluru. Ataupun, dah berjaya menyeberangi Selat Tebrau. Tapi sebenarnya... tiga-tiga tu tak betul sama sekali! Nampak benar tipunya sebab saya dah lama tak buat larian 100 meter [last kat sekolah], dah lama tak angkat besi bulat tu dan dah lama juga tak berenang di kolam di tempat tinggal saya, lebih mustahil sampai berenang di Selat Terbrau.

Yang betulnya, saya gembira macam dah diberi bulan dan bintang sebab saya dah berjaya menampalkan road tax kereta dalam masa tak sampai 5 minit. Itu pun dengan senyuman lebar dan tanpa ada kerut di dahi seperti tahun lepas. Rasa dalam hati, memang bangga bagai tak ingat dunia sebab memang itu pun tekad yang saya buat masa saya tampal road tax buat pertama kalinya dalam hidup, tahun lepas.

Kalau dikenang-kenang, rasa macam nak ketawa tergolek-golek pun ada juga sebab geli hati. Tak sangka saya gelabah sampai macam tu sekali. Yalah, mula-mula saya terkial-kial tanggalkan road tax tahun sebelumnya sampai siap telefon abang. Lepas tu, naik rumah ambil air dan sabun sebab kesan yang tinggal pada cermin, lepas tu naik ambil gunting sebab nampak lambang gunting pada road tax baru, sedangkan boleh tanggalkan macam tu aje. Lepas tu... baca [DI SINI] ajelah sebab saya tak larat nak menaip kembali apa yang pernah saya taip tahun lepas.

Tapi satu hal yang saya pegang, manusia selalu belajar daripada pengalaman kerana pengalaman mengajar kita supaya lebih berhati-hati agar tak melakukan kesilapan yang sama.

- SeLaMaT hArI lAhIr -

January 24, 2012


22 Januari 2012 - "SELAMAT HARI LAHIR YANG KE-4 TAHUN. MOGA PANJANG UMUR, MURAH REZEKI, JADI ANAK YANG BAIK DAN HENDAKNYA SELURUH RAHMAT ALLAH AKAN JATUH PADA MOHAMMAD AQQIF NAJMIE"

PESANAN PENUH KASIH SAYANG PADA AQQIF - Sorry, tahun ni Mak Tam tak dapat membebel panjang-panjang macam tahun lepas sebab Mak Tam sangat sibuk. Tapi nak bagi tahu walaupun Aqqif cuma boleh baca pesanan ni bila dah sekolah nanti, Mak Tam nak kata yang Mak Tam SAYANG SANGAT kat Aqqif...

- TaK sErUpA tApI sAmA, dAtAnG jAnGaN tAk DaTaNg TaU! -

January 18, 2012

Yang di atas tu jemputan ke FESTIVAL PENULIS GRUP BUKU KARANGKRAF yang akan diadakan pada 27-29 Januari 2012 dan bertempat di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf. Kalau tak nampak apa yang tertulis sebab tulisan di dalamnya comel-comel, boleh lihat di bawah. Dua-duanya menconteng perkara yang sama. Hanya rupa aje yang berbeza. Datang jangan tak datang ya kawan-kawan, ;-)

- KuTiP-kUtIp DiAlOg DaLaM “BOLEH SAYA SAYANG AWAK?” -

January 16, 2012


Kata Najihah, “Dalam mimpi abang! Jiha tak nak jadi wife Najid. Kami kawan, kawan baik aje. Tak lebih daripada itu okey!”

Kata Najid, “Siapa yang nak kahwin dengan Jiha? Kalau Jiha aje perempuan yang tinggal dalam dunia ni, Najid tetap tak naklah kahwin dengan Jiha.”

Kata Najid, “Alah... duduk dalam kereta yang tak ada air-cond sekejap, apalah salahnya. Jiha bukan puteri lilin pun. Tak ada cairnyalah...”

Kata Najid, “Okey... okey... Najid minta maaf. Lepas ni Najid janji bawa Jiha pergi shopping dan Jiha boleh ambik apa aje yang Jiha suka. Asalkan, Jiha berhenti mogok suara dengan Najid dan Jiha makan roti telur ni.”

Kata Najid, “Najid dengarlah apa yang Jiha cakap tadi. Jiha kata Jiha nampak Munirah dengan suami dia pagi tadi. Masa tu suami Munirah hantar Munirah pergi kerja. Jiha kata Jiha seronok sangat tengok Munirah dan suami dia mesra walaupun dah lima tahun berkahwin. Jiha kata kalau Jiha kahwin nanti, Jiha nak dapat suami baik macam suami Munirah walaupun suami Jiha nanti mungkin hanya orang biasa yang tak belajar pandai dan bergaji besar.”

Kata Najihah, “Kalau Jiha tak dapat suami kaya dan pandai pun tak apalah, asalkan Jiha boleh gembira dan bahagia macam Munirah.”

Kata Najihah, “Kaya tu sebenarnya ujian kan Najid? Jadi... kalau ditakdirkan pasangan Jiha nanti tak kaya atau cukup-cukup makan aje, Jiha akan terima dia. Kurang dan lebih dia, Jiha akan terima seadanya.”

Kata Najid, “Kan Najid pernah cakap pada Jiha yang Najid tak akan tangkap gambar perempuan lain selain daripada Jiha? Dah lupa ya?”

Kata Najihah, “Bila masa Jiha kata Najid perempuan? Apa kaitan kalau kamera ni Jiha bagi nama Kiki dengan jantina Najid? Lainlah kalau Jiha kata nak panggil Najid dengan gelaran Kiki. Itu barulah Najid boleh marah. Entah apa-apa.”

Kata Najid, “Lelaki pegang kamera nama Kiki, tak ke teruk dengarnya tu? Kalau kawan-kawan kita tahu, mana Najid nak letak muka?”

Kata Najihah, “Siapa kahwin dulu, kira menang dan siapa yang kalah kena bagi hadiah mahal tau.”

Kata Najihah, “Jiha nak datinglah, bukannya nak suka-suka. Karang Rayyan tengok Najid dia ingat Najid boyfriend Jiha pula. Langsung dia tak jadi nak dekat-dekat dengan Jiha nanti.”

Kata Najid, “Jom... Najid janji akan bersikap baik hari ni. Jangan risau, Najid tak akan kacau Jiha dengan Rayyan.”

Kata Najihah, “Najid sedar tak yang Najid langsung tak bagi peluang Jiha cakap dengan Rayyan tadi? Asyik-asyik Najid aje yang bercakap macamlah Rayyan ajak Najid keluar?”

Kata Najihah, “Najid tahu tak berapa susahnya Jiha nak dapat peluang keluar makan dengan Rayyan tu? Susah tahu! Dan Najid, dah hancurkan satu-satunya peluang yang Jiha ada. Najid memang teruk!”

Kata Najid, “Apa pulak? Najid nak juga kenal Rayyan tu macam mana. Sesuai ke tak dia dengan Jiha. Takkanlah itu pun Jiha nak berkira sangat?”

Kata Najid, “Kalau dia betul-betul baik, dia tak kisahlah Najid ikut sama sebab Najid kan kawan baik Jiha. Tapi dia tu... belum apa-apa dah tayang muka tapai basi. Nampak sangat Rayyan tu bukan lelaki yang baik.”

Kata Najid, “Kalau Jiha jadi dengan Rayyan, mesti lepas ni Rayyan tu tak kasi Jiha kawan dengan Najid lagi. Mesti Jiha pun tak akan pedulikan Najid lagi.”

Kata Najihah, “Okey... nanti kalau Najid dating, Jiha nak ikut juga. Jiha nak tengok macam mana perempuan yang Najid pilih. Lantaklah kalau Najid tak nak bagi ikut pun! Najid dah hutang Jiha, jadi Najid kena bayar dengan cara yang sama juga.”

Kata Najid, “Ikutlah, siapa kata Najid tak nak bawa Jiha.”

PESANAN PENUH KASIH SAYANG – Motif saya kutip dialog dalam kisah “BOLEH SAYA SAYANG AWAK?”, apa ya? Macam tak ada kepentingan aje kan? Eh, tapi adalah! Tentulah sebab saya nak kawan-kawan yang sudi menjenguk blog saya kenal dengan watak-watak dalam manuskrip saya, yang mungkin satu hari nanti akan bertukar rupa menjadi sebuah novel dan boleh dihadamkan oleh mereka-mereka yang sudi. Kalau terasa mahu berkenal-kenalan dengan lebih jauh lagi, bolehlah melawat [DI SINI] dan saya akan cuba masukkan bab baru bila sampai masanya. Saya juga akan petik dialog-dialog lain kalau saya rajin. Kalau lebih rajin lagi, saya akan kutip-kutip pula dialog dalam kisah"BUKAN MEMUJA BULAN" yang linknya boleh dapat dilihat [DI SINI]. Selamat membaca kawan-kawan!